Translate

Monday 15 October 2018

October Fest Dalam Negara Islam?

1. Kenapa arak diharamkan? Kerana ia mendatangkan mudarat kepada akal dan kesihatan.

2. Ada 5 sebab kenapa syariat Islam diturunkan..salah satu darinya adalah untuk menjaga AKAL.

3. Tujuan syariat:

a. menjaga agama
b. menjaga nyawa
c. menjaga akal
d. menjaga harta
e. menjaga keturunan

4. Akal yang sihat boleh mengimarahkan Islam dan memakmurkan bumi Allah.

5. Islam tidak memaksa manusia untuk anuti agama Islam begitu juga mereka bebas mengamalkan ritual agama, adat, budaya, bebas makan dan minum apa sahaja.

6.  Di Malaysia, mereka bebas minum arak di rumah masing-masing juga di restoran tertutup untuk golongan mereka.

7. Tetapi adalah tidak wajar untuk mereka mempromosi dan menjadikan minuman arak sebagai sebuah pesta di negara Islam seperti Malaysia.

8. Apatah lagi dengan menyediakan beratus jenis jenama arak dan sasaran 6 ribu peserta! 

9. Peserta negara luar berduyun-duyun datang ke Malaysia bagi meraikan pesta mabuk ini. Apa kesannya? Bila semakin ramai pelancong luar masuk, kerajaan akan beri permit dan dimasukkan ke dalam kalendar tahunan Malaysia atas alasan menambah pendapatan sektor pelancongan.

10. Sebab itu kita kena menentang October Fest..pesta arak tahunan yang semakin besar kapasitinya setiap tahun di Malaysia.

11. Kerajaan PH harus bertegas dalam hal ini agar sensitiviti umat Islam tidak terus-terusan dicabar.

12. Cukuplah bala dan peringatan yang Allah beri di Indonesia. Negara yang majoritinya umat Islam tetapi mengamalkan ritual sesat dan syirik di laut..dan amalan seks songsang.

KITA TERBABIT KE? Kita bakal terbabit jika tutup mata melihat maksiat berlaku depan mata!

Bala Allah akan mengenai semua makhluk. Sebab itu..Allah kirimkan 3 Malaikat menyamar sebagai manusia untuk memberitahu Nabi Ibrahim dan Nabi Luth agar keluar dari bandar Sodom..kerana bala Allah akan diturunkan ke atas penduduk yang tak mahu mendengar nasihat dan suruhan Nabi.

Pelik bunyinya bila ada pesta arak di Malaysia. Nampak seperti kita tunduk dengan tekanan minoriti.

Lagi pelik bila Malaysia sebagai sebuah Negara Islam masih menyediakan minuman alkohol di dalam pesawat MH.

Tak kira kerajaan mana yang memerintah... October Fest mesti ditentang!



Saturday 13 October 2018

Aku Pelari Jarak Jauh Tapi...

Remajaku seperti remaja-remaja lain...penuh dengan pengisian aktif . Ye la, hormon-hormon tengah ligat bercambah...macam-macamlah aktiviti yang dirangka dan dicipta.

Aku meminati sukan. Semua sukan asas aku masuk seperti bolasepak, badminton, sepak takraw, bola tampar, hoki dan bola keranjang. Di antara sukan-sukan tersebut, bolasepak merupakan cintaku yang tak dapat dipisahkan...sungguh!

Olahraga? minat gak tapi tak aktif sangat. Yang aku ceburi secara konsisten ialah larian jarak jauh. Larian 400 m, 4 x 400 m lari berganti. Tapi yang paling aku minati adalah marathon.

Kalau larian merentas desa tu...boleh dikatakan aku di antara 5 terbaik di setiap kali memasuki pertandingan tersebut. Konsisten berlari tanpa henti dengan mengekalkan momentum larian, amat-amat mengujakan.

Itu duluuuuuuu...

Sekarang? Aku cuba berlari-lari anak dalam melengkapkan beberapa pusingan Tasik Cempaka...mengah weeeiiii, mencungap aku dibuatnya...hahaaaa!

Nyata...hukum alam telah menepati janjinya dalam melemahkan yang kuat, memburukkan yang lawa, melamakan yang baharu juga mematikan yang hidup!

Hhhmmm...mungkin fizikal aku mulai lemah dalam melawan sunnatullah tetapi aku tak pernah tunduk kepada desakan nafsu untuk duduk berdiam lantas membiarkan sahaja badan dimamah usia dan luluhawa.

Ya betul..tenaga larian jarak jauhku semakin hilang auranya tapi akan ku ganti bersama amalan syariatullah jarak jauh yang konsisten sehingga ke penghujung hayat..Insyaallah.

Momentum amalan syariat harusku kekalkan agar 'hari' yang dirahsiakan kehadirannya dapat ku hadapi dengan lebih bersedia.. Insyaallah.

Betul..aku merupakan pelari jarak jauh suatu waktu dahulu tetapi dapatkah aku melarikan diri dari maut yang tak pernah menjauh dariku..

Bersediakah aku?



Monday 8 October 2018

Gadis, 7E dan Arak

Baru-baru ini berlaku kejadian di kedai serbaneka 7Eleven di mana seorang gadis enggan memegang botol arak untuk dikira harganya yang mahu dibeli oleh pelanggan India. Video tersebut telah ditularkan yang diambil sendiri oleh pelanggan terbabit.

Apa isunya? Tentulah rasa tidak puas hati pelanggan terhadap juruwang yang tidak memberi perkhidmatan yang sewajarnya.

Betul ke tindakan juruwang Melayu tu? Secara asas, memang betullah tindakannya mempertahankan sekelumit iman untuk mengelak dari memegang produk haram tersebut.

Tetapi penulis percaya bahawa gadis tersebut tahu bahawa premis di tempat kerjanya memang menjual arak. Sebagai juruwang, tentu dia sedar akan peranannya untuk mengira apa sahaja produk yang mahu dibeli oleh pelanggan, tidak terkecuali arak!

Bagi penulis, jika sudah tahu dan tidak mahu terlibat dengan jual beli arak, seharusnya gadis tersebut tidak memilih kerjayanya di kedai 7 Eleven.

Eerrmmm tetapi itu telahan logik akal penulis sahaja. Mungkin gadis tersebut mempunyai justifikasi sendiri..entahlah.

Penerbangan Malaysia sendiri memang menyediakan minuman alkohol secara percuma ke destinasi jauh untuk pelanggan yang yang bukan Islam. Anak-anak kapal yang Muslim sudah sedia maklum akan perkara tersebut.

Jika tidak mahu terlibat, elakkan dari menerima kerjaya glamor tersebut. Tetapi apabila sudah menerimanya, terpaksalah minuman tersebut dipegang, dituang dan disuakan kepada pelanggan..bukan begitu?

Tidak pula aku bertemu situasi keengganan anak-anak kapal untuk menuruti SOP tersebut...tidak pernah berlaku kekecohan di dalam pesawat sepanjang aku bermusafir.

Segalanya terpulang kepada diri sendiri. Iman diletak seawal membuat keputusan atas sesuatu perkara berbanding di pertengahan kerjaya kerana jika surat tawaran sudah ditandatangani bermakna akad kerjaya sudah diterima maka kita bakal tertakluk kepada apa sahaja peraturan dan 'Job Description' bidang tugas tersebut.

Menurut sebuah hadis, jika kita tidak mampu mengubah sesuatu perkara maksiat dengan 'tangan' (kuasa), ubahlah dengan 'mulut' (tegur). Jika tidak mampu juga..ubahlah dengan 'hati' (tidak redha). Itulah selemah-lemah iman.

Maksud tidak redha...kita tinggalkan sesuatu perkara dan jangan dituruti!

Tetapi jika sudah menceburinya..harus tanggung sendiri kerana pilihan itu adalah pilihan sendiri!

Sekali lagi, penulis tidak tahu latar belakang gadis tersebut. Mungkin dia ada alasan tersendiri yang tidak kita ketahui. 

Wallahua'lam.



Sunday 7 October 2018

Cabaran Mujahid

Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Menteri Agama kerajaan Malaysia baharu sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang didakwa disalah tafsir oleh pengamal media. 

Kenyataan beliau yang terkini berkenaan isu khalwat dan maksiat di kediaman peribadi yang tidak lagi menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membenterasnya. Salah tafsir oleh The Star!

Tidak layak untuk aku berkomentar menganalisis kenyataan tersebut kerana hanya beliau dan pengamal media sahaja yang tahu naratifnya.

Hanya aku berpendapat, jika betulpun nak kawal maksiat menggunapakai method baharu iaitu yang lebih berhemah, tidak perlu kepada kenyataan awam. Menteri arahkan sahaja Majlis mahupun jabatan agama untuk melaksanakannya.

Orang awam takkan faham. Sudahnya keluar komen caca marba dan ikut emosi..tidak berilmiah langsung.

Dengan sedikit ilmu yang dimiliki, aku faham tindakan dan method baharu yang cuba diperkenalkan oleh Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Islam merupakan agama yang amat menjaga peribadi seseorang. Hujah Menteri tu betul, atas kapasiti Islam bukan agama mencari dan mengintip-intip aib orang.

Cara cegah maksiat dengan diiringi media massa dan dipertonton kepada masyarakat, adalah sesuatu yang terkeluar dari landasan Islam dan wilayah peribadi seseorang...mengaibkan.

Mereka yang melakukan maksiat secara sembunyi masih ada rasa malu dan tidak dilakukan di tempat awam..apatah lagi untuk berbangga-bangga menayang maksiat. 

Maksiat awam yang perlu diambil tindakan adalah seperti pesta arak di hotel dan di premis-premis awam, pesta mandi buih di hotel dan program membuka aurat di pantai awam. Islam mengajar mencegah dan menghukum pada apa yang nampak jelas di hadapan mata.

Diambil contoh isu lgbt..harus dicegah apabila berlaku terang-terangan untuk mereka mahu menubuh persatuan dan mula menuntut hak eksklusif golongan mereka.

Berlaku di zaman Saiyidina Umar sewaktu menjadi khalifah, baginda pernah mengintip sebuah rumah yg disyaki penghuninya minum arak dan mabuk.

Apabila penghuni rumah dipanggil utk penjelasan, baginda ditegur kerana mengintip apa yang berlaku di dalam rumah..cara tersebut tidak pernah dilakukan di zaman Rasulullah. Saiyidina Umar akur!

Mengambil cadangan dari Mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin:-

1. Pemberi maklumat hendaklah mereka yang nampak jelas maksiat berlaku seperti terserempak berdua-duan masuk ke bilik hotel...bukan mengekori dan mengintip-intip pergerakan pelaku maksiat.

2. Operasi pencegahan itu pula tidak boleh hanya berasakan 'tajassus' (mengintip) dan syak wasangka. Mengetuk pintu ke pintu dan memecah premis atas laporan yang tidak sahih adalah dilarang.

3.  Tidak boleh dedahkan maksiat kepada umum melainkan untuk tujuan penghakiman. Tidak perlu pendedahan media massa dan internet kerana bakal mengaibkan sipelaku maksiat yang mungkin sudah bertaubat.

4. Tidak boleh menuduh orang yang berkhalwat itu berzina selagi tiada 4 orang saksi yang boleh dipercayai.

Islam tertegak bersama fakta..bukan auta.
Islam berdiri dengan segala kelengkapan isi..bukan emosi.

Begitu indah sebenarnya Islam, malangnya dikotori mereka yang tidak berhemah dalam melaksanakannya!

Saturday 6 October 2018

DIY dan Dia

Leka benar aku bertebaran di dalam premis kedai yang popular...DIY. Ke hulu ke hilir mencari sesuatu. Lepas satu lorong ke satu lorong yang lain.

Masuk aku ke satu laluan yang penuh dengan peralatan-peralatan pertukangan. Terlihat seorang yang agak berumur terbongkok-bongkok mencari sesuatu. Dari sosok tubuh, kukira beliau dalam lingkungan umur 70 tahun lebih. Di tangannya ada beberapa peralatan yang sudah dipilih.

Berselisih denganku sewaktu mahu meninggalkan laluan tersebut, beliau berjalan sambil membongkokkan badan tanda hormat.

Aaiiihhhhh...seorang tua tunduk hormat melintasi seseorang yang muda darinya. Pelik aku! Siapa Dia?

Tiba-tiba melintas di fikiran, sempat ke pakcik tu nak bertukang dengan segenggam peralatan yang dibelinya? Aku kaitkan pula dengan diriku...berapa baki umurku yang yang tinggal dan sempatkah aku menggunapakainya selepas aku membeli beberapa barangan keperluan di DIY?

Siapa pakcik tu? Mengapa fikiranku terarah kepada kematian selepas bertembung dengan pakcik tu? Aaahhhhh misteri betul enigma ini!