Translate

Monday 30 December 2013

Romantika

Romantik? Eeeerrr...apa definisi romantik tu? Adakah bila kita pandai melayan 'girlfriend', baru dikatakan romantik? Atau bila kita selalu beri bunga, itulah romantik? Kita tak pernah tinggi suara dan mengikut sahaja kehendak 'awek', romantiklah tuuuu!!!
Haaaiiii...jika semua senarai di atas wujud dan itu dikaitkan dengan romantik, tak sesuailah nampaknya untuk aku diberi gelaran itu. 

Aku tidak pernah melayan wanita dengan bunga apatah lagi menyimpul bahasa berbunga. Pernah seseorang membaca blog aku mengatakan aku memanipulasi bahasa-bahasa puitis dalam zaman percintaan di usia remaja.

Salah!!! 

Zaman bercinta aku bersama isteri tidak lama. Mengenalinya dalam beberapa bulan dan terus diikat dengan tali pertunangan. Jadi, tidak perlu untukku bermain bahasa bagi memenangi hatinya.

Aku lebih memikir untuk menjadi romantik dalam memohon kepadaNYA. Mendayu-dayu merayu, meratap hiba meminta, mengharap belas ikhsan
dengan penuh kerendahan hati.

Aaahhhhh...manis dan romantik bila bersamaNYA.

Lebih berbaloi rasanya...errrrmmmm.


'Wall' Yang Dibohongi



Jika 'update wall' tentang diri, pasti perkara baik-baik dihidang. Mana mungkin yang jelik mendapat tempat.
Tidak mengapa, sifat semulajadi manusia...begitulah.

Dalam berseorangan, renungkan kembali sisi kotor itu untuk diperbaiki...imbangi dengan segala yang diredhaiNYA.
Tetapi entah mengapa, bukan semulajadi untuk menusia memikirkan sudut gelap...rasa itu hilang.

Mempromosi kebaikan diri tetapi tiada peruntukan masa untuk yang bernama 'muhasabah diri'.
Kita membohongi 'wall' rupanya...

Bila Mulut Berbicara

Mulut itu tahu ia pasti bisu di Mahkamah Allah tetapi 'mulut' tetap mahu bicara sembarangan lantaran bersahabat rapat dengan nafsu.

Intimkan 'mulut' bersama 'akal' agar seluruh pancaindera yang lain bisa menjadi saksi kewarasan 'mulut' lantaran tidak banyak bicaranya walau ia mampu dan bebas melontar bahasa.

Fikir...

Perubahan Itu Sunnatullah

Perubahan adalah Sunnatullah yang tertakluk kepada hukum alam. Mahu atau tidak, suka atau benci...perubahan tetap berlaku.

Jikapun tidak mampu untuk kita merubah insan sekeliling, pastikan kita lakukan perubahan ke atas diri menuju segala yang baik...

...kerana kisah hitam yang terpalit tidak bersifat kekal dalam diri...pilihan itu adalah kita!

Genetik Dan Geografi

Apa sahaja yang datang dari Nas al Quran dan al Hadis...terimalah tanpa ragu, terimalah tanpa pertikaian, terimalah tanpa beralasan, terimalah sepenuhnya tanpa memilih-milih mengikut selera. 

Apa sahaja yang datang dari Ulama' mahupun guru, terimalah sekira ia bertepatan dengan Nas dan Jumhur Ulama'. Pandangan mereka masih boleh diperbahas tetapi berhujahlah dengan penuh adab dan hikmah.

Kita yang jahil ilmu jangan mudah melabel manusia kerana ISLAM itu adalah 'persaudaraan', melangkaui batas genetik dan geografi.
...tetap berlapang dada menerima teguran.


Izrail Tidak Leka

Dalam menuju barzakh, berazamlah untuk tinggalkan segala dosa di sempadan dunia...jangan dibawa berjumpa ALLAH.

Tegasnya...BERTAUBATLAH di setiap saat dan ketika kerana Izrail bertamu tepat pada waktunya!

Fikir...

Di Mana DIA?

Kita perlu sakit bukan hanya untuk merasa 'sakit' tetapi bagi merasai kasih sayangNYA. Jika didatangi sakit dan kita merasa kesakitan melebihi kasih sayangNYA...ketahuilah bahawa yang sebenarnya 'sakit' adalah HATI!!!

Kita perlu masalah bukan hanya untuk mendewasakan diri tetapi untuk kita bergantung penuh kepadaNYA dalam mencari penyelesaian.

Jika dihampiri masalah masih ingin mencari makhluk melebihi sujud kepadaNYA...ketahuilah kita bukan mencari jalan keluar tetapi hanya menambah parah masalah yang ada!!!


Sunday 22 December 2013

Seliparnya Hilang

Kelihatan seorang ayah dan anaknya berjalan keluar masjid seusai solat Jumaat. Budak lelaki itu di lingkungan usia 12 tahun kelihatan rancak berbual dengan ayahnya di perjalanan menuju ke kereta. Tetapi kerutan dahi anak itu menampakkan topik yang serius.

Ya...serius kerana ayahnya berkaki ayam menuju kereta!

Aku yang berjalan di belakang mereka memasang telinga untuk mengetahui biji butir perbualan.

"Mana selipar ayah?"

"Hilang, orang tersalah amek kot".

"Ayah ni...kenapa sampai berkaki ayam. Amek je la selipar orang lain kalau selipar ayah orang curi. Ayah tak malu ke...jalan macam orang gila takde selipar!"

"Ayah lagi malu kalau amek selipar orang lain. Biarlah selipar ayah hilang...bukan rezeki ayah. Lagipun ayah boleh beli selipar lain. Tapi kalau ayah curi atau amek selipar orang lain tanpa kebenaran, ayah akan tanggung dosa selagi mana selipar tu ayah pakai. Kalau setakat jalan berkaki ayam ke kereta...ayah tak kisah, ok je".


Anak itu masih berkerut wajah tanda protes kepada pencuri selipar ayahnya. 

Aku terkesima sebentar dengan dailog si ayah. Dia sedang mendidik anaknya di ketika itu! Subhanallah...

Tuesday 3 December 2013

Kecil Berimpak Besar

Setiap pagi seperti biasa dalam perjalanan ke pejabat, aku akan mendengar siaran radio IKIM dalam slot kegemaran 'Motivasi Pagi' jam 0730. Pagi itu ada cerita menarik yang disampaikan oleh seorang ustaz dan aku teruja untuk berkongsi cerita itu di laman blog.

Dalam satu sesi temuduga jawatan pegawai di sebuah syarikat yang besar, hadirlah calon-calon hebat yang mempunyai kertas-kertas kebanggaan yang dijaja ke sana ke mari. Kesemua mereka berpakaian kemas, berkemeja lengan panjang, bertali leher, berseluar licin dan tajam di hadapannya, berkasut hitam.

Keterampilan itu memang dituntut di dalam Islam.

Tetapi ada seorang pemuda yang nampak amat sederhana penampilannya, tidak sehebat yang lain. Pemuda itu nampak tidak pandai bergaya. Kemejanya agak lusuh dan besar. Tali leher panjang berjela melepasi talipinggang. Kasut yang sudah tertanggal lapisan warnanya tetap dipakai. Orang kampung agaknya.

Jika mahu dianalisa, harus dia gagal dalam sesi temuduga itu. Mana mungkin panel tertarik dengan penampilan sebegitu yang bakal mewakili syarikat gergasi. 'First impression' sudah dikira kecundang.

Sebelum bermula sesi temuduga, pemuda kampung itu menuju ke bilik air dan selepas melepas hajat, dia berdiri termenung di sinki di hadapan cermin...memikir masalah agaknya. Di dalam sinki terdapat cebisan makanan, nasi dan sayur hasil ludahan mereka yang keluar masuk bilik air tersebut. Sambil termenung, pemuda itu mengalirkan air paip untuk membersihkan cebisan makanan...sinki itu kembali bersih sambil kakitangan lain keluar masuk tanpa dipedulikannya.

Sesi temuduga bermula, seorang demi seorang dipanggil masuk ke bilik dan nampaknya semua yang hadir mempunyai daya fikir yang hebat-hebat termasuklah pemuda kampung itu. Sah...jika itulah keadaannya, harapan pemuda itu amat tipis kerana yang diperlukan hanya seorang.


Selang seminggu, pemuda itu menerima surat pelantikan ke jawatan pegawai di syarikat gergasi tersebut. Dia amat-amat tidak menduga tetapi berasa teruja untuk menempuh hari pertama bekerja.

Dia memulakan kerjaya dan melapor diri kepada ketua jabatan yang menjadi panel penemuduga tempoh hari. Pemuda itu mengucapkan terimakasih kepada 'boss' nya kerana memilih dirinya untuk jawatan penting syarikat.

"Awak tahu mengapa saya pilih awak di antara ramai calon? Bossnya bertanya.

"Tak tahu Encik, saya tak tahu", jawab pemuda itu dalam nada merendah diri.

"Di hari temuduga tempoh hari, saya nampak awak termenung di dalam bilik air dan tertarik dengan tindakan awak membersihkan cebisan makanan di dalam sinki walau bukan awak yang meludah". 

"Tindakan itu menunjukkan awak tidak memandang remeh perkara-perkara kecil yang ramai terlepas pandang sebenarnya. Kebiasaannya mereka akan lebih memberi tumpuan untuk menyelesaikan perkara yang besar-besar tetapi terlupa bahawa kebanyakan punca masalah bermula dari yang kecil-kecil...dibiar tanpa tindakan sehingga menjadi masalah besar dalam syarikat".

"Bukit dan gunung tidak tercipta dari longgokan batu-batu besar yang dicampak ke atasnya tetapi asalnya dari pasir-pasir kecil yang bertimbun sehingga membentuk sebuah pasir gergasi".

"Itulah 'X Factor' yang membezakan awak dari calon-calon yang lain". 

Pemuda itu tergamam tanpa sepatah kata...dia benar-benar tergamam. Ingin rasanya dia sujud syukur di saat itu juga.

"Perlakuannya di dalam tandas telah menggerakkan hati manusia lain untuk memilihnya...Subhanallah. Terimakasih ya Allah...terimakasih". Hatinya berbisik sebak.

Thursday 28 November 2013

Jin Itu Menyerang

Terpanggil untuk aku berkongsi cerita, cerita berkenaan sesuatu yang agak menyeramkan...menaikkan bulu roma tengkuk juga membuat mulut terlopong menunggu akhiran cerita.

Hari itu seperti biasa kami menghadiri kelas di Darul Syifa'. Ustaz Rashid...merupakan tenaga pengajar yang sudah lama berkecimpung dalam liga jin dan makhluk halus. Segala sepak terajang alam ghaib sudah ditempuhnya habis. Kami pula berasa tidak sabar untuk menimba sebanyak mungkin ilmu darinya selain dari Dato' Haron Din sendiri.

Ustaz Rasyid suka tersenyum. Cara penyampaiannya amat bersahaja dan santai selamba. Sekali-sekala dibuatnya cerita lawak agar keadaan ceria dan tidak membosankan.

Tetapi hari Selasa malam Rabu tersebut agak berlainan penampilannya. Ustaz Rasyid mengajar dengan gaya yang agak serius...jadilah kami serius mendengarnya.

Sehabis mengajar, Ustaz Rasyid menawar satu cerita sebagai penutup kelas di hari tersebut. 

Ini kisahnya...

Hari itu ada panggilan kecemasan dari seseorang meminta bantuan...adik kepada pemanggil di dalam situasi meracau tidak keruan. Ustaz Rasyid sebetulnya ingin menghabiskan masanya bersama keluarga tetapi atas prinsip Darul Syifa' yang memberi prioriti kepada keadaan cemas tersebut, waktu santai bersama keluarga terpaksa ditangguh.

Keadaan meracau, histeria, terpekik terlolong dan bercakap bahasa Siam sudah sebati dengan Ustaz Rasyid. Alhamdulillah, jin yang degil tersebut dapat dihalau dari tubuh mangsa. Mangsa keletihan kerana telah dijadikan perumah oleh suku-sakat jin...mangsa terus terlelap.



Seusai tugas, Ustaz Rasyid bergegas balik ke rumah untuk menunaikan tanggungjawabnya bersama keluarga pula. Mereka anak-beranak menukar selera makan di luar. 

Dalam perjalanan pulang pada lebih lurang jam 1100 malam, Ustaz Rasyid terdengar bunyi suara-suara halus di dalam kereta yang dipandunya. Anak-anak dan isterinya diam membisu tanpa sepatah kata...menanti apa yang bakal berlaku seterusnya. Semakin diperlahankan kereta, semakin jelas kedengaran suara tersebut.

Ustaz Rasyid tidak berlengah, diberhentikan kereta dan dimatikan enjinnya sekali. Beliau mengarahkan keluarga keluar. Dibacanya ayat-ayat yang digeruni jin sambil beliau berjalan mengelilingi kereta. Suara halus itu hilang. "Mungkin jin yang aku halau sebentar tadi mahu menyerang keluargaku pula", Ustaz Rasyid mula mengagak sesuatu.

Ustaz Rasyid meneruskan pemanduan. Selang tidak beberapa minit, suara itu kedengaran lagi.

"Ni betul nak cari pasal jin ni", suara Ustaz Rasyid mula keras memberi amaran. Anak dan isterinya mula gusar, takut perkara buruk menimpa.

Beliau sekali lagi memberhentikan kereta dan mengulangi doa dan petua menghalau makhluk halus. Suara itu hilang lagi.

Perjalanan diteruskan...selang beberapa saat suara itu menghantui lagi!!!

Ustaz Rasyid sudah hilang sabar. Beliau memberhentikan kereta dan duduk berdiam selama beberapa minit untuk mengetahui biji butir perbualan makhluk di alam ghaib itu. Anak dan isterinya tidak berdecit. 

Dalam keadaan gelap kereta, mata beliau terkerling ke arah sesuatu. Di sebelah peha kirinya berkelip-kelip lampu kecil berwarna oren


AAAHHHHHHHHHHHHH!!!!!!

"Rupa-rupanya suara itu datangnya dari radio yang tidak di 'off' dengan 'volume' ditahap paling minimum...sayup-sayup bunyinya beralun dan itu saya sangka perbualan makhluk halus", selamba Ustaz Rasyid menutup ceritanya.

Hahahahaaaaaaaa....pecah derai tawa pelajar-pelajar. Mulut yang tadi terlopong tersengih-sengih malu.

Alahai Ustaz Rasyid...

Wednesday 27 November 2013

Mampukah AKU Berkarya?

AKU...Aku sering mencari-cari rentak irama untukku berkarya. 

MASA...masa memain peranan utama kekadang menjadi musuh pertama. Aku berperang dengan masa dalam misi melengkapkan hasil karya. Jika di hari-hari biasa, amat luarbiasa sekiranya aku dapat menyiapkan satu artikel lengkap. Biasanya, aku cuma berada di dalam 'mode' memerhati keadaan sekitar lalu kukumpul segala maklumat dan disimpan cermat untuk dilengkapkan di waktu yang sesuai. Alahai...bilalah tiba waktu yang sesuai itu ye.

Sebenarnya bagiku, cemburu jangan dikaitkan dengan masa kerana Allah memperuntukkan masa yang sama kepada setiap makhluknya. Masa tidak pernah mencemburui kita sepertimana yang sering diperkatakan oleh para penceramah mahupun pengacara. Kita yang sebenarnya patut mencemburui masa kerana tidak cerdik untuk menguruskannya apatah lagi jika masa itu terbuang begitu sahaja tanpa diisi perkara-perkara berfaedah.

Pak Yeop...orang lama di syarikat tempatku bekerja dan sudahpun mengakhiri perkhidmatannya di usia 55 tahun. Pak Yeop menjadi di antara guru-guru yang menggilap kamampuanku untuk meneroka masalah jiwa. Pernah aku berhubung dengannya bertanya khabar. Pak Yeop berpesan kepadaku agar tidak melewat-lewatkan masa untuk berbuat kebaikan. Jika terlintas sahaja di minda, buatlah semampu yang boleh. Pak Yeop berkongsi cerita bahawa di waktu dia masih berkhidmat, dia berniat untuk fokus menambah amal apabila sudah berpencen...banyak masa detik hatinya. Tetapi lain pula kisah bila waktunya tiba. Pak Yeop sibuk bermain dan menjaga cucu, badan Pak Yeop sering letih dan sakit-sakit, sehingga membantutkan niat Pak Yeop yang ingin menambah amal di waktu pencen. Alahai...itulah penangan masa!

ILHAM...kekadang hadir tanpa diundang, sering juga ilham menyepi malu bertandang. Kerap ilham tiba di kala aku sibuk atau sedang memandu. Jika tidak dicatat biji butir ilham, pasti ia akan berlalu pergi tanpa mampu kuingat apa yang terlintas...rugi. Itu juga menjadi cabaran untuk aku tingkatkan pacuan daya ingatan dalam menyimpan memori. Salah satu caranya, banyakkan berzikir. Lihat sahaja Ulama'-ulama' salafi yang mampu menghafal beratus ribu Hadis-hadis yang berbeza kategori. Imam Syafie yang hafaz al Quran di awal usia tujuh tahun. Amalan zikir itulah rahsianya!

SUBJEK...aku perlu mahir atau setidak-tidaknya tahu menganalisa sesuatu subjek atau isu sebelum kupaparkan hasil karya. Ini bukan remeh kerana jika aku tidak serius dalam menganalisa sesuatu topik untuk mewakili minda pandanganku, ia bakal menjadi bahan gelak tawa audien yang menatapnya. 

Aku lebih cenderung dalam mengupas isu-isu agama mahupun berkenaan tasawwuf jiwa kerana perjalanan hidupku banyak dibelenggu dengan mehnah tersebut. Berhadapan kerenah haiwan tidak sehebat apabila disua dengan sunnah manusia...kekadang bisa gila jadinya. Di situlah khazanah tasawwuf memain peranan dalam menstabilkan jiwa. Jiwa yang seakan ikan di laut, tidak terjejas isinya walau bertahun mendiami laut masin...ikan tetap tawar! Di situlah timbulnya analogi bahawa jiwa yang mantap tidak terkesan dengan cebikan bibir manusia sekeliling.

BAHASA...bahasa boleh mempamer siapa diri kita. Bahasa mempunyai tarikan dalam menarik minat seseorang untuk meneruskan bacaan. Bahasa bisa memaut rindu mereka yang dibelenggu panahan ayat sakti. Aku perlu berkomunikasi dalam garapan perenggan-perenggan yang tersusun. Tidak aku gusar sekiranya mereka yang membaca tidak melekat hatinya dalam meneruskan bacaan artikelku. Yang lebih memeritkan bila aku sendiri hilang arah dalam menyusun atur kalimah-kalimah untuk terciptanya ayat buat tatapan semua.
KONSISTEN...pepatah yang amatku geruni apabila aku mula menghasilkan seauatu produk ialah 'hangat-hangat tahi ayam'. Entah berapa lama aku mampu bertahan dan beristiqamah dalam menghasilkan karya. MASA, ILHAM, SUBJEK, BAHASA...hadirlah semua agar aku mampu KONSISTEN dalam berkarya...errmmmmm.

Sunday 17 November 2013

Biarlah Rahsia



Mengapa perlu berahsia? Biarkanlah sahaja mereka tahu perihal keluargamu, isteri, anak-anak mahupun kehidupan harianmu. Bukankah sekarang banyak laman-laman sosial yang boleh melampiaskan apa sahaja yang boleh dijadikan bahan cerita. 

Melangkah sahaja kaki ke luar pintu...'update'.

Makan dan minum seenaknya, jangan lupa 'update' (pastikan 'update' bila makan di tempat-tempat eksklusif sahaja. Kalau waktu sengkek makan maggie...jangan 'update').

Pergi ke mana sahaja yang bisa kaki melangkah...'update' (tempat yang biasa-biasa jangan 'update').

Perkembangan anak-anak yang bijaksana dan bijaksini...jangan lupa 'update' (tapi pastikan yang bijak sahaja, yang kurang bijak dan bodoh jangan 'update').

Dapat kereta baru...'update'.

Rumah cantik, besar dan penuh hiasan...'update' (rumah pangsa mahupun teres setingkat, jangan 'update' tau).

Anak-anak  berjaya..'update' (yang gagal jangan 'update').

Beli barangan baru dan 'branded'..'update'.

Dapat 'baby' comel, anak perempuan cantik, anak bujang handsome...'update' (anak hodoh dan cacat jangan 'update'..malu laa).

Bila kepala rasa pening, demam, mahupun tidak selesa...'update' untuk dapat komen simpati (pastikan jika sihat, jangan 'update' sebab 'sihat' itu milik kita, sakit pula amat menyusahkan dan perlu minta simpati untuk menyembuhkannya).

Eeerrmmmm...jika itulah peranan laman sosial yang dikatakan mengikut peredaran zaman...BIARLAH AKU TERUS-TERUSAN BERAHSIA KERANA AKU KURANG SEGALA-GALANYA. Tidak layak untukku berlaman sosial. Tiada apa yang perlu dikongsi kerana semuanya hanya dipinjamkan sementara untukku...bukan milikku. Ya...itu semua bukan milikku.

Terimakasih di atas saranan itu...tiada apa yang perlu di 'update'...terimakasih!

Saturday 16 November 2013

Jom Ikut Langkah Syaitan

"Aaarrr..ape? Nak ikut langkah makhluk terkutuk tu? Dah gile ke ape kau ni? Makin jauh blajar agama makin melalut plak ajaran kau, mazhab mana kau ikut ni?" Amin jadi tidak keruan dengan saranan aku.

"Rilek la Min, aku dah analisa sifat syaitan ni dan aku rasa ada karektor yang boleh kita ikuti. Kau nak dengar tak?" aku bermuka selamba dengan ketidakpuasan hati sahabat baikku itu.

"Uuiissyyyy...tak payah lah Zi. Aku ni bukan blajar agama sangat tapi kalau setakat nak ikut pe'el syaitan, orang tak mengajipun tahu siapa syaitan tu. Mana ada sifat baik..semuanya buruk. Syaitan tu dilaknat Allah sampai hari kiamat tau tak Zi! Alih-alih kau nak aku ikut jejak langkah syaitan...simpang Malaikat 44", 

Amin semakin berangin dengan desakan aku sebentar tadi. Mahunya tak angin satu badan budak Amin tu...aku sarankan kepadanya dalam mengejar kejayaan dan kehidupan seharian kita saharusnya mengikut langkah syaitan.

Umat Islam tidak pernah peduli dengan kewujudan syaitan di sekeliling. Sebab itulah mereka tiada masa untuk meneliti dan menganalisa sifat-sifat syaitan. Bila al Quran dan al Hadis menyarankan agar kita menjauhi syaitan dan tipudayanya, terus kita tutup pintu untuk kenal siapa syaitan itu.

"Min...kau dengar dulu, aku nak citer ni. Kau tarik nafas panjang-panjang dan lepaskan perlahan. Lepas tu kau lapangkan minda untuk menjadi seorang pendengar...jangan menyampuk boleh tak", aku cuba tenangkan Amin untuk mendengar sarananku.

"Cuba kau perhati betul-betul...misi syaitan adalah untuk menyesatkan manusia. Syaitan juga telah mendapat kebenaran dari Allah untuk misi itu. Kenapa Allah tak halang? Sudahlah syaitan menderhaka dan engkar suruhan Allah, Allah beri pula peluang untuk syaitan sesatkan manusia yang Allah cipta dengan TanganNYA sendiri". Aku lihat Amin akur dengan permintaanku untuk menjadi pendengar tanpa menyampuk.

"Haa Min...kat situlah Allah suruh manusia berfikir. Tak semestinya dia musuh kita, kita tak boleh belajar sesuatu darinya".

"Syaitan tak pernah kenal erti putus asa dan kecewa dalam hidupnya. Syaitan akan terus-terusan melancarkan misinya hingga berjaya dan menatijahkan kesan ke atas mangsanya. Syaitan mempunyai plan dan strategi yang ampuh dalam menyelesaikan misinya".

"Aku beri satu contoh. Ada satu kisah yang mana syaitan ingin menggoda pemuda alim untuk menjerumuskan dirinya ke lembah maksiat. Syaitan tahu jika dibisikkan kalimah-kalimah keseronokan dunia, tidak akan memberi kesan kepada pemuda itu. Lalu apa strateginya? Syaitan memasang strategi dengan menyamar sebagai orang alim tetapi ditunjukkan kealimannya melebihi dari pemuda itu. Amalan solatnya tidak pernah lekang dan nampak hidupnya penuh dengan pengabdian diri kepada Allah".




"Abis tu apa jadi", Amin mula tak sabar dengan penceritaanku.

"Pemuda itu mula perasan ada orang lain yang bersungguh-sungguh beribadat yang tidak mampu untuk diikutinya. Dia mendekati orang alim itu dan bertanyakan rahsia yang membolehkan dia beribadat sepanjang hari tanpa rasa letih dan bagaimana untuk sampai ke makam tersebut".

"Syaitan yang menyamar itu mula memasang perangkap dengan mengatakan bahawa pada asalnya dia seorang yang jahat dan fasik. Semua jenis kejahatan pernah dilakukannya. Tetapi bila hidayah Allah sampai, dia mula meninggalkan segala kejahatan itu dan beribadat sepanjang masa sehingga sampai ke makam sekarang".

"Pemuda tersebut berminat untuk sampai ke makam tersebut dan meminta agar ditunjuki jalannya. Syaitan mengarah agar pemuda itu membunuh seorang wanita. Pemuda itu enggan. Disuruhnya pula pemuda itu merogol wanita. Pemuda itu masih enggan. Lalu disarankan pemuda tersebut minum arak. Pemuda itu mula akur kerana menyangka itu sesuatu yang paling ringan dosanya".

"Diminumnya arak berkali-kali, bergelas-gelas dan berbalang-balang sehingga pemuda itu benar-benar mabuk dan hilang ingatan. Dirogolnya wanita dihadapannya. Apabila sudah terlajak, syaitan itu hasut lagi untuk membunuh wanita tersebut bagi menutup malu atas jenayah yang dilakukannya. Pemuda alim itu sebenarnya sudah melakukan jenayah berat yang pada mulanya dia enggan iaitu membunuh".

"Pemuda tersebut diberkas oleh penduduk kampung dan dipalang untuk menerima hukuman. Syaitan yang menyamar itu hadir di hadapan dan menjalankan misi terakhirnya untuk menyesatkan pemuda alim tersebut. Dikatakannya bahawa untuk sampai ke makam yang diinginkan, dia harus menundukkan kepala tanda sujud untuk mengakui bahawa yang di hadapannya adalah Tuhan, selepas itu baharulah Allah terima taubatnya. Sebaik sahaja ditundukkan kepala sebagai simbolik menyembah Tuhan maka berakhirlah misi syaitan untuk menyesatkan pemuda itu. Si alim telah mensyirikkan Allah di atas perbuatannya menundukkan kepala".

"Min, kau tengok macam mana syaitan merangka strategi sehingga boleh menumbangkan ahli ibadat".



"Komitmen syaitan tu lah yang aku teruja untuk dijadikan contoh. Syaitan tak putus asa dalam merangka misi mereka. Jika tak boleh cara begini, dibuat cara begitu. Syaitan fokus pada subjek dan pentingkan hasilnya. Syaitan tak pernah buat kerja separuh jalan. Syaitan juga mempunyai strategi yang mantap untuk menghadapi musuh".

"Kita sebagai umat Islam sepatutnya mencontohi sifat syaitan bagi memartabatkan Islam. Berkomitmen tinggi, tak putus asa dan cuba cari jalan untuk menghasilkan yang terbaik...bukannya mencari-cari alasan untuk meletak salah kepada yang lain!"

"Kita juga boleh gunakan karektor syaitan untuk melawannya balik secara bersungguh-sungguh, tanpa putus asa dan tanpa terleka. Kita rangka strategi agar syaitan tak dapat tewaskan kita iaitu dengan banyak berzikir, baca al Quran dan buat banyak perkara sunat untuk dapat perlindungan Allah. Kita jangan putus asa dalam misi melawan syaitan. Kalau terlajak, kita cepat-cepat kembali semula ke jalan yang betul".

"Jadi aku rasa tak salah kalau kita ikut langkah syaitan untuk menghasilkan perkara yang baik-baik".

"Min..Min...laaaa tidur pulak mamat ni. Aku cakap sensorang ke dari tadi...errmmmm".

Wednesday 13 November 2013

Jangan Bermain Dengan Doa

Doa merupakan terjemahan hubungan kita dengan Khalik. Dengan berdoa kita berasa

kebergantungan kuat dengan satu kuasa yang mengatasi segala kuasa yang wujud. Rasulullah banyak berdoa atas kapasiti diri Baginda sebagai Hamba. Apabila manusia digelar 'hamba', tentulah banyak kekurangan terserlah yang memerlukan kita mengharap ehsan kepada yang lain untuk segala keperluan.

Makbul doa bermula dari pemakanan yang digariskan syara'. Maksudnya di sini bukan hanya kepada jenis makanan sahaja tetapi termasuk juga sumber-sumbernya. Jika halal jenis makanan dan datang dari sumber yang juga halal dan baik, segala kebaikan makanan itu akan menyelaputi rohani dan jasmani. Yang amat penting, kita akan terhindar dari bakaran neraka Allah.

Tempat dan waktu juga memain peranan dalam pemakbulan doa. Tidak syak lagi, di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi adalah sebaik-baik tempat untuk Allah makbulkan doa kita. Waktu yang makbul seperti ketika khatib menaiki mimbar di hari Jumaat, waktu tengah malam dan waktu 'Asar di mana berlaku pertukaran 'shift' Malaikat yang membawa naik amalan kita ke langit.

Itulah fadhilat doa...senjata kita sebagai umat Islam. Jangan bermain-main dengan doa kerana makbulnya tidak mengira apa yang diucapkan oleh lidah dan mulut. Jika baik ungkapan di waktu dan ketika yang bertepatan, Alhamdulillah makbul satu doa yang baik. Apa pula kisahnya jika kutukan yang terlepas dari bibir bersamaan dengan waktu makbul doa, Na'uzubillah...perkara yang negatif akan menyelaputi hidup seseorang.

Ada satu kisah yang diceritakan oleh adikku sewaktu kami berkumpul di kampung. Dia mempunyai seorang sahabat wanita yang masih belum berpunya. Di kesempatan adikku yang akan berlepas ke Mekah bagi menunaikan Haji pada tahun 2012, dia telah meminta adikku untuk mendoakan jodohnya dengan orang yang beriman dan berharta agar boleh kerap menunaikan umrah dan Haji di Mekah. Adikku berlepas ke Tanah Suci dengan berbekal longgokan kiriman doa.

Alhamdulillah segala berjalan lancar, adikku selamat kembali ke Malaysia. Selang beberapa bulan, sahabat adikku telah menalipon dengan suara girang memaklumkan yang doa adikku benar-benar telah dimakbulkan TETAPI...

...doa itu tidak spesifik. Inginkan lelaki yang beriman dan berharta tetapi tidak disebut umurnya! Lantaran itu dia telah dilamar oleh seorang duda dalam lingkungan umur 60an, seorang ahli perniagaan dan bermastautin di Mekah...hidupnya tetap bahagia.

Kami beradik tergelak-gelak mendengar 'ending' cerita kerana berlaku kesilapan teknikal dalam berdoa. 

Isteriku pula menambah, ada cerita yang mana seseorang itu inginkan anak yang comel dan cantik macam anak patung. Doanya makbul...anaknya memang comel iras anak patung 'barbie' tetapi tanpa suara. Anaknya bisu.

Moral kepada cerita tadi, doa mestilah spesifik dan khusus kepada apa yang hendak diminta. Tetapi aku lebih memilih untuk berdoa dengan cara menyerahkan kepada Allah bagi menentukan apa yang terbaik buat diriku dan keluarga.

...kerana kadangkala apa yang kita minta itu tidak semestinya baik untuk kita. Jadi serahkanlah kepada yang lebih MENGETAHUI...

Jangan bermain-main dengan doa!



Sunday 10 November 2013

Sesat Di Kuala Lumpur

Aku sering membayangkan yang aku keseorangan di bandaraya Kuala Lumpur. Pertama kali menjejak kaki di kota metropolitan itu membuatkan aku menjadi sesat. Ya... 'Sesat Di Kuala Lumpur'.

Aku tidak boleh terus-terusan berjalan menelusuri celahan bangunan kerana akan makin sesat jadinya aku nanti. Aku perlu menahan seseorang untuk bertanya arah. Di situ baharulah aku lebih gagah menghayun kaki melangkah ke destinasi.

Dalam berjalan, bermacam ragam dan kerenah manusia yang berlakon hidup di hadapan mata. Ada yang berjalan menonong laju tanpa peduli sesiapa. Ada yang seolah bersiar-siar menikmati pemandangan dan keindahan kota besar itu. Ada yang duduk melepak di bangku melepas lelah. Ada yang meneleku di bangku membaca akhbar tidak berganjak. Ada yang sibuk dengan gajet di tangan. Ada yang bergambar sakan. Ada yang makan-makan. Aaahhh...banyaknya ragam dan kerenah penduduk di KL ni. Yalah...dah nama kota besar...besar lah ragamnya. 

Sesat Di Kuala Lumpur
Dosa dan pahala bercampur
Tapi kita perlu hidup
Kita perlu terus hidup

Terimakasih tuan dan nyonya
Doa selamat kami ucapkan
Pada Tuhan Maha Kuasa
Tuhan Maha Kuasa

Mungkin kita kan temui kebahagiaan di Kuala Lumpur
Mungkin kita akan kecewa
Mungkin kita akan jadi kaya serta lupa
Dan mungkin kita akan terpedaya

Seperti biasa...ketika aku berseorangan menerjah segala pelusuk dunia, aku ditemani gajet MP3 yang tak lekang di telinga. Lagu 'Sesat Di Kuala Lumpur' paling kuminati...lagu ini sedang bermain-main di anak telingaku.

Kuala Lumpur dijadikan simbol sebuah kota besar. Di mana-mana negara dunia pasti wujud kota metropolitan yang menjanjikan sebuah syurga...kononnya. Jangan kita menjadi terlalu 'rigid' dalam mentafsir kota besar sebagai sarang maksiat lagi melalaikan. Lantas kita menjauhi kota itu untuk bertafakur menjaga iman dari luntur diratah dosa. 

Tidak...bukan itu caranya. Umat Islam yang kuat pegangannya tidak akan terjejas dengan segala yang berlaku di sekelilingnya. Mereka punya harga diri juga jatidiri yang mampan, tak lekang dek panas tak basah dek hujan.

"Sesat  Di Kuala Lumpur..dosa dan pahala bercampur...". Ya, di mana sahaja adanya manusia di muka bumi, pasti wujud dosa dan pahala. Ia pilihan kita. Tiada siapa yang boleh memaksa kita untuk menerbit dosa mahupun menggapai pahala. Jadi, apa perlu kita takut dengan segala sarang maksiat yang ada di kota besar? Jauhinya, hindarinya, elakkannya...kerana kita tahu ia bagaikan magnet yang boleh menarik lekap padu sekiranya kita terjebak.

Apakah kita fikir Tuhan hanya wujud di tempat-tempat tertentu? Jika di Malaysia, segala pergerakan seakan tidak menjurus kepada maksiat kerana langkah pencegahannya ada, apakah kita akan bebas sebebasnya di kota London? Munafik jadinya diri sekira-kira itu yang terlintas di benak fikiran. Allah bukan hanya berada di bumi, tetapi alam jagat raya ini adalah milikNYA!!!

Langkah kakiku semakin perlahan. "mungkin ada jalan kebahagiaan di Kuala Lumpur, mungkin kita akan kecewa..."  

Bahagia dan derita adalah pilihan diri. Perlukah aku mengutarakan rasa bahagiaku sekira itu yang aku alami? Aku perlu melangkah dengan yakin dan padu agar bakal ku mengecap bahagia di Kuala Lumpur. Kota itu tidak menjanjikan bahagia atau derita...jadinya, aku tidak mampu meletak beban kesalahan ke atas Kuala Lumpur. 

Sekiranya aku sesat di Kuala Lumpur, akanku cari kembali lembaran NAS agar sesatku tidak terlajak jauh...agar jiwaku tenang kembali untuk mendiami kota yang sarat dengan kehidupan yang rencam...oh Kuala Lumpur.




Mak Tak Perlu Tahu

Sedari sebesar tapak tangan...siapa lagi yang mengepalai segala keperluan makan, minum, pakai...serba-serbinya lengkap. Walau untuk melengkapkan segalanya menagih lelehan airmata dan keringat. KITA TAK TAHU SEBAB MAK TAKKAN BERITAHU.


Di zaman kanak-kanak...siapa lagi yang mendidik kita tentang benda-benda asing, yang mengajar nama dan habitat, yang menyedarkan bahaya, yang memainkan deria rasa, yang memujuk rasa dan mendodoikan kita walau mata sendiri berat untuk berlabuh. KITA TAK TAK TAHU SEBAB MAK TAKKAN BERITAHU.

Bila remaja...siapa yang merintih jiwa menahan sabar atas jiwa remaja kita yang meluap-luap inginkan kebebasan, kelaku kita yang meminta itu dan ini, kemalasan kita yang jarang membantu, ketidakwarasan kita yang hanya inginkan barang berjenama walau bajunya langsung tiada nama...KITA TIDAK RASA SAKIT SEBAB MAK TAKKAN MENGUNGKIT.

Di hari perkahwinan...siapa yang bergolok bergadai demi sebuah walimatul urus yang membabit ramai jemputan, yang risau tentang persiapan kenduri dan adakalanya menebal muka meminjam demi mencukupkan keperluan, yang letih dan kurang tidur berhari-hari atas kerisauan lauk-pauk yang entah cukup entahkan tidak...KITA TIDAK RASA SAKIT SEBAB MAK TAKKAN MENGUNGKIT.

Mak dah lanjut usia, sakitnya tak banyak yang kita tahu sebab mak nak kita bahagia dengan keluarga baru. Mak tahu kita sibuk dengan apa yang mak pernah lalui dahulu. Biar...mak lebih rela berseorangan menanggung derita dan sunyi dari mendengar alasan-alasan yang buat mak lebih bosan.

Perlu ke kita sua-suakan masalah pada mak di lewat usianya? Perlu ke kita masukkan mak dalam bahan penceritaan penglipurlara yang penuh warna-warna gelap dan kelam? Mak perlu rehat, mak perlu tenang, mak perlu sihat untuk banyak beramal...kerana dahulu amalan mak banyak yang tergendala atas kerenah kita.

Mak tak perlu tahu itu semua. Mak lebih arif erti 'masalah'. Mak dan masalah dah jadi sinonim. Berilah mak peluang untuk berenggang dengan masalah. Masalah yang kita suakan kepada mak tidak membantu kesihatan mak yang semakin susut. Cubalah kita pula ambil sikap mak yang menjadi seorang perahsia untuk menceritakan sebarang masalah kepada anak-anak.

Mak pernah nasihat..."Bila kahwin dan ada anak-anak, kebahagiaan kita semuanya kena beri pada mereka. Bahagia kita dah habis..jangan minta apa-apa lagi kerana giliran kita kena bahagiakan anak-anak pula".

Tapi dunia itu adil pada mak. Mak sudahpun bahagia dengan kehidupannya. Apa yang mak ingin, semua mak merasa. Memang mak berhak untuk mengecap nikmat itu kerana dulu mak banyak memberi...mak dah puas memberi sehingga tiada apa lagi yang tinggal buat mak.

Umur mak dah tinggal sisa, jika yang sisa itupun mahu dirampas...apa lagi yang berbekas buat mak.

MAK KITA HANYA SEORANG. BILA TIBA MASA, MAK JUGA AKAN TINGGAL SEORANG DI ALAM ITU. JANGANLAH SEBAB KITA SEORANG, MAK AKAN RASA KESEORANGAN TANPA HADIAH FATIHAH DARI ANAK YANG BUKAN HANYA SEORANG.


Sunday 3 November 2013

Aku dan Muzik


M. Nasir...satu nama besar di dalam industri muzik Malaysia. Kehadirannya di awal tahun 80 an membuka lembaran baru dalam 'genre' lagu dan lirik. Di waktu itu tiada siapa berani menampilkan alunan lagu dan lirik berbentuk kehidupan semasa iaitu lari dari konsep cinta. itulah kelebihan seniman M. Nasir yang bergabung membentuk kumpulan KEMBARA. Aku membesar dengan dendangan lagu-lagu KEMBARA.
Beliau merupakan artis 'genuine' yang tidak mengejar 'glamour' juga tiada masalah disiplin di sepanjang penglibatannya di arena muzik tahanair. Aku masih meminatinya hingga ke hari ini.  


Aku meminati suaranya yang agak lemak dan bergemersik. Beliau dibimbing oleh M. Nasir dalam melonjakkan dirinya di persada muzik tanahair. Lagu-lagunya seperti Istana Menanti, Jangan Kau Rayu, Cinta Kristal, Hipokrasi...masih bermain-main di halwa telingaku


Awie bermula dengan kumpulan WINGS dengan album pertama bertajuk 'Belenggu Irama'. Jiwa remajaku sesuai dengan lagu-lagu WINGS dan aku tidak ada masalah untuk menerima konsep albumnya yang semakin dipengaruhi irama 'heavy metal'. Awie memiliki suara 'rockers' yang unik, bergabung dengan WINGS menatijahkan kesan muzik yang mantap yang membolehkan mereka merajai 'genre' muzik 'rock' tanahair. 


"Kusimpan diriku tersiksa, nak kuluahkan kugentar...kekurangan". Ini merupakan lirik lagu Kalimah Cinta dari SEARCH. Nama SEARCH telah dinaikkan oleh Sifu M. Nasir di era 80 an bersama album pertama Cinta Buatan Malaysia. SEARCH merupakan idola kumpulan muzik rock nombor satu tanahair di ketika itu. Aku salah seorang dari peminat SEARCH tetapi bukan di dalam kategori fanatik.


SWEET CHARITY bersama penyanyi Ramli Sarip telah mendahului 'genre rock' tanahair sebelum SEARCH dan WINGS. Di sinilah bermulanya aku mendekati muzik rock sebelum melarat minatku kepada SEARCH dan WINGS. Konsep lagu yang dibawa oleh SWEET CHARITY berciri Ketuhanan demi menarik minat golongan Islamik untuk mendekati muzik.


Era 80 an sebenarnya diserang oleh demam muzik 'rock' yang datangnya dari barat. DEF LEPPARD dengan lagu Hysteria diperkenalkan oleh abangku yang belajar di UK. Sekali je aku dengar lagu-lagu dari album DEF LEPPARD ni, hatiku dah tertarik. Menampilkan konsep muzik 'light rock' dan berpenampilan kemas, menambah minatku kepada kumpulan ini.

Eerrmmm...kalau korang perhatikan senarai lagu-lagu di atas, nampak minatku lebih terarah kepada aliran muzik 'rock'. Mengapa agaknya? Kerana aku nak lari dari lagu jiwang yang meliuk lentuk alunannya. Waktu tu pula aku memiliki pemain kaset 'walkman', bila aku sumbat aje 'ear phone' ke telinga, berdentumlah kekerasan muzik 'rock' yang membuat aku tambah bersemangat belajar.

Tapi, minat aku pada muzik 'rock' tidak melarat kepada penampilan yang berseluar ketat, berbaju singkat dan berambut panjang (menyampah pula aku dengan gaya tu). Aku hanya minat muzik 'rock', bukan berimejkannya...memang selarilah dengan jiwa remajaku di waktu itu.

Sekarang? Aku masih minat muzik dan lagu-lagu era 80 an masih berada di dalam simpananku. Untuk pengetahuan semua pembaca, aku boleh mengolah cerita dan menulis blog sambil mendengar lagu yang dilekap di telinga...INILAH AKU


Saturday 2 November 2013

Bila Sijahil Menggilap Agama



Dewasa ini peranan internet tidak boleh disangkal lagi. Manusia boleh jadi tempang dan tidak bermaruah rasanya sekira-kira khidmat internet terputus. Biarlah tidak bersosial kerana teman-teman di alam 'cyber' boleh jadi beribu-ribu bilangannya merentasi sempadan geografi bumi yang berbentuk sfera ini.

Terdapat banyak manfaat sebenarnya yang boleh diaplikasi dalam kehidupan kita melalui internet. Kehidupan berinternet boleh merapatkan hubungan yang jauh, jawapan permasalahan hanya berada di hujung jari, kita tentunya menjadi masyarakat yang sangat berinformatif. Sebaran maklumat berada di dalam kapasiti 0.1 saat melangkaui jutaan manusia

Entri aku kali ini lebih bersifat teguran dari yang jahil. Aku tak banyak ilmu sebab itu aku banyakkan membaca untuk menyaingi ilmu yang kamu semua ada.

Isunya berkenaan mereka yang betah menyebar kebaikan di internet tetapi kebaikan itu sendiri jauh darinya. Disalin artikel-artikel agama, panduan-panduan Hadis, ayat-ayat al Quran juga zikir-zikir harian...kemudian disebarluas ke laman-laman sosial bagi menggalakkan mereka membaca. 

Salin, tampal, sebar...dapat pahala!!!

Sekilas pandang, memang ianya sesuatu yang baik. Sebarkan segala kebaikan untuk dituruti orang lain. Dari sebar perkara-perkara tak baik, lebih molek menyebar sesuatu yang boleh membawa pahala...kononnya.

Ini samalah dengan kita menggantung ayat-ayat al Quran di sudut-sudut rumah tetapi kita jauh dari membaca apa lagi mengamalkannya.

Tidak kurang bezanya dengan restoran-restoran India yang menggantung bingkai ayat-ayat suci untuk mengabui mata pelanggan...Halal katanya.

Dalam tidak sedar, mereka yang menyebar perkara-perkara agama (tetapi tidak mengamalkannya) cuba membohongi masyarakat bahawa mereka cintakan Islam. Sungguh besar pembohongan yang mereka lakukan seperti orang-orang yang bersifat munafik.

Contoh, mereka menyebar zikir harian yang diilhamkan oleh Imam Ghazali:-

Isnin - Lahaulawala...
Selasa - Selawat ke atas Nabi
Rabu - Astaghfirullah...
Khamis - Subhanallah...
Jumaat - Ya Allah
Sabtu - Laa ila ha illallah
Ahad - Ya Hayyu ya Qayyum

Beramalkah mereka dengan zikir harian di atas? Jika YA...Alhamdulillah, memang patut mereka kongsikan perkara baik yang telah menjadi amalan hidup mereka. 

Tetapi bagaimana jika jawapannya TIDAK! Patutkah mereka sebar kebaikan yang langsung tidak pernah mereka buat? Jika semata-mata mengharap pahala, ditakuti dosa pula yang terpalit kerana kebaikan harus bermula dari diri sendiri...barulah kita berkongsi kebaikan itu dengan yang lain. Apatah lagi jika kehidupan sebenar mereka jauh dari segala yang baik. Berdosa kerana berbohong menyebar perkara yang tidak mereka lakukan.

Menambah semangat lagi apabila di hujung artikel menyebut agar kongsikan apa yang anda baca kepada teman-teman yang lain dan sebanyak itu jugalah pahala yang bakal anda kecapi.

Jika itulah caranya untuk meraih pahala, tiada lagi aura kebaikan yang boleh menusuk hati yang membaca. Malam bermaksiat, siangnya diimbangi dengan tempelan-tempelan cerita agama di laman sosial...dapat pahala. Mudahnya!

Sebenarnya tanpa sedar, kita terpedaya dengan segala artikel-artikel baik yang wujud di alam cyber. Sebahagiannya merupakan strategi syarikat telekomunikasi yang meletak sasaran tinggi untuk pelanggan-pelanggan internet menyebarkan artikel-artikel terutama dari segi keagamaan. 

Mereka beranalisa bahawa masyarakat di Malaysia yang berjiwa lunak dan sayang agama amat mudah dan tidak teragak-agak untuk menjadi 'keldai dadah' yang boleh menguntungkan syarikat mereka dengan menyebar apa sahaja terutama yang bercorak agama. 

Seseorang itu mungkin tidak solat dan fasik tetapi mereka sensitif tentang bab-bab keagamaan. Jadilah orang-orang suruhan itu sebagai 'pak turut' kerana telah disogok dengan pahala di akhirat. Lagi banyak mereka sebar, lagi berganda laba diraih. Lagi lama mereka berinternet, lebih menguntungkan perkhidmatan syarikat tersebut.

Menyebar ilmu bukan begitu caranya. Ilmu mempunyai nilai tinggi dan rohnya sendiri. Ia bukan setakat salin, tampal dan sebar. Jikapun mahu berkongsi kebaikan, pastikan kebaikan itu wujud dalam diri kita agar kemanisan dan ketinggian ilmu itu tidak tercemar.

Ilmu sepatutnya dicari bukan ilmu itu yang mencari-cari anak murid untuk disampaikan. Inilah kemelut nilai ilmu di alaf baru, disebar-sebar tanpa menghayati manfaatnya, di 'copy' dan 'paste' walau tidak tahu hujung pangkalnya, di jaja-jaja sekalipun jahil untuk menerangkannya.

Jadilah ilmu yang tinggi nilainya itu terawang-awang tanpa mampu dihayati oleh peneroka laman sosial.

Jadilah ayat Al Quran itu mainan dunia 'cyber' bagi mempamer kewarakan yang hipokrit.

Jadilah majlis-majlis agama di surau dan masjid tersisih sepi kerana telah diganti dengan ulama'-ulama' media yang bersosial.

Inilah nasib agama ISLAM di alaf baru.

Thursday 31 October 2013

Kuasa Aura

'WIFI'...apa fungsinya? Membuka laluan untuk eksplorasi ke dunia tanpa sempadan. Hidup bagai tidak keruan tanpanya lewat alaf baru ini. Mengapa kelibat WIFI sentiasa dicari-cari, tentunya kerana manfaat yang boleh didapati dari sumber tersebut. Berita terkini, email, laman sosial, video kegemaran, muzik, blog dan berbagai lagi yang tidak mampu penulis senaraikan.

Pendek kata, kita tidak kisah jika hidup bersendirian kerana hakikatnya kita boleh berhubung merentasi sempadan geografi dunia untuk menghilangkan rasa sunyi...melalui WIFI tentunya.

Analogi kan WIFI dan aura manusia. Manusia yang mempunyai hati bersih dan baik boleh diibaratkan WIFI yang dihidupkan kuasanya. Tidak perlu mencari-cari insan di sekitar untuk memberi khidmat bakti, sebaliknya mereka yang di luar tercari-cari insan ini untuk mendapat nasihat, info-info agama, pandangan mahupun motivasi diri. 

Mereka yang mempunyai 'kuasa aura' sebenarnya adalah mereka yang melatih diri untuk menjadi baik dalam tempoh lama dan panjang. 

Jika Muhammad sebelum dilantik menjadi Nabi berkhalwat di Gua Hira', insan ini akan bermuhasabah diri setiap malam sebelum tidur.

Jika Muhammad seawal peringkat dilantik menjadi Nabi hanya menyampaikan di kalangan mereka yang terdekat, insan ini akan memulakan tazkirah dan ta'lim di kalangan keluarganya dahulu.

Jika Muhammad selepas dilantik menjadi Nabi, kehidupannya menjadi ikutan para Sahabat, insan ini cuba pertahankan segala Sunnah Nabi dalam diam.

Jika Muhammad pernah ditawar pangkat, harta dan wanita agar menghentikan usaha dakwah, insan ini berusaha untuk tidak meminta-minta imbalan di atas usaha dakwahnya.

Di sinilah 'aura' itu wujud. Wujud dalam persekitaran hidup untuk berbakti kepada ummah. Warna aura itu tidak kelihatan tetapi kuasa tarikannya amat hebat sehingga kucing atau burung-burung yang melintas jua boleh mendekati dan tertarik dengan insan ini.

Kehadirannya disenangi.
Kehilangannya ditangisi.
Pemergiannya diiringi doa.
Kata-katanya dihayati.
Diamnya dihormati.
Tulisannya menjadi panduan.

Cuba perhati...entah-entah WIFI bernyawa itu wujud di persekitaran kita. Siapa yang selalu menyenangkan hati kita? Siapa yang mudah untuk kita berurusan dengannya? Siapa yang selalu menghulur bantuan di ketika perlu? Siapa yang kita suka melihat wajahnya? Siapa yang kita selalu mencarinya untuk berkongsi cerita? Siapa yang kita percaya dengan sifat amanahnya? Siapa yang kita kagum dengan penampilannya yang sentiasa tenang?

Jika ciri-ciri di atas terdapat pada seseorang, WIFI bernyawa itu sedang menarik minat dan perhatian sesiapa yang berada di sekitarnya...seperti magnet yang menarik besi.

Insan itu boleh jadi ANDA sendiri!!!

Monday 28 October 2013

Sarang Labah-labah Menjahilkan Manusia

Labah-labah...sejenis jentera hidup ciptaan Allah yang memiliki lapan kaki dan tidak bertulang belakang (invertebrata). Spesis ini wujud di dunia semenjak 110 juta tahun dahulu, ini dibuktikan dengan fossil labah-labah yang dijumpai di dalam batu amber di Sepanyol. Ini adalah contoh fossil sarang labah-labah tertua pernah dijumpai. Penghasilan benang sutera untuk mencipta rumah bagi memerangkap mangsa menjadikan spesis ini amat unik berbanding jentera-jentera hidup yang lain. 


Apa yang menarik mengenai haiwan ini adalah struktur kediamannya adalah paling lemah berbanding haiwan lain. MENGAPA?

Jangan menyangka bahawa Allah tersilap perhitungan dalam mencipta haiwan ini yang dibekal rumah yang paling lemah...ditiup angin, dirempuh burung, diselak manusia...habis koyak tercarik rumahnya. Dibina lagi, musnah lagi, usahakan lagi membina, runtuh lagi binaan!

Labah-labah dibekal semangat jitu untuk meneruskan hidup. Labah-labah tidak merungut walau rumahnya dalam kategori paling lemah anugerah Allah. Labah-labah akur dan bersyukur walau harus mengganda kudrat dan menanggung sarat.

Surah Al Ankabut (labah-labah) termaktub di dalam Mushaf Al Quran. Mengapa Allah ilhamkan labah-labah dalam KalamNYA yang Agung? Tentu ada sesuatu yang istimewa berkenaan spesis ini.



Labah-labah...cuba kita imbas kembali peristiwa Hijrah Rasulullah SAW. Baginda yang ditemani Abu Bakar telah berlindung di Gua Thur dari perburuan kafir Quraisy. Sekiranya ditemui musuh, akan berakhirlah riwayat insan yang bernama Muhammad.

Tetapi Allah ada cara untuk selamatkan hamba yang disayangiNYA. CaraNYA pula melangkaui pemikiran logik akal manusia yang kononnya berakal! Boleh sahaja DIA hadirkan beberapa ekor singa yang bermastautin di hadapan pintu gua, pasti tiada siapa yang berani mendekati gua tersebut. Boleh juga dikirim sekali lagi burung Ababil yang pernah menghancurkan tentera bergajah Abrahah yang mahu meruntuhkan Kaabah. Atau boleh Allah datangkan ribut pasir bagi menyapu bersih musuh-musuh yang ditawar 100 ekor unta sekiranya dapat membunuh Nabi Muhammad SAW...tetapi bukan begitu perancanganNYA.

Gua Thur
Allah tidak gunakan konsep ekstrem dalam misi itu. DIA hanya mainkan minda manusia dengan sesuatu yang lemah iaitu diilhamkan kepada labah-labah untuk membuat rumahnya di pintu gua sebaik sahaja Rasulullah dan Abu Bakar memasukinya. 'Psikologi Songsang' memain peranan, logik akal menerima keadaan itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal untuk mengatakan ada seseorang yang sedang bersembunyi di dalam gua tersebut. 

Itulah peranan haiwan kecil yang bernama labah-labah!!!

Allah juga memberi mesej kepada manusia bahawa tiada satupun ciptaanNYA yang tidak memberi manfaat. Dalam menghadapi situasi hidup dan mati itu, dipilihnya sarang labah-labah yang berkategori lemah untuk menjahilkan akal manusia.

Bergantunglah sepenuhnya kepada Allah kerana betapapun hebat manusia, akal mereka tetap berada dalam genggamanNYA.

Akal manusia yang hebat dimalukan oleh SARANG LABAH-LABAH!