Setiap pagi bila berhenti di lampu isyarat kawasan itu, aku sering terleka memerhati dua orang insan yang tekun bekerja. Dari riak wajah, kutahu mereka orang Melayu kita. Mereka membersihkan jalan tanpa memandang persekitaran, mendongak kepala hanya apabila hendak melintas jalan untuk membersihkan kawasan yang lain pula. Siapa kedua mereka itu? Bukan itu yang menjadi tandatanya tetapi aku lebih memikirkan kerjaya mereka yang 'indah' itu..sebagai tukang sapu.
Kelihatan mereka dalam lingkungan umur 50an dan sudah barang tentu sekiranya mempunyai anak, banyak permintaan yang harus mereka tunaikan untuk pembesaran anak-anak mereka. Kelihatankah di mata anak-anak akan kerjaya ibubapa mereka selama ini? Jika mereka tahu apa reaksi yang bakal ditunjukkan? Fikiranku menerawang..tiba-tiba aku membayangkan anak-anak mereka yang sudah berkahwin langsung melepasbiar ibubapa untuk mencari sesuap nasi. Tak dapat kubayangkan lagi sekiranya ada pula anak-anak yang malu mengaku bahawa yang setia berada di bahu jalan setiap hari itu adalah ibubapa mereka. "Harap-harap tidak begitu", getus hatiku.
Aku percaya, kedua mereka tak rela ditonton oleh banyak mata...desakan yang semakin menghimpit membuatkan hati mereka semakin tegar demi kelangsungan hidup. Perasaan insaf mula menyusup masuk sayup-sayup..kerjaya kita lebih indah dari mereka tetapi sering rasa ketidakpuasan itu bermaharajalela dalam hati. Kerap kita merungut atas bebanan kerja yang bertimbun. Banyak pula kerenah kita jika kerja tak setimpal dengan jawatan yang disandang.
Bagaimana dengan Pakcik dan Makcik itu? Selesakah mereka dengan persekitaran dan ekor-ekor mata yang melihat? Rasa insaf itu menyusup lagi malah lebih dalam rasanya...Astaghfirullah, Subhanallah, Alhamdulillah. "Pakcik, Makcik...semoga kamu berdua tabah mengharungi kehidupan di jalanan. Jangan dihirau mata yang menonton kerana kerja halal itu sedang dicatit penduduk langit", bisik hatiku.
Lampu isyarat hijau sudah menyala, aku teruskan perjalanan dengan berbekal ceria kerana Pakcik dan Makcik telah memotivasikan diriku.Terimakasih..bergema dari hati kecilku.
No comments:
Post a Comment