Translate

Saturday 18 May 2019

Satu Lawan Satu

Jika di dalam sebuah perlawanan gusti, kita secara individu dijadualkan untuk bertanding dengan pihak lawan yang berpasangan. Aaahhh...mana adil! Dua lawan satu! Logik akal kita pasti tewas.

Lantas kita protes kepada pengadil perlawanan. Pengadil tidak mengendahkan bangkangan kita. Samada mahu perlawanan diteruskan atau kita harus tarik diri. Mahu tak mahu, kita teruskan juga demi sebuah harga diri.

Kita susun strategi bersama jurulatih yang berpengalaman. Setiap individu pasti ada kelemahan yang boleh dimanipulasi.

Perlawanan bermula. Pihak lawan berganti-ganti masuk ke gelanggang sedangkan kita keseorangan. Kita semakin letih, seakan mahu menghentikan perlawanan. Berehat di pusingan ke 5, jurulatih menghampiri gelanggang seraya memberi tonik tenaga bersama barisan ayat-ayat Kalamullah.

Masuk ke gelanggang, kita semakin bertenaga. Seorang dari pihak lawan terpaksa keluar kerana telah melakukan 'foul'.

Sekarang Satu Lawan Satu!

Eerrmmm...analogi di atas kugarap dalam meletak posisi kita di bulan penuh barakah..Ramadhan Kareem.

Jika di bulan-bulan biasa, syaitan dan nafsu beriringan menyerang dari pelbagai sudut dan arah..2 lawan 1. Kerap kita tewas dan bingkas bangun untuk terus melawan. Kita minta pertolongan Allah dalam memantapkan iman agar dapat mengalahkan syaitan dan menundukkan nafsu.

Tetapi Ramadhan hadir dengan menidakkan peranan syaitan. Mereka dirantai..yang hanya tinggal adalah nafsu dalam diri..1 lawan 1.

Inilah waktunya untuk kita menundukkan musuh dalam selimut yang saban kali membuai diri dengan keseronokan dan kemalasan.

Apa lagi alasan yang mahu diberi jika yang 1 inipun sukar untuk dijinakkan. Tiada bisikan, tiada hasutan dari syaitan...hanya nafsu bersendirian.

Nah...kita gandakan tenaga dan azam untuk berentap sehabisnya dalam melemahkan nafsu. Tempoh 30 hari harus diguna sebaik mungkin bagi mendapat impak 365 hari ataupun 1000 bulan!

Biar syaitan menggigit jari sehabis Ramadhan!

"Ya Allah berkatilah kami sepanjang bulan Ramadhan ini dan temukanlah kami dengan Lailatul Qadr"