Translate

Monday 29 April 2013

Gapailah Cahaya Itu

Bertaubat...tidak semudah yang diungkap tetapi menempuh sukar dalam melaksanakannya. Dalam diri setiap manusia sudah tercipta sejak azali sifat-sifat yang sukakan kebaikan. Lantaran itu suara-suara halus kadangkala menerpa mengingatkan banyaknya maksiat juga keburukan yang telah kita lakukan.

Lumrah yang berlaku seseorang itu bertaubat tetapi kerap mengulangi dosa mahupun maksiat. Di hati berjanji sakan untuk meninggalkan segala yang hitam tetapi tersungkur di pertengahan kesedaran...maksiat itu berulang kali dijemput hadir. Sehabis nikmat bermaksiat timbul lagi kesedaran akan dosa yang terpalit. Persoalannya...di manakah letak kehendak untuk benar-benar berubah atau kata singkatnya TAUBAT NASUHA?

Ini memang sifat insan...dinamai insan lantaran sifat pelupa itu memang kita. Sebab itulah 'tazkirah' itu perlu bagi memperingatkan sipelupa itu. Ada pula yang berpendapat adalah lebih baik menangguhkan taubat bagi mengelak mempermain-mainkan taubat itu sendiri. Iyalah...sesudah menangis di malam hari, siang harinya pula tidak betah mengelak suapan dari perasuah. Amat lemah iman untuk mengelak godaan dunia.

Aaahhh...nak menangguh taubat? Jika itu yang terlintas di benak fikiran, aku ingin ajukan satu soalan yang mungkin boleh merubah fikiran itu. ANDA TAHU BILA TARIKH MATI ANDA? Adakah dengan menggunapakai teori 'tidak mahu mempermain-mainkan taubat' membolehkan anda selesa untuk menangguh taubat? Orang yang waras akalnya pasti tidak akan menangguh taubat lantaran tidak mampu merungkai rahsia Allah tentang tarikh mati. Lagi sukar dibuatnya jika mati tanpa bertaubat.

Ulama' memberi panduan...bertaubatlah setiap hari walau setiap hari juga kita bermaksiat. Tadahlah tangan memohon ampun dan beristighfar 70 kali sehari walau niat melakukan maksiat masih ada. Dalam kita berdoa dan bertaubat itu, kita tidak tahu waktu yang mana sebenarnya mustajab untuk taubat kita diterima. Yang penting kesedaran untuk bertaubat itu masih ada. Kita menadah tangan untuk berdoa itupun sebenarnya ilham dan langkah pertama untuk Allah membuka pintu taubat.

Manusia yang tidak pernah timbul kesedaran untuk bertaubat apatah lagi tidak pernah menadah tangan untuk memohon keampunan, sebenarnya hidayah itu bukan untuknya. Sebaliknya kita yang diberi hidayah untuk bertaubat itu harus mengambil peluang untuk BERTAUBAT SETIAP HARI SEHINGGA RASA UNTUK BERMAKSIAT SEMAKIN HARI SEMAKIN BERKURANGAN DAN TIMBUL RASA YANG KUAT UNTUK BERAMAL!!! Teori alam, apabila 'banyak' mendominasi yang 'sedikit'...maka yang sedikit akan tertekan dan lama kelamaan akan pupus. Apabila amalan ditambah atas rasa bertaubat yang diulang setiap hari, maka rasa untuk bermaksiat akan semakin hari semakin terhakis dan selebihnya kita akan sampai ke tahap benci kepada maksiat itu!

Inilah teori yang digunapakai oleh sekian ramai umat Islam yang diberi hidayah. Setiap perkara yang dilakukan secara konsisten dan penuh yakin, lambat laun akan menghasilkan sesuatu. Jika 'sesuatu' itu berupa maksiat, maka maksiatlah yang sebati pada dirinya tanpa ada ruang untuk menggapai cahaya. Tetapi jika 'sesuatu' itu berupa rasa 'sedar' atas silap sendiri, Insyaallah kena pada masa dan ketika yang mustajab, pusingan 360' akan dianugerahkan kepada insan yang pelupa itu.


Tetapi ada masalah pula untuk mereka yang bertaubat ini...masalah datang dari luar. Mereka yang sama-sama melakukan maksiat itu telah dengan tidak segan silu memaparkan segala 'aib' yang pernah dilakukan oleh insan yang telah bertaubat itu. Mereka yang mendengar pula menjaja cerita buruk seolahnya maksiat itu masih dilakukannya. Ini pelaku yang amat tidak bermoral dan orang jenis ini akan muflis di akhirat kelak!

Cerita seorang artis yang telah meninggal dunia...tetapi seseorang yang mengenali dirinya menjaja cerita, "Artis tu...alaaa aku kenal dia. Dia tu dulu kaki mabuk...". Masyaallah, aku tak selesa mendengar cerita itu tetapi tidak kuluahkan atas umurnya yang berpangkat 'ayah'. Ya, mungkin dulu dia bermaksiat tetapi bagaimana kalau dia sudah bertaubat sebelum ajal tiba? Jika kita rasa hebat sangat untuk membuka aib seseorang, ingin kukongsi satu cerita berlaku di zaman Nabi Musa.

Diriwayatkan kemarau berlarutan sehingga para pengikut Nabi Musa memohon agar baginda bermunajat kepada Allah untuk diturunkan hujan. Dalam berkomunikasi, Allah memberitahu Nabi Musa bahawa punca hujan tidak diturunkan kerana terdapat 'seseorang' yang bermaksiat selama 40 tahun. Baginda diarah untuk mengumpulkan seluruh pengikutnya untuk berita itu.

Berkumpullah sekalian pengikut Nabi Musa untuk perkhabaran itu. Sesudah dibuat pengumuman, Nabi Musa mengarahkan 'seseorang' itu untuk keluar dari perkumpulan itu agar rahmat Allah diturunkan semula kepada mereka yang lain. Berkali-kali pengumuman dibuat tetapi tidak seorangpun yang kelihatan keluar (menurut riwayat, mereka yang berkumpul dianggarkan sebanyak 60,000 orang).

Ya, 'orang' yang bermaksiat itu ada sebenarnya dalam kumpulan itu dan dia berasa amat malu sekiranya dia keluar, pasti semua mata akan tertumpu kepadanya. Di kala itu dia benar-benar bertaubat dan memohon agar Allah ampunkan segala dosa-dosanya. Sejurus selepas itu, berarak mendung awan hitam lalu menurunkan hujan di bumi yang kontang itu.

Lantas Nabi Musa bertanya kepada Allah untuk apa hujan diturunkan kerana 'orang' yang bermaksiat tidak kelihatanpun keluar dari kumpulan itu. Jawab Allah kerana 'orang' itu telah bertaubat dan Allah terima taubatnya. Ya...kerana 'orang' itu hujan ditahan dan kerana 'orang' itu juga Allah memerintahkan hujan turun.

Nabi Musa memohon agar Allah tunjuki siapa 'orang' yang dimaksudkan. Allah berfirman bahawa selama 40 tahun 'orang' itu bermaksiat dan Allah telah tutupi aib nya, mengapa pula Allah harus membuka aib nya apabila dia telah bertaubat!

Subhanallah!!! Allah sendiri berperanan menutupi aib hamba ciptaanNYA dan kita pula beriya-iya menyebarluas aib manusia!

Bertaubatlah...jika dikata belum sampai masanya, tahanlah dirimu dari mambuka aib orang yang bertaubat. Semoga rahmat Allah hampir kepadamu untuk memiliki rasa taubat itu. Carilah tanpa rasa jemu agar hidayah taubat itu bakal kau ketemu.

Saturday 27 April 2013

Kitalah Pendakwah

Semua ingin bercakap perkara yang baik dan semua juga ingin menyampaikan sesuatu agar 'sesuatu' itu boleh mengubah perjalanan hidup seseorang. Bahagia rasanya bila kata-kata itu boleh melonjak kapasiti seseorang untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya. Memang itu dituntut di dalam Islam dan Rasulullah juga berpesan untuk 'sampaikan walau sepotong ayat'.




Tetapi ramai yang terlalu teruja untuk menyampaikan perkara baik sehingga menolak jauh etika dan disiplinnya. Apa etikanya? Di mana disiplinnya?

Ya...Perkara baik harus dimulai dari diri sendiri, lihat sahaja peribadi Rasulullah SAW. Allah SWT telah mendisiplinkan peribadi Rasulullah sedari kecil dan disimbolikkan dengan pembedahan dada Baginda bagi membersihkan hati. Sebelum mencecah umur 40 tahun, Rasulullah tidak menyampaikan suatu apapun kepada kaumnya malah Baginda sebenarnya dalam proses meng'idola'kan dirinya untuk menjadi ikutan yang lain.

Peribadinya terjaga, sahsiahnya mantap, jujurnya bukan kepalang, kata-katanya penuh berhemah, komitmen kerjayanya melipatgandakan keuntungan. Sehingga menarik minat Srikandi untuk menyunting Baginda.

Tiba waktunya Baginda secara rasmi dilantik untuk menjadi Pesuruh Allah...bermulalah era 'menyampaikan'. Nah...hasilnya terserlah diri seorang manusia yang bakal merubah segala yang jahil di atas pengaruh peribadinya.

Bagaimana dengan kita? Seharusnya peribadi Rasulullah menjadi panduan sebelum memulakan langkah dakwah. Peribadi yang baik mempunyai pengaruh dan impak yang besar dalam merencanakan misi dakwah. Misi itu bukan mudah kerana ia berkait rapat dengan peribadi sipendakwah. 

Di mana letaknya kata-kata baik itu sekiranya tonasi suara lantang mengecam segala yang batil selagak diri sendiri maksum dari segala maksiat. Di mana posisi aura pendakwah jika segala yang baik diberi contoh kepada diri sendiri untuk ikutan ramai (seolah-olah segala yang baik itu kita).

Aku sendiri pernah mendengar kalimah 'toiyiban'  dari seseorang yang berperawakan Islamik. Setiap butir yang diucap tak lekang dengan kaitan tentang Islam...teruja aku. Tetapi pelangi itu tidak bersifat kekal, alih-alih berita tersebar dia dikenakan tindakan disiplin kerana membuat pemalsuan tuntutan kerja lebih masa. Aaaahhh...manis mulut ibarat menanam tebu bersulam madu di tepi bibir. Tersungkur penghormatan masyarakat kepada pendakwah jenis ini.

Sebenarnya peribadi yang baik juga merupakan 'silent message' kepada masyarakat. Tak perlu berkata banyak, cukup sekadar menjaga perilaku dan adab sesama makhluk. Insyaallah mereka akan menghormatimu dalam diam.

Tak perlu galak mempromosi Islam, amalan konsistenmu bakal memenangi hati mereka. Tak perlu berlawan kata untuk menegak hujah walau di pihak benar, senyummu menyerap segala hentakan provokasi sudah memadai untuk melembutkan jiwa sipemberontak.

Nahhh...lupakan segala kata-kata baik jika tonasinya menyimpang dari landasan sehingga boleh menyakitkan hati yang mendengar. Cuba beri tumpuan untuk 'silent dakwah'. Mantapkan peribadi untuk lebih berketerampilan sebagai 'a practice Muslim'.

Ingat...sekali kita mula menyampaikan sesuatu maka berkali-kali masyarakat akan memerhati peribadi kita. Apabila berkali-kali kita tidak menyedari keadaan itu, maka acapkali pula masyarakat mula mencebik bibir di belakang tabir!!!

Mulakan dakwah atas peribadi sendiri agar impaknya boleh merubah peribadi yang lain.

SELAMAT BERDAKWAH...


Sunday 21 April 2013

Melepasi Ujian Dunia

Hari itu seperti biasa aku bergegas untuk ke kelas pengajian...hari Selasa. Ya...setiap hari Selasa merupakan hari yang kutunggu-tunggu kerana tak sabar nak jumpa seseorang. Seseorang yang menjadi 'idola'ku. Perilakunya, peribadinya, penampilannya segala nampak sempurna. Yang paling aku gemari sifat tenangnya yang tiada sempadan...itulah ciri-ciri ulama'. Yang kumaksudkan...Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din

Ya...dia memang seorang ulama'. Ilmunya yang luas memang tiada siapa menyangkal tetapi masih tawaduk. Sahabat, kenalan, anak murid juga musuh politik...semua menghormatinya.

Aku tiba di Darul Syifa' di sekitar jam 7 malam. Kami tidak boleh lewat kerana tertakluk kepada 'credit hours' yang boleh menghalang kami dari mengambil peperiksaan. Segalanya tertakluk kepada kad pelajar yang harus disentuh kepada alat pengimbas.

Kami memulai kelas pengajian dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh ulama' itu. Bacaan Yaasin menyusul dan diikuti dengan selawat 10 pertama dan kedua yang wajib dihafal. Semuanya tamat tepat masuknya waktu Isya'. Sekali lagi berjemaah dan kelas bermula...

Kami semua duduk bersila selagak mendengar ceramah...penuh khusyuk. Pen dan kertas sudah bersedia untuk mencatat apa yang perlu. Situasi sunyi sepi, jika cicak yang berdecit tentu bakal mengundang malu cicak-cicak yang lain. Jika kedapatan pelajar menyelak kertas, bunyi selakan itu pasti memerima risiko jelingan mata yang lain.

Selepas melengkapkan modul pada hari itu, ada satu kisah yang dikongsi...kisah dugaan yang dihadapinya. Dugaan yang bakal menewaskan prinsip hidup dan janji yang terpatri...bagi orang biasa

"Hari itu saya bercuti di Pulau Langkawi bersama keluarga. Bersambil juga saya dijemput untuk merasmikan sebuah masjid yang belum siap sepenuhnya. Untuk tidak menghampakan, saya terima jemputan itu", beliau memulakan cerita.

"Sehabis majlis kami diundang makan dan berbual-bual mesra dengan penduduk kampung. Saya tanya kepada AJK yang menguruskan pembinaan masjid berapa lagi kos yang perlu untuk menyiapkan masjid itu".

"Lebih kurang RM 1 juta lagi, eerrr...kalau Dato' nak derma sejuta boleh juga", jawabnya berseloroh.

"Saya kalau ada sejuta Insyaallah saya derma semua untuk siapkan masjid ni", jawab ulama' tersebut juga secara berseloroh.

"Kisah habis di situ, saya bersama keluarga pulang ke rumah keesokan harinya".

"Selang seminggu saya dapat panggilan dari anak kenalan rapat, minta saya men'tahnik' anaknya yang baru lahir" (tahnik - upacara belah mulut yang mana akan dimasukkan makanan yang manis seperi madu atau rasa buah kurma ke dalam mulut bayi diiringi bacaan-bacaan tertentu, juga merupakan sunnah Nabi).

"Jadual saya padat tetapi mengenangkan dia beria- ia hendak saya yang melakukannya, sayapun pergi ke hospital dan melakukan upacara itu di sana", tenang beliau menyusun ceritanya.

"Setelah selesai saya minta diri dan dia salam saya sambil menghulur sekeping sampul surat...hadiah katanya. Saya tolak mulanya tapi bila dia kata itu adalah nazarnya, saya terpaksa ambil".

"Sampai rumah saya buka sampul...Subhanallah!!! Cek bernilai RM1 juta tertera depan mata saya!!! Saya termenung kejap, anak sahabat baik saya itu memang kaya...bisnes dia maju dan Alhamdulillah dia pula suka berderma".

"Esoknya bangun pagi saya beristighfar panjang...saya teringat kata-kata saya kepada penduduk Pulau Langkawi berkenaan derma RM1 juta bagi menyiapkan projek masjid. Saya beritahu isteri, dia kata saya bersoloroh atau betul-betul berjanji?"

"Tak kiralah berjanji ke berseloroh ke tapi saya dah keluarkan perkataan itu dan saya mesti tunaikan!" tekan ulama' itu.

"Allah sedang uji saya...Allah sedang uji saya".

Aku lihat ulama' tersebut mula sebak dan menyeka airmata yang sedari tadi bergenang...kami terkesan.

"Esoknya hati saya makin tak tenang, makin lama saya simpan duit tu, makin tak tenteram rasanya jiwa. Saya telefon anak sahabat saya yang memberi hadiah cek itu untuk ajak dia sama-sama ke Langkawi".

"Kami sampai di Langkawi, berjumpa dengan seluruh AJK masjid dan diadakan majlis ringkas penyerahan cek. Upacara itu mesti dilakukan bagi mengelak sebarang fitnah".

Anda tahu apa yang sedang dirancang oleh ulama' itu? Dia sebenarnya bercadang untuk mengumumkan bahawa pemuda itu yang sebenarnya memberi derma sejuta ringgit bagi menyiapkan projek masjid tersebut. Tidak disebut langsung bahawa wang itu adalah miliknya hadiah dari pemuda tersebut.

"Kami kemari untuk menunaikan hajat anak muda ini yang ingin berderma sebanyak sejuta ringgit. Saya berharap pembinaan masjid yang tertangguh ini dapat disiapkan secepat mungkin untuk manfaat semua yang ada di sini". 

"Anak muda itu agak terkejut lalu saya bisikkan di telinganya bahawa itu duit yang dihadiahkan kepada saya. Saya tidak berhak menerimanya kerana Allah telah melantik saya untuk menerimanya bagi pihak penduduk di pulau ini".


Masyaallah...aku terlopong mendengar cerita ulama' itu. Kata-kata yang bukan berbentuk janji..hanya gurauan tetapi diletakkan martabat yang tinggi ke atas segala apa yang dikeluar dari mulut.

Subhanallah...aku tak fikir yang mengejar dunia akan terbuka hati melepaskan RM1 juta. Tak terlintas pula dibenak pengumuman dibuat bahawa orang lain yang berderma...bukan dirinya. Terserlah kemuliaan dan ikhlas hatinya dalam melepasi ujian itu.


Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din...telah melepasi ujian dunia berharga RM1 juta. Dunia berada di genggaman tetapi akhirat tetap melekat di hati. Di saat iman diduga, dilepaskan genggaman dunia untuk didakap hati agar tidak mati.



Wednesday 17 April 2013

Rawatan alternatif atau kita yang negatif

Ilmu perubatan alternatif...merupakan rawatan yang bersumber al Quran, Hadis, pengalaman para sahabat Nabi juga petua-petua yang tidak melanggar syara'. Rawatan ini biasanya lebih kepada permasalahan alam dua dunia...alam manusia dan makhluk halus. Pandangan kita yang terhijab sebenarnya merupakan 'nikmat' kepada kehidupan ini. Bayangkan tiada sekatan, kita bakal melihat banyak jin-jin dan yang seangkatan dengannya dan ini akan mengganggu kehidupan seharian kita. Dunia 'kita' dan 'mereka' tidak boleh bersatu. Tetapi 'mereka' dibenarkan melihat dunia 'kita' lantaran yang lemah iman akan mudah dijadikan sebagai perumah oleh 'mereka-mereka' itu.

Ilmu perubatan alternatif yang benar kaedahnya tidak mengkesampingkan perubatan moden. Dato' Haron Din sendiri telah berkali-kali menjalani rawatan jantungnya di hospital pakar...tidak hanya mengharap bacaan-bacaan keramat, dihembus ke air dan minum. Itu juga pesan Dato' bahawa jangan terlalu menjurus ke arah dunia ghaib. Jika kita merawat seseorang dan 'simptom' ghaib itu wujud seperti terkena santau atau buatan orang, kita dilarang memberitahu sipesakit itu sebaliknya kita usahakan dengan kaedah yang dipelajari sehingga pesakit itu sembuh.

Aku sendiri kurang bersetuju bilamana masyarakat terlalu berkiblatkan air penawar dan bacaan-bacaan keramat dari pengamal perubatan alternatif ini. Anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan besar...minum air penerang hati. Anak-anak liat nak solat...dibawa berjumpa ustaz untuk lembutkan hati. Rumah kediaman serasa seram dan tidak selesa...dipanggil ustaz untuk 'pagar rumah'.

Habis tu...di mana peranan suami, isteri dan anak-anak dalam melayari kehidupan yang berlandaskan realiti ini? Tidak keterlaluan jika boleh kukatakan bahawa ibubapa yang terlalu mengharap rawatan air dan bacaan ini hanya melepaskan tanggungjawabnya kepada pihak lain.

Sepatutnya jika kedapatan masalah...suami boleh menjadi motivator dan penasihat, isteri seharusnya menjadi pendamai dan perawat minda, anak-anak pula perlu menjadi pelaksana yang baik. Ini yang diajar oleh Nabi kita!

Realitinya anak-anak jangan diajar dengan segala air mukjizat sebaliknya pandu mereka untuk belajar dengan tekun atas dasar ilmu itu 'fardhu ain' untuk dipelajari. Naikkan imej Islam bahawa kita adalah penganut agama Islam yang professional dan sarat dengan ilmu dunia dan akhirat. Bukan bergantung kepada air untuk berjaya.

Anak-anak liat solat? Lihat di mana puncanya. Adakah perbelanjaan harian yang diberi kepada keluarga itu bersumber yang halal, syubhah atau haram! Jika 'grass root' nya berlaku percampuran haram, minum air penerang hati bergelen-gelen pun tidak mampu untuk membuatkan anak-anak solat tanpa disuruh.

Rumah seram dan muram, adakah kita dan keluarga dirikan solat? Alunan muzik yang lebih dominan atau bacaan ayat-ayat al Quran yang lebih berperanan? Memasuki rumah dimulai dengan ucapan salam atau marah-marah sebab menempuh kalut sesak di jalanraya? Wujudkah internet yang berpaksi kepada filem-filem 'porno' di dalam rumah? Haaa...kalau itulah keadaannya...dari memagar rumah, lebih afdal kita pagar dulu isi dalam rumah itu..penghuninya!!!

Tidak menjadi salah untuk kita meminta pertolongan orang-orang agama yang dekat tarafnya dengan Allah tetapi pastikan akar umbi masalah telah dikenalpasti...cari puncanya. Jika solat dan pelbagai amalan sunat sudah dipasak dan memasuki rumah masih lagi serasa meremang bulu tengkuk, maka disaran berjumpa pakar rawatan alternatif untuk menghalau jin yang tidak diundang.

Jika anak-anak telah diberi segala yang mungkin untuk pembelajaran mereka dan mereka masih lagi ada penyakit berdebar-debar untuk menghadapi peperiksaan sehingga boleh menjejaskan prestasi, jangan bertangguh...bawalah berjumpa Dato' Haron Din atau anak-anak muridnya.

Jika ibubapa sedari awal telah banyak memain peranan dan bersolat jemaah bersama keluarga di rumah juga sumber hasil pendapatan dikawal rapi dari yang shubhah tetapi anak-anak masih degil serta liat untuk bersolat tanpa disuruh, buatlah temujanji dengan ustaz-ustaz terlatih agar dilembutkan hati anak-anak kita.

Islam tidak berdiri dengan ilusi, fantasi mahupun sakti. Jika benarlah air penawar itu mampu mengubah persekitaran, Baginda Rasulullah tidak perlu bersusah payah menempuh peritnya manusia-manusia degil yang enggan memeluk Islam...hembus sahaja ke air dan beri minum...lembutlah hati mereka. 

Tetapi tidak begitu keadaannya, misi ke Taif untuk sebaran Islam tidak disambut meriah oleh penduduk di situ. Malah mereka melontar dengan batu sehingga diriwayatkan sewaktu Baginda berlari untuk menyelamatkan diri, terdengar bunyi kasut Baginda ber 'cepak-cepak' seolah digenangi air...itulah darah Baginda yang mengalir ke kaki hasil lontaran batu penduduk di situ.

Baginda juga tidak perlu berperang untuk menegakkan syi'ar Islam, baca ayat al Quran hembus ke pasir dan lontarkan kepada musuh-musuh yang berganda banyaknya...tertidurlah mereka semuanya, bunuhlah satu persatu...kan mudah. 

Tetapi bukan begitu kehendak Allah, Baginda dan para sahabat diarah berperang dan di situ keimanan masing-masing teruji. Mereka cedera, terluka, putus tangan juga syahid. Berlaku juga seorang sahabat yang tidak dapat dikenali rupanya akibat ratusan anak panah yang tertusuk di seluruh tubuh dan muka. Baginda sendiri patah gigi dalam pertempuran di Bukit Uhud!

Lantas di mana letaknya perjuangan kita sebagai umat Islam...adakah semata-mata mengharap keajaiban air atau ia perlu berdiri dengan segala usaha yang tidak mengenal jemu, letih, jerih payah dan sebagainya.

Pernah berlaku di rumah, aku menghadapi masalah 'plumbing' yang kerap bocor. Selepas ditukar, selang seminggu tempat lain pula yang bocor. Tukar lagi, bocor lagi...tukar lagi, bocor lagi...aikk, pelik pula rasanya. Keadaan itu berlarutan agak lama dan berkali-kali pula tukang paip itu mengarahkan aku untuk ke Darul Syifa bagi membantu untuk menghalau jin ataupun penunggu yang menggigit-gigit saluran paip itu...katanya.

Hahaaaa...nak tergelak aku dalam hati. Nak gelak bukan kerana saluran paip aku sahaja yang bocor tetapi minda dia juga bocor! Aku tetap berkeras untuk tidak memulakan upacara memagar rumah kerana yakin masih ada ketirisan yang aku mungkin terlepas pandang. Mungkin tekanan air terlalu kuat atau sambungannya longgar. Kalau nak pagar rumah, aku sendiri boleh memagarinya atas sedikit ilmu yang aku perolehi di Darul Syifa' lewat pembelajaranku. Sebelum pagar rumah...aku pagar dulu hati sendiri agar 'taksub' kepada alam mistik tidak bersultan dan menjadi diri aku.

Alhamdulillah, prinsip aku berbaloi. Ditakdirkan Allah aku telah menyusul ke rumah 'plumber' itu untuk meminta khidmatnya atas kebocoran yang entah kali ke berapa berlaku. Nak tahu apa yang aku lihat? Haaa..jelas kelihatan gulungan saluran paip pvc diletakkan di luar rumah, dibelinya dalam kuantiti yang banyak agar memudahkan kerja-kerjanya (tak perlu untuk ke kedai). Bermakna saluran paip itu terdedah kepada hujan dan panas, sudah tentu akan terjadi rekahan-rekahan halus yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Bila dipasang, rekahan itu tidak boleh menampung tekanan air yang kuat dan akan melebarkan lagi jurang rekah...terjadilah kebocoran air...BUKAN GIGITAN JIN!!!!

Bagi mengesahkan lagi teori itu, aku berbelanja besar untuk menukar keseluruhan saluran paip yang berkualiti baik (melalui 'plumber' yang lain). Alhamdulillah...sehingga sekarang tiada satu pun jin yang berani gigit saluran itu, keras agaknya...alahaaaiiiiii.


Aku juga berpengalaman memagar rumah seseorang atas permintaannya yang bersangatan. Aku bersetuju kerana itu rumah baru dan kawasan baru. Kawasan belantara yang dahulu tentunya didiami makhluk-makhluk halus. Untuk mengelak sebarang gangguan, perlu untuk dibaca ayat-ayat tertentu. Aku juga berpesan kepadanya, jangan hanya berharap kepada apa yang aku lakukan. Jika rumah sudah dipagar tetapi penghuninya tidak mengamalkan segala syariatullah seperti solat dan membaca al Quran...jangan kata makhluk halus, penghuni itu sendiri boleh menjadi jin yang tanpa disedari menjemput segala syaitan dan suku sakatnya untuk sama-sama mendiami rumah itu. "haaaa..ingat tuuuu!!!" aku memberi amaran kepadanya.

Errmmm...boleh merujuk rawatan alternatif tetapi jangan sampai kita menjadi pasif dan negatif, melepaskan segala permasalahan kepada pihak lain. Bentuklah keyakinan diri, isteri, anak-anak dan keluarga dengan daya kemampuan sendiri...jika segalanya sudah berada di landasan yang betul dan tetap ketemu jalan mati maka baharulah kita mencari alternatifnya...Fahami makna 'alternatif' iaitu 'pilihan' bukan 'keutamaan'!

SELAMAT MELAYARI KEHIDUPAN DI ALAM NYATA.

Saturday 13 April 2013

Aku Terima Nikahnya...



Perkahwinan adalah sesuatu yang dituntut oleh syariat. Gunanya untuk memelihara diri dari melakukan maksiat demi membentuk generasi yang mulia. Di zaman Rasulullah SAW terdapat sahabat yang enggan berkahwin untuk menumpukan perhatian kepada amalannya sahaja. Perkara ini ditegur oleh Baginda kerana tindakannya itu telah menentang naluri semulajadi manusia yang perlukan teman hidup.

Baginda Rasulullah SAW adalah manusia yang paling takut dengan Allah tetapi tidak sampai menidakkan pasangan hidup. Lantas sekiranya seseorang itu waras pemikiran dan cukup keperluan dan dengan tidak berkahwin akan membuatkannya terjebak dalam zina, maka wajib ke atasnya untuk berkahwin.

Bila terdapat wali, saksi, pasangan lelaki dan perempuan, ijab dan kabul maka komitmen ke atas pasangan sudah termetri. Syariat telah mengikat perkahwinan dengan syarat dan peraturan. Sekiranya peraturan dilanggar, keharmonian rumahtangga bakal mengundang padah. 

Nafkah zahir dan batin, rumah kediaman, didikan ke atas isteri dan sebagainya perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengelak sebarang kemelut yang menjerut.

Peperiksaan untuk kertas 'alam rumahtangga' adalah wajib untuk diambil. Buatlah persediaan rapi untuk menjawab segala soalan agar setidak-tidaknya kita lulus di dalam peperiksaan tersebut.

Jika soalannya berbunyi...'Di dalam situasi isteri engkar atau nusyuz, apakah yang perlu dilakukan oleh suami? Huraikan'.

Agaknya apa tindakan kita terhadap isteri seperti soalan di atas? Ada suami yang tidak sabar terus menjatuhkan talak. Terdapat juga yang menggunakan kekerasan untuk membetulkan isteri. Yang lebih tersasar, suami mula beralasan untuk mencari hiburan luar.

Eerrmmm...semua tindakan di atas mencerminkan betapa ceteknya pengetahuan ketua rumahtangga. Maka tidak hairanlah jika usia perkahwinan sekarang rata-rata berjangka hayat pendek.

Isteri nusyuz, tindakan pertama suami ialah menasihatinya dengan baik. Tiada perubahan, dipisah dari tempat tidur. Masih persis, dipukul dengan pukulan yang tidak meninggalkan kesan (ini digambarkan sebagai melibas kain ke lengan isteri dengan kadar yang tidak menyakitkannya. Suami yang tak pernah memukul isteri, tindakan libasan lembut itu amat menakutkannya sebagai tanda amaran).

Pernah dengar suami nusyuz? Ya...memang berlaku suami juga nusyuz bilamana ia mengabaikan tanggungjwabnya terhadap keluarga. Apa tindakan isteri? Berhak meminta tebus talak...jalan keluar ialah perceraian.

Eerrmm bercerai? Mudahnya ungkapan itu tetapi tidak semudah untuk kita menempuhnya. 

Ada satu kisah yang aku terbaca tentang bagaimana si isteri menangani masalah suaminya yang bermain kayu tiga. Malamnya bergaduh, pagi sebelum ke tempat kerja dia tetap salam suaminya. Siang bertengkar, malamnya dia tetap menyediakan hidangan makanan. Habis daya usahanya untuk menyelamatkan keadaan. Isteri nekad merelakan suami untuk berkahwin lain...dia pasrah

Kisah balada rumahtangga itu berakhir dengan suaminya kembali kepada keluarga dan berubah 360'. Apa yang aku kagum bagaimana method yang baik yang telah digunapakai oleh isteri itu. Bermasalah tetapi tetap menyediakan segala keperluan suami. Di sinilah ibu memain peranan dengan menasihati anak perempuannya agar tetap istiqamah dengan status sebagai isteri.

Nampak jelas bahawa Allah redha dengan apa yang dilakukan oleh isteri terhadap suami. Lantas Allah ilhamkan kepada suami untuk berfikir waras dan membetulkan tindakan salahnya itu. Maka hadirlah rahmat Allah ke atas rumahtangga mereka.

Berapa ramai yang boleh bertindak sebegitu? Di kala orang ketiga yang tidak dinafikan suami mencelah, isteri masih mampu menunaikan tanggungjawabnya sebagai surirumah.

Bertindak mengikut emosi bakal merugikan kita juga pasangan. 
Marah suami sekejap cuma tetapi tindakannya membabit masa depan anak-anak dan keluarga.

Marah bakal reda menempuh masa tetapi pukulan suami kepada isteri akan diingati sampai mati.

Marah isteri boleh hilang tetapi bila tak sabar takut kita kehilangan segala-galanya.

Kembalilah kepada al Quran Sunnah Nabi. Bila hidup berlandas kedua Nas tersebut, Insyaallah hidup bisa terurus bilamana Allah menjanjikan RAHMAH, SAKINAH dan MAWADDAH ke atas rumahtangga kita.

Bahagia rumahtangga boleh dibeli? Jika benar, carilah kekayaan dan cuba tawarkan RM 1 juta kepada pasangan dan anak-anak. Bahagia hanya beberapa ketika, wang yang dibelanja menjadi susut. Suami yang berhibur di luar usah diganggu kerana perjanjian RM 1 juta telah ditandatangani. Rumah sunyi sepi...anak dan isteri sibuk berbelanja sakan. Tinggallah bibik yang mengecapi nikmat rumah besar itu. Mana letaknya bahagia keluarga?

Sebaliknya bahagia rumahtangga boleh dicipta dengan menyemai cinta Allah dan Rasul. Bila cinta sudah disemai dan dibajai...segalanya menjadi mudah. 

Tak perlu RM 1 juta kerana RM 100 sudah boleh diadakan kenduri berkumpul bersama keluarga dan adik beradik. 

Tak perlu RM 1 juta kerana RM 10 sudah boleh makan aiskrim bersama keluarga di rumah sambil menyakat sesama sendiri. 

Tak perlu RM 1 juta kerana RM 1000 sebulan tidak diganggu dengan kesakitan, kemalangan juga gangguan mental!!!

Ber'akujanji' lah dengan AKU TERIMA NIKAHNYA...

Wednesday 10 April 2013

Warkah Dariku...




Mak, Bapak...
Terimakasih kerana telah mendidikku sebaik mungkin untuk aku dewasa menjadi 'orang'. Orang yang boleh memberi manfaat terhadap orang lain. Orang yang tidak meminta-minta kepada yang lain. Orang yang boleh bersabar dengan kerenah orang lain. Orang yang boleh mendidik anak-anak sendiri sepertimana kalian mendidik aku. Orang yang taat terhadap kedua ibubapa dan menjalankan perintah agama. 'Orang' inilah yang bernama ANAKMU!!!

Mak, Bapak...
Di zaman kanak-kanak, bila berlaku perselisihan antara aku dan rakan sepermainan mahupun dengan jiran tetangga, kalian tidak pernah memenangkanku walau kalian tahu aku tidak bersalah. Kalian memegang prinsip 'salahkan anak sendiri dahulu' untuk membetulkan keadaan. Di situ aku belajar untuk tidak mencari masalah atau bergaduh dengan rakan sekeliling kerana aku yang bakal dipersalahkan dahulu oleh kalian. Lewat sekarang baru aku sedar bahawa itulah caranya agar anak-anak tidak terlalu dimanjai.

Mak, Bapak...
Kalian tidak membekalkan harta dunia tetapi kalian menyelitkan harta akhirat yang tiada ternilai untuk aku teruskan kehidupan dengan sesempurna mungkin mengikut apa yang digariskan oleh syarak. Jika wang ringgit yang kalian tabur, mungkin sekarang aku tidak menjadi seperti yang kalian inginkan. Alhamdulillah, berkat sabar kalian berdua mendidikku maka sifat-sifat yang ada pada kalian telah dengan sempurna diserap masuk untuk kuamalkan. Sifat sabar mak, sifat tegas bapak telah menjadi diriku. Terimakasih yang tidak terhingga kepada MAK dan BAPAK, alfatihah untuk arwah Abdul Rahman b Mohamed Nasir

Adik beradikku...
Kita membesar bersama, kita bergaduh bersama jua kita tidur bersama. Segala memori lalu menjadi pedoman untuk kita kekalkan keharmonian keluarga. Tampak kita bersatu hati sedari kecil sehingga dewasa...itu yang diajar oleh mak bapak kita. Jika yang di sini terkurang akan hadir yang di sana untuk membantu. Jika yang di sana bermasalah, semua kita bersatu untuk meleraikannya. Aku tak pernah lupa bahawa kita telah sama-sama menempuh dugaan sewaktu arwah bapak sakit.

Sakit arwah adalah sakit kita..derita arwah adalah derita kita bersama. Semuanya memain peranan dan keadaan itu amat-amat memotivasikan diriku untuk menempuh segalanya bersama. Walau dalam karektor yang berbeza, peribadi yang pelbagai dan pendapat yang bermacam, kita tetap akan akur kepada keputusan yang terbaik untuk keluarga. Kita sama-sama dapat memahamkan isteri jua suami untuk menempuh situasi yang tidak terjangka itu. Aku berharap jua yakin bahawa tautan kasih yang dibajai oleh mak dan bapak kepada kita akan kekal sehingga ke generasi seterusnya.

Sebahagian dari keluargaku di Hari Raya Aidilfitri
Mertuaku...
Terimakasih dari hatiku yang tulus kerana bermulanya kehidupan kami atas restu kalian berdua. Aku amat menghormati kalian seperti yang dituntut syariat. Kalian menerimaku seadanya, melepaskan anakmu atas kepercayaan kepadaku untuk menjaganya. Kalian tidak membeza-bezakan aku dengan anak menantumu yang lain. Di situ merupakan faktor aku selesa bersama kalian dan telah sebati bahawa keluarga kalian keluargaku jua.



Mertuaku...

Aku serasa bersalah bila kepulangan kami membuatkan rehatmu terbantut. Kalian seperti tidak duduk diam dalam memastikan segala makan minum lengkap terhidang. Tapi yang membuat aku bahagia bilamana kalian nampak ceria berbual dan mengusik-usik cucumu. Agaknya itulah penawar letih dan jerih perih kalian...kepulangan anak cucu memang dinanti.

Mak, terimakasih kerana sering memasak makanan kegemaranku bila kami menziarahimu.
Abah, terimakasih kerana aku dapat berguru denganmu dalam ilmu tajwid dan bacaan.
 
Isteriku...
Kita bermula dengan serba serbinya kurang. Aku tidak punya apa-apa selain dari hati yang jujur untuk memperisterikanmu. Jika harta yang ditagih, tiada apa untuk diagih. Jika perawakan yang dipandang, hidungku tak mancung bak seludang. Tiada apa untuk kau banggakan selain dari susah payah yang diredah.

Isteriku...
Terimakasih kerana kau tidak meminta apa yang tiada malah bersyukur dengan apa yang kuhidang. Terimakasih kerana memberiku ruang untuk membina kehidupan kita. Ruang dan peluang itu kugunakan untuk membuktikan kepadamu, jua keluargamu bahawa pilihanmu tidak menyimpang. Akad nikah yang kulafaz dahulu merupakan 'akujanji' ku kepadamu. 'Akujanji' itu bernyawa sepertiku...ia tidak akan mati sehingga aku mati.

Isteriku...
Terimakasih jua kerana banyak bersabar dengan segala kerenahku. Aku ada misi dan itu bukan mudah. Kesilapanmu bakal dijawab olehku nanti di sana....kerana itu aku kadangkala nampak tegas dengan prinsip itu. Ketahuilah bahawa kau adalah pemberian Allah yang paling berharga pernah aku terima dalam hidup ini. Kerna itu, tidak mampu untuk kupersia-siakan hidupmu. Aku berangan untuk kita diketemukan semula di syurga..kau bakal menjadi bidadariku..Insyaallah

Isteriku...
Maafkan aku kerana membebani hidupmu dengan tugasan di syarikat. Kehidupanmu betahnya di rumah...itu jua cita-citaku. Tetapi kau korbankan segalanya demi kelangsungan hidup kita jua anak-anak. Maka untuk menunjukkan empati, aku tidak teragak-agak untuk meringankan bebananmu di rumah pula.

Isteriku...
Inilah kehidupan yang kita bina...aku tidak hanya menyediakan rumah buatmu tetapi kucipta 'rumahtangga' untuk kita sekeluarga. Kucuba hiasi rumahtangga kita dengan apa yang digaris oleh syariat...setakat yang termampu. Hasilnya...hati kita tergait-gait untuk pulang sehabis tugasan. Bahagia rasanya..harap kau selesa.

Anak-anakku...
Ayah bukan yang terbaik buat kalian. Terlalu sedikit ilmu yang ayah miliki untuk mendidik kamu semua. Di zaman yang mencabar ini, ayah cuba menongkah arus agar kalian semua tidak tersesat oleh kemilaunya cahaya dunia. Imbangilah dunia dengan akhirat. Kita hidup di dunia hanya sekitar kurang dari 2 jam (1 hari di akhirat bersamaan 1000 tahun dunia). Kesalahan yang kamu lakukan bakal membebani ayah kelak. Kealpaan kalian akan membawa padah kepada ayah.

Anak-anakku...
Siapa lagi yang ayah harapkan untuk menitip alfatihah di kuburan bila ayah bersemadi di dalam tanah? Kalianlah permata hatiku yang telah ayah didik sebaik mungkin untuk tidak melupakan ayah di pusara. Mungkin ayah berdosa dan siksa kubur itu menanti...tetapi dengan doa kalian, boleh menyelamatkan ayah dari siksa dan fitnah kubur itu!

Sahabat-sahabatku...
Aku banyak dosa dengan kalian. Banyak hati yang terluka dengan sikapku. Aku tidak pandai mengambil hati dan tidak cuba untuk mengingati tarikh lahir kalian. Aku tidak selalu bersama kalian di luar waktu pejabat kerana komitmenku bersama keluarga dan masyarakat setempat. Aku harus membahagikannya dengan adil agar ianya tidak dituntut di akhirat. Banyak kelemahanku tertera di mata kalian. Jika kata-kataku lewat tazkirah di surau menyinggung kalian...maafkanku. Jika peringatan pendek melalui emel melukakan hati kalian....ampunkan aku. Jika interaksi kita melalui telefon banyak mengganggumu...kupohon ampun dan maaf untuk kesekian kalinya.

Teman-teman FB...
Teknologi terkini menemukan kita di alam maya. Alam yang tiada sempadan. Kelebihan dan kekurangannya hanya berada di hujung jari. Nasihatku agar kalian dapat menghiasi 'wall' dengan segala yang berfaedah. Saringlah tulisan-tulisan kita dengan kalimah-kalimah yang baik kerana kita sedang berinteraksi dengan makhluk yang punya nyawa dan perasaan.

Kita mungkin tidak sedar yang banyak tulisan-tulisan itu telah menyinggung hati yang membaca. Jika kita berdosa dengan Allah panjatkanlah doa dan bertaubat...Allah Maha Pengampun. Tetapi jika kita berdosa sesama makhluk harus merujuk makhluk jua. Adakah makhluk maha pengampun?  Ditakuti amalan kita yang banyak, diberi begitu sahaja kepada mereka yang teraniaya dek tulisan kita di alam maya. Muflis jadinya kita nanti di akhirat kerana segala dosa mereka yang terluka akan diserah kepada kita untuk menanggungnya. Di sini yang ramai terleka...maka berhati-hatilah kalian apabila ber 'laman sosial'.

Maafkanku sekiranya terdapat tulisan alpa yang aku 'terlepas pandang'. Selagi aku bernama manusia maka yang 'terlepas pandang' itu adalah AKU...inilah warkah dariku.

Jazakum Allahu Khair

Monday 8 April 2013

Maaf...aku jua punya harga diri!

Aku terpempan seketika menyaksikan apa yang berlaku...berlaku di hadapan mataku. Segalanya jelas kelihatan dari mula hingga akhiran cerita. Jika sesiapa ingin mengetahui duduk perkara sebenar maka aku rasa akulah yang paling layak bercerita kerana aku saksi utama pendramaan cerita itu.

Aaahhh...isunya nampak kecil tetapi lubuk deritanya yang tidak kelihatan. Bermula dari gurauan kata ia telah menjadi seperti satu dosa besar yang tidak terampun. Yalah...yang mendengar kata-kata gurau itu adalah manusia. Manusia punya hati, perasaan, naluri, sensitiviti dan emosi. Jika kita bergurau dengan 'orang utan', lainlah pula ceritanya. Tidak akan timbul isu dosa mahupun sensitif.

Itulah istimewanya manusia. Ia dicipta bukan hanya pada yang nampak. Yang tidak kelihatan itu sebenarnya ciptaan Allah paling hebat. Jika ditanya di mana letaknya hidung, mata, telinga dan pelbagai luaran yang nampak...tidak susah untuk kita menjawabnya. Tetapi jika disoal di mana letaknya emosi, akal, fikiran, naluri dan cekal...ermmm cubalah kita olah jawapannya. Buntu...

Buntu juga sebenarnya sesiapa yang berada di tempatnya. Dirasa gurauannya biasa-biasa sahaja tetapi telah dicap sebagai luarbiasa kepada pendengarnya. Aku tak rasa sensitiviti memain peranan tetapi ianya lebih kepada situasi yang kurang sesuai. Menambah burukkan lagi keadaan, dia tidak menyedari akan faktor masa itu.

Saleh dan Faizal (nama samaran) berkawan baik. Saling bertegur sapa sekiranya bertemu. Di hari dan ketika yang bersalahan itu, Saleh bergurau dengan selamba, malangnya telah diambil serius oleh Faizal. Terus dia berlalu tanpa menoleh...Aaaaaahhh, situasi yang benar-benar mengundang rasa kurang selesa kepada Saleh.

Dicari peluang untuk berjumpa malang menempuh gagal. Dihantarnya email haram tidak berbalas. Cuba nasib menelefon tetapi terus diletaknya. Akhir sekali mereka berdua terserempak dan peluang ini tak dilepaskan oleh Saleh untuk memohon maaf atas terlanjur kata. 'Ditanggung haram' oleh Faizal untuk melayannya.

Saleh buntu...segala apa yang dilakukan hanya untuk melepaskan diri dari belenggu dosa sesama makhluk. Tetapi 'makhluk' yang satu ini nampaknya seperti makhluk asing yang baru mendarat di bumi. Keras hati, sampai hati, buta matahati dan tiada hati.

Saleh baik orangnya sesuai dengan namanya...orang yang soleh. Dia terlalu menjaga adab apalagi terhadap orang yang lebih berusia darinya. Itulah...kekadang manusia diuji dengan sikap manusia juga. 

Bagiku, Saleh telah memainkan peranannya sesama makhluk. Ya dia bersalah...sebab itu telah dicuba sehabis daya untuk memohon maaf dan mengakui segala keterlanjuran. Maka Saleh telah berlepas diri dari dipertanggungjawabkan terhadap dosanya sesama makhluk. Dia perlu berserah kepada Allah untuk melembutkan hati Faizal. Jika 'makhluk asing' itu masih berkeras, itu bukan masalah Saleh tetapi merupakan masalah jiwa kacau yang dibelai manja oleh tuan empunya diri.

Bukan dosa mengumpat, tidak juga dosa mengeji apalagi dosa memfitnah. Ia hanya gurauan secara langsung yang tidak diterimapakai oleh sang 'egois'. Apakah sehingga Saleh datang melutut kepadanya...baharu maaf diberi?



Ini bukan ajaran Islam. Baginda Rasulullah tidak pernah memberi contoh sebegitu malahan Baginda akan memberi maaf kepada sesiapa sahaja asalkan tidak membabitkan hukum yang telah ditetapkan syariat.

Saleh manusia berilmu. Kerana itu dia mencuba sedaya upaya untuk melangsaikan hutang maaf kepada sesama makhluk.

Faizal manusia dungu. Kerana itu dia cuba menangguh-nangguhkan pemberian maaf sehingga boleh menyiksa jiwa mereka yang bersalah.

Faizal lupa bahawa dia juga bakal melakukan kesalahan terhadap yang lain. Dia akan merasa betapa peritnya berhadapan dengan manusia tegar yang enggan memberi maaf.

Apa yang diberi akan berlaku refleksi terhadap diri. Jika hati lembut memberi maaf maka kemaafan dari pihak lain akan diterima dengan mudah. Begitu juga sebaliknya, jika hati keras maka kekerasan dari yang lain bakal ditempuh olehnya.

Hari-hari berlalu tidak merisaukan Saleh. Saleh menjadi nekad. Ya...nekad yang dia tidak sampai menyua-nyuakan hidungnya yang tak mancung untuk memohon kesekian kali maaf. 

Faizal tetap begitu...kelakunya tidak berubah. Entah apa yang dimahunya dari orang sebaik Saleh. Bila rasa mulia dan hebat menguasai minda, 'kismis minda' dimakan seratus bijipun tidak akan melenturkan rasa ujub diri. 

Hiduplah Faizal dalam kekalutan yang tidak disedarinya. Berbahagia pula Saleh dengan ilmu yang memagarinya.

Saleh makin ceria...tuntutan maaf sudah dihentikannya atas alasan salahnya tidak seberapa berbanding terpaksa menjadi pengemis dari yang tegar. Faizal pula makin derita menagih-nagih maaf dari Saleh.

Mereka terpisah terus tidak berjumpa apabila Faizal bertukar tempat kerja. Saleh terus mendoakan kesejahteraan Faizal tanpa pengetahuannya. Itu yang termampu dipersembahkannya.

Yang selebihnya...hanya DIA tempat Saleh mengadu.

Aku bermuhasabah diri. Tak sudi untukku melayan keras hati yang bersultan di mata beraja di hati. Hatiku milikNYA...akan kukembalikan kepadaNYA bila sampai masa. Insyaallah kucuba sedaya yang mampu untuk menjaganya dari mengundang segala yang boleh merosakkannya...Insyaallah


Saturday 6 April 2013

Seminit Hijab Dibuka



Dari perawakan, nampak biasa-biasa sahaja. Melalui air wajah, aku menelah hatinya yang bersih. Terlanjur berbual, ahhhh...aku seolah mengenalinya lebih lama dari yang kujangka. Dia baik, berbudi pekerti tinggi dan amat menghormati rakan taulan. Aku pasti ramai yang selesa bila di sampingnya.

Tidak banyak yang kutahu tentang dirinya melainkan apa yang tertera di hadapan mata. Tidak sudi pula aku untuk menguis-nguis latar belakangnya. Kami membawa haluan masing-masing setelah tamat pengajian. Kami ghaib ditelan masa.

Takdir menemukan kami. Tak pernah terduga di benak fikiran bahawa kami akan diketemukan semula...bertemu di dalam situasi yang seakan sama seperti dahulu. Jika dia memakai seragam sekolah, tak jauh beza nampaknya. Aku kagum dalam sunyi. Kebaikan bermula dari hati yang bersih. Aku pasti hatinya bersih seperti yang pernah aku kenali dulu...maka terpancar dari raut wajah dan fizikalnya. Dia nampak tidak banyak berubah...ajaib hatinya.

Kami bercerita, berseloroh, tak terlepas tentang kisah-kisah silam zaman remaja, habis semua diselak untuk menjadi bahan gelak.

Dua tahun keadaan berlarutan dan kami berhubung seperti biasa. Memberi prioriti kepada tugas, ada lebihan waktu baharulah kami berhubung itupun dicemburui waktu.

Hari itu terasa lain. Dia seolah ingin berkongsi sesuatu. Sesuatu yang kukira telah lama menjadi khazanah diri. Tetapi khazanah itu tak tertahan-tahan untuk diempangnya. Aku bersedia mendengar warna-warni sejarahnya.

Inilah kisahnya...

Alhamdulillah...aku diizinkan untuk mengunjungi rumahNYA melaksanakan umrah. Teruja rasa hati tetapi agak bercampur baur dengan masalah-masalah yang mendatang. Ahhhh...biarlah masalah itu...ia boleh datang dan pergi. Tetapi kupinta agar ia pergi sebentar untuk aku tenang mengunjungiNYA.

Syukur...syukur sesangat kerana perjalanan umrahku menempuh mudah. Tenang jiwa, lapang dada, kosong fikiran dari memikir kerenah dunia. 

Hari itu seperti biasa aku bersiap untuk solat subuh. Aku bertolak awal dari hotel untuk mencari lokasi berdekatan Kaabah. Aku bersama ibu memilih untuk solat di bahagian atas juga bertentangan dengan Baitullah. Azan subuh pertama sudah berkumandang bertujuan menggerak mereka yang masih diulit mimpi.

Sementara menunggu azan kedua, aku membaca Quran. Sekali sekala aku memandang ke hadapan untuk melihat Kaabah. Kusambung semula bacaan...kupandang semula ke hadapan. MASYAALLAH...Kaabah hilang, kosong dari pandangan!!!

Benar!!! Betul-betul di hadapanku merangkak pula seseorang yang memang kukenal menuju ke arahku seolah meminta bantuan...eehhhh, apa semua ni? Keadaannya seperti lepas bertempur di medan perang. Dia benar-benar nampak sedang di dalam kesusahan dan memerlukan bantuanku.

Eehhh...mana datangnya makhluk ini? Aku bukan bermimpi...aku sedar yang aku masih 'SEDAR'. Aku kenal dia...aku teramat mengenalinya! Peliknya, sekelip mata dia muncul dalam keadaan yang tidak kujangka langsung. Sekali lagi aku sedar yang aku masih 'SEDAR'.

Kejadian berlaku dalam lebih kurang seminit dunia. Aku kaget...tiba-tiba 'dia' hilang dan Kaabah muncul kembali di hadapan mata. Tubuhku menggeletar, tak daya untukku mengerjakan solat subuh. Aku dihantar pulang ke hotel oleh muttawif. Kutekankan sekali lagi bahawa AKU SEDAR YANG AKU MASIH 'SEDAR'.

Setelah pulih dari semangat yang hilang, muttawif ingin mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Kuceritakan segalanya dan sebenarnya cerita ini bermula di Malaysia lagi.

Kronologi awal...

Sehari sebelum berangkat, aku dikunjungi rakan-rakan untuk mendoakan keselamatanku dan diberi kesihatan yang baik untuk beribadah di sana. Tetapi ada cerita yang kurang enak kudengar disampaikan oleh mereka yang melawatku.

Seseorang yang kelihatan baik denganku diberitakan banyak mengata aku di belakang. Masyaallah...aku tak selesa sejujurnya tetapi tak daya untukku mengubah persepsi makhluk terhadapku. Biarlah...

ORANG ITULAH YANG KULIHAT MERANGKAK MENUJU KE ARAHKU MEMINTA PERTOLONGAN SEHINGGA HILANG KAABAH DARI PANDANGAN MATA!!!

Muttawif yang khazanah pengalamannya luas bak laut lepas itu mengatakan bahawa ALLAH telah membuka hijab sebentar untuk disaksikan kepadaku bahawa inilah balasannya terhadap mereka yang suka mengumpat sesama makhluk.

Muttawif menyarankan agar aku melakukan solat hajat dan memohon kepada Allah agar mengampunkan segala dosa-dosanya. Jiwaku tanpa berbelah bahagi melakukannya dengan jujur, sejujurnya aku kasihan belas kepadanya. Aku total memaafkannya atas segala umpatan yang dilemparkan.

Pelik tetapi benar tetapi kebenaran itu menolak pelik. Maha Kaya Allah untuk menunjuki apa sahaja kejadian sebagai ibrah...jua anugerahnya kepada insan yang terpilih. Terbuka hijab untuk hiburan matamu.

Habis ceritanya tetapi mindaku belum habis menganalisa dirinya.

Sahabat,
Jiwamu bersih, hatimu mulia. Kau sentiasa mengalah dalam apa sahaja perkara demi memberi laluan kepada yang lain...meski jiwamu tersiksa.

Sahabat,
Mata kasar melihat kau mengalah tetapi mata hati menyuarakan bahawa kau bukan kalah. Allah telah memenangkanmu. DIA anugerahkan sesuatu buatmu...sesuatu itu diberi kepada hanya yang terpilih.

Sahabat,
Moga kau istiqamah...aku yakin banyak lagi yang bakal kau terima dariNYA.

Aku ber evolusi sendirian...yang benar itu tetap menolak pelik.

Thursday 4 April 2013

Menerima Untuk Memberi

Banyak sudah kita terima dalam hidup ini. Dari lahir tanpa sebarang harta dan kemampuan, Dia memperuntukkan banyak untuk kita jalani kehidupan sebagai khalifah. Bermula dari anugerah kehidupan, kita lahir tanpa dipinta...justeru Allah anugerahi nikmat udara, jantung, hati dan segala organ luar dalam. Lengkaplah kita sebagai insan yang banyak menerima pemberian dari Pencipta.

Tidak cukup dengan nikmat tubuh badan diberi percuma pula segala harta kekayaan, keluarga yang berkembang biak dan kuasa sebagai pemimpin. Bertambah tinggi nilai hidup kita berbanding haiwan melata dan tumbuh-tumbuhan yang juga makhluk ciptaanNya.

Sebenarnya Allah beri kehidupan dengan bersyarat...untuk kita tadbir kehidupan mengikut manual yang diberi iaitu al Quran dan Sunnah. Kita dianggap telah melunaskan segala hutang pemberian sedari lahir dengan mematuhi segala panduan yang diberi berlandaskan syarak.

Nampak mudah bila kita punyai harta dan tidak meminta-minta kepada yang lain tetapi menjadi kutukan Malaikat kerana kedekut untuk meng'infak' sesama yang fakir.

Banyak yang kita terima justeru banyak juga yang harus kita beri. Ini falsafah Islam yang menjanjikan gandaan rezeki sekiranya kita memberi. Ilmu matematik memberi formula bahawa jika kita ada RM100 dan beri RM50, baki yang tinggal RM50...bermakna berlaku pengurangan harta. Tetapi Islam hadir memberi formula yang tidak tertakluk kepada hukum alam. beri RM50 kita bakal menggandakan rezeki...ibarat tumbuhan yang mempunyai tujuh tangkai, setiap tangkai mempunyai 100 biji...jumlah 700 biji gandaan. Hebat formula yang Allah janjikan itu.

Tetapi dek jahil bermaharajalela dalam diri, mereka memakai logik akal bahawa RM50 yang diinfak tidak kelihatan RM35,000 yang diterima seperti formula di atas (RM50 x 700).
Mereka lupa bahawa rezeki tidak tertakluk kepada harta semata-mata. Bolehkah RM35,000 membeli ketenangan jiwa? Sihat tubuh badan? Waktu lapang? Tidur yang lena? Keluarga yang bahagia?

Formula hebat ini harus disertai dengan mata hati yang celik. Selagi hati diselaputi banyak kemungkaran maka tidak hairan jika ramai yang akan mempertikaikan kesahihan janji Allah itu.

Jika boleh kukongsi satu contoh...

Banyak berderma dan berdoa boleh menjauhi melapetaka yang telah ditakdir berlaku ke atas seseorang. Justeru itu, kita mula berderma dengan harapan agar terlindung dari segala mara bahaya dan atas keyakinan kita kepada janji-janji Allah.

Malangnya kita telah terlibat dalam kemalangan ngeri dan agak bernasib baik kerana dapat diselamatkan walaupun kereta rosak teruk dan perlu ribuan ringgit untuk dibaiki. Seminggu di hospital untuk rawatan dalaman kerana terdapat darah beku di kepala atas hentakan kuat. Tidak dilindungi insuran dan perlu meminjam keluarga terdekat untuk mejelaskan segala bil yang tertangguh.

Apa firasat kita apabila situasi tersebut berlaku dikala kita banyak berderma? Sudah banyak berderma dan berdoa malah musibah juga yang menimpa. Iman mula goyah, keyakinan mula pudar seperti murtadnya sebilangan penduduk Quraisy bilamana diberitakan Rasulullah telah ber Isra' Mi'raj ke langit tujuh dalam tempoh hanya satu malam!

Inilah padahnya bila formula ini tidak disatukan dengan mata hati yang celik. Jangan ambil tugas Allah...jika Dia buka segala rahsia milikNya nescaya malu dan menyesal kita berburuk sangka.    

Sebenarnya Allah telah kabulkan doa kita dan memberi gandaan 700 kali rezeki di atas infak yang pernah kita lakukan. Macamana tu? Allah sebenarnya telah mengubah takdir ngeri kepada yang lebih ringan bagi kita menanggungnya.

Takdir yang dicipta ke atas kita sejak azali menukilkan bahawa di sekian hari kita akan terlibat dalam kemalangan ngeri. Bagi menyelamatkan nyawa, kedua-dua kaki terpaksa dipotong dan sebelah mata tidak dapat diselamatkan kerana kemasukan kaca. Kita jua ditakdir menjadi lumpuh kerana urat-urat anggota tidak lagi berfungsi menyampaikan maklumat ke otak!!!

Ya...kemalangan tetap berlaku tetapi Allah membayarnya di atas infak kita yang banyak kepada yang memerlukan. Lebih bernasib baik kita hanya mendiami hospital selama seminggu untuk rawatan lanjut. Lebih tidak menyulitkan bila ketidakmampuan membayar bil rawatan menghadirkan ramai ahli keluarga bersatu untuk mengumpul dana buat melangsaikan segala kos rawatan. Lebih amat-amat menguntungkan bila tidak satupun anggota kita terjejas dan boleh bekerja seperti biasa serta melakukan ibadah dengan tenang!!!

Subhanallah...minta dijauhkan Allah dari sifat buruk sangka kita selama ini.

Itu kisah memberi infak harta dan wang ringgit. Bagaimana pula dengan yang tidak berharta dan persoalan ini telah diajukan kepada Nabi Muhammad SAW. Mereka sedih kerana tidak dapat memberi sepertimana sikaya yang mampu menggandakan rezeki dan pahala dengan banyak berinfak.

Rasulullah menekankan bahawa senyum juga adalah infak, berkata yang baik juga suatu infak, membantu dengan tulang empat kerat juga dinamakan infak!

Apa yang didermakan itu sebenarnya simpanan kita...menuju akhirat. Apa yang disimpan di dunia itu pula sebenarnya hanyalah menjadi beban untuk kita menjawab di akhirat kelak.

Justeru, tiada alasan untuk kita hanya menerima. Mulalah memberi kerana dengan memberi sahaja kita bakal berkongsi segala pinjaman Allah. Allah memberi kita lebih agar diri kita menjadi saluran untuk menyampaikan rezeki kepada yang memerlukan.

Jika tiada wang ringgit jangan disimpan senyuman itu, kata-kata baik itu, ringan tulang itu...dermakanlah agar auranya boleh dirasai setiap yang bernama makhluk.


Tuesday 2 April 2013

Bila Hati Ibu Menangis

Lahir kita ke dunia atas percantuman benih ibubapa. Kita yang juara memenangi perlumbaan menuju destinasi yang memulakan sebuah kehidupan atas anugerah roh yang dipinjam. 

Berada dalam kandungan amat membebankan sipenanggungnya. Tetapi 'ibu' memiliki kekuatan amat luar biasa atas anugerah DIA jua. Tanpa anugerah itu, mustahil untuk para ibu menanggung beban fizikal, mental juga emosi.

Amat tepat ungkapan peribahasa Melayu, 'kasih ibu sepanjang masa, kasih saudara masa berada'. Kasih ibu terhadap anak-anak melangkaui sempadan bangsa, rasa dan citarasa.

Sakit itu ada ubatnya...pabila bayi comel terkekeh-kekeh ketawa bila diagah. Sakit itu ada penawarnya...bila anak-anak keletah berbicara pelat. Sakit itu hilang luka dan parutnya...bila anak-anak yang telah berkeluarga sering datang menjenguk dan bertanya khabar.

Tetapi dalam raut wajah ceria ibu...siapa yang menduga bila hatinya menangis. Tangisan itu tidak kelihatan dan tidak akan disua-suakan kepada anak-anak untuk menagih simpati. Hubungan ibu dan anak tampak tiada masalah...harmoni diulit masa.

Si anak pula yang seperti bermasalah. Hati serasa tak keruan saban hari...seperti ada yang kurang lengkap. Ibarat bermain 'puzzle' tertinggal hanya satu cebisan keratan untuk melengkapkan sebuah imej.

Puas difikir...dia solat, mengamalkan segala syari'atullah, hormat ibubapa. Aaahhh...terasa pincang hidup selagi tidak ketemu punca hilang tenang. "Mungkin ibu pendam sesuatu", bisikan naluri mencari jawapan.

Si anak bertemu ibu bagi mendapat kepastian, "Laaa...mana ada mak rasa apa-apa...takdeee. Mat takyah risau laaa" ibu mula berlakon tanpa sutradara. "Entahlah mak, tapi Mat rasa tak tenang...mana silapnya pun tak tau". Ahmad bungkam merungkai belenggu persoalan itu.

Ahmad anak yang baik, mana mungkin ada masalah dengan ibu. Keluarganya adalah syurga baginya. Dia berdoa tak putus-putus untuk Allah ilhamkan sesuatu...sesuatu yang menjadi punca permainan 'puzzle' yang tak lengkap!

Hari berganti minggu, bulan dan tahun. Cebisan 'puzzle' yang satu itu masih tidak ketemu. Hati Ahmad bergait-gait untuk mendapatkan ibu. Dia yakin hanya ibunya yang boleh membantu selesaikan kemelut jiwa yang dialaminya.

"Mak tolonglah Mat mak...mesti ada sesuatu yang mak simpan ni...tolonglah mak. Selagi mak tak cakap, selagi tulah hati Mat tak tenang. Kalau Mat berdosa, Mat mintak sangat mak maafkan. Mat tak nak jadi anak derhaka. Mak tak kesian kat Mat ke..toloooonglah mak", Ahmad seperti dapat menduga bahawa ibunya menyembunyikan keratan 'puzzle' itu.

Mata ibu mula bergenang apabila Ahmad memeluk erat dan digoncang-goncang tubuhnya meminta kepastian. "Mak nak Mat masuk neraka ke? Takpelah kalau itu hajat mak, Mat akan tanggung dosa ni sampai kiamat". Ahmad sudah mula lumpuh untuk menanggung beban jiwa. Ahmad melangkah keluar ke muka pintu untuk menanti balasan dosa kaburnya.

"Mat!", ibu yang bisu sedari tadi mula sedar bahawa anaknya sedang disiksa Allah di dunia ini. Ahmad menoleh menagih harapan dan sinar jawapan.

"Mat ingat tak waktu Mat remaja dulu...Mat pernah tengking mak sebab koyakkan seluar kesayangan Mat yang mak seterika dulu...Mat ingaaaaat taaakk! Waktu tu mak rasa hina sangat kena tengking dengan anak sendiri. Mak tak boleh terima yang Mat anak mak. Walaupun Mat dah minta maaf tapi mak masih terdengar-dengar suara tinggi Mat sampai sekarang...mak kecewa."

"Mak fikir biarlah mak tanggung sendiri kerana mak tak nak ganggu kebahagiaan rumahtangga Mat". Siibu sudah tidak tertahan-tahan lagi meluahkan segalanya.

"Maaaakkkk...Mat dah tak tertanggung lagi siksa ni maakk. Tolooooonglahhhh ampunkan Mat. Memang Mat berdosa dengan mak. Kalau mak mati habislah peluang Mat nak cium bau syurga. Mat nak restu mak...kalau mak nak Mat minum air basuh kaki mak, Mat sanggup minum..toloooonglah maaaakkkk!!!!" digoncang-goncangnya tubuh ibu dan melutut si anak menuntut restu ibu.

Allah telah anugerahi ilham kepada si anak atas doanya yang tak putus-putus memohon petunjuk. Allah juga telah melunakkan hati ibu itu untuk melepaskan belenggu dosa si anak.

"Mat dengar sini nak...tengok muka mak ni. MAK AMPUNKAN DOSA MAT...MAK DAH AMPUNKAN DOSA MAT!!!

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar...selesai sahaja ungkapan itu, Ahmad terasa bagai beban batu besar yang diletak di bahunya diangkat terus naik le langit. Tubuhnya amat ringan dan hatinya lapang seluas jauh mata memandang!

"Mak tak simpan apa-apa lagi...mak dah ampunkan semua dosa Mat", mereka beranak berpelukan melerai kusutnya jiwa ibu dan anak.

Penyu menangis di Rantau Abang nampak di mata tetapi bila hati ibu menangis siapa yang tahu....


**Terimakasih kepada Ustaz Sabri Abd Rani di atas perkongsian kisah benar seseorang.