Translate

Saturday 27 July 2013

Makanan dan Neraka

Sedari kecil kita telah diajar untuk mengucap 'Bismillah' sebelum memasukkan makanan ke dalam mulut. Ayat 'dengan nama Allah' itu amat sinonim dan telah menjadi darah daging kita melangkaui beberapa generasi.


Ya...memang itu yang diajar oleh Baginda Rasulullah SAW. Selain memulai dengan kalimah itu, terdapat doa khusus yang juga diwariskan oleh Kekasih Allah kepada umat Islam.

'Allahumma bariklana fii ma razaktana waqina 'azabannar'. Tanyalah anak-anak kita yang belajar seawalnya di tadika, pasti mereka hafal siap dengan terjemahannya sekali. Apakah kita sebagai ibubapa faham dengan makna ayat makan itu? Jika faham, adakah kita prihatin dengan maknanya?

Terjemahannya berbunyi, 'Ya Allah, Engkau berkatilah rezeki kami dan jauhkan kami dari azab api neraka'. Meminta rezeki yang berkat itu adalah biasa tetapi apa kaitan rezeki itu dengan api neraka?

Di sinilah timbul dari mana datangnya sumber makanan. Islam amat menitikberatkan punca dan sumber kepada segala sesuatu yang kita lakukan. Jika permulaannya baik, Insyaallah yang seterusnya akan berlaku baik...begitu juga sebaliknya.

Contoh:-

1. Seseorang yang suka berderma tetapi sumber pendapatannya datang dari hasil penipuan di dalam perniagaan - tertolak sedekahnya kerana sumbernya menipu.

2. Seseorang yang melakukan pembohongan dalam memanipulasi sijil-sijil akademik demi menempa nama di pentas terpelajar - sumber pendapatan itu selamanya haram kerana penipuannya.

3. Seseorang yang menggunakan profesion profesionalnya dengan mencadangkan perubatan yang tidak perlu kepada pesakit - cadangannya hanya untuk meraih keuntungan berganda yang bersumber penipuan.

Segala contoh di atas bakal menatijahkan bakaran api neraka apabila ditukarkan kepada makanan yang kita makan...sumbernya!

Setiap suapan bersumber yang haram pasti tidak akan diterima amalannya. Lihat...betapa Islam itu hadir bersama keadilan total. Apa sahaja yang datangnya dari sumber negatif akan pasti tertolak walau disertai niat baik.

Jadi, itulah kaitannya doa di atas. Doa makan beserta meminta perlindungan dari bakaran api neraka. 

Janganlah ber retorik...maksudnya kita baca doa makan tersebut tetapi di waktu sama, kita tak pernah ambil pusing sumber rezeki yang dibawa pulang.

Fahami dan hayati makna doa tersebut agar dapat kita hindari diri dan keluarga dari sambaran api neraka.


Monday 22 July 2013

Syirik Yang Tersembunyi

Disebut suatu hari aku menghadiri sebuah majlis kenduri pernikahan. Sementara mempelai dalam proses diijabkabul oleh Tuan Imam di dalam rumah, kami saudara mara berkumpul di luar rumah berbual-bual kosong. Ye lah, jika tidak kerana kenduri-kendara ni, susah untuk kami bersua muka.

Lepas satu topik ke satu topik perbincangan kami mengembara. Sehinggalah aku agak terkesima dibuatnya dengan penjelasan seseorang yang agak pertengahan umurnya.

Pekerjaannya biasa-biasa sahaja. Bagi menampung perbelanjaan, dia galak menjual produk untuk sedikit komisyen. Penapis air, alat sekuriti kereta dan rumah, barangan harian rumah, minyak urut dan urat (nasib baik tiada minyak untuk mengurat) dan macam-macam produk lagi yang diterokainya.

Aku memilih untuk mendengar dari membeli atas alasan kurang minat dengan produk-produk tersebut. Tiada masalah untukku mendengar asal jangan mendesak aku untuk membeli.

Produk kali ini berupa sebuah besi magnet yang mempunyai daya kuasa untuk menyembuhkan berjenis-jenis penyakit (katanya). Caranya hanya lekapkan besi magnet tersebut ke tempat yang sakit untuk beberapa minit dan Insyaallah sakit akan hilang.

"Aaiikk...mudahnya nak sembuhkan penyakit, hanya lekap dah sembuh",  hatiku mula mencebik.

"This magnet is very powerful I tell you. Kau cakap je sakit apa..sakit lutut, sakit perut, luka berdarah, pening kepala..semua dia boleh sembuhkan".

"Eerrmm...tak lakulah panadol, minyak angin, minyak gamat..aduusss, bila la dia ni nak berhenti membebel", aku mencari-cari helah untuk melarikan diri.

"Bang, saya jarang guna alat ni lagipun saya selalu out station, so takde keperluan sangat".

"Haa zi..selalu out station tu yang awak kena beli produk ni. Taklah risau nanti, benda ni boleh jaga keluarga awak".

AAAAHHHHHH...AKU DAH SAMPAI ANTI KLIMAKS!!!
Kata-kata yang mirip menyengutukanNYA!!! Akidah boleh tersasar dengan tiga perkara iaitu niat, perkataan dan perbuatan.

Berkuasa sangatlah benda Allah tu sampai boleh jaga keluarga kita. Jangan hairan jika seseorang itu mula yakin dengan magnet itu, dia akan bawa ke mana sahaja. Sekiranya terlupa membawanya maka hatinya mula risau kerana tiada yang boleh menjaganya.

Ini bahaya...tanpa sedar minda kita telah dikuasai oleh benda lain. Kita mula bergantung penuh terhadap produk yang telah terbukti boleh menyembuhkan kesakitan (tanpa peduli bahawa sebenarnya Allah yang telah mengizinkan dia sembuh).

Aku faham yang dia tidak bermaksud menduakan Tuhan. Dia juga mungkin secara tidak sedar telah mengucapkan kata-kata yang bertentangan dengan akidah. Mungkin dia jahil dalam mendalami bab-bab agama. Tetapi kata-kata itu tetap tidak boleh lari dari unsur-unsur syirik...syirik yang tersembunyi tetapi tetap boleh menggugat iman!

Nak ditegur, umur dah masuk retro. Nanti timbul pula isu sensitif kena tegur. Aku pula dah makin tak keruan menahan amarah atas kejahilan yang berpangkat retro itu.

Eerrmm...biarlah, aku cuma mampu berdiam kerana arif dengan sifatnya yang sensitif. Doa kupanjat agar dia diberi hidayah.

Aku berlalu dari kumpulan kecil itu untuk berpura-pura menjawab panggilan telefon...juga untukku redakan amarah yang sedang menggila ini.

Aku hanya bergantung hidup kepadaNYA!



Friday 19 July 2013

Sabar dan Solat


Dalam ujian berat datang menimpa, kita pasti tersedar untuk kembali kepadaNYA. Kita berwuduk dan membentang sejadah lalu menangis selepas solat sunat dua rakaat. Kita panjatkan pengaduan, rintihan dan permohonan untuk meminta ikhsan Allah bagi diringankan ujian.

Liihatlah betapa sayangnya Pencipta kepada hamba yang dibentuk rupanya oleh tanganNYA sendiri. Ujian yang diperuntukkan kepada sihamba sebenarnya lebih mendekatkan lagi hubungan Khalik dan hamba. Itu permulaan hidayah anugerahnya.

Tetapi acapkali kita lihat yang diuji semakin menjauh dari rahmatNYA. Bila diuji sakit, rintihannya kedengaran tanpa henti. Fakir menimpa, dicari jalan untuk menambah pendapatan sampingan sehingga tertinggal segala amalan wajib...yang sunat jauh sekali dikerjakan. Kematian keluarga terdekat tidak diambil iktibar malah seolah menyalahkan takdir Allah.

Ini merupakan rentetan dari tidak sabar dalam menghadapi ujian. 

Allah telah menukilkan firmannya yang bermaksud, "Wahai sekalian orang-orang yang beriman. Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat. Kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar". Surah al Baqarah ayat 153.

Lihat di mana posisi 'sabar'. Allah meletakkan sabar di hadapan diikuti dengan solat. Untuk mengadu kepada Allah kita perlu bersolat dan berdoa...itu etikanya. Tetapi mana mungkin kita boleh menunaikan solat jika tidak didahului dengan sabar.

Bila sabar diamalkan, jiwa menuju tenang. Dengan sabar kita boleh brfikir panjang dalam merencanakan sesuatu. Lihat sahaja bagi yang tidak sabar dengan kata nista manusia...terus diserang balas tanpa dapat mengawal emosi. Suami yang kurang sabar terus menjatuhkan talak diakhiri penyesalan bila keadaan reda.

Bila jiwa tidak tenang, mana mungkin kita boleh khusyuk dan bermunajat kepadaNYA di dalam solat. Tentu berbagai-bagai kemelut jiwa menghantui diri lantas mengganggu emosi. Sudahlah solat jauh dari khusyuk, sehabis solat bila berdoapun hati tidak hadir untuk menghayati apa yang dihajatkan.
Maka itu semua tertolak untuk menggapai perhatianNYA. 

Bersabarlah dalam apa jua keadaan agar terhasil sebuah ketenangan dalam jiwa. Diikuti dengan solat yang khusyuk dan munajat yang hadir jiwa di dalamnya.

Insyaallah...bantuanNYA amat dekat untukmu. Bersabarlah lantas dirikan solat...kerana di sana menampakkan tahap keimanan seseorang dalam menghadapi kemelut ujian.

Jika kita sabar dan solat maka itu lebih menambah baik situasi. Jika mahu menyumpah seranah maka akan menambah buruk situasi. 

Buatlah pilihan kerana ujian itu tetap hadir.

@ catatan dari Pulau Pinang

Thursday 18 July 2013

Ramadhan Terakhir

Kekadang amat sukar untuk bebas dari cengkaman maksiat. Nafsu seringkali bisa menewaskan kebaikan dalam diri. Amalan yang ditagih, dosa yang mendatang. Pahala yang dicari, noda pula yang bersultan di mata.

Tetapi lain rasanya pencarian seawal Ramadhan. Jiwa serasa lembut dan lunak menuju kebaikan...tanpa paksa.

Bila amalan sebulan Ramadhan menyeliputi diri...Insyaallah pencarian itu bakal membawa natijah...kesan untuk selamanya...Insyaallah. Carilah segala yang baik itu seawalnya kerana RAHMAT yang turun itu tidak terbilang...cari dan anggap ini Ramadhan terakhir buat kita...carilah.


Berbicaralah DenganNYA

Kekadang hidup terasa kehilangan...badan sihat, wang ringgit Alhamdulillah, keluarga menyenangkan tetapi masih lagi dicuit sesuatu yang hilang. Bak bermain 'puzzle'...99% lengkap, masih tercari-cari hanya satu cebisan yang tertinggal. 

Itulah kaitan solat dengan Yang Maha Pencipta. Solat merupakan sesi komunikasi kita dengan Allah. Kata para Ulama', jika ingin Allah berbicara dengan kita..bacalah al Quran kerana kata-kata di dalam kitabullah itu untuk para hambaNYA.
Jika kita pula yang ingin berbicara dengan Allah, solatlah kerana di dalam solat penuh dengan pengharapan, permohonan, pengaduan jua pengakuan pengabdian kita kepadaNYA.

Berbicaralah mahupun menangis di dalam solat kerana DIA amat suka kepada yang benar bersungguh-sungguh mengadu dan merintih kepadaNYA.

Oleh itu lihatlah hubungan kita dengan ALLAH...SOLAT. Jika solat sempurna, Insyaallah hidup bisa menjadi sesempurna mungkin...kerana kita sedang berdamping dengan YANG MAHA SEMPURNA!!!

dariku buatku...

Nilai Solat Kita...


Jiwa resah...di mana solat kita?
Hati tak tenang...bagaimana kualiti solat kita?
Bermasalah dengan makhluk...sempurnakah solat kita?
Keluarga berantakan...hadirkah solat di hati kita?
Hilang sabar...tunai solat bila terdesak?

Hamba Rasul menempuh 7 petala langit...Malaikat Jibril pun tidak dapat melepasinya...bagi menerima anugerah tertinggi solat.

Jadi..tidak hairanlah jika segalanya tidak menjadi. Solat yang tinggi nilainya dan diserahkan melepasi langit 7, hanya diposisikan ke serendah-rendah tempat...diamal sekadar perlu..tidak dihayati.

Disitu punca kemelut jiwa...FIKIR!


Monolog gajet

Sepanjang waktu brsama gajet...

1. Bisukanlah bunyinya di kala solat
2. Tinggalkan seketika bila bersama keluarga mahupun bersama ibubapa d kampung
3. Lupakan menjawab sms bila bermesyuarat
4. Banyakkan melihat alam dari mengadap sigajet
5. Beri bantuan dari sibuk mengambil gambar kemalangan ngeri dan 'upload'


Tanpa sedar...kita berdosa ketika solat atas gangguan alunan lagu, hati ibu dan keluarga mula terluka, pengerusi mesyuarat tidak

selesa, alam yang banyak khazanah disisih begitu sahaja, yang memerlukan bantuan hanya mendapat populariti kosong...

Ya..tanpa sedar...kita lebih menjaga perisiannya dari isi hati insan sekitar. Kita menjadi semakin tidak beretika bila bersamanya!!!

Tolong jangan sekali-kali menyalahkan sigajet itu kerana perisiannya tidak dibekal otak yang dicipta untuk manusia!!!

Monday 15 July 2013

Mencari Sinar Di Awal Ramadhan

Setiap lahirnya manusia dibekal segala sifat-sifat baik anugerah Ilahi...tidak dinafikan. Tanyalah sipencuri, penjenayah, perompak, kaki pukul, pasti mereka juga tidak suka sekiranya perbuatan itu dilakukan oleh orang lain apatah lagi jika berlaku ke atas diri dan keluarga mereka sendiri.

Nah...itu sudah cukup menyatakan betapa dalam diri mereka semua adanya sifat baik. Cuma mereka sahaja yang terlalu menurut nafsu melayan kerenah syaitan yang tak pernah tidur dalam menjayakan misi neraka itu.

Tetapi apa peranan kita dalam menahan segala yang tidak baik itu? Hanya berserah dan bertawakal agar Allah melindungi diri kita? Ohh..itu jauh dari saranan Rasulullah SAW. 

Kita harus mencari untuk memperbetulkan diri. Pencarian itu harus tanpa henti sehingga jantung berhenti mengepam darah. Pencarian itu menuntut seribu pengorbanan. 


Mana taknya...di kala yang lain berhibur tanpa batas, kita diarah menurut syariatullah. Di waktu mereka bergaul bebas lelaki perempuan, kita diarah kahwin untuk menghalalkannya. Di saat masyarakat makan tanpa sekatan, nafsu kita diempang dengan arahan berpuasa sebulan. Itulah nilai pengorbanan kita sebagai Muslim yang taat.

Tetapi ironinya, amat berani bagi yang Muslim melanggar perintah Allah. Muslim atas nama juga keturunan...kesannya dia tidak langsung mahu mencari kebaikan yang sedia wujud dalam diri. Dibiar keledak dan karat bersarang dalam hati.

Aaa aaa aaar...jangan cepat melatah. Sebenarnya masih ada ruang dan peluang untuk sijahat menjadi baik...macamana tu? Waktu 30 hari telah Allah peruntukkan untuk umat Nabi Muhammad SAW bagi mencari sinar yang hilang. Dalam 30 hari itu pula diletakkan RAHMAT pada 10 hari yang pertama.

Eerrmmm...jangan pandang remeh dengan RAHMAT di awal Ramadhan kerana impak kepada yang mencari amat besar. Besarnya tiada yang dapat menyamai seisi langit dan bumi!!! 

Carilah damai itu di 10 hari pertama kerana tanpa menggapainya, kita tidak mampu untuk menginjak ke fasa kedua iaitu pengampunan dari Allah.

Jika tarawih dikesampingkan, tidak memperbanyak berdamping dengan al Furqan (al Quran), apatah lagi tidak bersolat, jangan kata hendak mencari...kebaikan semulajadi yang ada dalam diri juga boleh sirna begitu sahaja.

Beruntung bagi yang mencari di awal Ramadhan kerana Allah pasti tidak akan mengecewakannya. RahmatNYA yang begitu besar bakal menganugerahkan satu rasa yang lain bagi yang mencari. Rasa lazat beribadah dan berebut-rebut untuk mengaut sebesar pahala juga akan berasa tidak mahu menangguh-nangguh untuk beramal.

Rasa itu amat bernilai kerana disitu letaknya tenang, damai, bahagia, qanaah dan tidak berharap kepada makhluk. Sifat kebergantungannya kepada Allah amat jitu sehingga dia yakin jika rezekinya telah ditetapkan olehNYA, tiada apa atau siapa boleh menghalangnya. Maka kerisauannya tiada langsung terhadap dunia...amat beruntung kepada siapa yang dapat merasainya!

Janganlah bertangguh...mulakanlah mencari agar kita tidak tercari-cari apa yang hilang...carilah RAHMAT itu seawal RAMADHAN kerana impaknya boleh dirasa selagi hayat dikandung badan.

Carilah...

Tuesday 9 July 2013

Tawaran Hebat

Ramadhan kembali lagi. Seperti biasa bulan mulia ini hadir dua minggu awal pada setiap tahun. Simboliknya bulan Ramadhan tidak sabar untuk menawarkan hadiah-hadiah menarik di sepanjang sebulan...sebab itulah Ramadhan hadir awal di setiap tahun.

Apa tawaran hebat itu? Ooohhh...maha hebat sebenarnya!!! Umur umat Muhammad tidak panjang, hanya di sekitar 60 tahun. Disebabkan itu, Allah menawarkan sesuatu agar umur yang pendek itu dapat ditarakan kembali...adilnya ALLAH.

Ya..ALLAH menawarkan gandaan pahala yang luar biasa di atas amalan-amalan rutin. Amalan sunat digandakan pahala setara amalan wajib. Amalan wajib pula seperti solat fardhu digandakan pahalanya kepada 700 mahupun lebih...oohh meriahnya. Lebih meriah dari bermain bunga api dan mercun di malam tujuh likur.

Namakan sahaja kebaikan...bukan bermaksud beribadat sahaja, segala perbuatan baik bakal mampu meraih tawaran lumayan itu. Tawaran itu muncul hanya sekali dalam setahun. 30 hari yang penuh berkah...di awalnya rahmah, pertengahannya maghfirah (keampunan) dan akhirnya pelepasan dari api neraka. Kemuncak kepada Ramadhan adalah tawaran Lailatul Qadar yang menyamai amalan pahala selama 1000 bulan. Subhanallah!!! 



Jadikanlah Ramadhan ini satu titik tolak untuk sebuah perubahan yang hakiki. Berdoalah untuk sebuah kebaikan yang sebati dengan diri sehingga ke akhir hayat. 

Mereka yang berjaya di bulan Ramadhan dan diterima amalan dan taubatnya, bakal menerima tanda. Apa tandanya? Sehabis Ramadhan, seseorang itu akan konsisten dengan amalan yang dilakukannya di bulan Ramadhan.

Jika di sepanjang Ramadhan dia rajin baca Quran,  solat sunat, bertahajud, solat berjemaah, berzikir, itulah yang akan dilakukannya di sepanjang tahun.

Nah...di kala itu, tiada apa lagi yang mampu memuaskan hatinya melainkan selalu mencari-cari jalan untuk berdamping dengan ALLAH.

Tetapi apa yang berlaku sejurus Ramadhan tiba ialah kita lebih tertarik dengan tawaran-tawaran dunia. Iklan Raya mendominasi setiap inci minda kita. Persiapan Raya lebih merisaukan berbanding kehilangan Ramadhan. Pergantian perabot baru, baju baru, kereta baru lebih dititikberatkan.

Maka tidak hairanlah sekiranya segalanya kembali ke asal sehabis Ramadhan. Bulan mulia itu gagal membentuk peribadi Muslim yang sederhana sifatnya.

Tidak salah menghias rumah kerana amalan kecantikan dan kebersihan adalah dituntut di dalam Islam. Yang tak betul apabila kita tidak menghias Ramadhan dengan segala bentuk amal.

Tidak salah menyediakan juadah berbuka tetapi yang tak betul apabila segalanya menjadi berlebihan sehingga ke tahap membazir dan liat untuk beribadah.

Tidak salah membeli pakaian baru dan berhias diri di Hari Raya tetapi yang tak betul apabila bermewah-mewah sehingga ke tahap menunjuk-nunjuk.

Akhir kalam, janganlah hanya tertumpu kepada persiapan Hari Raya sehingga meminggirkan tawaran hebat yang entahkan kita boleh ketemu lagi di tahun-tahun berikutnya.

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan...

Saturday 6 July 2013

Oh Kuala Lumpur

Aku berhenti di persimpangan untuk menurunkan keluarga di sebatang jalan di Kuala Lumpur. Sambil menunggu, aku dikejutkan dengan bunyi ketukan di cermin kereta. Kulihat sepasang lelaki dan perempuan sambil tersenyum memberi isyarat agar aku menurunkan cermin kereta. Aku kaget...samada untuk melayan mereka atau tidak. Kelihatan tiada barangan di tangan mereka. sah...mereka bukan penjual di jalanan.

"Kang silap-silap aku dipukau pulak kang...rupa dorang dahlah macam Indon. Malas aku nak layan", curigaku menghantui. Tetapi mereka berdua tetap tidak berputus asa untuk bercakap denganku.


Memandangkan di kawasan itu ramai orang yang lalu lalang, aku beranikan diri untuk menurunkan separuh cermin kereta.

"Ya, nak apa? sengaja aku mengerutkan wajah menunjukkan rasa tidak selesa.

"Pak, tadi saya di dalam bas mahu turun di sini, saya lihat ada 'handphone' jatuh sewaktu penumpang di belakang mau keluar dari kereta bapak. Lantas saya ke mari untuk beritau bapak". Pemuda itu membongkok untuk mengambil 'handphone' anakku yang terjatuh itu dan menyuakan kepadaku.

"Nah ini 'handphone' nya", dia tersenyum memandangku.

Astaghfirullah, terasa berdosa aku menunjukkan rasa kurang selesa tadi. Mulutku seakan terkatup rapat dan hanya mampu mengucapkan terimakasih kepada mereka berdua.

Aku keluar dari kereta mendapatkannya untuk bersalam, mereka berdua hanya tersenyum dan berlalu pergi.

Kuala Lumpur...dipenuhi manusia berbagai sifat. Alhamdulillah masih ada yang boleh kubanggakan walau bangsamu banyak menerima kutukan.

Bicaraku Tentang Solat

Kekadang hidup terasa kehilangan...badan sihat, wang ringgit Alhamdulillah, keluarga menyenangkan tetapi masih lagi dicuit sesuatu yang hilang. Bak bermain 'puzzle'...99% lengkap, masih tercari-cari hanya satu cebisan yang tertinggal.

Eerrmm...lihatlah hubungan kita dengan ALLAH...SOLAT. Jika solat sempurna, Insyaallah hidup bisa menjadi sesempurna mungkin. Ya...kerana kita sedang berdamping dengan YANG MAHA SEMPURNA!!!

"Aku solat!" katanya. 

Tetapi berapa ramai yang solat masih terasa kosong jiwa, kontang rasa. Bersolat tetapi masih gagal mengekang sifat amarah. Bersolat tetapi banyak bicara dari diam. Bersolat tetapi gagal bersosial sesama makhluk...gagal membentuk peribadi Muslim!

Persiapan solatmu ala kadar..."memadai tutup aurat", katamu. Bajumu tidak berbutang di atas..."panas", katamu. Kopiahmu bermandi tahi lalat, aromanya menjerut hidung.

Kau bukan bersolat tetapi gerakmu lebih kepada ritual agama...hanya 'melepas batok di tangga'. Gerak solatmu pantas, sepantas kau mengejar dunia dan seisinya. Bacaanmu hilang 'pitching'..lari makhraj, lari tajwid, lari makna.

Sehabis solat, wirid kau pinggir...doa hanya hafalan skrip...tidak kau hayati.

Segala yang tidak beradab itu telah diterjemah dalam hidupmu...

Hilang satu cebisan 'puzzle'...carilah yang hilang itu di dalam solatmu!!! 


Monolog jiwa

Jiwa resah...di mana solat kita?
Hati tak tenang...bagaimana dengan kualiti solat?
Bermasalah dengan makhluk...sempurnakah solat?
Keluarga berantakan...hadirkah solat di hati?
Hilang sabar...tunai solat bila terdesak?

Hamba Rasul menempuh tujuh petala langit...Malaikat Jibril pun tidak dapat melepasinya, untuk Hamba itu menerima anugerah solat dari Penciptanya.

Jadi, tidak hairanlah jika segalanya tidak menjadi. Solat yang tinggi nilainya dan diserahkan melepasi langit tujuh, di posisikan ke serendah-rendah tempat...hanya diamal sekadar perlu...tidak dihayati.

Di situ punca kemelut jiwa...FIKIR