Translate

Thursday 25 September 2014

"Jamahlah sikit..."

Pernah berhadapan di dalam situasi di rumah ibu, kita hendak bergegas balik atas urusan peribadi tanpa mahu menjamah makanan yang terhidang. Biarpun ibu beriya-iya menyuruh kita makan tetapi mungkin kerana belum berasa lapar atau hendak mengejar masa, kita biarkan sahaja ibu dengan harapannya untuk melihat kita makan.

Pernah terfikir apa yang ibu rasa? Emosi ibu? Hati ibu? Ibu pasti ralat dan sedikit hampa kerana anaknya yang sudah punya kehidupan sendiri sudah mula meminggir masakannya.

Yelah...anaknya sudah punya isteri yang boleh mengganti masakannya. Anaknya sudah punya wang sendiri untuk makan di luar yang dimasak oleh Chef terkemuka. Air tangannya bukan lagi menjadi penarik untuk anaknya menjamah hidangan.

Jika situasi tersebut pernah menyinggahi kehidupan kita, ingat kembali kisah yang menimpa Alqamah yang sukar mengucap ketika menghadapi sakaratul maut. Apa sebabnya? Ibunya berkecil hati tetapi tidak terluah di hadapan anaknya sehingga Rasulullah mengarah para sahabat untuk membakar Alqamah...baharulah ibu berterus-terang dan mengampuni kesalahan anaknya.

Jika hidangan tersedia walau lauk tidak seberapa, jamahlah sedikit agar ibu berasa masih dihargai...jamahlah.



Sunday 21 September 2014

Mengejar Ular Berbisa

Dalam satu situasi, seseorang dipatuk ular berbisa. Dia cuba mengejar ular tersebut untuk membunuhnya agar orang lain tidak menjadi mangsa patukan ular. Malang, niatnya yang baik itu telah memakan diri sendiri. Dia menjadi semakin lemah kerana kesan bisa sudah menjalar ke seluruh tubuh. Dia akhirnya jatuh rebah dan mereka yang di sekeliling hadir untuk membantu.

Dalam situasi dipatuk ular, apa yang sepatutnya dilakukan? Adakah berbaloi untuk mengejar ular dikala kita sedar bisanya sudah menerobos masuk menjalar ke dalam tubuh?

Tindakan sepatutnya adalah meminta bantuan terhampir atau terus pergi mendapatkan rawatan awal. Lupakan untuk membunuh ular kerana keadaan diri lebih penting untuk dirawat. Atau kita akan rebah jatuh menyembah bumi.

Inilah analogi kehidupan yang diutarakan oleh Stephen R Covey di dalam buku '7 Tabiat Orang Yang Amat Berkesan'. Beliau menyedarkan implikasi yang bakal menimpa diri atas keputusan salah yang dibuat bila diri dimangsai.

Katakan seseorang itu menjadi mangsa fitnah atau mangsa ketidakadilan, berbaloikah dia pergi menyerang atau meminta penjelasan kepada mereka yang berbuat tidak baik itu? Tindakan itu hanya menambah buruk situasi lantaran jiwa kita akan menjadi semakin berkecamuk tidak keruan.

Bisa tindakan mereka yang tidak baik itu sebenarnya sudah menjalar jauh ke dalam minda kita. Lupakan mereka yang tidak jujur terhadapmu. Rawatlah hatimu sendiri lantaran itu lebih membantu untuk kita bangun semula.

Tetapi ingat, ular adalah sebahagian dari kitaran ekosistem bumi yang penting. Begitu juga manusia...jangan dibunuh jiwa yang tidak bersalah itu lantaran kelemahan yang tertera. Bersabarlah dengan kerenah manusia kerana "Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar".

Sebenarnya kelemahan itu tetap wujud selagi kita bernama manusia. Tidak mengapa kerana kita diberi akal untuk mengatasi dan menambah baik diri dari masa ke semasa. Tetapi bahaya menanti jika kita tidak menyedari bahawa kelemahan itu ada dalam diri dan keadaan akan menjadi lebih kronik kerana kita tidak cuba mengatasinya.

Oleh itu bagi yang menjadi mangsa patukan ular, biarkan sahaja ular itu menyusup ke dalam semak menghilangkan diri. Buang dahulu bisa ular dan perlahan-lahan bina kekuatan diri. Insyaallah kita dapat menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan penuh ceria.


Catatan dari Seoul, Korea


Wednesday 10 September 2014

Biar Kambing Yang Mengajar

Dalam bermedia sosial, aku terpana dan terpaku dalam menerima kiriman video dari seorang sahabat. Seekor kambing yang terputus dua badannya, yang tinggal hanya dua kaki hadapan (mungkin kemalangan) tetapi masih bernyawa dan masih tegar berjalan meneruskan kehidupan. Keadaannya sewaktu berjalan tentulah tidak normal, kambing tersebut cuba mengimbangi badannya yang hanya tinggal separuh dibantu hanya dua kaki hadapan.

Mengapa kambing itu masih mahu berjalan? Tentunya untuk meragut rumput dan mendapatkan air. Boleh sahaja kambing tersebut duduk berdiam dan mengharap tuannya menyediakan makan minum seharian. Tetapi tidak begitu naluri kambing. Haiwan yang tidak punya akal itu diberi semangat juang yang tinggi tanpa rasa putus asa untuk sebuah kehidupan singkat di bumiNYA.

Ya...di kalangan manusia memang ada mereka yang berstatus OKU berjuang meneruskan kehidupan tanpa mengharap belas mereka yang sempurna. Tetapi bagaimana pula bagi mereka yang cukup anggota tubuh badan tetapi masih bermalas-malasan...aku memandang dari sudut kerjaya negatif yang mereka usahakan.

Ya, mereka berusaha tetapi usaha hanya untuk memperdaya orang ramai dengan pelbagai sindiket. Mereka bekerja tetapi kerja mereka meragut barangan berharga sehingga mencederakan mangsa. Mereka ada kerjaya tetapi mereka selesa dengan kerja rutin dan tidak mahu meningkatkan taraf hidup.

Mahu saja aku meletakkan kambing ini bersama mereka untuk sebuah iktibar!!!



Monday 8 September 2014

Aku Malu!!!

Di kejirananku, ada seorang lelaki yang sudahpun berkahwin dan berkeluarga. Dia baik dan peramah, ramai yang senang dengan kehadirannya. Aku juga mengenalinya tetapi tidak rapat. Kami hanya bertemu di surau dan bertegur sapa ala kadar. Selebihnya jika terserempak di mana-mana, kami hanya tersenyum.

Aku terperasan, sudah agak lama tidak ketemu lekaki ini. Jangankan di kawasan penempatan, di surau juga tidak nampak lagi kelibat lelaki tersebut. "Sudah berpindah agaknya", suara kecilku memberi jawapan mudah.

Setelah beberapa bulan kehilangan dirinya, lelaki itu tiba-tiba terpacul dan solat di sebelahku di surau. Aku hanya terperasan setelah memberi salam tahiyat akhir dalam solat. Sehabis Imam membaca doa, aku menegurnya.

"Lama tak nampak?"
"Adaaaaaaa", jawabnya sambil tersenyum.

Aaaahhh...jawapan ringkas itu memberi seribu persoalan kepada mindaku kerana dia bercakap tanpa memandang mukaku. Kami beredar.

Keesokannya aku bertemu lagi dengannya. Seusai solat nampak dia berbual-bual dengan jiran tetangga yang lain dengan tidak memandang muka! Aku terperangkap di dalam kemelut misteri yang tidak terungkai. Mengapa begitu lagaknya...adakah dia malu? Apa yang hendak dimalukannya?

Aku menghampiri salah seorang jiran untuk bertanyakan hal lelaki tersebut.

"Oooohhh...diakan baru 'operate'. Ada ketumbuhan serius di bahagian kepala dan mesti dibuang. Hendak membuang ketumbuhan itu pula bakal memberi kesan kepada saraf mata. Dia dah tak nampak apa-apa objek sekarang ni. Hanya boleh membezakan terang dan gelap sahaja."

Masyaallah!!! aku kaget dan terlopong mendengar penjelasan tersebut. Anak matanya langsung tidak menunjukkan sebarang kecacatan...masih cantik sihat berseri. Lagaknya macam orang biasa...berjalan macam biasa dan masih ke surau seorang diri. Macam mana tu?

Jiran memberitahuku, atas keinginannya yang tinggi untuk ke surau...dia telah mengarahkan anaknya untuk memimpinnya ke surau selama beberapa hari untuk dia membuat pengecaman. Setiap langkah akan dikira untuk sampai ke simpang, longkang, belokan dan sampai ke surau. Kiraan langkah yang tepat itu yang membolehkannya ke surau seorang diri!

Subhanallah!!! Maluku tidak terkira kerana dengan mata yang celik inipun aku masih memilih-milih untuk mahu ke surau atau tidak!!!

Wednesday 3 September 2014

Analogi Cacing dan Kehidupan

Semua orang pernah lihat cacing. Ia sejenis makhluk ringkas yang tidak memerlukan sebarang anggota untuk bergerak...hanya sekujur tubuh badan yang diberi tenaga untuk maju ke hadapan. 

Apa faedah kewujudan cacing? Bagi melengkapkan ekosistem alam, cacing boleh menggembur tanah untuk kesuburan. Cacing juga boleh membawa penyakit jika tidak dikawal.

Cacing berbeza dari reptilia ular. Survival ular sangat tinggi. Walau ular tak punya tangan dan kaki seperti cacing tetapi ular boleh pantas bergerak, ular masih ada mata untuk melihat persekitaran, masih ada bisa untuk mematikan mangsa, masih ada taring untuk meracun musuh. Masih punya lidah untuk mengesan mangsa.

Cacing? Apa yang cacing ada? Tiada mata, tiada tangan dan kaki, tiada telinga, tiada gigi, tiada lubang hidung...hanya tubuh panjang berjalan ke hadapan tak ketahuan arah. Jika hendak dilabel sebagai OKU, cacing lebih teruk dari taraf OKU!


Cacing seperti bayi kecil yang tidak langsung boleh pertahankan diri apatah lagi untuk pertahankan keluarga dan rumah. Jika diserang semut atau dipijak manusia atau dipatuk burung, cacing pasti tewas.

Aaiikkkkkkk? Apalah faedahnya Allah cipta cacing selain menggembur tanah? Berbaloikah ciptaan Allah yang satu ini? Haaaaa...jangan ambil tugas Allah dalam mentadbir alam. 

Sebenarnya Allah ber'analogi' tetapi manusia masih tiada sinergi untuk mentafsir ciptaan Allah. Allah suruh kita berfikir bahawa makhluk selemah cacing masih menaruh harapan tinggi untuk hidup. 'Survival' cacing amat hebat, dikatakan 'hebat' kerana dalam keadaan selemah-lemah makhluk, tiada cacing yang kecewa lantas bunuh diri. Tiada cacing yang berputus asa dari rahmat Allah lalu duduk meneleku tanpa berbuat apa-apa. Tiada cacing yang malas bekerja dengan menadah cawan untuk simpati derma dari makhluk-makhluk lain. Walau demikian sifatnya, cacing tetap redha dan tidak sekali-kali menyalah takdir.

Cacing berjuang dan terus berjuang demi kelangsungan hidupnya!!!

Tetapi manusia yang cukup sempurna anggota tubuh badan ditambah dengan anugerah akal pemberianNYA, ada yang membunuh diri atas ujian dan masalah yang menimpa. Kedapatan manusia yang malas bekerja hanya mengharap simpati derma. Ramai manusia yang kecewa dan putus asa lalu menyalahkan takdir yang menimpa!!!

TAK MALUKAH KITA PADA SPESIS CACING?