Translate

Saturday 28 March 2015

Kembara Di Bumi Ningxia

Langkahku harus diperkemaskan untuk misi ini. Misi kali ini amat berbeza dari sebelumnya kerana tanggungjawab yang dipikul bukan sembarangan. Aku harus 'menanggung' dan 'menjawab' sekiranya gagal...itulah maksud 'tanggungjawab' kali ini. Kembaraku dibezakan dengan kehadiran tiga orang rakan sekerja menjadikan kami satu kumpulan yang mantap bagi mewakili misi negara.

Berlepas dengan pesawat MH 386 menuju Shanghai dengan waktu asal jam 0140 adalah biasa bagiku. Walau apapun waktunya, tetap aku memaksa minda untuk bersedia sedetik lebih. Tetapi hari itu agak luarbiasa...sesampai aku di KLIA jam 2200 terus aku menuju papan digital bagi menyemak waktu daftar masuk. Astaghfirullah...pesawat ditunda ke jam 0500!!!

Hahahaa...kami berempat hanya tersenyum-senyum mengenang nasib diri. Nak balik rumah, tak berbaloi. Melepaklah kami di restoran terminal berborak menghilang rasa bosan. Sedang kami berbual, tiba-tiba menderu satu kumpulan berjumlah tidak kurang dari 100 orang berlari-lari ke satu arah. "Terlewat untuk 'boarding' la tu", kataku pada rakan. 

Haaahh...telahanku salah. Mereka sedang menyerbu artis K Pop yang baru sahaja tiba di balai ketibaan! Adduuuhh...taksubnya remaja Malaysia dengan jembalang K Pop tu ye.

Sempat kami tidur sebentar di kerusi terminal dan berlepas tepat jam 0500. Kami tiba di Shanghai jam 1100 tetapi sudah terlepas 'connecting flight' ke Ningxia kerana masalah kelewatan pesawat dari Kuala Lumpur. Kami diberi kemudahan bermalam di hotel untuk menaiki pesawat pada keesokan hari. Semuanya ditanggung oleh syarikat MAS. Suhu siang di Shanghai 15'c dan malam 8'c.

Esoknya kami berlepas dengan pesawat domestik Air China ke Ningxia mengambil masa 3 jam. Kami disambut mesra oleh wakil Kerajaan Ningxia. Bermulalah misi kami.

Populasi kerajaan autonomi Ningxia berjumlah 6 juta dan penduduk Islam seramai 2 juta. Masjid kelihatan di mana-mana tetapi hanya yang berusia lanjut sahaja yang memenuhi ruang masjid. Terkejut aku bila diberitahu bahawa mereka yang Muslim ada juga yang menganut agama lain secara serentak!



Hotel yang kami diami berciri Islamik. Rekaan corak dan perlambangan menunjukkan Islam amat mendomimasi kehidupan penduduk Ningxia. Di permaidani, siling dan cermin terdapat corak-corak Islamik.





Bandar mereka juga dihiasi dengan tulisan-tulisan Arab seperti di restoran, hotel dan juga di papan-papan tanda jalan. Begitu kuat pengaruh Islam ke atas kerajaan mereka.



Kedai makanan halal merata-rata dan banyak jumlahnya tetapi agak malang kerana di restoran halal itu terdapat 'bar counter'. Muslim minum arak bukan menjadi satu kesalahan di Ningxia...ermmm..



Bandar mereka bersih, susah untuk berjumpa sampah di atas jalan. Tetapi tandas di negara China amnya tidak bersih. Tiada air juga kertas tisu...aaahhhhh...bercinta rasanya untuk aku ke tandas-tandas awam.



Penduduk Ningxia peramah dan mengalu-alukan kehadiran pelancong. Di suatu malam kami bersiar-siar dan melalui kawasan gerai-gerai makan di tepi jalan. Peniaga-peniaga tersebut memanggil-manggil kami untuk bergambar...hahaaaaa 'glamour' kami di sana.



Berada di bumi Ningxia selama seminggu merapatkan lagi hubungan kami sesama Muslim. Misi kami selesai dan mereka yang mewakili kerajaan autonomi Ningxia berharap agar jalinan kerjasama dapat diteruskan lagi bagi membangunkan industri halal di sana.



Tiba hari untuk meninggalkan bumi Ningxia. Sedang kami beratur panjang di kaunter imigresen, kami ditegur oleh dua orang berbangsa Cina Malaysia berusia separuh abad, rancak kami berbual. Datang ke Shanghai mengikut ejen pelancongan secara berkumpulan tetapi mereka berdua ingin memendekkan percutian. Tanyaku kenapa? Mereka sudah merindui makanan Malaysia seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik! Haaaahhh...jatidiri negara China sudah semakin pupus ditelan generasi demi generasi.












Kami berlepas dari Ningxia ke Shanghai dan menaiki pesawat MH 389 untuk meneruskan akhiran kembara di bumi Malaysia bersama sejuta rasa Orient. Xiexie!



Travelog: Shanghai/Ningxia/Yinchuan 26 Mac 2015

Sunday 15 March 2015

Dunia Retro

Haaa...korang yang kat luar tu terutama gen Y, pernah tengok tak koleksi barang-barang lama? Bukanlah antik sangat tapi agak susah nak jumpa barangan tu di zaman siber ni.

Ok...cer skrol kat bawah tu. Tu namanya 'Mini Compo'. Memang top di tahun 80an. Bagi pekerja kilang dan 'minah karan' yang bekerja shif malam, 'mini compo' ni menjadi peneman di waktu bekerja. Di setiap seksyen pasti ada sebuah 'mini compo' yang dipasang kuat-kuat bagi menghidupkan kerja malam mereka.


Mat-mat lepak di jalanan memang takleh berenggang ngan 'menatang' ni. Di letak di bahu ke hulu ke hilir sambil pasang lagu dari 'cassette'. Tahun 80an dimeriahkan dengan tarian 'breakdance'. Berkumpul la mereka di jalanan sambil berhibur dan menari.


Ok bro and sis. Kita beralih ke peralatan lain. Cer perati betul-betul amende tu. Buatan tahun 60an. Fungsinya untuk memasak, membakar biskut juga pembakar roti. Tengok la betapa klasiknya dapur tu



Nak bakar roti? Letakkan roti di bahagian atas dan nyalakan api. Kita kena kawal secara manual setakat mana garingnya roti yang kita nak. Bukan setakat roti, nak buat ayam panggangpun boleh.


Nak memasak, ada tiga tungku yang tersedia...takde masalah. Nak bakar biskut? Cer tengok kat bahagian bawah tu...ada pintu. Kat situlah kita boleh bakar biskut. Ada tiga aras untuk meletak dulang biskut.


Ok...'last' skalik. Tau tak ape kebendenya tu? Itu la 'bekas abu rokok' atau 'ash tray'. Memang retro la kannnnn. Tengok la lagi gambar-gambar kat bawah tu ye.






Ok gang...abis citer. Tau tak kenapa 3 barang tu je yang aku 'share' ngan korang?

Sebab 3 barang tu masih ade di rumah mak aku...dan ketiga-tiga barang tu masih boleh berfungsi sampai hari ini!!!

Aku membesar dengan barang-barang tu. Arwah bapak aku dulu perokok...itu la bekas abu rokok yang arwah gunakan.

'Mini Compo' tu masih boleh memain lagu dari radio. Pemain kaset memang tak pernah main la...sebab mana nak dapat lagi kaset sekarang ni.

Sebelum aku berundur...maaf la sebab guna 'bahasa pasar'. Bukan apa, saje tukar 'mode'. Heheee

Wednesday 11 March 2015

Carik-carik Bulu Ayam

Alhamdulillah...pergeseran yang berlaku di antara dua orang selebriti agama telah menemui jalan penyelesaian. Solusinya berlaku dengan amat berhemah. Mereka mengenepikan kepentingan peribadi...meletak martabat syariat mengatasi segala.

Dr Asri mengambil inisiatif melebar jemputan minum petang kepada Datuk Kazim. Jemputan disambut segera tanpa beralasan.

Ukhuwah tidak berhenti di situ. Hari ini mereka bertemu lagi di dalam rancangan TV Al Hijrah di dalam slot 'Diskusi Pentas Dakwah' bertajuk 'Carik-carik bulu ayam'.

Mereka tidak berlengah dalam menyelesai kemelut peribadi. Masing-masing tetap mempunyai prinsip hidup tetapi dilonggarkan sedikit demi penyatuan umat.

Cuba fikir...apa berlaku sekiranya jawab-menjawab menerusi media massa berlarutan. Masing-masing mengatur sidang media untuk menegak pendirian tanpa mahu bertemu menjernih keadaan.

Mereka ramai pengikut dan peminat...bakal berlaku kewujudan dua kumpulan penyokong yang fanatik mempertahan ikon masing-masing. Kesyumulan Islam dicemari dengan keretakan hubungan sesama Muslim.

Alhamdulillah...gerhana dapat dielak berkat kebijaksanaan dua figura Islam ini...menatijahkan 'keyboard warrior' menggigit jari!

Inilah Islam.

Monday 9 March 2015

Saingan Astro

Hhmmm...desas-desus mengatakan Astro bakal mendapat saingan baru. Siaran TV bertaraf digital HD percuma didatangkan dengan 45 siaran berdefinisi tinggi (HD) dan 15 siaran definisi standard (SD). Pengguna hanya perlu membeli dekoder bernilai RM200 yang dibekalkan oleh MYTV untuk mendapat siaran percuma tersebut.

Projek Angkasapuri Media City itu merupakan transformasi stesen kerajaan yang mana siaran RTM akan disiarkan kembali dalam format Penyiaran Televisyen Terrestrial Digital (DTTB).

Teruja pula aku mendengarnya. Teruja kerana stesen Astro sudah ada persaingan. Selama ini Astro mendominasi rangkaian TV berbayar di Malaysia. Tanpa saingan bermakna mereka bebas menaikkan harga.

Tidak dinafikan banyak rancangan-rancangan berkualiti memenuhi ruang angkasa Astro (rujuk artikel 'Melayu Suka Melatah' bertarikh 24 Feb 2015), tetapi adalah lebih baik untuk mewujudkan saingan sihat untuk mereka sama-sama memenangi hati pelanggan...itu lebih adil.

Diharap agar siaran TV baru itu bakal menghidangkan rancangan-rancangan berkualiti yang lebih berinformatif dan membina minda. 

Ingat...Astro sudah jauh ke hadapan dengan teknologi kawalan dekoder yang mesra pelanggan seperti 'recorder', 'reminder', 'booking', 'parental control', 'Astro On The Go' dan lain-lain lagi.

Aku bersifat fleksibel dalam membuat pilihan. Tanpa prejudis, aku akan menukar selera jika siaran TV baru benar-benar boleh mengatasi Astro atau setidak-tidaknya berada di kedudukan yang sama.

Kita nantikan kemunculannya....



Amokan Kubah Masjid Nabawi

Hari itu aku terima satu kiriman video yang memaparkan satu kejadian 'ajaib' di Masjid Nabawi, Madinah. Kubah Masjid yang asalnya berwarna hijau telah dicemari warna merah di bahagian atas kubah. Dikatakan bahawa itu tanda kemarahan Nabi. Versi lain mengatakan telah tiba hari kemunculan Imam Mahdi. Banyak lagi andaian-andaian lain ke atas viral video tersebut.



Nak tau apa perkara sebenar yang berlaku? Setelah diselidiki, sebenarnya cahaya merah tersebut berpunca dari pantulan cahaya lampu merah yang terletak berdekatan kubah Masjid Nabawi. Lampu merah tersebut sudah lama tidak digunakan yang mana dahulu kegunaannya adalah bertujuan memberi isyarat masuknya waktu maghrib dan waktu berbuka puasa di bulan Ramadhan.

Lampu merah tersebut dinyalakan semula atas arahan pihak atasan masjid.

Lihatlah betapa umat Islam di akhir zaman ini begitu teruja dengan segala yang pelik dan ajaib. Cepat sahaja ingin menjadi orang pertama yang menyebarkan keajaiban yang tertera di hadapan mata.

Sedih melihat keadaan mereka. Mereka terlupa dan tidak terarah kepada 'keajaiban hati' untuk melawan fitnah dunia dan segala pembohongannya.

Benarlah Hadis Nabi bahawa umat Islam di akhir zaman jumlahnya ramai tetapi tidak lebih dari hanya sebagai buih-buih di lautan yang hanyut mengikuti tujahan ombak ke kiri dan kanan.

Inilah mentaliti umat akhir zaman!

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu". (Al Hujurat:6)

Sunday 8 March 2015

Dr Asri vs Datuk Kazim

Dunia dakwah hangat lagi...hangat bersama perbezaan pandangan dua orang agamawan selebriti. Berpunca dari pejabat Mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin yang melarang jemputan ceramah Forum Perdana kepada Datuk Kazim Elias bersempena hari keputeraan Raja Perlis.

Surat larangan tertutup tersebut entah macam mana telah terlepas ke gelanggang siber berstatus 'viral' dari mereka yang kurang amanah.

Apa isunya? Dr Asri mendakwa Datuk Kazim banyak memapar hadis palsu di dalam ceramah-ceramah beliau. Yang terkini berkenaan Nabi melangsungkan perkahwinan paling mahal hanya dengan hidangan roti jala dan kuah kari.

Aku banyak membaca artikel Dr Asri tidak kurang mengikuti rancangan Datuk Kazim 'Kalau Dah Jodoh'. Mereka adalah dua figura yang berbeza karekter.

Dr Asri seorang yang tegas dengan amalan sunnah dan menentang keras sebarang cerita-cerita karut yang tiada Nas untuk dijadikan bahan ceramah. Beliau amat mementingkan fakta dalam berhujah. Perkara mistik tidak pernah ada di dalam minda. Ceramah beliau tiada unsur lelucon...hanya fakta sahih. Berpadananlah dengan status beliau sebagai Mufti Negeri.

Datuk Kazim pula berperibadi santai dan relaks. Beliau dekat dengan masyarakat bersama persekitaran kampung dan kehidupan suami isteri juga keluarga. Ceramah beliau mencuit hati dan senang diterima audien. Sindiran dalam tawa membuat ada yang tersipu malu dek terkena ke batang hidung sendiri.

Menurut Datuk Kazim, isu roti jala dan kuah kari hanyalah kiasan untuk masyarakat lebih faham tentang pembaziran yang berlaku di dalam majlis-majlis kenduri. 

Ya...bagi aku, sebagai selebriti yang dekat dengan masyarakat, maka tidak hairanlah beliau sering menggunakan method metafora di sekitar kehidupan dalam menyampaikan mesej.

Itulah dua panglima Islam yang berjuang menurut kapasiti dan acuan masing-masing. Asas dan 'fundamental' mereka tetap sama...bagi memartabatkan Islam untuk diterapkan di dalam kehidupan.

Justeru, siapa kita untuk memihak dan mencemuh mereka. Mereka tidak membawa ajaran sesat. Mereka tidak menyokong IS. Mereka menentang segala khurafat dan pembohongan di dalam Islam.

Biarlah mereka selesaikan isu peribadi tanpa gangguan pihak ketiga...ditakuti makin berkecamuk nanti jadinya.

Aku tetap berlapang dada menerima segala khilaf mereka melainkan jika Datuk Kazim sendiri mengatakan bahawa memang Rasulullah makan roti jala berkuah kari!!!



Friday 6 March 2015

Berapa Peratus Untuk Suami?

Saya percaya kita semua pernah membaca kisah dongeng Inggeris Cinderella bersama seorang ahli sihir perempuan yang terlalu obses dengan kecantikan. Setiap hari beliau akan bertanya kepada cermin ajaib mengenai siapa wanita yang paling cantik pernah wujud di zamannya. Setiap kali itu jugalah cermin akan memberi jawapan yang sama iaitu ahli sihirlah wanita yang paling cantik tanpa ada saingan lain. Giranglah hatinya. Sehinggalah pada suatu hari jawapan cermin ajaib amat memeranjatkan bahawa kecantikannya telah diatasi oleh seorang gadis bernama Cinderella.

Tinggalkan sahaja cerita dongeng itu. Mengapa manusia suka malahan obses kepada kecantikan? Ya...Memang itu lumrah Allah jadikan manusia. Sehingga ada yang sanggup menempuh sakit pembedahan muka demi mendapatkan wajah yang sempurna dari segenap sudut.

Cantik tanpa pengawalan syari'at, bakal memudaratkan empunya diri. Contoh wanita bersama peragaan pakaian dan penampilan diri yang hanya untuk berbangga-bangga dan menarik perhatian sekeliling. 

Wanita yang sudah berkahwin, mengguna frasa standard dalam menghalalkan penonjolan diri..."saya melawapun bukan untuk orang lain, untuk abang jugakan. Kalau orang pujipun, abang juga boleh tumpang bangga". Oohh...betul ke? jadinya, bergaya cantik untuk mengharap pujian sekeliling. Jikapun bergaya untuk suami, mengapa melaram hanya di luar rumah? Bila di rumah bersama suami, berbaju kelawar sahajalah kegemarannya..hilang segala haruman dan bauan..ermmm.

Apatah lagi bila beristerikan artis dan selebriti...kerjaya yang memerlukan penampilan diri yang sentiasa anggun dan bergaya. Hidup berteman lensa kamera sepanjang masa. Kekadang tak ketemu suami selama beberapa hari kerana terlibat dengan penggambaran di luar daerah.

Betulkah frasa bahawa wanita 'melaram hanya untuk suami?' Jika benar...berapa peratuskah agaknya kecantikan isteri diberi kepada suami? Jadi tidak hairanlah jika rumahtangga artis juga wanita-wanita yang suka melaram banyak yang kecundang di tengah, di tepi juga di persimpangan jalan. 

Tak salah untuk menjadi cantik bergaya tetapi yang salah adalah cantik yang tak kena gaya. Maksudnya, cantik dan susuk tubuh diri ditelanjangi bebas oleh mata-mata luar untuk menatapnya!

Bahagian suami hanyalah 10% lebihan...hurrmmmm!