Tidak banyak yang kutahu tentang dirinya melainkan apa yang tertera di hadapan mata. Tidak sudi pula aku untuk menguis-nguis latar belakangnya. Kami membawa haluan masing-masing setelah tamat pengajian. Kami ghaib ditelan masa.
Takdir menemukan kami. Tak pernah terduga di benak fikiran bahawa kami akan diketemukan semula...bertemu di dalam situasi yang seakan sama seperti dahulu. Jika dia memakai seragam sekolah, tak jauh beza nampaknya. Aku kagum dalam sunyi. Kebaikan bermula dari hati yang bersih. Aku pasti hatinya bersih seperti yang pernah aku kenali dulu...maka terpancar dari raut wajah dan fizikalnya. Dia nampak tidak banyak berubah...ajaib hatinya.
Kami bercerita, berseloroh, tak terlepas tentang kisah-kisah silam zaman remaja, habis semua diselak untuk menjadi bahan gelak.
Dua tahun keadaan berlarutan dan kami berhubung seperti biasa. Memberi prioriti kepada tugas, ada lebihan waktu baharulah kami berhubung itupun dicemburui waktu.
Hari itu terasa lain. Dia seolah ingin berkongsi sesuatu. Sesuatu yang kukira telah lama menjadi khazanah diri. Tetapi khazanah itu tak tertahan-tahan untuk diempangnya. Aku bersedia mendengar warna-warni sejarahnya.
Inilah kisahnya...
Alhamdulillah...aku diizinkan untuk mengunjungi rumahNYA melaksanakan umrah. Teruja rasa hati tetapi agak bercampur baur dengan masalah-masalah yang mendatang. Ahhhh...biarlah masalah itu...ia boleh datang dan pergi. Tetapi kupinta agar ia pergi sebentar untuk aku tenang mengunjungiNYA.
Syukur...syukur sesangat kerana perjalanan umrahku menempuh mudah. Tenang jiwa, lapang dada, kosong fikiran dari memikir kerenah dunia.
Hari itu seperti biasa aku bersiap untuk solat subuh. Aku bertolak awal dari hotel untuk mencari lokasi berdekatan Kaabah. Aku bersama ibu memilih untuk solat di bahagian atas juga bertentangan dengan Baitullah. Azan subuh pertama sudah berkumandang bertujuan menggerak mereka yang masih diulit mimpi.
Sementara menunggu azan kedua, aku membaca Quran. Sekali sekala aku memandang ke hadapan untuk melihat Kaabah. Kusambung semula bacaan...kupandang semula ke hadapan. MASYAALLAH...Kaabah hilang, kosong dari pandangan!!!
Benar!!! Betul-betul di hadapanku merangkak pula seseorang yang memang kukenal menuju ke arahku seolah meminta bantuan...eehhhh, apa semua ni? Keadaannya seperti lepas bertempur di medan perang. Dia benar-benar nampak sedang di dalam kesusahan dan memerlukan bantuanku.
Eehhh...mana datangnya makhluk ini? Aku bukan bermimpi...aku sedar yang aku masih 'SEDAR'. Aku kenal dia...aku teramat mengenalinya! Peliknya, sekelip mata dia muncul dalam keadaan yang tidak kujangka langsung. Sekali lagi aku sedar yang aku masih 'SEDAR'.
Kejadian berlaku dalam lebih kurang seminit dunia. Aku kaget...tiba-tiba 'dia' hilang dan Kaabah muncul kembali di hadapan mata. Tubuhku menggeletar, tak daya untukku mengerjakan solat subuh. Aku dihantar pulang ke hotel oleh muttawif. Kutekankan sekali lagi bahawa AKU SEDAR YANG AKU MASIH 'SEDAR'.
Setelah pulih dari semangat yang hilang, muttawif ingin mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Kuceritakan segalanya dan sebenarnya cerita ini bermula di Malaysia lagi.
Kronologi awal...
Sehari sebelum berangkat, aku dikunjungi rakan-rakan untuk mendoakan keselamatanku dan diberi kesihatan yang baik untuk beribadah di sana. Tetapi ada cerita yang kurang enak kudengar disampaikan oleh mereka yang melawatku.
Seseorang yang kelihatan baik denganku diberitakan banyak mengata aku di belakang. Masyaallah...aku tak selesa sejujurnya tetapi tak daya untukku mengubah persepsi makhluk terhadapku. Biarlah...
ORANG ITULAH YANG KULIHAT MERANGKAK MENUJU KE ARAHKU MEMINTA PERTOLONGAN SEHINGGA HILANG KAABAH DARI PANDANGAN MATA!!!
Muttawif yang khazanah pengalamannya luas bak laut lepas itu mengatakan bahawa ALLAH telah membuka hijab sebentar untuk disaksikan kepadaku bahawa inilah balasannya terhadap mereka yang suka mengumpat sesama makhluk.
Muttawif menyarankan agar aku melakukan solat hajat dan memohon kepada Allah agar mengampunkan segala dosa-dosanya. Jiwaku tanpa berbelah bahagi melakukannya dengan jujur, sejujurnya aku kasihan belas kepadanya. Aku total memaafkannya atas segala umpatan yang dilemparkan.
Pelik tetapi benar tetapi kebenaran itu menolak pelik. Maha Kaya Allah untuk menunjuki apa sahaja kejadian sebagai ibrah...jua anugerahnya kepada insan yang terpilih. Terbuka hijab untuk hiburan matamu.
Habis ceritanya tetapi mindaku belum habis menganalisa dirinya.
Sahabat,
Jiwamu bersih, hatimu mulia. Kau sentiasa mengalah dalam apa sahaja perkara demi memberi laluan kepada yang lain...meski jiwamu tersiksa.
Sahabat,
Mata kasar melihat kau mengalah tetapi mata hati menyuarakan bahawa kau bukan kalah. Allah telah memenangkanmu. DIA anugerahkan sesuatu buatmu...sesuatu itu diberi kepada hanya yang terpilih.
Sahabat,
Moga kau istiqamah...aku yakin banyak lagi yang bakal kau terima dariNYA.
Aku ber evolusi sendirian...yang benar itu tetap menolak pelik.
semuga kisah ini menjadi iktibar dan tauladan kepada kita semua..trm ksh shbt..
ReplyDeletebyk kisah yg kt dengar ttp sejauh mana kt ambil iktibar dn merubah kehidupan...renungkn. tq ")
Delete