Translate

Thursday 30 July 2015

Selamat Malam Mak

29 hb Julai 2015 @ jam 2230.

Tiba giliran aku untuk menjaga mak di hospital. Sejak dimasukkan ke IJN, sudah 5 malam anak-anak mak menggiliri tidur di kerusi bersebelahan katil mak. Giliranku jatuh di malam ke 6. Jika masih berlarutan untuk mak mendiami hospital, genaplah putaran 7 pusingan bersama 7 orang adik-beradik menjaga mak.

Petang tadi mak menjalani proses 'angio' iaitu proses memasukkan sejenis cecair ke dalam salur darah menerusi lengan hingga ke jantung. Ianya bagi mengenal pasti punca jantung mak lemah. Jika perlu, proses memasukkan belon akan dilakukan untuk melancarkan saluran darah mak.

Alhamdulillah, salur darah mak tidak berdepan situasi kritikal...cuma sedikit sempit dan bekalan ubat yang dimakan sudah cukup untuk melebarkannya. Terdahulu mak mengadu sakit sewaktu proses memasukkan jarum dilakukan di lengan sehingga mak sedikit menjerit.

30 hb Julai 2015 @ jam 0015. 

Mak lena sehingga sedikit mendengkur. Agaknya melepas letih dalam mengharungi proses 'angio' semalam.

Aku di sisi merenung wajah mak. Itulah wajah yang paling agung yang menjaga kami anak-anaknya tanpa sepicingpun merungut. 3 hari lepas sewaktu aku melawat mak, mak berkongsi cerita denganku bahawa ada ketikanya sewaktu anak-anak mak kecil berderet...mak hilang daya untuk mengendalikan kami...letih katanya. Sehingga terdetik di hati mak untuk masuk hospital dan berehat sepuasnya!


Pada detik ini mak di sisiku. Mak memang berehat semahunya. Dengkuran mak menyerlah puas bahawa mak sedang menikmati sisa-sisa hidup dengan rehat yang cukup. 

Sanggup aku untuk berjaga sepanjang malam demi melihat tidur mak tidak terganggu.

Selamat malam mak...



Sunday 26 July 2015

Dugaan Syawal

Telah aku berkongsi cerita tentang ibu mertuaku yang diserang 'stroke' sehari sebelum menyambut Hari Raya (baca artikel 'Taqabbalallahu Minna Waminkum'). Alhamdulillah...adik-adik ipar dan biras semuanya memain peranan dalam bergilir menjaga ibu. Bukan setakat menjaga ibu, mereka juga memasak untuk bekalan bapa mertua. Biasalah...orang dulu-dulu makan dilayan dan berhidang. Mereka tidak ke dapur untuk memasak walau hanya menggoreng telur.

8 Syawal, keluargaku pula menerima tempias. Ibuku yang berpenyakit jantung tampak semakin lemah dan dimasukkan ke IJN. Oohhh...aku dan isteri harus berbahagi masa dalam mengambil giliran menjaga ibu masing-masing. Berkejaranlah hidup kami...nak tergelak pun ada! 

Sekali lagi aku memanjat rasa syukur kerana adik-beradik aku tidak berkira dalam menterjemah tanggungjawab menjaga ibu. Pendek kata...ibu tidak sunyi dengan kehadiran anak-anak di sisi.

Ibu masih di hospital. Penggiliran menjaga ibu pada waktu malam sudah dinamai. Giliran aku pada 29 hb Julai. Teringat kembali nostalgia menjaga arwah ayah di hospital...al Fatihah.


Monolog di Kedai Gunting

Hari itu hari minggu. Sebelum menghantar anakku ke asrama, kubawa ke kedai gunting rambut bagi melengkapkan kekemasan dirinya. Kujeling senarai harga yang dipamer untuk perkhidmatan yang disediakan di kedai India tersebut.

1. Gunting rambut dewasa RM10
2. Gunting rambut bawah 18 tahun RM7
3. Gunting rambut bawah 12 tahun RM6

Errmmmm...aku menerobos logik minda sendiri. Mengapa perkhidmatan untuk orang dewasa lebih mahal dari remaja bawah 18 tahun? Mengikut senario semasa, rambut orang dewasa di alaf sekarang lebih menipis. Jadinya tenaga dan masa untuk menggunting rambut kategori dewasa tidak melebihi perkhidmatan untuk kategori remaja yang rambut mereka lebih tebal dan kekadang berfesyen jadinya atas permintaan remaja tersebut. Mahu sahaja aku bertanya mereka...bukan untuk mempertikai tetapi lebih kepada sebuah jawapan bagi kepuasan sendiri. Disebabkan ramai pelanggan lain, kumatikan begitu sahaja monolog diri.


Dalam menunggu, hadir seorang lelaki disekitar usia 50an meminta di 'trim' misainya sahaja. Selesai sudah, lelaki itu ingin membayar tetapi pekerja India itu tidak mahu mengambil bayaran...oohhh strategi berniaga yang amat baik bagi menarik dan mengekalkan pelanggan.

Satu lagi strategi 'menjadi' yang membuat kami penduduk Melayu tertarik. Dipamer gambar-gambar pemerintah negeri dan negara di pintu masuk...simboliknya mereka akur dan melahir rasa taat setia kepada pemerintah Malaysia. Inilah Malaysiaku...


Dengan pakaian seragam putih ala doktor dan kekemasan kedai yang nampak teratur, tidak hairanlah bila aku selalu ketinggalan untuk menjadi pelanggan tetapnya...kerana aku malas beratur panjang menunggu...ermmmm.

Tuesday 21 July 2015

Low Yat Punya Cerita...



A: "Jom boikot Low Yat sampai tutup". 

B: "Mungkin berhasil tapi apa objektifnya?"

A: "Supaya peniaga Cina gulung tikar!"

B: "Kat mana plak kita nak cari gajet? 

A: "Kat tempat lain banyak la!"

B: "Sape yang jual kat tempat lain tu...bukan peniaga Cina gak ke?"

A: "Errkkk..."

B: "Camni la bro...objektif kena betul. Kalo stakat nak ambush Low Yat, bermakna kita masih terdedah dengan penipuan kat tempat lain. Sebab apa? Sebab 'gadget trading' ni dikuasai oleh kaum mereka. Kesatuan mereka akan bantu untuk stabilkan apa yang patut. Mereka boleh sepakat untuk turunkan harga bagi menarik balik pelanggan".

"Lebih baik susunkan dulu strategi untuk kaum kita masuk pasaran perniagaan gajet. NGO kita banyak...bincang dan cari jalan untuk pecahkan dominasi mereka. Baru la ada persaingan dan boleh elak penipuan kaum lain ke atas kita".

"Biasanya isu-isu cam gini hangat-hangat tahi ayam je la. Esok nampak harga gajet murah...caaaiiiirrŕ sumeerrrr!!!"

"Nak bertindak biar ada matlamat bro!"

A: "Ererrkk..errkkk. Memang la aku tengah tunggu harga henpon turun niii...erkkkk"

B: "Pulaaaaaakkkkk..."



Saturday 18 July 2015

Ibadah Syawal

Alhamdulillah di atas rahmat dan nikmat yang dianugerahkan kepada umat Islam dalam merai hari kemenangan...Hari Raya Aidilfitri. Nikmat makan, minum dan segala yang diharamkan di bulan Ramadhan telah dibenarkan kembali tanpa halangan. Malah diharamkan pula kita berpuasa pada 1 Syawal bagi menekankan lagi betapa kemenangan tersebut wajib disambut oleh seluruh umat Islam.

Selepas melepasi Ramadhan dan bergembira di 1 Syawal, Allah tawarkan lagi peluang untuk kita menambah amal iaitu dengan berpuasa sunat Syawal sejumlah 6 hari. Amalan tersebut boleh dilakukan berterusan mahupun berselang-seli menurut keselesaan kita di sepanjang bulan Syawal.

Pendapat mengatakan boleh untuk disatukan niat puasa qada bersama puasa sunat Syawal tetapi yang paling afdhal adalah mengasingkannya kerana puasa qada adalah wajib, sementara puasa di bulan Syawal hanyalah bertaraf sunat. Ermmm...tidak kiralah apa statusnya, terpulang kepada yang empunya diri. Apa yang penting adalah kita imarahkan puasa sunat Syawal tersebut.

Bagaimana dengan seseorang yang ingin memulai puasa sunat Syawal di hari raya kedua ataupun di awal bulan Syawal. Ermmm...untuk mengupasnya sila lihat hadis di bawah:

"Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah S.A.W maka Baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata "aku berpuasa". Rasulullah S.A.W pun bersabda, "Saudara kamu telah menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu". Kemudian Baginda berkata kepada lelaki itu, "Bukalah puasa dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti, jika mahu". Hadis riwayat al Baihaqi dalam al Sunan al Kubra dinilai hasan oleh al Hafiz ibn Hajar dalam Fath al Bari.

Dalam riwayat lain oleh al Tabarani dalam al Ausad, Baginda mengkritik lelaki tersebut dengan bersabda: "Saudara kamu telah menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu kemudian kamu berkata "aku berpuasa!".

Jadi di sini jelas Rasulullah amat mementingkan hubungan sesama manusia yang mana ia patut diambil kira bilamana berlaku pertembungan di antara amalan sunat dan peradaban manusia.

Dengan ilmu, amalan bisa menjadi molek dan mantap...Wallahua'lam


Taqabbalallahu Minna Waminkum

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah Ilhamd.

1. Syawal bertandang lagi petanda ikatan syaitan terlerai. Mereka yang dilimpahi rahmat taqwa akan terhindar dari tipu daya iblis. Berlainan pula bagi mereka yang merasa lega dengan berakhirnya Ramadhan. Ramadhan hanya tinggal Ramadhan...mereka akan mengamal kembali rutin lama tanpa betah mahu berubah.

2. Tahun ini giliran aku beraya di rimba batu...Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Populasi kota metropolitan ini sudah berubah wajah...warga asing semakin mendominasi suasana. Solat Hari Raya di masjidpun bersesak-sesak dengan warganegara antarabangsa. Terasa bagai merantau di negara orang.




Masjid Jamek Kampung Bharu sudah berubah wajah. Dahulu berlaku penambahan bangunan di bahagian kiri, kanan dan belakang bangunan asal. Tetapi sekarang keseluruhan bangunan lama telah diroboh bagi pembinaan sebuah bangunan yang serba-serbinya baharu. Ruang utama solat berhawa dingin bersama tiga buah kipas gergasi. Keseluruhan bangunan masjid boleh menampung kira-kira 7000 jemaah pada satu-satu masa.







3. Hari Raya tahun ini juga keluarga isteriku diuji dengan nikmat kesihatan. Ibu mertuaku mendapat serangan 'stroke' yang mengakibatkan tubuh di bahagian kanannya lemah. Di usia 75 tahun, memang menjadi adat bila hukum alam menjengah. Kesihatan makin merosot juga tenaga semakin berkurang. Kita yang sihat inilah yang harus mengepalai apa yang patut di'kepala'kan. Yang pasti, keceriaan berhari raya tidak semeriah dahulu. Banyak perkara yang dirancang awal terpaksa diubah bagi diselaraskan dengan penjagaan ibu. Kami pasrah dan redha...



4. Itu semua tidak lebih merisaukan aku. Hanya yang terfikir di minda, adakah amalanku di sepanjang Ramadhan berbekas di hati untuk kuteruskan di bulan-bulan seterusnya...entahlah.

5. Di Hari Raya kedua aku membuat keputusan yang kurang popular...aku arahkan isteri dan anak perempuanku untuk terus berada di sisi ibu bagi menjaga segala keperluannya. Aku tidak mampu membayangkan keharu-biruan situasi sekira-kira aku terus membawa kesemua ahli keluargaku untuk beraya bersama keluargaku pula di kampung (walau kuasa berada di tanganku). Dua orang anak lelaki mengikutku untuk melunaskan misi Hari Raya di Beranang. Sekali lagi kukorbankan apa yang menjadi milikku demi sebuah syari'at.

6. Sg Jai, Beranang - Berkebetulan kami seramai 7 orang adik beradik dapat berkumpul serentak. Inilah kelebihan dan kehijauan kampung. Tanah begitu lapang untuk memakir kereta dan keluasan saiz rumah memberi kami pilihan untuk beradu di sudut-sudut tertentu. Kesepakatan kami telah lebih menceriakan lagi keadaan. Alhamdulillah...suatu nikmat yang tiada nilai untuk ditukar ganti.




Posing di hari raya ke 3

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillah Ilhamd.

Monday 13 July 2015

Mencari Damai

Lahir aku di sebuah perkampungan yang jauh dari hiruk-pikuk kota. Di sekitar tahun 60an, tidak banyak keperluan asas yang dimilki penduduk kampung. Letrik dan air adalah keperluan terpilih...hanya mereka yang mampu sahaja yang akan memohon untuk disambung ke teratak masing-masing. Selebihnya mereka akan bergantung kepada air sungai dan pelita minyak bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Kampung Sungai Jai yang terletak di Beranang, Selangor hanya tidak lebih dari dua kilometer untuk memasuki sempadan Negeri Sembilan. Biasalah...jika jarak geografi hanya sepelaung, pengaruh negeri jiran akan jelas kelihatan.

Aku boleh berbahasa 'nogori' dengan baik. Aku boleh hilang selera makan jika tiada masakan pedas. Aku juga senang mendengar alunan lagu dialek 'Minang'. Itulah pengaruh sempadan yang menjajah jiwa penduduk Beranang dan sekitarnya.

Sebetulnya aku hanya dilahirkan di persekitaran kampung tetapi tidak menetap di sana. Kehidupanku adalah di bandar...Petaling Jaya. Baru sekarang aku terasa bertuah kerana sewaktu kecil terutamanya pada cuti sekolah, bapaku sering berziarah ke kampung....agaknya untuk memberi peluang anak-anaknya merasa sendiri nikmat membuat pistol dan senapang dari kayu, merasa membanting padi di sawah, mandi sungai dan menangkap ikan, memburu pepatung, membela ikan laga juga bermain congkak dengan membuat lubang di atas tanah bersama biji pokok getah sebagai buahnya.

Sayang...nikmat itu semakin pupus untukku kongsi dengan anak-anakku pula. Tiada lagi semangat 'survival' di kampung. Tiada lagi idea kreatif dalam mencipta permainan bermusim. Sungai di belakang teratak juga semakin dikambus tanah dan bersemak. Tanah sawah sudah hilang batas diganti dengan binaan rumah.

Tetapi...kampung itu tetap hidup di jiwaku. Rumah di kampung yang dahulunya dibina hanya sebagai tempat persinggahan, sudah menjadi kediaman tetap ibuku setelah pemergian ayah. Dari ukuran sekangkang kera bersama hanya sebuah bilik tidur dan bilik air, sekarang sudah semakin luas dengan jumlah empat bilik tidur. Ditambah dengan binaan musolla di bahagian hadapan rumah agar mudah untuk kami solat berjemaah disaat ramai anak cucu balik berkumpul.




Pokok rambutan, langsat, betik dan manggis masih sudi memberi hasil. Begitu juga pokok limau dan jering. Kelibat ayam itik masih galak mematuk-matuk landskap bumi bagi mengesahkan simpulan bahasa 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.




Kampungku...entah sampai bila untuk kau bertahan dengan ledakan kemajuan dunia yang semakin meminggir kehadiranmu. Entah kedengaran atau tidak, bunyi siulan burung, katak dan cengkerik menemani malam yang semakin larut.

Kampungku...walau apa sahaja yang bakal terjadi ke atasmu, aku di sini layak menjadi saksi bahawa kau pernah mendidikku untuk bercinta dengan alam. Di situ adanya sebuah damai...




Monday 6 July 2015

Menunduk Ego

Imam Ghazali dalam kitab karangannya Ihya' Ulumuddin, menggariskan sifat manusia yang terbahagi kepada 4.

1. Sifat Malaikat - manusia boleh jadi lebih mulia dari Malaikat kerana berjaya melawan nafsu.

2. Sifat iblis - manusia mewarisi sifat iblis dengan selalu mengadu domba, berdengki khianat, sombong dan bongkak.

3. Sifat anjing - manusia boleh memakai topeng anjing yang rakus menyambar dan menerkam mangsa...juga tidak pernah puas dengan apa yang ada dengan sentiasa menjelir lidah.

4. Sifat babi - manusia bisa berbuat sesuka hati tanpa memikir halal haram sesuatu perkara.

Aku berfokus kepada sifat iblis yang sering kita tewas bila diuji...sifat sombong dan bongkak bila berada di kedudukan yang tinggi dan dihormati. Iblis menjadi sombong kerana perbandingan api dan tanah yang dijadikan percaturan sebuah kemuliaan.

Justeru bagaimana mahu menunduk ego diri agar kebersamaan kita bersama kakitangan bawahan atau rakyat biasa dapat diterjemah.

Cuba tips ini (yang diajar oleh guruku)...

Jika dirumah kita selalu membasuh bilik air dan tandas agar kelihatan segar dan bersih...itu merupakan satu permulaan yang baik.

Sekarang kita praktis dan paksa diri untuk basuh tandas awam atau tandas di pejabat yang mahu kita gunakan. Bila melangkah masuk ke tandas, jirus keseluruhan lantai melalui semburan air. Semburkan air ke atas najis-najis yang melekat dan air kencing yang berbau...sehingga najis tertanggal dan bau hancing hilang.

Selepas bersih, kita gunakanlah untuk melepas hajat sendiri. Sebelum meninggalkan tandas tersebut, pastikan ia bersih sepertimana yang kita basuh sebentar tadi.

Inilah di antara praktis Ulama' dan mereka yang berjaya memotivasikan diri...dengan meletak diri di kedudukan rendah seperti tukang cuci. Insyaallah...hilang ego diri dan kita akan lebih menghormati sesiapa sahaja tidak mengira pangkat dan kedudukan.

Tetapi sekiranya selepas membasuh tandas masih tidak berubah sikap ego itu, sujudlah lama-lama selepas solat sunat berseorangan. Kepala yang diposisikan di serendah-rendah tempat mungkin boleh membantu membuang ego diri.

Jika ego masih persis merajai hati, banyakkan bertaubat dan bergaullah bersama mereka yang miskin dan melarat.

Jika masih gagal menanganinya, tinggalkanlah segala harta dunia, pangkat dan kedudukan yang menatijahkan ego itu...kerana hakikatnya dirimu bakal dicampak ke neraka bersama iblis atas sifat sombong yang menghalangmu mencium wangian Jannah!

Fikir...



Sunday 5 July 2015

Jangan Benci Mendominasi Diri

Iklim politik di Malaysia semakin berliku, penuh onak, banyak ranjau dan serpihan kaca merata. Hendak melalui denai itu harus lebih berhati-hati takut tersadung kaki jatuh tersungkur diiringi gelak tawa keliling.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib sudah menjadi liabiliti kepada barisan kerajaan. Isu paling mantap yang menjadi lauk pauk pembangkang adalah 1MDB. Lebih parah berdarah dengan penangan Tun Mahathir yang mengisytiharkan tidak menyokong PM lagi.

Rentetan dari siri-siri serangan, wujud sekian banyak kata-kata celaan, caci-maki juga tonasi kesat lemparan rakyat kebanyakan. Penghinaan itu sering kulihat di ruangan komen akhbar-akhbar harian 'online' juga melalui 'website blogger'. Tak tergamak untuk aku sertakan ayat-ayat panahan petir dari mereka yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan.

Bukan setakat PM, barisan menteri juga menjadi mangsa lidah dan mata pena 'netters'. Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Seri Ahmad Shaberi Cheek semakin populis dek mengendalikan jabatan yang semakin menghakis hormat rakyat.

Aku memerhati dari kejauhan. Maksud 'jauh' ialah aku sangat-sangat tidak berkenan dan tidak harus mendekati spesis mereka yang penuh karat dan keladak. Benci mendominasi diri...berkata dan mengarang ayat selayak tiada langsung menerima pendidikan sivik.

Rukun Iman kelima 'Percaya Kepada Hari Kiamat' yang akan mengadili setiap inci pergerakan manusia, tidak diendah. 'Kesopanan dan Kesusilaan' yang tertera di dalam Rukun Negara tidak pernah dihayati.

Mahu jadi apa Melayu ku yang semakin layu. Mengapa mudah sangat tercuit emosi dengan percikan api provokasi. Di mana rasional dan kematangan Melayu mendepani masalah?

Sejujurnya, aku juga di posisi yang semakin terhakis keyakinan melihat perjalanan pentadbiran kerajaan yang semakin menjerut kuasa beli rakyat...di masa yang setara, mereka yang memegang amanah semakin rancak menikmati segala kemudahan dan kemewahan dari hasil cukai.

Tetapi rasa ketidakpuasahan hati itu kupendam untuk kuasa rakyat mengambil tempat dalam menentukan siapa yang layak mentadbir negara. Apa hasilnya untuk aku mengutuk dan mencerca mereka? Ianya tidak lebih dari hanya menambah karat dan keladak dalam hati.

Menegur harus ada etikanya agar apa yang ingin disampaikan bisa mendapat tempat di hati yang membaca mahupun mendengar. Menegur harus disulami rasa hormat dan sayang terhadap sesama manusia apatah lagi bersama mereka yang menganut agama yang sama, Tuhan yang sama dan kepercayaan yang sama.

Ingat...apa yang terlontar dari lidah dan tercatat melalui mata pena mahupun dari papan kekunci, mencermin peribadi empunya diri. Itulah diri kita yang lahir dari generasi sebelumnya!

Aku mula risau...Melayu semakin berpecah dan berpuak dikala bangsa-bangsa lain menuju asimilasi. Jangan pula nanti 'menang sorak kampung tergadai'.

Dari aku...buat aku...sedarkan aku!


Saturday 4 July 2015

Apa Yang Kurasa

Kemarau panjang melanda. Solat Istisqa' dipohon untuk menurunkan hujan oleh 70,000 penduduk beserta Nabi Musa tetapi tidak diperkenan olehNYA.

Salah seorang harus dikeluarkan dari kumpulan pendoa atas dosa-dosa berterusan 'seseorang'...firman Allah kepada Nabi Musa.

Aneh...hujan lebat turun mencurah yang membuat Nabi Musa tertanya-tanya...kerana 'seseorang' itu tidak mengisytihar dirinya.

Rupanya sipendosa telah bertaubat dan Allah terima taubatnya di waktu tersebut. Malah Allah tutup aibnya dengan tidak menghebah dirinya di mata umum.

Dengan sekian banyak bala dan malapetaka berlaku di negara tercinta ini...apakah sipendosa tidak mahu bertaubat? Atau adakah mereka berasa tidak berdosa langsung atas beban yang ditanggung rakyat?

Jangan nanti kemarau melanda dengan tidak bersisa setitik air bertahun-tahun (kesan dari harta kerajaan hanya berlegar di kelompok mereka - rujuk hadis) baru mahu bertaubat!


Friday 3 July 2015

Aku, Mereka dan Waktu

Di akhir zaman ini waktu menjadi amat tidak menentu. Kecepatan waktu berlari pecut bisa meninggalkan sesiapa sahaja yang leka tanpa peka kepada persekitaran.

Tidak terlepas diri ini. Sedar tak sedar, usiaku hampir meniti separuh abad...gila rasanya dengan putaran jarum jam yang berdetik tanpa menoleh sepicing ke belakang!

Dihangatkan lagi dengan penciptaan alatan yang mendekatkan jarak perjalanan dan perhubungan sesama manusia. Teknologi mempertemukan aku bersama rakan-rakan di usia remaja. Tingkatan 3, tingkatan 4 dan 5 juga di tingkatan 6. Bertingkat-tingkat kawan-kawan menegurku di alam maya.

Ermmm...aku ni pula jarang bersosial tetapi bukanlah pula anti sosial. Cuma bila dah berkeluarga ni, masaku banyak dihakis oleh tanggungjawab yang menuntut komitmen jitu terhadap tanggunganku. Ditambah dengan tuntutan kerja yang memerlukan aku bermusafir ke utara, selatan, timur dan barat.

Pernah sekali aku berkumpul bersama rakan-rakan tingkatan 5. Mereka agak terperanjat melihat karekter aku yang bagi mereka berubah ke pusingan 360'...hahahaaa. Ye la, dulu aku amat pendiam dan tak bercampur sangat dengan pelajar perempuan. Sekarang nampak aku sudah galak mengusik-ngusik mereka bila bertemu...mana tak terperanjat! Hahahaaa...

Hari itu...dalam kesempatan yang ada, aku luangkan masa bertemu rakan-rakan seperjuangan di tingkatan 6. Kami bertemu di Senawang. Pertemuan julung kali yang hanya dihadiri oleh 'kaum bapa'. Mesra...jelas, waktu yang memisahkan kami menghadirkan sebuah kematangan dalam perbualan.

Masing-masing dengan kerjaya yang berbeza. Yang berpangkat 'Nazir', perguruan, jururawat, di arena Banking, di Dewan Bahasa dan Pustaka, yang berjaya di bidang perniagaan. Ada juga yang merantau ke UK menjangkau ke usia 10 tahun, ada pula yang pulang ke negara asal Brunei, Sabah dan Sarawak untuk menabur bakti kepada anak tempatan...dan pelbagai lagi kerjaya yang mengangkat martabat Melayu.

Dalam ber 'WhatsApp', mereka mengirim foto-foto pada siri pertemuan (tanpa kehadiranku). Nampak fizikal mereka tidak banyak berubah. Agaknya hukum alam berasa malu untuk merubah postur kerangka jua wajah mereka. Itulah natijah untuk orang baik-baik seperti mereka.



Dalam bilangan ramai itu, terdapat seorang dari mereka yang agak menonjol. Dia meletak usaha mengumpulkan kami yang terpisah di sempadan geografi. Selalu ke hadapan dalam menyelesaikan bil-bil makan minum di setiap pertemuan...pemurah dan tidak berkira tentang wang ringgit. Boleh kukira paling aktif meletak bahan dan berbual di platform maya.

Dia dikira berjaya di bidang perniagaan (syarikat perkapalan) yang berpengkalan di Pelabuhan Klang. Kemewahan yang dikecapinya lebih menundukkan hatinya tanpa mendabik dada.

Baru-baru ini, mereka telah menubuhkan satu tabung bantuan untuk apa jua malapetaka yang menimpa rakyat Malaysia khususnya. Satu usaha murni untuk berpeluang menyalur infak kepada mereka yang memerlukan. Terdahulu, mereka telah berlepas ke Kelantan untuk misi bantuan banjir di sana...hebat usaha mereka!

Putaran alam bakal mempertemu jua memisahkan kami. Entah bila lagi pertemuan dapat diatur dalam melebarkan lagi peranan dan misi yang dirangka. Walau kesempatan itu sukar untuk kupenuhi, tetapi peluang untuk bersama mereka di alam maya tetap akan kucuri-curi pandang..agar aku tidak menjeruk rasa berseorangan.

Terimakasih sahabat...