Translate

Friday 31 May 2013

Adat Yang Tiada Adab

Menunggu di dalam kereta pasti berteman bosan, lantas aku guna peluang itu untuk kucatat sesuatu buat perkongsian yang sudi membaca. Sedang leka menulis, ekor mataku terkilas kepada seorang wanita yang keluar dari kereta bersama bungkusan plastik di tangan. Dia ke bahu jalan dan melontar bungkusan plastik tersebut. 

Ya...memang aku lihat di bahu jalan tersebut banyak terdapat sampah sarap yang dibuang walau tidak diwarta sebagai kawasan pembuangan sampah. Hati aku mula menggetus melihat gelagat yang tidak berdisiplin itu. Memang adat Melayu, Cina dan India di negara Malaysia ini. Sekali seseorang buang sesuatu di tempat tersebut, mulalah menggeletek yang lain mahu mengikut adat yang tak beradab itu.

Tetapi sesuatu yang ajaib pula berlaku dan aku tak pernah melihat kejadian itu seumur aku hidup di bumi Malaysia. Selang tidak beberapa saat, wanita itu keluar semula dan mengutip kembali buangan yang dilontar dan terus memasuki kereta bersama plastik sampah tersebut! 

Hai...tak pula aku nampak kelibat pegawai penguatkuasa yang meronda. Tidak juga aku terfikir betapa dia telah bertaubat sedetik lebih.
Pelik!!! Disebabkan kepelikan yang berasas itu, aku tidak berkelip mata memerhati gelagatnya di dalam kereta. Aku lihat ada seorang lelaki di ruang pemandu yang sedang bercakap dengan wanita tersebut.

Nah!!! Aku mula mencipta jawapan dan aku yakin memang tak salah untuk aku sendiri berkarya bagi pihak keluarga itu kerana segalanya berlaku di depan mata.
Wanita tersebut apabila melihat banyak sampah sarap yang dibuang di bahu jalan tanpa berfikir panjang membuat keputusan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti normal itu iaitu 'membuang sampah bukan di kawasan pembuangan sampah'.

Apabila suaminya terperasan, diarahkan isterinya untuk mengutip semula sampah tersebut atas disiplin tinggi yang diamalkan olehnya. Dia tidak mahu keluarganya menjadi penyumbang kepada kekotoran bandar yang tidak dihirau oleh masyarakat sekeliling. 



Aku kagum...ya amat kagum kerana di kala itu tiada sesiapa di sekeliling. Tiada pegawai penguatkuasa yang digeruni untuk mengeluarkan saman juga tiada manusia lain untuk dia menunjuk-nunjuk disiplin. Ketulenan yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa.

Alhamdulillah...masih wujud lagi sebenarnya sifat-sifat Islam tulen yang diterjemah melalui perbuatan. Islam itu satu cara hidup yang amat menitikberat soal-soal kebersihan.

Lihat sahaja apabila hendak bersolat, air memain peranan utama dalam menentukan sah atau tidak solat...wuduk harus sempurna. Jika ketiadaan air maka tayammum bersama debu tanah mengambil alih. 

Lihat pula ritual agama lain, adakah air menjadi permulaan peribadatan mereka? Tidak, tidak sama sekali. Mereka tidak perlu membasuh muka, kedua tangan, membasuh kepala juga kedua kaki...mereka tidak perlu itu semua.

Peranan air sebenarnya menjadi simbolik betapa Islam itu sinonim dengan kebersihan. Tetapi berapa ramai dari penganutnya yang mengamalkan kebersihan dalam kehidupan seharian?

Negara maju yang bukan Islam telah dengan yakin mempraktik disiplin yang tinggi dan pengamalan kebersihan yang telah sebati menjadi diri mereka.

Pengalamanku bersama mereka di negara maju dan negara dunia ketiga amat-amat ketara perbezaannya. Itu semua bertitik tolak dari mentaliti yang telah diselaras sedari kecil...ya, bermula hidup dari keluarga yang mendidik anak-anak mereka.

Di negara maju tidak kelihatan yang membuka cermin kereta untuk melontar sesuatu keluar. Tidak terlihat puntung-puntung rokok bersepah di bahu jalan. Tak nampak pula mereka yang selamba berkahak dan meludah di merata jalan.

Tetapi di negara dunia ketiga, lebih dari itu mereka tergamak...sehingga 'selamba derk' sahaja mereka membuka zip seluar untuk melepas hajat di tepi jalan!!!

Jika dilihat kembali kisah terpinggir yang kuceritakan di atas, anak-anak kecil yang duduk di bahagian belakang kereta secara tak langsung telah mendapat didikan yang setara atas kesilapan ibu mereka yang ditegur oleh ayahnya.

Tetapi cuba bayangkan perkara di sebaliknya pula yang berlaku, si suami tidak endah dengan kejadian tersebut. Jadilah sikap dan mentaliti itu dibawa arus ke generasi seterusnya...merai mentaliti dunia ketiga. Tak sudi aku melayan 'adat yang tiada beradab' itu.

Tuesday 28 May 2013

Bahasa Tuhan

Manusia sering berasa resah, gelisah, merungut, membentak jua menggila jadinya apabila hadir sesuatu yang di luar jangkaan. Apatah lagi yang hadir itu bukan merupakan ujian ringan tetapi penuh rintangan menduga keimanan. Jika ditolak ke tepi musibah alam, ia boleh jadi dugaan muflis, dikejar along, rumah disita, nama disenaraihitam atas urusan kewangan, tanah tergadai, suami atau isteri berlaku curang, anak membawa masalah...eerrmmm seribu satu malam bercerita pasti tidak ketemu noktah, begitulah sebatinya masalah dan dunia.

Perlukah kita melatah sehingga habis kebahagiaan diratah masalah? Ujian yang berupa masalah pasti menimpa setiap yang bernama manusia. Jangan lupa, haiwan juga mempunyai masalah. Bezanya haiwan melepasi masalah itu dengan nafsu tanpa panduan akal fikiran.

Apa mesejnya di sini? Ya, kita sebagai manusia yang dicipta begitu mulia berbanding haiwan, pokok, angin, tanah, gunung-ganang, seharusnya menggunakan akal yang diberi bagi mencari jalan penyelesaian, tidak menurut nafsu.

Jika boleh diimbas-imbas kisah kehidupan yang berlaku di sekeliling kita. Membuat pinjaman along...kita tahu kesannya amat perit tetapi atas desakan hidup yang terlalu menekan, diketepikan rasa apa yang dipanggil menggantung diri sendiri.

Mengapa masih meneruskan niat bahaya itu? Yang bahaya bukan hanya diri sendiri tetapi melibatkan isteri, anak-anak dan kaum keluarga. Dahlah kaum keluarga terancam, jiwa pula merana jadinya kerana yang tidak bersalah turut sama terbabit. Bukankah kita telah dianugerahi akal untuk berfikir? Tiada beza nampaknya manusia dengan sang tikus yang ingin mendapatkan kepala ikan goreng di dalam perangkap yang dipasang. Tikus pula nampaknya lebih jujur kerana ia tidak dibekal akal untuk berfikir buruk baik sesuatu perkara yang dilakukannya.

Bagaimana pula dengan perceraian di awal perkahwinan atau yang lebih 'mencemar duli' bercerai di usia senja. Emosi mengatasi serasi...akal tolak ke tepi, buta fikir tentang anak-anak, pasangan yang telah banyak berkorban dan harta sepencarian. Apa beza manusia dengan lembu? Mengawan, dapat anak dan sijantan terus memburu kehidupan lain.

Sebenarnya segala musibah, dugaan, ujian dan apa sahaja yang memeritkan itu adalah BAHASA TUHAN. Anugerah Allah kepada makhluk ciptaanNYA yang dimuliakan...untuk manusia berfikir tentang kesilapan yang dilakukan agar mereka kembali semula ke landasan yang betul.

Nak jadi Firaun? Haman? Qarun? Boleh...Allah akan lemparkan kesenangan dan segala kemudahan nikmat dunia sehingga kita terleka untuk kembali bergantung kepadaNYA. Mahu ke jika itu yang berlaku?

Kita bukan Nabi Musa yang boleh berbicara dengan Tuhan di Bukit Tursina. Kita bukannya Nabi Muhammad yang juga berkomunikasi dengan Tuhannya di dalam peristiwa Isra' Mi'raj. Kita hanyalah manusia 'dungu' yang tak layak berdamping denganNYA! 

Justeru, bagaimana cara manusia 'dungu' menerima mesej dari Tuhannya? Ya...DIA beri rasa sakit, merana, fakir, muflis...tetapi jangan hilang pedoman!

Pernah seseorang berkongsi kisah benarnya denganku dan aku meminta izin darinya untuk memapar pengalaman berharga itu di ruangan blog ini.

Dia membeli rumah baru yang masih di dalam pembinaan. Setiap bulan dia harus memberi komitmen untuk membayar wang progres bertahap-tahap mengikut peratusan yang telah ditetapkan oleh pihak bank. Pembinaan rumah tidak mengikut tahap waktu yang ditetapkan, 2 tahun berlanjutan ke 4 tahun. Masih digagahinya untuk membayar mengikut jadual.

Rumah siap dan proses pembayaran 100% telah bermula. Bermulalah pula masalahnya kerana di waktu yang sama anak-anak di Universiti dan kolej perlukan pembiayaan ditambah lagi dengan kesihatan salah seorang anaknya yang perlukan rawatan lanjut di hospital pakar. 

Dia buntu...serasa mahu dilepaskan sahaja komitmen terhadap rumah. Meminjam along? Dia masih waras! Tunggakan bank sudah melewati bulan ketiga dan surat-surat amaran peguam terus menerjah. Dia pasrah...Apa yang dilakukannya? Ini yang aku teruja hendak bercerita...

Dia tidak melatah, itulah warisan iman yang memelihara dirinya. Dia tingkatkan amalan, tidak melepaskan peluang berjemaah di surau. Kebetulan di bulan puasa, dia bertarawih penuh dan bertadarus Quran. Ditambah banyak amalan sunat, berjaga malam dan banyak bersedekah dalam keadaan tidak berharta...setakat kemampuan sendiri.

Di kala itu jika pihak bank mahu melelong rumahnya, dia nekad akan berpindah ke rumah sewa...jika itu takdirNYA, dia redha.

DIA tidak buta dan tuli...DIA MAHA MELIHAT DAN MENDENGAR. DIA melihat hamba yang sedang sengsara tetapi di waktu yang sama bermunajat kepadaNYA. DIA mendengar keluhan sayu hamba itu yang memohon dipermudahkan segala urusan. DIA berkenan dengan sifat hamba itu yang tidak gelojoh dan menggunakan akal yang diberi untuk mendekatkan diri yang selama ini alpa. DIA TAHU BAHAWA HAMBA ITU MENGERTI APA ITU 'BAHASA TUHAN'!!! 

Allah buka pintu rezeki buatnya, tidak terjangka di waktu terdekat majikannya menghulurkan surat kenaikan pangkat. Bulan berikutnya dia menerima habuan merit kenaikan gaji.

Subhanallah...segalanya selesai dalam sekilas pandang. Pendapatannya lebih dari mencukupi untuk dia berkomitmen dengan bayaran ansuran rumah!

Tetapi dia tidak leka...segala amalan waktu susah dahulu dipraktikkan sehingga sekarang atas rasa terimakasih yang tidak terhingga ke atasNYA. Sebagai seorang hamba pula, dia bersyukur atas BAHASA TUHAN yang menyedarkannya dari lena.

Bahasa Tuhan tidak berlenggang lenggok, meliuk lentuk, berbunga seni...ia bahasa yang hanya boleh dilihat dari matahati yang jernih...dengarlah!!!



Saturday 25 May 2013

Biasa atau Luarbiasa

Berjumpa sahabat lama, hangat berbual. Dari satu topik ke topik yang lain, dari arena sekolah menyambung ke aliran politik. Dari hal-hal keluarga terbang ke kisah pengalaman. Dari segelas teh tarik disambung ke tuangan Ali Cafe. Haaaiii...meriah.

"Zi, kau takde masalah ke kat tempat kerja? tiba-tiba soalan menerpa.

"Eerrmmm, kiamat dunia sudahnya jika takde masalah" jawabku berseloroh.

"Macam mana cara kau selesai masalah? 

"Aik...biar betul kau. Masalah apa ni, cuba kau cerita betul-betul, mana tahu aku boleh bantu". aku mula serius dengan situasi itu.

"Kat tempat kerjalah Zi. Kadang-kadang aku rasa macam tak adil kat aku". dia membetulkan duduknya dan aku tak berkelip mata menunggu lantunan suara seterusnya.

"Aku sebenarnya takde masalah dengan segala tugasan yang diberi, bukan nak memuji diri tapi aku ni jenis orang yang tekun buat kerja dan tak mampu nak menolak apa juga 'assignment' apatah lagi nak berkira".

"Tapi Zi kadang-kadang datang rasa tak puas hati, aku manusia biasa ada hati dan perasaan juga ada keinginan nak tingkatkan taraf hidup. Tu lah...makin hari makin aku rasa ini semua tak berbaloi. Majikan perah segala keringat aku tapi kedekut nak naikkan pangkat aku, adil ke tu Zi?"

Aku mula tersenyum. Senyum tidak untuk menyindirnya tetapi aku ada formula untuk menaikkan semula semangat juangnya yang mula goyah. Bagiku, ini masalah biasa...setiap yang bernama manusia yang bergelumang di alam pekerjaan akan menghadapi kerenah yang pelbagai.

"Zi, awat senyum? Nyesal pulak aku citer kat kau".

"Ok ok...aku nak citer la ni. Aku senyum sebab jarang aku tengok muka kau macam 'poyo' tu..hahaa".

"Mat, aku tak mahu pertikaikan keikhlasan kau bekerja. Semua orang pasti setuju segala kerja pasti ada upahnya dan itu juga merupakan tuntutan Islam. Memang normal kalau kau rasa segala yang kau buat mesti diberi ganjaran setimpal seperti pangkat yang sesuai dengan bebanan tugas". tazkirahku bermula.

"Mat, kalau kau rasa kau nak jadi macam orang biasa, silakan...kau boleh guna pakai konsep tu. Kau juga berhak untuk menolak beban kerja yang tidak setaraf dengan pangkat yang kau sandang. Kau boleh bahagia dengan tugas rutin, cukup bulan dapat gaji".

"Tu orang biasa Mat. Tapi kalau nak jadi orang yang luarbiasa, inilah peluang sebenarnya untuk kau tunjuk kebolehan dan bakat yang kau ada. Orang luarbiasa tak meminta tapi banyak memberi. Orang luarbiasa tak berkira tapi kredibilitinya banyak tertera. Orang luarbiasa bukan hanya nak gaji tetapi nak banyak pahala. Orang luarbiasa tak pernah mati berjuang walau ditekan, dihimpit juga diketepikan". Susun atur ayatku tampak lancar demi meyakinkan bahawa apa yang sedang ditempuhnya adalah proses untuk melonjakkan jatidirinya.

"Satu lagi Mat, mungkin ini caranya Allah ingin melangsaikan segala hutang piutangmu pada waktu kerja yang lampau. Iyelah, zaman muda kita kan banyak cilok sana cilok sini, masuk lewat balik awal, ambil mc tipu, tuntut kerja lebih masa secara membuta tuli, ambil barangan pejabat...aaahhh memacam lagilah benda tak elok yang kita pernah buat".

"Mat, aku nak kau bayangkan sekiranya segala macam perkara tak elok tu Allah tangguh pembalasannya di dalam kubur seterusnya dibawa ke mahsyar...mampu ke kita jawab nanti? Anggaplah apa yang kau buat sekarang ni untuk kau bayar segala hutang piutang kau dengan syarikat. Sebab tulah sekarang kau kena banyak memberi, beri segala khidmat bakti kau pada syarikat. Ingat Mat, syarikat juga ada hak untuk menuntut segala salah laku kakitangan. Mampu tak kau bayar dengan duit, mungkin tak terjangkau tapi kita mampu membayarnya dengan khidmat bakti tanpa berkira".

"Nasihat aku yang terakhir Mat, perkara ni takkan selesai dari sisi pandangan dunia...kau akan terus menagih dan ketagih dengan habuan, tiada istilah 'cukup' bagi dunia ini. Kita mesti berbalik kepada pandangan 'matahati', itu sahaja yang mampu membawa kita ke laluan selamat". 

"Buatlah pilihan Mat, jika kau rasa kau berhak tuntut apa yang kau inginkan...tak salah tetapi taraf kau tak lebih dari orang kebanyakan. Tetapi jika kau mampu memberi tanpa menghiraukan habuan dunia...itulah sifat para Nabi, Sahabat dan pejuang tulen. Bahagiannya menanti di sana!

Ahmad termenung panjang. Tak dapat aku menelah hatinya. Aku harap dia memilih jalan yang betul untuk meleraikan kekusutan dan jiwa kacaunya.

Tetapi yang nyata...jiwaku pula yang mula ber EVOLUSI!!!

Friday 24 May 2013

Islam Yang Kelam

Maha Suci Allah yang mencipta manusia berbagai bangsa, keturunan, adat budaya yang berbeza antara kaum dan pelbagai perbezaan mewakili puak-puak tertentu. Tentu ada rahsia di sebalik segala penciptaan hebat itu. 

Boleh sahaja Allah cipta manusia dengan satu bangsa sahaja contohnya bangsa Arab di mana ramai para Nabi berasal dari bangsa itu. Kesannya dunia menjadi beku dengan perkara yang sama bakal ditempuh setiap hari. Bahasa Arab, makanan Arab, adat budaya Timur Tengah, rumah Arab yang sama bentuknya dan segala macam benda yang sinonim. Hilang ceria gemilang dunia.

Hikmah di sebalik semua itu adalah Allah suruh kita untuk berhubung dan bersosial dengan bangsa yang berlainan, terima keadaan mereka seadanya walau tidak secocok dengan adat resam keturunan sendiri. Digalakkan perkahwinan berlainan bangsa agar perkembangan zuriat tidak statik dan tertumpu kepada bangsa sendiri. Dan yang lebih penting, agama Islam seharusnya merentasi bangsa, keturunan, adat dan budaya. 

Islam bukan milik bangsa Arab, tidak juga Melayu, bukan Cina dan bukan juga milik bangsa India. Islam adalah universal tetapi tidak menafikan cara hidup sesuatu bangsa mahupun kaum setempat. Hiduplah dengan cara sendiri dan Islam hadir  memberi panduan di mana batasan yang sepatutnya dihadkan. 

Bangsa Melayu jangan berbangga dengan agama Islam yang mereka anuti. Jika agama yang syumul itu hanya menjadi ritual kepada sesuatu program, tahulah kita di mana letaknya tahap keimanan seseorang itu. Lebih cemerlang bagi mereka yang memeluk Islam atas hidayah Allah kerana sifat mencari dan ingin tahu itu mendesak si kafir untuk mengetahui apa itu Islam.




Berapa ramaikah bangsa Melayu mendesak hati  untuk mengetahui kesyumulan agama yang mereka anuti itu? Yang nyata banyak pula berlaku si Melayu mendengar ceramah mahupun syarahan dari bangsa Cina mahupun India Islam.

Definisi Melayu seperti yang digariskan oleh bangsa Melayu sendiri ialah seseorang yang beragama Islam, bahasa ibundanya adalah bahasa Melayu dan mengamalkan cara hidup Melayu.

Bangsa Melayu apabila melahirkan bayi, secara automatis akan menjadi Islam...Alhamdulillah. Tetapi risikonya besar kerana bangsa ini sudah tidak mahu lagi menggali ilmu Islam. Apa yang diajar di waktu kanak-kanak akan dibawa hingga kemati. Jika wuduk dan solat secara praktisnya diamalkan sedari kecil, maka cara berwuduk dan solat zaman kanak-kanak itu yang diamalkan sampai ke tua!

Bayangkan bacaan fatihah yang merupakan rukun  yang menentukan sah atau tertolak solat, dipelajari tonasinya sewaktu kanak-kanak. Adakah gaya bacaan yang sama tidak perlu kepada pembelajaran tajwid dan bentuk hukum hakam serta idgham bagi menghalalkan bacaan agar diterima Allah solatnya? 

Di sinilah terletak risiko umat Islam yang lahir dari generasi dan legasi. Berbangga dengan agama Islam tetapi memekik memboikot barangan Cina...yang bakal menyalakan api perkauman. Mengaku penganut agama langit tetapi menyebar video lucah di arena politik bagi menjatuhkan seteru. Mengimarah Maulidurrasul, di waktu yang sama merancang rampasan kuasa kerajaan dan berhimpun menyatakan bantahan sehingga menyukarkan kehidupan masyarakat sekeliling.

Jangan berhenti menggali ilmu syariat terutama bagi memantapkan solat. Bermula solat yang mantap menatijahkan kehidupan yang diredhai Allah. Apabila Allah redha, penduduk langit akan turut mendoakan insan tersebut. Jadilah kehidupannya teratur dengan rasa kasih sayang yang melimpah ruah terhadap siapa jua. Tiada lagi timbul soal bangsa dan keturunan. Semuanya dirasa sama di sisiNYA kecuali yang bertakwa.

Benarlah kata-kata Hukamak...Islam terhijab oleh kelakuan umatnya. Kelam jadinya Islam itu.

Wednesday 22 May 2013

Ijtihad Satu Keperluan


Ijtihad...apa itu ijtihad? Dalam bahasa mudah, ijtihad adalah suatu keputusan yang dibuat oleh seseorang yang pakar dan arif dalam agama. Keputusannya merupakan penyelesaian kepada sesuatu permasalahan setelah dia menggunakan segala kepakaran yang ada ke tahap paling maksimum. 

Dia mestilah boleh menguasai bahasa arab dengan baik, mahir dalam mentafsir ayat Quran, tahu asbabunnuzul kepada turunnya sesuatu ayat, tahu ayat nasakh dan mansukh, pakar dalam hadis dan banyak lagi kriteria lain. Ini menunjukkan bahawa bukan semua ahli agama boleh berijtihad.

Mengapa perlu berijtihad? Bilamana timbul sesuatu masalah dalam agama, rujukan pertama adalah al Quran diikuti Hadis seterusnya ijma' ulama (majoriti ulama' bersepakat) dan juga Qiyas (kiasan merujuk Quran dan Hadis). Tetapi jika keempat-empat rujukan itu masih tiada tanda-tanda kepada penyelesaian masalah, di situlah mula ulama' berijtihad.

Di zaman Rasulullah SAW, tiada kaedah ijtihad kerana para sahabat akan terus merujuk kepada Baginda Rasulullah. Apabila Baginda wafat, para sahabat yang bertaraf ulama' akan mengambil konsep ijma' ulama bilamana tidak terjumpa permasalahan di dalam al Quran dan Hadis.

Contoh ijtihad di zaman sekarang...kewujudan bank susu untuk bayi. Tujuan diwujudkan bank susu adalah untuk mengatasi masalah kekurangan susu untuk bayi-bayi terutama kepada bayi-bayi yang ditinggalkan oleh ibunya samada bekerja harian, kerja 'outstation' ataupun bayi itu ditinggalkan terus di rumah-rumah pengasuh. Ibu-ibu yang baru lepas bersalin dan mempunyai kandungan susu badan yang berlebihan digalakkan untuk menyumbang stok susu di bank susu. Ada juga wanita yang belum berkahwin memakan pil-pil untuk merangsang aliran susu untuk disumbangkan ke bank susu ini.

Masalahnya, bolehkah bayi-bayi Islam mengambil bahagian di dalam menerima susu-susu ibu yang bercampur-campur sifatnya? Stok-stok susu yang disimpan, tiada pengenalan diri siapa pendermanya seperti juga stok-stok darah yang datang dari pelbagai bangsa.

Bila merujuk Hadis, Rasulullah sendiri ditinggalkan kepada seorang ibu susu yang diupah di luar kota Mekah. Keadaan itu diterima tetapi syariat menyatakan setelah bayi yang menumpang susu kepada ibu lain sehingga 3 kali kenyang maka bayi itu bertaraf ibu susuan dan diharamkan berkahwin dengan anak kepada ibu yang menderma susu itu.

Bila dikaitkan dengan bank susu, Ulama' mengeluarkan pelbagai pandangan dan pendapat tentang keharusan bayi Islam mengambil bahagian dalam aktiviti bank susu itu. Genetik penderma yang tidak diketahui boleh mengharu birukan keturunan bayi itu nanti kerana mungkin boleh berlaku taraf ibu susuan yang mana diharamkan bayi itu apabila telah dewasa berkahwin dengan anak ibu susuan. Mungkin boleh berlaku dua orang bayi lelaki dan perempuan yang meminum susu dari penderma yang sama...mereka haram berkahwin! Tetapi siapa yang boleh merungkai kronologi penderma susu itu?

Ada pula Ulama' yang mengharuskan dengan berhujah bahawa jika keadaan memerlukan, maka dibolehkan bayi Islam mendapatkan stok susu di bank susu. Ini bagi mengelak dari berlaku kematian kepada bayi-bayi yang tidak mendapat khasiat yang secukupnya dari susu ibu.

Ulama' yang berijtihad tidak semesti membuat keputusan yang betul kerana mereka bukan bertaraf Nabi yang 'maksum'. Tetapi Allah beri keistimewaan kepada insan-insan ini. Sekiranya mereka melakukan kesilapan dalam berijtihad, tetap mereka mendapat 1 pahala. Sekiranya keputusan mereka betul, 2 pahala bakal dianugerah.

Hukum yang dikeluarkan secara ijtihad tidak bersifat kekal sepertimana hukum wajib solat, puasa, berzakat dan sebagainya. Ini kerana keperluan berijtihad adalah mengikut peredaran zaman. Contoh diberi jika di zaman 70an Ulama' berijtihad bahawa merokok hanyalah makruh hukumnya (atas maklumat yang diterima bahawa tiada bahan kandungan bahaya di dalam rokok itu). Ulama' di zaman sekarang boleh berijtihad untuk mengharamkan rokok kerana kandungan bahan-bahan beracun yang ketara dan juga telah terbukti kesan yang boleh memudaratkan kesihatan atas maklumat yang diberi oleh para doktor.

Islam tidak statik, ia berkembang selari dengan perkembangan teknologi terkini. Justeru para Ulama' digalak untuk terus berijtihad demi merungkai segala permasalahan yang tidak terdapat di dalam al Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas.

Semoga perkongsian ilmu ringkas ini boleh mencambahkan lagi ilmu-ilmu lain yang tidak terbatas luasnya.

Jazakum Allahu Khair

Saturday 18 May 2013

Hikayat Penuh Ranjau

Dia lahir di kampung, serba serbinya kurang. Menambah derita bila ayah pergi sewaktu usia masih mentah. Sempat melanjutkan pelajaran di sekolah rendah...masih boleh menulis dan membaca.

Selebih, kehidupannya banyak berkisar menjaga anak-anak buah yang sedang membesar. Zaman remajanya terbantut, tiada apa yang menghiburkan cuma apabila berkumpul bersama sepupu sepapat, nampak ceria sedikit dengan usikan-usikan nakal. 

Seawal umur 15 tahun dia telah disunting oleh orang bandar. Kebetulan berlaku sewaktu dia mengikuti ibunya ke bandar dan menetap di sana selama beberapa hari. Jiran bujang belakang rumah bertanya secara bergurau kepada ibunya lantas gurauan menjadi kenyataan.

Dia ke bandar Kuala Lumpur mengikut suami yang bertugas sebagai anggota polis. Ditinggalkan dunia kampung untuk permulaan hidup bersama keluarga barunya.

Tahun ke tahun anak semakin bertambah seramai 7 orang. Sebagai anak kampung, dia terdidik dengan menerima apa sahaja yang diberi dan disediakan oleh suami. Tiada meminta-minta pada yang tiada apatah lagi yang kurang. Mungkin itu juga rahsia rumahtangganya kekal hingga bercerai mati.

Dia membantu suami dengan jualan kuih muih yang ditumpang di gerai jualan. Dia belajar menjahit dan hasilnya banyak baju anak-anak adalah hasil keluaran jahitan tangannya...jimat belanja.

Sungguh, walau hidup serba serbinya amat sederhana tetapi segala makan pakai cukup belaka. Anak-anak merasa semua permainan seperti kasut roda, basikal, kereta kawalan jauh dan sebagainya. Bila raya tiba, mercun merupakan satu kemestian untuk anak-anak. Ceria keluarga itu.

Dulu dia bergelut derita untuk memastikan anak-anak membesar sempurna. Dulu dia tidak merasa memegang sejumlah wang untuk keperluan diri sendiri...semuanya untuk mulut anak-anak. Dulu dia tiada rehat yang cukup...bangun seawal pagi, rebah badan di katil lewat malam. Dulu istananya hanyalah rumah sekangkang kera berkongsi 9 beranak. Dulu sakit peningnya hanyalah berteman panadol..tiada peluang mendapat rawatan sempurna di klinik. Dulu...........

ALLAH adil dan janjiNYA benar kepada yang sabar dan redha dengan segala ketentuanNYA. Hari-hari berlalu menyaksikan anak-anak yang sudah berumahtangga membina kehidupan sendiri.

Dulu dia tiada rehat yang cukup..sekarang dia enak beristirehat, lebihan wang sentiasa di tangan ..apa yang terhajat di hati, semua dinikmati. Kediamannya sekarang lebih dari selesa yang tidak pernah termimpi di benaknya. Sakit peningnya ditemani ubat-ubatan selesa dan ber'harga'. Dia jadi pemurah atas lebihan rezeki kurniaan Allah kepadanya. 

Ya...dia sememangnya layak untuk kehidupan selesa ini kerana dia arif dan kenal erti peritnya hidup. Sekarang giliran anak-anaknya yang bergelumang dengan ranjau kehidupan. Hati anak dipandu bila teringat yang ibu mereka dahulu tak sepicing pun merungut dengan segala macam kerenah dunia. 

Ya...ranjau itu membuat hatinya cekal tanpa goyah kerana dia tahu ALLAH bersama orang-orang yang sabar.

Ya...dia berpegang kepada ayat Quran yang bermaksud, " Mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar".

Bila diperhati perjalanan hidupnya, hati terkesan kerana konsep 'rezeki sedikit tetapi berkat' benar-benar memayungi keluarganya. Walau suaminya anggota polis tetapi tiada sesuap nasi datang dari hasil rasuah malahan keluarga dididik keras dengan disiplin dan integriti diri.

Terimakasih kepada keluarga itu...HIKAYAT PENUH RANJAU yang ditempuhnya menjadi pencetus semangat kepada semua yang melihat. Tidak perlu menjaja dan mempromosi diri...mereka mengakui dalam diam.

Terimakasih sekali lagi.


Wednesday 15 May 2013

Meng'Angkasa' Etika Diri

Siapa kita di mata manusia? Ya..manusia banyak kerenah, banyak ragamnya. Tak kena gaya, tak kena layanan...mereka kecil hati, tarik muka dan merajuk. Haaaiii...inilah namanya manusia. Hati dan perasaan itu banyak warna-warni pelangi...pelbagai.

Kadangkala terfikir di benak betapa bebasnya menjadi haiwan melata, burung, serangga, tumbuhan, mergastua yang tak perlu memikir hati dan perasaan manusia. Hati dimanipulasi kalut dan kekecamukan yang tak pernah padam. 

Lantaran itu banyak ayat-ayat al Quran juga Hadis yang menekankan peri penting kita menjaga akhlak sesama manusia. Rasulullah SAW lahir dengan pakej lengkap...untuk memberi panduan hidup berteraskan kehidupan yang syumul. Lengkap dengan keperibadian dan akhlak terpuji. Baginda telah melonjakkan satu REVOLUSI JIWA yang diakui oleh bukan sahaja para pendakwah Islam malah kehebatannya melangkaui batas sempadan bangsa dan agama.

Berbalik kepada soal kerenah manusia, lebih molek rasanya jika peribadi Rasulullah dijadikan acuan. Ya, acuan yang pasti tidak akan menimbulkan sebarang kerenah jelik dan menjelikkan, keji jua mengejikan, buruk lagi memburukkan situasi tenang. 

Aku rindu peribadi Kekasih Allah itu...teramat rindu. Aku ingin kehadiranku disenangi bukan dicurangi. Aku ingin perbualan dan perbincangan yang penuh berhemah bukan membawa semak. Aku damba mesyuarat yang penuh etika dan adab bukan secara biadab. Semua yang disenangi itu ada dalam khazanah Hadis Rasulullah SAW. Tak terbendung rasa rindu pada akhlakmu ya Habibullah..akhlak yang hampir tidak kutemui lagi lewat pengembaraan ini.

Apa yang terhidang di hadapan mata adalah kata-kata promosi diri, bercakap sesedap rasa, melayan gajet mewah di kala mesyuarat berlangsung. Aaahhh....mana etika dan peribadi Islam?

Pernah aku menghadiri mesyuarat...seseorang menjawab panggilan telefon mudah alihnya dengan bercakap sama nada dengan pengerusi. Tanpa rasa malu, tanpa direndahkan tonasi suara, tanpa menundukkan kepala ke arah lain juga tanpa melangkah keluar dari majlis mesyuarat...bercakap seenaknya sehingga mesyuarat terhenti seketika memberi laluan untuk dia menghabiskan perbualan!!! Orang jenis apa ini?

Ada pula kedapatan seseorang asyik menghantar dan membalas sms di kala mesyuarat berlangsung mahupun ketika aku sedang memberi latihan...tiada konsentrasi. Hendak ditegur, dah dewasa. Kalau ditegur juga pasti mereka terasa. Sabaaarrr je lah.

Rujuk Hadis Rasulullah, bagaimana hormatnya Baginda kepada yang bercakap. Baginda akan mengarahkan seluruh tubuh badannya kepada yang bercakap dan mendengar penuh khusyuk. Ini tidak...kita pula yang harus menghentikan mesyuarat untuk mendengar perbualan telefonnya. Panas telinga aku melihat kerenah itu!

Kajian menunjukkan, 'sikap' mempengaruhi 93% untuk kita menuju kejayaan. Betapa hebat dan tinggi pencapaian akademiknya, jawatan dan pangkat...jika dia memandang remeh etika dan disiplin, dia hanya menanti kejatuhan akhlaknya di mata masyarakat.

Semua orang tahu dan sedar bahawa agama ISLAM mencakupi seluruh kehidupan manusiawi. Jangankan beretika dengan manusia, dengan haiwan mahupun tumbuhan juga ada etikanya.

Ya, manusia sekarang sudah acapkali menuju ke angkasa termasuk angkasawan Malaysia. Alhamdulillah memang Allah suruh kita kaji sebanyak mungkin segala ciptaanNYA agar boleh diambil iktibar dan menambah keimanan.

Apa guna jika angkasa kita gapai dan merobek segala rahsia tetapi kita memandang enteng  akhlak, disiplin, etika yang beraneka. Agaknya jika menuju ke angkasa bisa ketemu makhluk selain manusia, mahunya dibawa balik ke bumi untuk dijadikan bahan ujikaji. Kaji sifat, sikap, habitat, dan segala macam yang ada pada makhluk yang baru ditemui itu.

Hebat manusia itu, tetapi jiwa manusia di bumi jadi bahan tinggalan sejarah...rempuh segala yang bisa dirempuh. Usah peduli jiwa dan perasaan mereka. Jangan hirau tentang etika kerana yang penting hajat hati tercapai.

Dengar hebat bunyinya...MENG 'ANGKASA' ETIKA DIRI tetapi ia hanya menjadi retorik yang perit bila mana yang empunya diri terus menyendiri dengan cara sendiri yang mengkesampingkan etika diri.

Sudahnya aku sendiri yang terpinggir dengan pelbagai etika. Aku ingin ke angkasa tetapi ia terlalu sayup dari pandangan mata. Jadi...aku hanya mampu meng'angkasa'kan etika diri selagi termampu kerana aku merindui seseorang yang bergelar HABIBULLAH...RASULULLAH SAW.


Saturday 4 May 2013

"PERFECTIONIST"



PERFECTIONIST - KESEMPURNAAN. 

Mengharap kepada kesempurnaan ibarat menempah petaka yang mendatang. Mana ada makhluk yang sempurna, semuanya dicipta dengan beberapa kelebihan dan diimbangi kekurangan. Jika Allah cipta sesuatu yang bersifat sempurna maka sudah tentu ia akan menyaingi sifat Allah sendiri iaitu Yang Maha Sempurna!

Banyak hikmah mengapa manusia tidak dicipta dalam kesempurnaan. Cuba fikir-fikirkan senarai di bawah:-

Jika segalanya sempurna maka manusia sudah tentu bersikap individualistik. mereka tidak memerlukan yang lain atas kapasiti mereka yang tahu serba serbi. Tiada lagi perundingan, mesyuarat, pendapat dan pandangan yang lain. Segalanya boleh diselesaikan sendirian. Berpecah belah manusia tanpa jemaah.

Jika manusia sempurna, tiada lagi ketua jabatan, pegawai kanan, orang bawahan dan penghantar surat dalam sebuah organisasi. Semuanya bersaing untuk memohon jawatan ketua. Jika manusia sempurna, tiada lagi pemotong rumput, penyapu dan pengangkut sampah..semua ingin menjadi Ketua Majlis Perbandaran. 

Tiada pelayan restoran dan tukang masak..semua ingin menjadi taukeh restoran. Tiada buruh kasar dan pelukis pelan..semua ingin menjadi kontraktor dan jurutera. Tiada lagi pencuci tandas..semua ingin mendapat kontrak menyediakan kemudahan awam. Tiada lagi peniaga pasar pagi dan malam, semua ingin menjadi pembeli...alahaaaaiiiii, usah dibayangkan kehidupan kita di waktu itu...banyak kerja-kerja yang dipandang remeh tertangguh dan seisi dunia bakal lumpuh!

Di situlah terletak hikmah mengapa Allah cipta kelebihan dan kekurangan iaitu untuk kita saling melengkapi antara satu sama lain. Ungkapan bijak pandai..."Kita tidak dilahirkan bodoh tetapi dengan kebijaksanaan yang berbeza". Jangan anggap mereka yang tidak melanjutkan pelajaran di Universiti itu bodoh dan dungu...bijaknya mungkin dari segi lain. 

Jangan rasa kita sebagai ketua jabatan lebih bijak dari orang bawahan...banyak perkara yang boleh dikongsi berdasar pengalaman mereka yang lama bekerja. Jangan pandang remeh dengan tugasan 'cleaner' di pejabat, mereka mungkin bijak tetapi tidak dapat meneruskan pembelajaran atas desakan hidup. Aku sendiri pernah beramah mesra dengan bangla sipencuci tandas di syarikat. Dia lulusan IT bertaraf 'programmer' tetapi tidak banyak peluang pekerjaan yang boleh ditawarkan di negaranya.

Berbalik kepada elemen 'perfectionist' tadi, di alam persekolahan mungkin kita pernah berpengalaman melihat cara seseorang yang inginkan segala yang sempurna dalam hidupnya. Dia cuba sedaya upaya untuk mendapat markah terbaik dan akan pastikan tiada sesiapa yang melangkaui pencapaiannya. Markahnya 90% ke atas sudah melayakkan dia dikalungkan dengan anugerah "Pelajar Cemerlang". Apa berlaku jika kecemerlangannya dipintas dan dia berada di tempat kedua atau ketiga? Bakal berlaku 'down syndrome' ke atas dirinya. Susah untuk diterima hakikat bahawa tempat pertama bukan miliknya lagi. Kecewa, marah, irihati dan menyalahkan takdir di atas apa yang berlaku.

Ini yang perlu dibendung...kesempurnaan bukan milik manusia, kapasiti manusia ada naik dan turunnya. Juara tidak selamanya berada di atas kerana ramai lagi yang kepingin gelaran itu. Oleh itu bersedialah untuk berada di tempat kedua mahupun ketiga. Ibubapa berperanan besar untuk misi penerangan ini dan jangan sesekali mengasak anak-anak dengan segala yang sempurna. Apabila 'kesempurnaan' itu telah sebati dalam jiwa, ditakuti anak-anak kita sukar untuk menerima hakikat dirinya ditewaskan oleh yang lain dan 'down syndrome' bakal mengambil tempat...impaknya besar! Keyakinan diri mula menurun, rasa bersalah yang amat sangat kerana tidak dapat memenuhi kemahuan ibubapa, menjadi murung, tewas menyerap tekanan dan sindiran kawan-kawan, bersifat tidak redha dengan ketentuanNYA.

Rasulullah maksum tetapi tidak sempurna. Pernah berlaku Allah menegur Baginda kerana tidak menghiraukan seorang buta yang bertanya tentang Islam. Keadaan itu berlaku kerana Baginda juga sedang berhadapan dengan golongan elit Quraisy yang kuat pengaruhnya. Jika mereka dapat diIslamkan memang banyak boleh membantu perkembangan Islam. Di situ teguran Allah pada yang tidak sempurna...RasulNYA.

Jadi siapa kita untuk membentuk kesempurnaan. Rezeki Allah melimpah ruah kepada yang berusaha. Jika kita gagal sekarang bukan bererti kita gagal dalam hidup. Kegagalan itu merupakan petanda kepada kecemerlangan yang tertangguh. 

Teruskan berusaha dan jangan gerun jika gagal. Terima hakikat bahawa kita bisa gagal, tewas dan tersungkur. Letak matlamat untuk menghasilkan yang terbaik...yang lain biar Allah uruskan.

Definisi gagal sebenarnya terpakai kepada mereka yang tersungkur tetapi tidak bingkas bangun, hanya menyalahkan keadaan jalan yang berliku dan berduri.

Kesimpulannya...imbangi 'ketidaksempurnaan' dengan 'usaha'. Dalam keadaan 'sempurna' bukan milik kita, kita teruskan berusaha untuk menuju cemerlang.

Oohh..satu lagi, jangan hanya berusaha untuk berjaya di dunia sahaja. Bagaimana dengan alam yang kekal itu? Itu adalah misi 'wajib'. Mahu atau tidak, suka atau tidak...kita tetap akan tempuh alam itu.

Cemerlang di dunia cemerlang di akhirat!