Translate

Wednesday 27 February 2013

Wara' Yang Terpinggir

Dalam berkomuniti kita digalakkan tegur menegur demi menjamin keharmonian hidup dalam batas-batas syara'. "Sampaikan walau satu ayat", begitulah maksud Hadis Rasulullah SAW. Semua orang harus menyampaikan perkara yang baik tanpa perlu menunggu menjadi baik. Jika kita masih beralasan demi mengelak untuk 'menyampaikan', maka kita seolah-olah menolak Hadis tersebut.

Nabi Muhammad SAW tidak menujukan sabda Baginda di atas hanya untuk para ulama' dan yang setaraf dengannya. Hadis tersebut untuk semua yang bergelar 'mukallaf' (Muslim, baligh dan berakal). Tetapi yang sebaiknya apabila kita mula menyebarkan kebaikan, mulakanlah kebaikan itu dari diri sendiri dahulu...kerana rasionalnya mereka yang mendengar akan mula menilai siapa kita dengan memerhati segala tingkah laku seharian...auranya di situ. Kita arah anak-anak dan isteri untuk bersolat tetapi kita masih leka dibuai 'facebook'. Kita suruh berhemah dalam segala segi tetapi kita jadi pemarah dan bersikap autoriti di rumah. Di mana rasionalnya?

Semua manusia lahir dibekal dengan segala sifat-sifat baik. Tetapi apabila panorama dunia di depan mata, ramai dari kita yang mengkesampingkan sifat baik anugerah Allah. Bagaimana untuk mengimbangi ujian dunia yang menjurus ke arah keburukan?

Ya...Allah itu adil, sebab itulah dicipta manusia berstatus Siddiq (benar), Fatanah (bijaksana), Tabligh (menyampaikan) dan Amanah. Itulah para Nabi yang hadir bagi menyeimbangkan segala yang kalut dan karut-marut.

Para Nabi-Nabi membawa syari'atullah bukan untuk menghukum tetapi lebih kepada membentuk peribadi mulia guna menjadi Khalifah bagi mentadbir dunia. Bayangkan sekiranya Nabi akhir zaman tiada, entah berapa ramai lagi bayi dan kanak-kanak perempuan mati dibunuh. Zina dan arak menjadi tidak terbendung dan perkara-perkara haram akan tumbuh subur merajai hati manusia.

Syariat adalah hukum langit yang bersandar kepada empat yang asas iaitu Al Quran, Hadis, Ijma' dan Qiyas. Semua makhluk wajib patuh kepada undang-undang ini...tiada yang berkecuali. Inilah ilmu syara' asas yang boleh membimbing manusia ke arah jalan yang diredhai olehNya.

Apabila menyebut tentang yang 'asas' maka ia sepatutnya tidak diberat-beratkan melangkaui kemampuan orang-orang biasa. SYARA' amat berbeza denga WARA'. Syara' adalah kepatuhan kepada hukum Allah yang asas manakala wara' pula adalah nilai tambah kepada hukum yang asas tadi seperti banyak melakukan amalan sunat, mengamalkan ilmu tasawuf juga mengaplikasikan sifat takwa dalam diri.

Sila lihat contoh ini:-

Seseorang yang bersifat takwa akan menjadi sangat selektif dalam hal makan minum. Apabila sah halal sumbernya baharulah dijamah makanan itu.

Yang wara' bukan setakat mengelak dari yang subhah malahan tidak berlebih-lebihan menyentuh yang halal...bersederhana dari segala segi.

Mereka kurang bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah dan sanggup menyepi diri walau berada di pihak yang benar...sekiranya percakapan itu boleh menimbulkan perbalahan.

Amat sabar dengan kerenah manusia. Memiliki kebergantungan hidup yang tinggi terhadap Allah juga mempunyai sifat tawakal yang padu.

Tidak meminta-minta apa yang tiada malahan amat bersyukur dengan yang ada di tangan walau tidak seberapa nilainya.

Eerrmm...cukupkah hanya dengan status syara' seumur hidup? Tidak melanggar batas syara' hanya menghalang kita dari melakukan dosa-dosa besar seperti berzina, membunuh, minum arak juga berjudi.

Tetapi terpeliharakah diri kita dari mengumpat, menyakiti hati yang lain, menindas, khianat, menceroboh hak yang bukan hak, memfitnah? 

Yang solat, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji (mengikut syara') belum tentu boleh mengelak dari senarai di atas. Tetapi yang wara' Insyaallah akan menjaga kepentingan insan-insan lain (hablumminannas) sehingga sanggup mengenepikan kepentingan diri. Inilah hasil dari penjagaan makan minum yang masuk ke dalam perut sehingga terserlah segala kebaikan melalui perbuatannya.

Jangan statik. Perlahan-lahan cuba menuju ke arah yang lebih baik. Apabila kita mula mencari kebaikan, status syara' akan meningkat sedikit demi sedikit ke arah wara'. Banyak lagi pintu kabaikan yang akan dibuka untuk mereka yang mencari...KERANA KITA SUDAH MULA MENCURI PERHATIANNYA!!!


Sunday 24 February 2013

Pisang Atau Babi?

Bila peserta mula nampak sedikit layu, aku sudah bersedia dengan permainan itu...menguji minda mereka. Di dalam terminologi pengurusan latihan, ini dinamakan sebagai 'blood circulation'. Memang normal bagi peserta yang mula berasa bosan dan mengantuk selepas 30 minit latihan dijalankan. Di sini peranan 'speaker' akan teruji. Jika latihan penerangan diteruskan, alamatnya anda akan berhadapan dengan 'orang-orang' yang terpacak di sawah padi.

"Ok semua, sila bahagi kepada 3 kumpulan dan anda diminta untuk melantik ketua kumpulan masing-masing". Kataku memberi arahan. Kulihat mereka mula bergerak ke sana ke mari untuk membentuk kumpulan dan nyata 'aliran darah' mereka mula rancak.

Mereka sudah bersedia dengan arahan seterusnya. Aku mulakan permainan uji minda 'PISANG ATAU BABI?' Ceritanya begini, "Dalam satu penerbangan yang dinaiki oleh anda semua, berlaku sesuatu yang menyebabkan pesawat hilang kawalan. Pesawat mendarat cemas di hutan belantara tetapi Alhamdulillah anda semua selamat". Mereka mendengar penuh minat.

"Untuk hidup, anda bergantung dengan makanan yang berada di dalam pesawat tersebut tetapi bekalannya sudah semakin kehabisan. Hidup harus diteruskan lantas anda memasang perangkap, mana tahu tersangkut rusa atau ayam hutan boleh dibuat bbq". Lancar aku memberi penerangan.

"Selepas setengah jam menunggu, hasilnya hadir. Aahh...tetapi yang sangkut adalah khinzir. Anda lepaskan khinzir kerana masih menaruh harapan terhadap haiwan yang lebih membuka selera walau anda tahu di waktu itu hukumnya harus memakan yang haram atas alasan darurat". Yang nyata jeratku semakin mengena untuk menghidupkan mereka yang layu tadi.

"Kali kedua masih tak berselera dengan haiwan yang tersangkut...khinzir. Kesekian kali yang ketiga jerat anda masih menaruh minat khinzir untuk mendiaminya. Anda tersangat lapar maka keputusan dibuat untuk menyembelih khinzir buat dijadikan hidangan walau tak berselera". 

"Menyembelih, melapah dan memanggang...tiba waktu untuk mengisi perut. Tiba-tiba salah seorang dari kumpulan anda bersuara, dia terlihat kebun pisang yang buahnya menguning tetapi dikelilingi pagar".

Aku mengakhiri cerita sebelum melontar soalan uji minda kepada mereka, "Sekarang anda mempunyai dua pilihan, nak makan khinzir atau pisang. Saya beri masa 10 minit untuk anda berbincang dan ketua kumpulan akan mempersembahkan hasil perbincangan anda".

Ketua kumpulan pertama berhujah, "Kami memilih untuk makan pisang kerana risikonya lebih rendah berbanding khinzir yang haram walau kami tahu pisang tu ada pemiliknya".

"Kami memilih pisang, lepas makan kami carilah tuan punya kebun dan minta halal", ketua kumpulan kedua yakin bersuara.

Ketua kumpulan ketiga melangkah ke hadapan dan bercakap penuh yakin, "KAMI NAK MAKAN BABI!!! Hahaaaa...berderai satu kelas gelihati dengan perkataan itu seolah-olah memang mereka beriya-iya hendak merasa daging babi. 

"Apa alasan kamu? Aku memintas deraian ketawa mereka.
"Babi tu boleh dimakan dalam keadaan darurat, Quran  ada sebut. Jadi kami pilih makan babi lah".
"Ok baiklah, anda semua telah membuat keputusan mengikut ilmu masing-masing. Jawapan sebenarnya ialah apa yang telah dijawab oleh kumpulan ketiga sebentar tadi. Babi di waktu itu telah dilonggarkan hukum iaitu 'harus' memakannya atas faktor darurat tetapi tak boleh kita berlebih-lebih dalam menikmati dagingnya. Kuantitinya hanyalah sekadar kita mendapat kembali tenaga dan boleh meneruskan hidup. Selepas pulih kita wajib mencari makanan halal. Ini yang dinamakan 'fiqh aulawiah' iaitu keutamaan dalam hukum fiqah".
"Sekiranya anda memilih untuk makan pisang kemudian baru berusaha untuk mencari tuan punya kebun bagi menghalalkan apa yang anda makan, saya ada satu cerita untuk dikongsi. Selepas itu anda buatlah perkiraan samada betul atau tidak tindakan anda itu".

Diriwayatkan ada seorang yang warak dan terlalu berhati-hati dalam menjaga makan minumnya. Suatu hari beliau ke pasar untuk membeli makanan. Beliau singgah untuk membeli buah tamar dari seorang peniaga. Selepas ditimbang, peniaga itu tanpa sengaja telah termasukkan lebihan sebiji tamar ke dalam bungkusan. Bermakna sebiji tamar itu bukan milik pemuda warak.

Pemuda itu balik dan makan tamar, termasuklah sebiji yang bukan miliknya. Dengan izin Allah selepas pemuda itu solat dia terdengar suara Malaikat berbual-bual tentang dirinya. Ini tidak menjadi kehairanan kerana Allah sayang kepada insan yang dekat padaNya, lantas dibuka hijab suara Malaikat untuk didengari oleh pemuda warak itu.

"Kasihan pemuda ini, amalannya banyak tetapi tertolak oleh kerana dia telah termakan sebiji tamar yang haram", kata Malaikat pertama.

"Ya, kecuali dia pergi ke pasar dan meminta izin dari tuan punya tamar untuk menghalalkannya", jawab Malaikat kedua.

Terus tanpa berlengah pemuda tersebut pergi semula ke pasar untuk meminta halal sebiji tamar.

"Ooh maafkan saya. Saya hanya penjual buah tamar ini. Kalau tuan hendak berjumpa dengan tuan punya ladang tamar, tuan pergilah ke hujung kampung. Di situ rumahnya". Kata peniaga itu.

Berjalanlah pemuda itu ke rumah tuan punya ladang demi meminta izin sebiji tamar.

"Ya saya tuan punya ladang tamar itu tetapi hanyalah salah seorang darinya. Ladang kami dimiliki oleh tujuh orang adik beradik. Saya tak keberatan untuk menghalalkannya tetapi bagaimana dengan adik beradik saya yang lain?" kata tuan punya ladang.

Setelah memberitahu di mana adik beradiknya tinggal, mengembaralah si pemuda warak menuju dari rumah ke rumah yang empunya ladang. Alhamdulillah, kesemua mereka menghalalkan sebiji tamar yang telah dengan tidak sengaja dimakan olehnya.

Malamnya selesai solat, pemuda itu terdengar suara Malaikat lagi, "Alhamdulillah, Allah telah terima taubatmu dan segala amalanmu telah dihitung kembali tanpa dikurangi sedikitpun".
"Kepada semua yang hadir, saya pasti kamu sudah lebih menyedari yang mana patut anda semua makan. Tinggalkanlah pisang kerana haramnya jelas dan makanlah babi itu kerana keharusannya lebih diutamakan di waktu itu".
"Jadi berhati-hatilah dengan apa yang kita makan. Yang haram tak semestinya babi dan arak sahaja. Makanan tanpa keizinan juga mempunyai risiko untuk jadi haram selagi mana tidak dihalalkan oleh tuan yang punya".
"Itu kisah pemuda warak. Bagaimana dengan kisah kita yang banyak sangat alasan dan muslihat bagi menghalalkan apa yang diambil walau tanpa kebenaran".

"Ok nampaknya semua dah kembali segar, boleh kita mulakan kembali modul yang seterusnya?"

Sesi 'blood circulation' sebentar tadi meninggalkan persoalan dalam minda mereka. Apa status makanan yang dimakan bila bekerja di bahagian dapur penyajian?

 

Thursday 21 February 2013

Analogi Alam

Cuba lihat pemotong rumput menjalankan tugasnya. Mereka memesin rumput dan lalang seperti yang diarahkan oleh majikan. Lalang yang dipotong tak habis, permukaannya masih hijau dan segar. Memang itu yang dimahu. Selang beberapa minggu rumput yang cantik dan rata itu mula panjang kembali dan meliar. Dipotong lagi agar kelihatan rata dan menawan...tumbuh lagi, potong lagi, lagi dan lagi. Di mana sudahnya?



Ya...itu kisah rumput dan lalang, bukan cerita hati dan perasaan. Hukum alam menetapkan rumput akan tumbuh panjang jika tidak dipotong. Semak samun bakal menjadi belukar tebal jika tiada yang ambil peduli. Belukar pula berubah penampilannya kepada hutan belantara yang penuh dengan alam purba tanpa undang-undang...alam mergastua.
Itu analogi (kiasan). Jika kisah di atas dianalogikan kepada hati...semak samun dan belantara itu dikiaskan sebagai hati yang sarat dengan noda dan dosa. Cahaya matahari tak mampu menembusi tebalnya hutan itu. Hidayah akan terpantul oleh saratnya dosa dalam jiwa. 
Ya, analogi yang dimulakan dengan amat tersusun di dalam sumber Nas. Banyak perkara yang disebut di dalam al Quran dan Hadith yang diterjemahkan sebagai kiasan...tidak menjurus terus kepada subjek yang ingin disampaikan. Begitu berhemah Allah mendidik insan dengan pendekatan itu.

'Pokok' contohnya...manusia yang baik dan terpuji digambarkan sebagai sebatang pokok yang mempunyai akar yang kuat, batang yang tegap berdiri, daun yang lebat dan menghijau dan mengeluarkan buah yang enak rasanya. Makhluk lain juga senang untuk tumpang berteduh di bawah pokok yang rimbun itu.

Burung pula diceritakan mempunyai sifat tawakal yang tinggi kepada Rabnya. Berpagi keluar dengan perut yang kosong dan balik petang kekenyangan.

Semut mempunyai cerita yang hebat di zaman Nabi Sulaiman sehingga ulama mentafsirkan semut sebagai mempunyai komuniti dan taraf sosial yang hebat sesama mereka yang boleh manusia jadikan pengajaran. Mempunyai permaisuri, pengawal yang mengelilinginya, pekerja yang sentiasa sibuk menjaga telur-telur, askar-askar yang sanggup mati mempertahankan kota yang dibina. Juga mereka mempunyai jalinan infrastruktur yang hebat di bawah tanah!

Air...tidak bertakung di atas sebaliknya takungannya berada di kaki puncak yang rendah tempatnya. Dianalogikan kepada mereka yang menuntut ilmu. Ilmu dipelajari dengan rasa rendah diri dan tawaduk dan meletakkan guru di tempat teratas. Takungan ilmu berada di bawah, baharulah ilmu itu akan dapat diserap sebaik mungkin.
Itulah alam yang dekat kehidupan dengan manusia. Tapi berapa ramai yang celik mata memerhati alam yang sarat dengan pengajaran dan iktibar. Imam al Shafie pernah mengatakan bahawa beliau mempunyai ribuan guru yang mengajarnya tentang pelbagai ilmu. Ya...sebahagian gurunya datang dari alam itu sendiri.
Kehidupan manusia sepatutnya dikaitkan dengan alam ini. Kita belajar sains, cuba lihat pokok yang di posisikan di dalam kotak yang ditebuk lubang sebesar bola hoki di kiri atau kanannya. Ke mana arah pucuknya selepas beberapa hari? Hukum alam menentukan pucuk pokok akan menuju ke arah lubang untuk mencari cahaya matahari kerana di situ terletaknya sumber kehidupan.

Analoginya...manusia perlu cahaya, bukan setakat cahaya matahari tetapi cahaya yang menyinari hati agar sifat mahmudah mendominasi diri. Pokok yang tidak berakal mencari cahaya...mana mungkin manusia pula menuju kegelapan? Sepatutnya manusia berusaha seperti pokok untuk mencari ilmu cahaya bagi mempertingkatkan amalan agar diri tidak terbabas jauh.

Di mana bermula cahaya itu? Datangnya dari solat yang terkandung dalam Rukun Islam. Itu cahaya wajib dan asas. Amalan lain tertolak sekiranya kita mengabaikan solat. Allah tahu sekiranya solat diletakkan hukum sebagai sunat atau harus, maka sudah tentu tidak ramai yang dapat mengecapi cahaya hati kerana "bukan satu keperluan", kata manusia. Bukankah nanti dikata Allah zalim menghukum manusia atas perkara yang tidak diwajibkan. Maka memang adil Allah meletakkan wajib solat kerana di situ manusia akan dilindungi dari siksa neraka.

Allah paksa kita untuk menggapai cahaya yang amat berharga itu, sehingga ke tahap solat hanya dengan isyarat mata bagi yang kronik keadaannya! Dengan solat, hati akan berperang sekiranya kita terlajak melakukan maksiat. Dengan solat, hati akan terasa puas bilamana kita mampu berbuat kebaikan walau tiada mata yang melihat. Juga dengan solat yang asas itu, sedikit demi sedikit hati akan terpaut untuk menambah amalan lain.
Solat satu-satunya syariat yang diturunkan tidak melalui perantaraan Malaikat Jibrail. Nabi Muhammad SAW diangkat naik ke langit untuk menerima hadiah itu. Mengapa? Kerana kepentingan solat melebihi yang lain! Allah beranalogi lagi tetapi kita masih lagi tiada sinergi untuk melaksanakannya. HEBATNYA RASA DIRI BILA MELAWAN ARAHAN ALLAH YE!!!
Lantaran itu, jangan hairan jika hidup kita seperti hidup-hidupan...tidak seperti 'manusia', lebih kepada kehidupan alam yang tak dibekal akal untuk berfikir. Kita rasa hebat bilamana dapat membentuk haluan sendiri. Kita rasa kuat dengan hadirnya ramai rakan dan kenalan juga 'networking' di sekeliling. Kita lupa asal-usul diri dari setitis air mani tanpa harga, tanpa harta, tanpa akal, tanpa pancaindera, tanpa segala-galanya!

Lebih teruja lagi bilamana kita tak solat tapi nampak kehidupan mewah, sihat walafiat, berjawatan tinggi dan berpengaruh. Itu lebih bahaya sebenarnya kerana apa yang kita sangka rahmat itu sebenarnya 'istidraj'. Allah tak sudi mendengar permohonannya lantaran itu diberi segala tanpa diminta...dalam amarahNYA!. Hanyutlah manusia, terlekalah dia dengan dunia. Tidak sekelumit timbul rasa bersalah mahupun menyesal..HEBAT!!! 

Tetapi itu bukan akhiran hidup. Kita yang diberi hidayah jangan sombong dengan menebar kutukan dan kejian terhadap mereka yang tersasar itu. Hidayah milik Allah, milik manusia hanyalah usaha tanpa jemu ke arah kebaikan. Mana tahu berkat usaha kecil kita, mereka yang di luar terbuka hatinya untuk bertaubat. Bukankah itu lebih baik dan berhemah dari menuding jari ke sana ke mari.

Bagaimana caranya? Jangan lalang dipotong hanya di permukaannya sahaja. Cari akar umbinya dan buang, ganti dengan tanaman yang baru yang lebih segar dan cantik warnanya. Ya...banyak maksiat berlaku berpunca dari meninggalkan solat...akarnya di situ. Gantikan dirinya dengan permulaan solat...jangan pula disuruh zikir panjang dan wajib ke surau. Mulakan segalanya di rumah...di depan mata, di sisi telinga. Ajak suami untuk sama berjemaah. Ajak isteri untuk mengikuti di belakang. Jangan dipanjangkan wirid mahupun doa...buat seringkas mungkin...biar dia rasa selesa dan serasa mudah untuk dipraktikkan.

Jangan ditakut-takutkan mereka dengan siksa neraka mahupun hukuman akhirat (buat permulaan). Sentuh hati mereka...cari di mana letaknya kelembutan hati itu. Masukkan cerita asal genetik..ibu, ayah, anak dan isteri. Ceritakan bagaimana anda yang 'baik' bermula dengan banyak kisah-kisah hitam dulunya. Ceritakan bagaimana anda mampu berubah kerana tak sanggup mengenangkan ibu dan ayah di pusara menagih-nagih sekelumit perhatian dan sedekah fatihah dari anak-anak yang hidup. Begitu juga yang kita harapkan dari anak-anak kita kelak.

Gunakan sinergi 'naluri' untuk bisikan-bisikan keramat agar hidayah Allah sampai kepadanya. Doa yang terlebih mustajab bilamana kita mendoakan kebaikan seseorang tanpa pengetahuan mereka. Jangan sesekali berputus harap kerana itu datangnya dari bisikan syaitan. Kita urus tadbir, biar Allah tentukan takdir.
Bagaimana dengan rumah kita? Gapailah perhatian Malaikat untuk memasuki setiap inci ruang rumah kerana di situlah letaknya 'sakinah' dan 'mawaddah'. Pernah tak di rumah, isteri menghidangkan makanan yang biasa-biasa sahaja tetapi lazat dan kenyangnya terasa puas. Bagaimana pula dengan gaji yang tak seberapa tetapi terasa cukup serba serbi keperluan di rumah. Apa pula jika kita tak sabar-sabar nak pulang ke rumah sehabis tugasan di pejabat? Itulah bahagian Malaikat rahmat yang selalu datang menziarahi rumah kita. Berkatnya tak nampak tapi boleh dirasa!
Apa yang menyekat pergerakan Malaikat sebaliknya menggamit si laknatullah untuk mendiami rumah kita? Bilamana kita tidak mengamalkan segala suruhan wajib dan membawa masuk segala yang dinamakan maksiat menurut hukum syara', syaitanlah yang bakal menghuni bersama kita.

Akar umbi telah dikenalpasti dan dibuang. Bila tumbuh tanaman baru, bajai dan semailah...jangan dibiar lalang sekeliling mengganggu. Hendak mengamalkan kebaikan bukan mudah, banyak kerenahnya. Pokok buah-buahan takkan membesar dan mengeluarkan hasil jika permulaan anak pokok itu tidak dipagar, dibaja dan disiram.

Itulah alam... sarat cerita, banyak pengajarannya. Tetapi alam tiada tanggungjawab yang harus dipikul. Matinya, habislah kisah. Mati manusia? Alam lain yang sedia menunggu!!!



Monday 18 February 2013

Naluri Suara Bisu

Pernah kalian semua menonton rancangan National Geographic ataupun Animal Planet? Itu cerita alam, kisah tulen tanpa lakonan. Segalanya berlaku atas arahan naluri haiwan yang pentingkan 'survival'. Siapa kuat dialah raja, yang lemah menjadi hamba...silap-silap mati dikerjakan yang kuat.

Alam sebenarnya guru kita, sistem ekologi yang berlaku menunjukkan alam sedang mendidik kita untuk menyeimbangkannya. Jika tidak, kita sendiri yang bakal menerima padahnya.

Satu lagi kisah alam...Ibu singa yang menyusukan anak-anaknya perlukan makanan agar bekalan susu mencukupi untuk 'survival' keluarga mereka. Bila anak-anak sudah sedikit membesar mereka perlu memakan makanan yang bersifat kenyal iaitu daging. Dalam memulakan perburuan, ibu singa akan meninggalkan anak-anaknya di jerumun. Anak-anak singa menunggu dan melihat dari jauh pergerakan ibunya. Apa komunikasi yang digunakan oleh ibu singa agar anak-anak tidak mengekorinya? Tiada suara, tiada perbualan juga tiada renungan mata...masing-masing ibu dan anak faham. itulah yang dinamakan 'hidayah naluri'.

Penyu akan mendarat di pantai untuk melahirkan zuriat. Selepas menimbus telur-telurnya dengan pasir, siibu akan meneruskan pengembaraannya dan akan kembali ke pantai yang sama di tahun-tahun berikutnya untuk bertelur lagi. Apabila telur menetas, anak-anak penyu akan berduyun-duyun ke arah pantai untuk meneruskan episod hidup mereka. Siapa yang mengarahkan atau mengajar anak-anak penyu untuk ke laut tidak ke darat? Ya...'hidayah naluri' dari ibu penyu telah sampai kepada mereka untuk terus menuju ke laut.


Aku juga pernah memerhati lakonan alam kucing. Memang rutin untuk aku membuang sampah di sekitar jam 10 malam, akan tercegatlah seekor kucing untuk meminta sisa makanan. Aku mengeluarkan tulang-tulang ayam mahupun ikan dan kusua kepadanya. Selepas beberapa minit menjamah, kucing tersebut menggonggong tulang ayam dan dibawa ke lokasi lain. "Aik? ke mana nak dibawa tulang tu?' Aku tertanya sendirian. Kucing hilang dari pandanganku.

Malam esoknya aku berhasrat untuk mengekori kucing tersebut. Tiba malam, seperti biasa kucing putih itu telah bersedia menanti habuan. Kuberi dan memerhati dari jauh gelagatnya. Ya...seperti biasa dia menggonggong tulang ke arah lain. Haaa...rupa-rupanya tiga ekor anak kucing yang comel-comel sedang menunggu hidangan makanan yang dibawa oleh ibu kucing tersebut. Mengapa anak-anak kucing tersebut tidak mengekori sahaja ibunya? Betullah tu...'hidayah naluri' siibu yang memberi arahan agar anak-anak tunggu sahaja di satu tempat kerana keadaan sekitar yang belum selamat untuk usia yang sekecil itu.


Menurut Kamus Dewan edisi keempat, 'naluri' bermaksud "desakan hati untuk melaksanakan sesuatu, tabiat semulajadi". Setiap makhluk yang hidup mempunyai naluri dan itu membuatkan hidup dapat diteruskan. Naluri hati yang mendesak untuk mencari pekerjaan demi kelangsungan hidup. Naluri hati yang mendesak untuk menyelesaikan masalah agar damai dapat dirasa. Naluri hati yang mendesak untuk meluahrasa demi mereka tahu apa yang tersirat.

Naluri juga berperanan untuk berkata-kata dalam diam. Satu perbualan antara diri sendiri yang difahami sebagai 'monolog'. Setiap dari kita pernah bermonolog dan kekadang berlaku soaljawab dalam diri. Kita bertanya juga kita yang menjawab. Tetapi jangan salah faham. Monolog bukanlah halusinasi yang berpunca dari gangguan mental. Kita hanya berkata-kata dalam diri untuk sebuah kepastian.

Haaa...ramai tak perasan bahawa naluri bisu kita mampu menerobos hati dan pemikiran insan lain. Pernah aku mengikuti rancangan Dr Fadzilah Kamsah, katanya dia sedang memerhati anak-anaknya sedang bermain di ruang tamu, Habis segala permainan bersepah. Diambil kesempatan itu untuk membuat sedikit kajian. Beliau bermonolog sendirian, "Anak-anak, kalau kamu semua kemas permainan tu nanti ayah belanja aiskrim", sambil diperhatikannya geraklaku anak-anak dari ruang tamu.

Selang beberapa minit, anak-anaknya menghampiri dan berkata, "Ayah janji tau lepas kitorang kemas barang-barang ni, nanti ayah belikan aiskrim ye".
"Adumak terperanjat betul saya dibuatnya kerana mereka tahu apa yang saya suarakan dalam diam", kata Dato' menceritakan pengalaman kajiannya terhadap subjek 'naluri'.

Cerita lain pula, sewaktu remaja aku telah menghabiskan pembelajaranku di sekolah berasrama. Biasalah kalau duduk asrama, berbagai tingkahlaku yang dipamer depan mata...samada kita terpengaruh atau kita yang mempengaruhi. Alhamdulillah aku taklah terpengaruh sangat dengan gelagat-geagat yang tak elok. Ramai yang merokok tetapi aku tolak ajakan mereka. Kedapatan yang ponteng sekolah dan menyorok di asrama, aku tak pernah mengadu tetapi aku jauhkan diri dari mereka. Ada juga yang curi-curi keluar malam ke pekan, aku tak mengikut. Aku rasa itulah diri aku.

20 tahun berlalu. Bila aku makin dewasa dan mula mencari-cari ilmu, berlaku satu perkara yang menyedarkanku tentang ilmu 'naluri' ini iaitu perbualan dalam diam tetapi mesejnya sampai kepada yang dituju.

Suatu hari aku balik ke kampung dan berbual-bual kosong dengan ibu juga menceritakan pengalamanku di asrama. Subhanallah...terlopong mulutku mendengar kata-kata ibu yang selama ini menjadi rahsia. Kata ibu, acapkali aku hendak balik ke asrama, ibu akan buang kerisauannya dan berkata-kata dalam hati. Semua yang ibu ucapkan berupa perkara yang baik-baik tentang diriku dan ibu percaya aku boleh melawan cabaran dunia luar dan boleh membentuk jatidiri yang kuat.

Rupa-rupanya prinsip dan jatidiri yang menolak berbagai perkara negatif bukan tulen datang dari diriku sendiri tetapi telah dibekalkan oleh ibuku!!! Monolog nalurinya sampai ke lubuk hati dan seterusnya membentuk siapa diri aku!!! Masyaallah hebatnya kuasaMu ya Allah!!!
Mataku bergenang...itulah ibu, yang nampak luaran tidak berilmu, tak belajar tinggi, kekadang nampak sepertinya orang gaji di dapur yang terbongkok-bongkok menumbuk sambal kesukaan anak-anak. Naluri bisu itu yang meng 'orang' kan aku sebenarnya!!!

Tetapi kuasa hebat naluri itu sekarang telah diterjemahkan kepada ilmu mantik iaitu hubungan tanpa wayar bersama telefon bimbit mahupun 'wifi'.

Walau sejauh mana hebatnya alat hubungan yang dicipta sekarang, ia tidak boleh menandingi naluri bisu itu. Jika doa itu perlu lafaz, perutusan naluri hanya perlu senyum dan biarkan hati yang berkata-kata untuk kita sampaikan mesejnya kepada sesiapa jua terutama kepada anak-anak yang jauh di mata.


Tak perlu memikir-mikir perkara yang buruk mahupun berasa risau tak keruan. Bisikkan sahaja pada naluri dan biar Allah uruskan mesejnya kepada yang dituju. Insyaallah, hidup akan menjadi lebih aman dan ceria kerana naluri bisu itu adalah 'doa mustajab' tanpa ucapan. Sedang anak dibuai mimpi juga boleh kita sampaikan naluri bisu itu...pandang wajahnya dan bisikkan yang baik-baik dalam hati, Insyaallah mesej itu akan diprogramkan oleh mindanya semalaman dan dipraktikkan di sepanjang hidup.

Habis tu, bagaimana dengan mereka yang liar dan selalu menyusahkan orang? Ibu mereka tak pernah berdoa atau berbisik yang baik-baik pada anak-anak mereka? Haissyy, janganlah berkata begitu, ibu mana yang tak sayangkan anak. Semua ibu pasti ada bisikan yang baik-baik untuk anak mereka.

Cuma mungkin hati kita yang kabur mahupun gelap untuk menerima mesej ikhlas tanpa suara itu. Ilmu itu cahaya, dosa itu kegelapan. Silap kita, bukan silap 'naluri' itu. Bersihkan hati dan jiwa jika kita ingin mendengar mesej itu...'Naluri Suara Bisu'

Sunday 17 February 2013

Sehangat Asmara


Sehangat Asmara...sebuah rancangan Astro yang menampilkan Rita Rudani dan Adi Putra sebagai pelakon utama. Berkebetulan pula aku sedang menikmati juadah makan malam maka kukerling-kerling juga sudahnya siri itu.

Mereka melanjutkan pengajian di Australia dan takdir menemukan mereka berdua di sana. Tak sudi untukku bercerita panjang mengenainya namun ada satu babak menarik yang ingin kukongsi.

Hubungan mereka berdua makin mesra dan berlaku suatu ketika Rita ingin mencium pipi Adi Putra. Silelaki mengelak dan tak suka dengan perbuatan Rita itu. Oohh...aku suka saat itu bilamana heronya yang nampak biasa-biasa tetapi berprinsip orangnya.

"Ehh apa ni, I tak suka you buat macam ni tau. Kita orang Melayu dan Islam kena jaga adab dan batasan. Lagi sekali you buat, I tak nak jumpa you lagi". Begitulah lebih kurang dailog yang sempat kurakam. Haaaa...sehabis makan aku teruskan menonton atas faktor tarikan pemuda Melayu contoh yang boleh dijadikan ikutan para remaja.

Kusangka sinar cahaya syara' berlarutan, rupanya dosa mengundang di pertengahan jalan. Adegan seterusnya mereka berjalan berpegangan tangan dan berpelukan. Terdapat juga babak mereka menilik nasib dengan memegang telapak tangan masing-masing.

Aku jadi kaget dan terkesima juga takut. Takutku bersebab...ini cerita remaja, bagi remaja yang kurang pendedahan agama akan kagum dengan pegangan agama si Hero. Haram cium pipi tetapi Halal berpegangan tangan dan berpelukan. Keliru mereka jadinya!!! Aaahh...mengapa harus diwujudkan watak malaikat dan iblis dalam satu jasad?

Kutinggalkan rancangan itu, tiada beza dengan yang lain malah lebih terbabas kerana boleh mengelirukan. Teringat aku filem Indonesia 'Laskar Pelangi' yang sarat dengan mesej Islam. Monologku tak berkesudahan mencari di mana silap...Islam versi apa yang ingin pengarah tonjolkan?

Saturday 16 February 2013

Berdosanya AKU

Bagi menceriakan permulaan hariku dalam perjalanan menuju ke pejabat, aku sering memberi tumpuan kepada radio IKIM dalam slot 'Motivasi Pagi' jam 7.30 pagi. Berbagai kisah menarik yang didendangkan oleh para penceramah. Tertarikku dengan riwayat yang diceritakan oleh Dr Jamnul Mulkan hari itu. Betapa kasih sayang dan keprihatinan kita sudah semakin terhakis apabila menyentuh bab 'hablumminannas'. Penceramah agak tidak dapat menahan sedih, dapat ku telah dari getar suaranya. Kisah bermula...

Di akhirat, seorang hamba ini sedang melalui proses pengadilan dari Allah SWT. Dia banyak dosa, pelaku maksiat dan dari congakan sudah boleh dikira dirinya bakal dihumban ke neraka. Dalam timbunan dosa yang tak terkira itu terdapat hanya 1 kebaikan yang sempat dilakukannya. Proses timbangan tetap berjalan atas keadilanNya dan ternyata kebaikan yang terpencil itu gagal mengubah nasib malangnya. 

Dia bersuara, "Ya Allah, aku bakal ditempatkan di nerakaMu. Oleh itu, kebaikanku yang satu itu berilah kepada mereka yang memerlukannya. Mana tahu itu boleh membantunya atas neraca timbangan". Allah terima cadangannya dan menunggu perbicaraan hamba yang lain pula.

Giliran seterusnya, dia pelaku maksiat dan di waktu yang sama tak lupa beramal. Atas desakan nafsu, kerap dia tertewas dan tenggelam dalam kemaksiatan. Apabila ditimbang amalannya, dosa dan kebaikan hampir sama banyak. Satu kebaikan sahaja sudah melayakkan dirinya untuk menjadi tetamu syurga. 

Dia bernasib baik kerana 1 kebaikan hamba pertama tadi telah diperuntukkan buatnya maka selayaklah syurga menanti kehadirannya. Tiba di ambang syurga, hamba itu berhenti dan enggan masuk. Alasannya, "Ya Allah, aku sebenarnya ahli neraka tetapi kebaikan seseorang itu yang membuatkan takdir itu berubah. Oleh itu ya Allah kupohon kepadamu agar kau ampunkan segala dosa-dosanya kerana sekelumit kebaikannya itu memberi makna yang besar kepada insan lain sehingga melayakkan aku memasuki syurgaMu. Aku takkan memasuki syurga ini jika tidak bersamanya". Sihamba meminta simpati Allah.

Dengan ikhsan dan rahmatNya, hamba pertama tadi telah diampunkan segala dosanya dan mereka ditakdirkan duduk berjiran di dalam syurga!

Rahmat Allah mengatasi murkaNya. Jangan memandang remeh kebaikan yang sekelumit cuma kerana takdir Allah bisa mengatasi tadbir manusia.

- siapa kita yang sering menghukum orang yang jahil
- siapa kita yang kerap menghina pelaku maksiat
- siapa kita yang tegar berbalah sesama Muslim
- siapa kita yang menjadikan politik sebagai medan serangan peribadi

...kerana pahala menggunung bisa lebur dengan kita meminggirkan rasa kasih sesama makhluk.

Aku sendiri berpengalaman menyaksikan nasib seseorang yang di luar jangkaan sama sekali. Berlaku lebih kurang 12 tahun yang lalu, seorang pakcik yang hampir kepada usia pencen bertugas di bahagian produksi. Dia berpenampilan biasa, tiada ciri-ciri alim dan jarang sangat kunampak kelibatnya di surau. Bercakap seolah menjerit dan tergelak tak menahan suara...aku tak berkenan! 

Dua tahun sebelum bersara, dia bakal menunaikan haji. Baharulah aku lihat ketayap putih melekat di kepala dan pakcik itu mula menghadiri solat berjemaah di surau. Berlepaslah pakcik itu ke tanah suci. Selang seminggu kami mendapat berita pakcik telah dijemput olehNya dan mayatnya disemadikan di perkuburan Baqi'...Perkuburan Ummul Mukminin Saidatina 'Aisyah dan para syuhada di Madinah. Tempat bersemadinya roh-roh yang menanti syurga di akhirat..Subhanallah!!!


Peristiwa itu benar-benar menempelak prejudisku, insafku bagai dunia nak kiamat...malu pada diri sendiri, malu pada Allah dan malu dengan 'arwah'.


Ya...Rahmat Allah mengatasi murkaNya.

Thursday 14 February 2013

Bila Penaku Mula Menari

Bermacam bentuk cara apabila kita ingin dunia tahu apa yang kita rasa. Kita bercerita,bersajak, bernyanyi-nyanyi, membisu, mengekspresikan wajah juga menulis. Ia bergantung kepada keselesaan kita dengan anugerah bakat yang diberi olehNYA.



Aku kurang bercerita kerana aku lebih cenderung mendengar cerita dunia sekitar. 'Boss' ku pernah menyarankan aku untuk berkongsi ilmu dengan kakitangan lain. Maksudnya aku digalakkan untuk bercerita walau tanpa undangan. Peliklah pula rasanya untuk kategori aku yang lebih suka mendengar ini.
"Nak suruh aku bercerita? Apa yang mereka nak tahu? Akupun tak tahu apa yang mereka nak tahu. Aku lebih selesa bercerita apabila pertanyaan menyapa. Bercerita memanglah sedap tapi adakah ia menarik minat pendengar? Jadilah pula aku 'syok' sendiri bercerita nanti. Aahh...tak mampu kusambut saranan boss".
Tetapi aku mempunyai minat...ya, aku minat membaca dan menulis. Bahan bacaan? Lebih kepada yang berunsur keagamaan kerana sedar yang aku kurang serba serbi mengenainya. 

Teringat pula aku kisah sewaktu zaman kanak-kanak. Bila cuti sekolah, aku sering dihantar ke kampung bersama adik beradik yang lain. Atukku rajin ke surau. Asal atuk nak ke surau sahaja aku pasti mengekorinya. Di surau itu pula ada seorang alim yang mengimarahkannya dikenali sebagai Lebai Akob. Tidur baringnya di situ kerana rumahnya hanya bersebelahan dengan surau itu. Bila ke sana, berkali-kali juga Lebai Akob berdoa dan menghembus ke ubun-ubun kepalaku. Tak tahu pula aku ayat apa yang dibacanya. Agaknya disitu jadilah aku seorang 'orang' yang suka menggali ilmu agama...hahaaaa...Wallahua'lam.

Dari banyak membaca, timbul pula minat untuk menulis. Kalau aku rasa tak puashati mahupun teruja dengan sesuatu perkara...menari-narilah pena itu di atas kertas...haaa..puas rasanya kerana rasa itu kuluahkan di atas kertas bisu. Sebenarnya apa yang kutulis, kutujukan kepada diri sendiri kerana aku yakin dengan pendekatan 'untuk mengubah dunia, ubahlah diri sendiri dahulu'.

Pernah aku mendaftarkan diri sebagai pelajar di Darul Syifa' berniat untuk mendekatkan diri dengan Ulama', Dato Haron Din. Pengajian selama setahun itu benar-benar memberi kesan kepada jiwa dan mindaku. Jiwaku mula ber 'evolusi', mindaku bagai tidak bertepi. Ilmu beliau yang luas bak saujana mata memandang, tidak menampakkan lagak sombong beliau dalam mengajar dan mendidik kami. Suasana tenang penuh berhemah...situasi yang benar-benar membentuk jiwa dan mindaku untuk bersedia menjadi seorang 'orang' yang boleh memberi manfaat kepada yang lain.

Di Darul Syifa', kami belajar rawatan alternatif Islam bersumber al Quran, al Hadis juga amalan petua yang tidak melanggar syara'. Dunia mistik dan selok beloknya menjadi sahabat pelajar. Alam dan flora juga menjadi sebahagian dari teman karib kami. Pokok-pokok dan segala jenis daun mempunyai rohnya sendiri. Tetapi aku tidak cenderung untuk merawat orang-orang yang dihampiri makhluk yang terhijab, cuma aku lebih berpendirian utuk merawat hatiku sendiri agar lebih lembut dan berhemah dalam mempersembahkan segala amalan yang dituntut...itu sahaja.

Ilmuku yang sekelumit cuma, memujuk-mujuk aku agar mula menulis. Dalam bertatih menulis, rupa-rupanya ia menganugerahkan aku sesuatu...kepuasan!!! Ya...Kepuasan dalam menyebarluas kebaikan. Kepuasan yang juga telah mempengaruhi kehidupanku untuk mendekatkan diri dengan alam. Alam banyak ceritanya juga banyak 'ibrah'nya. Lantas jari-jariku mula mendapat rentak. Aku terus menulis...

Tetapi aku perlu berhati-hati dengan tarian penaku di atas kertas mahupun di alam maya kerana ia bersifat kekal. Jika baik dan tidak menyinggung...Insyaallah ia bakal menjadi penolongku di akhirat. Bagaimana pula jika banyak yang tersentuh dan terluka? Itu yang membuatkan aku mengulang baca berkali-kali sebelum statusnya berubah kepada 'sent'. 
Sahabat...dengan seizinNYA, penaku akan terus menari mengikut rentak hati. Jika ada ayat-ayatku yang terlepas pandang membuat kalian rasa tidak selesa, berbanyak maaf kupohon dan aku bersedia mewartakan maafku ke seantero dunia bagi menebus malumu!

BILA PENAKU MULA MENARI...

Wednesday 13 February 2013

Ini Bumi Allah

Kembara bagi urusan dunia tidak pernah menggugurkan wajib solat. Solat subuh terpaksa kutunaikan di luar masjid yang berpasir dan berdebu kerana pintunya berkunci rapat. Tetapi itu bukan masalah bagiku...arah kiblat dan wuduk sahaja yang penting.

Kuterangkan kepada mereka..."the most important thing is kiblah direction and to make sure myself clean, if let say I bring along my compass..I can surely pray beside the road without troubling you all finding a mosque".

Dakwah kecil dariku betapa Islam itu mudah.

Hyderabad, India.


Travelog Mencari Arah


Dalam perjalanan pulang aku keletihan dan terlelap. Mereka mengejutkanku di hadapan
sebuah masjid..katanya "Time for prayer". 

Sebelum itu kami berbual dan mereka bertanyakan waktu-waktu solat. "In certain condition especially for traveller like me, I'm allowed to combine t
he afternoon and evening prayer and I am free to pray within that period. So if you confident that we can reach hotel before sunset, no need to transit just go direct to hotel".

Alhamdulillah..mereka meletak perkiraan tertinggi tentang keperluanku untuk solat tanpa dipaksa...waktu matahari terbenam semakin hampir. Allah gerakkan hati mereka yang bukan Islam utk mencari rumahNYA...untukku bersujud. Alhamdulillah.


Catatan dari Bangalore, India


Sehelai T shirt Putih dan Kemeja


Seusai tugas mereka menghantar aku balik ke hotel. Aku bergegas agar sempat untukku mengerjakan jamak takhir zohor dan asar. Pakaian rasmi yang melekat di badan semua kutanggalkan dan yang masih tinggal hanyalah t shirt putih dan seluar panjang.."aku masih dalam aurat yang sempurna" lintasan hatiku berbisik.

Kulaung iqamah agar mendapat pahala sunat. Hendak mengangkat takbir tiba-tiba hadir suara berbisi
k..."Di hadapan makhluk, kau begitu rapi berkemeja lengan panjang, bertali leher, memakai 'coat' dan berwangi-wangian. Tetapi apa keadaanmu di hadapan PENCIPTAMU? Kau bukan dalam keaadaan darurat.. situasimu amat selesa untuk kau menampilkan yang terbaik. Hilang sopanmu untuk mengadapNYA!!!

Astaghfirullah..Subhanallah..Allahu Akbar. Kucapai kembali kemeja dan mengenakan butang lengan panjang. ALLAHUAKBAR...aku mulakan takbiratulihram berbaur rasa malu dan insaf.


Alahai Sensitifnya...

"Eeee kalau saya terserempak dengan lori yang membawa khinzir, saya akan tahan nafas dan berhenti di tepi jalan takut terpercik kena badan...payah pula nak samak nanti", kata pemuda yang berulang-alik ke tempat kerja dengan menunggang motor.

"Saya berasa was-was bila bersalam dengan orang Cina. Ye la..dia orangkan makan babi. Nanti kena samaklah pulak tangan ni", peserta wanita itu pula bersuara.

"En Azizi, apa hukum kita pegi makan ke gerai atau restoran yang halal tetapi pengunjungnya ramai yang bukan Islam. Bekas pinggan mangkuk dan sudu garfu tu kan bercampur, mana ada samak..basuh macam biasa aje", lelaki alim itu bertanya.

"Encik nak tau, bila kakitangan mendapat berita yang Kafe kita mengambil pekerja India dan tugas dia untuk membancuh air, ramai yang loya tekak dan tak mau minum air kat Kafe tu, dia orang kata tak halal", kata salah seorang peserta.


Petikan di atas merupakan luahan rasa kakitangan dalam kelas latihan Halal yang kukendalikan. Nampak jelas bahawa rata-rata mereka menjadi terlalu sensitif dalam hal-hal yang tidak sepatutnya. Perlukah kita menjadi sensitif bila berhadapan dengan perkara-perkara begitu?

Rasa sensitif itu perlu sebenarnya tetapi mestilah berasas. Apa asasnya? Tentulah al Quran dan Sunnah. Islam yang mudah telah diharu-birukan oleh mereka yang jahil. Perkara yang tidak jelas di hadapan mata telah dihukum seolah benar-benar telah berlaku. Berbalik kepada konsep asas iaitu 'berhukum kepada perkara yang jelas'. Sekiranya masih dalam zon kabur, janganlah sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum...elok diperiksa dahulu kesahihannya.

"Tuan-tuan dan puan-puan, saya tak nafikan semangat Islam yang membara dalam diri anda semua...itu bagus tapi mesti kena pada tempatnya dan ada nas dan dalil yang menyokong", aku merangka hujah untuk menyedarkan mereka semua.

"Islam tak suruh kita berburuk sangka terhadap perkara yang di luar pandangan mata. Jikapun anda semua mula berasa ragu, tinggalkan sahaja. Tak perlu buat andaian kerana berburuk sangka itu adalah berdosa hukumnya".

"Yang sepatutnya kita ambil perhatian, adakah kerja kita amanah? Pukalkah waktu kerja kita yang telah dibayar itu? Layakkah tuntutan kerja lebih masa yang banyak berlaku lompang sana-sini?". 
"Tiada beza status haram babi dan gaji kita yang banyak bercampur keraguan itu...ianya tetap haram. Ini yang patut kita beri perhatian berbanding dengan apa yang anda ceritakan tadi".
"Satu lagi, kita terlebih bersemangat memanjangkan e mel berkenaan produk yang meragukan. Masih ingat lagi kes ubat gigi ternama yang didakwa mengandungi bahan haram yang terlarang? Beribu rantaian e mel mengembara di alam cyber atas dakwaan tanpa fakta. E mel tersebut memang benar tetapi hanya terpakai di negara barat sahaja yang produknya bukan untuk orang-orang Muslim. Tanpa dapat dikawal, e mel tersebut terlepas ke Malaysia. Dengan semangat Islam yang membara, beribu-ribu salinan e mel dikirim ke sahabat handai dan rakan taulan agar tidak membeli produk tersebut".

"Perniagaan syarikat tersebut terjejas atas kejahilan manusia yang tanpa usul periksa telah memboikot produk yang sebenarnya halal itu. Inilah sebenarnya dosa yang terpinggir atau mungkin tidak ramai yang menyedarinya. Menyebarkan sesuatu berita dengan tanpa usul periksa adalah berdosa...ini yang perlu kita rasa sensitif. Benarkah berita itu? Siapa yang menyebarkannya? Mungkin berita itu datangnya dari pesaing perniagaan yang ingin menjatuhkan sesama mereka...maka periksalah terlebih dahulu kesahihan berita yang sampai kepada kita".

Aku menutup cerita tadi dengan kesimpulan ringkas, "Abang-abang, adik-adik dan kakak-kakak semua. Islam takkan tersebar sekiranya kita terlalu sensitif dan berburuk sangka akan sesuatu perkara. Para alim ulama' dan pendakwah-pendakwah Islam telah mengembara demi menyebarkan amanah Allah dan Rasulnya ke serata pelusuk dunia. 

Mereka perlu makan dan minum. Bagaimana dengan status makanan sekiranya mereka sampai ke negara bukan Islam? Mereka tidak memberat-beratkan perkara ini demi untuk menunjukkan yang Islam itu mudah. Tentu sukar bagi kita semua yang terlalu sensitif. Jadi bagaimana Islam hendak tersebar? Bagaimana pula saya hendak menyebarkan ilmu Halal ke negara lain sekiranya saya bawa rasa sensitif bersama. Tidakkah ini mengundang susah kepada tuan rumah untuk meraikan saya?"

"Islam tidak mendera penganutnya dengan berlapar dalam keraguan. Sekiranya darurat mengambil tempat, Allah telah menukar status babi daripada 'haram' kepada 'harus' dengan tidak berlebihan memakannya...mudah bukan! Tetapi janganlah terlalu memudah-mudahkannya. Saya tak kata kita perlu makan babi atau haiwan yang tidak disembelih
apabila berada di perantauan. 

Tetapi jika tuan rumah ingin meraikan dan kita tiada pilihan, makanlah makanan yang tak perlu disembelih seperti makanan laut. Janganlah tanya pinggannya disamak atau tidak. Janganlah pertikaikan minyak masak jenis apa yang digunakannya. Jangan bertanya periuk belanga yang bercampur aduk bahannya di dapur". 

"Di negara luar, saya sendiri pernah makan satu meja dan mereka meminta kebenaran memesan arak untuk mereka minum...saya boleh terima keadaan itu hanya untuk menunjukkan bahawa Islam itu boleh didekati oleh sesiapa sahaja. Letaklah rasa sensitif itu pada tempat dan situasi yang betul...Insyaallah, Allah akan bantu kita dengan anugerah ilham yang baik-baik".

"Tetapi saya juga biasa bawa bekalan makanan dari Malaysia dan makan dalam bilik hotel bersendirian...sebab kadang-kadang Allah banyak beri notis ilham yang meragukan saya" tersengih-sengih mereka yang mendengarnya.

"Akhir kata dari saya..Ilmu itu liar sifatnya. Jika hendak ia melekat di hati kita maka amalkanlah ilmu itu. Insyaallah ilmu akan sentiasa bersama kita walau di mana kita jelajah". Wallahu Rasul A'lam.


Evolusikan Solatmu

Kata Ulama jika ingin berbicara dan mengadu dengan Allah..solatlah. Dalam solat mengandungi ayat-ayat pengaduan, pengakuan mahupun permohonan seorang hamba kepada Tuhannya. Bila berbicara dengan Allah haruslah dalam keadaan tenang,bersopan dan tidak tergesa-gesa.

Analoginya jika kita memohon sesuatu bantuan dan harus mengadap orang-orang besar, apa pendekatan yang kita gunakan? Minta dengan tergesa-gesa? Cakap dengan termengah-mengah? Ketepikan adab sopan? Tentu sekali tidak! Malah kita akan jadi manusia yang paling berhemah dan tertunduk-tunduk berbicara sopan agar pengaduan dan permohonan kita diluluskan.

Ini mesejku...

Kerap apabila aku pergi berjemaah dan Imam telah memulakan solatnya, mereka yang baru tiba dan masih di luar terkejar-kejar (ada yang benar-benar berlari) untuk tidak ketinggalan rakaat tersebut. Pada hemat mereka, cara itu betul atas kapasiti jemaah. Sebenarnya perbuatan itu dilarang oleh Baginda Rasulullah kerana akan menghilangkan khusyuk di dalam solat.

Berbalik kepada analogi tadi..jika kita adalah orang besar-besar dan berpangkat, adakah kita akan memberi perhatian kepada permohonan yang tergesa-gesa dan tidak beradab? Kita sendiri tahu jawapannya. Jadi, anda fikir adakah Allah akan memberi perhatian kepada solat yang termengah-mengah disebabkan larian atlet 100m tadi? Larian dan pengejaran anda adalah sia-sia..mungkin anda terlepas dari dosa kerana tidak meninggalkan solat tetapi anda tidak mungkin menggapai perhatian dan kasih Allah.

Betulkan keadaan itu..apabila Imam telah memulakan solat, anda masuk dan berjalan seperti biasa tanpa perlu berlari. Tambah mana rakaat yang tertinggal. Walaupun Imam telah duduk tahiyat akhir..lepaskanlah peluang berjemaah itu kerana larian 100m anda bakal menghilangkan terus pahala solat. Jangan lupa, peluang berjemaah masih ada..anda boleh melantik Imam atas makmum lain yang menyambung rakaat yang berbaki (masbuk).

Aku kerap solat di masjid Jamek Kampung Bharu, kelihatan perkara yang sama berlaku...lantas hatiku terpanggil untuk menulis. Evolusikan solatmu mengikut syariat bukan tabiat.



Monday 11 February 2013

BerSyukurlah!

Adakalanya nikmat yang kita kecapi hari ini adalah doa yang pernah kita panjatkan kepadaNYA bertahun-tahun dahulu dan kita hampir lupa tentang permintaan itu. Tetapi Allah tidak lupa dan diperkenankan doa kita bila tiba masanya..bersyukurlah.

Ada ketikanya bala yang menimpa adalah hasil dari kealpaan kita suatu ketika dahulu. Diberinya pembalasan demi menunaikan taubat kita..bersyukurlah!!!



Nilai Sebuah Integriti

Selepas menjamu selera di sebuah restoran lalu kuterus menuju ke kereta untuk beredar. Di belakang berlari-lari seorang remaja pelayan restoran mengejarku untuk dipulangkan baki bayaran 10sen. Sejujurnya..aku terkesima dengan fenomena itu. Yang terbayang di mata hanyalah ibubapanya yang berjaya menyerapmasuk sifat jujur dan amanah ke atas generasi pewarisnya. 

Bukan harga menjadi ukuran tetapi nilai sikapnya yang dipertaruhkan!!! JIWAKU TER EVOLUSI



Kau Cinta Allah?

Seseorang bertanyakan kepadaku (kukira lebih kepada provokasi) 

"Kau cinta isteri dan anak-anak?"
"YA" jawabku ringkas.
"Dengan sepenuh hati?" tanyanya lagi.
"YA, jawabku penuh yakin".
"Jadi, cintamu kepada Allah tidak total, telah kau bahagi-bahagikan kepada makhluk!", dia memulakan permainan yang dirancang.

"AKU CINTA ISTERI, ANAK-ANAK, KAUM KELUARGAKU JUGA SAHABAT-SAHABAT YANGG LAIN ATAS PERINTAHNYA, KERANA TERAMAT CINTA KEPADANYA MAKA AKU BERBUAT SEMUA ITU!!!"

Senyuman sinikal yang tadinya mula berbunga kulihat kelopaknya mula jatuh satu persatu. Terimakasih YA ALLAH atas ilham anugerahMU.. :)



What You Give You Get Back

Umur pakcik itu sekitar 50an. Dia menghadapi situasi kurang enak pabila menaiki kereta anak-anak untuk dibawa bersiar, situasi yang mencacatkan perjalanan untuk berhibur. Sikap anak-anaknya...Ya, mereka menjadi agresif bila sahaja mula memegang stering kereta. Pakcik itu terpaksa menahan sabar atas keceluparan anaknya sehingga menyebabkan dada berdegup kencang dan peluhnya mengalir walau kereta besar itu berhawa dingin.

Sifat tak sabar, menghambur kata-kata kesat terhadap pemandu lain, memarahi pejalan kaki. Pendekata apa sahaja yang menghalangi kelancaran perjalann mereka akan menjadi mangsa lidah tak bertulang anaknya.

Sebenarnya pakcik itu terlepas pandang akan sesuatu. Sesuatu yang telah diwariskan kepada anak-anaknya disepanjang 20 tahun dahulu...tanpa sedar, tanpa niat, tanpa terduga.

"Isssyyy motor ni, tak tau nak jalan tepi ke...menyusahkan orang betul, kang aku sodok kang"
"Laaa...jem la pulak, tension betul nak masuk KL. Tak habis-habis dengan jem, tak tau duduk rumah ke dorang ni semua?"
"Kereta ni tak tau nak ke tepi ke? Dah tau jalan 'slow', masuk le 'lane' kiri..tak faham undang-undang ke?"
"Bang, lampu kuning tu..laju le sikit, kang lampu merah kena berhenti lama".
"#%*?!..Mampus lagi bagus mat rempit tu..bawak motor tak ingat dunia!"

Ya..20 tahun lalu itulah perkataan yang sering diucap. Pakcik itu sedang mendidik anak-anaknya yang duduk di bahagian belakang kenderaan...mereka telah menyerapmasuk segala 'didikan' tak formal itu dan kesannya…telah diterjemahkan oleh anak-anaknya sekarang. WHAT YOU GIVE YOU GET BACK..



Kebenaran Yang Lemah

Kebaikan seharusnya diterjemahkan secara baik dan berhemah...bukan sindiran, tidak cemuhan apalagi kutukan. Kajian menunjukkan 'sikap' menyumbang 93% kejayaan berbanding ilmu, maklumat juga kemahiran.

Tuan guru, ustaz, penceramah, pensyarah..semua mereka menyampaikan ilmu yang baik dan bermanfaat. Tetapi sejauh mana ilmu itu diterima baik oleh masyarakat. Ini yang ingin kukongsi...

Aku sering bersolat Jumaat di masjid itu dan kenal semua AJK yang dilantik. Tetapi rasa kurang selesa sering menerjah dek perilaku seorang Imam ini. Menjadi kepantangan dia bila melihat jemaah tidur samada ketika tazkirah mahupun khutbah.

"Kalau rasa nak datang masjid untuk tidur..baik tak payah datang..tidur kat rumah lagi bagus".
"Kita kesian dengan orang-orang macam ni..macam mana nak dapat hidayah kalau datang masjid asyik nak tidur je".

Aku faham niat Imam itu..agar semua jemaah mendapat manfaat dari tazkirah dan khutbah yang disampaikan oleh Imam-imam jemputan. Tapi cuba fahamkan aku..ade ke 'nas' mengatakan orang-orang yang tidur itu tidak sah solat Jumaatnya atau tidak mendapat pahala Jumaat? Yang aku yakin hadis sahih yang bermaksud "Janganlah kamu berkata-kata walau dengan perkataan diam sekalipun...". 


Bahawa Allah tahu pasti ada jemaah yang tertidur di waktu itu, sebab itu tidak menjadi kesalahan jemaah 'tertidur' ketika Imam berkhutbah. Allah lebih mengetahui.
Aku lebih mengalu-alukan Imam itu buat kajian tentang cara penyampaian khutbah Imam-imam jemputan mahupun dari dirinya sendiri...aku pasti jawapannya ada disitu!!!

Kata Saidina Ali, perkara batil tetapi disampaikan dengan penuh kemas, menarik dan tersusun lebih berjaya dari sesuatu yang benar tetapi lemah cara pengendaliannya.

Imam itu banyak ilmunya tetapi kurang sensitif dengan persekitaran..maka tak hairanlah banyak suara kedengaran menolak 'sikap' nya.

JIWAku ber EVOLUSI sendiri mencari aura yang hilang.



Allah Tahu itu

Kita sombong, ego, tinggi diri..Allah tahu itu. Tetap DIA masih berhemah untuk tundukkan ego itu. Simboliknya di dalam solat..

Mengapa tidak DIA terus syariatkan memulakan solat dengan terus sujud..kepala yang teratas langsung menyembah bumi. Ya..Allah tahu itu..kerana ego kita amat tinggi.


Diarah kita berdiri tegak dahulu dan mengangkat kedua tangan tanda penyerahan diri. Sebelum sujud kita rukuk dahulu dan berdiri tegak kembali. Ya..Allah tahu itu.
.peringkat pertama penundukan ego kita sebelum kepala menyembah bumi.

Barulah kita sujud sekitar beberapa saat dan bangun duduk, sujud kembali dan duduk kembali...


Mengapa tidak berlama dalam sujud. Ya...Allah tahu itu..betapa keegoan seseorang harus ditundukkan dengan berperingkat sehingga hamba itu dengan rela mengakui yang dia harus sujud dalam tempoh lama kerana sedar DIA ADALAH HAMBA. Sehingga jadilah hamba itu mencari sunyi malam untuk rela bersujud...


Selain solat, pengharaman arak juga mengambilkira betapa minuman itu telah benar-benar sebati dengan kehidupan Arab Jahiliyah. Allah tahu itu...kerana itu DIA menjadikan pengharamannya dalam empat berperingkat. 

1. Allah turunkan ayat kesedaran betapa anggur itu lebih mendatangkan keuntungan dari menukarkannya kepada arak.
2. Arab jahiliyah mula bertanya kepada Rasulullah dan turun ayat menunjukkan arak itu terdapat padanya kebaikan juga kemudaratan, tetapi mudaratnya lebih ketara.
3. Allah melarang orang yang minum arak dan mabuk dari bersolat atas kesan arak yang
menghilangkan daya fikir yang normal.
4. Barulah Allah haramkan terus arak di peringkat ini.  

Jika Allah begitu sopan mendidik dan sabar dengan ego kita...apatah lagi kita sesama

makhluk. Bersabarlah dengan ego mereka kerana itu yang DiajarkanNYA..




Jangan Guna Nama Agama

"Kalau aku jadi polis tetap aku saman!" getus hatiku.

Penceramah itu menyelitkan ceritanya tatkala tazkirah sebelum solat Jumaat,

"Saya dah lambat, bawak kereta melebihi had laju sampai potong double line. Pastu kena tahan dengan polis".

"Polis memang nak saman tapi terus saya cantas, "Encik, saya nak pergi mengajar tapi dah lambat, tu yang bawak laju tu. Tapi kalau encik nak saman, boleh ke nak jawab kat akhirat nanti bila melambatkan lagi ustaz yan
g nak pergi mengajar ugama", berderai ketawa jemaah. Penceramah itu terlepas dari disaman.

Alahai...Islam pentingkan disiplin juga ketepatan masa. Kenapa masih ada orang-orang agama yang mempertaruhkan nama ISLAM atas kelemahan diri sendiri. Undang-undang atau takzir dicipta kerajaan untuk kebaikan dan kemaslahatan manusia. Memandu laju juga memotong garisan berkembar tetap salah di sisi ISLAM kerana boleh membahayakan nyawa orang lain...atas nama hablumminannas. Jangan guna nama agama untuk kepentingan-kepentingan tertentu.


Sekali lagi kutekankan..KALAU AKU JADI POLIS TETAP AKU SAMAN USTAZ ITU..melainkan jika dia mengaku salah dan merayu..tetapi JANGAN GUNA NAMA AGAMA





Tiada Yang Mustahil


"This uncle is miracle" tegas doktor India itu kepada pembantunya.

Izinkan aku berkongsi cerita...

Misiku selesai dan aku selamat tiba di KLIA. Ditakdir aku menaiki teksi yang mana pemandunya lingkungan umur 60 an sudah bergelar Haji. Biasanya dalam perjalanan pulang aku ingin berehat tanpa diganggu. Pakcik yang amat peramah itu pula tak henti-henti bercerita dan aku mengiyakan dengan acuh tak acuh.
Sehinggalah ke satu topik yang membuatkan aku menegakkan badan dan mendengar penuh khusyuk.

"Satu hari tu saya demam berbalik-balik dan tak kebah-kebah. Tiga empat klinik pergi semua tak dapat kesan saya sakit apa. Sampai ke klinik terakhir Doktor berkata, "Pakcik ni sakit jantung ni, takpe di klinik ni ada mesin jantung yang sama macam di IJN tu..saya nak periksa pakcik sekarang". Sehabis pemeriksaan Doktor itu nasihatkan saya terus pergi ke hospital pakar untuk rawatan segera "Pakcik dalam bahaya!!!"

Saya keluar dari klinik dan termangu-mangu "Apa yg bahayanya?". Tapi saya terus pergi hospital pakar Sunway kerana ada perlindungan insuran. Seusai pemeriksaan kardiologi dan ultra sound, Doktor berbangsa India itu tanya saya, "Uncle datang dengan siapa?" Jawab saya "sorang, saya drive sendiri". "WHAT!!!??? Uncle tau tak jantung uncle ada 6 saluran tersumbat. Biasa pesakit lain 2 sumbat sudah kena papah..itu Hani Mohsin hanya 1 sumbat sudah 'collapse' di LCCT!!" Doktor itu menjengilkan matanya. Tanpa bertangguh saya terus beritahu keluarga dan tandatangan surat persetujuan pembedahan. Alhamdulillah proses pembedahan berjalan lancar dan saya sihat sampai sekarang.

Apa rahsianya? Selepas pencen, setiap tahun sejak 2006 pakcik itu rajin ke tanah suci menunaikan umrah menggunakan tiket MAS anaknya. Salah satu umrahnya dilakukan di bulan Ramadhan dan 10 malam terakhir pakcik itu bermalam di serambi Mekah tak pulang ke hotel smata-mata untuk beramal. Logiknya di 10 malam terakhir mana mungkin pakcik itu boleh terlepas dari mendapat anugerah LAILATUL QADAR!!! Tetapi masih merendah diri apabila aku bertanya soalan itu, jawapannya "Tak tau la pakcik dapat ke tak dapat".

Ini ibrah cerita pakcik..sentiasa mencari redhaNYA. Peluang ke London, Paris, New York tak dihirau..hatinya terpaut ke tempat yang penuh berkah itu..setiap tahun. Benar janjiNYA, jika kita menjaga hak ALLAH dan mencari redhaNYA, pasti DIA akan memelihara hak kita. 


6 INJAP SALURAN JANTUNG TERSUMBAT masih gagah berpeluang mencari rawatan selesa. ALLAHUAKBAR!!!

"This uncle is miracle!!!" kata Doktor berbangsa India itu tetapi ALLAH yang mencipta keajaiban itu!!!

Aku lupa bertanya nama pakcik itu..smoga Allah sentiasa memeliharamu. "Pakcik, saya terkesan dengan cerita pakcik..terimakasih..Jazakallah"