Translate

Saturday 7 September 2019

Masjid Tok Guru

Masjid Tok Guru, Pulau Melaka.

Berkesempatan aku bercuti ke Kota Bharu. Aku merangka 'itinerary' dan yang menjadi keutamaanku ialah melawat rumah arwah TG Hj Nik Aziz Nik Mat..rumahnya bersambung dengan masjid.

Solat tahiyyatul masjid mengambil tempat. Di sinilah arwah banyak menabur ilmu dalam melahirkan Dae'i bagi menyambung sunnah Nabi.

Ya...inilah wajah rumah beliau hasil khidmatnya sebagai MB Kelantan selama 23 tahun (1990-2013)...tiada beza dengan lakaran rumah rakyat marhein. Itu sudah menjawab siapa beliau dalam mentadbir negeri Cik Siti Wan Kembang.

Ketepikan soal politik...aku hanya ingin merasa aura arwah...alfatihah.



Ekspresi Merdeka


"Apa bukti cintamu kepada negara?" tanya mereka.

"Kau tak boleh menelah hatiku betapa aku sanggup mati untuk pertahankan negara...tetapi kau bisa melihat dengan mata kepalamu apa yang aku pamer", jawabku bersemangat...ceeehhhhhh😉

Ekspresi MERDEKA!!!



Minda, Emosi & Fizikal

Nak jadi telur, kentang atau serbuk kopi? Ketiga2 bahan tersebut jika direndam ke dalam air panas, memberi impak yang berbeza.

Telur akan mengeras, kentang menjadi lembik tetapi serbuk kopi memilih untuk mengeluarkan aroma dan rasa enak.

Analogi ini menunjukkan betapa 'stress' boleh dikawal. Masalah tetap wujud..hanya bagaimana kita kendalikannya.

Mental, emosi dan fizikal perlu bersatu.

Aku memilih berpagi2 bersama udara segar untuk kupastikan ketiga2 kesatuan tersebut berada di landasan terbaik.

No pain no gain eh...10% left to be eliminated!


Friday 23 August 2019

JEDI

JEDI merupakan produk yang eksklusif. Bermula dari TNA, hadir Konsultan yang selesa dipanggil ZAM sahaja..tanpa Encik..tanpa Tuan..jauh dari meminta2 hormat. 

Kami berkolaborasi dalam mengimplementasi sebuah program pembangunan bagi melahirkan kakitangan yang bergelar pemimpin...70 orang kesemuanya yang dibahagi 4 kumpulan.
Program tak murah tapi sangat sangat sangat dan sangat berbaloi...kenapa? 

Kerana ZAM mempersembahkan modul komprehensif bersama 'psychometric tools'. Laporan lengkap untuk setiap modul bersama data dan fakta. Konsep latihannya berbeza...peserta yang banyak memain peranan, tugas Trainer hanya memberi panduan. Itu membuatkan kelas latihan berjalan sangat efisien tanpa ada istilah mengantuk. Aku benar2 tertambat! 

Karekter ZAM pula amat mengujakan aku..beliau tak berkira, komitmen ZAM 200%. ZAM bukan hanya sebagai Trainer, dia pikul beban untuk selesai masalah peserta. Cara dia selesai masalah kakitangan sampai ke akar umbi...sampai aku kena buat pertemuan beliau dengan ketua jabatan...katanya kalau masalah ni tak selesai, kau bagi la kursus hebat macam manapun...kakitangan takkan berubah!

ZAM amat menghormati peserta...hubungan mereka rapat dan mesra. Natijahnya 97% maklumbalas dari ketua jabatan mengatakan karekter dan cara bekerja kakitangan mereka sudah berubah! Sungguh... aku simpan rekod itu.

Kursus tamat...6 bulan tempohnya. Peserta bakal melalui hari penentuan. Mereka akan membentang kertas kerja masing2 kepada pihak pengurusan... Sweet September.

ZAM...aku rakamkan ucapan setinggi2 penghargaan atas segala apa yang telah kau sumbangkan. Aku tak pandang nilai imbuhan yang syarikat harus bayar, tetapi nilai ilmu dan hubungan kita yang aku rasa tiada harga yang boleh menyamainya!

Aku telah merangka2 program tahun 2020. Kita bisa berkolaborasi bukan hanya sekali tapi mungkin berkali2 eh.

Kau layak mendapat testimoni bertaraf awam ini...khas dari AKU! Adios.

JEDI - Junior Executive Development Initiatives.



Saturday 10 August 2019

Selamat Berehat ye Mak!


Innalillaahi wainna ilaihirooji'uun..."Terimakasih ye mak..jaga kami dengan penuh kasih sayang! Mak berehat ye mak!"

Itulah kata2 yang kuungkap ke telinga mak sambil mengucup seluruh wajah di kesempatan terakhir sebelum muka mak dibalut kain putih untuk disemadikan.
Mak menghembuskan nafas terakhir Selasa 6 Ogos 2019 jam 1510 di HKL. 

Kami beradik dan ipar duai dah sepakat untuk percepatkan proses pengkebumian mak. Kami tak nak jasad mak terseksa demi melayan permintaan saudara dan kenalan nak melihat mak buat kali terakhir. Biarlah...siapa aje yang sempat ziarah..itulah rezeki buat mereka.

Di hospital, kami semua mengambil tugasan masing2. Ada mencari ustaz dan van jenazah, ada yang uruskan dokumen discharge ward, ada yang sibuk menghubungi saudara mara untuk pemakluman berita terkini, ada yang menghubungi keluarga di kampung untuk proses galian kubur dan Imam talkin dan pelbagai tuntutan tugasan untuk urusan jenazah.

Sementara menunggu proses dokumen di jabatan forensik, aku memimpin bacaan yaaseen dan tahlil bersama adik-beradik dan keluarga terdekat yang hadir.

Jenazah mak dibawa ke surau berdekatan kuarters HKL untuk proses mandi dan balutan kain kapan. Air muka mak manis sangat selepas dimandikan...bibir mak terukir senyum. Kami terperasan, kaki mak yang selama ni membengkak dan penuh tompok2 biru dan merah, berubah tirus dan putih bersih tanpa kesan parut...Allahu!

Aku diberi kesempatan untuk mengimami solat jenazah...penghormatan terakhir dari kami beradik dan ipar duai buat mak.

Lot kubur dalam proses penggalian di kampung...Alhamdulillah, Allah atur dan gerakkan hati penggali kubur untuk melaksanakan fardhu kifayah seawal mungkin.
Jenazah mak sampai ke kampung bersama ambulan sekitar selepas Maghrib. Ramai yang menunggu. Kami tekad untuk kebumikan mak paling lewat jam 2100. Seusai solat jenazah kali kedua, terus jenazah diusung ke dalam van menuju ke tanah perkuburan Islam Bukit Kepong.

Sampai di tanah perkuburan, aku bersama dua orang abang sepakat masuk ke liang lahad. Jenazah mak dihulur ke bawah untuk kami sambut. Kami bersedia dengan pasak kuda2 agar jenazah mak yang agak berbadan, tak jatuh dari tangan kami..Subhanallah..badan mak ringan...demi Allah...badan mak ringan sangat...meluncur laju ke tangan kami untuk diposisikan ke dalam liang lahad..abang2ku mengiyakannya...Allahu Akbar!

Keadaan tanah perkuburan bagai siang di panah matahari bersama 3 lampu putih yang dipasang di atas kubur mak. Talkin dibaca oleh Imam amat terang dan jelas dan menusuk hati sesiapa yang mendengar.

Alhamdulillah...selesai urusan arwah mak. Hanya mengambil masa kurang 7 jam seawal mak meninggal. Kami beradik berkumpul di kampung. Terperasan satu lagi...aku bersama kemeja putih dan abangku ber T shirt hitam, takde kesan tanah..tak kotor. Padahal, punyalah meriah mereka mengambus tanah menimpa tubuh badan sementara kami berada di lubang kubur.....tanah kubur mak pun malu nak singgah ke badan kami..ermmm.

Hari Jumaat, 3 hari selepas mak pergi, menyambil adik lelakiku duduk2 depan beranda rumah mak di kampung...tertera kalimah ALLAH di langit...terang dan jelas...Subhanallah! Kalimah yang seolah mengiringi pemergian mak.

"Ya Allah, berilah kerehatan yang selayaknya buat mak di alam barzakh kerana beliau adalah sebaik2 insan yang sewajarnya mendapat kemuliaan di sisiMU".

Dedikasi Buat: NamLiIjaZuraDdHizamKakItaKakMasFauziahShahirulZuraidiAnynYeyu (adik beradik dan ipar duai)
Termasuk anak2 sedara yang hadir di sepanjang masa.
Kita kuatkan ukhuwah bersama aura arwah mak dan bapak!

Kepada pak sedara, mak sedara dan juga sepupu2 yang hadir sewaktu mak sakit...moga Allah membalas kebaikan anda dengan kebaikan berganda. Terimakasih berada di sisi kami di waktu2 kritikal.

Kepada keluarga Busu di kampung..terimakasih atas urusan pengendalian kubur, van jenazah dan talkin pimpinan Imam kariah surau Sg Jai.

Kepada saudara, handai taulan yang menziarahi jenazah mak...syukran jazilan kathiro.

Al Fatihah...SELAMAT BEREHAT YE MAK! 😢

Sunday 4 August 2019

Cepat Sembuh ye Mak!

Kami sekeluarga diuji lagi. Allah tarik nikmat untuk kami bersama mak. Mak sakit...sakit yang harus dirujuk ke hospital. Teringat aku sewaktu arwah bapak sakit...sakit arwah yang meletak kami adik beradik untuk mengenepikan segala perbezaan pendapat dan pandangan. Kami bersatu untuk kesembuhan arwah. Tetapi qada' dan qadar Allah mendahului perancangan kami...kami redha dan pasrah.

Mak merupakan tiang seri untuk kami adik beradik berkumpul. Kami sedar bahawa yang hidup akan mati...dan yang hidup pula harus hidupkan kehidupan. Tetapi kami belum puas untuk mengusik dan bermesra dengan mak.

Mak sentiasa nampak ceria dan riang bersama anak cucu bila berkumpul. Mak tak pernah besar-besarkan masalah walau masalah itu sebenarnya memakan diri mak sedikit demi sedikit.

Korban diri mak buat arwah suami dan anak-anak bukan sedikit. Tapi jiwa dan semangat mak kuat sangat untuk melihat anak-anak membesar.

Misi mak dahpun selesai. Kami dah besar, kami ada anak..mak pula dah lama bergelar nenek kepada cucu yang berderet-deret ramainya. Insyaallah jika panjang umur, taraf mak naik setahap lagi...moyang.

Mak...kami rindu senyum mak. Jika Rabi'atul Adawiyah boleh menyatukan haiwan liar bersama mangsa di dalam satu jemaah, mak juga punyai aura yang kuat dalam mengharmonikan hati sesiapa sahaja yang duduk bersama mak...damai jiwa dibuatnya.

Kami pegun bila doktor kata risiko rawatan mak 50/50! Mak takut, mak nangis..kami semua menangis...apakah! Tetapi kami harus akur dengan ketetapan ilmu langit. DIA berkuasa ke atas segala!

Tapi aku percaya dengan qada' Allah yang boleh berubah. Kami banyak berdoa dan berkumpul adik beradik bersama anak buah...Yaaseen dialunkan untuk kesembuhan mak.

Aku di sini...4 pagi di hospital menemani mak walau mak tak sedar. Biar mak tak tahu aku di sini...biar mak tak sedar adik beradik juga menantu bergilir menemani mak 24 jam. Hanya kami yang tahu...hanya kami yang sedar bahawa apa yang kami lakukan ini, jauh sangat untuk menyaingi jasa dan kasih sayang mak pada kami...jauh sangat!

Kami sayang mak. Cepat sembuh ya mak!

HKL 4 Ogos 2019

Saturday 13 July 2019

Pandanglah Rumput Itu

Hari Jumaat seperti biasa...rutin mingguan yang menuntut semua umat Islam untuk meninggalkan segala urusan duniawi dalam mengabdikan diri di rumahNYA.

Hari Jumaat adalah 'Me Time' untukku mendekatkan diri denganNYA. Aku akan ke masjid seawal mungkin...kerana 'tenang' itu ada di sana. Cukup-cukuplah seminggu aku bersosial dengan makhkuk yang melata di bumi milikNYA. Aku juga akan keluar masjid selewat mungkin demi memahami ayat-ayatNYA.

Hari Jumaat lepas berlaku sesuatu yang pelik. Tak aku duga perkara tu berlaku di hadapanku. Peristiwa yang berlaku biasa-biasa je tapi reaksi dari seseorang yang tak aku kenal amat luar biasa.

Seusai solat Jumaat dan sehabis aku melakukan solat sunat ba'diah..aku menuju ke rak kasut untuk mengambil selipar. Secara praktikal aku akan mencampakkan selipar ke lantai lalu memakainya.

Kejadian berlaku bila dua-dua seliparku terbalik. Belum sempat aku membetulkannya dengan kaki, muncul seseorang yang berkopiah dan berjanggut tunduk di hadapanku untuk membalikkan seliparku kepada keadaan asal.

Aaahhh...aku kaget dalam memandang wajahnya yang tersenyum seraya aku mengucap terimakasih. Dia tak tunggu lama..terus beredar.

Siapa dia? Apa tujuannya merendahkan diri membetulkan selipar seseorang yang tak dikenalinya? Tinggi benar akhlaknya! Aku sendiri tak terfikir untuk melakukan sedemikian pada orang asing.

Malu aku sangat menebal!!! Aku cuba menggali mesej dariNYA...kukira ia satu amaran buatku yang mungkin hanya memandang ke langit tinggi tanpa sempat melihat-lihat rumput di bumi...aaahhhhhhh!


Saturday 18 May 2019

Satu Lawan Satu

Jika di dalam sebuah perlawanan gusti, kita secara individu dijadualkan untuk bertanding dengan pihak lawan yang berpasangan. Aaahhh...mana adil! Dua lawan satu! Logik akal kita pasti tewas.

Lantas kita protes kepada pengadil perlawanan. Pengadil tidak mengendahkan bangkangan kita. Samada mahu perlawanan diteruskan atau kita harus tarik diri. Mahu tak mahu, kita teruskan juga demi sebuah harga diri.

Kita susun strategi bersama jurulatih yang berpengalaman. Setiap individu pasti ada kelemahan yang boleh dimanipulasi.

Perlawanan bermula. Pihak lawan berganti-ganti masuk ke gelanggang sedangkan kita keseorangan. Kita semakin letih, seakan mahu menghentikan perlawanan. Berehat di pusingan ke 5, jurulatih menghampiri gelanggang seraya memberi tonik tenaga bersama barisan ayat-ayat Kalamullah.

Masuk ke gelanggang, kita semakin bertenaga. Seorang dari pihak lawan terpaksa keluar kerana telah melakukan 'foul'.

Sekarang Satu Lawan Satu!

Eerrmmm...analogi di atas kugarap dalam meletak posisi kita di bulan penuh barakah..Ramadhan Kareem.

Jika di bulan-bulan biasa, syaitan dan nafsu beriringan menyerang dari pelbagai sudut dan arah..2 lawan 1. Kerap kita tewas dan bingkas bangun untuk terus melawan. Kita minta pertolongan Allah dalam memantapkan iman agar dapat mengalahkan syaitan dan menundukkan nafsu.

Tetapi Ramadhan hadir dengan menidakkan peranan syaitan. Mereka dirantai..yang hanya tinggal adalah nafsu dalam diri..1 lawan 1.

Inilah waktunya untuk kita menundukkan musuh dalam selimut yang saban kali membuai diri dengan keseronokan dan kemalasan.

Apa lagi alasan yang mahu diberi jika yang 1 inipun sukar untuk dijinakkan. Tiada bisikan, tiada hasutan dari syaitan...hanya nafsu bersendirian.

Nah...kita gandakan tenaga dan azam untuk berentap sehabisnya dalam melemahkan nafsu. Tempoh 30 hari harus diguna sebaik mungkin bagi mendapat impak 365 hari ataupun 1000 bulan!

Biar syaitan menggigit jari sehabis Ramadhan!

"Ya Allah berkatilah kami sepanjang bulan Ramadhan ini dan temukanlah kami dengan Lailatul Qadr"


Sunday 21 April 2019

Terlajak Larislah Sangat 2

Errmmm...aku cakap kat Chef tu, "lagi 20 minit? Ok takpelah, saya 'cancel' je la order tu".

Isteri dan anak bujang berpandangan sesama sendiri dengan keputusan yang kubuat.

"Abang tak nak makan ke?" soal isteriku curiga.

"Beli je la kat tempat lain..tapau makan kat umah je", jawabku ringkas.

Kami keluar dari restoran. Tak sepicingpun aku bersuara bila melintas kaunter bayaran. Mereka yang duduk di kaunter memerhati tingkahku dan berpandangan sesama sendiri.

Aahhhh...ape hal? sikit je ujian yang Allah beri kat aku kan. Allah uji nafsuku yang lapar dengan sekatan makanan. Aku pulak ada pilihan untuk pesanan semula atau makan di restoran lain..ada aku kesah? Hahaaaaa...

Ye la...ujian tu datang dari pelbagai sudut. Dari yang sekecil-kecil hinggalah yang besar...dan Allah kata kita mampu menggalasnya!

Masalahnya, kita lupa bahawa di saat itu kita sedang diuji. Kita asyik dengan HAK pelanggan yang bagai raja suka menengking dan memarahi pelayan istana yang alpa.

Malam ni aku diuji lagi...'order' satay tapi lambat sampai. Aku tak nak berulang lagi kali ke 2. Nampak je kelibat pelayan tu, terus aku tanya. Katanya ''on the way". Tapi aku tengok mamat yang kipas satay tu tengah melepak.

5 minit selepas aku bertanya, mamat satay tu datang kat aku, "bang maaf bang, saya baru dapat order ni, abang jangan kata saya yang lambat ye".

Apakaaaahhhhhhhhh!!!

Isteri di sebelah dah tersenyum-senyum sambil melontar ayat 'power', "orang beriman memang selalu diuji", hahahaaaaaa...aku pulak tersipu malu dibuatnye...hihiiii...

Aku pesan kat 'wife' tak payahlah panggil pelayan yang lupa nak 'order' satay tu. Dia dah letih kerja dari petang tadi sampai ke malam. Cuba bayangkan anak kita kerja 'part time' camtu..pastu kena marah dengan pelanggan bagai...sedihkaaaannn.

Satu lagi...aku sebenarnya sedang mendidik anak dan isteri melalui tindakbalas terhadap peristiwa yang berlaku. Aku rasa cara tu lebih memberi impak dari membebel dan bersyarah. 

Yelah..kekadang kita ni pandai sangat bercakap tapi bila berlaku sesuatu.. terus 'emo' dan menyumpah seranah..kannnn

Dugaan..dugaan..hahaaaaaaa.

#akutaklahbagusmanatapicubacarijalanuntukperbaikidiridankongsisebagaipengajaran.



Wednesday 17 April 2019

Seminit Hijab Dibuka 2

Masih ingat kisah 'Seminit Hijab Dibuka' yang aku karang di sekitar tahun 2013, berkenaan cerita seorang sahabat yang dibuka hijab oleh Allah untuk tembus pandang makhluk yang merangkak menuju ke arahnya.

Selepas 5 tahun sahabat yang sama berkongsi pengalaman yang sama naratifnya dan sama lokasinya...berlaku di hadapan Kaabah. Bezanya tahun 2018, beliau menunaikan Haji berbanding Umrah.

Sekali lagi beliau dipilih untuk sebuah tontonan yang menembusi dunia mistik. Hanya yang terpilih sahaja yang mampu menembusinya...ya, hanya yang terpilih. Tidak syak lagi.

Hari itu beliau menelefonku untuk jemputan ke majlis reU kawan-kawan sekolah menengah. Pengisian majlisnya berbentuk bacaan Yaasin, tahlil dan doa selamat. Entah di mana puncanya terbuka cerita pengalaman beliau bersama suami dalam mengerjakan Haji. Banyak..terlalu banyak yang mahu dikongsi termasuk hari kejadian ribut yang seakan berlakunya kiamat!

Tapi fokusku pada cerita ini...hari Jumaat setelah selesai segala ritual rukun Islam ke 5. Beliau bersama suami berada awal di Masjidil Haram untuk solat Jumaat. Bersambil menunggu tiba-tiba kelihatan seorang wanita di hadapan Kaabah berjalan melawan arus tawaf sambil menepis-nepis jemaah yang menghalang laluannya...terus menuju ke arahnya.

Keadaannya hitam legam, rambut kusut masai dan tubuhnya berasap! Masyaallah..beliau kaget dan terpaku dengan senario tersebut..hanya mampu menanti apa yang akan berlaku. Dalam beberapa kerlipan mata, 'dia' yang amat-amat beliau kenali hilang dari pandangan mata.

Aaahhhh..beliau menangis dan menangis sepuas-puasnya..tak sangka dan seakan tak percaya yang hadir itu adalah sahabat karibnya sendiri yang selalu mengambil berat tentang keadaan beliau yang kurang sihat sebelum berangkat ke Tanah Suci. Suami yang berada di sebelah termangu-mangu dengan tangisan beliau yang secara tiba-tiba itu.

Melalui sahabat-sahabat lain, beliau maklum bahawa sahabat yang seorang ini acap kali mengumpat beliau di belakang. Tak tahulah...macam ada sahaja yang mahu dicemburukan.

Setelah keadaan tenang dan terkawal, baharulah diceritakan segala apa yang berlaku..aahhhhh. Ustazah tempat rujukan...menangis mendengar cerita tersebut..sambil bermuhasabah diri.

Sekali lagi...cerita beliau menggamit hatiku, apa amalan beliau sehingga Allah beri keistimewaan untuk beliau lihat impak kepada sebuah kepura-puraan.

Aku yang bermuhasabah....



Saturday 30 March 2019

Terlajak Larislah Sangat

Aku nak kongsi cerita...tentang aku, ya tentang aku. Tapi sebelum aku teruskan perkongsian, aku nak kau letak situasi naratif ini ke atas diri kau sendiri. Kau kena rasa lebih empati, seolah-olah kejadian tersebut kena kat diri kau sendiri.

Ini naratifnya...

Beberapa kali aku nampak kelibat papan tanda kat sebuah kedai yang bertulis 'Rumah Makan Terlajak Laris' di kawasan Bangi Sentral. Terpampang besar wajah Dato' Alif Shukri bersama topi Chef. Aaahh tak peduli aku dengan promosi tersebut sebab aku bukan 'food hunter'.

Tapi hari tu 'wife' ajak aku makan kat luar. Tak 'plan' nak makan kat manapun...main redah je. Melalui jalan Bangi Sentral nampak lagi kedai Dato' Alif Shukri...'wife' kata nak makan situ je, nak rasa masakannya.

Aku tak kisah...sepertimana tak kisahnya aku dengan populariti si Alif tu.

Kami pesan makanan. Hidangan 'wife' dan anak lelaki sampai dulu. Nyam, nyam, nyam...dia orang jamu selera. "Boleh tahan sedap", kata 'wife'. Hidangan aku tak sampai lagi...owwhhh takde hal laaa. Aku tak pernah mengomel pasal makan. Lambat ke, tak sedap ke, banyak ke, sikit ke...janji halal dan kenyang.

Malam tu aku tunggu sampai setengah jam...hidangan tak sampai-sampai lagi. Owwhh...dugaan apa yang sedang melanda diri..hahaaaa. 'Wife' dan anak lelaki dah selamat sendawa...errrkkk Alhamdulillah. Aku masih tak kisah...tapi tidak 'wife' aku...perempuanlah katakan.

Ditekannya loceng di atas meja, pramusaji hadir dengan muka ceria seolah-olah takde apa yang berlaku.

Nasi Arab saya tak siap lagi? Dah setengah jam tunggu, soalku dengan wajah biasa.

Berubah air muka pramusaji tersebut, terus bergegas ke dapur untuk bertanya pesanan aku.

Pramusaji tadi hilang ghaib..hadir pula tukang masak ke meja kami mengatakan ada kesilapan teknikal ke atas sistem pesanan...pesanan tak sampai ke dapur!

"Kalau Encik masih nak pesanan yang sama, kami akan buatkan sekarang tapi ambil masa 20 minit", ujarnya dengan harapan aku tukar hidangan yang lebih 'simple' dan tidak memerlukan waktu yang lama untuk menyediakannya.

Peerrgghhhh...perut dah berkeroncong, nak tunggu lagi 20 minit. Aku tenung muka chef tak berkelip membuatkannya rasa tak keruan.

Soalan aku pada korang yang membaca...apa keputusan korang dan apa reaksi korang di waktu tersebut?

bahagian 1


Sunday 17 March 2019

DOPE

Selama mana para peserta mampu bertahan di dalam sebuah program pembangunan diri yang berjalan selama setahun?

Pada pemerhatian dan pengalaman aku di tahun-tahun sebelumnya, para peserta hanya didedahkan bersama alat (tools) dan kemahiran untuk menggunapakai alatan tersebut seperti graf, SIPOC, LEAN, Pareto chart, SWOT analysis dan pelbagai lagi jenama.

Betul...mereka harus tahu segala teknik-teknik tersebut agar selari dengan laporan-laporan yang diperlukan oleh pihak pengurusan.

Tetapi terdapat kelemahan ketara yang tertera...tiada keinginan total untuk mereka melonjakkan kapasiti diri bagi menterjemah apa yang diajar. Mereka dipaksa, ditekan dan harus diseret untuk membuktikan bahawa mereka mahir dalam menggunapakai segala alatan tersebut di sepanjang program berlangsung. Hasilnya, ia hanya berakhir di hari terakhir selepas mereka persembahkan laporan kepada pihak pengurusan!

Syarikat telah berhabis belanja untuk meningkatkan kualiti diri mereka. Habis program, habislah penguasaan mereka ke atas jenama-jenama alatan tersebut. Ianya tidak dipanjangkan ke dalam bidang kerja seharian.

Aaahhhh...aku wajib mencari formula baru agar tidak berlaku pembaziran bajet yang diperuntukkan untuk sebuah pembangunan diri kakitangan.

Hah! Aku bertindak nekad...

Kali ini aku berurusan dengan seorang yang pakar di dalam bidang Sains Manusia (Human Science). Para peserta diberi ujian 'psycho metric' bagi menentukan sifat yang wujud dalam diri mereka.

Mereka sedang melalui fasa pembangunan diri untuk ke tingkatan yang seterusnya. Mereka harus tahu kelebihan-kelebihan yang wujud di samping kelemahan yang harus ditangani segera.

Sebagai pelapis kepada pemimpin masa hadapan, 'Self Mastery' dan 'Self Awareness' harus berada di tempatnya. Biar mereka tahu bagaimana cara untuk menguruskan emosi, kecerdasan akal dan seterusnya boleh mempengaruhi persekitaran.

Ujian DOPE mengambil tempat. Sifat-sifat burung mewakili karekter mereka. Burung merpati, burung hantu, burung merak dan burung helang memapar siapa mereka.

Dove - merpati
Owl - burung hantu
Peacock - merak
Eagle - helang

Burung Merpati...mewakili keamanan. Mereka suka berurusan dengan manusia dan bersifat taat, mesra, kuat bekerja. Kelemahannya...mereka sukar berubah mengikut rentak dunia semasa, takut berhadapan risiko dan tidak tegas.

Burung Hantu...lambang kepada kebijaksanaan. Mereka bersifat logik, suka kepada pengiraan, terperinci dan mementingkan kesempurnaan. Kelemahannya...mereka agak lambat bertindak dalam membuat keputusan juga mengelak dari mengambil risiko.

Burung Merak...seronok dan ceria. Suka bercakap dan berjenaka dan gemar mendapat perhatian. Bersungguh dan komited dalam melengkapkan sesuatu tugasan. Optimis dan bertanggungjawab. Kelemahannya...tidak berapa bagus dalam memperincikan sesuatu dan lemah dalam kawalan masa.

Burung Helang...lambang kepada keberanian. Mereka suka ke depan dan kerap mendominasi keadaan. Suka kepada cabaran, pandai membuat keputusan dan percakapannya terus tanpa kiasan. Kelemahannya...bersifat degil, boleh hilang fokus dan tidak sensitif terhadap keperluan dan perasaan orang.

Di dalam ujian DOPE, keempat-empat karekter burung tersebut ada dalam diri masing-masing tetapi markah tertinggi menunjukkan watak yang mendominasi diri seseorang.

Haaaaaahhh...apabila mereka telah kenal diri dan disedarkan betapa mereka adalah ketua yang harus menggerakkan sesuatu, baharulah mereka dibenarkan untuk menggunapakai segala alatan (tools) yang diajar tanpa dipaksa.

Aku tak mahu mereka hanya menjadi pak turut dan langsung merajuk bila ditegur...alahai janganlah jadi macam budak-budak! Kamu kan pemimpin masa hadapan...

Aku masih ber 'experiment'...


Monday 11 March 2019

Ini Amaran...

Sebenarnya banyak hikmah dengan kejatuhan kerajaan BN..

1. Objektif untuk hentikan segala tindakan salahlaku pemimpin..bahawa harta negara tidak boleh diperlaku sewenangnya sampai tak habis makan 7 keturunan.

2. Rakyat berkuasa untuk tukar kerajaan sekiranya kerajaan tidak mahu berubah.

3. Disebabkan pertukaran kerajaan inilah, total menyedarkan umno bahawa ia bukan parti keramat yang tidak mungkin jatuh. Hasilnya..segala petualang-petualang dalam umno telah dibersihkan.

4. Adalah tidak mustahil Melayu akan naikkan semula umno (apalagi jika bergabung dengan PAS)..nak bagi mesej kepada parti-parti lain bahawa ketuanan Melayu dan agama Islam tetap dipertahankan walau nyawa menjadi taruhan!

5. Kerajaan baharu PH jika masih tidak bertegas dengan hal-hal agama dan ketuanan Melayu..bakal menerima nasib sama..TUKAR!

Lihat sahaja keputusan PRK di dua kawasan...Cameron Highland dan Semenyih. PH...ini amaran!


Sunday 3 February 2019

This Is Yours Now

Kami memasuki lif..agak sesak. Ye la...kami semua berebut-rebut untuk sebuah solat jemaah yang menuntut pahala berganda apabila dilakukan di Tanah Haram.

"Assalamu'alaikum..." begitulah sapaan mereka yang memasuki lif untuk jemaah yang berada di dalam. Bergema sahutan jawapan salam yang diberi...senario yang tidak berlaku di tempat lain..damai dan harmoni rasanya berada dalam kalangan masyarakat yang sarat dengan kepelbagaian negara dan latarbelakang. Ya..kita semua bersaudara!


Sepi di dalam lif. Masing-masing dengan hal mereka. Dalam aku melayan perasaan sambil tunduk memandang lantai lif...aku angkat kepala untuk melihat aras lif. Terperasan bahawa ada seseorang memerhati aku...wanita bersama anak kecil dalam dakapan. Mataku tidak berkedip membalas pandangannya menunggu respon...dia senyum. Ada yang tak kena dengan aku ke?

"Aaahhhhhh...biarkanlah", getus hati kecilku.

Tinggggg...suara lif memecah sunyi. Kami sampai ke aras bawah. Terus aku bersama keluarga meluru keluar agar tidak terlewat mendapat tempat di hadapan Baitullah.

Dalam kami bergegas, aku disapa oleh seorang lelaki berketurunan Arab. Cuitan tangannya dibahu agak memeranjatkan aku.

"Mr...may I know where did you purchase this material that you wearing", soalnya tersenyum sambil.


Oohhhh dia bertanya kain serban yang kuhampar dikedua belah bahuku. Kainnya lembut dan corak kemerahan yang terlukis menarik perhatiannya.

"This is not from here. I bought this from my hometown", jawapanku ringkas.

"Oohh if that to do so..it's ok. Just asking", nampak riak hampa di wajahnya.

"My brother, please take this. This is yours now", aku tidak bertangguh dalam memadam riak hampa di wajahnya. Kuhulur kain serban yang kupakai dan kusua ke tangannya.

"Oohh no, no..I don't mean this. I just asking if you bought somewhere around here, please tell me where are the area". Dia menolak pemberianku dengan justifikasi.

"My brother, you will not going to find it here. This material is from Malaysia. So, please accept my gift to my Muslim's brother. I appreciate if you accept this", aku bertegas dalam mengimarah kemahuannya yang tinggi untuk membeli kain serban tersebut.

"Oohh...but not until you takes mine", dihulur kain serban putih yang dipakainya di bahu ke tanganku sebagai pertukaran.

"Yupss, no problem my brother", kuambil kain serban putih bersih tanpa sebarang corak dan terus kutebarkan di kedua belah bahuku. Begitu jua dengannya.

Dia memeluk sambil mencium pipiku tanda ucapan terimakasih. Di sebelahnya berdiri seorang wanita yang mendakap anak kecil sambil tersenyum-senyum melihat sebuah drama ringkas.

Wanita yang memerhatiku di dalam lif...isterinya kukira.

Kain serban tersebut merupakan kesayanganku. Coraknya yang unik bersama juntaian benang putih di sekelilingnya, menaikkan lagi seri dan seninya.

Tetapi sayangku kepada saudara Muslim melebihi dari material yang kupakai. Aku bersumpah...jika ada yang bertanya dan minat pula pada jubah yang kupakai, akan kusuruh mereka tunggu di hadapan bilik hotel untuk kusalin pakaian lain dan kuserah kepada mereka yang bertanya...SUMPAH!!!

Keesokan harinya, anakku memberitahu yang dia ternampak lelaki Arab itu sedang solat bersama kain serban yang terletak kemas di atas kepala...Alhamdulillah...

kain serban putih sebagai pertukaran

Sunday 20 January 2019

Perang Yang Mendamaikan

Dalam menelusuri sepanjang perjalanan hidup, kekadang perasaan retro hadir dalam mengimbau kembali zaman kanak-kanak dan remaja.

Aku membesar dengan segala rentak aktif yang menjadikan kehidupan itu penuh meriah dan ceria. Segala permainan yang diperlukan minda dan fizikal, habis semuanya menjadi milikku.

Gasing, layang-layang, yoyo, teng teng, baling selipar, rounders, konda kondi, congkak, polis sentri, sorok sorok..entah..tak tersenarai lagi.

Itu retro kanak-kanak aku, zaman penuh gemilang yang tidak mungkin kembali semula dalam gelanggang anak-anak digital!

Sungguhhhhh...tak pernah lagi aku terserempak kanak-kanak bersama senapang berkejar-kejaran lagak askar sedang berperang.

Tapi hari itu berlaku naratif yang menempelak prejudis aku terhadap dunia siber...sungguhhhh!

Musafirku ke Kuantan, membawa ke makan malam di Ana Ikan Bakar Petai. Sedang ralit melihat sekitar, terdengar bunyi bising 2 orang kanak-kanak berkejaran membawa senapang. Seorang mengejar, seorang dikejar. Berulang-alik mereka berpusing di kawasan meja pelanggan lain tanpa menghirau orang-orang sekitar...riuh! Walau senapangnya bukan buatan sendiri, tetapi keaktifan mereka berperang cukup menyentuh alam retro aku.

Owhhh...aku teruja..tersangat teruja dengan telatah mereka. Rindu aku terubat dipertontonkan senario retro itu...manis rasanya.

Ya ..aku tak akan menyalahkan dunia di atas perkembangannya menidakkan segala apa yang pernah aku lalui sebelumnya. Islam juga mengajar pemeluknya untuk imarahkan dunia menurut kesesuaian zaman-zaman yang dilalui. Jika digital yang dituntut, digital lah yang harus dipelajari.

Tetapi tak salah rasanya untuk kita kembali hidupkan aktiviti-aktiviti yang bisa menggerakkan segala sendi-sendi otot agar rasa lebih cergas dan tuntas berbanding hanya meneleku di kerusi, mendiami bilik berhawa dingin berperang di alam maya.

Perang kanak-kanak di meja makan itu begitu mendamaikan jiwa...terimakasih kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut atas tersentuhnya emosi aku.