Translate

Sunday 16 December 2018

Luka di Madinah

"Aahhhh...macam mana nih", hatiku semakin tak keruan dengan luka kecil di bahagian tumit kanan di hari ke 2. Cuaca Madinah yang semakin menurun ke 15'c semakin menyiat-nyiat kulit di tumit. Garis-garis luka semakin ketara hingga membuat aku berjalan terhincut-hincut.

Misiku kali ini sudah kutukar rentaknya. Jika misi pertama di tahun 2009 aku bebas beramal mengikut rentak sendiri, tetapi kali ini ia harus kutukar kepada berkhidmat untuk sebuah syurga yang berada di bawah telapak kakinya...mak. Mak berkerusi roda...tak mampu untuk kerap berjalan.

Tapi apa pula ceritanya jika aku sendiri yang cedera. "Allah ya Allah..tak mungkin aku mempertikaikan apa yang telah disuratkan buatku. Walau baik mana niatku untuk berbakti tetapi perancangan Allah tak dapat ku telah rahsianya", hatiku bermonolog sendirian meminta perhatianNya.

Tak mengapa, walau teruk garis lukanya..tetap akan kutepati janjiku pada mak. Biar terhincut-hincut gerak kakiku menolak kerusi roda mak..biar!

Hari ke 3 selepas solat Asar, seperti yang kurancang aku akan berziarah ke makam Baqi' dalam meraih pahala mengusung jenazah juga untuk sebuah keinsafan. 

Strateginya aku bersolat di bahagian luar Masjid bersebelahan makam Baqi' yang terletak di bahagian tenggara Masjid Nabawi agar aku boleh terus keluar saf tanpa perlu bersesak.

Alhamdulillah keadaan berlaku seperti yang dirancang. Sehabis solat Asar dan solat jenazah, lantas terus aku menuju ke perkuburan. Sudah kelihatan jenazah diusung oleh jemaah keluar masjid menuju ke perkuburan.

Aku berlari menuju ke tempat kubur yang telah digali agar dapat kusambut jenazah masuk ke liang lahat. Jarak dari pintu masuk Baqi' ke kubur yang baru digali dalam 500 meter jauhnya!

Aku berlari, berlari dan terus berlari tanpa menoleh kiri dan kanan. Aku harus tiba sebelum jenazah sampai..atau aku bakal terlepas peluang menyambut jenazah masuk ke liang lahat.

Syukur ya Allah syukur..letihku berlari berbaloi. Aku dapat sambut jenazah (mungkin dari negara India melihat kepada warisnya yang mengelilingi kubur apabila doa dibaca). Beruntung bagi tetamu Allah yang terpilih untuk disemadikan di pemakaman Baqi' bersama para isteri Rasulullah, para sahabat Nabi dan para tabi'in.



Rasulullah pernah bersabda, “Aku adalah orang pertama yang keluar daripada Bumi (ketika hari kebangkitan), kemudian Abu Bakar, kemudian Umar, kemudian giliran penghuni Baqi’ yang akan berhimpun bersamaku. Kemudian aku menunggu penduduk Mekah sehingga penuh di antara dua Masjidil Haram”.

Alhamdulillah..misi Baqi' selesai. Aku berjalan perlahan menuju ke hotel..ya, perlahan sangat kaki melangkah dalam melepas lelah larian pecut seawal tadi.

Terperasan aku sesuatu..."aik..tak sakit la pulak kaki ni?" getus hatiku seakan tak percaya. Aku meletak posisi luka di belakang tumit untuk dipijak sebagai pengesahan. "ya..memang dah tak sakit!" Lukanya dah bertaut kemas seakan tiada kecederaan yang berlaku sebelumnya. Subhanallah..macam tak percaya!




Terus aku imbas larian pecut 500 meter yang kulakukan sebentar tadi...baru aku perasan yang aku berlari selaju itu tanpa rasa sakit sedikitpun. Allah ya Allah..Subhanallah yang menghilangkan kesakitan secara tiba-tiba.

Rupa-rupanya Allah beri tunai atas doa bisuku untuk berkhidmat pada mak di sepanjang ibadah umrah. Debu-debu tanah di Baqi' adalah makhluk Allah jua, telah merawat luka tumit dengan perintahNya. Subhanallah, lukaku di Madinah menjadi pelengkap atas rasa syukur yang tidak terhingga di atas nikmat-nikmatNya!

Terimakasih mak kerana sudi menerima tawaranku...dalam melengkapi misi umrah 2018.




                    

Friday 7 December 2018

Mengapa Gagak?

Tahukah kita bahawa pengurusan mayat manusia yang ditanam di dalam tanah diajar oleh seekor burung yang bernama gagak?

Jika melihat pada personaliti gagak, wajarkah burung tersebut dipilih untuk mengajar Qabil bagaimana untuk menguruskan mayat adik yang telah dibunuhnya? Mengapa Allah pilih gagak yang hitam dan tak menarik langsung untuk menjadi guru kepada manusia? Pasti bersebab...PASTI!

Gagak merupakan spesis burung berwarna hitam yang bukan menjadi belaan manusia. Sudahlah hitam, suara serak dan memakan kotoran bangkai..mana ada manusia nak bela burung macam tu.

Menurut kajian yang dibuat, gagak mempunyai saiz otak yang lebih besar berbanding burung-burung yang lain. Spesis ini hidup berkumpulan, bersosial dan mempunyai ketua yang mengawal kehidupan kumpulannya.

Jika ada di antara mereka yang mencuri makanan anak gagak, mereka akan dihakimi dan dihukum. Gagak secara berkumpulan akan mematuk-matuk badan sipencuri sehingga bulunya tertanggal dan badannya menjadi gondol.

Pemerhatian yang lain pula menyaksikan bahawa jika ada gagak yang berani mengganggu gagak betina, sekumpulan gagak akan menyerangnya sehingga mati. Hukuman tersebut dilakukan di tempat lapang untuk disaksikan oleh gagak-gagak lain sebagai pengajaran. Seekor gagak pula akan ditugaskan untuk menanam mayat sipesalah sebagai penghormatan kepada jenazah. Di dalam kumpulan mergastua, hanya gagak sahaja yang menanam spesis mereka.

Diceritakan seorang gadis kecil berusia 8 tahun selalu memberi makan burung-burung gagak di halaman rumahnya. Makanan seperti kekacang dan makanan anjing diletakkan di dalam sebuah bekas dulang untuk diberi makan burung-burung gagak yang sentiasa menunggu rutin harian tersebut. Air bersih juga disediakan sebagai minuman. Mahu tahu apa yang berlaku? Gagak tersebut telah membawa barangan berupa anting-anting, kalung dan batu yang bersinar sebagai hadiah dan ucapan terimakasih kepada gadis tersebut (rujuk U tube).

Riwayat lain pula mengisahkan seekor gagak telah mencuri seketul roti dari seorang pengembara (ahli sufi). Beliau kagum dengan keberanian gagak tersebut lantas mengekori ke mana ia pergi. Sesampai ke satu tempat, beliau menyaksikan gagak tersebut mencubit sedikit-sedikit roti dan dimasukkan ke mulut seseorang yang terbaring dengan kaki dan tangannya terikat.

Apabila selesai membuka ikatan, lelaki tersebut menceritakan bahawa beliau telah disamun oleh sekumpulan lelaki dengan mengikat kaki dan tangannya. Setelah mengambil kesemua barangan, beliau ditinggalkan begitu sahaja. Sepanjang beberapa hari, burung gagak itulah yang memberi beliau makan dan minum..Subhanallah!

Lihatlah, betapa sihitam pekat yang tidak diberi perhatian oleh manusia ini, merupakan pilihan Allah dicipta sebagai spesis bijak dalam dunia mereka.

Apa mesejnya? Rupa paras dan personaliti bukan menjadi perhitungan di sisi Allah. Allah hanya melihat hati-hati kamu, Allah hanya memandang ketakwaan kamu, Allah hanya menilai keikhlasan kamu dalam beramal! FIKIR sambil BERZIKIR...


Wednesday 5 December 2018

Jangan Warisi Dosa Itu!

"Assalamu'alaikum En Azizi, dah 'settle' dah. Terimakasih nasihat haritu".

"Alhamdulillah..lega saya dengar. Kan seronok bekerja bila kita takde masalah dengan orang".

Dia baik orangnya. Selalu aku nampak dia bersama jemaah di surau, kekadang mengimami jemaah. Di bulan Ramadhan, dia fasih menjadi bilal dalam membaca selawat di setiap rakaat tarawih di surau pejabat.

Hari yang dirancang tiba. Dia bakal berjumpa denganku untuk sesi kaunseling atas masalah pergeseran di antara pekerja dan ketua.

"Haaa? Minta maaf? Oooohhh tak boleh Encik Azizi, nanti dia makin naik tocang. Habis dicanang kat kakitangan lain yang saya dah tunduk kat dia. Saya sendiri tak pernah terfikir nak minta maaf kat dia..tak payahlah".

Adussss...berat ni. Cadanganku ditolak mentah-mentah. Camne nak selesai masalah kalau rasa ego beraja di hati.

"Bro, tau tak dosa apa yang mula-mula tercipta di antara makhluk dan Pencipta sehingga dihalau keluar dari syurga?"

Dia terkebil-kebil sebentar dengan lontaran soalan yang tak diduga dariku.

"Dosa Nabi Adam derhaka kat Allah sebab melanggar larangan makan buah khuldi", jawabnya dengan yakin.

"Salah...dosa pertama antara makhluk dengan Allah adalah sombong! Iblis enggan sujud kepada Adam atas rasa ego bahawa dirinya tercipta dari api sedangkan Adam hanya dari tanah. Bro tau kan, tak masuk syurga seseorang yang ada sekelumit sifat sombong dalam diri".

"Hilangkan rasa ego diri tu. Tak jatuh maruah diri jika kita memulakan kata maaf...tak hilang bisa ular menyusur akar".


"Jangan fikir apa yang akan dia lakukan selepas bro minta maaf...itu urusan dia. Yang penting kita dah memulakan sesuatu yang digaris oleh syarak".


"Bro...jangan warisi dosa yang dibuat Iblis. Buang jauh-jauh sifat sombong tu ya".

Kulihat airmukanya mula redup...memandang meja tak berkelip.

"Errmmm...tengoklah nanti, terimakasih En Azizi atas nasihat".

Kami bersurai. Tapi aku tak meletak harapan tinggi untuk masalah tu selesai sebab riak wajah dia tak mencerminkan rasa yang bersungguh untuk buang rasa ego diri.

"Assalamu'alaikum En Azizi, dah 'settle' dah. Terimakasih nasihat haritu".

"Lepas saya minta maaf, diapun minta maaf gak. Diapun ngaku dia tak patut tegur salah saya depan orang-ramai".

Alhamdulillah...itulah hadiah paling berharga aku terima dari seseorang yang bergelar kakitangan syarikat.

Puas! Ya...kepuasan yang tidak terlakar mahupun diucap. Bukan aku yang selesaikan masalah tersebut...dia sendiri yang menggerakkan kapasiti diri untuk sebuah kemaafan.

Aku? Aku hanya hambaNYA yang ditugas untuk mengimarah bumi yang didiami...kosong tangan, kosong dada. Sampai masa, aku akan berhadapan dengan segala gerak laku di Mahkamah Allah. Apa bekal yang aku bawa? Errmmmm....Allah ya Allah.


Sunday 2 December 2018

Sukan Menyatukan Kami

Rutinku di hujung minggu meletak aku di posisi yang amat mengujakan. Berpagi-pagi bersama udara segar dengan pergerakan jasmani yang tak mampu aku kesampingkan. 

Ye la..dalam lingkaran usia yang memerlukan perhatian, aku tak mahu memanjakan sangat tubuh badan. Ia harus dipaksa untuk bergerak cergas atau terpaksa dihukum di kemudian hari dengan lemah segala sendi...owwhhhhh tidak!

Pagi itu, seperti biasa aku bersiap untuk 'work out'..target 10 pusingan stadium. Tiba-tiba kedua-dua anak lelaki ku menyapa untuk bersama. Haaa...dah fahamlah tu, nak ajak main bola...jommmm.

Dalam melayan rutin seharian yang nyata menjarakkan komunikasi, ternyata sukan menyatukan kami untuk melakukan aktiviti bersama.

Aku di posisi sayap, anak lelaki di bahagian tengah dan yang bongsu sebagai penjaga gawang..Heaven!