Translate

Monday 23 September 2013

Hatiku Terkesan



"Assalaamualaikum...Assalaamualaikum...Assalaamualaikum".

Suara memberi salam memecah hening pagi. Aku yang sedari tadi leka berkemas rumah agak terganggu dengan lantunan suara yang diulang-ulang perkataannya. 

"Tapi itu bunyi suara anak kecil", hatiku meneka-neka dalam samar. 

Hari ini hari Isnin dan aku sedang bercuti...bukan untuk urusan juga bukan untuk beristirehat, cuma bagi menghabiskan cuti tahunan yang akan tamat tempoh. Biasalah, bila sudah ada di rumah...ada sahaja kerja-kerja rumah yang menagih tenagaku. Bukan untuk kesempurnaan tetapi lebih kepada kepuasan diri.

Aku berasal dari spesis 'perumah'. Maksudnya, aku banyak menghabiskan waktu di rumah bersama keluarga. Ditambah pula hobiku yang suka kepada kekemasan dalaman dan luaran. Semuanya kujaga kerana bila sudah berada dalam kategori spesis 'perumah', sudah tentu masaku banyak di rumah...aaar, dari situlah bermula aku suka mengemas rumah...untukku mencari 'tenang' dalam suasana sekitar yang mendamaikan.

"Assalaamualaikuuuuuum"...

Aaahhhh suara itu bergema lagi, kasihan pula aku mendengarnya. Aku jenguk ke muka pintu...alahaaiii comelnya budak tu. Berkopiah kemas dan berpakaian seragam, serasa umurnya baru mencecah 5 tahun.

"Mungkin baru balik dari tadika", aku menelah lagi.

Bila kubuka luas daun pintu, terlihat tersergam sebuah kenderaan mewah berjenama Alphard yang dipandu oleh seseorang dalam lingkungan umur 40an. Pemuda itu berkopiah dan tersenyum manis memandangku.

"Pakcik, nah surat", anak kecil itu menyapa dan menghulur sepucuk surat ke tanganku dari luar pagar.

"Surat tu posmen hantar ke rumah saya...salah alamat. Jadi, saya hantar ke alamat yang betul ni", si ayah menyampuk dari dalam kereta.

Aku lantas membelek surat itu bagi mengesahkan penamanya. Ya, memang tertera nama anakku.

"Saya hantar ke rumah ni takut surat tu penting buat encik", pemuda itu menambah lagi bicaranya.

Aku rasa boleh sahaja pemuda itu meletakkan surat itu di dalam peti suratku. Tetapi terlanjur ada orang di rumah, dia sanggup tunggu dan mengarahkan anak kecilnya turun dan menyerahkan surat ke tanganku.

Sejujurnya aku agak terkesima dengan situasi itu. Pemuda itu telah memberi satu nilai tambah dalam situasi yang tidak terjangka olehku.

Terdapat 3 faktor yang menarik minatku untuk menulis 'Hikayat Merong Maha Amanah' ini.

Pertama - pemuda itu telah menjelaskan lagi apa itu Islam. Sifat amanahnya boleh menarik minat 'non Muslim' untuk lebih mendekati agama syumul ini. Sebenarnya apabila surat itu kubuka, tiada perkara penting yang menuntut untuk aku bertindak. Sekali lagi, pemuda itu telah meletakkan prioriti tinggi untuk memastikan yang empunya diri memiliki surat tersebut.

Kedua - pemuda tersebut sebenarnya sedang mendidik anak kecilnya untuk mewarisi sifat para Nabi dan Rasul! Amanah.


Ketiga - dia seorang yang kaya dan berharta (melalui jenis kenderaannya) tetapi masih tidak mengkesampingkan amanah sekecil itu.

Boleh sahaja dia membiarkan surat asing itu atau jika mahu bertanggungjawab, dia boleh memasukkan kembali surat itu ke peti surat di tepi-tepi jalan...habis cerita. Tetapi tidak begitu skrip yang dikehendakinya. Dia mengolah jalan cerita yang nampak ringkas tetapi memberi impak yang jelas ketara di mata penduduk langit.

"Terimakasih banyak ye", hanya itu yang mampu kuucap.

PEMUDA ITU SEDANG BERDAKWAH kepadaku...hatiku amat terkesan.

Thursday 19 September 2013

Persepsi...

Dalam bersosial, kita tidak akan terlepas dari persepsi-persepsi sekeliling. Jangan kata orang, kita sendiri kerap melayan lintasan hati berkenaan karektor masyarakat mahupun kawan-kawan sendiri.

Jika nampak yang berpakaian kemas, tujahan minda mengatakan hidup mereka penuh teratur dan berdisiplin. Jika berselisih dengan mereka yang tidak senyum, terus otak memproses mesej bahawa dia itu sombong. Jika kedapatan pula mereka yang memakai kopiah, sah...dia itu akan digelar ustaz.

Adilkah semuanya apabila kita sendiripun tidak tahu latar belakang seseorang itu?

Mangsa persepsi - jika diri kita dinilai baik oleh mata-mata luar, Alhamdulillah jika apa yang ditonjolkan itu adalah diri kita yang sebenar. Maksudnya, jika penampilan kemas itu diberi persepsi bahawa kita mengamalkan disiplin hidup yang tinggi dan itu benar tentang diri kita...maka kita memang hidup di alam nyata tanpa hipokrasi.

Tetapi bagaimana jika apa yang dilihat itu bertentangan dengan cara hidup kita? Maka ciri-ciri munafik itu ada dalam diri sebenarnya. Penampilan kemas bermula dari sifat dalaman yang telah dididik sedari kecil. Bukan hanya berpenampilan, tetapi sifat itu merangkumi kekemasan persekitaran hidup...di rumah mahupun di mana sahaja.

Bagaimana jika seseorang itu berpenampilan kemas tetapi kehidupan di rumah tidak teratur. Pinggan makan dan minum tidak berbasuh semalaman, pakaian yang dicuci tidak berlipat berhari-hari, dinding-dinding rumah penuh dengan contengan karikatur tanpa mampu mendisiplinkan anak-anak kecil. Entah-entah di rumah hanya berseluar pendek tanpa berbaju!


Ya...jika itu yang jelas tertera, penampilan kemas itu tidak lebih dari hanya mahu mengabui mata-mata luar. Tetapi yang nyata, kita hanya membohongi diri sendiri.

Bagaimana pula jika penampilan kita yang suka berkopiah lantas digelar ustaz...berbunga hati rasanya. Jika apa yang tertera itu selari dengan kehidupan di rumah mahupun di mana sahaja iaitu Islam itu memang menjadi amalan, Alhamdulillah mata-mata di luar hanya mengesahkan siapa kita. Tetapi apa pula kisahnya jika kita hanya berimej tetapi gersang amalan? Siapa yang mahu kita bohongi...mereka atau diri sendiri?

Samalah seperti mereka yang 'senyum sokmo' bila berbicara tetapi hati menyinga dan menyumpah seranah di belakang tabir. Dia yang kita gelar peramah itu menafikan persepsi masyarakat sekeliling.

Ini isu diri sendiri...siapa kita di mata masyarakat. Kekadang kita terlebih lagak demi memenangi hati masyarakat sehingga sanggup hidup dalam dunia hipokrasi.

Persepsi-persepsi baik masyarakat seharusnya lebih memalukan diri sendiri jika ia tidak selari dengan apa yang mereka lihat. Secara positif bila rasa malu itu ada, kita cuba ikhtiar untuk memperbaiki diri luar dan dalam...baru adil. Apa yang terlihat di luar, sama berlaku di dalam diri mahupun di rumah.

Jika segalanya bertentangan dengan apa yang mereka lihat, nampaknya kita hanya mengesahkan kemunafikan diri!!!

Bagaimana pula jika persepsi negatif yang timbul tentang diri kita? Kita baik..dikatanya sombong. Kita jujur dibilang hipokrit. Kita sabar digelar penakut. Alahai...apa pentingnya kita melayan persepsi-persepsi manusia. Kekadang ada yang tidak dapat melelapkan mata memikir tanggapan negatif makhluk pada diri.
Jika urusan bersama makhluk amat merisaukan, jelas kita tidak akan mampu memenangi perhatian Allah. Menambah buruk keadaan, kita membalas persepsi mereka dengan tujahan kata-kata kesat.

Orang beriman tidak akan melatah dengan rentetan persepsi negatif. Mereka lebih memikir persepsi penduduk langit berbanding makhluk. Katalah apa yang mahu dikata...kerana yang lebih merisaukan apabila kita alpa dengan kata-kata Allah.
Kesimpulannya, jangan pernah kita berasa risau dengan persepsi makhluk kerana penduduk langit jumlahnya seperti pasir-pasir halus di pantai. Jika hendak dikata kesemua 7 bilion penduduk dunia melahirkan persepsi negatif terhadap kita...ingat, jumlah penduduk langit yang mendoakan kita tidak terkira bilangannya...dengan syarat kita tidak mengkesampingkan syariat Nabi Muhammad SAW!!!

Berbahagialah dengan persepsi buruk makhluk.


Saturday 14 September 2013

Sketsa Rasa

Kita semakin berjaya dalam hidup. Kerjaya, bisnes, jawatan dan harta benda menyerlahkan lagi siapa kita di mata dunia. Bila di dalam mesyuarat, banyak sumbangan idea yang diberi. Bila dipertanggungjawabkan untuk memikul sesuatu tugasan, komitmen yang diberi tidak berbelah bahagi...HEBAT...itulah kita.

Apa rahsianya? Pernah kita terfikir dari mana datangnya kekuatan itu? Dari usaha kita sendiri? Dari kawan-kawan yang banyak memberi galakan? Atau dari kebijaksanaan akal anugerah Allah? 
Mari kita lihat sketsa di bawah...

Hidup kita bermula dari rumah. Sedari kecil segala makan minum dan pakai dijaga selia oleh orang tua. Ibu memasak tanpa imbuhan bayaran dari anak-anak. Ayah menggalas tulang empat kerat demi kelangsungan kehidupan keluarga.

Ada ke ucapan terimakasih keluar dari mulut kita kepada keduanya sejak dahulu hingga sekarang? Walau tiada imbuhan yang diterima mahupun kalimah penghargaan, mereka tetap setia memasak dan mencari rezeki untuk keluarga.

Bila kita melanjutkan pelajaran di menara gading, mereka tiada pilihan...mencuba sedaya mampu mencari wang untuk meneruskan pengajian kita. Mereka di kampung menahan lapar, mengikat perut dan mengorbankan segala yang bernama bahagia semata-mata untuk melihat kita berjaya.

Ya..kepuasan mereka muncul apabila kita berjaya dengan segulung ijazah dan tambah membahagiakan bila kita menyandang jawatan penting di dalam syarikat...HEBAT!!!
Kita kembali kepada kehidupan lampau semula. Bila lapar, pada siapa kita ucap perkataan itu? Ibu akan memasak walau diselubungi letih.

Bila hendak ke sekolah, kepada siapa kita merujuk untuk minta duit belanja? Ayah sedia menghulur walau ayah sendiri tiada belanja di pejabat.

Di zaman kanak-kanak, kepada siapa kita suka bercerita untuk berhibur? Ibu sedia mendengar cerita bosan kita.

Bila kedapatan masalah dengan kawan-kawan di sekolah, kepada siapa kita mengadu? Ibu sedia mendengar walau dibaluti masalah dapur tak berasap.

Di Universiti, kepada siapa kita berharap untuk segala perbelanjaan sepanjang pengajian? Ibu dan bapa tempat rujukan walau terpaksa menebalkan muka meminjam sana sini.
Tetapi bila kita sudah berjaya dan berkeluarga, mana perginya tempat rujukan kita sedari kecil?

Kita beralih kepada sahabat-sahabat bercerita masalah syarikat di padang golf.
Kita mencari laman-laman sosial dan pakar-pakar motivasi untuk leraian masalah.
Kita melebihkan 'ramalan bintang' di dada-dada akhbar dan majalah untuk penyelesaiannya.

Di mana ibu, di mana ayah? Di mana letaknya mereka berdua di hati kita apabila kita meningkat dewasa?


Ibu bukan pakar ekonomi yang tahu selok belok dan turun naik saham. Ayah pula tidak sebijak mana untuk menyelesaikan masalah perakaunan di pejabat. Mereka tak sekolah tinggi.

Tapi jangan lupa, mereka ada mukjizat anugerah Allah. Restu mereka berdua merupakan lesen untuk Allah sempurnakan hidup kita di dunia hingga menuju ke akhirat.
Berbuallah bersama mereka, kongsikan kegembiraan kita yang telah berjaya bersama mereka. Hiburkan hati mereka dengan kisah-kisah silam tentang didikan mereka kepada kita yang bisa menjadikan kita manusia yang sempurna.

Tetapi cukuplah...cukuplah, jangan dilonggokkan lagi masalah dunia di hadapan mereka. Mereka sudah cukup menderita membesarkan kita. Jika tidak mampu memberi sedikit wang perbelanjaan mereka di kampung (tak mampu?), jangan dengan rasa tak malu meminta dari mereka pula..cukuplah!!!
Kita berjaya dalam hidup? 

Alhamdulillah...tetapi jangan dikesampingkan untuk meminta restu dari mereka berdua untuk setiap apa yang akan kita lakukan. Cari masa untuk berbual bersama mereka bukan CURI masa mereka (bermaksud masa yang sepatutnya kita bersama orang tua telah diberikan kepada kawan-kawan mahupun gajet di tangan).

Mungkin kita lupa...mereka sebenarnya sering merestui kehidupan kita bersama keluarga sendiri walau kita lupa untuk memintanya. Di situlah terletaknya kekuatan diri kita yang berjaya.


Tetapi di mana mereka di hati kita? Mereka terus-terusan sunyi dalam diam.

MASIH HEBAT kah kita?


Sunday 8 September 2013

Angka 40..Tahun Yang Kritikal


Kita hidup sebetulnya bertujuan iaitu untuk menghambakan diri kepada Allah. Di sini, ibadat khusus mahupun yang umum memain peranan untuk menentukan siapa kita di sisi Allah di alam akhirat. 

Persoalannya, bagaimana cara kita menjalani kehidupan sepanjang kita diberi tempoh hidup di dunia? 

Seawal usia baligh bagi lelaki di lingkungan usia 13 ke 16 tahun juga perempuan di sekitar 10 ke 13 tahun usia. Melepasi usia sedemikian telah dipertanggungkawabkan segala kewajipan syariatullah ke atas bahu masing-masing. Buku catatan amal telah mula dicatit di kiri kanan bahu kita oleh Malaikat Kiraman dan Katibin.

Seawal remaja, kita masih tercari-cari identiti diri sendiri. Ibubapa seharus memain peranan dalam memberi panduan juga memilih bagi pihak anak-anak tentang kecenderungan mereka.

Melepasi usia remaja, kita meningkat dewasa dan telahpun berdiri atas tanggungjawab juga terpaksa membuat keputusan untuk menempuh masa depan sendiri. Kita bergelut untuk mencapai kejayaan..adakala jatuh tersungkur dan bangkit kembali demi sebuah kehidupan dan masa depan.

Perkahwinan menambah beban hidup dan tanggungjawab menjadi semakin besar keraknya. Gandaan usaha dipertingkat ataupun perut harus diikat. Tiada pilihan...kita harus maju ke hadapan kerana semakin banyak mulut harus disuap.

Alhamdulillah...ujian hidup telah kita lalui dengan jaya. Jatuh bangun hidup telah dirasai. Hidup mula stabil...kita hanya perlu konsisten dengan kerjaya yang ada. Ini kebanyakannya dilalui dalam tempoh usia 40an.

Ya...usia ini sebenarnya mempunyai pengertian yang besar untuk direnungi. Jika tidak, masakan ia disabdakan oleh Rasulullah SAW. Apa sahaja yang datang dari sumber Nas yang sah, seharusnya untuk kita beri perhatian lebih kerana malapetaka bakal menyusul bagi sesiapa yang tidak menghiraukannya.

Kita dibezakan di usia ini...40. Jika hati cenderung kepada segala yang baik, Insyaallah, kita bakal mendatangi segala yang baik di usia mendatang. Begitu juga sebaliknya, jika mencecah 40 masih selesa dengan perkara-perkara yang tidak menjurus kepada pahala, berat hati untuk mengatakan bahawa hanya hidayah Allah sahaja yang boleh menyelamatkannya (cukupkah hanya dengan mengharap hidayah datang bergolek tanpa sekelumit usaha menuju perubahan?).

Mereka yang tidak betah mencari perhatian Allah pasti jiwa berteman dunia dan makhluk seisinya...hanya itu yang boleh menghiburkan hati. Oleh itu, jangan hairan apabila usia 40an memulakan era baru dalam kehidupan seseorang. Kewangan sudah stabil, segala keperluan telah lengkap...hadirlah rasa ingin berkawan sana dan sini. Menambah perit bila peratusan bersama keluarga dan kawan-kawan tidak seimbang...dilebihkan dunia luar. 

Di sinilah juga bermula jelingan manja dari perawan-perawan muda. Ye lah...ada gadis yang tertarik dengan personaliti 'otai' yang tenang sentiasa dan lebih berhemah kehidupannya. 'Otai-otai' yang kontang rasa dalam beragama, mula berasa terhibur dengan dunia sekitar. Pucuk dicita ulam mendatang. Fasa baru telah bermula...dicari hiburan luar.

Tetapi jika di usia stabil itu meresap masuk keinsafan, rasa menyesal dengan segala perbuatan lampau dan melampau...dicari segala yang berunsur syariat untuk dipelajari...walau bermula dengan mengenal huruf al Quran melalui Iqra' (muqaddam). Terisilah masa mereka dengan segala yang bermanfaat. Tidak terlintas kepada segala aktiviti yang sia-sia.

Bagaimana pula untuk yang konsisten dengan amal ibadat sedari muda. Pemisah usia 40an tidak menjadi masalah kerana segala yang baik telah bersatu dalam dirinya. Datanglah segala perawan mahupun godaan duniawi yang melekakan...hatinya tetap tidak terpaut. Dia tahu menilai kehidupan dan amat berwaspada dengan segala tipu helah. Malah dia berasa gusar jika kehidupan mula stabil dan harta semakin bertambah...kerana dia tahu kemewahan itu juga merupakan suatu ujian dari Allah.

Justeru apa pilihan kita? Mahu konsisten dengan amal seawal usia muda...atau menunggu untuk berubah di persimpangan usia 40...atau terus berhibur dan mengharap hidayah Allah mendatangi diri. 

Mereka yang konsisten akan menuai hasilnya bila mencecah angka 40. Mereka semakin galak menambah ibadah dan semakin banyak memberi ilmu kepada yang lain. Jiwa mereka tenang dan kehidupan semakin dimudahkan olehNYA.

Mereka yang akan berubah di persimpangan 40 bakal berhadapan dengan kesulitan tetapi masih belum terlewat. Mereka merangkak mencari yang asas dan terpaksa banyak mengganti amalan-amalan wajib yang tertinggal. Walaubagaimanapun, golongan ini masih boleh mengucap syukur lantaran Allah mula memberi perhatian dengan segala macam ujian..bersabarlah.

Untuk yang mengatakan 'kehidupan bermula di usia 40' bakal menempah neraka. Dunia yang dirasa seronok sebenarnya menuntun diri mereka ke lembah hina...berpeluangkah mereka mendapat hidayah Allah? Allah lebih mengetahui.

Jika mahu selamat, bermulalah sedari awal dalam mencari redhaNYA kerana perkara yang dilakukan secara terpaksa dan tergesa-gesa itu menolak kesempurnaan hidup.

Hiduplah dalam redhaNYA sebelum mencecah angka 40 agar kita boleh menuai hasilnya di dunia sebelum mati menjemput.

Wallahua'lam

Tuesday 3 September 2013

"Allah Pilih Saya...bang"

Sekembali dari tugasan di luar negara, selepas mendapatkan bagasi selalunya terus aku menuju ke sebuah syarikat perkhidmatan teksi untuk menghantar kupulang ke rumah. 

Malangnya hari itu tiada teksi yang menunggu di luar. Lantas pegawai syarikat itu mencadangkan aku untuk dapatkan perkhidmatan syarikat lain di kaunter hujung. 

Bergegas aku ke sana kerana tidak mahu lewat sampai ke rumah. Tiket kubeli dan aku diarah untuk ke tingkat satu bagi mendapatkan teksi (aku agak mengeluh kerana terpaksa berjalan jauh untuk syarikat perkhidmatan teksi yang tidak pernah aku langgani ini).

Alhamdulillah, sesampai sahaja di situ ada teksi yang menunggu...terus aku disapa oleh pemandunya yang berbangsa Cina. Aku naik, menyandarkan badan sambil memeriksa emel dan SMS.

"Abang nak ke mana ye, boleh saya dapatkan resit?", pemandu itu menyapaku.

"Ooh saya nak ke Bandar Baru Bangi, Seksyen 3. Nah ni resit", aku memberi respon sambil mataku masih menatap emel.

Selesai mataku menjelajah ke segenap tajuk emel dan SMS, aku tutup telefon bimbit sambil memandang ke hadapan jalanraya. Serasa mahu melelapkan mata sebentar, maklumlah tidur di dalam pesawat sebenarnya menempah sengal-sengal badan...bertambah letih jadinya.

Tiba-tiba mataku terkilas kepada kopiah di atas 'dashboard'. Kukerling pula lesen teksinya, "Nama Cina, muallaf ke dia? Kenapa tak tukar nama? Tapi lagu yang dimainkan di radio adalah lagu Melayu melalui stesen radio Sinar FM", mengantukku hilang atas desakan soalan yang menerpa minda.

"Saudara, boleh saya tanya satu soalan?", aku memecah bunyi deruman teksi sambil kepalaku masih tersandar di kusyen kereta.

"Boleh bang, nak tanya banyaaaaakkk pun boleh. Saya tak kisah", terus dia sambut teguranku dengan ramah.

"Saudara ni Muslim ke? Aku langsung bertanya tanpa berselindung.

"Ya bang, dah 11 tahun dah saya menganut Islam". Jawapannya yang ramah memujuk aku untuk bertanya lagi.

"Eerrmmm..sebab apa peluk Islam?", aku dapat rasakan yang dia memang mengetahui soalan-soalan lazim itu.

"Allah pilih saya bang", ringkas jawapannya tetapi membuat aku rakus untuk bertanya lagi.

Jawapan ringkas itu amat-amat menarik mindaku kerana sudah pasti ada cerita menarik di sebalik tonasi 'Allah pilih saya'.

"Saudara dah kahwin?"

"Belum lagi bang, tengah mencari la ni", dia mula berseloroh.

Haaa...aku pasti akan korbankan waktu santaiku di dalam teksi kerana dia belum berkahwin. Apa maknanya tu? Itu maknanya dia peluk Islam bukan kerana nak kahwin tetapi memang kerana "Allah pilih saya'. Aku mula membetulkan dudukku untuk lebih mengetahui siapa insan ini sebenarnya.

"Siapa nama saudara?" soalan lain menerpa.

"Firdaus...nah ni kad saya", segera menghulur kad memberi isyarat bahawa dia selesa berbual denganku.

"Boleh En Firdaus cerita sikit macam mana boleh peluk Islam?", aku meminta tanpa silu.

"Sebenarnya bang, saya peluk Islam bukan macam orang lain...saya tidak berkawan dengan orang Melayu dan tidak pernah mempelajari Islam. Saya kecewa dengan keadaan sekeliling, saya salahkan Tuhan atas apa yang berlaku pada saya. Bisnes saya hancur, abang kandung saya sendiri mengkhianati saya juga keluarga tidak menyebelahi saya. Saya lari bawa diri ke Pulau Pinang mencari kerja sebagai pemandu trak kontena".

"Hidup saya keika itu tidak keruan, saya tak tahu apa yang saya cari. Pagi hingga ke petang saya kerja dan malamnya minum sampai mabuk. Begitulah rutin hidup saya setiap hari. Hinggalah di suatu hari tiba-tiba datang satu perasaan...saya nak peluk Islam. Abang bayangkan dalam keadaan saya tak tahu apa itu Islam dan tak pernah ada minat nak mengetahuinya, tiba-tiba datang satu rasa yang kuat untuk nak peluk Islam...memang ajaib perasaan itu".

"Saya tak tahu nak rujuk pada siapa bang, saya tak ada kawan Melayu...saya buntu sekejap. Abang tahu tak nombor operator untuk kita minta nombor talipon satu-satu tempat atau syarikat...nombor 103 tu. Saya telefon nombor tu dan meluahkan perasaan kepada operator Islam yang menjawab panggilan saya. Operator tu nasihatkan saya untuk pergi ke Majlis Agama Islam dan dia beri alamat lengkap lokasi".

"Esoknya saya terus ke pejabat Agama Islam Pulau Pinang dan berjumpa pegawai yang bertugas. Tapi bang, ada masalah sikit. Kata pegawai tu, kalau nak peluk Islam, saya harus pergi ke negeri kelahiran saya seperti yang tercatat di IC iaitu Perak. Susah jugak nak peluk Islam ni ye bang, katanya berseloroh", atau aku rasa itu satu sindiran untuk kita renungi.

"Saya pergi ke negeri Perak pula dan menyatakan hasrat saya kepada pegawai Agama yang bertugas. Dia tanya saya datang dengan siapa? Saya kata seorang sahaja. Jawab pegawai tu saya tak boleh peluk Islam seorang diri, mesti ada kenalan Islam yang memperkenalkan saya juga bertujuan untuk menjadi saksi. Saya kata kalau macam tu, encik-encik semua boleh menjadi saksi, tak perlu oang lain. Kedegilan saya membuat pegawai tu beralah dan mengajar saya mengucap kalimah syahadah...Alhamdulillah".

Firdaus...ya, seorang yang berbangsa Cina telah memeluk Islam bukan kerana wanita Islam yang ingin dikahwininya, bukan juga kerana bahagian zakat yang telah diperuntukkan kepada 'muallaf' (saudara baru). Dia peluk Islam dalam keadaan jiwanya kacau, bilau dan serabut. Cuba bayangkan, bolehkah kita membuat keputusan terbaik yang membabit masa depan apatah lagi anutan agama yang boleh merubah landskap hidup seseorang di kala jiwa tidak tenang? Jika itu keadaannya, pasti kita akan rujuk kepada seseorang untuk dorongan nasihat mahupun panduan...setidak-tidaknya kita menunggu keadaan menjadi tenang, baharulah keputusan diambil.

Tetapi keadaan itu tidak berlaku kepada insan yang bernama Firdaus Kong ini, keputusan drastik yang diambilnya pasti didorong oleh sesuatu...yang lebih merupakan anugerah kepada seseorang. Dikala itu aku percaya 'jiwanya di dalam genggaman Allah'. Allah telah memilihnya untuk sesuatu yang boleh menyelamatkannya di dunia mahupun di akhirat. Mungkin jua atas dasar Allah redha atas sesuatu yang dilakukannya di zaman jahil dahulu.

Teringat pula aku sebuah hadis yang menceritakan bagaimana Allah telah menempatkan seorang pelacur ke dalam syurgaNYA. Allah redha di atas kebaikannya memberi minum seekor anjing yang dahaga...syurga balasannya. Maka tidak hairanlah jika kisah yang sama boleh berlaku ke atas insan ini.

"Ada apa-apa masalah ke sepanjang En Firdaus menganut Islam?" Aku mencelah lagi.

"Abang, saya kena berterus-terang dengan abang. Saya harap abang boleh terima apa yang akan saya ceritakan ini".

"Kami muallaf ni sering dipandang jahil oleh orang Melayu Islam. Saya tidak dapat merasa kasih sayang dari mereka seperti mana yang dianjurkan oleh Islam. Saya masih lagi berasa terpinggir seolah-olah Islam di Malaysia ni hanya untuk orang Melayu sahaja. Sehingga kadang-kadang bila saya masuk masjid untuk solat, saya malas nak berjemaah bersama mereka".

"Sering saya ditanya bagaimana saya peluk Islam...bla, bla, bla, habis cerita, habislah semua. Tiada siapa tanya apa yang perlu dibantu, macam mana cara nak bantu, cukupkah keperluan saya sehari-hari. Saya bukan nak bantuan sangat bang, tetapi saya hanya nak sokongan dari orang Melayu Islam".

"Pernah saya bertanya tentang keperluan zakat kepada pegawai Agama untuk muallaf macam saya, mereka semua tak boleh bantu..banyak sangat protokolnya. Bila saya pertikaikan ke mana peruntukan wang zakat untuk kategori muallaf, mereka kata saya tak perlu mengetahui perinciannya...jangan hendak memandai-mandai".

"Saya kecewa dengan sikap orang Islam macam ni. Sebenarnya bang, bukan nilai duit yang saya pandang tetapi bagaimana cara orang Islam mengendalikan sesuatu amanah. Keadaan ini membuatkan saya rasa semakin jauh dengan orang Melayu Islam".

Aku terbungkam tidak terkata dengan permasalahan saudara baru ini. Ini bukan masalah Islam tetapi bangsa yang menganutnya..bangsa aku agaknya ingin menjadi 'bangsat' bilamana mereka tidak hirau tentang keperluan saudara baru.

Aku lantas mencari fakta tentang kutipan zakat di Selangor. Pada tahun 2011, kutipan zakat keseluruhan berjumlah RM394.1 juta. Agihan untuk 'muallaf' berjumlah RM15.5 juta (sebanyak 4%). Aku kurang pasti apa kriteria 'muallaf' yang berhak menerima wang zakat ini, tetapi yang nyata peruntukannya ada dan agihan telah dilaksanakan. Agaknya sebab beliau mempunyai pekerjaan tetap maka prioriti diberi kepada 'muallaf' yang berstatus fakir dan miskin.

Tetapi jika benar berlaku penyelewengan, sedikitpun tidak aku hairan kerana Melayu Islam hanyalah warisan keturunan, tidak jitu imannya. Wahai Bangsaku...jangan berbangga dengan status Islam yang kita miliki kerana warisan Islam yang kita anuti boleh menjadi perangkap kepada kebodohan kita. Kita selesa menjadi Islam, lantas tidak mahu mendalami dan mengkaji ilmu-ilmu Syariah...hanya berpandu kepada Imam-imam muktabar.

"Satu lagi bang, saya pernah tanya kepada pegawai agama, adakah dibenarkan wang zakat dibuat perniagaan sehingga mendatangkan keuntungan...mereka tak boleh jawab bang. Wang zakat sepatutnya diberi kepada 8 asnaf yang layak bukan untuk dibuat berniaga". Keluhannya makin berpanjangan.

"Errr En Firdaus, boleh saya jawab persoalan tu?" aku ingin memperjelaskan sesuatu agar kemelutnya diberi batas.

"Ya bang, saya dengar ni", dia mula membetulkan cermin pandang belakang kereta.

"Memang betul tidak ada Nas menyatakan bahawa wang zakat boleh diperniagakan tetapi tiada Nas pula yang melarang. Hukum Feqah tidak statik, ia berkembang dan boleh berubah mengikut peredaran zaman. Ulama' boleh berijtihad menggunakan segala kepakaran dan ilmu yang ada dan dari situ diharuskan untuk memanjangkan wang zakat ke arah bidang perniagaan. Jadi tidak ada isu di situ. Mungkin mereka yang kamu dakwa pegawai agama itu hanyalah kerani di kaunter pusat zakat, mereka kurang ilmu untuk menjawab".

"Contoh terbaik ialah menurut Mazhab Syafie, agihan wang zakat haruslah berupa makanan ruji di sesuatu tempat, di Malaysia tentulah beras. Cuba En Firdaus bayangkan jika setiap tahun kita berzakat dengan beras, bekalan beras yang dikumpul oleh pejabat agama akan melimpah ruah dan simpanan yang lama akan menyebabkan beras berulat. Tidak semua fakir miskin memerlukan beras, mungkin mereka lebih memerlukan wang ringgit untuk membeli segala keperluan harian yang lain. Jadi, Ulama' di Malaysia telah menggunapakai Mazhab Hanafi iaitu menggunakan matawang sebagai zakat...itu lebih praktikal". Hujahku bermula dengan satu tujuan, agar dia lebih faham perbandingan Syariat dan Fiqh.

Aaahhh...nampak nyata bahawa mereka yang bukan Islam yang diberi hidayah sebetulnya ingin menjadi Muslim sejati dengan mempelajari dan mengkaji apa itu Islam. Islam bukan milik eksklusif orang Melayu di Tanah Melayu...Islam itu universal, lantas cubalah kita raikan mereka yang baru memeluk Islam sepertimana penerimaan kaum Ansar terhadap Muhajirin sewaktu peristiwa Hijrah. Mereka telah dipersaudarakan, diberi tempat tinggal, berkongsi harta juga ada yang sanggup menceraikan salah seorang isteri mereka demi untuk dinikahkan kepada mereka yang sehelai sepinggang berhijrah ke Madinah.

Jangan memandang remeh kepada mereka yang baru setahun jagung memeluk Islam. Silap-silap, bacaan fatihah mereka lebih mantap dari kita yang mewarisi tonasi fatihah seawal usia 5 tahun dan tonasi yang sama diperdengarkan di usia senja tanpa ada usaha untuk mempelajari hukum tajwid.

"En Firdaus, ini bukan masalah agama Islam tetapi penganutnya sendiri yang tidak menghayati ajaran Islam yang syumul ini. Oleh itu saya cadangkan agar En Firdaus tumpukan kepada amalan fardhu dan mantapkan iman agar jiwa kita tenang untuk menghadapi kerenah-kerenah dunia ini. Kita tidak mampu mengawal sikap manusia tetapi En Firdaus masih mampu kawal diri sendiri". aku selit sedikit nasihat agar jiwanya kembali tenang.

"Tapi bang, ini semua tak adil bagi kami yang memeluk Islam, mereka tidak memberi bantuan dan dorongan untuk kami amalkan Islam", dia mencelah lagi dengan nada yang agak mengeluh.

"En Firdaus, sebab itu Allah wujudkan akhirat...hari pembalasan. Segala yang tidak adil itu akan dibalas dengan seadil-adilnya di Mahkamah Allah nanti, percayalah. Bagaimanapun saya ucap terimakasih kepada En Firdaus kerana berani meluahkan perkara yang agak sensitif ni. Saya berbangsa Melayu tetapi saya lebih meletakkan Agama Islam di atas segala bangsa dan keturunan. Jadi, tidak menjadi masalah kepada saya untuk mendengar keluhan En Firdaus tentang kelemahan bangsa saya. Tiada bangsa yang terlebih mulia dari sifat takwa yang ada dalam diri...itu lebih selamat".

"Saya yang patut berterimakasih dengan abang kerana banyak bagi nasihat kepada saya", dia nampaknya mula berlembut dan tenang.

Sesampai di rumah, kami bersalam untuk berpisah dan dia memohon agar aku mendoakannya bertemu jodoh untuk dia meneruskan hidup bersama keluarga baru.

Aku memohon untuk memaparkan kisahnya di blog. Sebaik sahaja aku memberi nama blog seperti yang diminta, terus dia membukanya di telefon bimbit...EVOLUSI JIWA dalam tatapannya.

Aku menganalisa sendiri, ketiadaan teksi yang biasa aku langgani telah menemukan aku dengan insan ini...pertemuan yang dirancang oleh YANG MAHA MERANCANG!!!

En Firdaus Kong...terimakasih kerana jujur menegur bangsaku...