Translate

Wednesday 30 May 2018

YB Pasca PRU14

Yang Berhormat...itulah gelaran kepada ahli-ahli politik yang memenangi pilihanraya DUN mahupun Parlimen. Bahagia sungguh rasanya bila gelaran YB berada di permulaan nama. Tertera di kad jemputan, kain pemidang juga disebut oleh juruacara majlis.

Lebih bahagia bila pihak istana berkenan menganugerahkan pingat yang membawa gelaran Datuk, Datuk Seri, Tan Sri dan sebagainya. Itulah dunia politik, dunia yang penuh bersamanya pangkat, kuasa, pengaruh dan jenama-jenama hebat menyelubungi hidup.

Berabad pengaruh tersebut hidup, seakan ianya milik yang kekal bagi sesebuah parti dalam menerajui kerajaan Malaysia. Politik dikuasai oleh mereka yang berketurunan elit, diwarisi turun-temurun. Jika Presiden parti berundur, ia bakal diganti oleh Timbalannya. Hirarki tersebut dituruti oleh jawatan-jawatan yang seterusnya. Ya, berlaku pemilihan tetapi kuasa dan wang bisa menewaskan mereka yang jujur untuk berjuang membawa perubahan. Jadilah parti tersebut milik dinasti tertentu.

Rakyat sudah jemu, bosan, muak dan entah apa lagi bahasa yang sesuai bagi mengekspresikan apa yang dirasa. Kehidupan ahli politik dipenuhi jenama-jenama hebat dan berkualiti. 

Seminggu sebelum lawatan Menteri, orang kampung mula melakukan persiapan bak menyambut Raja Sehari. Hadir mereka 'wajibul ghunnah' untuk disambut dengan penuh meriah bersama kain rentang yang dipapar gambar Menteri sebesar saiz kain tersebut.  

Gunting memotong reben harus dihias dan bersamanya para jelitawan mengiringi. Cek derma yang diberi mesti ditempah berukuran gergasi. Meja makan mereka diasing, hanya mereka yang tertentu sahaja terpilih dibenar berada di samping. Ucapan mereka diiringi tepuk sorak dan pulang mereka dibekal cenderamata yang setaraf kedudukan mereka.

Oowwhhh...keterlaluan amat penghormatan rakyat marhein ke atas orang-orang politik ini. Apa yang membuatkan budaya hormat berlebihan ini diamal? Kerana mereka berpangkat? Kerana kedudukan? Kerana mereka ada karisma berucap? Kerana jasa mereka dalam membangunkan kawasan tersebut?

Hormat tetamu...itu sudah menjadi kebiasaan dan budaya orang timur juga dianjur oleh agama Islam. Tetapi tak perlulah untuk kita berhabis-habisan dalam mengimarah mereka. Cukup sekadar bersederhana.

Mereka dilantik oleh rakyat, seharusnya mereka berkhidmat untuk rakyat. Mereka dipilih oleh masyarakat, mereka yang sepatutnya mengimarahkan masyarakat setempat. Mereka patut menegur penduduk setempat agar tidak perlu membuat persiapan yang keterlaluan..ianya bersifat membazir.

Mereka patut meletak prihatin yang tinggi dalam menelusuri kehidupan masyarakat, bukan hanya 5 tahun sekali baharu terpacul wajah mereka menawar perkhidmatan, di waktu sama meraih sokongan masyarakat setempat.

Dunia politik sudah berubah. Naratif perjalanan politik juga sudah menuju kepada citra baharu. Citra yang didominasi warga muda Gen Y. PRU 14 yang diwarnai 14.9 juta pengundi berdaftar dan 7 juta darinya merupakan pengundi golongan muda dan remaja. Golongan ini amat kritis dalam memerhati dunia sekitar dan tidak teragak-agak untuk membuat perubahan.

Kerajaan pimpinan baharu (PH) menyedari hakikat tersebut. Mereka memulai dengan pembentukan kabinet baharu berasaskan kelayakan berbanding kedudukan mereka di dalam parti. YB pula haruslah berjiwa rakyat dengan tidak terlalu memikirkan protokol.

Jarak orang pilitik dan masyarakat harus lebih hampir. Jangan bergaya keterlaluan lalu orang ramai berasa jauh terpinggir. Jangan berucap atau menjawab pertanyaan pemberita berbahasa 'mat salleh', lalu mereka tidak faham dan menjauhkan diri.

YB semua, beringatlah...pergerakan anda dipantau radar rakyat. Silap perhitungan, anda akan hanya bertahan untuk satu penggal sahaja. Berkhidmatlah dari asyik meraih hormat. Berbaktilah dari hanya duduk menanti.

Selamat bertugas YB!


Saturday 26 May 2018

Parti Hanya Ideologi

Alhamdulillah, PRU ke 14 telah berakhir bersama tertubuhnya kerajaan baharu yang mana 'tagline' nya 'Malaysia Baharu' mencerminkan perubahan landskap politik tanahair yang amat drastik.

Tampuk pemerintahan parti yang dikatakan 'keramat' yang tidak mahu melakukan perubahan, telah dihukum dan dimalukan oleh solidariti kaum yang amat menakjubkan dunia luar. Inilah semangat Malaysia Baharu.

Banyak cerita-cerita politik pra dan pasca pilihanraya yang kita lihat dan dengar. Sabotaj, fitnah, strategi, serangan peribadi, persempadanan semula yang tidak adil, isu katak (lompat parti) dan kekalutan pembentukan kerajaan negeri di Perak dan Perlis.

Di antara warna-warni pastel tersebut, aku cuba menyelami kisah keluarga Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Aziz yang nampaknya agak sedikit bergolak.

Ia bermula dengan keputusan drastik yang diambil oleh Nik Omar bagi menyertai Pakatan Harapan (PH). Kata beliau, tiada beza PAS dan PH, Islam diletak di hadapan dalam membentuk kerajaan baharu. Mungkin beliau lebih melihat kepada pembentukan kerajaan baharu yang lebih praktikal bersama gabungan PH berbanding parti PAS yang mengasingkan diri dari sebarang kerjasama bersama parti lain.

Isunya, berlaku konflik keluarga. Ya lah, keluarga Allahyarham Datuk Nik Aziz yang taksub bersama PAS, tidak memungkinkan ahli keluarga mereka berhijrah ke parti lain. Nik Omar dipulaukan oleh ahli keluarga. Beliau dilarang untuk menjadi imam juga menyampaikan kuliah di masjid Tok Guru! "Ini adalah keputusan keluarga", kata adiknya Nik Abduh.

Eerrmmm, aku melihat naratif yang bercanggah dengan Islam di sini. 

Parti adalah sebahagian dari ideologi manusia dalam membentuk perkumpulan, bersama objektif perjuangan yang digariskan oleh mereka yang mencipta ideologi parti masing-masing.

Sementelah Islam bukannya ideologi. Ia adalah perakuan Tauhid dalam menyembah Allah yang Satu, juga peraturan hidup yang digariskan oleh Syariatullah!

Bagaimana boleh berlaku konflik keluarga atas penghijrahan ahli keluarga ke parti lain? Agamanya tetap sama malahan itulah perjuangan asas apabila Putrajaya dapat ditawan. Adakah hanya parti yang membawa ideologi Islam hanya satu-satunya parti yang ahli-ahlinya Islam? Murtadkah Nik Omar berhijrah parti yang hanya berbeza ideologi? Ahli UMNO bukan Islam? Ahli AMANAH bukan Islam? Ahli BERSATU bukan Islam? Ahli PKR bukan Islam?

Tuan Guru Hadi Awang pula meng'analogi'kan Nik Omar dengan kisah Nabi Nuh dan anaknya yang terputus nasab keluarga kerana enggan menerima Islam.

Ooohhh..kronik sungguh pemikiran tersebut! Meletak taraf parti sebegitu rupa sehingga boleh mengelirukan umat Islam itu sendiri. Di mana puncanya? TAKSUB! Harus rasa taksub yang melampau itu sebenarnya yang memecah-belahkan kehidupan masyarakat.

Aku tidak menentang perjuangan PAS dalam memartabatkan Islam...tidak sama-sekali! Aku sendiri mengimpikan sebuah negara pemerintahan Islam yang adil dalam mengimarahkan ras, etnik dan bangsa yang pelbagai. (aku memangkah PAS di setiap PRU bagi mengimbangi landskap politik  tanahair!). Aku hanya tidak mahu kiblat umat Islam tersasar...meletak perjuangan parti ke tahap tidak boleh dipertikaikan. Jika keluar parti, seolah-olah terkeluar dari Islam sehingga sanggup mengenepikan pertalian darah daging sendiri. Inikah ajaran Islam?

Nik Omar terpaksa membayar harga yang amat tinggi dalam laluan politik ideologi. Kata beliau, "apabila saya pergi (menyertai PH), saya tidak akan undur ke belakang".

Analogi akhir kalam...adakah kita yang bermazhab Shafie mengatakan mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali tidak betul dan terkeluar dari ajaran Islam? Itulah hikmahnya kepelbagaian dan perbezaan pandangan dan pendapat. Matlamat kesemua mazhab tetap sama iaitu mengEsakan Allah dan menurut Syariat-syariatNYA tetapi bersama ideologi-ideologi yang sedikit berbeza demi mengimarahkan 'uruf, masyarakat dan kepelbagaian adat dan budaya setempat.

Aku berdoa agar bartaut kembali hubungan keluarga Allahyarham Datuk Nik Aziz. Ingat...Hablumminallah harus ada bersamanya hablumminannas!


Sunday 20 May 2018

Qalbun Salim

Sering kita dengar dan lihat, disebabkan masalah yang kecil cuma, tindakan yang menyusul seakan tidak masuk akal. Perceraian berlaku kerana masalah ubat gigi yang tidak diselia dengan berhemah. Kereta yang bergesel dan sedikit kemek, mangsa tidak berpuashati dan menghamburkan kata-kata kesat..jika tidak dikawal boleh bertumbuk (berlaku di hadapan mata aku). Anak-anak kecil selepas bermain, tidak mengemas barang mainan, lalu dirotan seakan melakukan kesalahan yang boleh memalukan ibubapa. Persahabatan akrab yang dibina terputus begitu sahaja dek merajuk tentang sesuatu perkara.

Di mana silapnya? Mengapa perkara-perkara kecil tersebut boleh mempengaruhi keputusan yang besar di dalam tindakan yang diambil.

Okey...perhatikan betul-betul. Sebenarnya perkara yang kita nampak kecil tersebut, adalah terjemahan dari beberapa perkara yang berlaku sebelumnya yang cuba dikawal oleh empunya diri. Cuma apabila perkara tersebut berlaku berkebetulan dengan rentetan masalah-masalah yang dipendam, maka meledaklah amarah seseorang sehinggakan sanggup mengambil tindakan drastik yang tidak sepadan dengan cetusan masalah di waktu itu.

Jelas, masalah-masalah lama dikumpul bagai menunggu bom jangka meletup bila-bila masa. Di mana puncanya? Ianya berkisar dari hati seseorang. Hati yang tamak untuk memberi maaf lantas masalah-masalah tersebut tidak terlepas dan bersarang penuh di dalam jiwa.

Mengapa payah memaafkan? Ia boleh berkait dengan pemakanan seharian dari segi halal dan haramnya lantaran menatijahkan hati menjadi keras.

Seperti yang dinukilkan oleh Imam Ghazali di dalam kitab Ihya' Ulumuddin, hati adalah raja kepada anggota-anggota badan yang lain. Jika baik penjagaan hati, maka baiklah arahan-arahan yang dikeluarkan untuk anggota lain bertindakbalas.

Di dalam kes-kes tragik yang berlaku, hati kotor dan berkarat itulah yang menjadi punca kekalutan yang berpanjangan. Masalah diperap tanpa dilepas, lantas menjadi barah. Tercuit sedikit dengan perkara yang tidak digemari maka meledaklah amarah mereka.

Mahu meraih Qalbun Salim? (hati yang damai). Jagalah apa yang dihadam di perut, jagalah solat (khusyuk), lunakkan hati dengan banyak berzikir...Insyaallah, bugar hati untuk memaafkan. Datanglah masalah sebesar gunung, tetap kita berdiri teguh menghadapinya tanpa menggila melepas amarah. FIKIR dan ZIKIR!



Friday 11 May 2018

Ini Malaysiaku, Malaysia Baharu

9 May 2018, seluruh rakyat Malaysia telah bersedia untuk menterjemah apa yang terbuku di hati, apa yang mencengkam di jiwa sehingga terpaksa bergelut dalam menghirup udara yang semakin menyesakkan nafas.

Rakyat Malaysia mahu mengadu..mengadu kepada siapa? Mereka yang di atas sana terlalu jauh jaraknya untuk mendengar keluhan rakyat marhein. Sengaja menjarakkan diri, memekakkan telinga seraya membutakan mata untuk melihat kami mengais-ngais pasir mencari butiran beras untuk dimasak.

Kehidupan kami terjerut..gaya hidup kamu semakin rakus. Kami minta perhatian..kamu menggula-gulakan aduan kami. Kamu ambil duit kami, kamu tabur dedak kepada mereka yang tidak tahu. Nafsu kamu makin tidak terkawal...kamu wujudkan GST bersama sejuta alasan untuk menghalalkannya, suapan nasi kami makin dicatu.

Jika ada yang di atas sana prihatin dengan cuba menyampaikan mesej kami, kamu pecat mereka mentah-mentah...kami hendak mengadu pada siapa lagi?

Subhanallah...pengutus ilhamMu kau lantik demi membela nasib kami dan melumpuhkan kesombongan kamu. DIA pilih yang lanjut usia tetapi diberinya akal yang sihat. Ilham itu menerobos ke segala pelusuk tanahair seperti limpahan air laut yang tidak meninggalkan seincipun tanah daratan.

Mesej ilham itu diterjemah pada 9 May 2018. DIA yang Maha Mendengar telah menghantar bala tentera yang memasuki peti-peti undi yang tidak mampu disekat lagi alirannya.

Apakah tidak kau baca kisah-kisah sejarah yang dinukil di dalam kitabullah? Firaun, Haman, Qarun, kaum Saba', kaum Tsamud dan mereka yang mendustai ayat-ayat Allah? Oohh..kau bisa membaca tetapi ditutup hatimu sehingga menjadi kelam untuk menerima kebenaran. Kau bisa mendengar keluhan mereka tetapi disumbat telingamu dek terpana dengan cahaya kemilau di depan mata.

Kau dihukum! Kau mencipta sejarah yang unggul dalam menenggelamkan kapalmu sendiri. Kau dimalukan di khalayak ramai sehingga hilang senyum bibirmu yang mungil kemerah-merahan...wajahmu sahaja yang merah menahan tangis malu tatkala kau berhadapan dengan kami buat kesekian kalinya.

10 May 2018, Malaysia baharu ku wujud di hadapan mata. Serasa Tanah Melayu baru merdeka dari cengkaman British. Tidak berkelip mataku melihat Pengutus Ilham yang kau kata telah lanjut usia menandatangani surat lantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke tujuh.

Ini bumi Malaysia milik kami...bukan milik keturunanmu. Jika insaf itu ada di balik jeriji besi...kau tunggulah...masanya akan tiba untuk membersihkan dosa-dosa besar yang kau lakukan kepada mereka yang diAMANAHkan kepada kau dahulu. Bermusabahlah, menangis dan bertaubatlah bila kau berseorangan di sana...kerana Allah Maha Penerima taubat!

Kkrrriiinnngggg....ahhh jam locengku berbunyi mengejutkan aku dari lena pagi. Indah sungguh mimpiku malam tadi dan terlebih indah bila kuterima berita Malaysiaku telah berwajah baharu..Subhanallah, Alhamdulillah.