Translate

Friday 31 October 2014

PU...Runtuh Jiwaku

Program 'Pencetus Ummah' bakal memasuki musim kedua siarannya. Proses saringan untuk 12 peserta melayakkan diri ke gelanggang dakwah sudah memasuki peringkat akhir.

Aku agak terpaku dengan salah seorang peserta yang sememangnya telah dipilih untuk pentas Pencetus Ummah. Dia terpilih di atas kredibilitinya dan petah bicara serta ilmu yang dimiliki.

Sewaktu peserta ini di atas pentas bagi mempersembahkan topik bicara, para panelis seramai empat orang telah sebulat suara memilih beliau. Apa yang membuatkan aku terpaku bersama sendu? Panel mendapat tahu bahawa peserta ini terpaksa bergegas balik ke kampungnya di Baling, Kedah. 

Salah seorang panel bertanya kepadanya sejurus persembahannya tamat, "atas urusan apa?"

Beliau nampak terdiam dan memandang tepat ke arah muka panel seakan mahu menyembunyikan sesuatu...keadaan sunyi seketika menanti respon yang akhirnya beliau bersuara sebak secara paksa...

"Atas urusan keluarga...letrik rumah orang tua saya telah dipotong oleh TNB kerana telah tertunggak selama beberapa bulan...kami tak mampu bayar. Saya tak sampai hati membiarkan keluarga saya tinggal bergelap. Biarlah saya bersama-sama mereka menempuh masalah ini".

Kamera 'zoom in' kepada para panel...mereka terdiam menahan sebak bersama mata yang berkaca.

Ketua panel terus menunjukkan kertas hijau yang memberi mesej bahawa peserta itu layak untuk masuk ke program Pencetus Ummah musim kedua. Mereka berpelukan mengucap tahniah.

Aku? Mataku bergenang memikir betapa beruntungnya kami yang sentiasa diterangi limpahan cahaya menghindari gelap. Alpanya kami tentang nasib mereka. Melihat keadaan rumah peserta tersebut (krew yang bertandang), amat menginsafkan aku. Jika dilihat peralatan elektrik, tak sebanyak mana yang boleh kuanggarkan bil letrik hanya dalam lingkungan RM20 ke RM30 sebulan. Jika itupun masih tertunggak, apatah lagi makan minum dan pakai mereka!

Insaf...


Wednesday 29 October 2014

Ego Yang Merasuk Diri

Ego? Siapa yang tiada sifat ego bermakna dia bukan manusia...dia Malaikat yang tiada dibekal nafsu. Manusia dicipta bersama pakej lengkap...punya hati, perasaan, akal dan nafsu.

Setiap pancaindera tersebut memain peranan masing-masing dalam menyeimbangi tugasan manusia sebagai khalifah yang mentadbir mukabumi.



Ego datangnya dari hati...bersebab akal gagal menjinakkannya. Mengapa? Kerana nafsu sudah mendominasi akal dan hati. Bagaimana nafsu boleh bersultan di mata beraja di hati? Kerana tarikan magnet dunia amat kuat...akal, hati dan seluruh pancaindera yang lain telah bertumpu penuh untuk menggapainya.

Jadilah material itu pelengkap ego yang tegar. Jadilah kelebihan diri penambah angkuh. Jadilah pangkat dan kedudukan sebagai perlambangan kualiti diri.

Apakah simptom-simptom yang boleh dikaitkan dengan ego?



'Rasa bersalah apabila berbuat salah' amat kurang...boleh jadi rasa itu tiada langsung. Natijahnya golongan tersebut jarang mendahului meminta maaf. Mereka tak rasa yang mereka telah melukai, menyakiti, merobek, mencalar hati insan lain.

Tidak mengiktiraf kejayaan orang lain. Mereka buta dalam menilai kelebihan yang diraih pihak lain. Hanya yang mereka celik...bahawa diri dan kaum kerabat mereka sahaja yang cemerlang.

Sering bercerita tentang kehidupan dan pencapaian mereka dan keluarga. Tidak jatuh minat untuk mereka mendengar kisah rakan taulan.

Merujuk kepada diri sendiri dalam memberi contoh kepada mereka yang ingin berjaya.

Tidak suka mendengar malah suka orang mendengar hanya cerita mereka.

Selalu meletak salah kepada pihak lain jika bertembung dengan permasalahan.

Errmmm..mungkinkah senarai simptom di atas berada di sekeliling atau tanpa sedar simptom tersebut milik kita sebenarnya?

Buanglah egomu atau kau bakal berhadapan dengan kemelut jiwa yang sarat!!!


Tuesday 28 October 2014

'Insta' Buat Anakku

Bersambil duduk di hadapan TV seusai makan malam bertujuan untuk mengimarahkan hidup berkeluarga. Sebetulnya aku lebih tegar berdamping dengan bahan-bahan bacaan ilmiah...tetapi aku jua harus bersikap adil kepada keluarga. Aku seharusnya memberi waktu yang berkualiti untuk keluarga...bertanya keperluan mereka dan bergurau senda seadanya bersama anak-anak.

Berkebetulan ke udara sebuah rancangan hiburan yang memaparkan perkembangan terkini artis-artis tanahair. Berkisah sepasang artis yang membuka akaun 'instagram' buat bayi mereka dan telah berjaya mengumpul seramai seratus ribu lebih (100,000++) 'follower'.

Ucapan ALHAMDULILLAH diucapkan oleh sibapa di atas jumlah peminat yang ramai yang ingin mengetahui setiap saat perkembangan anaknya.

Akan sentiasalah si pasangan artis ini meng'update' segala perkembangan dan setiap sudut pergerakan bayinya. Dari pemilihan baju, peralatan mandi, katil bayi, botol susu, 'pram'...namakanlah apa sahaja.

Jika dibuat majlis 'cukur jambul', pasti mengalahkan kenduri kahwin orang biasa. Ye lah...kan nak dapat 'rating' tinggi!

Gambar dan liputan untuk bayi mereka pasti mendatangkan hasil lumayan yang dibayar oleh stesen-stesen TV mahupun majalah. Memang benar-benar berbaloi bisnes mereka.

Inilah jenama 'pemerdagangan bayi' berlesen. Ia sah di sisi undang-undang dunia tetapi tidak sah untuk undang-undang akhirat. Hilang berkat...dijauhi Malaikat.

Beginilah cara mereka mensyukuri nikmat Allah yang menganugerahkan zuriat yang sihat, cantik dan comel. Zuriat untuk mereka berbangga-bangga di waktu selari bisa mendatangkan hasil yang cukup lumayan.

Adakah perkara yang sama bakal mereka rencanakan sekiranya ditakdirkan anak mereka cacat? 'Down syndrome'?

Masih bisakah mereka mengucap ALHAMDULILLAH? Masih mahukah mereka menjemput media membuat liputan?

Aku lantas bergegas meninggalkan ruang tamu bagi mengelak dari mengeluarkan kenyataan-kenyataan di hadapan keluargaku yang menampakkan sikap tidak sabar aku dalam melayan kerenah dunia.

Kucapai gajet...laju pergerakan jari-jemariku dalam meledakkan apa yang terpendam!

Selesai aku berkarya...kutarik nafas sedalam boleh dan berbisik sendiri..."Ya Allah, lindungi aku dari diperhambakan dunia",



Friday 24 October 2014

Persetankan Maruah Mereka

Cerita Saloma sudah difilemkan. Kisah seorang 'Primadona Malaya' yang tak seindah gambaran peminat. Akhiran hayat Tan Sri P. Ramlee dan Pn Sri Saloma agak memilukan. Perjuangan mereka dalam memartabatkan filem Melayu memangsakan diri mereka sendiri. 

Bukan itu yang mahu kukisahkan...ianya lebih teruk dari itu. Kisah di belakang tabir yang mahu ditelanjangi oleh mereka yang hanya memikir untung sabut yang timbul.

Dalam menggarap kisah benar, ada satu babak ditonjolkan seorang pelakon yang kehidupannya seperti suka berfoya-foya dan dilabel sabagai mata keranjang. Bertukar-tukar teman wanita dan mencerai Saloma di kala berbadan dua.

Babak tersebut telah menimbulkan polemik di kalangan keluarga mereka yang terbabit sehingga meminta agar tayangannya dihentikan. Mereka mendakwa peribadi pelakon tersebut tidak seperti yang digambarkan di layar perak...hentikan tayangan dan meminta maaf atau pihak penerbit bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Penerbit pula berkeras untuk meneruskan tayangan atas alasan mereka telah merujuk perjalanan hidup Saloma dari keluarga Saloma sendiri...bermakna itu adalah kisah benar yang tidak ditokok tambah jalan ceritanya. 

Begitulah kemelut cerita peribadi melawan dunia bisnes. Walau betapa benar sekalipun kisah yang mahu ditonjolkan, tidak terlintaskah di hati penerbit untuk melindungi aib seseorang dan keluarga yang menerima palitnya?

Nampaknya untung dunia lebih mengatasi tanggungjawab manusia sehingga sanggup mempersetan dan merendahkan maruah peribadi.

Jumpa di mahkamah...kemungkinan pihak penerbit akan menang kes tetapi mereka terlupa tentang Mahkamah Allah yang amat menitikberatkan maruah dan peribadi yang patut dilindungi...hablum minannaas.



Thursday 23 October 2014

Membelai Najis Mughallazah

Baru-baru ini umat Islam tersentak dengan kempen yang julung-julung kali diadakan di Malaysia iaitu kempen 'I Want To Touch A Dog'. Program bermotifkan cara-cara penjagaan anjing yang betul. Ramai pengunjung terdiri dari mereka yang beragama Islam. 

Apa yang mengejutkan apabila sentuhan dan belaian anjing dipraktis tanpa teragak-agak oleh kaum Melayu yang semestinya berbangsa Islam! Gambar-gambar program telah menjadi 'viral' di laman sosial dan mengundang pelbagai komen sehingga memaksa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berkenaan sentuhan anjing oleh orang Islam (padahal batasan Muslim dan anjing telah benar-benar difahami oleh kita).

Rata-rata kita sedar bahawa bukan satu kebiasaan di Malaysia, orang Melayu membela apatah lagi membelai anjing. Namun bukanlah bermakna kita harus menyakiti anjing apatah lagi menyiksanya.

Apa yang merisaukan aku ialah kebelakangan ini timbul banyak kecelaruan yang menentang graviti budaya Melayu Islam di Malaysia. 

Benar...jika tangan yang kering bersentuhan bulu anjing kering, itu dibenarkan. Tetapi perlukah kita menyentuh dan membelai anjing? Itu bukan sunnah juga bukan budaya Melayu di Malaysia.

Benar...mazhab Maliki membenarkan sentuhan anjing kerana ianya masih lagi berupa masalah khilafiah. Tetapi apa perlunya menyentuh anjing di kala kucing masih kehausan belaian manusia?

Benar...anjing mempunyai kapasiti untuk membantu manusia seperti berburu, mengawal rumah dan mengesan bahan terlarang di dalam bagasi. Tetapi tidak untuk kita bermesra dengannya!

Benar...tanpa berselindung bahawa kita sahaja yang secara semborono menghalalkan dan menerima pendapat yang menolak 'uruf (amalan dan budaya setempat). Selepas bergelumang dengan anjing sertu lah tangan (samak)..hilanglah kesan najis mughallazah. Inilah tahap ilmu agama di minda Melayu!

Anjing tidak bersalah...hanya manusia yang kalah dalam mentafsir kecelaruan minda dalam me'liberal'kan Islam di Malaysia.




Sunday 19 October 2014

Kita Ada Mukjizat

Jika ditanya berapa kali kita membaca al Quran sehari? Berapa ayat yang mampu kita alunkan tonasinya? Berapa kali kita katham Al Quran dalam sebulan atau setahun? 

Pasti berbagai bentuk jawapan yang bakal kita dengar. Ada yang membaca al Quran sehari satu muka. Ada yang memfokus membacanya di setiap malam di antara Maghrib dan Isya'. Ada yang mengkhatamkannya setahun sekali di setiap Ramadhan dan berbagai lagi.

Alhamdulillah kerana kita masih hampir dengan Kalam Allah...tidak kiralah berapa kali kita khatam asalkan istiqamah hadir di dalam pembacaannya.

Terdapat pelbagai nama yang dinukilkan bagi Kalamullah selain dari al Quran iaitu Al Kitab, al Furqan, al Dhikr dan al Tanzil. 

Al Quran juga mempunyai sifat-sifat seperti yang disebut di dalam kitab itu sendiri seperti Nur (cahaya), Huda (petunjuk), Syifa' (penawar), Rahmah (membawa rahmat) dan Mau'izhah (nasihat).



Walau terdapat berbeza pandangan berkenaan bilangan ayat al Quran, para Ulama' telah sepakat  bahawa bilangan ayat-ayat secara keseluruhannya adalah sebanyak 6200 ayat. Bilangan surahnya pula adalah sebanyak 114 surah. (TV al Hijrah mengambil bilangan surah itu sebagai saluran TV mereka...114).

Penurunan al Quran berlaku dalam 3 peringkat. Peringkat pertama al Quran diturunkan ke Lauh Mahfuz. Dari situ ia diturunkan serentak ke Bait al Izzah di langit dunia secara serentak. Diikuti dengan penyampaian risalah secara beransur-ansur melalui Malaikat Jibril a.s kepada Nabi Muhammad saw.

Sedarkah kita bahawa al Quran adalah sebesar-besar mukjizat yang dianugerahkan kepada umat akhir zaman?

Mendengarnya sahaja sudah dikira pahala apatah lagi membaca. Bertambah lagi laba yang diperolehi bagi yang mengamalkan mesej yang terkandung di dalam ayat-ayatnya.

Untuk sentiasa bersama Kalam Allah, tidak perlu hanya mengimarahkannya di rumah atau surau. Teknologi terkini amat ketara kemudahannya untuk kesepaduan insan dan ayat-ayatNYA. Janganlah hanya gajet kita berteman perisian duniawi...bukan tidak boleh tetapi imbangilah ia dengan perisian al Quranul Kareem.

Semakin banyak waktu yang diluang untuk mukjizat itu, semakin banyak tenang bertandang ke lubuk hati. Semakin kerap kita membacanya, semakin kerap pertolongan Allah menghampiri. Semakin tidak boleh kita berjauhan dengannya, semakin mudah perjalanan hidup kita.

Wallahua'lam.

* sumber rujukan: Pengajian Syariah, al Quran oleh Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Ahmad. Universiti Malaya.

Tuesday 14 October 2014

Manis Memberi Tanpa Harta

Bila hati berbisik.."Perlukah memberi hak kita kepada mereka? Kita yang letih berusaha, mereka cuma menadah tangan meminta!"

Inilah peperangan nafsu dan minda yang berlaku kepada hamba yang bernama manusia...tidak kepada haiwan mahupun tumbuhan. Kekadang timbul provokasi melampau olahan nafsu bagi menahan pemberian bulanan kepada ibubapa..."Aahhh mereka ada segala, pencen dan kutipan susu getah juga rumah sewa. Apa perlu aku memberi lagi?"

Memberi sebenarnya adalah amalan 'sunnah' yang dipraktikkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Rasulullah tidak pernah menahan harta sendiri malahan meng'infak'kan segalanya kepada yang memerlukan. Amalan ini pula diikuti oleh para Sahabat sehingga apabila ditanya oleh Baginda...

"Apa yang tinggal untukmu wahai Abu Bakar?" 
"Yang tinggal untukku hanyalah Allah dan Rasul", jawab Abu Bakar.

Begitu tinggi sekali nilai 'memberi' yang diletakkan di dalam Islam.

Yang berharta pasti tiada masalah untuk meghulur kepada yang memerlukan. Tetapi bagaimana halnya kepada yang tidak punya apa, atau hanya cukup untuk keperluan keluarga?

Di sinilah letaknya nilai 'memberi'. Dikala tiada apa untuk diberi, mereka menggunakan keperluan harian untuk terus memberi sehingga ditahap sanggup mengenepikan diri sendiri dan keluarga yang ditanggung.

Ini berlaku kepada insan yang sudi berkongsi cerita denganku. Dia punya ibu. Ibunya pula berada di dalam kelompok yang berharta hasil peninggalan arwah suami. Tetapi dia tetap memberi wang bulanan kepada ibu sekadar mampu...malah dia tahu bahawa jika tidak memberipun, ibunya cukup segala.

Lain bagi insan ini. Dia memberi bukan hanya kerana menunaikan tanggungjawabnya sebagai anak lelaki. Pemberiannya hanyalah untuk dia melihat ibunya tersenyum gembira! Senyuman ibu itulah yang 'mengkayakan' hidupnya sekeluarga. Kegembiraan ibu itulah yang menjadi penawar dan penenang hati segala masalahnya.

Ucapan 'terimakasih' dari ibu bila menerima wang bulanan yang ditagih-tagihnya untuk menjadi hidangan halwa telinga. Walau berjuta 'terimakasih' tidak mampu membalas segala pengorbanan ibu, tetapi cukuplah sekadar ibunya tahu bahawa dia tetap memperuntukkan bahagian untuk ibu dari hasil titik peluhnya. Biar dicatunya makanan harian keluarga untuk membuat ibu gembira.

Manis cerita insan itu...ahhhhh manis lagi bila memberi dalam keadaan tidak berharta! Itulah yang membezakan kekayaan yang dimiliki jiwanya. 

Aku meneleku sendirian...mencai-cari jalan untuk 'memberi' sebuah kekayaan jiwa!


Sunday 5 October 2014

'Selfie' di Baitullah

Sudah menjadi impian dan cita-cita bagi setiap Muslim yang beriman untuk menunaikan umrah juga mengerjakan Haji jika segala syarat-syaratnya dipenuhi. 

Persiapan awal seperti kewangan yang mencukupi, kesihatan yang mengizinkan, bekalan untuk keluarga yang ditinggalkan juga harta benda yang diwasiatkan sudah disusun rapi perancangannya.

Berlepaslah jemaah ke Tanah Suci Mekah al Mukarramah. Setiba di Tanah Haram, mereka wajib melakukan tawaf 'selamat datang'. Terujalah bagi mereka yang baru pertama kali melihat Kaabah. Mereka bisa rasa sedih, sayu, hiba, kerdil. Segala emosi bercampur baur ramuannya. Memang begitu lumrahnya. Akal semulajadi bahawa manusia dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah muncul secara automatis.

Selesai melengkapi ibadah dengan proses bertahlul, jemaah bebas melakukan segala aktiviti yang tidak melanggar syari'at dan peraturan termasuk ber 'SELFIE' di sekitar Baitullah.

Baru-baru ini dalam siaran radio IKIM, telah berlaku perbincangan santai mengenai ber'selfie' di hadapan Kaabah. Kedapatan pandangan pro dan kontra mengenainya.

Aku sendiri mempunyai pandangan yang tidak konservatif dan agak fleksibel. Allah mewajarkan kita untuk bermusafir ke seluruh pelusuk dunia bagi melihat kesan-kesan sejarah yang boleh diambil iktibar. Jika sampai ke sesuatu tempat, pasti kita teruja untuk mengambil peluang bergambar...apatah lagi di tempat-tempat yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

Bagi aku, seusai mengerjakan umrah atau haji...bergambarlah untik dijadikan kenangan seumur hidup di hadapan Kaabah, Masjidil Haram mahupun di masjid Nabawi, Madinah. Tetapi berpada-padalah dalam ber'selfie', jagalah adab dan tingkah laku agar perbuatan itu tidak menjadi fitnah awam.

Aku percaya, jika 'selfie' di hadapan Kaabah menjadi satu gangguan mahupun igauan ibadah, pasti Ulama' sedunia bakal berhimpun untuk mengeluarkan satu resolusi yang dinamakan fatwa.

Selagi belum mencapai tahap tersebut, bergambarlah..ber'selfie'lah dalam galeri Syari'atullah.