Translate

Saturday 21 June 2014

Melengkapi Generasi Berhibur

Menonton TV? Eerrmm...bukan tak suka, cuma masa agak terhad untuk orang seperti aku nak duduk meneleku depan tv. Rancangan apa yang aku tonton? Aku lebih berminat slot-slot diskusi agama, dokumentari tentang latar belakang negara-negara luar juga kehidupan flora dan fauna. Teruja juga aku untuk menonton filem-filem Hollywood yang penuh aksi dan animasi CGI yang amat memukau mata teknologinya.

Kadang aku sertai ahli keluargaku menonton rancangan hiburan...hanya menyertai mereka untuk merapatkan hubungan kami sekeluarga.

Rancangan hiburan?...eerrmmm. Siapa tak suka berhibur? Itu merupakan fitrah semulajadi manusia. Ahli keluarga dan adik-beradik aku suka berkaraoke. Kekadang dalam kesempatan berkumpul, kami sama-sama memporak perandakan lagu-lagu artis dalam dan luar negara...hahaaaaa. Iyalah...berhiburlah asal jangan keterlaluan sampai tak solat, sudah.

Sejenak aku terfikir sesuatu. Orang Melayu di Malaysia ni memang dilahirkan untuk mengimarahkan dunia hiburan agaknya. Penggiat-penggiat seni menyusun atur lengkap slot-slot hiburan untuk laluan bangsa Melayu menuju puncak..kononnya.

Anak-anak kecil ada 'Idola Kecil', 'Popstar'. Si remaja bersama 'Akademi Fantasia', 'One In A Million', 'Mentor', 'Bintang Mencari Bintang', 'The Bands'. Yang dewasa bersama 'Anugerah Juara Lagu', 'Anugerah Popular Berita Harian', 'Maharaja Lawak', 'Anugerah Muzik Era'. Si lanjut usia pula bersama 'Kilauan Emas'. LENGKAP!!!

Dari sebelum baligh, akil baligh, usia matang sampailah ke'menopous', pakej hiburan lengkap disediakan untuk bangsa Melayu. Sudahnya aku térfikir...ke mana hala tuju bangsaku.

Tanda kecil akhir zaman seperti yang dinukilkan oleh hadis terpancar jelas. Muzik melata di sana-sini tanpa had. Ibubapa pula teruja mengetengahkan anak-anak sedari kecil demi sebuah populariti picisan. Anak-anak dewasa pula menyokong perjuangan ibubapa di bidang seni tanpa menyedari betapa di usia begitu selayaknya ibubapa mereka membuat persediaan akhir menuju alam barzakh.

Aduhai...leka dan tertipu kita rupanya dengan sanjungan dan tepukan gemuruh dunia. Tak terfikir pula kita dengan pakej dosa yang bakal dibawa.

Aku bermuhasabah diri jua sudahnya...hhmmmm.



Thursday 19 June 2014

Aku Ingin Beramal Dalam Aman

Dewasa ini kita dikejutkan dengan isu agama. Isu yang dipolemikkan oleh sesetengah pihak untuk mendapat sedikit 'mileage' dan keuntungan dunia. Provokasi dicucuh sana-sini bagi memanaskan lagi keadaan. Aku selagaknya berada di dalam 'mode memerhati'. Habis segala fakta kukumpul demi sebuah kebenaran.

Isu 'WAHABI' yang dibesar-besarkan bukanlah besar manapun jika mahu dimanipulasi. Pantas jika kita belajar segala laluan dan sejarah juga 'ilmu fiqh' dan 'usul fiqh', kita akan tenang dalam menangani apa yang dipanggil 'WAHABI'.

Menyedari mereka yang melayari 'blog' aku hanyalah bertaraf 'marhaein', maka tidak adil untuk aku melakar kata-kata 'AGAMA' yang tidak difahami mereka. Memadai  aku hanya menggunakan cara penyampaian santai dan biasa-biasa sahaja demi menjanjikan kefahaman untuk mereka yang membaca.

Sunnah Nabi memang sudah termaktub di dalam banyak hadis yang perawinya mempunyai kaedah tersendiri dalam mengkategorikan ianya tergolong di dalam hadis sahih, hassan, maudhu (palsu) dan dhaif (lemah). Hadis tidak boleh dipisahkan dari al Quran kerana wujudnya bagi menjelaskan ayat-ayat al Quran itu sendiri. 

Perlu diingat bahawa 'WAHABI' bukanlah satu mazhab, ia hanyalah pemikiran agama yang dipraktikkan oleh Ulama-ulama di Mekah dan Madinah yang digerakkan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab.

Pegangan mereka, apa sahaja yang terkandung di dalam hadis maka itu yang seharusnya dipraktikkan dan apa yang tidak dianjurkan oleh hadis, ia tidak perlu dilaksanakan. Ada kenyataan-kenyataan keras dari pihak ini mengatakan bahawa berlaku bid'ah dalam amalan ibadat seperti membaca doa qunut di dalam solat subuh, berwirid dan berdoa secara berjemaah selepas solat fardhu, berzikir, berzanji, merayakan maulid dan kepelbagaian perkara-perkara 'khilafiah' (berbeza pandangan) dan furu' (cabang) yang dipersoalkan.

Pengalaman aku sendiri menghadiri satu majlis kematian yang selama ini didasari dengan bacaan Yaasin dan tahlil, mendapati tiada ritual sebegitu yang dipraktiskan oleh tuan rumah. Tuan rumah menjemput seorang Ustaz untuk menyampaikan sedikit ilmu sementara menunggu waktu Isya'. Solat Isya' berjemaah, tiada wirid, berdoa ringkas, menjamah sedikit jamuan dan bersurai.


Aku tidak gemar melabel tuan rumah sebagai berfahaman 'WAHABI', tetapi aku lebih ceria mengatakan mereka ingin melaksanakan sunnah yang semakin hilang ditelan zaman. Betullah tu...hati aku lapang mengikuti program yang diatur tuan rumah.

Tetapi tidak dinafikan ada juga mereka yang tidak selesa dengan keadaan itu. Ada orang masjid yang meninggalkan majlis tersebut kerana merasa tidak sealiran dengan cara tersebut.

Macam nilah...aku lebih bersifat terbuka dalam menerima perbezaan pendapat dan pandangan (khilafiah) kerana ini hanya perkara cabang yang tidak menjejaskan iman seseorang. Jika aku dijemput untuk mengepalai majlis Yaasin dan tahlil, Insyaallah dengan sempurna aku akan melaksanakannya. Jikapun aku mendatangi majlis yang tiada ritual tersebut, aku teramat faham yang mereka melakukan apa yang sepatutnya.

Tetapi yang aku risau, takut, gerun...apabila perkara 'khilaf' itu mengakibatkan perpecahan dan perseteruan di antara sesama Islam yang majoritinya tidak faham dan tidak senang untuk berlapang dada menerima perbezaan-perbezaan yang berlaku. Berpuluh-puluh tahun menjalani ritual wirid, zikir, tahlil, talkin, maulud Nabi, tiba-tiba disekat laluannya oleh pihak-pihak tertentu dengan mengatakan itu semua bid'ah. Pasti jiwa mereka memberontak.

Sebetulnya di Mekah dan Madinah, kerajaan Arab Saudi mengawal ketat segala macam ritual tambahan yang dibawa oleh jemaah dari pelbagai negara demi menjaga ketulenan sunnah itu sendiri. Mereka mempraktikkan 100% amalan yang dianjurkan oleh Nabi dan menolak 100% penambahan amalan sunat. Itu betul!!!

Tetapi di dalam perkara furu' (cabang), amalan dan budaya setempat yang tidak melanggar syara' adalah diharuskan. Mereka tidak menambah amalan yang difardhukan seperti solat yang ditetapkan rakaatnya, bacaan rukun yang tiada penambahan, puasa dan bayaran zakat yang jelas peraturannya...itu pasti. Yang menjadi aksesorinya hanyalah amalan-amalan sunat yang walau tidak dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW tetapi mempunyai fadhilat-fadhilatnya yang tersendiri. Masyarakat kita sudah sebati dengan ritual sunat tersebut.

Kita dianjurkan berselawat ke atas Nabi (doa selamat dan selawat beramai-ramai), berzikir (tahlil) ingat-mengingati (talkin), membaca Yaasin (hati al Quran), mengingati Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dan sirahnya (Maulud Nabi), menganjurkan program-program yang boleh mengeratkan lagi tali silaturrahim sesama jemaah (majlis Yaasin, tahlil dan doa selamat), maka apakah itu semua salah dan berdosa juga sesat? Jika berdosa dan sesat, di mana NAS yang mengatakan amalan itu sesat?

Ditambah lagi dengan kerenah dunia di zaman ini yang penuh 'lagha' dengan segala macam muzik dan hiburan, maka Ulama meng'harus'kan pula perkara-perkara sunat bagi menyeimbangkan kembali segala kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat seperti penganjuran Tilawatul Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, lagu-lagu kumpulan nasyid kontemporari, rancangan-rancangan hiburan keagamaaan seperti Imam Muda dan Pencetus Ummah, perkumpulan selawat beramai-ramai dan lain-lain lagi.

Kesimpulannya di sini, yang sebenarnya menjaga diri kita adalah ilmu yang kita pelajari. Jika kita berilmu, kita jauh dari menyalahkan pihak-pihak lain apatah lagi mengatakan itu dan ini bid'ah. Kita akan berlapang dada menerima segala perbezaan-perbezaan kecil.

Tetapi sekali lagi yang merisaukan aku...risau retak-retak halus semakin membesar menunggu belah di atas ketidaksediaan mereka untuk menerima segala macam bentuk sekatan yang dinamakan bid'ah itu. Inikah yang kita mahu?

Aku hanya menulis di atas landasan HAQ kerana aku ingin beramal dalam AMAN. Jika banyak sangat kerenah cabang yang seolah menjadi suatu musibah dalam beramal, biarlah aku memencil diri beramal sendirian bersama alam. Aku rindu dunia semalam yang penuh warna-warni damai.

Wallahua'lam

Wednesday 11 June 2014

Selesa di 'Zon Selesa'

Siapa tidak mahu menjadi senang, siapa yang tidak suka bersantai, siapa yang mahu menolak keselesaan di depan mata. Naluri manusia inginkan semua itu. Jika diberi pilihan, kita ingin hidup selesa sepanjang masa.

Okay, jika 'selesa' pilihan kita, cuba lihat analogi di bawah.

Bekas setinggi sejengkal yang berisi air dimasak sehingga panas, lalu di letak seekor katak ke dalam bekas itu. Apa berlaku? Katak akan sepantas kilat melompat keluar dari bekas dek kepanasan air yang dirasa.

Situasi seterusnya. Katak seawalnya diletak ke dalam bekas air yang belum dipanaskan lagi. Api dinyalakan dan air secara perlahan-lahan menjadi panas. Apa berlaku kepada katak itu? Nampaknya katak rasa selesa dengan keadaan air yang suam lantas terlelap. Air semakin panas, katak tidak menyedari kerana terlena lantas katak mati secara senyap!

Apa mesejnya?

Rasa selesa sebenarnya membunuh kita secara senyap. Zon selesa melekakan kita. Kita berasa lengkap segalanya sehingga tiada rasa untuk melakukan perubahan. Jikapun datang arus perubahan, kita serasa tidak selesa untuk menyerap malah mempertikaikannya pula. 

Islam mengajar kita agar keluar dari zon selesa. Cuba lihat pedagang-pedagang Arab yang datang ke Tanah Melayu pada abad ke 14. Mereka menyusun strategi dan berusaha keras agar Islam sampai ke Nusantara. Zon mencabar inilah yang ditempuh para Nabi dan Siddikin sehingga nyawa menjadi taruhan demi menegakkan kalimah Allah.

Lihat, Baginda Rasulullah SAW sepanjang masa berada di zon merah ini. Sejak dilantik menjadi Nabi di ketika usia Baginda 40 tahun, sehinggalah Baginda wafat...usaha dakwah tidak berhenti dan semakin berkembang. Baginda dibaling batu, diletak najis di atas kepala sewaktu sujud, dipulau selama 3 tahun, dikenakan sekatan ekonomi, berhijrah beratus batu ke Madinah juga berada di medan pertempuran. Sehinggalah berlaku peristiwa 'Fathul Makkah' iaitu kejayaan baginda menawan kembali kota Mekah dengan tidak menumpahkan darah.

Baginda Nabi juga pernah ditawar perempuan cantik dan kedudukan tertinggi di kalangan kabilah mereka tetapi jawapan Baginda menunjukkan betapa komitednya Rasulullah untuk menegakkan syi'ar Islam..."Demi Allah, jika matahari diletakkan di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan perkara ini (penyampaian risalah), sehingga Allah memenangkannya atau aku binasa, pastilah tidak akan aku tinggalkannya".

Graf kehidupan Nabi Muhammad meningkat dari awal sehingga ke akhir hayat. Kita? Semakin meningkat usia, semakin perlahan momentum kita. Kita semakin selesa dengan persekitaran apatah lagi bila bergelar 'otai' yang kononnya banyak pengalaman...kononnya!

Di mana tahap kita? Hendaknya kita cipta perubahan, cetus idea, berani melawan arus perdana demi sebuah pembaharuan, yakin berhujah berdasar fakta dan justifikasi. Barulah terasa manisnya sebuah perjuangan.

Katak di situasi pertama akan melakukan perubahan kepada hidupnya dengan melompat keluar demi sebuah perjuangan dalam kehidupan. Katak kedua pula habis bersantai sehingga membunuh kehidupan yang sepatutnya boleh diselamatkan.

Eermmm...masih selesa di zon selesa?



Friday 6 June 2014

Insan Di Lorong Itu 'AKU'...

Dalam perjalanan balik dari Tronoh, aku singgah di RNR Tapah untuk melepas lelah juga menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Setelah selesai men 'jamak' dan 'qasar' solat Zuhur dan 'Asar, aku dan isteri menjamu selera ala kadar. Sebetulnya agar aku tidak mengantuk kekenyangan dalam memandu balik ke destinasi.

Sehabis makan, aku duduk-duduk sebentar di ruang lepak sambil menunggu isteri. Aku terpana dalam melihat sesuatu, melihat objek, melihat seseorang. Kelihatannya dia menggeledah tong sampah untuk dikutip tin-tin minuman...untuk dijual pastinya.



Berapa hasil yang dia dapat? Mengapa mesti dia lakukan itu semua di tengah-tengah orang keliling? Berbaloikah dengan imej yang harus digadaikannya? Bagaimana jika dia terserempak dengan kenalan, saudara-mara, sahabat handai? Tidakkah keadaan itu bakal mengundang malu kepadanya?

Soalan-soalan meluncur laju kucipta. Aku pasti jika bukan kerana terpaksa, dia takkan memaksa diri untuk melakukan itu semua. Jika tidak kerana ada mulut-mulut yang harus disuap, dia lebih rela berpuasa beberapa hari dari menggadai maruah menempah malu.

Tetapi maruahnya lebih mahal harganya dari itu. Dijaga harga dirinya agar tidak meminta-minta dari orang-ramai sambil duduk bersimpuh meletak bekas di atas lantai menanti wang dihulur.

Mataku seakan berkaca...membayang bahawa 'objek' itu adalah AKU! Aku menelusuri lorong-lorong kota mencari bahan yang boleh dikutip untuk dijual. Aku berharap-harap agar ada insan yang meletak pisang di sudut masjid untuk kujamah melapik perut. Aku yang menahan tangis melihat terjahan anak-anakku sebaik pulang dari kerja meminta dibelikan itu dan ini...lapar katanya...dalam aku tidak punya apa untuk dibeli!

Aku melihat kembali insan yang sebaya aku itu...kukira. Jika imaginasi itu yang dia alami yang memaksa dirinya dipandang hina, serasa tiada harga harta benda yang aku ada. Allah hanya pinjamkan sebentar untuk aku membantu mereka yang dilintaskan di hadapan mataku.

Tiada beza aku dan dia...kami sama-sama dicipta untuk mengimarahkan dunia ini. Dia lebih mulia kerana dalam diuji, dia masih tidak meminta-minta mengharap belas...berbanding aku, tak habis-habis mengejar harta dunia tanpa had...insan di lorong itu mungkin AKU!!!



Monday 2 June 2014

Sindrom DNA Babi



Kepada mereka yang obses DNA babi:-

1. Berhenti serta-merta memakan coklat Cadbury.
2. Membuat liputan akhbar dan mengecam syarikat tersebut.
3. Merancang untuk menyaman syarikat Cadbury.
4. Menyaran syarikat Cadbury menghentikan operasi.
5. Membuat kenyataan 'warak' yang tak masuk akal..apakah syarikat Cadbury boleh menggantikan darah mereka yang sudah tercemar.
6. Mempertikai keputusan Majlis Fatwa.


DNA babi boleh tersebar dalam pelbagai cara. Melalui sentuhan, peralatan, udara dan sebagainya.

Mampukah mereka berbuat perkara yang sama sekiranya DNA babi dikesan pada ROKOK?

1. Berhenti serta merta menghisap rokok.
2. Membuat liputan akhbar dan mengecam syarikat rokok.
3. Merancang untuk menyaman syarikat rokok.
4. Menyaran syarikat rokok menghentikan operasi.


Pada 1995 Majlis Fatwa telah mewartakan bahawa MEROKOK ADALAH HARAM kerana mengandungi bahan tar dan nikotin yang boleh memudaratkan kesihatan.
Berpuluh-puluh tahun menghisap rokok tidak langsung terasa berdosa dan mengambil inisiatif untuk berhenti. Tak terasa darah sudah tercemar dengan tar dan nikotin yang HARAM dan memudaratkan.

Yang merasuk jiwa mereka hanya spesis babi.

Eerrmmm...boleh ke berhenti merokok bila DNA babi ada dalam rokok?

Berlaku jujurlah jikapun hendak menjadi pejuang yang Islamik.