Translate

Monday, 11 February 2013

Ayam vs Babi

Sheikh Muhammad Abduh
BABI...banyak kelebihan sebenarnya terdapat pada haiwan ini seperti dagingnya yang lembut dan lazat (ditanya pengalaman bukan Islam yang pernah menjamahnya). Tulangnya boleh dibuat gelatin dan menjadi pemangkin yang bagus untuk produk ais krim dan pastri. Kulitnya juga amat berkualiti untuk menghasilkan produk kasut yang lembut dan selesa. Tidak ketinggalan bulunya yang halus dan tidak bercabang hujungnya bagi membuat berus cat. Mengapa Allah mencipta haiwan terlarang tetapi penuh berkualiti ini? Maha suci Allah yang mencipta...pasti ada hikmah di sebaliknya.

Di abad ke 20 lagi manusia sudah membuktikan melalui kajian-kajian makmal bahawa pada babi terdapat sejenis cacing yang tidak mati walau dimasak dalam air bersuhu tinggi. Bermakna kita yakin bahawa babi memang najis mughallazah yang perlu disertu (samak) apabila produknya bersentuhan dengan peralatan kita. Apalagi jika kita yang pernah bersentuhan terus dengannya (doktor veterinar contohnya).

Bagaimana pula halnya dengan manusia yang hidup di abad sebelumnya? Tiada teknologi yang boleh membuktikan status haiwan ini yang kotor. Hanya mereka berpegang kepada Nas al Quran, "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah.." surah al Baqarah ayat 173. 
Mereka hanya dengar, taat dan beriman dengan ayat tersebut.

Tetapi ada satu kisah menarik yang ingin kukongsi, berlaku di abad ke 19 yang mana teknologi sains belum mampu membuktikan secara mantik (logik) tentang kewajaran Allah mengharamkan babi.

Syeikh Muhammad Abduh adalah seorang mujahid dan reformis Islam yang terkenal lahir pada tahun masihi 1849. Beliau mempunyai fikiran terbuka dan berkembang untuk memajukan umat Islam dari pemikiran yang jumud dan bertaklid membabi buta.

Suatu hari beliau telah dicabar oleh mubaligh Kristian bagi membuktikan secara logik akal mengapa Allah mengharamkan babi kepada umat Islam. Cabaran itu sebenarnya bagi memalukan golongan ulama' Islam kerana mubaligh itu yakin tiada apa yang dapat dibuktikan oleh mereka. SM Abduh telah menyahut cabaran tersebut dengan mensyaratkan pembuktian itu mestilah disertai oleh orang ramai.

Hari yang dinantikan tiba, ramai yang telah berkumpul dan kesempatan inilah yang dinantikan oleh SM Abduh.
"Sila masukkan dua ekor ayam jantan dan seekor ayam betina ke gelanggang" SM Abduh memulakan strategi. Masuk sahaja ayam-ayam tersebut, dua ekor ayam jantan telah berlaga bagi mendapat hak memiliki sibetina. Sehinggalah salah seekor ayam jantan tewas maka permainan tersebut telah dihentikan.
"Sekarang masukkan pula dua ekor babi jantan dan seekor babi betina ke dalam gelanggang". Anda tahu apa yang berlaku? Kelihatannya tiada berlaku perebutan dan dua ekor babi jantan tersebut bergilir-gilir mengawan dengan sibetina!

"Wahai sekalian yang hadir, anda telah saksikan betapa haiwan yang halal dimakan iaitu ayam mempunyai sahsiah tinggi dalam mempertahankan hak mereka. Mereka berjuang dan tak rela pasangan mereka dikongsi bersama oleh yang lain. Mereka ada rasa cemburu dan sifat kekeluargaannya tinggi".

"Anda juga telah saksikan mengapa Allah mengharamkan babi kepada Muslim. Pada mereka tiada ciri-ciri pejuang sejati. Hak mereka boleh dikongsi dan tiada langsung rasa cemburu dan marah terhadap yang lain". Dakwah ulama' itu mula menusuk dan bertambah keimanan yang hadir. 

Ya...Apa yang kita makan pasti akan menjadi darah daging, ia akan mempengaruhi perlakuan mahupun sahsiah diri kita. Benarlah ayat-ayat Allah mempunyai mukjizat yang tinggi bagi membuktikan sesuatu yang kita bertelingkah terhadapnya.

Maha suci Allah yang telah memberi ilham kepada Syeikh Muhammad Abduh pada abad ke 19 iaitu di kala sains belum sampai ke tahap membuktikan bahawa genetik makanan juga memberi peranan dalam pembentukan diri manusia 'KITA ADALAH APA YANG KITA MAKAN'

No comments:

Post a Comment