Translate

Sunday 30 March 2014

Kenali Diri

"Bila dah besar nanti kamu nak jadi apa?"
"Polis"
"Guru"
"Arkitek"
"Engineer"
"Ultraman!!!!!"

Hahaaaaa...begitulah keletahnya kanak-kanak bila diajukan soalan tentang masa depan. Suatu masa dulu kita pernah menjadi kanak-kanak keletah tersebut. Apa sahaja yang terlintas di fikiran...itulah yang bakal dijawab.

Tetapi adakah jawapan itu yang kita maksudkan? Tentunya tidak. Tidak terbayang kita akan jadi 'apa' dan 'siapa' suatu hari kelak. Ya...mungkin kita bercita-cita secara serius apabila meningkat remaja. Kita akan tentukan untuk belajar di aliran yang menjurus kepada cita-cita kita. Biologist, Foodtech, Petroleum Engineer, IT Programmer adalah sebahagian dari aliran-aliran pilihan berdasar kepada minat dan kecenderungan individu.

Bagaimana dengan mereka yang tidak punya cita-cita? Kategori jenis ini hanya mengikut arus kehidupan, mereka belum mampu mengenali dan menggali minat dan kecenderungan diri. Ditambah dengan ketiadaan kewangan yang cukup untuk mereka melanjutkan pelajaran.

Pecutan untuk mengenali diri sendiri tidak sama di antara satu dengan yang lain. Mereka yang di dalam kategori bijak akan mudah melahirkan apa yang dimahu dan terus mengejar cita-cita. Mereka yang sederhana IQ akan perlahan-perlahan memahami kemahuan sendiri setelah menempuh alam pekerjaan. Mereka yang agak lemah hanya akan berubah dan mengenali potensi diri di atas kesedaran masing-masing setelah disergah oleh seseorang.

Sebenarnya masing-masing memiliki potensi diri yang hebat untuk diketengahkan. Hanya lagi ianya tidak disedari dan tidak pernah untuk dicari oleh yang empunya diri. Percayalah bahawa Sheikh Muszaphar dan Faiz Khalid tidak pernah bermimpi untuk menjadi angkasawan Malaysia! Peluang itu datang, mereka berani mencuba dan terpilih.

Jangan patah semangat apabila kita gagal untuk cemerlang di bidang pelajaran kerana sijil-sijil tersebut hanyalah satu tiket untuk melepasi ujian-ujian seterusnya. Jalan masih panjang...jika esok kiamat dan biji benih masih segenggam di tangan, teruskan menanam kerana pahalanya tetap dikira walau anak pokok mustahil kelihatan. Ini yang diajar oleh agama kita. Tidak wujud perkataan 'putus asa' bagi mereka yang ingin 'berubah' dan 'mengubah'.

Kenal Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary? Beliau merupakan Bumiputra yang terkaya dan orang ke 8 terkaya di Malaysia. Beliau mempunyai aset sebanyak RM 2.75 billion menurut majalah Forbes. Beliau bukan berkelulusan Universiti hebat dan tidak sempat untuk menghabiskan pelajarannya di tingkatan 5! Mengapa beliau boleh berjaya? Jawapannya mudah...kerana beliau berjaya menggali potensi diri dan sedar minatnya di dalam bidang perniagaan.

Galilah potensi diri...MANA TAHU SUATU HARI NANTI KITA BAKAL MENAKLUK DUNIA BERBEKAL ILMU YANG DIPELAJARI!!!


Tuesday 25 March 2014

Kau Pergi Jua

Apa lagi yang mampu kuucap bila pengumuman rasmi telah dibuat oleh Perdana Menteri dengan mengatakan bahawa MH 370 mengakhiri penerbangannya di Lautan Hindi.

Bermula tarikh 8 Mac 2014 sejak kehilangan misterinya, doaku selepas solat tidak putus-putus kupanjatkan demi untuk melihat penumpang dan anak kapalnya selamat.

Takdir mengatasi segala usaha dan harapan. Doa yang diaminkan bukan sia-sia. Sebagai Muslim, doa kita tidak terbatas kepada genetik dan darah daging, ia melangkaui batas geografi dan keturunan. Walau doa bisa menolak takdir buruk, tetapi tidak buat MH 370. KetentuanNYA menjadi satu takdir yang wajib kita imani.

Aku pasrah dengan qada dan qadarNYA. Aku tidak mampu berhenti berdoa untuk mereka yang tidak berdosa. Semoga roh mereka yang beriman ditempatkan bersama para solehin. Takziah buat keluarga mereka yang terbabit. Semoga Allah anugerahi rasa sabar yang tinggi kepada mereka dalam menempuh saat-saat genting ini.

Inilah ketentuanNYA. Nampaknya kau pergi jua. Ya...kembalilah kepadaNYA.

Al Fatihah buat warga Muslim MH 370



 

Friday 21 March 2014

Belajar Jadi Bodoh

Pernah seseorang berkongsi cerita denganku berkenaan 'boss'nya yang memberi sedikit tazkirah. Sebenarnya dia masuk ke bilik 'boss' untuk meminta nasihat dan pandangan tentang sedikit masalah kerja yang dihadapinya.

Tidak pernah sebenarnya dia berhadapan dengan ketua jabatan secara satu satu. Agaknya ketua jabatannya mengambil kira kesempatan itu untuk memberi sedikit penyelesaian dari perspektif agama.

"Baguslah tu", pendek komenku.

Tetapi sebenarnya apa yang ditazkirahkan oleh 'boss'nya itu telah juga disampaikan oleh suaminya di rumah. Dia semakin mengiyakan segala butir nasihat dari 'boss'. 

Dalam pada itu, diselitkan juga kepada 'boss' nya bahawa perkara yang sama telah dipesan oleh suaminya di rumah.

Oohhhh...masuk bab ini aku agak tidak bersetuju dengan rakanku itu. Walau setinggi mana ilmu yang kita ada, walau kita pernah berguru dengan mahaguru hebat, walau kita banyak belajar berkenaan topik tersebut...berhemah dan imarahkanlah mereka yang ingin menyampaikan sesuatu kepada kita. Simpan segala ilmu hebat yang kita ada untuk diberi perhatian kepada mereka yang bercerita.

Berlagaklah seolah kita baru sahaja tahu tentang topik tersebut dan ucap berbanyak terimakasih kepada mereka kerana sudi berkongsi ilmu.

Itu lebih berhemah dan mendekati tasawuf.

Tak perlu malu menjadi bodoh kerana yang bodoh itu akan terus menggali ilmu untuk memandaikan diri.





Wednesday 19 March 2014

Kitalah Puncanya

Kadang aku didatangi teman-teman di pejabat mahupun isteri di rumah bercerita tentang masalah. Penceritaan mereka kepadaku tidak menjanjikan penyelesaian masalah dengan sekelip mata. Kerap pula masalah tinggal masalah tanpa jalan penyudah. Agaknya mereka senang bercerita dan berkongsi masalah denganku, setidak-tidaknya beberapa peratus dari kerisauan lenyap walau masalah masih menyelinap.

Ermmm...macam biasa, aku mempunyai tonasi yang 'standard' dalam melerai kusut jiwa. DEKATKAN DIRI KEPADANYA!

Dalam pemerhatianku, sebenarnya masalah utama adalah cara kita menangani masalah itu sendiri. 

Betul, kita cuba mendekatiNYA atas rasa sedar bahawa Allah yang datangkan masalah dan kepadaNYA jualah kita mengadu. Tetapi rasa itu tidak total. Kita masih dibelenggu makhluk sekitar. Maksudnya...rasa hendak menyalahkan makhluk itu masih ada. Makhluk penyebab masalah timbul, makhluk yang menjadi punca masalah, makhluk yang menyakitkan hati kita, makhluk yang patut dipersalahkan...bla bla bla.

Ermmm...siapa yang menggerakkan makhluk? Siapa yang mengilhamkan makhluk untuk berbuat sesuatu? Siapa yang mendatangkan makhluk bagi menyakitkan hati kita?

Dalam tidak sedar, kita menyalahkan pentadbir alam jagat raya ini!

Mana mungkin Allah mendengar rintihan kita jika kita mempertikaikan pentadbirannya?

Rasa yang total adalah kita berterusan berbaik sangka dengan apa sahaja masalah yang mendatangi. Itu kurniaan Allah kepada kita...terimalah tanpa rasa prejudis kerana di situlah terletak kasih sayangNYA kepada hamba-hambaNYA.

Insyaallah, walau masalah persis...tetapi hati serasa tenang menempuhnya.

Wallahua'lam.

Tuesday 11 March 2014

Sedetik Rasa

MH 370 telah memisterikan pemikiran dunia. Wujudnya sebelum ini tidak pernah dipedulikan manusia.

Kini kau mencipta cerita sensasi buat tatapan dunia. Ceritamu jua telah dihangatkan tangan-tangan kotor demi sebuah populariti murah.

Aku...misterimu tidak menahan diri ini untuk membuat pelbagai teori berdasar fakta rasmi...kerana mindaku telah dididik untuk menganalisa setiap perkara di atas landasan benar. Teori itu sedikit demi sedikit semakin menghampiri lidah rasmi.

Aku masih optimis untuk kehidupan mereka...itu lebih baik dari langsung tidak bertemu mereka.

Buat keluarga dan waris MH 370, semoga ALLAH memberi kekuatan untuk kalian menempuh ujian ini kerana manusia tidak akan dibebani suatu ujian yang di luar kemampuan mereka untuk menanggungnya...ITU JANJI ALLAH..bersabarlah...bersabarlah.

Sunday 9 March 2014

Bila Abangku Di Talian...

Hari itu hari Sabtu. Selalunya selepas solat Subuh aku akan bersiap untuk ber'jogging' bersama isteri dan anak bongsuku di trek stadium berdekatan rumah. Entah mengapa hari itu terasa letih dan selayaknya aku hanya ingin berehat untuk melepas segala lelah di sepanjang pengembaraanku ke negara luar.

Dalam berbaring di katil sambil menonton tv, aku terlelap. Tepat jam 0836, telefon bimbitku berbunyi. Aku lantas tersedar dan menjawab panggilan tanpa melihat siapa pemanggilnya di skrin telefon.

- GG awak kat mana sekarang?
- Kat umah la...apsal Nam, nak datang ke?
- Betul aar awak kat umah bangi? Betul aar?
- Aik...betul la. Apsal Nam?
- Ni baru dapat berita kapal MH 370 hilang dari radar kat Laut Cina Selatan. Takde la, risau la...ingat awak ada dalam kapal tu.
- Ooo ye ke. Ok Nam thank you update.
- Ok GG...tengok berita nanti. Assalamu'alaikum
- Ok Wa'alaikumsalam.

Sabtu bertarikh 8 Mac 2014 jam 0240. Pesawat MAS MH 370 ke Beijing dilaporkan hilang setelah melintasi Laut Cina Selatan.



Sehingga blog ini dikemaskini, rakyat Malaysia masih belum menemui sebarang berita berkenaan pesawat berkenaan yang dinaiki seramai 227 penumpang dari 14 negara dan 12 anak kapal.

Salam takziah kepada kaum keluarga yang terbabit.

Hari itu juga aku temui sesuatu, abangku telah menterjemah rasa kasih dan sikap mengambil berat terhadap kaum keluarganya.

Terimakasih Nam.

Thursday 6 March 2014

Raikanlah Tetamu

Seperti biasa setelah melepasi slot 'Motivasi Pagi' radio IKIM, aku berubah ke saluran lain yang banyak menghidang lagu-lagu retro segar.

Tetapi, kesegaran pagi telah direnggut oleh sikap seseorang yang boleh dipepatahkan sebagai 'lebih sudu dari kuah'. Bukan sekali malah acapkali perkara itu berlaku.

Dia merupakan seorang penyampai radio...bertiga mengendalikan siaran pagi. Usik-mengusik mereka kekadang mencuit hati, kekadang rasa ter 'over' lah pula dek sikap salah seorang 'deejay' ini.

Dalam banyak-banyak celoteh, nampak jelas dia mendominasi suasana. Suara dia sahaja yang kedengaran, usikan dia sahaja yang terkehadapan jua emosi dia sahaja yang dilemparkan.

Hari itu merupakan Hari Wanita Sedunia. Jadi, pasti topiknya berkisar kepada wanita. Ada tetamu jemputan yang merupakan pakar motivasi. Aku sudah semakin hilang fokus apabila 'deejay wanita' itu telah meng 'over shadow' tetamu jemputan. Selagak dia yang pakar dalam menangani masalah wanita. Suara dia sahaja yang lantang berbicara dan menjadikan tetamu sudah tidak banyak bicaranya. Aku apatah lagi...semakin menjauh menerawang melayan bosan!

Dia terperasan bagus untuk mengulas tetapi sebaliknya mereka yang di luar semakin malas untuk mendengar. Dia sepatutnya mengimarahkan tetamu dalam memberi laluan kepadanya untuk memberi pandangan dan pendapat. Letak ke sisi segala ulasan peribadi kerana melayan tetamu itu wajib agar mereka tidak rasa tersisih.

Aku bermuhasabah diri dalam berbicara sesama manusia. Bukan semua orang ingin mendengar apa yang ingin kita sampaikan. Pastikan kita pakar dalam sesuatu topik jika ingin mengulas sesuatu isu atau kita bakal mengundang cemuhan manusia di balik tabir.

Tetapi yang lebih penting...raikanlah tetamu itu.


Tuesday 4 March 2014

Tolehlah Ke Belakang Sebentar

Mahu berjaya haruslah menuju ke hadapan. Lihat lorong-lorong cahaya untuk dilalui. Gapai segala peluang dan kesempatan yang diberi...tetapi harus tidak diketepikan syara'.

Mahu berjaya harus sabar dengan kerenah pelbagai. Ditindas, diketepikan, dicemuh mahupun tidak dihargai.

Mahu berjaya harus ada keyakinan yang jitu, tidak memilih mengikut selera, tidak berkira segala kudrat, tidak meminta-minta apa yang tiada malah bersyukur dengan apa yang terhidang.

Itulah resepi sebuah kejayaan.

Bila dah berjaya, jangan alpa dengan apa yang ada di sekeliling. Jika memandang ke atas, jangan lupa rumput yang dipijak di bumi. Jika memandang ke hadapan, toleh-tolehlah ke belakang bagi mengimbau kembali asal-usul kita.

Memandang ke belakang bukanlah bermakna kita berundur tetapi ianya lebih kepada untuk menginsafi diri.

Ingat...kejayaan yang kita kecapi hari ini dicipta oleh mereka yang wujud di belakang tabir. Selak-selaklah tabir itu agar rasa kejayaan itu dapat dikongsi bersama mereka yang setia di kala susah dan senang.

Namakanlah siapa sahaja yang berdiri teguh di belakangmu...harus jika kau terlupa, maka kau sebenarnya sedang meraikan kejayaan di atas airmata mereka!


Sunday 2 March 2014

Cerita Dari Jamaica

Aku bertolak dari lapangan terbang ARN jam 1850, Jumaat. Perjalanan dari Stockholm ke Frankfurt mengambil masa 1 jam 40 minit. Setiba di Lapangan terbang Frankfurt, aku bergegas keluar untuk pertukaran penerbangan ke Bangkok menuju Kuala Lumpur.

Aku tidak boleh lesu dalam berjalan kerana hanya mempunyai masa selama 1 jam sahaja untuk ke pintu berlepas yang jauhnya kira-kira setengah jam berjalan kaki. Jika tidak, ucapkanlah selamat tinggal dek ketinggalan penerbangan ke Kuala Lumpur.

Di dalam pesawat, aku memilih untuk menonton satu cerita filem tahun 80an yang berjudul 'Cool Runnings'. Genre cerita lucu itu adalah kisah benar mengenai sekumpulan empat pemuda dari Jamaica yang mengambil bahagian di dalam Sukan Olimpik musim sejuk 1988 di Calgary, Kanada.



Mereka mencuba nasib dalam perlumbaan 'bobsled' di Sukan Olimpik Musim Sejuk dengan mengambil seorang jurulatih 'Mat Salleh' berbangsa Amerika yang bermastautin di Jamaica. Beliau merupakan pemenang pingat emas dua kali di sukan dunia.

Banyak cabaran yang terpaksa ditempuh untuk mereka merealisasikan impian ke sukan musim sejuk di Kanada. Tiada sebarang syarikat mahupun organisasi berani menaja aktiviti mereka malah mereka ditertawakan dan dianggap gila untuk ke sukan tersebut. Rakyat negara Jamaica di benua Afrika yang bersuhu panas mana mungkin bersaing dalam perlumbaan sukan musim sejuk.


Akhirnya mereka berjaya juga mengumpul wang untuk ke Kanada dan dapat merebut tempat kelayakan ke final dengan catatan masa yang kompetitif. 

Malang menimpa di acara final kerana di pertengahan perlumbaan, 'bobsled' mereka tergelincir dan terbalik. Mereka diberi tepukan gemuruh oleh penonton di atas kecekalan untuk menghabiskan juga perlumbaan dengan mengangkat 'bobsled' sehingga ke garisan penamat.



Di samping tergelak-gelak seorang diri dengan aksi lucu mereka, cerita itu juga amat memotivasikan diriku dalam mengharungi perjalanan hidup. Tiada yang mustahil untuk dicapai jika kemahuan ada di situ.

Tetapi adalah mustahil untuk melakukan sesuatu jika alasan terus berada di situ!

Catatan pengembara - Frankfurt, 1 Mac 2014.



Saturday 1 March 2014

Gigiku Patah Di Uppsala

Sewaktu makan malam bersama, mereka berkongsi cerita mengenai musim sejuk yang terpaksa ditempuh. Oohh...cerita mereka menggamit hatiku untuk tidak merungut dikala menghadapi kemarau panas di Malaysia.



Bermula September, 'winter season' mula menerjah negara Eropah sehingga Januari. Suhunya boleh mencecah 0'c dan negatif 4'c di malamnya. Keadaan mula menjadi muram kerana sinaran matahari amat-amat terbatas munculnya. Terbit pukul 10 pagi dan terbenam seawal pukul 2 petang! Selebihnya hanya ditemani cahaya lampu.   



Mereka kekurangan vitamin D dan keadaan diri menjadi amat lesu kerana dipengaruhi cuaca yang muram. Jika tidak kuat semangat melawan, harus mereka tidur di sepanjang hari. Terdapat beberapa kes kejadian bunuh diri disebabkan kemurungan diri atas faktor cuaca!

                                

Magnus (rakanku yang bercerita) mengamalkan senaman dan jogging mahupun ke 'gym' untuk mengelak dari berlaku kemurungan dan keletihan melampau. Terdapat juga mereka yang sedari awal tahun mengumpul duit untuk keluar dari kemelut 'kegelapan' di negara mereka...melancong ke negara Asia. Ya Allah...bersyukur sangat aku yang lahir di tengah garisan Khatulistiwa!!!   


                                   

Sedang makan, aku terasa semacam tergigit batu. Aahhhh...bila kukeluarkan, rupanya gigi gerahamku yang paling belakang yang memang sedia longgar dah tercabut. Ditakdirkan sejak azali bahawa gigi tersebut bakal tertanggal di bandar Uppsala, Sweden. Gigiku patah tepat pada waktu dan tempat, qada' dan qadar NYA telah terlaksana..Subhanallah!


Catatan pengembara - Lapangan Terbang Arlanda, Sweden 28 Feb 2014

Epilog Cinta Dari Stockholm

Kembara...puas sudah kumengembara. 
Ke mana perginya oh cahaya. 
Mencari hati emas bukannya mudah. 
Mungkin selamanya takkan aku temui...

Aku mengembara lagi diiringi alunan lagu Hati Emas dendangan kumpulan KEMBARA. Hati Emas yang disimbolikkan oleh M. Nasir merupakan bayangan pencarian menuju kepadaNYA. Tujuan kita dicipta dan ke mana destinasi seterusnya...itu semua adalah pilihan kita.


Stockholm merupakan langkahku yang seterusnya dalam melengkapkan misi. Yang mencabar bukan hanya suasana di negara Eropah yang bersuhu di bawah 5'c (siang) dan 0'c (malam) tetapi perjalanan jauh yang ber'transit' di Bangkok dan Frankfurt agak mencederakan ketahanan mental dan fizikalku. Tetapi tidak mengapa...hijrah Rasulullah sejauh kebih kurang 400km dari Mekah ke Madinah dengan menempuh terik bahang matahari amat-amat memotivasikan mindaku. Aku sudah bersedia


Sweden mempunyai keluasan wilayah 450km persegi hanya berpopulasi 9.6 juta penduduk berbanding Malaysia yang berkeluasan 330km persegi dengan kepadatan penduduk 28 juta. Jadi tidak hairanlah 65% negaranya masih diliputi kehijauan hutan.


Sebagai negara yang mengamalkan institusi beraja, kotanya dipenuhi bangunan-bangunan sejarah yang sangat terpelihara. Bandarayanya bersih tetapi mereka yang merokok tidak kekok untung membuang puntung merata-rata.

Kehidupan mereka penuh disiplin. Aku memerhati sejak dari dalam penerbangan dari Frankfurt ke Stockholm. Kebiasaannya di negara Asia, selepas sahaja selamat mendarat dan pesawat perlahan menuju ke pengkalan, semua yang ada bergegas melepaskan tali pinggang keledar dan mula memunggah barangan di atas kabin. Sebenarnya prosedur tidak membenarkan ini berlaku atas faktor keselamatan (kerana pesawat masih bergerak). Sehingga pramugara terpaksa bangun untuk mengarahkan penumpang untuk duduk semula.



Tetapi ini tidak berlaku di negara Eropah. Mereka tetap duduk sehingga pesawat benar-benar lengkap berhenti.

Berlaku di mana aku menaiki bas untuk menikmati pemandangan kota Stockholm. Aku terlepas untuk turun di satu tempat lantas meminta kebenaran pemandunya untuk turun di mana-mana kawasan bas itu berhenti seperti di lampu isyarat atau bas berhenti  bila berlaku kesesakan. Pemandu bas tetap berkeras untuk tidak membenarkan aku turun kerana menyalahi peraturan. Aku diturunkan di stesyen yang seterusnya dan terpaksa berjalan kaki berpatah balik sejauh 2 kilometer. Tetapi aku belajar sesuatu, bahawa kehidupan berdisiplin itu yang membuatkan sesuatu bangsa itu berjaya dan dihormati.


Cintaku berputik di kota Stockholm...

Catatan pengembara - Stockholm, 28 Feb 2014