Pernah kalian semua menonton rancangan National Geographic ataupun Animal Planet? Itu cerita alam, kisah tulen tanpa lakonan. Segalanya berlaku atas arahan naluri haiwan yang pentingkan 'survival'. Siapa kuat dialah raja, yang lemah menjadi hamba...silap-silap mati dikerjakan yang kuat.
Alam sebenarnya guru kita, sistem ekologi yang berlaku menunjukkan alam sedang mendidik kita untuk menyeimbangkannya. Jika tidak, kita sendiri yang bakal menerima padahnya.
Satu lagi kisah alam...Ibu singa yang menyusukan anak-anaknya perlukan makanan agar bekalan susu mencukupi untuk 'survival' keluarga mereka. Bila anak-anak sudah sedikit membesar mereka perlu memakan makanan yang bersifat kenyal iaitu daging. Dalam memulakan perburuan, ibu singa akan meninggalkan anak-anaknya di jerumun. Anak-anak singa menunggu dan melihat dari jauh pergerakan ibunya. Apa komunikasi yang digunakan oleh ibu singa agar anak-anak tidak mengekorinya? Tiada suara, tiada perbualan juga tiada renungan mata...masing-masing ibu dan anak faham. itulah yang dinamakan 'hidayah naluri'.
Penyu akan mendarat di pantai untuk melahirkan zuriat. Selepas menimbus telur-telurnya dengan pasir, siibu akan meneruskan pengembaraannya dan akan kembali ke pantai yang sama di tahun-tahun berikutnya untuk bertelur lagi. Apabila telur menetas, anak-anak penyu akan berduyun-duyun ke arah pantai untuk meneruskan episod hidup mereka. Siapa yang mengarahkan atau mengajar anak-anak penyu untuk ke laut tidak ke darat? Ya...'hidayah naluri' dari ibu penyu telah sampai kepada mereka untuk terus menuju ke laut.
Aku juga pernah memerhati lakonan alam kucing. Memang rutin untuk aku membuang sampah di sekitar jam 10 malam, akan tercegatlah seekor kucing untuk meminta sisa makanan. Aku mengeluarkan tulang-tulang ayam mahupun ikan dan kusua kepadanya. Selepas beberapa minit menjamah, kucing tersebut menggonggong tulang ayam dan dibawa ke lokasi lain. "Aik? ke mana nak dibawa tulang tu?' Aku tertanya sendirian. Kucing hilang dari pandanganku.
Malam esoknya aku berhasrat untuk mengekori kucing tersebut. Tiba malam, seperti biasa kucing putih itu telah bersedia menanti habuan. Kuberi dan memerhati dari jauh gelagatnya. Ya...seperti biasa dia menggonggong tulang ke arah lain. Haaa...rupa-rupanya tiga ekor anak kucing yang comel-comel sedang menunggu hidangan makanan yang dibawa oleh ibu kucing tersebut. Mengapa anak-anak kucing tersebut tidak mengekori sahaja ibunya? Betullah tu...'hidayah naluri' siibu yang memberi arahan agar anak-anak tunggu sahaja di satu tempat kerana keadaan sekitar yang belum selamat untuk usia yang sekecil itu.
Menurut Kamus Dewan edisi keempat, 'naluri' bermaksud "desakan hati untuk melaksanakan sesuatu, tabiat semulajadi". Setiap makhluk yang hidup mempunyai naluri dan itu membuatkan hidup dapat diteruskan. Naluri hati yang mendesak untuk mencari pekerjaan demi kelangsungan hidup. Naluri hati yang mendesak untuk menyelesaikan masalah agar damai dapat dirasa. Naluri hati yang mendesak untuk meluahrasa demi mereka tahu apa yang tersirat.
Naluri juga berperanan untuk berkata-kata dalam diam. Satu perbualan antara diri sendiri yang difahami sebagai 'monolog'. Setiap dari kita pernah bermonolog dan kekadang berlaku soaljawab dalam diri. Kita bertanya juga kita yang menjawab. Tetapi jangan salah faham. Monolog bukanlah halusinasi yang berpunca dari gangguan mental. Kita hanya berkata-kata dalam diri untuk sebuah kepastian.
Haaa...ramai tak perasan bahawa naluri bisu kita mampu menerobos hati dan pemikiran insan lain. Pernah aku mengikuti rancangan Dr Fadzilah Kamsah, katanya dia sedang memerhati anak-anaknya sedang bermain di ruang tamu, Habis segala permainan bersepah. Diambil kesempatan itu untuk membuat sedikit kajian. Beliau bermonolog sendirian, "Anak-anak, kalau kamu semua kemas permainan tu nanti ayah belanja aiskrim", sambil diperhatikannya geraklaku anak-anak dari ruang tamu.
Selang beberapa minit, anak-anaknya menghampiri dan berkata, "Ayah janji tau lepas kitorang kemas barang-barang ni, nanti ayah belikan aiskrim ye".
"Adumak terperanjat betul saya dibuatnya kerana mereka tahu apa yang saya suarakan dalam diam", kata Dato' menceritakan pengalaman kajiannya terhadap subjek 'naluri'.
Cerita lain pula, sewaktu remaja aku telah menghabiskan pembelajaranku di sekolah berasrama. Biasalah kalau duduk asrama, berbagai tingkahlaku yang dipamer depan mata...samada kita terpengaruh atau kita yang mempengaruhi. Alhamdulillah aku taklah terpengaruh sangat dengan gelagat-geagat yang tak elok. Ramai yang merokok tetapi aku tolak ajakan mereka. Kedapatan yang ponteng sekolah dan menyorok di asrama, aku tak pernah mengadu tetapi aku jauhkan diri dari mereka. Ada juga yang curi-curi keluar malam ke pekan, aku tak mengikut. Aku rasa itulah diri aku.
20 tahun berlalu. Bila aku makin dewasa dan mula mencari-cari ilmu, berlaku satu perkara yang menyedarkanku tentang ilmu 'naluri' ini iaitu perbualan dalam diam tetapi mesejnya sampai kepada yang dituju.
Suatu hari aku balik ke kampung dan berbual-bual kosong dengan ibu juga menceritakan pengalamanku di asrama. Subhanallah...terlopong mulutku mendengar kata-kata ibu yang selama ini menjadi rahsia. Kata ibu, acapkali aku hendak balik ke asrama, ibu akan buang kerisauannya dan berkata-kata dalam hati. Semua yang ibu ucapkan berupa perkara yang baik-baik tentang diriku dan ibu percaya aku boleh melawan cabaran dunia luar dan boleh membentuk jatidiri yang kuat.
Rupa-rupanya prinsip dan jatidiri yang menolak berbagai perkara negatif bukan tulen datang dari diriku sendiri tetapi telah dibekalkan oleh ibuku!!! Monolog nalurinya sampai ke lubuk hati dan seterusnya membentuk siapa diri aku!!! Masyaallah hebatnya kuasaMu ya Allah!!!
Mataku bergenang...itulah ibu, yang nampak luaran tidak berilmu, tak belajar tinggi, kekadang nampak sepertinya orang gaji di dapur yang terbongkok-bongkok menumbuk sambal kesukaan anak-anak. Naluri bisu itu yang meng 'orang' kan aku sebenarnya!!!
Tetapi kuasa hebat naluri itu sekarang telah diterjemahkan kepada ilmu mantik iaitu hubungan tanpa wayar bersama telefon bimbit mahupun 'wifi'.
Walau sejauh mana hebatnya alat hubungan yang dicipta sekarang, ia tidak boleh menandingi naluri bisu itu. Jika doa itu perlu lafaz, perutusan naluri hanya perlu senyum dan biarkan hati yang berkata-kata untuk kita sampaikan mesejnya kepada sesiapa jua terutama kepada anak-anak yang jauh di mata.
Tak perlu memikir-mikir perkara yang buruk mahupun berasa risau tak keruan. Bisikkan sahaja pada naluri dan biar Allah uruskan mesejnya kepada yang dituju. Insyaallah, hidup akan menjadi lebih aman dan ceria kerana naluri bisu itu adalah 'doa mustajab' tanpa ucapan. Sedang anak dibuai mimpi juga boleh kita sampaikan naluri bisu itu...pandang wajahnya dan bisikkan yang baik-baik dalam hati, Insyaallah mesej itu akan diprogramkan oleh mindanya semalaman dan dipraktikkan di sepanjang hidup.
Habis tu, bagaimana dengan mereka yang liar dan selalu menyusahkan orang? Ibu mereka tak pernah berdoa atau berbisik yang baik-baik pada anak-anak mereka? Haissyy, janganlah berkata begitu, ibu mana yang tak sayangkan anak. Semua ibu pasti ada bisikan yang baik-baik untuk anak mereka.
Cuma mungkin hati kita yang kabur mahupun gelap untuk menerima mesej ikhlas tanpa suara itu. Ilmu itu cahaya, dosa itu kegelapan. Silap kita, bukan silap 'naluri' itu. Bersihkan hati dan jiwa jika kita ingin mendengar mesej itu...'Naluri Suara Bisu'
No comments:
Post a Comment