Translate

Monday, 11 February 2013

Indahnya Waktu Itu

"Isteri awak macam mana?"
"Takpe makcik, isteri saya biar Allah jaga". Aku menolak kerusi roda makcik dengan bersemangat dan meneruskan umrah wajib yang tak boleh ditangguh-tangguh.

Kisah sebelumnya...(seperti yang sudi dikongsi bersama oleh si empunya cerita). 'AKU' adalah merujuk kepada sahabat yang bercerita kepadaku...sudi-sudikanlah membaca yee.

Dua hari berada di Madinah amat menenangkan jiwa. Berkali-kali kami bersolat di Raudhah dan melawat maqam Rasulullah juga perkuburan Baqie'. Tiba hari untuk berangkat ke Mekah, perasaan berbaur rasa..sedih hendak meninggalkan bumi Rasulullah dan teruja untuk menuju rumahNYA. Dalam perjalanan kami singgah di masjid Quba dan di situlah kaki makcik yang berada dalam jemaah kami terseliuh. Berpapah kami membawanya masuk ke dalam van dan terus menuju ke Baitullah.

Alhamdulillah...kami selamat tiba tetapi kelibat KOTAK HITAM masih belum kelihatan..aku teruja tetapi agak risau takut-takut dihijabnya terus pandanganku. Makcik itu...ya, masalah makcik adalah masalah kami. Kami harus mencari penyelesaian untuk membenarkan makcik menunaikan umrah 'selamat datang'. Hendak diupah orang mahal, jadi kami berpakat untuk bergilir-gilir berkhidmat menolak kerusi roda makcik. Setiba di perkarangan Masjidilharam aku menawarkan diri untuk mengendalikan makcik. YA..DI SINILAH BERMULA DETIK BERSEJARAH DALAM HIDUPKU!!!

Kami melalui pintu masuk Safa dan Marwah maka aku dipaksa untuk masuk ke laluan kerusi roda. Lautan manusia tidak membenarkan aku untuk berhenti..kami dipaksa berjalan dan aku sempat memberi isyarat kepada muttawif dan isteri untuk menunggu kami di depan Safa. 20 minit aku menunggu, lantas...aku bersuara nekad "makcik jom ikut saya, kita akan mulakan umrah, tak perlu tunggu dorang".
"Isteri awak macam mana?".
"Takpe makcik, isteri saya biar Allah jaga".
Masyaallah, ini kali pertama aku menjejaki bumi Mekah..macam mana dengan selok beloknya tetapi aku tiada pilihan, hanya bertawakal dan aku yakin dengan bantuan Allah.

Aku terpempan seketika melihat keindahan Kaabah yang berpuluh tahun aku solat berpandukannya. Sedih, sayu, pilu mewarnai jiwaku tatkala itu..aku bersyukur. Aku teruskan niatku..melilau mencari lampu hijau penanda untuk memulakan tawaf. Alhamdulillah jumpa.."Makcik baca doa ni sepanjang kita bertawaf ye", sambil aku merujuk ke buku doa yang tergantung di leher makcik. Sehabis tawaf, kami solat sunat di makam Ibrahim, berdoa sebelum meneguk air zamzam, saei dan akhirnya bertahlul. Itulah aturan umrah yang kupelajari di Malaysia..berakhirlah umrah wajib bagi kami. Subhanallah, terasa segalanya dipermudahkan olehNYA. Setengah jam kami menunggu kelibat kumpulan kami terutama isteriku..langsung tak kelihatan.


"Makcik jom kita balik ke hotellah. Tau la dorang nak cari kita nanti" aku membuat keputusan.
"Dah berapa kali anak buat umrah?" makcik mula merungkai persoalannya.
Aku tersenyum, "Ini pertama kali makcik".
"Tapi macam mana anak tau selok belok nak buat umrah?" makcik mula musykil.

Ini yang aku pelik ni. Patutlah sebelum ke tanah suci aku beriya-iya belajar kursus umrah. Tak cukup dengan itu, aku berusaha pergi ke rumah bekas guruku untuk menambah baikkan lagi amalan. Teringat aku..guruku mengarah kami berdua berpusing 7 kali di meja makannya sambil bingkai gambar Kaabah diletak di tengah-tengah meja. Hahaaa memang kami tergelak-gelak dibuatnya.

Ya..kita merancang di bumi manakala Allah merancang di Arasy. Perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan. Dalam tak sedar Allah telah melantik AKU sebagai muttawif di kota suci..RUMAHNYA.

AKU..dibebani wanita berkerusi roda di sepanjang perjalanan umrah pertamaku.
AKU..dipisahkan dari jemaah lain dalam keadaan pertama kali menjejaki bumi Mekah.
AKU..diajar untuk bertawakal hanya kepadaNYA dalam situasi genting.
AKU..diberi rasa berTUHAN yang tinggi dalam menyempurnakan ibadat umrah.

Begitulah cara GURU mengajar anak murid. Diberinya rasa payah, sukar, risau dan dimasa yang sama jika anak muridnya terus melangkah ke hadapan...pertolongan GURU itu amat dekat. DIA lebih dekat dari kerongkong kita!!!

"Makcik...Allah bersama kita makcik", itu jawapan ringkasku.
Sesampai kami di hotel aku menghantar makcik ke biliknya sambil aku menunggu di lobi kerana kunci hotel berada di dalam simpanan isteriku. Deringan telefon di lobi mengejutkanku kerana ada panggilan untukku. Muttawif kami menalipon dan mereka baru habis tawaf 7 pusingan..Saei masih menanti.
"Alhamdulillah bapak sudah ada di hotel ya", muttawif Indon itu inginkan kepastian.
"Ya saya dan makcik selamat",  jawabku ringkas kerana keletihan.

Sebelum meletak gagang, aku sempat mendengar jeritan muttawif kepada jemaah kami, "ALHAMDULILLAH..MEREKA UDAH BERTAHLUL DAN SEKARANG DI HOTEL"
Ya Allah Ya Rabbi...tanpaMU siapalah aku...tanpaMU pasti aku sesat di sini..tanpaMU aku tak mampu menyempurnakan ibadat umrah ini..janjimu benar Ya Allah. Jika kami datang berjalan ke arahmu, KAU datang berlari mendapatkan kami!!

Di antara berjuta kisah benar di kota suci yang diceritakan kepadaku. Aku ingin menjadi seperti 'AKU' di dalam cerita ini..mungkinkah. Jazakum Allahu Khair

"MenyintaiMU tak mengenal waktu tak mengenal puitis, hanya tulusnya hati..."



No comments:

Post a Comment