Translate

Monday 30 December 2013

Romantika

Romantik? Eeeerrr...apa definisi romantik tu? Adakah bila kita pandai melayan 'girlfriend', baru dikatakan romantik? Atau bila kita selalu beri bunga, itulah romantik? Kita tak pernah tinggi suara dan mengikut sahaja kehendak 'awek', romantiklah tuuuu!!!
Haaaiiii...jika semua senarai di atas wujud dan itu dikaitkan dengan romantik, tak sesuailah nampaknya untuk aku diberi gelaran itu. 

Aku tidak pernah melayan wanita dengan bunga apatah lagi menyimpul bahasa berbunga. Pernah seseorang membaca blog aku mengatakan aku memanipulasi bahasa-bahasa puitis dalam zaman percintaan di usia remaja.

Salah!!! 

Zaman bercinta aku bersama isteri tidak lama. Mengenalinya dalam beberapa bulan dan terus diikat dengan tali pertunangan. Jadi, tidak perlu untukku bermain bahasa bagi memenangi hatinya.

Aku lebih memikir untuk menjadi romantik dalam memohon kepadaNYA. Mendayu-dayu merayu, meratap hiba meminta, mengharap belas ikhsan
dengan penuh kerendahan hati.

Aaahhhhh...manis dan romantik bila bersamaNYA.

Lebih berbaloi rasanya...errrrmmmm.


'Wall' Yang Dibohongi



Jika 'update wall' tentang diri, pasti perkara baik-baik dihidang. Mana mungkin yang jelik mendapat tempat.
Tidak mengapa, sifat semulajadi manusia...begitulah.

Dalam berseorangan, renungkan kembali sisi kotor itu untuk diperbaiki...imbangi dengan segala yang diredhaiNYA.
Tetapi entah mengapa, bukan semulajadi untuk menusia memikirkan sudut gelap...rasa itu hilang.

Mempromosi kebaikan diri tetapi tiada peruntukan masa untuk yang bernama 'muhasabah diri'.
Kita membohongi 'wall' rupanya...

Bila Mulut Berbicara

Mulut itu tahu ia pasti bisu di Mahkamah Allah tetapi 'mulut' tetap mahu bicara sembarangan lantaran bersahabat rapat dengan nafsu.

Intimkan 'mulut' bersama 'akal' agar seluruh pancaindera yang lain bisa menjadi saksi kewarasan 'mulut' lantaran tidak banyak bicaranya walau ia mampu dan bebas melontar bahasa.

Fikir...

Perubahan Itu Sunnatullah

Perubahan adalah Sunnatullah yang tertakluk kepada hukum alam. Mahu atau tidak, suka atau benci...perubahan tetap berlaku.

Jikapun tidak mampu untuk kita merubah insan sekeliling, pastikan kita lakukan perubahan ke atas diri menuju segala yang baik...

...kerana kisah hitam yang terpalit tidak bersifat kekal dalam diri...pilihan itu adalah kita!

Genetik Dan Geografi

Apa sahaja yang datang dari Nas al Quran dan al Hadis...terimalah tanpa ragu, terimalah tanpa pertikaian, terimalah tanpa beralasan, terimalah sepenuhnya tanpa memilih-milih mengikut selera. 

Apa sahaja yang datang dari Ulama' mahupun guru, terimalah sekira ia bertepatan dengan Nas dan Jumhur Ulama'. Pandangan mereka masih boleh diperbahas tetapi berhujahlah dengan penuh adab dan hikmah.

Kita yang jahil ilmu jangan mudah melabel manusia kerana ISLAM itu adalah 'persaudaraan', melangkaui batas genetik dan geografi.
...tetap berlapang dada menerima teguran.


Izrail Tidak Leka

Dalam menuju barzakh, berazamlah untuk tinggalkan segala dosa di sempadan dunia...jangan dibawa berjumpa ALLAH.

Tegasnya...BERTAUBATLAH di setiap saat dan ketika kerana Izrail bertamu tepat pada waktunya!

Fikir...

Di Mana DIA?

Kita perlu sakit bukan hanya untuk merasa 'sakit' tetapi bagi merasai kasih sayangNYA. Jika didatangi sakit dan kita merasa kesakitan melebihi kasih sayangNYA...ketahuilah bahawa yang sebenarnya 'sakit' adalah HATI!!!

Kita perlu masalah bukan hanya untuk mendewasakan diri tetapi untuk kita bergantung penuh kepadaNYA dalam mencari penyelesaian.

Jika dihampiri masalah masih ingin mencari makhluk melebihi sujud kepadaNYA...ketahuilah kita bukan mencari jalan keluar tetapi hanya menambah parah masalah yang ada!!!


Sunday 22 December 2013

Seliparnya Hilang

Kelihatan seorang ayah dan anaknya berjalan keluar masjid seusai solat Jumaat. Budak lelaki itu di lingkungan usia 12 tahun kelihatan rancak berbual dengan ayahnya di perjalanan menuju ke kereta. Tetapi kerutan dahi anak itu menampakkan topik yang serius.

Ya...serius kerana ayahnya berkaki ayam menuju kereta!

Aku yang berjalan di belakang mereka memasang telinga untuk mengetahui biji butir perbualan.

"Mana selipar ayah?"

"Hilang, orang tersalah amek kot".

"Ayah ni...kenapa sampai berkaki ayam. Amek je la selipar orang lain kalau selipar ayah orang curi. Ayah tak malu ke...jalan macam orang gila takde selipar!"

"Ayah lagi malu kalau amek selipar orang lain. Biarlah selipar ayah hilang...bukan rezeki ayah. Lagipun ayah boleh beli selipar lain. Tapi kalau ayah curi atau amek selipar orang lain tanpa kebenaran, ayah akan tanggung dosa selagi mana selipar tu ayah pakai. Kalau setakat jalan berkaki ayam ke kereta...ayah tak kisah, ok je".


Anak itu masih berkerut wajah tanda protes kepada pencuri selipar ayahnya. 

Aku terkesima sebentar dengan dailog si ayah. Dia sedang mendidik anaknya di ketika itu! Subhanallah...

Tuesday 3 December 2013

Kecil Berimpak Besar

Setiap pagi seperti biasa dalam perjalanan ke pejabat, aku akan mendengar siaran radio IKIM dalam slot kegemaran 'Motivasi Pagi' jam 0730. Pagi itu ada cerita menarik yang disampaikan oleh seorang ustaz dan aku teruja untuk berkongsi cerita itu di laman blog.

Dalam satu sesi temuduga jawatan pegawai di sebuah syarikat yang besar, hadirlah calon-calon hebat yang mempunyai kertas-kertas kebanggaan yang dijaja ke sana ke mari. Kesemua mereka berpakaian kemas, berkemeja lengan panjang, bertali leher, berseluar licin dan tajam di hadapannya, berkasut hitam.

Keterampilan itu memang dituntut di dalam Islam.

Tetapi ada seorang pemuda yang nampak amat sederhana penampilannya, tidak sehebat yang lain. Pemuda itu nampak tidak pandai bergaya. Kemejanya agak lusuh dan besar. Tali leher panjang berjela melepasi talipinggang. Kasut yang sudah tertanggal lapisan warnanya tetap dipakai. Orang kampung agaknya.

Jika mahu dianalisa, harus dia gagal dalam sesi temuduga itu. Mana mungkin panel tertarik dengan penampilan sebegitu yang bakal mewakili syarikat gergasi. 'First impression' sudah dikira kecundang.

Sebelum bermula sesi temuduga, pemuda kampung itu menuju ke bilik air dan selepas melepas hajat, dia berdiri termenung di sinki di hadapan cermin...memikir masalah agaknya. Di dalam sinki terdapat cebisan makanan, nasi dan sayur hasil ludahan mereka yang keluar masuk bilik air tersebut. Sambil termenung, pemuda itu mengalirkan air paip untuk membersihkan cebisan makanan...sinki itu kembali bersih sambil kakitangan lain keluar masuk tanpa dipedulikannya.

Sesi temuduga bermula, seorang demi seorang dipanggil masuk ke bilik dan nampaknya semua yang hadir mempunyai daya fikir yang hebat-hebat termasuklah pemuda kampung itu. Sah...jika itulah keadaannya, harapan pemuda itu amat tipis kerana yang diperlukan hanya seorang.


Selang seminggu, pemuda itu menerima surat pelantikan ke jawatan pegawai di syarikat gergasi tersebut. Dia amat-amat tidak menduga tetapi berasa teruja untuk menempuh hari pertama bekerja.

Dia memulakan kerjaya dan melapor diri kepada ketua jabatan yang menjadi panel penemuduga tempoh hari. Pemuda itu mengucapkan terimakasih kepada 'boss' nya kerana memilih dirinya untuk jawatan penting syarikat.

"Awak tahu mengapa saya pilih awak di antara ramai calon? Bossnya bertanya.

"Tak tahu Encik, saya tak tahu", jawab pemuda itu dalam nada merendah diri.

"Di hari temuduga tempoh hari, saya nampak awak termenung di dalam bilik air dan tertarik dengan tindakan awak membersihkan cebisan makanan di dalam sinki walau bukan awak yang meludah". 

"Tindakan itu menunjukkan awak tidak memandang remeh perkara-perkara kecil yang ramai terlepas pandang sebenarnya. Kebiasaannya mereka akan lebih memberi tumpuan untuk menyelesaikan perkara yang besar-besar tetapi terlupa bahawa kebanyakan punca masalah bermula dari yang kecil-kecil...dibiar tanpa tindakan sehingga menjadi masalah besar dalam syarikat".

"Bukit dan gunung tidak tercipta dari longgokan batu-batu besar yang dicampak ke atasnya tetapi asalnya dari pasir-pasir kecil yang bertimbun sehingga membentuk sebuah pasir gergasi".

"Itulah 'X Factor' yang membezakan awak dari calon-calon yang lain". 

Pemuda itu tergamam tanpa sepatah kata...dia benar-benar tergamam. Ingin rasanya dia sujud syukur di saat itu juga.

"Perlakuannya di dalam tandas telah menggerakkan hati manusia lain untuk memilihnya...Subhanallah. Terimakasih ya Allah...terimakasih". Hatinya berbisik sebak.