Translate

Friday 23 August 2019

JEDI

JEDI merupakan produk yang eksklusif. Bermula dari TNA, hadir Konsultan yang selesa dipanggil ZAM sahaja..tanpa Encik..tanpa Tuan..jauh dari meminta2 hormat. 

Kami berkolaborasi dalam mengimplementasi sebuah program pembangunan bagi melahirkan kakitangan yang bergelar pemimpin...70 orang kesemuanya yang dibahagi 4 kumpulan.
Program tak murah tapi sangat sangat sangat dan sangat berbaloi...kenapa? 

Kerana ZAM mempersembahkan modul komprehensif bersama 'psychometric tools'. Laporan lengkap untuk setiap modul bersama data dan fakta. Konsep latihannya berbeza...peserta yang banyak memain peranan, tugas Trainer hanya memberi panduan. Itu membuatkan kelas latihan berjalan sangat efisien tanpa ada istilah mengantuk. Aku benar2 tertambat! 

Karekter ZAM pula amat mengujakan aku..beliau tak berkira, komitmen ZAM 200%. ZAM bukan hanya sebagai Trainer, dia pikul beban untuk selesai masalah peserta. Cara dia selesai masalah kakitangan sampai ke akar umbi...sampai aku kena buat pertemuan beliau dengan ketua jabatan...katanya kalau masalah ni tak selesai, kau bagi la kursus hebat macam manapun...kakitangan takkan berubah!

ZAM amat menghormati peserta...hubungan mereka rapat dan mesra. Natijahnya 97% maklumbalas dari ketua jabatan mengatakan karekter dan cara bekerja kakitangan mereka sudah berubah! Sungguh... aku simpan rekod itu.

Kursus tamat...6 bulan tempohnya. Peserta bakal melalui hari penentuan. Mereka akan membentang kertas kerja masing2 kepada pihak pengurusan... Sweet September.

ZAM...aku rakamkan ucapan setinggi2 penghargaan atas segala apa yang telah kau sumbangkan. Aku tak pandang nilai imbuhan yang syarikat harus bayar, tetapi nilai ilmu dan hubungan kita yang aku rasa tiada harga yang boleh menyamainya!

Aku telah merangka2 program tahun 2020. Kita bisa berkolaborasi bukan hanya sekali tapi mungkin berkali2 eh.

Kau layak mendapat testimoni bertaraf awam ini...khas dari AKU! Adios.

JEDI - Junior Executive Development Initiatives.



Saturday 10 August 2019

Selamat Berehat ye Mak!


Innalillaahi wainna ilaihirooji'uun..."Terimakasih ye mak..jaga kami dengan penuh kasih sayang! Mak berehat ye mak!"

Itulah kata2 yang kuungkap ke telinga mak sambil mengucup seluruh wajah di kesempatan terakhir sebelum muka mak dibalut kain putih untuk disemadikan.
Mak menghembuskan nafas terakhir Selasa 6 Ogos 2019 jam 1510 di HKL. 

Kami beradik dan ipar duai dah sepakat untuk percepatkan proses pengkebumian mak. Kami tak nak jasad mak terseksa demi melayan permintaan saudara dan kenalan nak melihat mak buat kali terakhir. Biarlah...siapa aje yang sempat ziarah..itulah rezeki buat mereka.

Di hospital, kami semua mengambil tugasan masing2. Ada mencari ustaz dan van jenazah, ada yang uruskan dokumen discharge ward, ada yang sibuk menghubungi saudara mara untuk pemakluman berita terkini, ada yang menghubungi keluarga di kampung untuk proses galian kubur dan Imam talkin dan pelbagai tuntutan tugasan untuk urusan jenazah.

Sementara menunggu proses dokumen di jabatan forensik, aku memimpin bacaan yaaseen dan tahlil bersama adik-beradik dan keluarga terdekat yang hadir.

Jenazah mak dibawa ke surau berdekatan kuarters HKL untuk proses mandi dan balutan kain kapan. Air muka mak manis sangat selepas dimandikan...bibir mak terukir senyum. Kami terperasan, kaki mak yang selama ni membengkak dan penuh tompok2 biru dan merah, berubah tirus dan putih bersih tanpa kesan parut...Allahu!

Aku diberi kesempatan untuk mengimami solat jenazah...penghormatan terakhir dari kami beradik dan ipar duai buat mak.

Lot kubur dalam proses penggalian di kampung...Alhamdulillah, Allah atur dan gerakkan hati penggali kubur untuk melaksanakan fardhu kifayah seawal mungkin.
Jenazah mak sampai ke kampung bersama ambulan sekitar selepas Maghrib. Ramai yang menunggu. Kami tekad untuk kebumikan mak paling lewat jam 2100. Seusai solat jenazah kali kedua, terus jenazah diusung ke dalam van menuju ke tanah perkuburan Islam Bukit Kepong.

Sampai di tanah perkuburan, aku bersama dua orang abang sepakat masuk ke liang lahad. Jenazah mak dihulur ke bawah untuk kami sambut. Kami bersedia dengan pasak kuda2 agar jenazah mak yang agak berbadan, tak jatuh dari tangan kami..Subhanallah..badan mak ringan...demi Allah...badan mak ringan sangat...meluncur laju ke tangan kami untuk diposisikan ke dalam liang lahad..abang2ku mengiyakannya...Allahu Akbar!

Keadaan tanah perkuburan bagai siang di panah matahari bersama 3 lampu putih yang dipasang di atas kubur mak. Talkin dibaca oleh Imam amat terang dan jelas dan menusuk hati sesiapa yang mendengar.

Alhamdulillah...selesai urusan arwah mak. Hanya mengambil masa kurang 7 jam seawal mak meninggal. Kami beradik berkumpul di kampung. Terperasan satu lagi...aku bersama kemeja putih dan abangku ber T shirt hitam, takde kesan tanah..tak kotor. Padahal, punyalah meriah mereka mengambus tanah menimpa tubuh badan sementara kami berada di lubang kubur.....tanah kubur mak pun malu nak singgah ke badan kami..ermmm.

Hari Jumaat, 3 hari selepas mak pergi, menyambil adik lelakiku duduk2 depan beranda rumah mak di kampung...tertera kalimah ALLAH di langit...terang dan jelas...Subhanallah! Kalimah yang seolah mengiringi pemergian mak.

"Ya Allah, berilah kerehatan yang selayaknya buat mak di alam barzakh kerana beliau adalah sebaik2 insan yang sewajarnya mendapat kemuliaan di sisiMU".

Dedikasi Buat: NamLiIjaZuraDdHizamKakItaKakMasFauziahShahirulZuraidiAnynYeyu (adik beradik dan ipar duai)
Termasuk anak2 sedara yang hadir di sepanjang masa.
Kita kuatkan ukhuwah bersama aura arwah mak dan bapak!

Kepada pak sedara, mak sedara dan juga sepupu2 yang hadir sewaktu mak sakit...moga Allah membalas kebaikan anda dengan kebaikan berganda. Terimakasih berada di sisi kami di waktu2 kritikal.

Kepada keluarga Busu di kampung..terimakasih atas urusan pengendalian kubur, van jenazah dan talkin pimpinan Imam kariah surau Sg Jai.

Kepada saudara, handai taulan yang menziarahi jenazah mak...syukran jazilan kathiro.

Al Fatihah...SELAMAT BEREHAT YE MAK! 😢

Sunday 4 August 2019

Cepat Sembuh ye Mak!

Kami sekeluarga diuji lagi. Allah tarik nikmat untuk kami bersama mak. Mak sakit...sakit yang harus dirujuk ke hospital. Teringat aku sewaktu arwah bapak sakit...sakit arwah yang meletak kami adik beradik untuk mengenepikan segala perbezaan pendapat dan pandangan. Kami bersatu untuk kesembuhan arwah. Tetapi qada' dan qadar Allah mendahului perancangan kami...kami redha dan pasrah.

Mak merupakan tiang seri untuk kami adik beradik berkumpul. Kami sedar bahawa yang hidup akan mati...dan yang hidup pula harus hidupkan kehidupan. Tetapi kami belum puas untuk mengusik dan bermesra dengan mak.

Mak sentiasa nampak ceria dan riang bersama anak cucu bila berkumpul. Mak tak pernah besar-besarkan masalah walau masalah itu sebenarnya memakan diri mak sedikit demi sedikit.

Korban diri mak buat arwah suami dan anak-anak bukan sedikit. Tapi jiwa dan semangat mak kuat sangat untuk melihat anak-anak membesar.

Misi mak dahpun selesai. Kami dah besar, kami ada anak..mak pula dah lama bergelar nenek kepada cucu yang berderet-deret ramainya. Insyaallah jika panjang umur, taraf mak naik setahap lagi...moyang.

Mak...kami rindu senyum mak. Jika Rabi'atul Adawiyah boleh menyatukan haiwan liar bersama mangsa di dalam satu jemaah, mak juga punyai aura yang kuat dalam mengharmonikan hati sesiapa sahaja yang duduk bersama mak...damai jiwa dibuatnya.

Kami pegun bila doktor kata risiko rawatan mak 50/50! Mak takut, mak nangis..kami semua menangis...apakah! Tetapi kami harus akur dengan ketetapan ilmu langit. DIA berkuasa ke atas segala!

Tapi aku percaya dengan qada' Allah yang boleh berubah. Kami banyak berdoa dan berkumpul adik beradik bersama anak buah...Yaaseen dialunkan untuk kesembuhan mak.

Aku di sini...4 pagi di hospital menemani mak walau mak tak sedar. Biar mak tak tahu aku di sini...biar mak tak sedar adik beradik juga menantu bergilir menemani mak 24 jam. Hanya kami yang tahu...hanya kami yang sedar bahawa apa yang kami lakukan ini, jauh sangat untuk menyaingi jasa dan kasih sayang mak pada kami...jauh sangat!

Kami sayang mak. Cepat sembuh ya mak!

HKL 4 Ogos 2019