Translate

Sunday, 10 February 2013

Hutang Dibawa Mati


Diberitakan peminjam PTPTN yang masih enggan melunaskan pinjaman mencecah
290,000 orang walaupun kerajaan telah memberi diskaun 20%. Pihak berwajib juga
bersedia mendengar permasalahan peminjam dan menjadualkan semula jumlah
pinjaman agar tidak membebankan pelajar-pelajar yang baru hendak berdikari.

Ada pihak yang mempertikaikan kewajaran pinjaman kerana pendidikan sebenarnya haruslah bertaraf percuma. Berbekalkan perbandingan negara-negara lain, isu ini telah menjadi modal politik kepada pihak-pihak tertentu.

Ketepikan rasa ketidakpuasan diri untuk meminjam bagi mendapatkan ilmu kerana fokus aku hanya kepada status kita sebagai peminjam. Di dalam Islam meminjam adalah dibenarkan tetapi tertakluk kepada syarat-syarat yang telah digariskan..ini terkandung dalam sistem Muamalat Islam. Pemiutang haruslah berniat untuk membayar dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh penghutang. Dalam situasi tertentu adalah baik untuk penghutang memberi tempoh yang lebih longgar untuk meringankan beban pemiutang.

Rasulullah sendiri ada berhutang dengan orang Yahudi. Si Yahudi telah dengan kasarnya merentap kain lilitan di leher Baginda untuk mengarahkan Baginda melunaskan hutang sehingga berbekas leher Baginda dengan rentapan tersebut. Rasulullah bersabar dan mengarahkan sahabat membantu untuk menjelaskan baki pinjaman itu.

Apabila kita sudah bekerja dan cuba melarikan diri dari membayar PTPTN, di situlah bermulanya kekalutan dalam hidup. Surat-surat susulan dari pihak berwajib banyak mengganggu kehidupan. Terbaharu, kerajaan dengan kerjasama Imigresen akan menahan pergerakan peminjam ke luar negara.

Bagaimana dengan syariat? Yakinkah kita akan terlepas dari segala persoalan yang tergantung itu? Di dunia mungkin kita bijak meloloskan diri dari dikesan...ini yang bahaya kerana segala perkara yang belum selesai sewaktu hidup akan menjadi beban tak tertanggung di akhirat. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Amalan seseorang itu tergantung disebabkan hutangnya".

Belum sampai di akhirat lagi kita sudah terasa bebannya. Hidup tidak diberkati dan segala macam bentuk masalah akan kita rasa. Masalah kerja, keluarga, himpitan kewangan, kesihatan, disenaraihitamkan dan macam-macam lagi.

Analogikan pula hutang ini dengan Allah. Yang tertinggal solat itu (sengaja atau tidak) sebenarnya berhutang dengan Allah. Jadi, apa tugas kita? Cepat-cepatlah ganti yang mana termampu asal ada kemahuan untuk membayarnya. Yang lain biar Allah uruskan kerana redhaNYA mengatasi kemampuan kita.

Bagaimana dengan manusia? Redhakah mereka untuk memansuhkan hutang-hutang kita? Errmm masih lagi berkira-kira untuk mengelak dari membayar? Yang mukallaf mempunyai buku catatan sendiri...fikir-fikirkanlah ye.

No comments:

Post a Comment