Translate

Saturday 31 May 2014

DNA Babi

Khatib yang berdiri di mimbar bagi menyampaikan khutbah telah mempersoalkan pengumuman JAKIM bahawa isu coklat Cadbury jatuh di bawah kategori 'umum al balwa' (kemudaratan/kesulitan yang tidak dapat dielakkan), ia adalah halal dan harus dimakan walaupun mengandungi DNA babi.

Khatib menjustifikasikan bahawa tidak kena pada tempatnya meletak darurat kepada memakan coklat kerana coklat bukan makanan asasi yang menjadi prioriti.

Khatib mencadangkan untuk JAKIM menarik dan mengkaji semula pengumuman tersebut.

Ulasan aku...

DNA babi bukanlah merupakan najis yang kelihatan sifatnya seperti daging, lemak, minyak, darah dan sebagainya. Ia merupakan sesuatu yang tidak nampak oleh pandangan mata kasar. Sifat najis sudah tidak wujud dan pencemarannya boleh berlaku di mana-mana tanpa dapat dikawal.

JAKIM telah mengeluarkan pensijilan halal kepada kilang Cadbury di Malaysia sejak tahun 2004 lagi (diperbaharui setiap 2 tahun) dan tiada apa-apa bukti untuk menuduh kilang Cadbury telah dengan sengaja mencampur bahan terlarang di sepanjang proses pengeluarannya.


Tetapi apabila sampel ujian diambil di pasaran dan dihantar ke makmal, didapati produk tersebut positif DNA babi. Bermakna pencemaran DNA babi berlaku bukan di kilang, boleh jadi sewaktu penghantaran, melalui sentuhan tangan atau juga melalui pencemaran udara sekitar.

Sekiranya DNA babi ini boleh mencemari produk Cadbury, tidak mustahil pencemaran juga boleh berlaku kepada produk lain.

Jika DNA babi menjadi perkiraan untuk menjatuh hukum haram memakannya, akan berlaku bencana besar ke atas produk-produk makanan kerana semuanya berisiko untuk dicemari DNA babi. BERAS DAN NASI JUGA TIDAK KETINGGALAN!!! Tidakkah keadaan ini akan benar-benar membuat masyarakat panik dan timbul isu lain...iaitu ketirisan makanan di pasaran. Ini yang dimaksudkan dengan 'umum al balwa' iaitu kemudaratan/kesulitan yang tidak dapat dielakkan. 

Kaedah Fiqh harus berdiri bersama perkembangan teknologi dan persekitaran, syariat yang akan mengatasi dan mengeluarkan hukum ke atas sesuatu isu.

Ciri-ciri Fatwa yang diwartakan lebih berbentuk memudah dan tidak menyusahkan masyarakat untuk di adaptasi di dalam kehidupan mereka. Fatwa semestinya menepati syarak tetapi bukan untuk yang warak. Jika masih ragu-ragu dengan status coklat Cadbury, tinggalkan sahaja tanpa perlu berdebat atau mempertikai hukum yang telah diputus.

Nampaknya ustaz yang berdiri di atas mimbar itu hanya menggunapakai pandangan konservatif, tidak mengambil kira perkembangan teknologi terkini dan kesan kepada keputusan hukum.

Wallahua'lam.

Sumber rujukan: Analisa Isu DNA Khinzir karangan Dr Lokman Ab. Rahman (Presiden Persatuan Eksekutif Halal Malysia PEHMA).


Thursday 29 May 2014

Aduhai Cadbury

Hari itu aku mengendalikan latihan Halal untuk kakitangan di syarikat aku bertugas. Latihan yang dijalankan sebanyak dua kali sebulan itu bertujuan untuk memberi kesedaran dan info-info terkini berkenaan perkembangan halal di Malaysia dan juga di seluruh dunia.

Aku lebih bertenaga bila mengendalikan latihan secara komunikasi dua hala...baru hidup suasana sekitar. Hhmmm..cabaran bagi akulah pula bagi mencuit minda mereka untuk mengambil bahagian dalam kelas tersebut.

Selepas setengah jam latihan berjalan, aku bertanya..."ok semua...ada apa-apa soalan setakat ini?

"En Azizi, saya nak bertanya tentang coklat Cadbury. Apa statusnya sekarang? Macam mana JAKIM boleh terlepas pandang benda-benda yang haram ni!"

Aaahhhh...aku dah mengagak kakitangan akan mendesak Jabatan Halal untuk memberi penjelasan berkenaan coklat Cadbury yang juga dibeli oleh syarikat kami untuk dihidang kepada pelanggan di pesawat.

"OK dengar sini. Coklat Cadbury telah melalui pemantauan dokumentasi dan proses pengeluaran yang ketat yang dijalankan oleh pihak JAKIM. Tiada bahan terlarang yang digunakan di sepanjang proses pengeluaran coklat tersebut. Jadi, tanpa ragu JAKIM telah mengesahkan bahawa coklat Cadbury adalah halal dan pensijilan halal telah dikeluarkan kepada barangan tersebut menurut piawaian Malaysian Standard 1500:2009".

"Ok persoalannya sekarang bagaimana boleh dikesan DNA babi di dalam produk tersebut? Dijangka pencemaran DNA babi berlaku melalui 'emulsifier' (bahan pengemulsi), kacang yang diimport dari luar negara dan juga pertukaran pembekal bahan mentah yang tidak dimaklumkan kepada JAKIM. Bagaimanapun ini hanyalah kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku".

"Pihak JAKIM dan KKM masih dalam siasatan untuk mencari punca kontaminasi. Oleh itu bertenanglah semua dan jangan sebarkan cerita-cerita sensasi di laman sosial. Jangan pula ada yang mengatakan JAKIM tak buat kerja dan makan gaji buta ye".

"Coklat yang menjadi isu hanya perasa 'roast almond' dan 'hazelnut' sahaja. Perasa lain masih berstatus halal. Tetapi jika masih ragu-ragu, tinggalkan sahaja jenama Cadbury tanpa menambah hukum".

"Sebelum saya tutup cerita ni, saya nak komen sikit tentang reaksi masyarakat Melayu Malaysia dalam menangani isu halal".

"Ini di antara frasa-frasa yang sempat saya rakam keluar dari mulut mereka yang mewakili NGO..."

'MEREKA TELAH MENYUMBAT BABI KE DALAM MULUT KITA. INI TIDAK BOLEH DIMAAFKAN SAMASEKALI!!!'.

'DARAH KITA TELAH TERCEMAR. ADAKAH MEREKA BOLEH MENGGANTIKAN DARAH BARU UNTUK KAMI?'

'KITA MINTA SYARIKAT CADBURY TUTUP OPERASINYA DI MALAYSIA KERANA GAGAL MEMATUHI PERATURAN YANG DITETAPKAN'.

ADA JUGA YANG ISYTIHAR JIHAD UNTUK PERANGI PRODUK CADBURY.

"Eerrmmm...hebat sungguh iman orang Melayu bila menyentuh bab babi ni ye. Biarpun masih di dalam siasatan, dah berdemo dan buat liputan akhbar. Lainlah cerita jika terang-terangan pengakuan dibuat bahawa syarikat berkenaan secara sengaja telah menambah perasa syubhah mahupun haram ke dalam produk mereka...barulah berbaloi nak menyuarakan ketidakpuasan hati secara lantang".

"Tetapi kenapa la iman Melayu yang hebat tu jadi lembab bila berhadapan bab rasuah, penyelewengan harta syarikat, kewujudan disko bak cendawan tumbuh, penganjuran konsert festival yang mengakibatkan kematian akibat pengambilan dadah berlebihan, penegakan hudud dan banyak perkara lain yang patut diberi perhatian lebih".

Tidak kedengaran tonasi seperti frasa di bawah:-

'KITA KECAM PEMBERI DAN PENERIMA RASUAH. MEREKA SEHARUSNYA DIHUKUM DENGAN HUKUMAN PALING BERAT ATAUPUN DILUCUTKAN KERAKYATAN'.

'KITA ANTI PENGANJUR KONSERT DAN ARAHKAN ANAK-ANAK MUDA DI MALAYSIA BOIKOT DAN JANGAN HADIR KE KONSERT-KONSERT YANG MELALAIKAN'.

'MENGAPA KEWUJUDAN DISKO DAN RUMAH-RUMAH URUT SEMAKIN BERLELUASA. DI MANA PERANAN PBT? KAMI YANG MEWAKILI NGO DAN MAJLIS PEGUAM AKAN MEMFAILKAN SAMAN KE ATAS PBT DI ATAS MAKSIAT YANG TIDAK TERKAWAL INI'.

'KITA RASA TERHINA BILAMANA TUDUNG-TUDUNG BERFESYEN YANG MAHAL HARGANYA TIDAK MENEPATI SYARIAT..SINGKAT DAN TIDAK MENUTUPI DADA. PENGUSAHANYA PATUT MENUTUP OPERASI DAN HARUS BERTANGGUNGJAWAB DI ATAS BANYAKNYA BERLAKU KES-KES ROGOL'.

Di mana frasa-frasa tersebut? Nampaknya bangsa Melayu terlalu obses dan fobia dengan babi berbanding maksiat yang berleluasa di depan mata. Aduhai Melayu kuuuuuuu....

Tuesday 27 May 2014

Misteri 2 Dunia

Terdapat sebuah rancangan bersiri di TV Indonesia memaparkan kisah mistik yang berlaku di sana...Misteri 2 dunia tajuknya. Pencarian cerita menatijahkan mereka menjarah ke pelusuk desa atau di mana sahaja berita didengar, harus mereka bersedia meneroka alam ghaib tersebut.

Di salah satu siri, mereka ingin merungkai misteri di sebatang jalan raya yang kerap berlaku kemalangan dan kematian. Ada cerita dari mangsa yang mana mereka terlihat lintasan atau gangguan di pandangan mata.

Sesampai di tempat kejadian, mereka meletak seorang ahli untuk menjadi perantaraan bagi mereka berbicara dengan makhluk di alam ghaib.

Makhluk diseru...terasa ia datang dan masuk ke tubuh ahli mereka yang sudah siap siaga mendepaninya. Makhluk tidak berpuas hati lantaran diseru sedemikian rupa. Kurang ajar!

Mereka mula berbicara...

"Untuk apa kau seru aku", suara garau keluar dari kerongkong rakan mereka.

"Untuk bertanya sesuatu", jawab ketua misi.

"Mengapa kamu selalu mengganggu mereka di laluan ini menyebabkan ada yang terkorban gara-gara perbuatanmu".

"Aaahhh...aku bisa mengganggu mereka lantaran mereka tidak berlindung dengan Tuhan alam ini. Mereka yakin akan selamat dalam perjalanan. Sikap sombong mereka menyebabkan aku bisa aja melintas di laluan ini ataupun menjelma sebentar di hadapan mata mereka. Mereka terkejut lalu mengelak...nah!!! Itu semua bisa kukerjakan untuk mereka yang tidak meminta perlindungan Allah dengan ayat-ayat yang aku gerun".

Oohhhh...nampaknya ketua misi itu tidak dapat berbuat apa-apa dalam menghentikan kemalangan jiwa di laluan tersebut. Kerana semuanya terletak ke atas diri masing-masing untuk meminta perlindungan dariNYA!

Bacalah...


Tronoh, Perak

Sunday 18 May 2014

Maqasid Syariah


Manusia dihantar ke dunia bersama undang-undang. Undang-undang asas, guna untuk menyelamatkan manusia itu sendiri. Dikira zalim kepada Pencipta manusia jika dibiarkan sahaja mereka mendiami bumi tanpa diberi panduan.

Umpama manusia mencipta kereta, pasti disertakan buku manual cara-cara penjagaan kereta yang efisien agar lebih cekap penggunaannya dan berdaya tahan lebih lama.

Manusia dicipta penuh dengan kelemahan. Sebab itu Penciptanya mengimbangi kelemahan tersebut dengan panduan dari langit...yang dinamakan Syariatullah berpandu al Quran dan Hadis.

Syariat dicipta terkandung bersamanya objektif bagi menjaga kemaslahatan manusia agar kehidupan mereka lebih teratur dan terjamin keselamatan dan hak masing-masing. Ia dikenali sebagai 'Maqasid Syariah' (tujuan undang-undang Syari'ah diturunkan).

Maqasid Syariah terbahagi kepada lima iaitu:-

1. Agama. Islam adalah agama yang syumul dan tidak boleh disamakan dengan panduan agama-agama lain ciptaan manusia. Adalah menjadi kewajipan umat Islam menjaga kesyumulan agama Islam dan bertuhankan yang Satu. 

Tidak semudah itu untuk yang memeluk Islam menjadi murtad. Golongan murtad ini yang diperangi oleh Saidina Abu Bakar setelah kewafatan Nabi. Jika tidak diperangi, ditakuti ia akan menjadi barah dan ikutan yang lain. Jadilah Islam satu agama yang senang diperkotak-katikkan mengikut selera.

Jihad fisabilillah (berperang di jalan Allah) pula amat dituntut. Lihat bagaimana Rasulullah dan para sahabat mempertahankan agama Islam sehingga boleh mengenepikan pertalian darah sesama keluarga demi agama.

2. Nyawa. Allah cipta manusia bernyawa dan menjadi tanggungjawab manusia untuk pertahankan nyawa sendiri. Manusia dilarang membunuh diri apatah lagi membunuh nyawa yang lain. Hukuman yang membabitkan nyawa pula mestilah berlandas kepada syara' dan peraturan yang telah ditetapkan. Jika saksi tidak mencukupi ataupun bahan bukti yang meragukan, hukuman bunuh serta-merta gugur (contoh: hukuman rejam sampai mati bagi yang telah berkahwin melakukan zina).

Undang-undang qisas pula menetapkan kematian nyawa dibalas nyawa, cedera dibalas cedera, sakit dibalas sakit...setimpal dengan apa yang ditanggung oleh mangsa.

3. Harta. Harta benda merupakan asas keperluan manusia. Walau pada dasarnya segala harta adalah pinjaman dariNYA, tetapi Islam menetapkan hak kepada harta yang didapati secara halal. Harta boleh diwariskan kepada mereka yang layak. 

Mengapa Islam mewajibkan kita membayar zakat harta? Ya...untuk menyuburkan harta juga boleh mendekatkan jurang yang kaya dan miskin. Mengelak dari berlakunya rompakan dan kecurian di atas keseimbangan perkongsian ekonomi yang telah disyariatkan. 

Disitu juga wujudnya sistem faraid demi menegakkan keadilan dalam membahagikan harta sesama keluarga. Faraid adalah pilihan sekiranya proses pembahagian harta menemui jalan buntu.

4. Akal. Letaknya di tempat paling atas bahagian tubuh manusia. Mengapa? Sebab akal yang hebat itu diberi hanya kepada manusia, tidak kepada flora dan fauna. Penggunaan akal yang efisien bakal menatijahkan kesan yang hebat ke atas kehidupan manusia..begitu juga di sebaliknya. 

Sebab itu Allah melarang manusia minum arak...ia membuat akal menjadi tidak seimbang. Walau bijak tahap genius, apabila alkohol bersatu dalam tubuh badan...ia bakal merubah perilaku seseorang. Bila seseorang itu dalam keadaan mabuk arak, kita boleh lihat betapa hinanya taraf manusia yang menjadi khalifah di muka bumi...mereka menjadi orang yang hilang akal!

5. Keturunan. Manusia berkembang biak dari zaman Nabi Adam hinggalah kiamat nanti. Generasi apa yang mahu kita wujudkan di dunia ini? Zuriat dan keturunan akan menentukan mulia atau hina sesuatu bangsa itu. Kita dilarang berzina kerana persetubuhan tanpa ijab dan kabul itu akan melahirkan keturunan yang akan menentang syariatullah...menjadi bangsa yang rakus dan hina dalam mentadbir dunia.

Di Malaysia, Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa untuk membicarakan kes-kes muamalat (hubungan sosial, harta benda, jual beli) dan juga munakahat (hal-hal kekeluargaan seperti nikah, kahwin, perceraian, tanggungjawab terhadap keluarga dan lain-lain). Itupun masih boleh dicabar di Mahkamah Sivil.

Jinayat merupakan kes-kes jenayah yang tertakluk di dalam undang-undang hudud, qisas, diyat dan takzir masih disekat pelaksanaannya oleh pemerintah. Oleh itu, ulama' mengkategorikan negara Malaysia sebagai hanya sebuah Negara Islam (iaitu negara yang ditadbir oleh umat Islam), bukannya negara yang menjalankan sistem pemerintahan Islam.

Wallahuwarasul a'lam.


*Sumber rujukan: Modul Pengantar Kepada Syariat Islam. Pengajian Syariah, Universiti Malaya. Oleh: Prof. Madya Dr. Ahmad Hidayat Buang dan Dr. Rushdi Ramli.

Saturday 17 May 2014

Lewat Bersama Alasan

Dia menegakkan pendirian tentang kelewatannya hadir ke pejabat dengan beralasan, "walaupun aku lewat tapi aku tak pernah 'miss' ganti balik waktu lewat itu..adil bukan, aku tak berhutang apa-apa dengan syarikat".

Ahhh...adil menurut pandangan dangkalmu tetapi tak adil bagi kakitangan lain yang terpaksa berperang dengan masa demi sebuah ketepatan waktu, sedang 'dia' hanya bermain-main dengan waktu. Apatah lagi sekiranya dia benar-benar diperlukan di wak
tu itu atas skop kerjanya..waktu kehilangan 'dia' terpaksa pula di ambil alih oleh orang lain..adil ke?

Masih bernilai lagi ke waktu ganti selepas kerja yang 'kononnya' membebaskan hutang lewat hadirnya dengan syarikat? Sedangkan di waktu itu dia sudah tidak diperlukan langsung kerana segalanya sudah diselesaikan oleh orang lain.

Analogi di bawah mungkin lebih tepat untuk menggambarkan betapa integritinya tercalar:


Mengapa Allah menjadikan waktu-waktu tertentu untuk solat dan kita harus menepatinya tanpa boleh diubah-ubah? Ya..Allah sedang mendidik untuk kita menghormati waktu dan berdisiplin dalam mengerjakan amal ibadat. Tambahan pula solat yang dikerjakan di awal waktu lebih tinggi nilainya berbanding di pertengahan apalagi di akhir waktu.

TumpuanNYA lebih terarah kepada hamba yang mementingkan disiplin waktu dalam menghambakan diri kepadaNYA.

Sahabat..dalam mengerjakan urusan dunia, kita tak boleh lari untuk mencipta alasan di akhirat...kerana kita tetap terikat dengan 'hablumminannas' juga 'hablumminallah'.




 

'Wife' Kau Tak 'KESAH'?

Seseorang merapatiku untuk berbual kosong sehinggalah ke topik ini...

"Kau selalu 'out station' kekadang pergi dengan pompuan, 'wife' tak 'kesah' ke?"

"Errmm..semuanya berpunca dari kita sendiri bro. Watak seharian itulah yang mempengaruhi ke'kesah'an 'wife' kita. Sekiranya kau amalkan memberi salam sebelum memasuki rumah, amalkan solat jemaah bersama keluarga, mengaji bersama, berkongsi 'kata laluan' FB, 'hand phone' tak kisah letak merata-rata, minta 'wife' tolong jawa
bkan panggilan telefon, tiada panggilan misteri bersuara lunak, bila berjalan mata tak mengerling nampak pompuan, tak minat tonton drama-drama cinta di tv lalu tersenyum sendirian..."


"Ermmm...aku rasa 'wife' kaupun tak 'kesah' kalau kau 'out station' dengan pompuan!"

Perbualan itu berakhir dengan dia berlalu pergi sambil menoleh dan sempat tersenyum padaku. JIWAKU terus ber EVOLUSI mencari redhaNYA.




versi FB 28 Disember 2012





Aku Cinta Allah

Dia menyoal (kukira lebih kepada provokasi) 

"Kau cinta isteri dan anak-anak?"
"YA", jawabku.
"Dengan sepenuh hati?" tanyanya lagi.
"YA", jawabku penuh yakin.
"Jadi, cintamu kepada Allah tidak total, telah kau bahagi-bahagikan kepada makhluk!", dia memulakan permainan yang dirancang.

"AKU CINTA ISTERI, ANAK-ANAK, KAUM KELUARGAKU JUGA SAHABAT-SAHABAT YANG LAIN ATAS PERINTAHNYA, KERANA TERAMAT CINTA KEPADANYA MAKA AKU BERBUAT SEMUA ITU!!!"

Senyuman sinikal yg tadinya mula berbunga kulihat kelopaknya mula jatuh satu persatu. Terimakasih YA ALLAH atas ilham anugerahMU..

versi FB 3 Oktober 2012






Jiwanya sakit

Seseorang bertanya "camne nak tangani orang yang selalu mem 'bahasa' kan orang lain bila berurusan dengannya?" Tambahnya lagi "orang ni selalu bercakap dengan nada yang menyakitkan hati kita mendengarnya. Kalau boleh saya cuba elak untuk berurusan dengannya tapi kalau dah terpaksa, digagahkan juga diri demi nak selesaikan kerja".


Aku hanya menjawab ringkas...


"Sahabat, kita tidak mampu mengubah perilaku seseorang, biarkan dia dengan caranya. Oleh itu ubahlah dirimu apabila berhadapan dengannya".

"Ingat, kamu sedang berhadapan dengan orang sakit..jiwanya kacau, mindanya serabut. Berkata yang perlu sahaja dan seringkas mungkin cuba selesaikan komunikasi dalam waktu yang paling singkat".
"Jangan terpedaya dengan provokasinya, bila anda mula ber 'reaksi' itu tanda anda telah bermurah hati berkongsi masalah kesakitannya". 

"Penutup kepada komunikasi anda dengannya..berdoalah dalam hati agar Allah memberi hidayah untuk dia berubah kerana amalan sebanyak manapun takkan dihitung jika hubungan dengan makhluk banyak cacat celanya".

Terkebil-kebil matanya merenung anak mataku selepas mendengar saranan itu. Entahkan faham entahkan tidak...mungkin dia masih beremosi. Biarlah hatinya tenang untuk ilmu dapat diserap masuk ke dalam minda bila amarah reda...biarlah.


Diari Ayah

Seperti yang pernah diceritakan kepadaku..

"Setiap kali pulang ke kampung, pasti ayah akan meminta sedikit wang..boleh jadi rm5, rm10.. untuk membeli rokok katanya. Ayahku punya pencen juga kebun getah yang diupah orang untuk hasilnya. Lantaran itu aku tidak memikirkan peruntukan wang buatnya...kerana ayahku cukup segalanya".

"Kenapa la pulak nak minta duit dari aku, untuk membeli barangan yang murah pulak tu? Mana pergi duit ayah? Aku tak nampak dia boros..jimat lagi ade...
!", getus hatiku. Tetapi aku tetap hulurkan pada ayah jumlah yang menimbulkan persoalan itu.

Peristiwa itu telah lama berlalu dan ayahpun telah lama pergi. Suatu hari sedang aku mengemas rumah pusaka..jantungku seakan terhenti bila terbaca diari ayah..AYAH, MAAFKAN AKU..MAAFKAN ANAKMU INI!!!

Persoalan itu terungkai selepas pemergian ayah..aku rasa cukup berdosa atas kelamnya hati membaca mesej ayah. Diari ayah berbunyi...


"Hati tenang bila Man hulurkan duit setiap bulan walaupun terpaksa mintak. Sebenarnya aku tak perlu kerana aku ada duit, tapi Man yang perlukan keberkatan gajinya. Aku tebalkan muka mintak padanya untuk Man dapat keberkatan itu. Takpelah, satu hari nanti Man akan faham".
Aku terbungkam dan menangis semahunya kerana aku cuma mampu beri ayah rm5 itupun bila ayah mintak!!! AYAHHHHH...



Naluri Hati

'Naluri Hati' memain peranan besar dalam kita membuat keputusan selain dari bermunajat kepada Allah. Jangan dipandang sepi kaedah ini kerana letaknya amat istimewa di dalam hati demi membimbing diri ke arah yang lebih baik mahupun bagi mengelak kemudaratan.

Namun ada syaratnya...bersihkan hati dengan mencari sumber halal, elak yang meragukan dan buang yang haram. Dekatkan diri kepadaNYA dengan amalan sunat dan banyak berzikir.

Insyaallah...bisikan-bisikan baik akan sentiasa kau dengar...memandumu ke jalan yang diredhai. Itulah ilham dariNYA.


versi FB 4 Mac 2013


Sunday 11 May 2014

Hudud Oh Hudud

Malaysia bakal menempuh detik bersejarah sekiranya rang undang-undang Hudud diperbahaskan pada sidang Parlimen. Ruang dan peluang sudah dibuka sedikit oleh kerajaan untuk undang-undang jinayat syari'ah itu diimplementasi di Kelantan. 

Sokongan kerajaan penting walau undang-undang itu hanya berlegar di sebuah negeri kerana Kementerian Dalam Negeri tertakluk di bawah Kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri pastinya memerlukan bantuan polis untuk penguatkuasaan undang-undang tersebut.

Konsep undang-undang Hudud adalah lebih kepada pencegahan berbanding hukuman. Keadilan merupakan teras kepada pelaksanaannya. 

Diberi contoh...seseorang yang mahu disabitkan dengan kesalahan zina atau 'qazaf' (menuduh zina) haruslah disediakan dengan 4 orang saksi yang adil bukan fasik. Mereka tidak melakukan kejahatan dan kata-kata mereka boleh dipercayai. Boleh juga diletakkan syarat bahawa 'saksi' adalah bebas dari rekod jenayah

Sekiranya 4 orang saksi yang adil yang mendakwa melihat perlakuan zina tersebut sudah diperolehi, keterangan mereka pula tidak boleh sama sekali bercanggah di antara satu sama lain.

Jika si A, B dan C mengatakan perlakuan zina berlaku pada jam 3.00 pagi, si D pula mendakwa ia berlaku pada jam 3.01 pagi, maka pertuduhan itu sudah tidak boleh dipakai dan kes digugurkan. Suspek mungkin hanya dijatuhi hukuman 'takzir' dari pemerintah atas kes berkhalwat, boleh berupa denda wang ringgit ataupun hukuman penjara.

Jika sekalipun waktu yang didakwa berlaku zina tidak bercanggah di antara 4 orang saksi tersebut, mereka haruslah dengan yakin nampak jelas 'anu'nya telah masuk habis di kemaluan perempuan seperti anak kunci masuk penuh di lubang kunci. Begitu ketat dan terperinci sekali bukti-bukti yang harus disediakan!!!

Dakwaan mencuri jika sabit kesalahan boleh dihukum potong tangan. Apabila kes dibawa ke mahkamah, hakim akan menyelidiki dahulu punca berlaku kecurian. Cukupkah makan minumnya di rumah? Ibu dan bapa mereka bekerja atau sudah hilang mata pencarian? Adakah kerajaan sudah sediakan pekerjaan yang cukup buat rakyatnya? Stabilkah ekonomi negara?

Bagi kesalahan minum arak di khalayak ramai, hukumannya adalah sebat 100 kali. Peraturan menyebat pula mesti dipatuhi. Rotan tidak boleh diangkat melebihi paras bahu dan aurat pesalah mesti dijaga.


Tegasnya, undang-undang Hudud sebenarnya amat sukar untuk dijatuhkan lantaran peraturan ketat yang dipakai bagi sabitan kesalahan.

Ya...ia sebenarnya lebih berupa pencegahan dari berlakunya maksiat dan salah laku. Hukuman keras yang diwartakan seperti direjam dengan batu untuk mereka yang sudah berkahwin tetapi berzina, potong tangan bagi yang mencuri...hanyalah sekadar amaran kepada mereka yang berniat untuk melakukannya.

Tetapi jika masih sudi untuk melanggar hukum..terimalah akibatnya.

Thursday 8 May 2014

Permudahkanlah

Pernah tak kita solat berjemaah di surau mahupun masjid bermakmumkan imam yang teramat lembab bacaan dan pergerakannya. Biasanya solat Maghrib boleh selesai dalam waktu 10 minit tetapi berlanjutan sehingga 20 minit lamanya. Itu tidak termasuk wirid dan doa yang panjang. Bagaimana dengan orang-orang tua yang tidak boleh berdiri lama dan anak-anak kecil yang mula merengek untuk mendapatkan ibu dan ayah yang sedang bersolat.

Bagaimana pula jika sebuah keluarga menjemput saudaranya untuk makan-makan bagi merapatkan silaturrahim berkebetulan di awal tahun hijrah. Salah seorang saudaranya yang alim yang dijemput, mencadangkan untuk membaca yaasin sebanyak 3 pusingan selepas maghrib dalam maraikan kahadiran tahun baru Islam. Tuan rumah semakin gelisah dan tetamu-tetamu lain mula minta diri kerana anak-anak akan bersekolah pada esok harinya.

Berkisah pula penceramah yang dijemput di sebuah organisasi untuk memberi ceramah. Seusai ceramah, beliau mengimamkan solat zohor, berwirid dan berdoa panjang sehingga meresahkan kakitangan lain untuk meneruskan kerja yang tertangguh di pejabat.


Inilah dilema bila berhadapan kewarakan yang ditujah-tujah masuk kepada masyarakat umum. Rasulullah sendiri tidak pernah memberati para sahabat dengan ritual ibadat yang boleh menyusahkan mereka. Baginda sedar bahawa tahap keimanan seseorang berbeza-beza. Ada yang wara', kedapatan yang biasa-biasa sahaja. Ada juga yang baru hendak berjinak-jinak dengan Islam.

Justeru bila dalam kelompok ramai, sebaiknya kita permudahkan segala urusan beramal agar jemu tidak bertandang membawa bosan.

Bila menjadi imam, pendekkan bacaan surah atau jangan bertonasi terlalu lembab, berdoa ringkas. Ingat, makmum di belakang bukan semuanya cergas dan sihat. Ada yang demam, sakit lutut, pening dan pelbagai lagi rencah ketidakselesaan yang wujud. Apatah lagi jika ada saudara baru yang baru hendak berjinak-jinak mendekati Islam.

Jika hendak berlama-lamaan dalam beribadat, memadailah bila kita berseorangan. Nak baca surah panjang-panjang, nak sujud lama-lama, nak berwirid berjam-jam atau hendak berdoa sehingga mengalir airmata...silakan, tidak menjadi masalah. Tetapi jangan memaksa orang biasa untuk mengikuti ritual wara' itu kerana masing-masing mempunyai kapasiti berbeza-beza mengikut kemampuan.

Ditakuti mereka akan menolakmu dalam diam!

Daripada Anas RA daripada Nabi SAW sabdanya, "Permudahkanlah (semua urusan dan jangan menyusahkannya. Berilah khabar gembira dan janganlah berbuat sesuatu menyebabkan orang lain menjauhkan diri."


Wallahua'lam


Sunday 4 May 2014

Meletak Ikhlas Pada Hukum?

Kerajaan negeri Kelantan akan membentangkan enakmen jenayah berlandas Hukum Hudud yang akan dilaksanakan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Enakmen yang merangkumi hukuman zina, qazaf (menuduh zina), mencuri, merompak, minum arak, memberontak dan murtad.

Menurut sistem demokrasi berparlimen yang sekian lama diamalkan di Malaysia, rang undang-undang akan dibentangkan di Parlimen untuk mendapat persetujuan majoriti ahli Parlimen.

Jadi, bolehkah undang-undang arahan Allah ini terlaksana? Nampaknya arahan manusia yang akan menentukan terlaksana atau tidak undang-undang milik Pencipta manusia itu...pelik bunyinya! Allah cipta manusia dan beri arahan agar melaksanakan syari'atNYA, manusia pula mengatakan undang-undang mereka lebih adil, telus dan berperikemanusiaan.

Bertonasilah seorang Menteri yang berpengaruh mempunyai latarbelakang perundangan, "ikhlaskah mereka hendak melaksanakan hukum hudud, atau hanya untuk memancing undi Melayu". 

Nampaknya, pendidikan tinggi yang Pak-pak Menteri kecapi lebih menjauhkan diri mereka dari kesyumulan Islam. Mereka bijak dan petah berbicara memanipulasi agama. Sehingga mereka lupa bahawa mereka sedang berdolak-dalik memain hukum Allah.

Pelaksanaan Hudud tidak menanti timbulnya keikhlasan penguasa, baharu mahu dilaksanakan. Ia adalah arahan mandatori yang wajib ditegak atas nama kita hamba yang patuh pada arahan.

Cuba lihat analogi di bawah...

Di zaman perhambaan, ikhlaskah seorang hamba menjalankan perintah tuannya tanpa cuai? Hamba tersebut tiada pilihan. Ikhlas tolak ke tepi, asal segala yang diarah dapat dibuat sebaik mungkin.

Di dalam bidang pekerjaan, ikhlaskah kita berhadapan dengan segala lambakan kerja yang diarahkan oleh 'boss'. 'By hook or by crook', kita harus selesaikan untuk mengelak dari menerima komen negatif mahupun surat amaran.

Di dalam solat, bolehkah kita menilai keikhlasan diri sendiri dalam mengerjakannya? Buat dahulu, sekurang-kurangnya kita sudah melepasi tuntutan fardhu yang datangnya dari 'Arasy. Bila solat terus-terusan dilakukan tanpa beralasan, Insyaallah kita bakal merasa kelazatan mengerjakannya...kerana solat penyelesai segala masalah!

Begitu juga Hudud. Kita diperintah untuk melaksanakannya tanpa perlu beralasan. Apabila sudah menjadi undang-undang dan telah dilaksanakan, baharulah kita cuba menambah baik pelaksanaannya...atasi segala kelemahan.

Tegasnya, sebagai hamba kita tiada pilihan melainkan mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Jika tidak, hukuman bakal menanti atas engkar arahan majikan!

Jadi, masih mahu pertikai keikhlasan seseorang atau hendak menunggu ikhlas baru laksana hukum Tuhan?


                                 

Saturday 3 May 2014

Inilah Mentaliti Kita

Berapa ramai yang suka membaca? Bahan bacaan apa pula yang dibaca? Selepas banyak menelaah mampukah sikap membaca itu membentuk peribadi kita? Bijak pandai ada berkata, apa yang kita baca menentukan siapa kita 5 tahun akan datang.

Ini menunjukkan betapa bahan bacaan mampu mempengaruhi minda dan peribadi kita. Kita mampu menjadi puitis, kritis, 'motivator', ikon, penganalisa, pencetus minda dan apa sahaja. Segalanya bermula dengan bahan apa yang kita baca.

Bagaimana dengan yang tidak suka membaca? Mindanya 'jumud'. Apa sahaja perkara baharu yang datang dianggap musuh. Fikirannya pasif dalam menerima perubahan. Perubahan amat membebankan kerana ilmunya terbatas untuk memikir sisi positif.

Apa mesejku di sini?

1. Aku menganalisa statistik blog Evolusi Jiwa karanganku. Rating tertinggi didahului oleh entri 'Seminit Hijab Dibuka'. Kisah Kaabah hilang dan timbul makhluk lain...sahabatku dibawa masuk ke alam mistik. Itu kisah benar yang dikongsi seorang sahabat. Kisah itu menarik untuk dijadikan iktibar...kerana itu aku menggarapnya untuk tontonan pembaca.

2. Ingat tak suatu ketika dahulu Muzium Negara ada membuat pameran hantu dan kubur-kubur lama? Penuh sesak kawasan Muzium di sepanjang pameran berlangsung yang mana sebelumnya Muzium Negara tenang dan sepi...yang merupakan tempat golongan-golongan tertentu dan 'otai-otai' untuk mencari bahan kajian.

3. Jangan lupa kisah 'sejadah berdiri' di dalam sebuah masjid. Dikatakan sejadah tersebut sedang menunaikan solat! Riuh jadinya dan kisah itu mendapat liputan meluas akhbar-akhbar tabloid.

Ya...ini yang dimahukan masyarakat. Tetapi mengapa kisah-kisah ajaib yang menjadi pilihan? Masih adakah generasi Melayu yang taksub dengan ritual Hindu yang penuh mistik?

Ya...sebelum kedatangan Islam di Tanah Melayu pada kurun ke 13, nenek moyang kita beragama Hindu dan kepercayaan kepada alam mistik amat menebal di jiwa mereka. Hadir Islam menyelamatkan segala ketaksuban kepada alam ghaib.

Ya...alam ghaib memang wujud tetapi jangan sampai yang ghaib dan mistikal itu mematikan minat kita kepada segala realiti. Sudahnya, orang lain sibuk menambah ilmu untuk berdakwah, kita pula tak habis-habis dengan penceritaan khayal lagi memabukkan.