Translate

Tuesday 29 April 2014

"Sabri...Sujud Syukurlah"

Jarang-jarang sahabat yang seorang ini masuk ke jabatanku. Jika terserempakpun di kafetaria ataupun di surau. Tetapi pagi itu dia muncul menyerah diri. Dia hadir di jabatanku atas urusan rasmi. Peluang itu tidak kulepaskan untuk berbual sambil mengorek perkembangan terkini dirinya. 

Mulanya aku hanya berdiri berbual dengan niat tidak mahu berlama-lama...banyak urusan kerja yang harus kubereskan. Tetapi ceritanya yang satu itu, harus menggerakkan punggungku untuk berlabuh duduk di sebelahnya. 

Tanggal 8 Mac 2014...itulah tarikh pilihan untuk sahabatku yang bernama Sabri akan melancong ke Beijing, China bersama keluarga dengan menaiki pesawat MH 370!!!

Cutinya telahpun diluluskan dan tiket penerbangan sudah dibeli tetapi muncul satu masalah...masalah yang melayakkan Sabri dan keluarganya untuk bernafas sehingga ke hari ini. 

Rancangan untuk melancong ke Beijing adalah bersama teman sekerja. Bilamana cuti rakannya tidak diluluskan oleh majikan, terpaksalah Sabri membatalkan rancangannya dan mengubah tarikh lain yang sesuai.

Setelah berbincang, mereka bersetuju untuk berpecah dan membatalkan rancangan melancong bersama. Sabri memilih tarikh lain untuk ke Beijing...18 Mac 2014.

Sabri berhenti sebentar dalam meneruskan cerita. Dia seolah tidak dapat membayangkan keberangkalian yang berlaku sekiranya dia meneruskan niatnya untuk berlepas ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Aku mengusiknya dalam nada bergurau, "Sab, kalau kau dalam pesawat MH 370 haritu, tiap-tiap hari aku akan buat tahlil kat surau kita Sab". Hahahaaaa...berderai gelak tawa kami.

Tawaku spontan bertukar nada insaf, "Sab, buat sujud syukur banyak-banyak Sab. Allah masih beri peluang untuk kau tebus dosa-dosa".

Sabri mengangguk-anggukkan kepalanya sambil memandang tajam anak mataku.

Terimakasih Sabri kerana mengizinkan aku menggarap kisah ini dan memapar foto kau yang 'macho'. Sama-sama kita sujud syukur sahabat.


Monday 28 April 2014

Menegur Perlu Publisiti?

Berdakwah adalah tugas setiap yang bernama manusia, bukan haiwan tidak juga tumbuhan...hanya kepada manusia. Sampaikan walau satu ayat...itu pesan Kekasih Allah. Muhammad sebelum dilantik menjadi Nabi dan Rasul telah mengasingkan diri dari masyarakat. Baginda mendekatkan diri dengan alam dan mencari pencipta alam itu sendiri.

Ya...jikapun tidak mampu berdakwah untuk masyarakat, memadailah dakwah dilakukan secara kecil-kecilan. Untuk teman-teman rapat juga keluarga di rumah...sampaikan perkara yang 'hak'.



Tetapi apa pula ceritanya kepada mereka yang ingin menegur pendakwah? Tegur-menegur, berbahas mahupun bermuzakarah memang dianjur di dalam Islam. Di situlah hikmahnya Allah menjadikan manusia berbeza pendapat dan pandangan...guna untuk kita berlapang dada dalam menerima teguran. Tidak meriah kehidupan jika semuanya sependapat...kelam muzakarah, mati berhujah.

Menegur pula harus beretika, jangan sampai teguran itu meratah parah hubungan persaudaraan.

Menegur mestilah ikhlas dalam meminta penghujahan dan pencerahan sesuatu isu yang samar.

Menegur tidak perlu publisiti demi menaikkan 'rating' laman sosial.

Setinggi manapun ilmu seseorang, jika etika menegur masih jahil dan mengharu-birukan situasi...disarankan agar individu berkenaan mengasingkan diri terlebih dahulu bagi mengenali diri sendiri dan tujuan kita dicipta.

Jangan baru belajar merangkak sudah berani mempertikai pelari pecut 100 meter.

Berhemahlah ye...


Sunday 20 April 2014

Imaginasi Melangkaui Sempadan




Dalam aku menonton rancangan tv...kisah seorang suami dan ayah yang kematian isteri. Konflik berlaku bila anak-anak sibuk dengan urusan masing-masing...tiada masa untuk rasa sunyi dan keperluan ayah. 

Tiba-tiba fikiranku menerawang tentang nasib diri. Siapa yang akan pergi meninggalkan keluarga dahulu...aku atau isteri? Jika aku yang pergi dahulu, itu lumrah. Isteri mahupun ibu, tidak menempuh masalah hidup bersendirian dalam menguruskan rumahtangga. Segalanya bisa diatur...hanya lagi hidup berteman sunyi. Itupun bukan masalah besar bagi kaum hawa. Lama kelamaan, semuanya bakal stabil...alah bisa tegal biasa.

Apa kisah suami, lelaki dan tidak ketinggalan aku yang kematian isteri? Siapa yang akan membasuh kain baju? Siapa yang akan menggosok bajuku? Siapa yang akan masak dan menghidangkan lauk? Bagaimana dengan keadaanku yang sunyi tanpa teman berbual?

Aku cuba hayati cerita tv yang kutonton itu. Hidup si ayah sunyi sangat. Nasib baiklah ada seorang anak perempuan yang menguruskan segala keperluan ayah...itupun anak angkat. Anak-anak lelaki semuanya dengan urusan keluarga masing-masing.

Ermmm...jika berlaku ke atasku? Aku tidak cerewet bab makan...beli sahaja. Aku biasa bantu isteri basuh baju dengan mesin basuh..bisa diatur. Aku tidak kekok gosok baju kemeja..Insyaallah. 

Sunyi? Eerrmmm...aku ada DIA!!! Segalanya kuserah padaNYA.

Adakah imaginasiku melangkaui sempadan realiti? Hhmmm...ia bisa berlaku ke atas kita semua wahai kaum lelaki...bersedialah untuk ditinggalkan!

Wallahua'lam

Friday 18 April 2014

Terjemahkan Kasih Sayang

Umar r.a sebelumnya keterlaluan dalam membenci Islam. Keterlaluannya sehingga berniat untuk membunuh Baginda Rasul.

Rasulullah tahu akan hakikat itu sehingga Baginda berdoa agar diberi hidayah ke atas salah seorang Abu Lahab dan Umar terpilih.

Islam agama kasih sayang...melangkaui bangsa dan keturunan.

Tetapi kasih sayang Islam untuk yang menyengutukan Allah hanya terbatas dalam lingkungan persaudaraan sesama makhluk, tidak lebih dari itu. Tidak disuruh untuk kita berdoa untuk mengampunkan dosa-dosa mereka. Jangan pula kita sedekahkan al fatihah untuk mereka yang kufur kepada Allah. Hanya yang 'harus' untuk kita mendoakan agar mereka diberi hidayah.

Yang mengaku menjadikan Nabi Muhammad sebagai idola no 1, tunjukkanlah juga kasih sayang kepada mendiang Karpal Singh. Hormatilah jenazahnya dan ucap takziah kepada kaum keluarganya.

...kerana itu yang diajar oleh IDOLAmu!

Salam takziah buat keluarga Karpal Singh...17 April 2014.





Tuesday 15 April 2014

Ogos 1995

Detik itu tiba...air ketuban isteriku telah pecah petanda amaran awal untuk kelahiran. Aku tiada pengalaman, maklumlah kelahiran pertama. Segalanya mengikut naluri hati dan keadaan.

Lantas aku capai segala yang perlu dan bergegas ke Pusat Rawatan Islam tempat isteriku didaftarkan. Isteriku mula rasa tidak selesa...serasa ingin kupecut kenderaan selaju boleh tanpa menghirau segala halangan.

Alhamdulillah kami selamat tiba di pusat rawatan dan aku serahkan segalanya kepada jururawat yang bertugas. Sebelum berpisah, isteriku mencium tanganku seraya memohon maaf, "Bang...maafkan gee atas segala kesalahan. Kalau apa-apa berlaku, abang jaga anak kita ye". Aaahhhh...naluriku semakin resah untuk menghadapi situasi yang tidak terjangka. Aku tergamam dengan permohonan maaf itu...sebak.

Selang setengah jam, aku dipanggil oleh jururawat untuk menemani isteriku yang hampir melahirkan. Aku masuk ke bilik dan berdiri di sampingnya. Tanganku digenggam erat...raut wajah isteri menahan sakit masih dapat kubayang hingga ke saat ini. 

Tiba-tiba dalam keadaan yang kalut itu, aku seolah hilang pertimbangan dan hampir terjatuh. Namun sempatku berpaut di birai katil. 

"Encik ok ke? Kalau rasa tak ok, Encik boleh tunggu di luar ye", jururawat menyapaku.

Baru aku sedar bahawa sedari pagi tadi, tiada apa yang kujamah. Ditambah dengan segala bauan ubat-ubatan hospital membuatkan aku sedikit pening. Aku keluar dari bilik bersalin dan menuju ke surau hospital di tingkat atas. 

Sehabis dhuha, aku berdoa selayak ini hari terakhirku bersama isteri. Aku sebak, sedih dan benar-benar berharap agar segalanya selamat untuk aku mengazankan anakku yang pertama dan sempatku kucup dahi isteri yang telah melahirkan zuriat buat kami.

Setengah jam di surau, aku turun untuk mengetahui perkembangan ahli keluarga baruku. Sampai di bawah, kelihatan ibu dan bapa mertuaku sudah menunggu. Wajah mereka juga berbaur...sedih dan berharap.

Aku berdiri di satu sudut memerhati dari jauh jururawat yang sedang memandikan seorang bayi comel yang baru lahir. Hati berdetik, kalaulah anak aku comel macam tu...aahhhh. Apa pula cerita isteriku di dalam bilik bersalin.

Aku sapa jururawat yang baru keluar dari bilik isteriku.

"Cik, isteri saya macam mana...Fauziah Jamaludin".
"Aaarr...isteri Encik dah selamat bersalin, tu anak Encik".


Subhanallah, bayi comel yang aku perhati sedari tadi anak aku rupanya!!! Aku bergegas masuk ke bilik dan ucap tahniah kepada isteriku. Alhamdulillah, bayi dibawa masuk ke bilik untukku azankan.

Anakku...ini suara ayahmu. Di sebelah adalah ibumu yang mengandungkanmu selama 9 bulan. Balaslah kesakitannya dengan sentiasa menggembirakannya. Berilah ketaatan kepada ibumu 3 kali melebihi ayah kerana syurga itu letaknya di bawah telapak kaki ibumu.

"Allahu Akbar Allahu Akbar..." azanku laungkan buat cahaya permata kami.

Isteriku...walau aku tidak merasa keperitan yang kau tanggung sewaktu melahirkan, namun itu sudah cukup menginsafkanku betapa ibu, isteri jua anak perempuanku mendapat taraf istimewa di sisiNYA.

Isteriku...tidak mampu untuk kusia-siakan hidupmu...percayalah!!!


Monday 14 April 2014

Bila Sup Tomyam Tertumpah

Aku jarang makan di luar...errmm agaknya sebab aku bukan spesis pemakan sangat. Apa yang dihidang, itulah yang kujamah. Hendak komen sedap tak sedappun bukan caraku...janji halal dan kenyang.

Tetapi sekali-sekala mahu juga ditukar selera apatah lagi bila anak-anak semua berkumpul. Jadi kesempatan itu kuguna untuk mengajak mereka semua makan di luar.

Kami ke restoran tomyam...semua pesanan berciri ala Thai. Yang istimewanya sup tomyam yang memang menyelerakan apatah lagi bila dihirup panas.

Pesanan tiba...satu demi satu hidangan diletak di atas meja. Tetapi dengan tidak semena-mena sup tomyam yang dihidang di sebelahku tertumpah di atas kesilapan pelayan. Ooouuucchhh!!! terasa panas pehaku dan seluarku basah di bahagian peha.

"Maaf encik maaf...saya tak sengaja".
"Takpe", balasku ringkas. Pelanggan lain hanya memerhati.

Aku bingkas bangun untuk membersihkan seluar dan telefon bimbit yang terkena percikan sup tomyam.

Hhmmm...mesej kejadian kubaca dan kuanalisa dalam diam.

Tumpahan tomyam panas itu bukan bermesej kosong. Ia adalah kafarah ke atas dosa-dosaku. Tidak sebesar manapun berbanding apa yang sudah kulakukan. Kesilapan pelayan hanyalah merupakan arahan langsung dariNYA. Tugasku hanyalah untuk meredhainya tanpa prejudis. 

Lagipun aku bersama keluarga. Segala gerak geriku diperhati oleh anak-anak. Kesempatan itu kuguna untuk mendidik mereka dalam diam. Jika mereka sedar...entahlah.

Terimakasih Allah!


 



Wednesday 9 April 2014

Tipikal Italy

Bon Jorno!!!

Aduuhhhh...tidak mampu untukku menyekat hidangan yang bertalu-talu menerpa. Ini Eropah...budaya mereka jauh berbeza berbanding Asia, dari segala segi!

Alessandro merupakan orang lama yang digandingkan denganku untuk misi ini. Pengalamannya amat luas, dia banyak berkongsi cerita...aku teruja.

Adalah biasa bagi mereka walau di rumah, untuk memulakan makan tengahari atau malam, dimulai 'appetizer' berupa salad atau h'deuvre. Hidangan kedua berupa makanan berat seperti 'pasta' atau 'spaghetti' mahupun 'steak'. Hidangan ketiga berupa pencuci mulut berupa buah-buahan mahupun manisan. Penutup wajib adalah 'coffee' seperti 'cappuccino' dan 'espresso'.

Bagiku hidangan 'appetizer' sudah cukup memadai kerana kuantitinya yang agak banyak. Ia berupa hidangan hirisan daging dan salad mahupun 'risotto' (hidangan nasi seakan berkanji). Apatah lagi ditambah dengan hidangan kedua dan ketiga..padat rasanya.


Aahhhh...ini yang dihidangkan untukku selama aku bersama mereka. Bukan masalah untuk aku menjamah hidangan 'Italiano', masalahnya bila hidangan demi hidangan mengikut turutan itu yang meresahkanku. Perutku seakan mahu menjerit mengatakan CUKUP!!! Tetapi demi mengenang mereka yang meraikanku, maka aku berbisik kepada 'perut', makan sahajalah selagi terdaya. Aduuuhhh..

'Coffee' merupakan minuman wajib bagi 'Italian' sewaktu sarapan, minum pagi (brunch), minum petang dan setiap habis makan tengahari mahupun makan malam. Kopi, kopi dan kopi. Hidup mereka seakan tidak lengkap tanpa hirupan kopi panas.

Kopinya memang lazat. Alessandro mengajarku cara meminum 'espresso' yang hanya dihidang di dalam cawan bersaiz kecil dan kandungan air kopinya hanya separuh dari cawan kecil itu. Lebih berdisiplin meminumnya tanpa gula dan krimer untuk merasai kenikmatan kopi itu sendiri. Sluuurrrrpppp...aku mencubanya dengan sekali teguk. Huisssyyyy terasa menangkap kepekatan kopinya di tekak. Begitulah caranya...aku yang merana...heheee.

Aku dibawa ke restoran pizza untuk merasai kenikmatan pizza asli buatan Italy. 'Cheese' yang digunakan adalah halal. Aku menjamahnya dengan begitu bersemangat kerana aku memang dilahirkan untuk menjadi 'pencinta pizza'. 

Hari terus berlalu. Lantas...aku mula merindui masakan sambal dan asam pedas. Mahu taknya...dah naik  muak setiap hari memakan makanan yang berasas 'cheese' tanpa kepedasan cili.

"Mr Azizi, are you enjoy eating the food?"
"Oh forsure, this is really nice...I love Italian food".

A'aah...iya lah tu 'enjoy'...tekak dah muak..'enjoy' apa kebendanya!!! Heheee...

Sekadar berkongsi cerita. Gracie...



Catatan pengembara...9 April 2014. Milan/Italy



Sunday 6 April 2014

Bila Kaki Melangkah Lagi

Aku sudah bersedia tetapi persediaan itu diduga dengan pembatalan penerbangan Lufthansa atas mogok yang dilancarkan oleh juruterbangnya di seluruh dunia. Sibuk aku menguruskan pertukaran penerbangan agar misiku tidak tertangguh. 

Alhamdulillah...aku berjaya mendapatkan pertukaran penerbangan lain. Kali ini bersama Qatar Airways yang bertransit di Doha, Qatar untuk ke destinasiku yang seterusnya...Milan, Italy.

Seperti biasa, aku akan meluangkan masa dengan ibuku menceritakan perkembangan diri seterusnya meminta restu agar dimudahkan perjalanan dan mendoakan agar misiku berjaya.

Sudah berada di dalam pesawat, lunak hatiku bila mendengar alunan bacaan 'doa perjalanan' yang dimainkan sebelum pesawat berlepas. Ini tidak berlaku di pesawat MAS. Tetapi lunak itu bertukar senak bila anak kapal menghidangkan arak kepada penumpang sebagai 'welcome drink'. Patutkah...

Transit di Doha tidak lama...aku teruskan perjalanan ke Milan bersama pesawat QR 123. Di dalam pesawat, aku menonton dokumentari video tentang negara China berkenaan wilayah Nanjing.

Di sebuah jambatan yang sibuk, terdapat beberapa kakitangan yang ditugaskan untuk mencegah dan menyelamatkan manusia-manusia yang ingin membunuh diri. Dalam setahun, lebih kurang 300 orang yang terjun melalui jambatan tersebut atas masalah peribadi! 

Ditemu-ramah salah seorang yang berjaya diselamatkan. Beliau mempunyai anak yang menghidap leukimia dan kos rawatannya mencecah kepada USD 200,000. Beliau mengambil jalan singkat untuk melupakan segala bebanan itu dengan membunuh diri. Itu salah satu kisah peribadi yang menjurus kepada penyelesaian singkat.

Aahh..betapa mereka yang tidak beriman langsung hilang pedoman dalam menghadapi kerenah dunia. Alhamdulillah kita yang diberi hidayah untuk menjalani ritual Islam terasa benar-benar dianugerahi pedoman untuk tidak tersasar dalam kehidupan. Kita ada Allah...hanya kepadaNYA kita kembalikan permasalahan itu.

Syukur...aku selamat tiba di Lapangan Terbang Malpensa jam 6.30 pagi bersama cuaca pagi bersuhu 7'c.

Sewaktu blog ini dikemaskini, MH 370 masih unik bermisteri...hampir sebulan! Sekiranya pesawat selamat mendarat, aku doakan keselamatan mereka. Ditakdir berlaku bencana kepada pesawat, doaku agar mereka yang beriman ditempatkan bersama para solehin dan mendapat syahid akhirat. 

Alfatihah...

Catatan pengembara...Ahad 6 April 2014. Milan, Italy.



Thursday 3 April 2014

Adilkah Hukuman Itu?

Dia mencari aku...selagak mahu bercerita segalanya. Mahu apa ceritanya? Mahu apa lagunya? Mahu apa iramanya? Begitulah sekira-kira apa yang dia rasa. Ketidakpuasan hati terhadap seseorang yang kerap menghukum kesilapan lalu.

"Entahlah Zi. Aku baik dengan Saiful (bukan nama sebenar), pernah kerja dalam satu jabatan dulu. Aku kenal hati budinya...dia baik. Tapi yang aku tak puas hati bila dia suka jadikan bahan gurau atas kesilapan aku dulu".

"Zi...dulu aku pernah buat silap, zaman jahiliyahlah katakan. Aku dah berkahwin, tapi aku pernah keluar makan dengan kawan wanita. Waktu makan tu terserempak pula dengan Saiful. Tersengih-sengih dia tengok kami berdua".

"Masa berlalu Zi, aku dah tinggalkan semua kisah-kisah gelap tu. Tumpuan aku hanya kepada keluarga".

"Tapi yang aku ralat bila Saiful asyik ingatkan aku tentang aku keluar makan dengan perempuan lain. Dia jadikan cerita tu bahan gurauan. Aku telan air liur je dengar gurauan sinis dia. Tak patut dia buat aku cam tu Zi".

Ceritanya habis di situ. Aku sekadar menenangkan dirinya tetapi tak mampu menghentikan gurauan yang mencalarkan hulu hatinya.

Aku juga kenal Saiful. Diapun berkarektor biasa-biasa sahaja dan dalam pencarian untuk berubah. Sudah menunaikan fardhu haji dan pernah mencari guru untuk pengajian al Quran. Aku nampak perubahannya. 

Inilah masalahnya bila kita memandang remeh hubungan sesama makhluk. Kita yang bersatus haji agak tidak beradab bila menjadikan kesilapan orang lain sebagai bahan gurauan. Kita seolah menghukum kesilapan mereka tanpa mengira perubahan masa yang mampu mengubah sikap seseorang.



Kita tidak rasa sensitif tentang perasaan orang. Kita ingatkan kembali keaiban seseorang seolah 'maksum' itu milik kita. 

Sebab itulah Rasulullah mengasingkan diri di Gua Hira' demi memantapkan akhlaknya dalam persediaan menyebarkan dakwah. Bagaimana dengan kita? Baru dapat secalit ilmu sudah disindir-sindir dosa orang lain.

Aku bermuhasabah diri jua sudahnya...