Translate

Friday 31 August 2018

Terimakasih CEO

Tidak pernah terlintas di minda bahawa ini semua akan berlaku. Belum habis misiku bersamanya dalam sebuah transformasi nilai hidup. Aku, dia, mereka dan semua yang duduk di bawah satu bumbung amat terasa malah seakan dilukai.

Kami mempunyai misi yang sama dalam melakukan sebuah transformasi kehidupan ke atas seluruh kakitangan. Misi tersebut diterjemah dengan penuh bersemangat malah mengundang malu pada diriku bila beliau seakan tidak kenal erti letih dan penat dalam menyampaikan segala yang perlu.

Tidak semudah itu untuk aku melantik seseorang dalam memandu hidup dan kehidupan aku...tidak adil pula untukku meletak kriteria idola sehebat Rasulullah SAW. Tetapi setidak-tidaknya beliau harus ada satu aset yang penting dalam kehidupan ini iaitu watak seorang  profesional berlatar belakang Islamik.

Aku tidak mahu yang jumud..yang hanya mencebik bibir kepada dunia tanpa melakukan perubahan dalam hidup..yang hanya melakukan sesuatu bak ''melepas betok di tangga" (ejaannya betok, bukan batuk). Tidak betah pula aku dengan mereka yang berucap tetapi tidak bertindak...Islam retorik namanya tuuuu.

Beliau...kriteria tersebut muncul perlahan-lahan, sedikit demi sedikit...tidak ketara hadirnya tetapi lama kelamaan warnanya semakin terang dan jelas. Beliau mampu mempamerkan apa yang diucap. Watak yang mengimarah Hablumminallah dan Hablumminannas semakin ketara wujud di hadapanku.

Beliau...seorang pemimpin tertinggi syarikat, mampu untuk hadir ke surau berjemaah bersama kakitangan malah pernah mengimami kami dalam solat. Meletak dasar Islamik dalam tampuk pengurusan syarikat. Rutin tahunan di bulan Ramadhan untuk bertahajud seawal jam 3 pagi bersama kakitangan, doa di setiap pagi sebelum memulakan kerja, laungan azan untuk didengar ke seantero bangunan dan Ceramah Perdana bulanan menjadi bukti betapa beliau meletak dasar Islam di hadapan.

'Walk the Talk' ada pada diri beliau. Pembangunan sahsiah dan diri menjadi gegak gempita di eranya. Beliau menolak kehadiran pengikut malah melahirkan ramai ketua-ketua muda yang berpotensi tinggi dalam menerajui syarikat.

Tetapi hari yang tidak sudi untukku tempuhi hadir jua. Beliau tetap akan pergi...pergi meninggalkan sebuah legasi untuk kami meneruskan perjuangan yang belum selesai...itu janjiku.. Insyaallah.

Selamat maju jaya THA!





Nostalgik Merdeka

Seperti tahun-tahun sebelumnya, hari itu aku berpagi dengan hidangan siaran TV yang memaparkan selautan manusia berkumpul di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Seronok melihat kepelbagaian warna-warni pakaian seragam.

Kagum dengan formasi teratur dan penuh disiplin perarakan yang dipamer.

Teruja dengan jentera-jentera pertahanan yang setia mempertahankan Negaraku.

Tetapi yang paling kutunggu-tunggu apabila lintasan jet-jet pejuang memecah gema sunyi pagi di hadapan rumahku...

Seksyen 17, Petaling Jaya 1975.