Translate

Saturday 31 October 2015

Diuji Dengan Makanan

Tentu kita pernah menjamu selera di luar terutama di restoran yang ramai pengunjung. Waktu menunggu yang lama bermula dari mengambil pesanan pasti memerangkap diri sehingga jiwa menjadi resah gelisah dan tidak senang duduk dibuatnya.

Mulalah kita memanggil pelayan untuk tujahan soalan-soalan panas. 

"Lama lagi ke nak siap?"

"Kenapa saya sampai dulu tapi makanan meja lain yang siap dulu?"

"Boleh 'cancel order' tak?"

"Apasal lambat sangat ni, tukang masak cuti ke?"

Hhmmm...sebenarnya ujian datang dari pelbagai arah dan kondisi. Masalahnya...kita tak rasapun bahawa kita sedang diuji di ketika itu.

Ironinya, kita hanya diuji dengan makanan bukannya ujian kebuluran seperti yang berlaku di Somalia...kita hanya menghadapi ujian makanan lazat yang lewat dihidang!!!



Jika dengan ujian sekecil itupun sudah ke tahap 'sentuhan kecundang'...bagaimana mahu bersabar dengan nikmat kesihatan yang ditarik, kepapaan, kematian keluarga, kemalangan dan pelbagai kerenah dunia yang mendatang.

Errmmmm...apatah lagi untuk menegak syiar Islam. Berhentilah bercakap untuk melestari perjuangan memartabatkan Islam kerana ujian yang menanti amat besar untuk ditanggung.

Justeru, bersabarlah dengan sekecil-kecil ujian kerana di situ bermula indikator samada kita mampu dan bersedia untuk menghadapi ujian yang lebih besar dan hebat.

Tanamkan rasa malu untuk melayan kerenah nafsu makan yang rakus dan tak henti-henti mengemis meminta diisi tembolok.



Jika makanan yang dipesan lewat dihidang, dicadang sementara menunggu..ambil telefon bimbit dan layari 'You Tube'. Sila tonton video kebuluran di Somalia. Ya...kita mengomel tentang makanan yang lewat, makanan tak menepati selera, makanan yang tak cukup. 

Mereka di Somalia...hanya terdiam dengan kelaparan, menyepi mengharap respon dunia dan meneleku menanti saat mati!

Justeru...bentuklah peribadi sabar bermula dengan sekecil-kecil perkara...Insyaallah kita akan lebih bertenang dengan sebesar-besar musibah.

Wallahua'lam.


Tuesday 27 October 2015

Berhenti Merujuk Diri

"Kalau aku jadi dia, aku takkan buat benda macam tu..."


Ermmm...agaknya kenapa seseorang itu boleh mengungkap frasa di atas? Frasa yang menggambarkan karekter dirinya yang hebat, mampu mengatasi masalah, memiliki kelebihan yang tidak dipunyai orang lain.

Yang nyata, spesis tersebut hanya memikirkan tentang diri mereka sahaja tanpa mahu memakai sebentar kasut orang lain. Masakan tidak, mereka lupa bahawa setiap manusia dianugerah sikap dan karekter yang berlainan di antara satu dengan yang lain. Tentunya segala pandangan dan keputusan setiap manusia berbeza-beza menurut kepelbagaian pemikiran masing-masing.

Jadi, mengapa hanya mahu menyalahkan pandangan lain dan mengarah-arah mereka untuk merujuk diri kita yang kononnya hebat dalam membuat keputusan tanpa berusaha untuk membantu mereka.

Nasihat tidak hadir bersama 'perbandingan'. Malah, membanding-bandingkan mereka dengan yang lain hanya menjarakkan lagi emosi mereka yang sudah sedia kusut.

Nasihat seharusnya disertakan dengan galakan, panduan, tonasi motivasi, pujian dan tidak meletak salah seratus peratus kepada mereka.

Harus kita fahami mengapa seseorang itu sering melakukan kesilapan. Lihat latar belakang hidup mereka, keluarga, cara didikan, tahap pendidikan dan yang paling ketara..lihat tahap keimanan dan didikan agama yang ada pada diri mereka.

Ya...jika kita cuba selami diri dan kehidupan mereka dengan memakai sebentar kasut mereka yang lusuh, baharulah kita faham mengapa mereka berbuat silap dalam mencatur sesuatu perkara atau keputusan. Bakal timbul rasa kasihan untuk membantu...dari hanya meletak salah dan membuat perbandingan dengan yang lain.

Ingat...kita juga bakal berbuat silap suatu hari nanti dan bakal merasa peritnya telinga mendengar mereka mengungkap...

"Kalau akulah...aku takkan buat macam dia tu!!!"

Sunday 25 October 2015

Mengejar Ilmu Atau Ditinggalkan

Dua hari di kaki Gunung Ledang memberi impak yang bukan sedikit buat diriku. Aku terpaku jua serasa kagum bersama aura yang dibawanya. Tidak sedikitpun timbul riak-riak angkuh, sombong, memperlekeh yang lain di sepanjang pembentangan modul dari beliau.

Segala yang terlontar di bibir mencermin peribadi beliau yang tinggi dan luhur. Apa lagi yang mampu kuucap selain rasa syukur ditemukan dengan Dato' Wan Mohamad, mantan Ketua Pengarah JAKIM.

Di akhir kalam, beliau menyedarkan kami betapa kita yang serasa perasan banyak ilmu sebenarnya akan lebih jauh ketinggalan jika tidak bersama peredaran zaman dalam menjarah kewujudan ilmu-ilmu baru.

Diberi contoh beliau sendiri. Bersara dari kerjaya, meninggalkan beliau jauh terkebelakang dalam perlumbaan menggapai ilmu-ilmu baru yang laju berkembang cambah tanpa henti. Bergiat aktif dan mengetuai persatuan-persatuan di dalam masyarakat, sedikit membantu bagi Dato' Wan merapatkan ruang lompong ilmu-ilmu baru.

Benar amat apa yang diutarakan oleh Dato' Wan. Kosmos dan cakerawala sudah tiba ke penghujung sistem. Arus percambahan ilmu sudah tidak boleh diempang lagi. Lihat sahaja ciptaan-ciptaan terkini di dalam segenap bidang...gajet, audio visual, teknologi pemotoran, pemakanan, permainan komputer, kewujudan aplikasi perhubungan sosial dan berbagai lagi.

Kajian di tahun 80an manakan sama untuk diperdebat mahupun dijadikan hujah bersama isu-isu terkini. Penemuan baru di bidang pemakanan seperti Genetically Modification Food (GMO) dan kod-kod 'food additive' seperti E470, E300, E550 dan banyak lagi, harus dipelajari agar selari dengan 'genre' yang mahu dipersembahkan.

Tegasnya, kita harus terus-terusan mengikuti perkembangan terkini tentang sesuatu topik atau isu bagi memastikan minda dan diri kita masih relevan untuk diketengahkan sebagai pemerhati mahupun pemidato yang berucap di pentas ilmu.

Itu yang dimaksudkan Dato' Wan betapa kita akan terus ketinggalan sekiranya kita tidak peka bersama perubahan-perubahan yang mengiringi kehidupan.

Syukran Jazilan Kathira Dato' Wan...



Tuesday 20 October 2015

Juara Imam Muda Musim ke 2

1. Ikhlas

Lakukan sahaja segala amal tanpa menunggu hadirnya ikhlas. Apabila amal menjadi rutin...Insyaallah akan dicampakkan hidayah ke dalam hati dan keikhlasan yang padu menjadi tunjang kepada setiap amalan.

Ahli sufi Dzun Nun Al Misri mengatakan orang ikhlas tidak akan terkesan dengan pujian mahupun kejian manusia.

2. Komitmen syaitan

Syaitan tidak pernah putus asa untuk menyesatkan manusia meskipun dia berhadapan dengan para Nabi walau syaitan tahu para Nabi dan Rasul di bawah pemeliharaan Allah.

Kisah hijrah Rasulullah...Iblis datang menyamar sebagai manusia di dalam permesyuaratan pembesar Quraisy. Iblis mencadangkan untuk membunuh Nabi dengan cara dipilih pembunuh melalui wakil-wakil dari setiap kabilah...bermakna sekiranya Nabi berjaya dibunuh, ia membabitkan banyak kabilah dan sukar untuk Bani Abd Manaf menuntut bela.

Ibrah...jika Nabipun tidak selamat dari gangguan syaitan, apatah lagi kita semua.

3. Berkat

"Setiap kali selesai menuntut ilmu, Sohibus Samahah Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri (Mufti W Persekutuan) menyuruh kami turun ke bawah dan makan nasi padang di sebuah restoran. Apabila saya nak bayar, tuan punya kedai mengatakan bil sudah dijelaskan".

"Apabila beberapa kali berlaku perkara yang sama, saya ingin tahu siapa yang membayar bil kami...adakah Dr Zulkifli? Tuan punya kedai mengatakan bahawa beliau sendiri yang membelanja makan minum kami".

"Saya tanya kenapa? Tak berasa rugi ke asyik nak belanja kami makan?"

Balas beliau "Bila saya amalkan bersedekah inilah yang membuatkan perniagaan saya semakin maju. Memang saya pesan kepada Dr Zulkifli untuk mengarahkan anak muridnya turun ke kedai untuk saya belanja makan...saya tak banyak ilmu, jadi saya mahukan keberkatan orang yang menuntut ilmu".

"Kadang-kadang entah dari mana datangnya ramai manusia dengan berkereta, menaiki bas rombongan...singgah ke kedai saya. Saya dapat rasakan keberkatan amalan sedekah ini".

4. Gangguan iblis

Dari hadapan...dibutakan matahati manusia dengan ganjaran pahala dan syurga Allah.

Dari belakang...dibuai manusia dengan kenikmatan dunia yang sebenarnya akan kita tinggalkan.

Dari kanan...tidak berasa mahu beribadat dan berbuat amal.

Dari kiri...diberi rasa seronok berbuat maksiat.

Terdapat dua tempat yang mana syaitan tidak dapat masuk...

Dari atas...apabila kita panjatkan doa...lalu hidayah Allah masuk ke dalam jiwa.

Dari bawah...apabila kita sering sujud menghambakan diri kepadaNYA.



Begitulah sketsa ceramah yang sempat aku rakam bersama kehadiran Juara Imam Muda Musim ke 2 di syarikatku...Imam Muda Hassan.

Alhamdulillah.

Monday 19 October 2015

Da'i dan Percambahan Ilmu

Da'i Hamidah dinobat sebagai juara bagi musim ke 3 di dalam rancangan Da'i anjuran TV3 yang dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor.

Menjadi sesuatu yang mendamaikan jiwa apabila artis-artis dijemput hadir...tidak kiralah walau hanya sebagai penonton mahupun juri awam, bagi memeriahkan rancangan bercorak dakwah dan Islamik.

Nama-nama besar yang hadir seperti Erra Fazira, Umi Aida, Norman Hakim membuktikan bahawa artis-artis kita tidak dipinggirkan. Itulah peranan kita sesama muslim, bukan hanya tahu mengutuk dan mengeji tetapi lebih kepada menjinakkan jiwa mereka untuk mendekati dan menghayati Islam.

Ulasanku tidak berpusat kepada persembahan mereka, tetapi berkenaan perselisihan pendapat dan pandangan Juri dan Murabbi...membabitkan persoalan spontan yang diajukan oleh penonton kepada para Da'i.

Apa isunya? Dalam urusan pembayaran zakat, bolehkah masyarakat mencari sendiri asnaf yang layak untuk diberi zakat tanpa melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ) atau Majlis Agama. Soalan ditujukan kepada Da'i Hamidah dan beliau telah menjawab dengan mengatakan 'boleh' tetapi sebaik-baiknya haruslah melalui pihak berwajib yang menguruskan zakat bagi menjamin sistem pungutan zakat tidak runtuh.

Jawapan Hamidah disokong penuh oleh Ustaz Haryanto (juri) tetapi diperbetulkan oleh Murabbi Datuk Kazim Elias. Datuk Kazim merujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan yang mewajibkan pemberian zakat tidak bertumpu kepada satu kategori asnaf sahaja. Contoh wang zakat RM 1000 harus dibahagi kepada beberapa orang asnaf yang terdiri dari pelbagai kategori. Ditakuti pengagihan wang zakat bukan melalui PPZ tidak sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Berlaku jawab-menjawab di antara Datuk Kazim dan Ustaz Haryanto dalam menegak hujah masing-masing tetapi masih di dalam nada berhemah.

Datuk Kazim berdiri di atas kapasiti Murabbi yang bertanggung jawab penuh ke atas jawapan anak muridnya yang disiar secara langsung dan didengari jutaan penonton.

Ustaz Haryanto pula mendokongi platform juri dan berpuas hati ke atas jawapan finalis yang menyebut 'seelok-eloknya pembayaran zakat dibuat melalui PPZ untuk menjamin sistem zakat di Malaysia berjalan lancar'.

Aku tidak peduli itu semua...apa yang nyata, ilmuku semakin berkembang cambah dalam mendalami undang-undang milik Allah apabila Da'i bersiaran.

Allahu Akbar...



Tuesday 13 October 2015

Hijrah Bersama TV AlHijrah

TV AlHijrah diwujudkan bersama ulangtahun sambutan Ma'al Hijrah. Saluran 114 untuk tv ini pula diambil sempena 114 surah yang terkandung di dalam mushaf al Quran.


Lima tahun kewujudan tv berciri Islamik ini diiringi pencapaian yang agak mengkagumkan. Diberitakan bahawa 3.3% penontonnya terdiri dari kalangan kaum Cina dan 5.5% merupakan kaum India. Keseluruhan penontonnya pula didominasi oleh Gen Y yang berumur di sekitar 19 hingga 24 tahun.

Rancangan-rancangan yang diudarakan di stesen tv ini melalui tapisan yang amat ketat bagi memastikan ianya menepati syari'ah dan sesuai ditonton oleh pelbagai lapisan masyarakat. Tidak terhad kepada rancangan-rancangan terpilih, iklan-iklan juga tidak terlepas dari tapisan editor...bersesuaian dengan prinsip tv Al Hijrah bagi membentuk masyarakat yang menitikberatkan norma-norma kehidupan yang tidak tersasar dari landasan syari'ah.

Pengacara-pengacaranya memiliki personaliti Islam kontemporari bersama busana longgar menutup aurat dan jubah berfesyen buat pria. Dipilih dari kalangan yang mereka berpendidikan dan berlatar-belakang agama, menyerlahkan lagi petah bicara mereka berhujah dengan bacaan-bacaan dari sumber Nas al Quran dan Hadis.

Rancangan agama, bicara berinformasi, berita, hiburan, drama, slot kartun, dokumentari...segalanya bertunjangkan Islam. Inilah stesen tv pilihan kita bersama tagline 'TV KITA UNTUK SEMUA'.

Salam Ma'al Hijrah buat semua. Semoga hijrah kita meraih redhaNYA untuk sebuah kehidupan yang kekal di sana.


Saturday 10 October 2015

Ritual Solat Hajat

Sudah menjadi 'trend' kebelakangan ini, sekolah-sekolah akan menganjurkan solat hajat bagi mendoakan kejayaan murid-murid di dalam peperiksaan besar seperti UPSR, PT3, SPM dan sebagainya. Ia bertujuan agar anak murid mendapat kejayaan cemerlang dan meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya. 

Menjadi sesuatu yang janggal dan melawan arus pula jika ada sekolah yang tidak turut serta dalam permohonan hajat melalui solat beramai-ramai itu yang mana ibubapa akan berlumba-lumba untuk turut serta dalam menyokong usaha pihak sekolah.

Aku setuju dengan 'trend' semasa tersebut. Selain dari mendidik diri dalam kebergantungan hidup kepada Allah, ia juga dapat menyemai ukhuwah para guru dan ibubapa dalam usaha mencapai kejayaan.

Hanya ada ketika yang kita terlepas pandang dalam mentafsir erti 'kejayaan'. Kejayaan apa yang kita mahu anak-anak kecapi? Berjaya di dalam peperiksaan? Seterusnya ke menara gading untuk segulung ijazah dan mendapat pekerjaan yang baik...menjadi orang yang dihormati di atas kedudukannya yang tinggi di dalam kasta masyarakat.

Jika itu definisi 'kejayaan', bagaimana seorang Menteri Besar boleh menyalahguna kuasa dalam mendapat hak milikan tanah di Selangor?

Bagaimana seorang ahli politik biasa boleh membina rumah selayak istana, di Kelang suatu ketika dahulu?

Bagaimana boleh berlaku pecah amanah oleh pegawai tinggi Tabung Haji...di sebuah institusi berlandas agama.

Bagaimana seorang doktor tentera yang dihormati boleh bersubahat dalam kes pembunuhan timbalan pendakwaraya baru-baru ini.

Mereka semuanya orang yang berjaya dalam bidang masing-masing tetapi kejayaan tersebut tidak mampu menjadikan mereka insan yang amanah dan berintegriti apatah lagi bertakwa. Sebaliknya mereka menjadi semakin rakus mengguna kuasa dan kedudukan demi habuan dunia.

Justeru, jangan hanya memohon kejayaan dalam peperiksaan tetapi pohonlah agar anak-anak menjadi insan yang bertakwa seterusnya berjaya di dunia dan di akhirat. Hanya mereka yang bertakwa akan pasti mencapai kejayaan di dalam mengharungi ujian dan cabaran di dunia.

Silapnya kita apabila hanya mengikut 'trending' semasa dalam memanjat doa kepadaNYA. Solat hajat dilakukan apabila ada jemputan dari pihak sekolah. Islam diletak hanya sebagai ritual rasmi untuk diimarahkan.

Solat hajat seharusnya dilakukan secara berterusan oleh para ibubapa, guru dan anak-anak di rumah, kerana memang kita perlu ehsan Allah di setiap hari setiap ketika...menterjemah betapa bersyukurnya kita dengan nikmat dan rahmat dariNYA.

Seharusnya kita sentiasa lebih kerap tunduk sujud kepadaNYA kerana kita dijadikan untuk itu!!!

Semoga kalian berjaya di dunia dan di akhirat...buat semua pelajar.



Monday 5 October 2015

Inspirasi Khalid

Apa berlaku jika kita dilucutkan jawatan, ditukar ke jabatan lain, diletak ke tepi tanpa sebarang peranan penting dalam situasi kita mampu menggalas beban dan tanggungjawab dengan sempurna. Ermmm...jika kita akurpun dengan arahan pengurusan, pasti timbul rasa tidak puas hati lantas menyuburkan rasa dendam dan benci dalam diri.

Jika itu yang dirasa...cuba kita selusuri kisah Khalid al Walid. Walau perbandingan ini jauh panggang dari api, tetapi setidaknya boleh memberi ruang dan peluang untuk kita bermuhasabah diri.

Khalid al Walid merupakan panglima perang Islam yang tidak pernah kalah dalam semua peperangan yang diketuainya sehingga beliau digelar 'Pedang Allah'. Beliau memegang jawatan 'panglima' sejak dari zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar. 
Diriwayatkan tidak secalitpun berbekas parut mahupun calar di badan beliau sepanjang peperangan berlangsung. 

Apabila Khalifah Umar mengambil alih tampuk pemerintahan, beliau terus memecat Khalid dan digantikan dengan Abu Ubaidah sebagai panglima perang yang baharu. Tanpa mahu mengetahui alasan Umar berbuat begitu, Sipedang Allah terus menanggalkan serban panglima menandakan beliau akur dengan arahan Khalifah.

Bagaimana boleh semudah itu Khalid bertindak? Ya...Khalid al Walid berperang bukan untuk habuan dunia, Khalid berperang kerana Allah. Lantaran itu bilamana jawatan panglima dilucutkan, beliau tetap bersemangat untuk berperang sebagai tentera biasa...semuanya kerana Allah.

Sebenarnya tindakan perlucutan jawatan itu bersebab. Saiyidina Umar melihat bahawa penduduk Madinah sudah meletak tanda aras yang amat tinggi terhadap keupayaan Khalid dan percaya bahawa tentera Islam pasti akan menang jika Khalid yang mengetuai angkatan perang tersebut. Mereka seolah terlupa bahawa Allah yang membenarkan kemenangan umat Islam, bukannya keupayaan Khalid. Mereka seolah telah berlaku syirik kepada Allah bahawa tentera Islam menang kerana Khalid al Walid!

Kisah Khalid al Walid aku noktahkan di sini. Tetapi ingin aku panjangkan simbolik kisah tersebut bersama perenggan pembukaan di atas. Jika pekerjaan kita disabitkan dengan ibadah...maka apa perlu kita hilang semangat dan melahir ketidakpuasan hati jika kita ditukar ke jabatan lain mahupun dipinggirkan. Jika segalanya kerana Allah...maka teruskanlah bekerja seperti biasa malah buktikan kita boleh membawa perubahan di jabatan baharu. Biarlah Allah sahaja yang merencanakan masa depan kita tanpa rasa prejudis di hati.

Jika diri rasa hebat dengan pencapaian cemerlang di sepanjang karier, itu masih belum mampu menandingi keberanian dan keikhlasan Khalid al Walid di medan perang.

Izinkan aku bermuhasabah diri...izinkan aku.


Saturday 3 October 2015

'Abasa

Surah ke 80, juzuk 30..surah 'Abasa (mengerutkan muka). 

Apa kisah yang mahu Allah sampaikan di dalam surah 'Abasa?

Nabi Muhammad sedang berdakwah kepada orang-orang bangsawan di Mekah. Memang itu peluang yang amat ditunggu-tunggu oleh Baginda di atas kapasiti mereka yang berpengaruh. Sekiranya mereka memeluk Islam, maka akan ramailah kaum musyrikin Mekah menurut jejak langkah kaum bangsawan tersebut. Ini amat menguntungkan Islam dan penyebarannya.

Sedang Baginda berdakwah, datang seorang tua yang buta mata ingin mengetahui lanjut tentang Islam, "Ya Rasul, bacakanlah Quran kepadaku. Ajarkanlah kepadaku apa yang diajarkan Allah kepadamu". Berulang-ulang orang tua tersebut mengatakan demikian kepada Rasulullah sedang dia tidak tahu bahawa Baginda sedang berhadapan dengan orang-orang bangsawan tersebut (semestinya dia tidak tahu kerana kedua matanya buta).

Nabi berasa sedikit terganggu dengan kata-kata orang tua itu yang memotong dakwah Baginda lalu terus masam muka Baginda dan berpaling darinya.

Turunlah surah 'Abasa bagi menegur perbuatan Nabi.

Dia (Muhammad) mengerutkan muka (masam mukanya) dan berpaling. Kerana datang kepadanya seorang buta. Apa tahukah engkau barangkali dia akan mencari kesucian atau akan menerima peringatan, lalu bermanfaatlah baginya peringatan itu. Adapun orang kaya itu, maka engkau menghadapnya. Padahal tiada berdosa engkau jika tiada menyucikan (hatinya, beriman). Adapun orang yang datang kepada engkau dengan bersegera, sedang ia takut (kepada Allah), maka engkau berpaling daripadanya. Sekali-kali jangan begitu, sesungguhnya ayat-ayat Allah jadi peringatan (pengajaran)...

Terjemahan surah 'Abasa, ayat 1-42

Allah menegur Baginda Rasul untuk tidak membeza-bezakan pangkat dan kedudukan dalam berdakwah.

Ya...Nabi dan Rasul adalah maksum. Maksudnya para Nabi dan Rasul tidak berbuat silap dalam menyampaikan syari'at Allah dan hukum-hakam. Tetapi dalam bermu'amalat dan bersosial, terdapat beberapa kesilapan yang mereka lakukan tetapi tidak sampai menjejaskan maruah.

Bagi fikiranku yang dangkal, tidak timbul isu kecil hati mahupun salah laku Baginda yang ketara terhadap orang tua tersebut. MATANYA BUTA...dia tidak akan tahu bahawa Rasulullah bermasam muka dan berpaling darinya!!!

Inilah mesej dari Allah...jangan diambil mudah hubungan sesama makhluk. Biarpun buta mata mahupun kurang segala, tetapi hak mereka jangan dikesampingkan. Bagi menunjukkan betapa seriusnya mesej ini, ALLAH TELAH MEREKODKAN SALAH LAKU KEKASIHNYA MUHAMMAD DI DALAM KITAB SUCI AL QURAN DAN KEKAL DIBACA SEHINGGA HARI KIAMAT!!!

Aku sendiri tidak sanggup meletak salah laku di laman blog sendiri sebagai iktibar kepada yang lain. Tidak mahu juga aku untuk berkongsi teguran ayah, ibu mahupun siapa jua tentang kesilapan yang telah aku lakukan untuk dipapar di arena Evolusi Jiwa...tak terfikirpun!

Surah ini benar amat meluluhkan jiwaku yang kotor. Aku yang kononnya penuh berhikmah dan tawadhuk, persis seorang munafik yang berbangga-bangga dengan kesederhanaan dan kerendahan hati.

Kupamer-pamer segala yang baik tentang diri di mata umum...walhal yang jelik dan kotor itu terus melekat di belakang tabir hidup.

Kupaksa lidah untuk sebuah istighfar keranamu...surah 'Abasa.