Translate

Tuesday 29 September 2015

Persamaan Lukman dan Saiful

Baru-baru ini dunia siber ditahu-sumbatkan dengan kisah seorang jurugambar terkenal yang mendakwa terdapat banyak rumah pelacuran di Tanah Haram. Beliau yang berada di Mekah telah mendedah sisi gelap Haramain dengan pos yang berbunyi 'Muhassabah Bencana Tanah Haram 1'. Kisah itu dipaparkan bagi mengait musibah yang melanda Tanah Haram sewaktu berjalannya musim Haji pada tahun ini.



Pos beliau mengundang padah apabila lebih empat ribu komen menyerang dengan rasa tidak puas hati. Mereka menimbulkan persoalan untuk apa Saiful Nang mendedahkan berita aib tanpa fakta tersebut. Beliau sendiri sebenarnya tidak ke rumah pelacuran yang didakwa berada di perkampungan Tanah Haram. Adakah hanya dengan bertanya pemandu teksi dan orang badwi di sekitar kampung, sudah mengesahkan wujudnya rumah-rumah pelacuran tersebut? Ada juga yang menyindir tujuan beliau ke Mekah bagi mencari pelacur...pendedahan panas untuk sebuah populariti. Begitulah tujahan rasa tidak puas hati luahan pelayar siber di pos beliau.

Mereka di Malaysia yang ada kenalan di Mekah telah cuba mendapatkan kepastian tetapi tampak seperti ia bukanlah suasana yang biasa untuk penduduk di sana mengetahuinya.


Rata-rata mereka meminta agar Saiful Nang memohon maaf di atas kenyataan yang sangat tidak berintegriti itu. Saiful Nang telah bertindak memadam entri kontroversi tersebut dan memohon maaf secara terbuka selepas 3 hari berlalu.



Aku tidak mahu mengulas entri Saiful Nang...tak perlu! Beliau sudah hampir KO dihentam lumat dengan caci maki dan cercaan pelayar bertaraf 'emo'.

Teringat aku kepada Lukman yang tidak bertangguh ingin berjumpa dan memohon maaf kepada Amy Search kerana mengutuk kumpulan lagenda rock Malaysia tersebut sebagai 'hantu' yang merosakkan belia-belia negara (rujuk entri aku bertajuk 'Amy Search vs Pakar Motivasi' bertarikh 27 May 2015).

Muhammad Lukman sebagai seorang pakar motivasi (Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia ISMA). Saiful Nang pula merupakan jutawan fotografi dan usahawan yang berjaya dibidangnya.

Walau mulanya aku sedikit skeptikal terhadap mereka berdua lantaran tidak berhati-hati dalam meletak status, tetapi hanya satu perkataan kecil berimpak besar yang meletak hormat aku kepada mereka berdua...iaitu perkataan 'MAAF'.



Sunday 27 September 2015

Saman Untuk JAIP

Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji akan menyaman Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di atas kandungan teks khutbah Aidiladha yang menuduh DAP parti yang bertentangan dengan Islam.

Menurut teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Pahang, umat Islam di negara ini berpecah kerana ideologi politik yang berbeza.

Ini di antara kandungan teks khutbah yang dibaca:

"Perpecahan ini ialah kerana orang Islam lebih mengutamakan parti politik seperti UMNO, PAS, PKR dan juga GHB (Gerakan Harapan Baru) lebih daripada Islam".

"Malahan terdapat segelintir umat Islam yang menyertai DAP yang jelas bertentangan dengan Islam".

Hhmmm...Tengku Zulpuri Shah adalah orang Melayu Islam yang menyertai DAP atas dasar 'Malaysian Malaysia'. Beliau tahu dan sedar bahawa tiada satupun klausa di dalam parti DAP menyebut tentang Islam apatah lagi menyokong dalam mewujudkan undang-undang Islam.

Beliau juga tidak pekak dan tuli dengan kenyataan keras yang dibuat oleh mendiang Karpal Singh suatu waktu dahulu terhadap parti sekutunya, "langkah mayat saya dahulu jika mahu laksanakan hudud".

Pengerusi DAP Pahang itu juga tentunya celik sejarah tentang peristiwa 13 Mei 1969 yang menyaksikan parti chauvinist DAP dan Gerakan yang menunjukkan sikap anti Melayunya dengan perlakuan lucah menghina Melayu dalam meraikan kemenangan mereka di dalam pilihanraya umum.

Apa sebenarnya yang mahu diperjuangkan oleh Tengku Zulpuri Shah Raja Puji? Apakah beliau mahu mengatakan yang partinya menyokong Islam sehingga terdesak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap JAIP.

Mahu menyatukan Melayu dan Cinapun bertembung masalah, inikan pula mahu bercakap tentang sokongan kepada Islam!

Beliau memberi masa lima hari untuk JAIP memohon maaf atau proses mahkamah akan mengambil alih.

Inilah politik...apa sahaja yang boleh menguntungkan parti, akan disokong sehabis mungkin walau harus menyaman jabatan agama.

Tengku Zulpuri bercakap atas dasar parti...bukan untuk memperjuangkan Islam. DAP terdesak mahu mewartakan bahawa parti mereka tidak anti Islam juga bukan anti Melayu...hanya semata-mata mahu menagih undi. Ya...undi yang akan menentukan jatuh bangun sesebuah parti.

Bila membaca keseluruhan teks khutbah, aku lebih menerima mesej tentang penyatuan Melayu yang sudah berpecah-belah kebelakangan ini...tetapi DAP yang lebih terasa.

Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, anda tahu makna hipokrit?



Friday 25 September 2015

Pengakuan Eksklusif

Sebelum meninggalkan bumi Korea, aku berkesempatan berbual-bual dengan rakan sekerja tentang ehwal semasa. Beliau menghantarku pulang ke hotel. Aku bercerita kisah jerebu yang harus kami hadapi pada setiap tahun di atas ketidakprihatinan salah satu negara anggota Asean. Jerebu yang berpunca dari pembakaran hutan untuk projek tanaman semula. Ia bagi menjimatkan kos baja bagi mewujudkan tanah yang subur.

Bakaran hutan tersebut telah menghasilkan partikel-partikel halus yang berisiko kepada kesihatan manusia. Jarak pandangan juga menjadi terhad. Kerajaan Malaysia terpaksa memantau dan menasihatkan penduduk untuk mengurangkan aktiviti luar.

Seong Joo Moon memintas ceritaku (nama mereka seperti orang China, tetapi patah ke 3 merupakan nama keluarga dan mereka biasa memanggil nama keluarga sahaja). Korea jua mengalami masalah yang sama tetapi bukan berpunca dari faktor manusia. Debu pasir halus dari tanah besar China menjadi satu igauan kepada penduduk Korea. Tiupan angin telah memandu debu halus merah dari padang pasir China untuk menjelajah ke negara-negara sekitar...juga berlaku pada setiap tahun.

Moon menunjukkan cermin-cermin kereta di jalan raya yang terdapat tompokan-tompokan debu apabila bercampur dengan embun. Kita senasib tetapi kami lebih menanggung risiko kerana kandungan partikel halus beracun yang boleh menjejaskan tahap kesihatan.

Cerita kami beralih. Entah di mana mulanya...kami bercerita tentang nilai-nilai keagamaan. Moon tiada tuhan...tidak percaya tuhan. Itu fenomena biasa bagi generasi Moon...Gen Y. Ibubapa Moon dan kebanyakan warga Korea menganut agama Buddha.

Mereka juga tidak kisah jika anak cucu mereka berlainan arah dalam anutan agama. Moon menyatakan ibu bapa mereka yang menganut agama Buddha juga seakan tidak beragama...hanya pada anutannya sahaja.

Kehidupan Moon hanya untuk berseronok bagi mengisi waktu dan ruang dengan pelbagai aktiviti (terdetik di hatiku...tidak ubah seperti haiwan melata).  Selebihnya bekerja, bekerja dan bekerja! 

Beliau akui bahawa jiwanya kosong...tiada panduan dan objektif hidup. Beliau juga menyatakan bahawa negara Korea merupakan juara dunia di kedudukan paling atas untuk kes bunuh diri. Kehidupan mereka yang tiada panduan membuatkan rasa 'stress' yang berpanjangan. Justeru apabila berhadapan dengan pelbagai masalah, mereka memilih jalan pintas...bunuh diri!

Oohhhh...aku hanya mendiamkan diri dengan pengakuan eksklusif Moon. Beliau tidak mahu berselindung lagi dengan segala yang terbuku di hati. Serasa mahu sahaja untukku memanjangkan dakwah tentang Islam dengan lebih lanjut tetapi batas waktu tidak mengizinkan.

Seong Joo Moon membelok kereta arah ke lobi hotel. Kami bersalaman ...tangannya kugenggam erat dan berdoa di dalam hati agar bangsa berjaya yang sudah sekian banyak memudahkan penduduk dunia dengan alatan teknologi canggih dan sofistikated ini diberi hidayah untuk mengenal Islam...Insyaallah.



Saturday 19 September 2015

Kamsamida 고맙습니다

Alhamdulillah...tugasanku berakhir dengan sebuah kepuasan. Puasku bersebab...mereka akur dengan segala penemuan dan pandangan yang aku lontarkan pada sesi penutupan dan pembentangan audit. Komunikasi langsung aku bersama ketua dan rakan di Malaysia melalui aplikasi yang diasaskan oleh Jan Koum dan Brian Acton...dilayari lebih 900 million pelanggan yang dinamai sebagai 'WhatsApp', membuahkan hasil padu untuk sebuah kejayaan dan kepuasan.



Hari ini aku menghabiskan masa di pasaraya berdekatan...membeli apa yang perlu. Aku mencari-cari makanan popular Korea. Bertemu dengan sekian banyak jenama Kimchi tetapi tidak satupun yang meyakinkan kerana tiada pengesahan halal juga semuanya bertulis dalam bahasa ibunda mereka.







Beralih pula ke rak yang mempamer makanan ringan. Berhajat untuk mencari 'seaweed' yang digilai anak perempuanku sebagai kudapan. Seaweed berbentuk lapisan nipis yang dikeringkan membuat aku membelek depan belakang untuk kubaca bahan-bahan kandungan. Alhamdulillah berjumpa dengan paket yang tertulis di dalam bahasa Inggeris. Semua bahan kandungan tidak meragukan...aku beli.



Menapak ke bahagian buah. Ternampak kelibat seperti rambutan. Ya..benar, rambutan 'frozen' yang tidak dibuang kulitnya mula memasuki pasaran Korea. Tidak pasti pula aku negara pengeksportnya tetapi bukan dari Malaysia kukira. Di bahagian buah-buahan, tujuanku hanya satu...untuk membeli buah kegemaran...pisang..heheee.



Hari ini hari terakhir untuk aku menghirup udara segar di Incheon. Harapanku agar oksigen percuma di negara sendiri tidak menghampakan.



MH 67 ke Kuala Lumpur berjadual jam 11 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon masih aktif seperti kebiasaan...seolah tiada apa yang berlaku ke atasnya. Petanda produk Malaysia masih utuh di persada dunia!





Selamat tinggal Incheon.

Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan 19 Sept 2015

Friday 18 September 2015

Travelog - Bangsa Berjaya

Bilik hotelku di Incheon menghadap sebuah tapak pembinaan. Pembangunan demi pembangunan mengambil tempat untuk sebuah kemajuan. Tidak pasti pula aku bangunan apa yang mahu dibina. Berkemungkinan sebuah hotel baru bagi menampung permintaan yang semakin ramai berkeinginan mengunjungi kota Seoul.


Pemandangan dari bilik hotel
Hari itu...pagi sebelum meninggalkan bilik hotel, aku terlihat suasana yang begitu teratur di tapak pembinaan tersebut. Aku leka memerhati...berdiri tidak berganjak melihat sebuah peraturan dan disiplin yang diamalkan oleh bangsa yang menguasai teknologi dunia.

Sebelum mereka memulai tugas, terdapat beberapa kumpulan yang berbeza menjalani taklimat dari ketua masing-masing. Tentu ianya berkenaan aspek-aspek keselamatan yang perlu diberi prioriti.

Selesai taklimat, mereka berjalan ke tapak pembinaan mengikut susur lorong yang dibina membentuk satu perbarisan panjang yang begitu teratur. Disiplin yang ditunjukkan sepertimana yang dilakukan semut-semut yang berjalan dalam satu barisan tanpa memotong.

Ya...disiplin itu yang melonjaki nama mereka di persada dunia!


Tapak kawasan pembinaan
Pembangunan di kawasan lapangan terbang

Ini yang kami amalkan sepanjang tugasan kami di luar negara. Disiplin MASA...ya, kami tidak bermain-main dengan masa. Kami berada di lapangan terbang 2 jam sebelum berlepas bagi mengelak segala kemungkinan. Kami menunggu di lobi hotel 10 minit awal untuk bertemu rakan sekerja. Juga kami tidak melebihi masa yang ditetapkan untuk sebuah pembentangan modul.

...kerana sumpah Allah dalam hanya 3 ayat surah ke 103 Al 'Asr sudah cukup meyakinkan kami bahawa menghormati masa merupakan syarat utama untuk berjaya!

Incheon, Korea Selatan 18 Sept 2015

Wednesday 16 September 2015

Mengejar Udara Segar di ICN

IPU yang dicatat di pantai barat Semenanjung Malaysia semakin membimbangkan. Bacaan 200 ke atas adalah merujuk kepada kualiti udara yang tidak sihat. Sekolah-sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya sudah diarahkan tutup oleh Kementerian Pelajaran.

Aku sudah semakin nekad untuk meninggalkan segala yang menyesakkan nafas. Aku dipaksa menyedut udara bikinan manusia yang tidak peka dengan persekitaran...bagai bernafas di dalam lumpur rasanya. Ya...aku akan tinggalkan negara tercinta sehingga kerajaan Indonesia memberi jaminan bahawa kualiti udara di Malaysia tidak lagi tercemar. Selamat tinggal...

15 September 2015, jam 2130 aku sudah berada di KLIA untuk menyertai penerbangan MH 66...ke Incheon, Korea Selatan. Eerrmmm...janganlah percaya apa yang aku catatkan di perenggan dua di atas. Keluar dari Malaysia bukan untuk melarikan diri dari jerebu tetapi untuk melunaskan misi syarikat...hehee.

Telahanku bahawa sambutan penumpang untuk penerbahgan MH akan berkurangan meleset benar. Sekilas pandang di dalam pesawat, menunjukkan muatan penumpang yang penuh termasuk penumpang dari negara luar. Penerbangan Malaysia masih berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Penumpang seolah mahu mengatakan...

"Persetan kepada segala kemelut yang kamu hadapi, kami hanya ingin mengecapi sebuah perkhidmatan cemerlang yang telah kamu tunjukkan terdahulu dengan kemenangan kabin terbaik kelas ekonomi tiga tahun berturut-turut!"

Pesawat meninggalkan KLIA jam 2330. Usai hidangan lewat malam, aku terus melabuhkan kerusi untuk sebuah mimpi...mimpi indah bagi MH melonjakkan kapasitinya kembali, menerajui syarikat penerbangan yang dibanggai rakyat Malaysia. Selamat Ma....zzzzz.....



Jam 0400 lampu kabin dinyalakan untuk hidangan pagi. Anak kapal menyatakan pilihan menu samada nasi lemak ataupun telur omelet bersama sosej. Sebagai anak jati Melayu, perkataan nasi lemak lancar keluar dari mulutku. Nyata...bukan lagi 'nasi lemak telanjang' yang terhidang, sambal udang bersama kacang dan ikan bilis juga telur rebus dibelah dua membuktikan komitmen MH untuk memulihkan kembali imejnya yang pernah tercalar suatu ketika dahulu...eerrkkkk Alhamdulillah kenyang!

Pesawat selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon jam 0630. Cuaca 19'c dengan kualiti udara yang amat segarrrrrrr!!!






Aku terus menaiki 'shuttle bus' menuju ke hotel. Perjalananku lancar segala, mahu taknya...ini merupakan misi kali ketiga aku di Incheon...ibarat jika aku berjalan pejam mata dari lapangan terbang sampai la masuk ke bilik hotel...rasanya tiada masalah..heheee.

고맙습니다.



Incheon, Korea Selatan 16 Sept 2015

Friday 11 September 2015

Impak Sabar

Dalam pemanduan ke pejabat seperti biasa, seawal jam 7.30 pagi aku sudah bersedia untuk slot motivasi radio IKIM. Tajuk hari ini berkenaan 'sabar'.

Satu kajian telah dibuat di Universiti Stanford, California di sekitar tahun 70an. Beberapa orang kanak-kanak berumur 3 hingga 4 tahun ditempatkan di dalam sebuah bilik. Di atas meja masing-masing terletak sebutir 'marshmallow'.

Kanak-kanak diberitahu, jika mereka tidak memakan 'marshmallow' tersebut di dalam jangka masa 15 minit, mereka akan diberi sebutir lagi sebagai ganjaran.

Kedapatan mereka yang akur dengan peraturan demi mendapat ganjaran...mereka hanya duduk dan menunggu tanpa berbuat apa-apa. Terdapat juga mereka yang tidak senang duduk. Dicium-ciumnya bau, disentuh-sentuh untuk merasai kelembutannya dan akhirnya mereka kecundang di minit ke 10...mereka terus memakan 'marshmallow' tanpa dapat mengawal emosi.

Pihak Universiti menyimpan biodata kanak-kanak tersebut dan menghubungi semula kesemua mereka selepas 40 tahun berlalu iaitu di tahun 2012. Mereka telah menemui sesuatu yang menakjubkan hasil kajian yang disimpan selama 40 tahun itu.

Kajian mendapati mereka yang memakan 'marshmallow' sebelum minit ke 15, kehidupan mereka hanya ditahap sederhana bersama kerjaya yang biasa-biasa sahaja. Berbanding kanak-kanak yang menahan sabar tidak memakan 'marshmallow' sehingga berlalu minit ke 15, apabila diselusuri kehidupan mereka, nyata mereka mendapat markah tinggi di dalam setiap peperiksaan, bijak mengawal emosi, tidak menghadapi masalah dalam bersosial dan berhubung sesama masyarakat, tiada obesiti dan apabila dewasa mereka menjadi seorang yang berjaya dengan kerjaya yang hebat. 

Oowwhhh...aku terkesan dengan kajian tersebut. Sifat sabar yang berterusan bakal menguntungkan diri sendiri. Sabar dengan kerenah manusia, timbunan kerja, masalah-masalah yang mendatang, sakit pening...juga sabar dengan ujianNYA. Impak kepada 'sabar' menatijahkan sebuah kejayaan.

Sesampai di pejabat, dalam aku hendak memulai kerja dengan penuh bersemangat, masuklah beberapa orang pekerja pembersihan...mereka terus memasang mesin 'vacuum' untuk membersihkan lantai. Bayangkan...di awal pagi yang tenang dan damai...aku sedikit terganggu dengan alunan bunyi yang membingitkan telinga serasa mahu kuarah mereka menghentikan mesin tersebut.

TETAPI DEMI MAHU MENJADI MANUSIA YANG BERJAYA...AKU MELETAK SABAR DI TAHAP TERTINGGI...hehee..



Sunday 6 September 2015

Dengarlah Wahai Anakku...

Sewaktu mak masih di hospital, sudah berkali-kali aku berulang-alik ke Kuala Lumpur...kadang bersama keluarga, adakala berseorangan. Tetapi peluang anak perempuanku melawat neneknya belum tertunai. Kehidupannya yang jauh dari kami belum menghadirkan kesempatan itu.

Hari itu anakku balik untuk sebuah urusan...tidak dirancang. Dia sambut cadanganku untuk melawat nenek...hanya kami berdua kerana isteriku perlu melunaskan tanggungjawab bersama keluarganya di Kampung Bharu.

Seusai lawatan, kami berbual-bual di dalam perjalanan balik ke rumah.

Risau katanya...risau tentang jodoh yang entah siapa gerangan. Banyak cerita yang didengar, banyak kisah drama yang berlaku tentang kes-kes perceraian...sehingga ke tahap hatinya tawar untuk menempuh semua itu. Dia inginkan sebuah keluarga bahagia seperti yang dikecapinya sekarang.

Uiihhhh..tak sangka itu yang bersarang di hatinya. Aku perlu meletak semula keyakinan diri agar anakku berfikiran positif untuk masa depannya.

Inilah di antara nasihat dan pandangan naif yang kukongsi bersamanya...

Orang baik akan dijodohkan bersama mereka yang baik juga...itu hukum alam yang menjadi sunnatullah. Tidak perlu risau tentang jodoh kerana nama kita sudah dipasang-pasangkan bersama seseorang seawal roh ditiup pada janin di usia 40 hari kandungan.

Benar, qada' dan qadar bisa berubah dengan doa kecuali mati. Jadi, banyakkanlah berdoa agar kita dijodohkan bersama pasangan yang baik-baik.

Yakinlah...bila kita taat perintah Allah dan Rasul, taat kepada kedua ibubapa...Insyaallah, yang baik-baik sahaja akan hadir dalam hidup kita. What you give, you get back.

Anakku tidak sepicingpun berdecit...hanya memandang ke hadapan berbekal harapan. Aku terus memandu...sepertimana kupandu mindanya untuk yakin dengan ketentuanNYA.



Saturday 5 September 2015

Practical Student

Sering kita berhadapan dengan pelbagai karekter manusia. Yang menyenangkan, menyeronokkan, mangagumkan. Senang dengan keramahan dan kemesraan, seronok dengan gurauan dan adab susila yang ditonjolkan. Kagum bersama bicara fakta dan karismatik seseorang. 

Aahhh...tidak kurang juga karekter mereka yang menjengkelkan. Berbicara selayak tahu segala, mempromosi diri dan keluarga juga merendah-rendahkan mereka yang di sekeliling tanpa sedar.

Kadang hati sendiri memberontak melahir ketidakpuasan terhadap apa yang perlu dihadam di hadapan mata bila berkomunikasi. Adakah semuanya berkebetulan berlaku bagi mengenepikan harmoni jiwa?

Tetapi ada kelunakan jiwa dalam perbualan bersamanya, terpana aku dengan satu ayat yang diucap kepadaku...
"Mereka yang tidak menyenangkan itu hadir tepat pada waktu atas perancanganNYA".

Apa maksudnya? Yang pahit-pahit, yang menyakitkan hati, yang menggugat tenang jiwa, yang menggila menahan sabar...sengaja dihadirkan di hadapan mata untuk kita melepasi ujian tersebut seterusnya akan diangkat seseorang itu ke tahap yang lebih baik dan tentunya lebih mencabar pula ketahanan yang perlu disediakan.

Tanpa sedar, itu sebenarnya merupakan gelanggang 'internship' selepas kita menduduki kelas teori. Kita banyak mendengar ceramah, tazkirah, membaca buku...itu semua platform teori untuk kita mengetahui dan bersedia memasuki dunia sebenar. Praktikalitinya...makhluk yang diceritakan di medan teori diwujudkan di hadapan mata.

Mereka boleh diganding sebagai rakan sekerja, ketua jabatan, jiran tetangga, adik-beradik, anak-anak malahan suami/isteri dan apa sahaja statusnya. Kita diletak bersama mereka bertahun-tahun bagi meningkatkan imuniti diri. Belajarlah dari mereka untuk sebuah kematangan diri. Matang dalam mengemudi emosi dan harga diri.

Teringat aku kata-kata Ulama'...berlemah lembut dan banyakkanlah bersabar dengan isteri untuk hal-hal duniawi atas keperluannya, tetapi bertegaslah kepadanya dalam keperluan syari'at demi menegakkan hukum Allah.

Eerrmmm...lawan dan sainganku adalah mereka yang berhemah dan tawaduk dalam segala segi. Mereka yang bicaranya sekadar perlu untuk sebuah pencerahan. Mereka yang melayakkan aku berperang dengan diri sendiri untuk meraih martabat mulia tersebut. Mereka yang membuat jiwaku tersentuh untuk sebuah muhasabah diri.

Bagi mereka yang tegar menonjolkan kehebatan diri...silakan, kerana tidak sedikitpun tercalar jiwa juga tidak berbaloi untuk aku berbicara lebih. Berucaplah semahumu kerana sepasang telinga ini ditugaskan untuk lebih mendengar dari berbicara. Aku tidak hidup berasas pandangan jengkelmu terhadapku tetapi jiwaku hidup dengan pandangan Rahmat dariNYA.

Aku sentiasa meletak diri di dalam mode 'practical student' di sebuah organisasi kehidupan...guru-guru adalah mereka yang berada di sekelilingku.