Translate

Thursday 31 July 2014

Meletak Syari'at Di Tempatnya

Syawal sudah menapak hari ke 4. Di dalam waktu-waktu begini ramai yang sudah memulai puasa sunat yang besar fadhilatnya...seolah-olah berpuasa setahun pahalanya. Itulah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal.

Puasa 6 Syawal boleh dilaksanakan seawal 2 Syawal hinggalah ke penghabisan bulan Syawal...lama tempohnya. Bermakna tak perlulah terkejar-kejar sehingga mengkesampingkan hubungan sesama manusia.

Apa maksud 'mengkesampingkan hubungan sesama manusia?'

Berlaku di hari raya ke 3, kami sekeluarga pergi beraya dan bertembung dengan sebuah keluarga yang lain di rumah ibu saudara.

Sedang kami makan-makan, tertinggal salah seorang jemputan hanya duduk di ruang tamu. Terdengar suara tuan rumah menjemputnya duduk di meja makan untuk menjamah hidangan. Dia menolak dengan mengatakan dia sedang berpuasa.

Di dalam siri kunjung mengunjung beraya ke rumah-rumah yang lain, kami masih bertembung dengan keluarga tersebut dan tetaplah dia berkeadaan begitu...hanya duduk di ruang tamu.

Oohhh...puasa yang kita amalkan itu sangat bagus dan memang sangat-sangat dituntut syari'at. Tetapi yang kurang baik apabila kita mendahulukan tuntutan sunat apabila berhadapan dengan urusan makhluk.

Cuba letak diri kita sebagai tuan rumah. Kita sudah membuat persiapan jamuan...alih-alih ada yang tak menjamah makanan dengan alasan berpuasa. Perlakuan kita itu agak sedikit tidak beradab dalam protokol berkunjung ke rumah di dalam 'mode' beraya.

Perspektif aku lebih ke arah silaturrahim sesama manusia. Manusia ada hati dan perasaan. Ada yang berasa sensitif bila makanan yang disediakan tidak dijamah...ini yang harus dijaga.

Untuk apa kita mengunjungi saudara-mara dan handai taulan? Pastinya untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim. Tetapi apabila kita gagal meletakkan syari'at di tempat yang sewajarnya, dikhuatiri kita gagal memikul tanggungjawab 'hablum minannas'. 

Puasa kita sudah diketahui ramai. Takut pula rasa berbangga-bangga dengan puasa wujud dalam diri. Ye laaa...konon diri kita kuat menahan nafsu di kala kita mampu makan dan minum di hari raya.

Berpuasalah di hari-hari biasa (hari bekerja contohnya) dan raikanlah tuan rumah apabila pergi beraya. Itu lebih menepati syari'at.

Melainkan Syawal hanya berbaki 6 hari dan kita belum memulakan puasa. Haaa...waktu tu buatlah selamba berpuasa ye. Harap-harap tuan rumah faham.

Friday 25 July 2014

Salam Eidul Fitri...Luahanku

Alhamdulillah...aku masih diberi kesempatan dan kekuatan untuk mengharungi Ramadhan hingga ke titik akhir pengundurannya. Ramadhan  bakal menghilang diganti dengan Syawal...hari kemenangan. Kemenangan hanyalah bagi mereka yang berpuasa ikhlas kerana Allah. Kemenangan juga adalah bagi mereka yang berjaya merebut anugerah Malam al Qadar.

Ya...aku berhak berasa riang dan girang kerana berkesempatan memeluk Ramadhan hingga ke akhirnya. Aku harus ceria kerana aku ada keluarga yang ramai dan semuanya bersatu untuk merayakan hari kemenangan ini. Aku patut rasa selesa kerana kehidupan ala kadar yang aku bentuk lebih mendamaikan jiwa.

Tetapi keriangan Hari Raya sudah berakhir sebenarnya bagiku. Di usia kemuncak kematangan ini, perasaanku lebih memihak kepada persiapan diri dan keluarga dalam persediaan menuju ke alam "sam'iyat". Itu lebih menyukarkan sebenarnya. Memikirkan keadaan itu lebih membuat aku terbantut untuk berasa riang, girang, ceria dan selesa.

Justeru, aku berbisik pada hati...raikanlah hari kemenangan dengan ala kadar dan berpada-pada. Ikutlah kehendak syari'at, bukan nafsu. Kunjungilah saudara-mara dan sahabat handai dan terapkan syari'at dalam bersosial. Jangan dibiar tangan-tangan bukan mahram melepasi hadnya untuk menyapa tanganku. Akan aku usahakan agar keadaan sekitar tidak mempengaruhiku. 

Letakkan syari'at di atas segala keperluan hidup. Aku ingin hidup tenang bersama syari'at itu. Ya, keadaan itu lebih mendamai jiwa dan mententeramkan hati. 

Wahai diriku...inilah indikator samada tarbiah Ramadhan berjaya aku kecapi. Aku tidak mahu leka bersama Eidul Fitri dalam situasi aku gagal sebenarnya membentuk akhlak diri di sepanjang kursus Ramadhan...malu rasanya!

**Tiba-tiba mindaku tergambarkan situasi Hari Raya di GAZA. Bertanya pula aku pada diri...layakkah aku merayakannya dikala takbir raya mereka terganggu dengan bedilan bom dan peluru?
SELAMAT MENYAMBUT 1 SYAWAL, SELAMAT MENYAMBUT EIDUL FITRI...minal 'aidin wal faizin (semoga kita semua tergolong bersama mereka yang kembali ke fitrah dan berjaya dalam latihan menahan diri).



Surat Dari Kekasih

Assalamu'alaikum awak...

Saya rindu kat awak. Setiap kali awak tidur, saya harap awak akan terbangun dan menyapa saya. Saya sunyi berseorangan. Tapi awak macam acuh tak acuh je kat saya...saya hampa. Saya cuba juga melihat kekurangan diri tapi bila saya rasa saya adalah anugerah Allah yang terbaik kepada awak, maka rasanya awak pasti bahagia bila bersama saya.

Entahlah wak, tak tahu bila hati awak akan terbuka untuk menerima saya dalam hidup awak. Nampaknya saya hanya menanti dan terus setia menanti...sampai berakhirnya dunia ini. Agaknya waktu itu baru awak rasa menyesal kerana awak tak ambil peluang di atas kesetiaan saya menunggu awak.

Kekadang saya hairan...tak cukup cantikkah saya di mata awak? Takpe lah wak...saya tak boleh paksa awak untuk terima saya dalam hidup awak. Jika tilam, bantal dan selimut yang lebih membahagiakan awak...terpulanglah.

Awak...saya nak balik dah. Saya akan pergi jauh dari hidup awak. Jika panjang umur, Insyaallah saya akan terus memujuk awak untuk bersama saya. Tahun hadapan Insyaallah saya datang lagi ye wak. Itupun jika awak sudi menyunting saya. Jaga diri baik-baik. Assalamu'alaikum.

Yang setia menanti,
Lailatul Qadr


Thursday 24 July 2014

Oh MAS...

Setiap hari berulang-alik ke tempat kerja serasa menikmati pemandangan biasa dengan laluan pesawat yang pelbagai melintasi ruang udara KLIA. Seronok rasa bila jentera berat yang melangkaui panjang 10 meter melintas di atas kepala untuk mendarat di KLIA. Kekadang aku terleka mendongak ke langit sehingga terlupa bahawa aku sedang memandu di atas jalanraya yang penuh berisiko.

Pagi itu entah tiba-tiba, di rutin pemanduan biasa ke KLIA...hati terasa sayu dan penuh emosi bila aku melihat laluan pesawat MAS di ruang udara. Sayup-sayup pesawat kebanggaan Malaysia berlepas dan menghilang di celahan awan biru. Kuharamkan mata ini berkelip bagi melihat kelibat pesawat hingga hilang di pandangan mata. Rinduku pada pesawat itu seakan tidak tertahan.

Mana tahu...itu rakaman terakhir yang sempat anak mataku mengekorinya. 

Mana tahu, bila bangun pagi aku akan dikejutkan lagi dengan berita nahas udara membabitkan pesawat yang aku lihat semalam. 

Mana tahu...

Aku membesar di persekitaran penerbangan Malaysia. Jiwaku terdidik dengan segala prosedur dan SOP penerbangan. Jerih perih yang aku lalui bersama MAS mendewasakan pemikiranku untuk menjadi seorang yang betah menanti cabaran getir.

Jadi, harus emosi sentimental itu aku rasai di kala itu.

Oh MAS...bangunlah dari segala kekalutan dan kepincangan dalaman agar anak mataku ceria mengekori pesawatmu terbang megah di angkasa hilang ditelan awan biru...kerana, aku tidak mampu mendengar kehilangan namamu buat selama-lamanya!

Kau kebanggan kami...



GAZA Dan Airmata

Bumi Palestin dibedil lagi. Menterjemah betapa rakus nafsu Israel untuk merampas tanah hak milik penduduk Islam. Bumi Palestin adalah bumi para anbiya. Ramai para Nabi dan Rasul telah dilahir dan diwafatkan di sana termasuk Nabi Ibrahim, Lut, Daud, Sulaiman, Musa dan Nabi Isa. Semasa Nabi Daud dan Nabi Sulaiman mentadbir negara Islam di Palestin berdasar hukum Allah SWT, keturunan mereka telah menyimpang dari jalan kebenaran serta membantah hukum Allah. Mereka telah dihukum oleh Allah termasuk dihalau dari bumi Palestin. Ini semua diceritakan di dalam Bible dan al Quran.


Baitulmaqdis di Palestin merupakan masjid kedua dibina selepas Masjidil Haram di Mekah. Solat di dalamnya bersamaan 500 kali solat di tempat lain. Di Baitulmaqdis juga berlaku peristiwa agung Isra' Mi'raj Rasulullah SAW yang mana ianya merupakan tempat transit Rasulullah sebelum meneruskan perjalanan naik ke langit mengadap Allah.

Di mana kiblat pertama umat Islam? Baitulmaqdis adalah jawapannya. Ini semua yang dicemburui oleh bangsa Yahudi. Mereka juga tidak senang dengan perlantikan Muhammad sebagai Nabi akhir zaman. Mereka mengharapkan Nabi tersebut dilantik di kalangan bangsa mereka yang dianggap mulia berbanding bangsa lain di dunia.

Hari ini masuk hari ke 17 serangan tentera Israel tetapi masih tiada terdapat tanda-tanda untuk mereka menawan Gaza. Serangan mereka memang ditujukan kepada orang-orang awam terutama wanita dan kanak-kanak kerana mereka ingin menghapuskan keturunan yang tidak putus-putus berperang mempertahankan bumi Palestin. Mereka sudah letih sebenarnya kerana pejuang Palestin berjuang untuk syahid sementara mereka pula berperang untuk merampas hak.

Mengapa pejuang Palestin menutup muka dan hanya menampakkan bahagian mata sahaja? Kerana untuk 'syahid', mereka perlu bebas dari rasa riya' dan takbur dalam berjuang!!!



Banyak kejutan-kejutan yang dilakukan oleh pejuang-pejuang Allah termasuklah:-

Kemampuan skuad Komando Amfibia al Qassam masuk ke wilayah terjajah Israel dan berperang secara terbuka dengan IDF sehingga berjaya membunuh beberapa tentera IDF dan mencolek seorang dari anggotanya.

Jika dahulu roket M-75 al Qassam berjaya sampai sehingga 70-75 km ke wilayah terjajah Israel, kini roket R-160 pula telah berjaya sampai ke Halifa yang merupakan bandar Israel yang paling utara. Ini bererti tiada lagi tempat yang selamat untuk mereka melainkan dengan cabut lari ke negara lain.

Briged al Qassam melakukan kejutan lagi setelah mampu melancarkan 3 jenis Drone iaitu:

Drone Abaabeel 1a - untuk mengintip
Drone Abaabeel 1b - untuk menembak
Drone Abaabeel 1c - untuk menyerang



Briged al Qassam baru-baru ini telah berjaya menggodam sistem media TV Israel dan lapangan terbang Ben Gurion sehingga mengejutkan keseluruhan masyarakat penjajah.

Al Qassam telah bertekad akan meneruskan perjuangan sehingga rejim Zionis dan sekutu antarabangsanya memenuhi syarat-syarat yang tertentu atau mereka mesti bersedia dengan beberapa kejutan lain. Subhanallah...

Selain dari bantuan kewangan dan peralatan yang disumbangkan buat mereka, kita juga boleh bekalkan senjata untuk pejuang-pejuang Palestin...DOA! Biarkan DOA kita menjadi penyebab untuk Allah turunkan tentera-tentera langit sepertimana yang berlaku dalam perang Badar.


Cuba kita telusuri kisah di sekitar perang Badar:-

Rasulullah SAW berdoa bercucuran airmata untuk meminta bantuan Allah SWT kerana inilah permulaan Islam bakal berkembang atau jika Islam tewas, kemungkinan agama Islam akan terkubur mati. Allah kabulkan permintaan Rasulullah dengan menghantar tentera berpakaian serba hijau iaitu para Malaikat. Ini diakui sendiri oleh Rasulullah dan para Sahabat.

Rasulullah SAW ketika meniup api semangat ke dalam jiwa 313 orang tentera Islam menyeru: "Kaum Musliminpun bertempur hebat dibantu oleh para Malaikat".

Catatan Hadis menyebut Ibnu Ishhaq berkata, ketika salah seorang tentera kaum Muslimin mengejar seorang tentera Musyrikin yang berada di depannya, tiba-tiba dia mendengar suara hencutan cambuk dan suara penunggang kuda yang berkata, "Terus maju wahai Haizum" (nama kuda tunggangan Malaikat Jibril as). Lalu dia menyaksikan orang musyrik yang ada di depannya sudah tersembab ke tanah dengan wajah yang hancur. 

Gambar hiasan

Seorang dari kaum Ansar yang melihat kejadian tersebut menceritakan kepada Rasulullah SAW lalu Baginda bersabda, "Engkau benar, itulah pertolongan dari langit yang ketiga".

Dalam riwayat lain pula Ibnu Sa'ad menyebutkan dari Ikrimah, "Pada hari itu (perang Badar) ada kepala orang Quraisy yang gugur tanpa diketahui siapa yang memenggalnya dan ada tangan yang terpelanting tanpa diketahui siapa yang mencantasnya".

Abu Dawud al-Mazini berkata, "Aku sedang mengejar seorang tentera Musyrikin pada masa itu, tiba-tiba kepalanya sudah ditebas sebelum aku menghayunkan pedangku. Aku yakin ada orang lain yang membunuhnya terlebih dahulu".

Lalu seorang Ansar datang membawa tawanan bernama al-Abbas bin Abdul Muthallib. Al-Abbas berkata, "Demi Allah bukan orang ini yang tadi menawanku. Tadi aku ditawan oleh seorang lelaki tinggi yang berwajah tampan dengan menunggang seekor kuda yang gagah. Dan aku tidak pernah melihat dia di tengah-tengah mereka ini".

Gambar hiasan

Subhanallah...berdoalah untuk saudara kita agar terbuka hijab untuk mereka mendapat bantuan Allah.

Takbir...Allahu Akbar!!!


Tuesday 22 July 2014

Sepi Itu Indah

Hari ini kami menerima kunjungan penceramah untuk slot Ceramah Ramadhan di syarikatku. Penceramahnya sangat dekat di hatiku. Dia tak 'glamour' juga bukan popular. Tetapi ada satu keistimewaan yang tersimpan dan terhijab dari pandangan manusia. Kata-katanya amat menyentuh hati yang mendengar. Gerak lakunya bersahaja dan tonasi penceritaannya dimainkan bagai alunan lagu simfoni yang mengasyikkan.

Penampilannya menarik...berbaju Raihan, berseluar hitam, bersongkok putih dan berkasut hitam...bersesuaian dengan imej Islam kontemporari yang ditonjolkannya.

Kami pernah berkolaborasi menjayakan Kem Khemah Ibadah untuk kakitangan. Dari situ bermula aku mencemburuinya dalam diam. Ya...cemburu dengan anugerah Allah kepadanya...itulah nikmat pemberian Pencipta kepada hamba yang ikhlas berdakwah.

Ustaz Sabri Abd Rani...pernah aku berkongsi ceritanya di blog bertajuk 'BILA HATI IBU MENANGIS'. Cerita tersebut mendapat kedudukan ke 3 paling popular bacaannya.

Hari ini beliau datang lagi dengan kisah 'SEPI ITU INDAH'. Beliau memberi tips bagaimana untuk menggapai malam al Qadar di 10 malam terakhir Ramadhan. Dikala sepi adalah waktu yang sesuai untuk kita mengadu kepadaNYA. Kata Saidina Abu Bakar, 'makin kamu menyepi, makin terbuka pintu hati'.

Dalam menempuh Ramadhan, dianalogikan di dalam satu pertandingan larian 400 meter. Mereka yang memecut awal bakal letih di pertengahan berbanding dengan mereka yang konsisten momentumnya dan memecut di 100 meter terakhir sehingga ke garisan penamat.

Ini yang berlaku kepada kita. Seawal Ramadhan, habis segala sudut surau dan masjid dipenuhi insan-insan yang memecut mengejar rahmat. Di pertengahan mereka mula rasa letih di atas pecutan awal. Rumah-rumah Allah mula kelihatan lapang dan luas. Di akhirnya mereka tewas dan yang tinggal hanya bilangan saf yang merudum.

Cerita Ustaz disambung kepada amalan meminta maaf dengan method yang sesuai. Disebut kisah bersama ibu, ayah dan anak-anaknya. Beliau sendiri pergi mendapatkan isteri dan anak-anak untuk ungkapan maaf. Beliau ketepikan segala perasaan ego. 

Anak lelakinya bakal menapak keluar dari rumah dalam melayari hidup baru berumahtangga. Ustaz Sabri merasakan bahawa inilah masa yang sesuai untuk beliau memaaf dan dimaafi.

Ustaz bercakap santai untuk anaknya meluah segala rasa ketidakpuasan hati. Rupanya peristiwa 17 tahun lalu baharu sahaja dilepaskan peledaknya. Berlaku di mana sewaktu hendak berbuka puasa, anaknya tidak mampu menunggu lama sebaik sahaja azan berkumandang. Nasi yang disuap belum sampai ke mulut habis bertabur jatuh ditepis oleh Ustaz kerana ritual doa berbuka puasa belum dibaca.

Anaknya berasa malu diperlakukan begitu di hadapan adik-beradik yang lain. Malunya bukan kepalang disimpan sehingga dewasa. Ustaz terpempan dengan luahan tersebut. Tak sangka perkara kecil baginya menghiris luka di hati anaknya. Buat pertama kali mereka anak-beranak berpelukan erat melerai segala kusut yang terpendam.

Hati hadirin mula tersentuh dengan cerita yang dikongsi. Rakan di sebelahku mula menyeka mata beberapa kali menahan lelehan air jernih. Tiba-tiba kederangan suara tangis raung di bahagian muslimah...amat tersentuh!!! Berkemungkinan ada kaitan cerita yang buat mereka tersentuh.

Itulah Ustaz Sabri yang aku kenal...terimakasih Ustaz.


Ustaz Sabri Abd Rani

Sunday 20 July 2014

Mengkorporatkan Imej Islam

Di syarikatku, sering kami mengadakan majlis-majlis agama bagi pengisian rohani kepada kakitangan. Solat berjemaah, bacaan Yaasiin, tahlil dan doa selamat di setiap bulan juga ceramah-ceramah agama memang menjadi rutin yang telah dibajetkan oleh pihak pengurusan. Alhamdulillah...aku rasa bersyukur menjadi warga kerja di syarikat ini...professional berciri Islamik.

Topik yang ingin aku kupas adalah berkenaan penceramah-penceramah yang diundang untuk mengisi slot-slot ceramah. Mereka memang pakar di dalam bidang mereka...jarang yang mengecewakan. Penyampaian dan kupasan tajuk yang kami beri dapat diimplementasi dengan baik oleh mereka.

Di dalam slot ceramah, pandai pula mereka berjenaka bagi menghidupkan suasana. Inilah method yang baik bila bersama masyarakat biasa. Jangan terlalu serius, tidak pula terlalu santai hingga tersasar dari tajuk utama.

Tetapi ada satu perkara yang kelihatannya tidak 'mesra' di pandangan mataku. Bila menyentuh bab pakaian dan penampilan, nampak tidak seimbang dengan suasana dan persekitaran. Tak salahpun mereka berjubah juga berselipar. Tetapi apabila lokasi ceramah bertempat di Dewan Perdana dan dihadiri oleh CEO, aku lebih suka mencadangkan agar mereka berpenampilan lebih professional. Lainlah jika ceramah bertaraf surau dan masjid...nak pakai baju Melayu, berkain pelikat dan berselipar pun rasa tak kisah.

Tetapi bila melangkah ke syarikat korporat, penampilan kemas harus ditonjolkan oleh para penceramah...berkasut, berseluar dan berbaju Raihan atau kemeja juga berbaju Melayu sebagai contoh. Tidak hilang ilmu agama untuk mereka berpakaian begitu.

Tunjukkanlah bahawa Islam itu boleh menelusuri apa jua persekitaran. Bak kata pepatah Melayu, "masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembek". Penceramah bukan hanya datang dengan ilmu agama, tetapi mereka juga mesti melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu duniawi yang lain seperti ilmu protokol majlis, ilmu bersosial bersama masyarakat, ilmu penampilan diri (grooming) dan lain-lain percambahan ilmu yang berkaitan.

Barulah nampak imej Islam kontemporari yang boleh diketengahkan di majlis-majlis korporat. Keadaan ini pastinya boleh merubah persepsi pihak pengurusan dan menarik lagi minat mereka untuk mendekati penceramah-penceramah yang nampak 'pro' itu.

Aku menulis atas kapasiti komen-komen dari pihak pengurusan.

Aku juga menulis atas satu nawaitu...agar da'i lebih dihormati terutamanya di kalangan mereka yang tinggi kedudukannya dalam sesebuah organisasi. Juga aku ingin Islam itu nampak 'gah' di mata dunia, bukan hanya menjadi juara kampung.



Kiki Dan Populariti

Isu 'pembuli jalanraya' nampaknya sudah semakin reda. Berita terkini Kiki sudahpun mewartakan ungkapan maafnya kepada Uncle Sim melalui siaran stesyen radio. Uncle Sim pula tidak akan membuat laporan polis kerana tidak mahu memanjangkan lagi sengketa. Tetapi Kiki bakal berhadapan dengan penyiasatan polis berkenaan sikap 'pembuli jalanraya' yang dipamerkan sewaktu insiden tempoh hari.

Tanganku pula tergait-gait untuk mengupas sesuatu menerusi analisa ringkas di sepanjang kejadian yang berlaku.

Kejadian yang pada mulanya aku anggap amat memalukan yang dipamer bangsa Melayu, sudah bertukar wajah kepada amat popular bertaraf selebriti. Kiki diundang oleh tidak kurang dari empat stesyen radio untuk berkongsi cerita.

Kiki juga tidak malu untuk mempamer pos istimewa tatapan masyarakat di atas kelancangan mulutnya. Terasa bangga pula berada di samping Aznil Hj Nawawi yang mewakili radio Era.

Segala kronologi kejadian sudah menjadi 'viral' di media sosial. Bermula dari insiden panas hinggalah berakhir kepada populariti tambahan.

Apa mesejnya? Anak-anak kita berada di dalam dunia ini. Mesej apa yang mereka terima?

Oohhhh...nak jadi popular macam ni caranya. Buat kecoh sana-sini, diikuti dengan kehadiran 'paparazzi' yang akan meng'upload' kejadian dan disebar ke laman sosial. Terima beribu komen dari pelayar-pelayar tegar dan.....AKU POPULAR!!!!!!!

Kalau buat beribu kebaikan, siapapun tak hairan. Tak ada siapa nak 'upload' peristiwa perlanggaran kereta yang berakhir dengan suasana harmoni. Tak ada siapa nak kisah bila kita bangun beri laluan kepada orang tua untuk duduk di bangku komuter. Tak ada siapa yang hairan bila kita menghormati sekuriti yang mengarahkan agar mengalihkan kenderaan dari kawasan tidak boleh memakir.

Tetapi yang 'upload', yang 'kisah' dan yang 'hairan' bila terserempak dengan kejadian-kejadian negatif yang terlihat di jalanan...isu panas dan boleh menempah popular!

Errmmm...teringat satu Hadis sabdaan Rasulullah SAW berkenaan akhir zaman yang hanya dihuni oleh mereka yang jahil dan banyak berbuat kerosakan.

Kita, anak-anak dan cucu-cicit kita berada di zaman tersebut...FIKIR!




Saturday 19 July 2014

MH 17...al Fatihah

Dunia dikejutkan lagi. Dunia bangun tersentak mendengar berita tragedi pesawat MH 17 yang terhempas di sempadan Russia. 

Dunia baru sahaja meratap tangis kehilangan misteri MH 370 yang ghaib tanpa sebarang jejak. Malaysia bagai diuji lagi dengan kemalangan pesawat yang mengorbankan 298 nyawa termasuk anak kapal.

Laporan mengatakan ruang udara Ukraine adalah laluan komersil dan selamat untuk penerbangan awam. Ini disahkan oleh International Civil Aviation Organisation (ICAO). Data rekod membuktikan bahawa banyak pesawat yang berulang-alik ke Eropah melalui laluan tersebut tanpa apa-apa amaran bahaya.

Tetapi pesawat Malaysia terpilih untuk ditembak jatuh dalam sekian banyak pesawat lain melalui ruang udara yang sama. Mengapa? Apakah itu hanya satu kebetulan atau memang telah dirancang?

Walau apapun teori dan fakta yang cuba dikumpul, aku tidak teragak-agak untuk cuba merungkai mesej yang datangnya dari Yang Maha Berkuasa.

Jelas, di setiap kejadian dan malapetaka tersimpan di sebaliknya mesej dari Allah. Apa mesejnya? 

SESIAPA YANG PERNAH MENAIKI PESAWAT MAS PASTI TEMUI JAWAPANNYA!

Al Fatihah buat penumpang Muslim dan salam takziah untuk keluarga kesemua penumpang.

Thursday 17 July 2014

Aku Malu Menjadi Melayu

Baru-baru ini berlaku satu insiden yang agak memeranjatkan rakyat Malaysia. Kisah perlanggaran kenderaan yang membabitkan seorang lelaki Cina yang sudah berusia dan seorang wanita Melayu. Hanya kemalangan kecil tetapi reaksi yang ditunjukkan amat memalukan.

Wanita Melayu yang menjadi mangsa digambarkan mengamuk sakan dan memangsakan pula lelaki tua dengan kata-kata kesat dengan aksi jeritan. Tidak cukup dengan itu, wanita tersebut mempamer aksi 'pembuli jalanraya' dengan menghentak-hentak kereta yang melanggarnya dengan pengunci stering kereta.

Bukan aksi wanita itu yang mahu aku ulas. Aku lebih cenderung dengan sikap tenang yang ditunjukkan oleh lelaki Cina walau keretanya berlubang diketuk dengan pengunci stering dan dihambur dengan kata-kata kesat berbaur rasis.

Setelah kejadian itu selesai, lelaki tersebut berkata bahawa dia tidak akan membuat laporan polis dan bersedia memaafkan wanita yang bagai hilang ingatan memarahinya.

Sikap tersebut sebenarnya yang dianjurkan Islam dan telah ditunjuki contoh oleh Rasulullah SAW. Tenang, sabar dan bersedia memaafkan.

Aku mula malu menjadi Melayu!!!



Wednesday 16 July 2014

Nak Boikot?

Umat Islam diganyang lagi...ironinya 'pengganyang' saudara-saudara kita itu dikelilingi oleh negara-negara Islam. Jadi nak salahkan siapa? Tak payahlah asyik nak tuding jari kepada Israel dan sekutu-sekutunya. Memang itulah spesis mereka..."pergi jahanam dengan kemanusiaan apabila membabitkan penganut-penganut Islam"...kata mereka. Yang salahnya umat Islam sendiri yang hanya berpeluk tubuh dan bersantai di depan tv melihat Islam diperkotak-katikkan.

Memalukan bila berlaku musibah angkara pihak kufar, kita mula sibuk nak boikot itu dan ini. Pulak tu nak boikot makanan yang dah sebati dengan selera kita. Jika betullah nak boikot, mengapa perlu bermusim? Jawapannya kerana nafsu makan kita terlalu kuat untuk diempang di kala keadaan reda.

Benci kita kepada pihak kufar sebenarnya tidak total. Ia mudah ditewaskan oleh nafsu sendiri..tak perlu syaitan menghasut, cukup dengan musuh dalam diri sendiri...nafsu!!!

Rasulullah sendiri mengajar kita untuk istiqamah dalam mengamalkan sesuatu yang baik walaupun tak seberapa amalannya. Aku tidak pernah menidakkan tindakan boikot produk-produk yang ada kaitan dengan Israel tetapi biarlah istiqamah.

Jangan hanya bertindak bila umat Islam tidak diadili, bila keadaan aman kita melepaskan nafsu seluas-luasnya kepada produk yang pernah kita boikot dahulu. Di mana praktikalnya tindakan bermusim ini?

Produk yang kononnya kita benci itu pula membabitkan pekerja-pekerja dan ekonomi Malaysia. Bayangkan ramai di kalangan ahli keluarga kita yang hilang mata pencarian di atas pemboikotan produk.

Ingin aku bertanya...sudahkah kita sahkan betul-betul bahawa syarikat tersebut ada menyalurkan bantuan kepada negara Israel atau hanya merujuk sumber-sumber dari media sosial? Setakat ini aku belum jumpa fakta rasmi dari kerajaan mahupun pihak-pihak yang berwibawa berkenaan syarikat-syarikat yang menyalurkan bantuan kepada zionis. Yang aku jumpa hanyalah tempelan-tempelan iklan boikot bermusim menunggu masa untuk diaktifkan semula.

Sebenarnya umat Islam sendiri gagal untuk menangani masalah pengeluaran produk dunia. Kita sendiri masih melutut mengharap produk-produk bukan Islam untuk memenuhkan usus dan perut setiap hari. Di mana negara-negara Islam yang kaya? Tiadakah usaha untuk mengeluarkan produk yang dihasilkan oleh tangan-tangan kita sendiri?

Selagi kebergantungan umat Islam terhadap produk luar masih utuh, jangan haraplah kita boleh jatuhkan ekonomi pihak kufar. Daripada boikot, eloklah kita cadangkan OIC duduk berunding menyelesaikan fardu kifayah untuk menangani isu ekonomi Islam. Keluarkan produk kita sendiri yang boleh menyalurkan makanan halal kepada 1.6 billion umat Islam di serata dunia.

Jika ini berlaku, pastinya pihak kufar berasa gerun kerana umat Islam mula mendominasi ekonomi dunia melalui penghasilan makanan. Mereka akan mula berfikir berkali-kali untuk menyentuh sensitiviti umat Islam apatah lagi untuk menyerang sewenang-wenangnya negara Islam yang lain. Kita boleh bersatu untuk pulaukan makanan mereka kerana kita ada bekalan sendiri. Ekonomi mereka akan runtuh dan mereka tidak dapat membeli senjata canggih untuk mengganyang umat Islam.

Pihak kufar berani bertindak liar kerana mereka tahu kita tiada pilihan. Kita masih memburu makanan mereka!

Bagi mereka yang nak boikot...pastikan implementasinya berjalan di sepanjang hayat atau kamu hanya akan ditertawakan oleh mereka yang menyuapmu!



Thursday 10 July 2014

Pengaruh Pakaian Di dalam Solat

Pakaian melambangkan peribadi seseorang. Melalui pakaian kita boleh menelah sikap dan sifat manusia sekeliling kerana cara berpakaian ditentukan oleh jiwa sendiri. Segala yang tidak kelihatan di jiwa akan diterjemah melalui pakaian sehari-hari.

Apa kaitan pakaian dan solat? Solat yang diiringi pakaian lengkap dan kemas mempunyai natijah yang amat besar kepada diri pemakainya.

Cuba kita buat satu simulasi cara berpakaian dalam solat.

Empat orang pemuda diandaikan mempunyai ilmu agama yang sama tarafnya. Mereka mengamalkan segala syari'at dan patuh pada arahan Allah. Tetapi mereka bersolat dalam kondisi yang berbeza-beza seperti di bawah:-

Pemuda A bersolat dengan hanya berseluar 3/4 menutup lutut dan berbaju pagoda.
Pemuda B memakai seluar panjang dan berbaju T.
Pemuda C memakai kain, berbaju Melayu dan berketayap.
Pemuda D berjubah, memakai serban dan haruman minyak atar.

Agak-agaknyalah, solat siapa yang lebih sempurna dan penuh yakin? Tentunya pemuda D yang merasai kesempurnaan solat di atas penampilannya yang kemas mengadap Allah. 

Pemuda A dan B bersolat seperti biasa kerana itu tanggungjawabnya. Pemuda C akan lebih merasa lengkap dalam menunaikan tanggungjawab solat. Manakala pemuda D pula akan lebih bersemangat, khusyuk dan terasa satu kepuasan dalam menunaikan tanggungjawab solat.

Kita tidak mempertikaikan sah solat bagi keempat-empat pemuda tersebut tetapi simulasi ini lebih kepada membuktikan bahawa pakaian memainkan peranan penting dalam menghadirkan jiwa mengingatiNYA. 'FEEL' solat itu lebih dirasai apabila kita memulakannya dengan kesempurnaan persiapan sebelum solat.

'FEEL' inilah yang akan menjiwai diri kita dalam kehidupan sehari-harian...bahawa Allah sentiasa hampir kepada kita! Hidup akan jadi lebih berdisiplin dan kita secara automatik akan mementingkan kekemasan walau di mana jua kita berada dan dalam apa jua kondisi.

Tak percaya? Cubalah...tapi jangan hanya cuba sehari dua dah nak lihat kesannya. Jadikan amalan berpakaian kemas sewaktu solat sepanjang masa. Insyaallah pengaruh dan kesannya bakal dilihat pada dirimu.



Wednesday 9 July 2014

Tenang Ada Di Sana

Dalam perjalanan balik dari pejabat, deria pendengaranku disapa oleh sebuah program USRAH radio IKIM. Terdapat tiga orang panel jemputan tetapi aku sedikit teruja dengan panel ketiga iaitu seorang selebriti yang baru berhijrah dengan pemakaian tudungnya...Neelofa.


Neelofa
Berubah dengan bertudung adalah perkara biasa bagi orang biasa. Tetapi apabila ia melibatkan selebriti, maka ianya dianggap sebagai sesuatu yang besar nilainya di sisi masyarakat Melayu kita. Iyelah...adat dan budaya Melayu sudah banyak menyimpang jika kita menyelusuri dunia artis. Pakaian seksi, berpegangan tangan dan berpelukan dalam lakonan sudah menjadi sebagai adat yang tak diundang di Malaysia. Pengarah-pengarah Muslim mengkesampingkan terus tuntutan syarak dalam skrip lakonan. 

Lantas bila ada artis yang sekian lama bergelumang dalam sisi gelap mahu berubah, maka kisah itu harus disensasikan demi menunjukkan hidayah Allah tidak terbatas untuk orang-orang tertentu sahaja.

Oooppss...kita berbalik kepada cerita selebriti Neelofa tadi. Beliau berkongsi pengalaman bagaimana hidayah mendatangi beliau.

Beliau cukup segala...berada di kemuncak kejayaan. Nama, kedudukan, kemahsyuran, populariti, limpahan harta dan wang ringgit...semua di dalam genggamannya. Tetapi dalam kemewahan dan kegemilangannya, beliau rasa kosong hidup...serasa ada yang kurang. Yang kurang itu pula bagai mengasak-ngasak jiwa beliau untuk mencarinya.

Rupa-rupanya segala yang beliau ada belum mampu menghadiahkan sebuah KETENANGAN. Rasa tenang hilang direnggut rakusnya dunia. Jiwa beliau tak tenang kerana terang-terangan melanggar perintah Allah dan Rasul...mempertontonkan jutaan helaian rambut bersama pakaian sendat dalam aksi-aksi keterlaluan.

Kemeriahan dunia tidak mampu menggapai tenang jiwa. Kisah ini juga berlaku kepada Yusuf Islam (Cat Stevens), Azmil Mustapha (Ali Setan) dan ramai selebriti-selebriti lain. Mereka berubah 360' sewaktu berada di puncak kemahsyuran. Mereka berbalik kepada fitrah manusia...menuju kepada segala yang baik.

Alhamdulillah kerana Neelofa berusaha mencari apa yang hilang. Pencariannya terjawab dengan hidayah Allah menusuk masuk ke jiwanya.

Itulah sunnatullah. Hukum Allah menentukan bahawa dunia yang dikejar akan lebih menjadikan diri kita rakus dan sibuk tak keruan. Hukum Allah jua menentukan jika yang teralpa terus-terusan mencari titik punca kemelut, maka sampai waktu dan ketikanya hidayah Allah bakal menyapa. 

Bak kata orang Negeri Sembilan "Tilam omeh banta suaso, mano samo bobanta longan" (tilam emas bantal suasa, mana nak sama tidur berbantal lengan). Tidur di atas lengan lebih nyaman dan selesa diiringi dengkuran, menunjukkan nikmat tidur lebih dirasai oleh orang biasa berbanding orang kaya yang tidurnya bertilam emas dan berbantal suasa tetapi terkebil-kebil mata mengharap tidur bertamu. Itu semua dek merisaukan harta menjadi kurang, berlaku kecurian, rompakan dan lain-lain. Hilang menjauh rasa tenang dalam diri.

Hanya yang merisaukanku bila yang bertudung tidak membawa bersama akhlak Muslim menurut syari'at. Mudah-mudahan mereka yang berhijrah mencari kebaikan, istiqamah dan bermujahadah dalam mempertahankan ikon Muslim yang sebenar.

Yang tenang itu adalah kembali kepadaNYA!


Cat Stevens


Saturday 5 July 2014

Al Kisah Yaasiin Bermula

Diceritakan bahawa seawal Islam tersebar ke Nusantara, pedagang-pedagang Arab ramai yang berminat menjalankan perniagaan ke negara Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu di waktu sama menyebarkan Islam. Masyarakat Melayu pula serasa tiada masalah untuk memeluk agama Islam dan meninggalkan agama nenek moyang mereka iaitu Hindu.

Faktor utama Islam cepat tersebar di Tanah Melayu ialah peranan Raja-raja Melayu. Masyarakat Melayu telah sebati dengan ketaatan kepada Raja tanpa sebarang alasan. Menderhaka bererti akan terkena daulat dan kehidupan menjadi tidak aman.

Bila Raja Melayu menerima Islam dari pedagang-pedagang Arab, maka rakyat tanpa berbelah bahagi terus meninggalkan agama Hindu atas ketaatan yang diceritakan tadi.

Pelbagai cara masyarakat Melayu mengimplementasi ritual Islam bagi disesuaikan dengan budaya Melayu itu sendiri.

Jika Hadis tidak menyebut berwirid dan zikir selepas solat, bangsa Melayu sendiri telah melaksanakannya selepas solat berjemaah atas tujuan mengajar. Imam sendiri akan menguatkan suaranya untuk diikuti jemaah yang lain. Ulamak menerima pakai method ini.

Di mana bermulanya surah Yaasiin yang begitu sinonim dengan masyarakat Melayu? Jika diperhati, di Malaysia sahaja yang terdapat cetakan surah Yaasiin berbentuk buku kecil untuk mudah dibawa dan dibaca di mana-mana. Tak jumpa surah Yaasiin bersaiz poket di negara lain.



Dikhabarkan bahawa pada zaman nenek moyang kita dahulu iaitu sewaktu Islam sudah sebati dengan masyarakat Melayu, mereka mencari-cari peluang untuk menambah amal atas niat ingin meraih pahala juga berkumpul bersama penduduk kampung lain. 

Hari Jumaat merupakan penghulu hari dan waktunya bermula hari Khamis selepas masuk waktu Maghrib. Malam Jumaat itu pastinya mahu diisi dengan amalan-amalan sunat bagi mengimarahkan Penghulu segala hari.

Ulamak melihat surah Yaasiin bukan merupakan surah panjang...hanya mengambil masa 10 hinga 15 minit untuk dihabiskan bacaan. Ditambah dengan sedikit tahlil dan doa selamat, waktu keseluruhan diambil hanya setengah jam. Jadi waktu selepas Maghrib sesuai sangat untuk dibacakan surah Yaasiin, tahlil dan doa selamat di malam Jumaat sementara menunggu Isya'. Ia bukannya fardhu tetapi amalan sunat yang diwarisi dari Ulamak salafi.

Bermula dari situ surah Yaasiin menjadi amat rapat dengan Melayu sehingga dicetak menjadi buku bersaiz poket agar mudah dibaca di majlis-majlis tahlil dan doa selamat.

Ia bukan SUNNAH tetapi SUNAT dibaca kerana Ulamak sendiri yang mempeloporinya. Surah Yaasiin merupakan sebahagian dari al Quran yang pastinya pahala menanti bagi sesiapa yang membacanya.

Bagi mereka yang tak sudi mengimarahkan malam Jumaat dengan surah Yaasiin...pun tak salah. Yang salahnya apabila itu dikatakan bid'ah. Lebih berhemah mencari titik persamaan dari mencari-cari apa yang tak sama. Islam tak suruh kita berbalah dalam perkara furuk (cabang).

Tetapi yang lebih afdhal, bacalah surah al Kahfi kerana Hadis meriwayatkannya. Surah ni agak panjang sikit...agak dalam 20 ke 30 minit untuk dihabiskan. Tiada paksaan dalam amalan sunat, pilihlah yang sesuai di jiwa.

Selamat Beramal ye...

Wednesday 2 July 2014

Seorang Jua Sudahnya

Minggu pertama berpuasa aku balik ke kampungku untuk bersama ibu bagi mengimarahkan puasa dan berbuka bersama. Ibu tampak ceria dengan kehadiran anak cucu di sisi. Kesepian ibu terubat dan digagahkan diri untuk menyediakan juadah berbuka walau kudrat sudah tak seberapa tinggalnya.

Sehabis tarawih, aku berborak bersama ibu sehingga tidak sedar jam hampir mencecah 2 pagi. Aaahhh waktu itu yang ibu tunggu-tunggu sebenarnya. Banyak perkara yang ingin ibu cerita dan kongsikan bersama anak-anak. Kekadang cerita itu diulang-ulangnya entah berapa kali.

Ibu sebenarnya telah hilang kelibat anak-anak yang memeriahkan hidupnya di suatu ketika dahulu. Kami adik-beradik seramai 7 orang membesar bersama tangan ibu. Ibu tidak pernah letih memasak dan melayan kerenah anak-anak yang ramai dan pelbagai ragam. 

Bila tiba puasa, meriahnya meja makan dengan riuh rendah suara anak-anak untuk berbuka. Ibulah yang paling sibuk menyediakan itu dan ini. Ibulah yang paling tak keruan menyiapkan hidangan sahur dan mengejutkan kami di awal pagi. Gerak tubuh ibu dan segala sendinya tidak pernah sunyi berkhidmat sehingga anak-anaknya tidur!




Kini ibu hidup sendirian. Teman hidupnya sudah dipanggil Ilahi. Dari seramai-ramainya anak keliling pinggang, semuanya bertebaran keluar menjalani hidup sendiri. Sehari-harian ibu hanya menghabiskan masa dengan amal ibadat dan rancangan TV. Ibu berbuka seorang, jua bersahur sendirian. Tak aku ketahui jika berbukanya berteman airmata hiba. Tak mampu kuselami jika hidangan sahurnya berlalu bersama sebak di dada.

Bukan anak-anak menjauh, tetapi itulah realiti hidup. Ibu betahnya duduk di rumah sendiri. Menumpang di rumah anak-anak sehari dua...bolehlah. Selebihnya ibu teringat rumah sendiri.

Dalam berborak, ibu tak pernah merungut apatah lagi mengharap itu dan ini dari anak-anak. Tetapi naluriku hiba menyatakan yang ibu sebenarnya sunyi. Ibu tiada pilihan...inilah realiti hidup.

Sunyi ibu akan mendatangi kami pula suatu hari nanti. Anak-anak kami semakin membesar dan semakin hampir untuk menjarakkan hubungan bersama mereka. 

Justeru...aku sanggup menemani ibu berjam-jam berborak demi melunaskan hutang anak-anak yang selalu meninggalkan ibu. Itupun jauh dari memadai. Tiba waktu untuk pulang, ibu mengiringi kami dengan senyum hambar...ibu sunyi lagi. 

Tetapi yang menjadi penawarnya, kami adik beradik akan membayar harga sunyi ibu dengan bergiliran balik mengunjungi ibu...sementara ibu masih ada. Ya...sementara ibu masih ada!