Translate

Sunday 16 December 2018

Luka di Madinah

"Aahhhh...macam mana nih", hatiku semakin tak keruan dengan luka kecil di bahagian tumit kanan di hari ke 2. Cuaca Madinah yang semakin menurun ke 15'c semakin menyiat-nyiat kulit di tumit. Garis-garis luka semakin ketara hingga membuat aku berjalan terhincut-hincut.

Misiku kali ini sudah kutukar rentaknya. Jika misi pertama di tahun 2009 aku bebas beramal mengikut rentak sendiri, tetapi kali ini ia harus kutukar kepada berkhidmat untuk sebuah syurga yang berada di bawah telapak kakinya...mak. Mak berkerusi roda...tak mampu untuk kerap berjalan.

Tapi apa pula ceritanya jika aku sendiri yang cedera. "Allah ya Allah..tak mungkin aku mempertikaikan apa yang telah disuratkan buatku. Walau baik mana niatku untuk berbakti tetapi perancangan Allah tak dapat ku telah rahsianya", hatiku bermonolog sendirian meminta perhatianNya.

Tak mengapa, walau teruk garis lukanya..tetap akan kutepati janjiku pada mak. Biar terhincut-hincut gerak kakiku menolak kerusi roda mak..biar!

Hari ke 3 selepas solat Asar, seperti yang kurancang aku akan berziarah ke makam Baqi' dalam meraih pahala mengusung jenazah juga untuk sebuah keinsafan. 

Strateginya aku bersolat di bahagian luar Masjid bersebelahan makam Baqi' yang terletak di bahagian tenggara Masjid Nabawi agar aku boleh terus keluar saf tanpa perlu bersesak.

Alhamdulillah keadaan berlaku seperti yang dirancang. Sehabis solat Asar dan solat jenazah, lantas terus aku menuju ke perkuburan. Sudah kelihatan jenazah diusung oleh jemaah keluar masjid menuju ke perkuburan.

Aku berlari menuju ke tempat kubur yang telah digali agar dapat kusambut jenazah masuk ke liang lahat. Jarak dari pintu masuk Baqi' ke kubur yang baru digali dalam 500 meter jauhnya!

Aku berlari, berlari dan terus berlari tanpa menoleh kiri dan kanan. Aku harus tiba sebelum jenazah sampai..atau aku bakal terlepas peluang menyambut jenazah masuk ke liang lahat.

Syukur ya Allah syukur..letihku berlari berbaloi. Aku dapat sambut jenazah (mungkin dari negara India melihat kepada warisnya yang mengelilingi kubur apabila doa dibaca). Beruntung bagi tetamu Allah yang terpilih untuk disemadikan di pemakaman Baqi' bersama para isteri Rasulullah, para sahabat Nabi dan para tabi'in.



Rasulullah pernah bersabda, “Aku adalah orang pertama yang keluar daripada Bumi (ketika hari kebangkitan), kemudian Abu Bakar, kemudian Umar, kemudian giliran penghuni Baqi’ yang akan berhimpun bersamaku. Kemudian aku menunggu penduduk Mekah sehingga penuh di antara dua Masjidil Haram”.

Alhamdulillah..misi Baqi' selesai. Aku berjalan perlahan menuju ke hotel..ya, perlahan sangat kaki melangkah dalam melepas lelah larian pecut seawal tadi.

Terperasan aku sesuatu..."aik..tak sakit la pulak kaki ni?" getus hatiku seakan tak percaya. Aku meletak posisi luka di belakang tumit untuk dipijak sebagai pengesahan. "ya..memang dah tak sakit!" Lukanya dah bertaut kemas seakan tiada kecederaan yang berlaku sebelumnya. Subhanallah..macam tak percaya!




Terus aku imbas larian pecut 500 meter yang kulakukan sebentar tadi...baru aku perasan yang aku berlari selaju itu tanpa rasa sakit sedikitpun. Allah ya Allah..Subhanallah yang menghilangkan kesakitan secara tiba-tiba.

Rupa-rupanya Allah beri tunai atas doa bisuku untuk berkhidmat pada mak di sepanjang ibadah umrah. Debu-debu tanah di Baqi' adalah makhluk Allah jua, telah merawat luka tumit dengan perintahNya. Subhanallah, lukaku di Madinah menjadi pelengkap atas rasa syukur yang tidak terhingga di atas nikmat-nikmatNya!

Terimakasih mak kerana sudi menerima tawaranku...dalam melengkapi misi umrah 2018.




                    

Friday 7 December 2018

Mengapa Gagak?

Tahukah kita bahawa pengurusan mayat manusia yang ditanam di dalam tanah diajar oleh seekor burung yang bernama gagak?

Jika melihat pada personaliti gagak, wajarkah burung tersebut dipilih untuk mengajar Qabil bagaimana untuk menguruskan mayat adik yang telah dibunuhnya? Mengapa Allah pilih gagak yang hitam dan tak menarik langsung untuk menjadi guru kepada manusia? Pasti bersebab...PASTI!

Gagak merupakan spesis burung berwarna hitam yang bukan menjadi belaan manusia. Sudahlah hitam, suara serak dan memakan kotoran bangkai..mana ada manusia nak bela burung macam tu.

Menurut kajian yang dibuat, gagak mempunyai saiz otak yang lebih besar berbanding burung-burung yang lain. Spesis ini hidup berkumpulan, bersosial dan mempunyai ketua yang mengawal kehidupan kumpulannya.

Jika ada di antara mereka yang mencuri makanan anak gagak, mereka akan dihakimi dan dihukum. Gagak secara berkumpulan akan mematuk-matuk badan sipencuri sehingga bulunya tertanggal dan badannya menjadi gondol.

Pemerhatian yang lain pula menyaksikan bahawa jika ada gagak yang berani mengganggu gagak betina, sekumpulan gagak akan menyerangnya sehingga mati. Hukuman tersebut dilakukan di tempat lapang untuk disaksikan oleh gagak-gagak lain sebagai pengajaran. Seekor gagak pula akan ditugaskan untuk menanam mayat sipesalah sebagai penghormatan kepada jenazah. Di dalam kumpulan mergastua, hanya gagak sahaja yang menanam spesis mereka.

Diceritakan seorang gadis kecil berusia 8 tahun selalu memberi makan burung-burung gagak di halaman rumahnya. Makanan seperti kekacang dan makanan anjing diletakkan di dalam sebuah bekas dulang untuk diberi makan burung-burung gagak yang sentiasa menunggu rutin harian tersebut. Air bersih juga disediakan sebagai minuman. Mahu tahu apa yang berlaku? Gagak tersebut telah membawa barangan berupa anting-anting, kalung dan batu yang bersinar sebagai hadiah dan ucapan terimakasih kepada gadis tersebut (rujuk U tube).

Riwayat lain pula mengisahkan seekor gagak telah mencuri seketul roti dari seorang pengembara (ahli sufi). Beliau kagum dengan keberanian gagak tersebut lantas mengekori ke mana ia pergi. Sesampai ke satu tempat, beliau menyaksikan gagak tersebut mencubit sedikit-sedikit roti dan dimasukkan ke mulut seseorang yang terbaring dengan kaki dan tangannya terikat.

Apabila selesai membuka ikatan, lelaki tersebut menceritakan bahawa beliau telah disamun oleh sekumpulan lelaki dengan mengikat kaki dan tangannya. Setelah mengambil kesemua barangan, beliau ditinggalkan begitu sahaja. Sepanjang beberapa hari, burung gagak itulah yang memberi beliau makan dan minum..Subhanallah!

Lihatlah, betapa sihitam pekat yang tidak diberi perhatian oleh manusia ini, merupakan pilihan Allah dicipta sebagai spesis bijak dalam dunia mereka.

Apa mesejnya? Rupa paras dan personaliti bukan menjadi perhitungan di sisi Allah. Allah hanya melihat hati-hati kamu, Allah hanya memandang ketakwaan kamu, Allah hanya menilai keikhlasan kamu dalam beramal! FIKIR sambil BERZIKIR...


Wednesday 5 December 2018

Jangan Warisi Dosa Itu!

"Assalamu'alaikum En Azizi, dah 'settle' dah. Terimakasih nasihat haritu".

"Alhamdulillah..lega saya dengar. Kan seronok bekerja bila kita takde masalah dengan orang".

Dia baik orangnya. Selalu aku nampak dia bersama jemaah di surau, kekadang mengimami jemaah. Di bulan Ramadhan, dia fasih menjadi bilal dalam membaca selawat di setiap rakaat tarawih di surau pejabat.

Hari yang dirancang tiba. Dia bakal berjumpa denganku untuk sesi kaunseling atas masalah pergeseran di antara pekerja dan ketua.

"Haaa? Minta maaf? Oooohhh tak boleh Encik Azizi, nanti dia makin naik tocang. Habis dicanang kat kakitangan lain yang saya dah tunduk kat dia. Saya sendiri tak pernah terfikir nak minta maaf kat dia..tak payahlah".

Adussss...berat ni. Cadanganku ditolak mentah-mentah. Camne nak selesai masalah kalau rasa ego beraja di hati.

"Bro, tau tak dosa apa yang mula-mula tercipta di antara makhluk dan Pencipta sehingga dihalau keluar dari syurga?"

Dia terkebil-kebil sebentar dengan lontaran soalan yang tak diduga dariku.

"Dosa Nabi Adam derhaka kat Allah sebab melanggar larangan makan buah khuldi", jawabnya dengan yakin.

"Salah...dosa pertama antara makhluk dengan Allah adalah sombong! Iblis enggan sujud kepada Adam atas rasa ego bahawa dirinya tercipta dari api sedangkan Adam hanya dari tanah. Bro tau kan, tak masuk syurga seseorang yang ada sekelumit sifat sombong dalam diri".

"Hilangkan rasa ego diri tu. Tak jatuh maruah diri jika kita memulakan kata maaf...tak hilang bisa ular menyusur akar".


"Jangan fikir apa yang akan dia lakukan selepas bro minta maaf...itu urusan dia. Yang penting kita dah memulakan sesuatu yang digaris oleh syarak".


"Bro...jangan warisi dosa yang dibuat Iblis. Buang jauh-jauh sifat sombong tu ya".

Kulihat airmukanya mula redup...memandang meja tak berkelip.

"Errmmm...tengoklah nanti, terimakasih En Azizi atas nasihat".

Kami bersurai. Tapi aku tak meletak harapan tinggi untuk masalah tu selesai sebab riak wajah dia tak mencerminkan rasa yang bersungguh untuk buang rasa ego diri.

"Assalamu'alaikum En Azizi, dah 'settle' dah. Terimakasih nasihat haritu".

"Lepas saya minta maaf, diapun minta maaf gak. Diapun ngaku dia tak patut tegur salah saya depan orang-ramai".

Alhamdulillah...itulah hadiah paling berharga aku terima dari seseorang yang bergelar kakitangan syarikat.

Puas! Ya...kepuasan yang tidak terlakar mahupun diucap. Bukan aku yang selesaikan masalah tersebut...dia sendiri yang menggerakkan kapasiti diri untuk sebuah kemaafan.

Aku? Aku hanya hambaNYA yang ditugas untuk mengimarah bumi yang didiami...kosong tangan, kosong dada. Sampai masa, aku akan berhadapan dengan segala gerak laku di Mahkamah Allah. Apa bekal yang aku bawa? Errmmmm....Allah ya Allah.


Sunday 2 December 2018

Sukan Menyatukan Kami

Rutinku di hujung minggu meletak aku di posisi yang amat mengujakan. Berpagi-pagi bersama udara segar dengan pergerakan jasmani yang tak mampu aku kesampingkan. 

Ye la..dalam lingkaran usia yang memerlukan perhatian, aku tak mahu memanjakan sangat tubuh badan. Ia harus dipaksa untuk bergerak cergas atau terpaksa dihukum di kemudian hari dengan lemah segala sendi...owwhhhhh tidak!

Pagi itu, seperti biasa aku bersiap untuk 'work out'..target 10 pusingan stadium. Tiba-tiba kedua-dua anak lelaki ku menyapa untuk bersama. Haaa...dah fahamlah tu, nak ajak main bola...jommmm.

Dalam melayan rutin seharian yang nyata menjarakkan komunikasi, ternyata sukan menyatukan kami untuk melakukan aktiviti bersama.

Aku di posisi sayap, anak lelaki di bahagian tengah dan yang bongsu sebagai penjaga gawang..Heaven!



Sunday 4 November 2018

Di Mana Kita Di Usia 40?

Nabi Muhammad s.a.w mula bergiat aktif dalam usaha dakwah selepas sahaja dilantik menjadi Rasul pada umur 40 tahun. Usia yang bermulanya cabaran dan dugaan, menuntut sabar yang amat tinggi. Berhijrah, berperang demi pertahankan iman dan menawan kembali kota kesayangan Mekah. Begitu energetiknya diri Rasulullah dan segala-galanya bermula diawal umur 40 tahun. Umur yang meledakkan kecemerlangan!!!

Ini yang cuba aku sampaikan...

Bermula era 40an momentum kita sudah mula perlahan. Kedudukan kerjaya dirasa sudah stabil lantas mengambil pendekatan selamat..cuba elak dari berada di zon bahaya. Mencari segala keselesaan dan lebih banyak berpolitik untuk memantapkan posisi kerjaya. Hijrah dirasa tidak perlu kerana terdedah kepada risiko. Apabila hampir tiba di garis penamat, kita bagai kura-kura mencari perlindungan dan menagih simpati rakan sekerja!

Bangun wahai pemuda ISLAM, tenagamu amat diperlukan..sumbangkan segala yg mampu mengikut acuanmu sendiri. USIA 40 ADALAH PERMULAAN KECEMERLANGAN HIDUPMU!!!

JIWAku terus berEVOLUSI...



Monday 15 October 2018

October Fest Dalam Negara Islam?

1. Kenapa arak diharamkan? Kerana ia mendatangkan mudarat kepada akal dan kesihatan.

2. Ada 5 sebab kenapa syariat Islam diturunkan..salah satu darinya adalah untuk menjaga AKAL.

3. Tujuan syariat:

a. menjaga agama
b. menjaga nyawa
c. menjaga akal
d. menjaga harta
e. menjaga keturunan

4. Akal yang sihat boleh mengimarahkan Islam dan memakmurkan bumi Allah.

5. Islam tidak memaksa manusia untuk anuti agama Islam begitu juga mereka bebas mengamalkan ritual agama, adat, budaya, bebas makan dan minum apa sahaja.

6.  Di Malaysia, mereka bebas minum arak di rumah masing-masing juga di restoran tertutup untuk golongan mereka.

7. Tetapi adalah tidak wajar untuk mereka mempromosi dan menjadikan minuman arak sebagai sebuah pesta di negara Islam seperti Malaysia.

8. Apatah lagi dengan menyediakan beratus jenis jenama arak dan sasaran 6 ribu peserta! 

9. Peserta negara luar berduyun-duyun datang ke Malaysia bagi meraikan pesta mabuk ini. Apa kesannya? Bila semakin ramai pelancong luar masuk, kerajaan akan beri permit dan dimasukkan ke dalam kalendar tahunan Malaysia atas alasan menambah pendapatan sektor pelancongan.

10. Sebab itu kita kena menentang October Fest..pesta arak tahunan yang semakin besar kapasitinya setiap tahun di Malaysia.

11. Kerajaan PH harus bertegas dalam hal ini agar sensitiviti umat Islam tidak terus-terusan dicabar.

12. Cukuplah bala dan peringatan yang Allah beri di Indonesia. Negara yang majoritinya umat Islam tetapi mengamalkan ritual sesat dan syirik di laut..dan amalan seks songsang.

KITA TERBABIT KE? Kita bakal terbabit jika tutup mata melihat maksiat berlaku depan mata!

Bala Allah akan mengenai semua makhluk. Sebab itu..Allah kirimkan 3 Malaikat menyamar sebagai manusia untuk memberitahu Nabi Ibrahim dan Nabi Luth agar keluar dari bandar Sodom..kerana bala Allah akan diturunkan ke atas penduduk yang tak mahu mendengar nasihat dan suruhan Nabi.

Pelik bunyinya bila ada pesta arak di Malaysia. Nampak seperti kita tunduk dengan tekanan minoriti.

Lagi pelik bila Malaysia sebagai sebuah Negara Islam masih menyediakan minuman alkohol di dalam pesawat MH.

Tak kira kerajaan mana yang memerintah... October Fest mesti ditentang!



Saturday 13 October 2018

Aku Pelari Jarak Jauh Tapi...

Remajaku seperti remaja-remaja lain...penuh dengan pengisian aktif . Ye la, hormon-hormon tengah ligat bercambah...macam-macamlah aktiviti yang dirangka dan dicipta.

Aku meminati sukan. Semua sukan asas aku masuk seperti bolasepak, badminton, sepak takraw, bola tampar, hoki dan bola keranjang. Di antara sukan-sukan tersebut, bolasepak merupakan cintaku yang tak dapat dipisahkan...sungguh!

Olahraga? minat gak tapi tak aktif sangat. Yang aku ceburi secara konsisten ialah larian jarak jauh. Larian 400 m, 4 x 400 m lari berganti. Tapi yang paling aku minati adalah marathon.

Kalau larian merentas desa tu...boleh dikatakan aku di antara 5 terbaik di setiap kali memasuki pertandingan tersebut. Konsisten berlari tanpa henti dengan mengekalkan momentum larian, amat-amat mengujakan.

Itu duluuuuuuu...

Sekarang? Aku cuba berlari-lari anak dalam melengkapkan beberapa pusingan Tasik Cempaka...mengah weeeiiii, mencungap aku dibuatnya...hahaaaa!

Nyata...hukum alam telah menepati janjinya dalam melemahkan yang kuat, memburukkan yang lawa, melamakan yang baharu juga mematikan yang hidup!

Hhhmmm...mungkin fizikal aku mulai lemah dalam melawan sunnatullah tetapi aku tak pernah tunduk kepada desakan nafsu untuk duduk berdiam lantas membiarkan sahaja badan dimamah usia dan luluhawa.

Ya betul..tenaga larian jarak jauhku semakin hilang auranya tapi akan ku ganti bersama amalan syariatullah jarak jauh yang konsisten sehingga ke penghujung hayat..Insyaallah.

Momentum amalan syariat harusku kekalkan agar 'hari' yang dirahsiakan kehadirannya dapat ku hadapi dengan lebih bersedia.. Insyaallah.

Betul..aku merupakan pelari jarak jauh suatu waktu dahulu tetapi dapatkah aku melarikan diri dari maut yang tak pernah menjauh dariku..

Bersediakah aku?



Monday 8 October 2018

Gadis, 7E dan Arak

Baru-baru ini berlaku kejadian di kedai serbaneka 7Eleven di mana seorang gadis enggan memegang botol arak untuk dikira harganya yang mahu dibeli oleh pelanggan India. Video tersebut telah ditularkan yang diambil sendiri oleh pelanggan terbabit.

Apa isunya? Tentulah rasa tidak puas hati pelanggan terhadap juruwang yang tidak memberi perkhidmatan yang sewajarnya.

Betul ke tindakan juruwang Melayu tu? Secara asas, memang betullah tindakannya mempertahankan sekelumit iman untuk mengelak dari memegang produk haram tersebut.

Tetapi penulis percaya bahawa gadis tersebut tahu bahawa premis di tempat kerjanya memang menjual arak. Sebagai juruwang, tentu dia sedar akan peranannya untuk mengira apa sahaja produk yang mahu dibeli oleh pelanggan, tidak terkecuali arak!

Bagi penulis, jika sudah tahu dan tidak mahu terlibat dengan jual beli arak, seharusnya gadis tersebut tidak memilih kerjayanya di kedai 7 Eleven.

Eerrmmm tetapi itu telahan logik akal penulis sahaja. Mungkin gadis tersebut mempunyai justifikasi sendiri..entahlah.

Penerbangan Malaysia sendiri memang menyediakan minuman alkohol secara percuma ke destinasi jauh untuk pelanggan yang yang bukan Islam. Anak-anak kapal yang Muslim sudah sedia maklum akan perkara tersebut.

Jika tidak mahu terlibat, elakkan dari menerima kerjaya glamor tersebut. Tetapi apabila sudah menerimanya, terpaksalah minuman tersebut dipegang, dituang dan disuakan kepada pelanggan..bukan begitu?

Tidak pula aku bertemu situasi keengganan anak-anak kapal untuk menuruti SOP tersebut...tidak pernah berlaku kekecohan di dalam pesawat sepanjang aku bermusafir.

Segalanya terpulang kepada diri sendiri. Iman diletak seawal membuat keputusan atas sesuatu perkara berbanding di pertengahan kerjaya kerana jika surat tawaran sudah ditandatangani bermakna akad kerjaya sudah diterima maka kita bakal tertakluk kepada apa sahaja peraturan dan 'Job Description' bidang tugas tersebut.

Menurut sebuah hadis, jika kita tidak mampu mengubah sesuatu perkara maksiat dengan 'tangan' (kuasa), ubahlah dengan 'mulut' (tegur). Jika tidak mampu juga..ubahlah dengan 'hati' (tidak redha). Itulah selemah-lemah iman.

Maksud tidak redha...kita tinggalkan sesuatu perkara dan jangan dituruti!

Tetapi jika sudah menceburinya..harus tanggung sendiri kerana pilihan itu adalah pilihan sendiri!

Sekali lagi, penulis tidak tahu latar belakang gadis tersebut. Mungkin dia ada alasan tersendiri yang tidak kita ketahui. 

Wallahua'lam.



Sunday 7 October 2018

Cabaran Mujahid

Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Menteri Agama kerajaan Malaysia baharu sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang didakwa disalah tafsir oleh pengamal media. 

Kenyataan beliau yang terkini berkenaan isu khalwat dan maksiat di kediaman peribadi yang tidak lagi menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membenterasnya. Salah tafsir oleh The Star!

Tidak layak untuk aku berkomentar menganalisis kenyataan tersebut kerana hanya beliau dan pengamal media sahaja yang tahu naratifnya.

Hanya aku berpendapat, jika betulpun nak kawal maksiat menggunapakai method baharu iaitu yang lebih berhemah, tidak perlu kepada kenyataan awam. Menteri arahkan sahaja Majlis mahupun jabatan agama untuk melaksanakannya.

Orang awam takkan faham. Sudahnya keluar komen caca marba dan ikut emosi..tidak berilmiah langsung.

Dengan sedikit ilmu yang dimiliki, aku faham tindakan dan method baharu yang cuba diperkenalkan oleh Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Islam merupakan agama yang amat menjaga peribadi seseorang. Hujah Menteri tu betul, atas kapasiti Islam bukan agama mencari dan mengintip-intip aib orang.

Cara cegah maksiat dengan diiringi media massa dan dipertonton kepada masyarakat, adalah sesuatu yang terkeluar dari landasan Islam dan wilayah peribadi seseorang...mengaibkan.

Mereka yang melakukan maksiat secara sembunyi masih ada rasa malu dan tidak dilakukan di tempat awam..apatah lagi untuk berbangga-bangga menayang maksiat. 

Maksiat awam yang perlu diambil tindakan adalah seperti pesta arak di hotel dan di premis-premis awam, pesta mandi buih di hotel dan program membuka aurat di pantai awam. Islam mengajar mencegah dan menghukum pada apa yang nampak jelas di hadapan mata.

Diambil contoh isu lgbt..harus dicegah apabila berlaku terang-terangan untuk mereka mahu menubuh persatuan dan mula menuntut hak eksklusif golongan mereka.

Berlaku di zaman Saiyidina Umar sewaktu menjadi khalifah, baginda pernah mengintip sebuah rumah yg disyaki penghuninya minum arak dan mabuk.

Apabila penghuni rumah dipanggil utk penjelasan, baginda ditegur kerana mengintip apa yang berlaku di dalam rumah..cara tersebut tidak pernah dilakukan di zaman Rasulullah. Saiyidina Umar akur!

Mengambil cadangan dari Mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin:-

1. Pemberi maklumat hendaklah mereka yang nampak jelas maksiat berlaku seperti terserempak berdua-duan masuk ke bilik hotel...bukan mengekori dan mengintip-intip pergerakan pelaku maksiat.

2. Operasi pencegahan itu pula tidak boleh hanya berasakan 'tajassus' (mengintip) dan syak wasangka. Mengetuk pintu ke pintu dan memecah premis atas laporan yang tidak sahih adalah dilarang.

3.  Tidak boleh dedahkan maksiat kepada umum melainkan untuk tujuan penghakiman. Tidak perlu pendedahan media massa dan internet kerana bakal mengaibkan sipelaku maksiat yang mungkin sudah bertaubat.

4. Tidak boleh menuduh orang yang berkhalwat itu berzina selagi tiada 4 orang saksi yang boleh dipercayai.

Islam tertegak bersama fakta..bukan auta.
Islam berdiri dengan segala kelengkapan isi..bukan emosi.

Begitu indah sebenarnya Islam, malangnya dikotori mereka yang tidak berhemah dalam melaksanakannya!

Saturday 6 October 2018

DIY dan Dia

Leka benar aku bertebaran di dalam premis kedai yang popular...DIY. Ke hulu ke hilir mencari sesuatu. Lepas satu lorong ke satu lorong yang lain.

Masuk aku ke satu laluan yang penuh dengan peralatan-peralatan pertukangan. Terlihat seorang yang agak berumur terbongkok-bongkok mencari sesuatu. Dari sosok tubuh, kukira beliau dalam lingkungan umur 70 tahun lebih. Di tangannya ada beberapa peralatan yang sudah dipilih.

Berselisih denganku sewaktu mahu meninggalkan laluan tersebut, beliau berjalan sambil membongkokkan badan tanda hormat.

Aaiiihhhhh...seorang tua tunduk hormat melintasi seseorang yang muda darinya. Pelik aku! Siapa Dia?

Tiba-tiba melintas di fikiran, sempat ke pakcik tu nak bertukang dengan segenggam peralatan yang dibelinya? Aku kaitkan pula dengan diriku...berapa baki umurku yang yang tinggal dan sempatkah aku menggunapakainya selepas aku membeli beberapa barangan keperluan di DIY?

Siapa pakcik tu? Mengapa fikiranku terarah kepada kematian selepas bertembung dengan pakcik tu? Aaahhhhh misteri betul enigma ini!


Saturday 29 September 2018

Peduli Hapa Kau

Hadooiiiii kau ni dah kenapa? Nak ditegur, dah tua. Tapi kalau dah berumur tu patut lebih peka dan tau sape yang ada di sekeliling. Ni tak, kau selamba je melayan nafsu sendiri.

Kalau ikutkan hati, nak je aku pergi ke meja kau tegur. Tapi bajet bagus-bagus je la pulak kan. Eerrmmm..akupun tak suka berkonflik sesama makhluk...baik binatang, tumbuhan apatah lagi sesama manusia macam kau.

Aku duduk kat situ nak bersarapan dengan tenang, nak sedut udara pagi yang segar...alih-alih kau selamba je menghembus-hembus asap payau tu ke udara dalam kawasan restoran. Adooiii..tak rasa bersalah langsung!

Kau tau tak prinsip utama Artikel 8 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau menyatakan bahawa semua tempat awam telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok? Kau tau tak?

Kau tau tak..asap basi yang kau hembus tu lebih bahaya kepada orang sekeliling dan boleh beri implikasi pencemaran yang sama seperti perokok! Kau tau tak?

Peduli hapa kau dengan kanak-kanak, budak-budak dan wanita-wanita yang nak menjamu selera kat situ. Bila la kau nak jadi matang dan tau menghargai kesejahteraan orang lain.

Aduuusssssss...tosey aku semakin payau rasanya di depan meja orang yang 'tak reti bahasa'!

Saturday 22 September 2018

Pusingan ke 2

Hujung minggu macam biasa, jika tak ke mana, kami berangkat di sekitar jam 7 pagi menongkah udara segar menuju Tasik Cempaka. Damai rasanya bila dapat berjalan santai tanpa terjerat dek kalutnya dunia sekitar.

Sambil beriringan berjalan, aku dan isteri tidak banyak berborak...kami fokus kepada kerehatan minda dan kelancaran kaki mengatur langkah. Berjalan..hanya berjalan. Mahuku berlari..tertinggal pula isteri di belakang nanti...sudahnya kami hanya berjalan...hiiihiiii.

Aku seperti biasa tak lekang bersama lekapan earphone yang disambung ke telefon bimbit...alunan muzik menyemarakkan lagi hayunan langkah... tetapi tidak berlari, hanya berjalan...haaaaaaa.

Di separuh pusingan, terlihat cebisan kertas A4 yang berlipat berupa iklan promosi di atas rumput. Niat untuk cekup kertas tersebut dan buang ke tong sampah...habis cerita. Tetapi tidak begitu cerita yang kureka.

Aku bertangguh untuk mengutip kertas tersebut...mengapa?

Teringat di dalam sebuah kursus kepimpinan yang kusertai, fasilitator menyebut tentang cebisan sampah yang tidak dikutip walau sampah tersebut berada di laluan ramai. Tiap kali berulang-alik masih terlihat cebisan tetap di situ.

"Apa tandanya?", beliau menyoal.

Masing-masing memberi pendapat..
"orang-ramai tak prihatin"
"takde sivik"
"masyarakat kelas ke 3"
"tukang sapu sampah kan ada"

Haaaaa...aku berdiam tak berdecit menanti jawapan dari fasilitator. 

"Maknanya kitalah yang terpilih untuk membuang sampah tersebut. Tak payah tengok orang..kita buang je..dapat pahala".

Ooohhhh jawapan yang diberi amat menyentuh dan bernada motivasi diri. Jawapan beliau tidak terarah meletak salah kepada dunia luar tetapi lebih kepada tindakan diri yang terpilih untuk sebuah kebaikan.

Ya..ini yang cuba aku lakukan. Biar kertas tu di situ, aku akan berjalan di pusingan ke 2 untuk melihat siapa yang terpilih.

Haaaaa...nak tahu siapa yang bertuah? Cebisan kertas masih di situ di pusingan ke 2. Bergegas aku mengambilnya terus kubuang ke dalam tong sampah..huhuuuuu. 

Jika mereka tak peka..aku peka. Kalau mereka tak nak pahala..aku nak pahala tu. Jika mereka kata "bukan aku yang buang", akan kutukar tonasi tersebut dengan "biar aku yang buang".

Habis cerita. Aku terus hayunkan kaki berjalan bersama pasangan...tidak berlari..hanya berjalan, ya..hanya berjalan heeheeee.






Tuesday 18 September 2018

Giliran Aku Bila?

Innalillahi wainna ilaihi roji'un. Hanya patah kata itu sahaja yang mampu kulafaz sebaik sahaja membaca kiriman whatsapp tentang berita kematian kakitangan. Arwah menghidap asthma...dibawa ke hospital malam tadi dan terus menuju ke akhir riwayatnya...semudah itu maut menjemput.

Baru sahaja kelmarin sahabat baikku menghembuskan nafasnya yang terakhir (rujuk tajuk 'Kita Calon Jenazah'). Hari ini seorang pemuda semuda usia 28 tahun sudahpun bergelar allahyarham!

Termenung aku di dalam kereta menuju ke tempat kerja. Mesej apa yang mahu Allah tunjukkan kepada aku..kepada kita semua? Kedua-dua sahabatku pergi dalam keadaan sihat sebelumnya. Mereka berdua berada bersamaku di dalam sesi townhall minggu lepas.

Kami galak bercerita tentang keluarga, kampung dan kerjaya...hari Jumaat. Hari Ahad beliau menjadi arwah...allahyarham Hanafi.

Mesej dariNya jelas..amat jelas. Mati adalah rahsia Allah yang tiada siapa boleh merungkainya. Disediakan dunia di hadapan mata demi untuk menguji sejauh mana tindakan kita dalam berhadapan dengan rempah ratus dunia. Sejauh mana persediaan kita untuk menuju ke alam kekal. Baru nak bersedia? Atau sudah bersedia seawal usia muda? Atau masih terbuai dengan segala yang melekakan?

Hanya kita sahaja yang tahu jawapannya. Aku, kau, mereka dan kita semua tahu jawapannya. Bila jawapannya milik kita, jangan lewat bertindak...takut-takut nafas yang dihembus menjadi hembusan terakhir di atas mukabumi!

Peringatan untuk aku, aku dan tentunya aku...tak tahu bila tiba giliranku...

Al fatihah untuk sahabatku allahyarham Mohamad Hanafi Idris. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin.


Sunday 16 September 2018

Kita Calon Jenazah

Syarat mati bukan berusia lanjut, rambut dipenuhi uban, terlantar berpanjangan, juga yang berpenyakit 3 serangkai. Mati pasti hadir tepat waktu..punca mati? Ia bakal menyusul menurut sunnatullah. 

Mengapa perlu mati? Kerana perancangan Tuhan telah menetapkan begitulah susun atur alam yang tertakluk di bawah arahanNya. Dunia dijadikan tempat untuk menyemai benih sehingga mengeluarkan hasil..dipetik, dituai untuk kelangsungan hidup. Bagaimana kita menguruskan kehidupan?...di situlah persediaan yang harus dijawab di alam transit kelak.

Ralit menonton tv, mesej dari aplikasi 'whatsapp' menerjah masuk. Berita kematian sahabat baik yang sama-sama berjuang di dalam kerjaya masing-masing.

Kami menjadi mesra apabila terpilih untuk diletakkan di bawah program 'pembangunan bakat kepimpinan' yang telah melepasi beberapa ujian kelayakan. Arwah bersama aku di dalam satu kumpulan.

Aahhhh...bila bercakap, tidak lekang senyum di bibir. Suka bergurau dan tidak pernah melanggar batas sempadan privasi diri. Ya, semua akui bahawa arwah seorang yang amat disenangi karekternya.

Berita kematiannya amat mengejutkan. Baru sahaja 2 hari lepas bersua muka di majlis 'townhall' bersama CEO baru. Airmukanya tenang seperti biasa tetapi hari itu beliau seakan tidak mahu berbual-bual denganku. Beliau banyak berdiam. 

Kekadang tujahan soalan monolog diri tidak mampu untukku elak..."mengapa orang baik-baik cepat sangat pergi meninggalkan kita? Sudahnya yang tinggal banyak menyakitkan hati, mengguris perasaan, menempelak sesuka hati, merendah-rendahkan yang lain!"

Serasa aku jua ingin turut serta dalam mendiami alam transit bernama 'barzah' untukku larikan diri dari segala yang luka, terluka dan dilukai.

Tetapi bukan begitu bicara mereka yang beriman. Setiap kejadian dan setiap yang hadir, pasti membawa hikmah di sebalik naratifnya.

Mahu ke alam transit? Hajat itu pasti hadir...pasti! Masanya bakal tiba kerana kita semua merupakan calon-calon jenazah yang menunggu angka giliran untuk namanya diumum...bersedialah wahai diri.

Monolog diri menujah lagi. "apa cerita jika kita baharu sahaja menyakiti hati pasangan dan keluarga. Bertengkar bersama rakan sekerja, mengumpat sesama kita tentang keburukan yang lain...tup-tup Malaikat maut hadir di hadapan wajah dengan janji yang tepat menunjuki tarikh tamat tempoh kehidupan kita...aaahhhhhhhh".

Aku tidak mahu terjerat dalam konflik kehidupan yang dipenuhi watak-watak lanun. Biarlah...biarlah hati ini sahaja yang dirobek-robek tenangnya. Biar sahaja aku yang menanggung segala sarat dan keladak hidup buatan kerenah manusia sekitar...jangan aku yang memperlaku insan sebegitu.

Biar aku yang dilambakkan dengan surat peringatan mahupun amaran..buatan tangan manusia..biar, walau kebenaran berpihak kepadaku. Surat itu juga merupakan mesej dari Allah untuk menduga hamba-hambanya yang mengaku beriman. Juga buatku rasa lebih berhati-hati dengan kakitangan bawahan.

Takut aku kepada hadirnya Malaikat maut yang tidak pernah culas dengan kerjanya...melebihi dari egoku untuk bertengkar menegak kebenaran sesama manusia. Hanya kupinta agar Allah beri aura sabar yang tinggi untuk aku mendepani mehnah hidup.

Kerana Evolusi Jiwaku sedang mengembara menuju ke satu destinasi abadi...infiniti!

Al Fatihah untuk allahyarham Hasan Basri Harun...



Friday 31 August 2018

Terimakasih CEO

Tidak pernah terlintas di minda bahawa ini semua akan berlaku. Belum habis misiku bersamanya dalam sebuah transformasi nilai hidup. Aku, dia, mereka dan semua yang duduk di bawah satu bumbung amat terasa malah seakan dilukai.

Kami mempunyai misi yang sama dalam melakukan sebuah transformasi kehidupan ke atas seluruh kakitangan. Misi tersebut diterjemah dengan penuh bersemangat malah mengundang malu pada diriku bila beliau seakan tidak kenal erti letih dan penat dalam menyampaikan segala yang perlu.

Tidak semudah itu untuk aku melantik seseorang dalam memandu hidup dan kehidupan aku...tidak adil pula untukku meletak kriteria idola sehebat Rasulullah SAW. Tetapi setidak-tidaknya beliau harus ada satu aset yang penting dalam kehidupan ini iaitu watak seorang  profesional berlatar belakang Islamik.

Aku tidak mahu yang jumud..yang hanya mencebik bibir kepada dunia tanpa melakukan perubahan dalam hidup..yang hanya melakukan sesuatu bak ''melepas betok di tangga" (ejaannya betok, bukan batuk). Tidak betah pula aku dengan mereka yang berucap tetapi tidak bertindak...Islam retorik namanya tuuuu.

Beliau...kriteria tersebut muncul perlahan-lahan, sedikit demi sedikit...tidak ketara hadirnya tetapi lama kelamaan warnanya semakin terang dan jelas. Beliau mampu mempamerkan apa yang diucap. Watak yang mengimarah Hablumminallah dan Hablumminannas semakin ketara wujud di hadapanku.

Beliau...seorang pemimpin tertinggi syarikat, mampu untuk hadir ke surau berjemaah bersama kakitangan malah pernah mengimami kami dalam solat. Meletak dasar Islamik dalam tampuk pengurusan syarikat. Rutin tahunan di bulan Ramadhan untuk bertahajud seawal jam 3 pagi bersama kakitangan, doa di setiap pagi sebelum memulakan kerja, laungan azan untuk didengar ke seantero bangunan dan Ceramah Perdana bulanan menjadi bukti betapa beliau meletak dasar Islam di hadapan.

'Walk the Talk' ada pada diri beliau. Pembangunan sahsiah dan diri menjadi gegak gempita di eranya. Beliau menolak kehadiran pengikut malah melahirkan ramai ketua-ketua muda yang berpotensi tinggi dalam menerajui syarikat.

Tetapi hari yang tidak sudi untukku tempuhi hadir jua. Beliau tetap akan pergi...pergi meninggalkan sebuah legasi untuk kami meneruskan perjuangan yang belum selesai...itu janjiku.. Insyaallah.

Selamat maju jaya THA!





Nostalgik Merdeka

Seperti tahun-tahun sebelumnya, hari itu aku berpagi dengan hidangan siaran TV yang memaparkan selautan manusia berkumpul di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Seronok melihat kepelbagaian warna-warni pakaian seragam.

Kagum dengan formasi teratur dan penuh disiplin perarakan yang dipamer.

Teruja dengan jentera-jentera pertahanan yang setia mempertahankan Negaraku.

Tetapi yang paling kutunggu-tunggu apabila lintasan jet-jet pejuang memecah gema sunyi pagi di hadapan rumahku...

Seksyen 17, Petaling Jaya 1975.


Wednesday 18 July 2018

Waghih Den di Bukit Manggo

Travelog aku di hari ke 6 diakhiri dengan memandu destinasi kami ke Mango Hills, sebuah taman perumahan yang susun atur kediaman dan infrastrukturnya begitu teratur dan sistematik.

Isterinya adalah sepupu kepada menantuku manakala suaminya sekampung denganku...Beranang! Botomu waghih di Bukit Manggo nampak gayo eh..hahaaa.

Kehidupan mereka berdua tampak sederhana walau mendiami sebuah banglo yang selayaknya bertaraf 5 bintang. Mereka ramah dan senang dengan tetamu yang hadir. Gurauannya dalam loghat Nismilan mencerminkan peribadi beliau yang tidak lupa dengan asal-usulnya...orang kampung.

Bersama taraf pemastautin tetap (PR) yang dimiliki, beliau seorang yang berjaya dalam membina kerjaya di negara orang. Pasti banyak rahsianya. Dalam kami berborak, aku tancapkan satu persatu kata-kata beliau yang boleh memandu hidupku.

Di antara kata-kata beliau yang sempat kurakam:-

1. Be a producer, not consumer. Takkan selamanya kita hanya menggunakan produk buatan orang. Cipta produk dan imej sendiri agar orang ramai mahupun ketua, yakin dengan kemampuan kita dalam mengendalikan tugasan yang diberi.

2. Hormat dan berdisiplin. Semua orang ada kerja yang nak disiapkan. Semua orang nak datang ke tempat kerja tepat pada waktunya. Tapi itu bukan alasan untuk kita tak berdisiplin dan melanggar segala peraturan di jalanraya. Potong barisan sesuka hati, langgar lampu isyarat dan lain-lain lagi. Kita tak hormat orang lain dan pengguna jalanraya.

3. Jangan layan masalah remeh-temeh..perangai manusia tak pernah habis untuk dikupas.

4. Jangan berhenti berfikir...terutama untuk memajukan diri, keluarga dan ummah.

5. Hormati sistem. Sistem dicipta untuk memudahkan pergerakan manusia.Jika sistem itu tidak efisien, cari jalan dan cadangan untuk penambahbaikan.

6. Berdikari. Hidup jangan bergantung dengan ikhsan orang. Aku setuju! Jika di Malaysia, banyak kelebihan yang kita miliki dengan status 'Melayu'. Bersebab itulah aku hormati kejayaan yang beliau kecapi di luar negara kerana tiada apa-apa keistimewaan yang beliau perolehi untuk sampai ke tahap sekarang. Semuanya bersaing sengit.

Apabila tiba masa, beliau bercita-cita untuk menamatkan karier dan kembali ke tanahair bagi menabur bakti kepada anak bangsa dengan menubuh sebuah institut (atau yang setara dengannya). Memotivasikan pelajar dan berkongsi pengalaman agar anak bangsa terus maju membina kerjaya walau di mana mereka berada.

Itulah kriteria orang yang berjaya..menempuh payah. Tiba waktunya, mereka mencari jalan menabur bakti kepada yang lain.

Terimakasih abang Baharin...terimakasih Zila. Dua hari bersama, meletak aku di posisi yang amat mengujakan. Kalian wajar dijadikan contoh...anak Malaysia di perantauan yang berjaya dan tidak hilang keMelayuan dan keIslamannya. Ya...'Tidak Melayu Hilang di Dunia', seperti yang diungkap Pahlawan Melayu Hang Tuah.

Ucapan terimakasih itu kuabadikan di sini dan akan kekal di sini selamanya!

Mango Hills, Queensland 5 Julai 2018


Sunday 15 July 2018

Travelog Merentas Timur Benua

30.06.2018 / Sabtu - Sesampai kami di lapangan terbang Gold Coast, kami bersiar dan berpiknik di pantai berhampiran..Point Danger. Anak menantu siap menyediakan jamuan tengahari untuk kami nikmati bersama deruan angin dan panorama yang memikat.







Dalam perjalanan menuju ke kediaman, kami singgah di sebuah kedai topi 'Hats by the Hundred'. Pelbagai jenama dan rekabentuk topi dipamer. Menantuku melepas hajat seseorang yang mengirim jenis tali topi yang original.



 

Hampir sampai ke rumah, kami singgah ke sebuah masjid yang tertua di Brisbane untuk melunaskan tanggungjawab yang kupasakkan status jamak dan qasar ke atasnya.




Di petangnya kami ke DFO (direct factory outlets), sebuah komplek yang menjual pelbagai barangan, pakaian dan keperluan diri. Potongan harga yang meriah membuat kami melekat lama di situ..hihiiiii



 

01.07.2018 - kami ke Rocklea Market Place, sebuah pasar terbuka yang menjual pelbagai jenis barangan. Saturday Fresh Market bersama barangan basah dan keperluan harian manakala Sunday Discovery Market mempamer keperluan dapur, aksesori telefon bimbit sehinggalah kepada berjenis tumbuhan...seperti pasar malam di Malaysia gamaknyeeee...



Singgah pula di Duong Dong Market, sebuah pasar basah dan kedai runcit juga Plaza Inala yang didominasi oleh warga Vietnam. Menurut sejarah, Inala merupakan tempat pertama pendatang Vietnam berhijrah dan membina penempatan di situ dan berlarutan hingga ke generasi sekarang.

02.07.2018 / Ahad - Kami ke bandar Brisbane memilih menaiki pengangkutan awam, menjamu mata dengan pelbagai barangan cenderamata sambil menikmati susun atur bandar yang sistematik. Basikal menjadi di antara kenderaan untuk mereka bergerak di sekitar bandar dan mereka diwajibkan memakai topi keledar. Sepanjang berada di sini, aku gagal untuk melihat mereka yang berbasikal tanpa topi keledar..sudah menjadi budaya buat mereka. 

Pergi menaiki bas, balik bersama pengangkutan feri menelusuri sepanjang sungai hingga ke lokasi kediaman...heaven!




Sebelum matahari terbenam, kami menelusuri jalan menuju ke sebuah bukit...Mt Coot-tha. Pemandangan dari atas bukit pasti tidak mengecewakan apatah lagi diiringi remang-remang cahaya merah tanda matahari mahu berundur...asyik aku memerhati senario yang indah itu.




03.07.2018 - Sehari berdiam di rumah melepas lelah..thee heee

04.07.2018 - Kami berlepas ke Pusat Konservasi Koala yang terletak 30 km dari kediaman St Lucia. Rujuk blog bertajuk 'Fauna Yang Pupus' 04 Julai 2018.

Sehabis menjarah habitat koala, destinasi yang seterusnya ke sebuah jambatan yang dinamai sebagai 'Story Bridge'. Jambatan berusia 78 tahun yang berjarak hanya 1 km tetapi menjadi aset penting bandar Brisbane yang direntasi oleh lebih 100,000 kenderaan setiap hari. Gabungan jambatan dan sungai yang bersih, melengkapi pemandangan menarik.



Destinasi seterusnya ke Kangaroo Point, taman rekreasi bersebelahan sungai yang sangat terjaga kebersihan dan fasilitinya. Aku perasan, di setiap pantai mahupun taman rekreasi, mereka menyediakan kemudahan alat bbq elektrik untuk mereka berkelah dan membawa bekalan. Yang menariknya, alat-alat tersebut penuh terjaga dan panjang hayatnya tanpa apa-apa kesan vandalisme.

Bersama bekalan yang dibawa, kami menjamu selera di tepi sungai bersambil melihat feri-feri melintas...heaven!





Kami mengakhiri hari ke 5 dengan melawat Universiy of Queensland yang mana merupakan pilihan menantuku dalam melanjutkan pengajiannya di bidang Chemical Engineering.




05.07.2018 - Pemanduan dari St Lucia ke utara Brisbane menempuh masa 45 minit. Kami singgah di Maleny Cheese untuk merasai keenakan keju buatan Australia. Kami juga berpeluang melihat proses pembuatan keju di satu sudut yang direka khas untuk dipertontonkan kepada pengunjung-pengunjung yang datang.




Cuaca semakin mencengkan tulang hitam, 12'c ditambah dengan hujan renyai-renyai menemani destinasi kami ke Mary Cairncross. Kami menikmati panorama indah di atas bukit. Suasana yang nyaman, aman, indah dan penuh damai...Subhanallah!



Baroon Pocket Dam merupakan persinggahan kami yang seterusnya. Sebuah empangan yang berketinggian 370 meter yang siap dibina pada tahun 1989, merupakan kawasan yang mempunyai purata taburan hujan tahunan yang tinggi. Empangan yang berkeluasan 72 km persegi menerima 2000 mm air hujan setahun dan apabila penuh, Tasik Baroon boleh meliputi 380 hektar dan boleh menampung 61,000 megaliter air seterusnya menjadi pembekal air utama ke perbandaran Caloundra dan Maroochy di bahagian Tenggara Queensland. Baroon Pocket Dam juga merupakan kawasan rekreasi yang menyediakan aktiviti berkayak, berkanu, belayar, berenang, memancing dan lain-lain lagi.


 

perjalanan seterusnya...