Translate

Thursday 27 June 2013

Abang...Ada Plaster Tak?

Suaminya tersenyum mendengar laungan isterinya di dapur. Bila tiada respon dari suami, si isteri menjenguk kepalanya dari dapur melihat ke ruang tamu. Mata mereka bertentang dan sehabis spontan kedua suami isteri itu tersenyum diiringi ketawa manja si isteri.

Aaiissyyy...pertanyaan isteri yang secara tiba-tiba meminta plaster untuk membalut luka di tangannya itu benar-benar menjadi pengubat kemelut jiwanya.

Isterinya rajin. Di hari bekerja, sesampai sahaja di rumah menjadi ligat dalam memastikan kebersihan rumah. Jika si lipas yang kudung melihat akan kerancakan isterinya mengemas, nescaya kaum lipas akan secara sukarela melucutkan anugerah 'lipas kudung' untuk komuniti lipas...cemburu lipas itu pada isterinya.

Dari mengangkat kain di ampaian hinggalah memasak. Segalanya menjadi rutin mainan tangannya setiap hari. Haaaaa...tapi biasalah kan, jika badan dah penat kemas rumah...jangan ada yang mula membuat sepah. Jadi bebelan satu rumahlah jawabnya. Komuniti lipas yang kudung habis semua pakat nak sambung balik sesungut mereka agar tidak menjadi mangsa suara retro isteri...aduyaaaiiii.

Jangan kata isteri, jika suami yang pembersih balik kerja nampak rumah bak tapak pasar malam...memang sah anak-anak kena panggil.

Rumah mereka biasa-biasa sahaja...tiada yang istimewa. Pembangunan rumahtangga mereka juga tiada yang luarbiasa, segalanya berjalan lancar...aman damai jua tenteram.

Tetapi sekali sekala ada juga bunyi-bunyi yang tidak menyenangkan melingkari kehidupan mereka. Ye lah...lidah dan gigi mana pernah berpisah, rapat sungguh. Dalam akrab hubungan itupun gigi yang sopan tergigit lidah yang manja. Itulah simbolik gigi (suami) dan lidah (isteri).

Suaminya baik, penyayang dan bertolak ansur. Jika si isteri sibuk mengemas rumah, dia mengelak untuk dihidangkan makanan jua tidak diminta isterinya untuk membuat segelas air. Dia rela melakukannya sendiri. Terlalu sayup mata memandang kejauhan sifat Rasulullah yang hendak dijejakinya tetapi dia perbuat setakat yang mampu. Baginda membantu isterinya di dapur jua menjahit bajunya sendiri. "Takkan nak buat air segelaspun aku tak mampu?" bisik hati kecilnya.

Suaminya terlalu menghormati kedua ibu bapa kandung mahupun mertua. Giliran untuk menziarahi kedua pihak ditimbang secara adil. Tiada yang lebih mahupun kurang. Itu prinsipnya.

Haaa...bayangan latarbelakang keluarga ini telah penulis lakarkan untuk pembaca membuat penilaian.

Jika boleh ditanya..."agak-agaknyalah...apa yang akan berlaku kepada isteri jika si isteri engkar mahupun menyakiti hati suami yang baik seperti yang penulis ceritakan di atas?

Yaaa...inilah yang berlaku ke atas keluarga yang dianugerahi rahmah, sakinah juga mawaddah. Allah melimpahi segala kebaikan ke atas keluarga ini di atas ketakwaan suami menjalankan perintah Allah.

Kisah ini dikongsi oleh seseorang kepada penulis demi menyebar iktibar kepada yang membaca.

Berbalik kepada tangan isteri yang luka itu. Seperti biasa pulang dari pejabat, isteri mengemas rumah dan memasak. Kebetulan suaminya juga pulang awal dan terus duduk berehat di ruang tamu. 

Isteri yang keluar masuk dapur mengerling kepada suami yang sedang melepaskan penat sambil bersuara dengan nada menyindir, "banyaknya kerja nak buat...kain kat ampaian pun tak berangkat lagi".

Suaminya menegur lembut isteri, "Laaa...mana abang tahu nak kena angkat kain. Dulu ada sekali abang angkat kain, awak kata kain tak kering lagi. Tu yang abang malas nak masuk campur kerja-kerja awak. Lain kali kalau nak minta tolong, cakap la betul-betul..abang takde masalah nak tolong..tak payah sindir-sindir". Agak bersyarah suaminya demi mendidik isteri agar lebih berhemah.

Selang seminit suaminya menegur, tangan isterinya terkena tajam tin susu yang hendak dibukanya. "abang...ada plaster tak?" Laung isterinya di dapur.

Haaa...masing-masing berpandangan tersenyum kerana suami dan isteri itu tahu bahawa Allah sedang menegur kesilapan isteri terhadap suami...kafarah!!!

"Sayang...Allah sayang awak. Sebab itulah tidak ditangguh untuk membalas dosa-dosa kecil sayang".

Hahahaahaa...berderai ketawa mereka berdua...

Sebenarnya si steri memang sudah lama perasan akan teguran Allah yang terlalu 'direct' terhadapnya jika dia menyakiti hati suaminya yang satu itu.

Ciptalah masalah kepada suami di rumah, di pejabat akan ada masalah yang tidak dijangka timbul. Bebel lah untuk melepas penat kepada suami, akan berlaku keesokan hari di pejabat, client memarahinya. Bantahlah arahan suami, akan berlaku sakit perut berangin secara tiba-tiba.

Yang seronoknya, bila isteri balik rumah dan cerita kepada suami...isteri itu sendiri yang membuat pengakuan akan kesilapannya terhadap suami yang Allah balas secara 'cash' itu.

Tapi dah namanya manusia...pasti ada yang terleka mahupun tidak sengaja..tapi jangan dibutakan mata hati itu kerana teguran Allah boleh menjadi pelbagai coraknya.

Suaminya memanjat syukur kepada Ilahi dalam diam. "Allah bersamaku..."

Sahabat...terimakasih sudi berkongsi kisah bersama EVOLUSI JIWA.



Monday 24 June 2013

Aku Ingin Peluk Islam

"Mimpi itu menjadi titik tolak dan jawapan kepada apa yang membelenggu jiwaku selama ini".

Inilah kisahku...

Aku berketurunan Filipina, keluargaku penganut agama Kristian...percaya bahawa Tuhan itu ada anak dan isteri...Trinity.

Ditakdirkan aku dijaga oleh nenek sebelah ibu yang telah memeluk Islam (kerana berkahwin dengan orang Melayu) sejak aku berumur 6 bulan lagi. Nenek tidak pernah melarang aku untuk melakukan ritual agama Kristian...agaknya sebab aku masih ada ibu.

Sejak di sekolah rendah lagi, ibu akan mengambil aku untuk ke gereja...aku hanya mengikut sahaja, ia rutin biasa di setiap hari Ahad. Apa yang aku nyanyikan mahupun sebut sewaktu berjalannya upacara sembahyang, tidak lebih dari tonasi kosong...tiada kesan di hati.

Aku hidup berteman masyarakat Melayu Islam. Tiada yang janggal bagiku untuk menyebut lafaz "Bismillah". Bila hendak makan atau apa sahaja yang ingin kulakukan, lafaz itu bagai sudah sebati..suka-suka. Di gereja pula aku membuat lambang 'cross' di badan seperti rantai salib yang tergantung di leherku...hanya ritual kosong. Ya..aku praktik kedua-duanya Islam dan Kristian.

Aku sering berpuasa apatah lagi di bulan Ramadhan. Yelah, di sekolah dan di rumah semua orang berpuasa...akupun tak mahu ketinggalan. Saje suka-suka.

Hari-hari berlalu, aku semakin meningkat remaja tetapi aku tidak teruja. Hidupku kosong, serasa ada yang kurang. Apa yang kulakukan seolah menentang naluriku sendiri. Entahlah...

Tambah membingungkan, pernah beberapa kali aku mengalami sesak nafas sewaktu tidur akibat dihempap sesuatu dan secara spontan lancar aku membaca ayat Kursi! Ini tidak mungkin dapat kulakukan dalam situasi normal. Dari mana datangnya ayat-ayat yang asing itu?


Buat pertama kali aku beranikan diri untuk ke PERKIM bagi mengetahui apa itu ISLAM. Seorang ustaz mesra membimbingku. Itu langkah statik, aku hanya ingin mengetahui tentang Islam...itu sahaja.

Sehabis sekolah, aku mencari pekerjaan yang sesuai dengan jiwaku...menyanyi di kelab. Profesion ini adalah biasa dalam keluargaku...menghiburkan pengunjung. Di kelab itu jugalah aku berkenalan dengan seorang lelaki Melayu yang mengiringiku bermain muzik...ahhh hanya kawan.

Di suatu malam aku bermimpi, mimpi itu bertamu yang memaksa aku membuat keputusan.

Di dalam mimpi, aku berada di dalam sebuah keretapi..berseorangan. Keretapi bergerak laju dan dua badan keretapi semakin mahu terpisah dua. Aku harus membuat keputusan samada mahu ke gerabak hadapan atau yang di belakang. Dalam kekalutan situasi yang mendesak itu, dengan tidak semena-mena ada satu lembaga yang besar di belakangku yang menolak aku kehadapan dan aku tersungkur jatuh.

Dalam keadaan meniarap itu, aku bangun dan kelihatan kitab al Quran berada di bawah dadaku!!! Ya...itu mimpiku. Mimpi yang mengisi kekosongan jiwa, Tuhan mula memberi jawapan kepada kemelut jiwaku.

Aku tidak berlengah, ke PERKIM sekali lagi untuk mengucap kalimah itu. Alhamdulillah...Islam agamaku. Ibuku tidak membantah kerana keluarga kami bukan di dalam kategori taksub beragama.

Sesudah beberapa tahun mentauhidkan Allah, aku mendirikan rumahtangga dengan pemuda itu...yang juga banyak membantuku mengenal Islam.

Pernah aku bercita-cita untuk mempelajari al Quran dan membetulkan tonasi bacaan di dalam solat. Subhanallah, Allah menghadirkan guru mengaji di majlis pengkebumian ayahku di dalam ritual Kristian.

Hari itu, ayahku meninggal dunia dan aku menziarahi jenazah untuk penghormatan terakhir. Majlis dijalankan mengikut amalan Kristian...itu bukan masalah bagiku kerana Islam mengajar untuk kita tetap menghormati kedua ibubapa walau berlainan agama. Tiba-tiba hadir di belakangku saudaraku yang juga Islam dan spontan aku berkata kepadanya, "Mama, I want to learn Quran". Balasnya, "Don't worry my dear, I'll come to your house".

Masyaallah...hidayah itu tiba di majlis pengkebumian Kristian. Aku menangis teresak-esak. Agaknya orang lain menganggap aku menangis atas pemergian ayah tetapi tidak sama sekali. Aku menangis kerana Allah telah kabulkan hajatku untuk belajar mengaji!!!

Habis kisahnya.

Pemerhatianku...
Dia mencari dan pencariannya mendapat anugerah. Dia cuba memperbaiki diri, belajar Iqra' dan mula melagukan al Quran beserta tajwid. Dia istiqamah dengan amalan dan mendidik anak-anak menurut syariatullah.

Ya...dia birasku...

Sunday 23 June 2013

'Mock Up' Menuju Barzakh

Entah kenapa tiba-tiba fikiran terimbau kenangan sewaktu aku bersama rakan-rakan yang lain menguruskan Kem Motivasi Khemah Ibadah di Morib. Itu merupakan program syarikat yang mana kami sebagai AJK Surau telah diberi tugasan untuk mengendalikan Khemah Ibadah tersebut.

Kami telah melantik seorang konsultan untuk memberi topik-topik yang berhubungkait dengan jatidiri dan peranan kakitangan sebagai khalifah di mukabumi ini. Segala-galanya berjalan lancar dan hari yang ditetapkan tiba bersama kehadiran kakitangan yang agak bermasalah yang kami telah kenal pasti untuk menghadiri program tersebut. 

Kami tidak mengenakan garis panduan yang ketat kepada kakitangan...mengadaptasi konsep 'berdakwah secara berhemah'. Tiada paksaan bagi mereka yang 'free hair' untuk menutup rambut...mereka bebas. Jika adapun mereka yang memakai 'skirt', sekali-kali kami tidak akan menegur...biarkan sahaja. 

Hidayah tidak datang dari luar...pihak pengurusan memaksa itu dan ini. Jika itu yang berlaku, akan wujudlah lakonan sandiwara yang tidak berpenghujung dan mereka bakal menjauhkan diri dari orang-orang yang berlabel agama. Biarlah kesedaran sendiri yang menentukan pilihan..itu lebih memberi kesan.


Lihat sahaja bagaimana Allah mengharamkan 'khamar' di kalangan bangsa Arab yang telah sebati kehidupan mereka dengan minuman tersebut.

Peringkat pertama..diberi kesedaran bahawa lebih baik anggur itu dijual dari menjadikannya arak yang diperam..lebih memberi manfaat.

Peringkat kedua..Allah menjelaskan bahawa arak mempunyai manfaat dan juga mudarat ke atas diri. Tetapi Allah tekankan bahawa kemudaratannya lebih membawa kesan.

Peringkat ketiga..Allah melarang mereka minum arak di waktu hendak menunaikan solat kerana berlaku peristiwa sahabat yang mabuk di ketika solat.

Peringkat akhir..baru diharamkan terus arak dan di kala itu mereka yang beriman akur tanpa membantah. Habis semua bejana-bejana arak ditonggeng untuk membuang air arak yang masih diperam.

Begitu berhemah Allah terhadap makhluknya!!!

Berbalik kepada program Khemah Ibadah. Apabila semua sudah berkumpul, mereka diarah menaiki bas. Sesampai di destinasi, tugasan pembahagian bilik dijalankan. Kulihat seorang peserta wanita yang pada awalnya 'free hair' mula mengenakan selendang..tak pasti la pula mana dia mendapatkan selendang itu. Alhamdulillah, satu permulaan yang baik untuk dirinya.

Program berjalan seperti yang dirancang yang diselang seli dengan permainan minda. Pada malam pertama, peserta berpeluang untuk memukat ikan. Mereka yang seramai 20 orang menarik pukat di sepanjang pantai separas pinggang. Suka betul nampaknya mereka kerana berpeluang menjadi nelayan sambilan. Hasil tangkapan dibuat 'berbeque' sambil dihidang kopi O. Meriah jadinya malam itu.

Di malam terakhir pula, kami merancang sesuatu. Ya..sesuatu yang bakal menjadi kenangan abadi dalam kehidupan peserta. Selepas kelas terakhir di sekitar jam 10 malam, peserta diarah berkumpul di dewan yang diserikan dengan hanya lampu yang samar-samar sahaja.

Terbentang di hujung dewan, kain putih yang ditebar sebanyak 20 helai untuk 20 peserta. Mereka bakal dikapan untuk kesekian kalinya! Untuk menambah derita, aku telah membeli kapur barus dan ditabur ke atas kain putih tersebut.

Peserta diarah baring di atas kain masing-masing dan kami membalut badan mereka keseluruhannya...yang terbuka hanya di bahagian muka sahaja. Bunyi hujan dan guruh petir dialunkan bagi menambah kesan di hati peserta.

"Saudara saudari semua, cuba bayangkan anda semua telah mati dan bakal dikebumi. Anda tinggalkan hutang yang banyak, kad kredit juga pinjaman-pinjaman lain. Anda tinggalkan isteri dan anak-anak tanpa didikan agama. Anda tinggalkan solat dan puasa tanpa sempat menggantinya".

Di hujung dewan mula kedengaran seseorang yang teresak- esak menahan tangis. Bunyi dentuman guruh menambah ngeri situasi.

"Saudara saudari semua, ulat-ulat bakal memamah daging-daging anda. Berjenis ular pula menanti habuan untuk membelit. Anda merayu dan meratap hiba untuk diberi peluang sekali sahaja lagi hidup di dunia..cuma sekali sahaja!"

Kulihat semakin ramai peserta mula tidak tahan dengan peringatan-peringatan tersebut. Aku memberi isyarat kepada fasilitator untuk menghentikannya atas kemungkinan-kemungkinan yang tidak diingini berlaku.

Apabila lampu dinyalakan, peserta diarah untuk duduk dan terlihatlah semuanya menangis..ya, menangis mengenang nasib di alam barzakh. Mereka kelihatannya insaf...tetapi aku benar-benar berharap agar program ini menjadi titik tolak ke arah perubahan diri. Berubah ke arah yang lebih baik, jika sudah baik...menuju pula ke arah yang lebih cemerlang dalam menggapai kasihNYA.

Itu cuma harapan kami...tetapi mereka sendiri yang akan menentukan haluan sendiri.

Buatlah pilihan kerana di sana nanti tiada yang membantu mereka melainkan gerak amalan di masa hidup.

Tiba waktu untuk pulang. Kami bersalam-salaman dan kelihatan mereka mempunyai semangat baru dalam menongkah arus keperitan hidup. Ramai yang memelukku erat...mungkin simbolik rasa terimakasih di atas kesedaran yang diberi.

Sahabat...kami hanya menjalankan tugas untuk menyampaikan apa yang perlu. Jika rasa sedar itu bersifat total...kuiringi dengan ucapan Alhamdulillah.

Memulakan hari-hari biasa di pejabat, kulihat kelibat mereka di surau untuk berjemaah zohor...kuiringi sekali lagi dengan ucapan Alhamdulillah.


Tuesday 18 June 2013

Ke Mana Hilang 'Rasa' Itu?

Manusia tercipta tidak diminta. Kita tidak tahupun bahawa kita bakal mendiami bumi yang berbentuk sfera ini. Seolahnya kita dipaksa untuk menjalani kehidupan di dunia. Lahir-lahir sahaja terus kita menangis...agaknya sebab nak protes Tuhan kot.."apasal laa Tuhan hantar kita ke dunia yang penuh tipu daya niiiii!"

Aaa..aaa..aaa...jangan la cepat melatah manusia ooii. Memang la kita tidak pernah minta untuk lahir ke dunia tetapi harus diingat, apabila Tuhan sudah tentukan sesuatu perkara itu...tiada satu makhlukpun yang boleh pertikaikannya. Terima sahajalaaahhh...
Tuhan tidaklah zalim melepaskan kita hidup tanpa apa-apa panduan. Bayangkan..kita dijemput ke kenduri kahwin tanpa kad jemputan, tanpa peta lokasi, tanpa aturcara majlis, kan ke kalut jadinya. Kita hendak ke sanapun berfikir 10 kali..takut-takut sesat tak sampai ke tempat yang dituju.

Bila manusia begitu berhati-hati menjemput sanak saudara ke majlis walimatul urus sehingga ada yang menyediakan latitud GPS bagi benar-benar ingin memudahkan perjalanan seseorang...apatah lagi ALLAH!!! Malah kadang-kadang DIA beri lebih dari apa yang kita minta..jangan kata yang diminta, yang tidak diminta juga kita dapat merasa.
Tetapi nampaknya kita terus sesat dalam kehadiran pelbagai panduan dari langit. Dicipta Nabi dan Rasul untuk setiap kaum. Warna-warni mukjizat mengambil tempat. Sains dan kehidupan banyak yang dijawab di dalam Kitabullah. Kejadian alam dan kosmos serta kejadian 'big bang' terang-terangan menepati Quran.

Malangnya, masih ramai yang kabur dengan segala panduan yang diberi...hah, kabur? Kalau tanya pada yang Muslim, semua yakin dengan sam'iyat (perkara ghaib) tetapi mengapa masih bermaksiat? Tak percaya kepada hari pembalasan ke?
Okey, mari kita ber 'analogi'. Seseorang yang pakar tentang masakan, sudah barang tentu tahu bahan apa yang terkandung di dalam sesuatu masakan. 


Saya suka mengikuti rancangan Master Chef dan sekarang ini dipilih selebriti untuk menceriakannya. Di dalam salah satu siri, telah dihidang masakan bubur lambuk. Setiap selebriti harus merasa dan meneka bahan-bahan yang terkandung di dalam bubur tersebut. Ada yang meneka dengan tepat dan begitu juga di sebaliknya. 
Yang pakar masak sudah tentu dapat meneka kesemua 20 bahan. Yang separa pakar mungkin dapat meneka sebahagiannya sahaja. Yang tidak minat memasak mana mungkin boleh meneka.


Macam mana yang pakar boleh tahu semuanya? Eerrmm..dah namapun pakar, tentulah dia telah mendalami ilmu masakan dan mempraktikkannya setiap hari...siap boleh tubuhkan kelas masakan lagi bagi berkongsi ilmu masak-memasak.
Yang boleh memasak tetapi bertaraf biasa-biasa sahaja akan masak untuk keluarga dan diri sendiri sahaja. Bagi yang tidak pandai langsung...hanya mampu menjamu selera.

Inilah 'analogi' nya. Sebenarnya 'rasa' itu memain peranan utama untuk kita kenal Allah. Kita 'rasa' kewujudan Allah sama seperti pakar masakan yang boleh merasa bahan-bahan di dalam sesuatu masakan walau tidak kelihatan sifat gula, garam, bawang putih dan sebagainya. Kita tidak melihat Allah tetapi kita merasai kehadiranNYA. Yang tinggi rasanya ialah yang tinggi ilmunya dan banyak amalannya. Siap boleh wujudkan kelas agama untuk berkongsi ilmu dan menyampaikannya.

Bagi yang biasa-biasa sahaja, hanyalah beramal untuk diri sendiri...kekadang merasa kekadang hilang rasa itu. Bagi yang jahil pula tidakpun merasa dan kekadang mempertikaikan pula cara Allah memberi amaran.

Sahabat...agak-agaknya lah, di mana kedudukan kita dalam mengenal Allah? Sebagai seorang pakar, ilmu biasa-biasa sahaja atau tak kenal langsung?

Jika rasa itu ada, kita akan mencari-cari waktu untuk bersamaNYA.
Jika rasa itu ada, kita akan jadi terlalu berhati-hati bila berurusan dengan makhluk.
Jika rasa itu ada, kerja yang kita lakukan menjadi sempurna kerana itu tuntutanNYA.
Jika rasa itu ada, kita akan sentiasa berbuat kebajikan dikala tiada seorangpun yang melihat.
Jika rasa itu ada, ibubapa di kampung akan merasa terhibur dengan kehadiran kita atau setidak-tidaknya mendengar suara di talian.
Jika rasa itu ada, kita akan ketepikan habuan dunia di kala menyebar kebaikan.
Jika rasa itu ada, kita akan terus meminta-minta kepadaNYA tidak kepada makhluk yang lain.

Tetapi kita macam tak rasa apa-apa jeee.

Mana la agaknya hilang 'rasa' itu ye...

Sunday 16 June 2013

Bodek Atau Ambil Hati?

Dalam satu-satu organisasi akan wujud majikan dan pekerja. Hubungan yang baik antara mereka bakal menatijahkan hasil dan 'output' yang baik secara keseluruhannya. Biarpun terdapat minoriti kakitangan yang kurang segar tetapi ia sekali-kali tidak mampu menentang arus perdana yang baik atas kapasiti pekerja baik mendominasi jabatan tersebut.

Jika dianalogikan kepada setandan pisang, dalam limpahan warna kuning keemasan itu pasti terdapat warna yang pudar dan tidak bermaya. Jika pisang busuk boleh saja kita asingkan dan buang. Tetapi konsep itu tidak boleh digunapakai terhadap manusia apatah lagi dalam kehidupan berkeluarga.

Anak-anak yang malas dan agak lembam harus diberi perhatian lebih agar dirinya tidak ketinggalan berbanding adik-beradik yang lain. Pekerja yang suka curi tulang dan sarat beralasan harus ditangani dan diberi perhatian lebih demi mengelak yang lain berasa seperti tidak adil.

Ya...cerita pisang, keluarga dan kakitangan sudah dikupas secara umum. Tetapi apa yang penulis ingin sampaikan di sini adalah istilah 'bodek' yang sering dilabel kepada seseorang dalam sesebuah organisasi.

Istilah ini kerap hadir kepada mereka yang sering dilihat bersama 'boss' atau ketua jabatan. Persepsi di luar melihat ada faktor 'personal interest' apabila keadaan itu berlaku.

"Senang nak naik pangkat le tuu".
"Bila kerja tak siap, mulalah dia himpit boss dan puji melangit. Boss pun cair tak jadi nak marah".
"Asyik-asyik muka dia dalam bilik boss...bodek la tuuu".

Haaa...itu di antara frasa-frasa amarah yang keluar dari mulut mereka yang tidak berpuas hati. Eerrmm...penulis rasa memang patut rasa tak puashati itu merajai hati kerana semua yang dilakukan oleh 'pembodek' menjurus ke arah kepentingan peribadi sehingga ada yang sanggup memijak rakan-rakan sekerja yang lain.



'Bodek' jika dirujuk kepada Kamus Dewan edisi keempat bermaksud 'mengangkat, mengampu, mencari muka'. 

Itu semua merupakan laluan untuk mendapatkan sesuatu. Jika rapat dengan ahli politik...kepingin pangkat dan jawatan. Jika ber'couple' dengan ahli perniagaan...nak dapat projek. Jika macam belangkas dengan majikan...nak cepat naik pangkat.

Tetapi jangan sesekali menggelar seseorang itu suka bodek boss bilamana dia sering memuji ketuanya di dalam sesuatu majlis. Pujiannya mungkin jujur yang mana dia mahu mereka tahu bahawa dia banyak berhutang budi dengan ketuanya yang banyak membantu mengangkat dirinya ke tahap yang tidak terfikir olehnya. Hanya itu sahaja caranya untuk dia membalas budi baik ketua.

Jika tetap mahu juga melabel dia membodek boss...cuba lihat senarai di bawah:-

1. Adakah dia mengejar pangkat dan telahpun mendapat apa yang dihajati?
2. Adakah dia yang mendekati boss atau boss itu yang sering mencarinya?
3. Adakah kerjanya tertangguh atau dalam kategori cemerlang?
4. Adakah dia sering meluangkan masa bersama boss sehingga mengorbankan hujung minggu bersama keluarga? (bermain golf contohnya)
5. Adakah 'simptom' boss membenci kakitangan lain atas hasutan sikaki bodek itu?
6. Siapakah yang menawarkan diri untuk berhijrah ke jabatan lain bila berlaku pengecilan jabatan? (dikala tiada seorangpun yang berani berdecit di waktu itu)
7. Adakah pekerja itu membuta tuli menyokong apa sahaja yang datang dari boss atau dia akan memberi komen dan pendapat atas sesuatu yang tidak dipersetujuinya?

Jika semua yang tersenarai di atas tidak terdapat kepada seseorang itu...lebih manis rasanya istilah 'bodek' diterjemahkan sebagai 'ambil hati'. Atas rasa terimakasih yang teramat...dia mewar-warkan dan memuji jasa baik ketua di khalayak yang ada...salah ke tu?

Janganlah pula kita yang tiada aura untuk meluahkan 'rasa berterimakasih' melabel sesuka hati mereka yang cuba mempraktik sunnah Rasulullah saw. Jangan ambil tugas Tuhan dengan menelah hati seseorang.

Rasa kasihan penulis kepada yang menjadi mangsa kerana penulis amat mengenali dirinya. Penulis yakin dia tiada masalah untuk berpisah dengan ketua jabatannya jika itu yang dikehendaki oleh syarikat...maksudnya berhijrah ke jabatan lain. Lain sifatnya untuk yang kaki bodek, pasti akan berasa resah bilamana menerima surat pertukaran jabatan.

Maaf...penulis tidak cuba untuk mengeruh suasana hanya tergerak hati untuk memperjelas sesuatu...agar tiada yang menjadi mangsa lidah...ye laa, lidah tu kan tidak bertulang.

Pena penulis mula menari-nari lagi...

Saturday 15 June 2013

Subhanallah...Inilah Islam




Hari itu aku disapa oleh sekeping kad...kad undangan perkahwinan yang lantang menggugat kestabilan emosi. Aku tak pasti mengapa perlu ku beremosi di kala sepasang kekasih bakal mendirikan masjid. Syaitan sudah tidak betah jadinya menanti hari tersebut...hari yang bakal memusnahkan peluangnya untuk mencari seramai teman menuju menara merah...neraka!

Aku? Ya, aku masih leka menatap kad undangan yang bersampul hitam dan putih. Rekabentuk kadnya mudah, berlatarbelakang warna gelap keemasan. Tetapi 2 objek yang tertera itu benar-benar membuat aku terpaku...penukulnya telah membenam paku jauh ke dalam lubuk hatiku.

Betulkah apa yang terhidang di hadapanku ini? Aku mengenalinya tidak lama tetapi serasa mesranya melangkaui jarak masa. Dia mudah tersenyum dan penampilannya biasa-biasa sahaja. Kebaikan dan sifat jujurnya terserlah bilamana kami mula berbual...dia cepat mesra tetapi masih kekal dengan sifat malunya. Menjadi orang kepercayaan Pengurus, menjelaskan lagi siapa dia.

Jujur aku meluahkan bahawa sepanjang kembaraku di muka bumi ini, tidak satupun kad undangan perkahwinan yang mampu memaku mataku untuk tidak berkelip dalam beberapa minit..sungguh! Tetapi kad yang satu ini seolahnya hidup dan bernyawa. Kad itu bagai bersuara "INILAH AKU".

2 objek itu menceritakan sepasang kekasih duduk penuh sopan tidak bersentuhan. Mereka berdua memegang kitabullah. Pemilihan pakaian amat ringkas diserikan dengan warna kegemaran Rasulullah...putih bersih. Silelaki memakai kopiah putih dan pasangannya ber'niqab'!!!

Itu sebenarnya yang membuatkan emosiku bertamu. Satu konsep yang berani dipamerkan oleh mereka berdua. Pertama kali membuka kad undangan, hatiku berbisik sebak...INILAH ISLAM.

Mereka berdakwah dengan cara sendiri. Jika lazimnya kita melihat kad 'pre wed' berpegangan tangan walau belum diijabkabul, mereka menegur remaja di luar dengan promosi hebat. Jika yang ber'niqab' dianggap jumud dan terlalu bersempadan, mereka telah memecah persepsi masyarakat dengan satu mesej...Islam sesuai diaplikasi di sepanjang zaman dengan menjadikan syariat sebagai panduan.

Mereka tidak lokek bergambar dan tampak mudah mengikuti arus zaman yang beredar. Mereka suka bergambar dan gambar mereka sarat dengan mesej Islam kontemporari. Mereka senang dengan dunia sekarang dan tidak kekok untuk mengekalkan identiti Pasangan Muslim Contoh. Mereka mempromosi kitab al Quran dengan beranalogi bahawa hanya Kalam Allah sahaja boleh menyelamatkan pelayaran rumahtangga yang bakal menempuh laut yang bergelora.

Hari itu kami bertemu lagi bagi menghadiri sebuah bengkel di Port Dickson. Kami duduk semeja di waktu makan malam. Dia mula galak bercerita tentang pengalaman bersama teman hidup. Berkenalan hanya selama 6 bulan yang diuruskan oleh saudara rapat. Pergi merisik dan pihak keluarga perempuan hanya mahu dilangsungkan sahaja majlis akad nikah tanpa majlis pertunangan. Semudah itu...INILAH ISLAM.

Banyak lagi cerita yang dikongsi yang mana aku rasa tidak perlu sangat untuk kusebarkan segalanya. Aku meminta izin untuk memapar kisahnya bersama kad undangan yang teramat unik itu. Tidak timbul masalah katanya jika itu dapat memberi kebaikan dan manfaat kepada yang membaca.

Saudaraku Encik Razaleigh, semoga perkahwinan anda diberkati yang bakal melahirkan generasi Muslim yang tidak hanyut ditelan hipokrasi dunia.

Terimakasih sahabat kerana sudi berkongsi cerita dan jujur mengizinkanku memapar kisah kalian berdua. Semoga Allah menganugerahkan kebaikan di atas kebaikan anda. 

DUNIA...LIHATLAH, INILAH ISLAM!!!

Jazakum Allahu Khair.

Sunday 9 June 2013

Kisah Bilis dan Jerung

Ilmu merupakan satu-satunya harta yang tidak akan habis walau digali dan dipelajari sebanyak mungkin. Sebaliknya semakin banyak dipelajari semakin bertambah ilmu itu jadinya...bercambah dan membiak tanpa dapat dikawal sehingga terasa semakin dungu jadinya diri.
Mempelajari ilmu menjadi fardu 'ain kepada setiap yang bernama 'mukallaf' (Muslim akil baligh yang berakal dan waras). Permulaan ayat yang diturunkan berbunyi 'bacalah', menunjukkan dengan membaca, ilmu dapat digali seterusnya dikaji dan diimplementasi dalam kehidupan seharian.

Pernah Sayidina Ali ditanya beza antara ilmu dan harta. Katanya, kita terpaksa menjaga harta sebaliknya ilmu pula yang menjaga kita. Harta dibelanja akan berkurangan tetapi ilmu yang disebar bakal menambahkan lagi ilmu lain. Harta penyebab kita leka dengan dunia tetapi ilmu yang betul lebih mendekatkan kita dengan RAB.

Begitulah di antara kelebihan ilmu...dengan syarat ilmu yang dipelajari haruslah ditemani jujur dan ikhlas. Jika mempelajari ilmu untuk pangkat, kedudukan, harta dan segalanya ber'maqasid'kan dunia, maka di sinilah timbulnya banyak masalah-masalah salah guna kuasa dan hilangnya integriti diri.

Maka tidak hairanlah pegawai atasan Tabung Haji terlibat dengan penyalahgunaan kuasa, rasuah mengambil tempat, diskrimimasi pekerja mengikut selera 'favoritism' dan bermacam kerenah hilang jati diri yang mencalar kredibiliti ilmu.

Mereka semua berjawatan tinggi yang menunjukkan tahap ilmu mereka juga bukan calang-calang untuk dipertikaikan. Pernah ada seorang doktor di Kuala Lumpur yang beroperasi menjual 'slip mc'...maka berduyun mereka yang tidak sakit untuk 'disakitkan' dengan berbekal slip tersebut. Pergi sahaja ke kaunter, terus pekerjanya bertanya nak mc berapa hari!

Itulah di antara manipulasi ilmu yang terarah kepada hilangnya keberkatan ilmu itu sendiri.

Kedapatan pula orang bijak pandai yang mengejar 'title'. Semakin banyak gelaran yang dipegang maka semakin berharga diri dirasa. Dengan kedudukan tersebut, banyak projek yang memerlukan kelulusan beliau. Apa lagi ber 'percent-percent' lah laba masuk ke kantung. 
Tak susah, perbincangan hanya berlaku di padang golf yang ditaja oleh kontraktor. Sambil memukul bola, tawaran menyusul dan persetujuan diperolehi. Cantik bukan!!!

Oohh...tetapi cantik itu sebenarnya mengundang padah. Selepas setahun bersara dan tiada memegang apa-apa jawatan, pengurusan baru mengesan transaksi yang mencurigakan lantas dibuka fail di mahkamah untuk proses pendakwaan.

Haaa...terlihatlah kelibat mereka yang didakwa hanya tersenyum. Senyum kerana mereka akan mencabar pendakwaan tersebut. Diupah peguam yang handal dan silap-silap hakim juga silau mata dengan tawaran untuk membatalkan kes.

Dimana keadilan? Mengapa jerung sering terlepas sementelah si bilis acapkali terjerat? Sebenarnya ikan bilis itu yang lebih beruntung...aiikk macam mana pula tu? Dahlah tak berduit, didenda dan ada juga yang masuk penjara..di mana untungnya si ikan bilis?

Cuba alih sisi pandang ke sudut syariatullah...jawapannya di situ. Dosa yang dibalas di dunia lebih amat-amat menguntungkan dibanding jika Allah tangguh pembalasannya di akhirat. 

Kebaikan yang lain pula, bila kena hukuman, itu boleh menginsafkan seseorang...langsung dia bertaubat. Itu lebih baik dari sijerung yang sering terlepas dan terlekalah dia dengan segala kuasa dan pengaruh sehingga tiada rasa untuk bertaubat. Hingga sampai ke penghujung hayat, diri bergelut dengan hijab yang dibuka menunjukkan kesalahan dan dosa-dosa yang masih tidak terampun.

Dikala itu lidah sudah terangkat ke lelangit, kelu dan keras untuk bertutur..mata sahaja yang berkelip-kelip cemas melihat segala salah laku. Ya...apabila hijab dibuka, mulut akan dikunci. Pendosa tidak akan boleh bercerita kepada sesiapa jua tentang apa yang dilihat. Diri lemas...seakan bernafas di dalam lumpur, mencungap-cungap meminta udara.

Ikan bilis telah membayar denda atas kesalahan juga mungkin telah bebas dari hukuman penjara selama 5 tahun. Dia berubah dan berazam untuk memulakan kehidupan baru. Dia mula sedar atas ceramah-ceramah agama yang menjadi halwa telinga sepanjang tempoh di penjara. Dia telah fasih membaca al Quran yang diajar oleh guru-guru agama di penjara. Tempoh penahanannya tamat dan dia telah bebas, dirinya seolah bayi yang baru dilahirkan ke dunia...tanpa dosa.

Nah...jika itulah keadaannya, mana satu yang kita pilih...BILIS atau JERUNG?

Jangan persoal baik atau buruk sesuatu yang berlaku kerana akal kita terlalu dangkal untuk merungkai rahsia Allah. Sesuatu yang kita anggap baik belum tentu baik di sisiNYA. Jangan pula cepat melatah dengan sesuatu yang tidak kita sukai...boleh jadi itu lebih baik untuk kita di masa hadapan.

Apa yang berlaku di dalam diri kita lebih patut diberi perhatian berbanding dengan apa yang berlaku ke atas diri kita...hanya matahati yang hidup dapat merasainya!