Translate

Sunday, 5 July 2015

Jangan Benci Mendominasi Diri

Iklim politik di Malaysia semakin berliku, penuh onak, banyak ranjau dan serpihan kaca merata. Hendak melalui denai itu harus lebih berhati-hati takut tersadung kaki jatuh tersungkur diiringi gelak tawa keliling.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib sudah menjadi liabiliti kepada barisan kerajaan. Isu paling mantap yang menjadi lauk pauk pembangkang adalah 1MDB. Lebih parah berdarah dengan penangan Tun Mahathir yang mengisytiharkan tidak menyokong PM lagi.

Rentetan dari siri-siri serangan, wujud sekian banyak kata-kata celaan, caci-maki juga tonasi kesat lemparan rakyat kebanyakan. Penghinaan itu sering kulihat di ruangan komen akhbar-akhbar harian 'online' juga melalui 'website blogger'. Tak tergamak untuk aku sertakan ayat-ayat panahan petir dari mereka yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan.

Bukan setakat PM, barisan menteri juga menjadi mangsa lidah dan mata pena 'netters'. Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Seri Ahmad Shaberi Cheek semakin populis dek mengendalikan jabatan yang semakin menghakis hormat rakyat.

Aku memerhati dari kejauhan. Maksud 'jauh' ialah aku sangat-sangat tidak berkenan dan tidak harus mendekati spesis mereka yang penuh karat dan keladak. Benci mendominasi diri...berkata dan mengarang ayat selayak tiada langsung menerima pendidikan sivik.

Rukun Iman kelima 'Percaya Kepada Hari Kiamat' yang akan mengadili setiap inci pergerakan manusia, tidak diendah. 'Kesopanan dan Kesusilaan' yang tertera di dalam Rukun Negara tidak pernah dihayati.

Mahu jadi apa Melayu ku yang semakin layu. Mengapa mudah sangat tercuit emosi dengan percikan api provokasi. Di mana rasional dan kematangan Melayu mendepani masalah?

Sejujurnya, aku juga di posisi yang semakin terhakis keyakinan melihat perjalanan pentadbiran kerajaan yang semakin menjerut kuasa beli rakyat...di masa yang setara, mereka yang memegang amanah semakin rancak menikmati segala kemudahan dan kemewahan dari hasil cukai.

Tetapi rasa ketidakpuasahan hati itu kupendam untuk kuasa rakyat mengambil tempat dalam menentukan siapa yang layak mentadbir negara. Apa hasilnya untuk aku mengutuk dan mencerca mereka? Ianya tidak lebih dari hanya menambah karat dan keladak dalam hati.

Menegur harus ada etikanya agar apa yang ingin disampaikan bisa mendapat tempat di hati yang membaca mahupun mendengar. Menegur harus disulami rasa hormat dan sayang terhadap sesama manusia apatah lagi bersama mereka yang menganut agama yang sama, Tuhan yang sama dan kepercayaan yang sama.

Ingat...apa yang terlontar dari lidah dan tercatat melalui mata pena mahupun dari papan kekunci, mencermin peribadi empunya diri. Itulah diri kita yang lahir dari generasi sebelumnya!

Aku mula risau...Melayu semakin berpecah dan berpuak dikala bangsa-bangsa lain menuju asimilasi. Jangan pula nanti 'menang sorak kampung tergadai'.

Dari aku...buat aku...sedarkan aku!


Saturday, 4 July 2015

Apa Yang Kurasa

Kemarau panjang melanda. Solat Istisqa' dipohon untuk menurunkan hujan oleh 70,000 penduduk beserta Nabi Musa tetapi tidak diperkenan olehNYA.

Salah seorang harus dikeluarkan dari kumpulan pendoa atas dosa-dosa berterusan 'seseorang'...firman Allah kepada Nabi Musa.

Aneh...hujan lebat turun mencurah yang membuat Nabi Musa tertanya-tanya...kerana 'seseorang' itu tidak mengisytihar dirinya.

Rupanya sipendosa telah bertaubat dan Allah terima taubatnya di waktu tersebut. Malah Allah tutup aibnya dengan tidak menghebah dirinya di mata umum.

Dengan sekian banyak bala dan malapetaka berlaku di negara tercinta ini...apakah sipendosa tidak mahu bertaubat? Atau adakah mereka berasa tidak berdosa langsung atas beban yang ditanggung rakyat?

Jangan nanti kemarau melanda dengan tidak bersisa setitik air bertahun-tahun (kesan dari harta kerajaan hanya berlegar di kelompok mereka - rujuk hadis) baru mahu bertaubat!


Friday, 3 July 2015

Aku, Mereka dan Waktu

Di akhir zaman ini waktu menjadi amat tidak menentu. Kecepatan waktu berlari pecut bisa meninggalkan sesiapa sahaja yang leka tanpa peka kepada persekitaran.

Tidak terlepas diri ini. Sedar tak sedar, usiaku hampir meniti separuh abad...gila rasanya dengan putaran jarum jam yang berdetik tanpa menoleh sepicing ke belakang!

Dihangatkan lagi dengan penciptaan alatan yang mendekatkan jarak perjalanan dan perhubungan sesama manusia. Teknologi mempertemukan aku bersama rakan-rakan di usia remaja. Tingkatan 3, tingkatan 4 dan 5 juga di tingkatan 6. Bertingkat-tingkat kawan-kawan menegurku di alam maya.

Ermmm...aku ni pula jarang bersosial tetapi bukanlah pula anti sosial. Cuma bila dah berkeluarga ni, masaku banyak dihakis oleh tanggungjawab yang menuntut komitmen jitu terhadap tanggunganku. Ditambah dengan tuntutan kerja yang memerlukan aku bermusafir ke utara, selatan, timur dan barat.

Pernah sekali aku berkumpul bersama rakan-rakan tingkatan 5. Mereka agak terperanjat melihat karekter aku yang bagi mereka berubah ke pusingan 360'...hahahaaa. Ye la, dulu aku amat pendiam dan tak bercampur sangat dengan pelajar perempuan. Sekarang nampak aku sudah galak mengusik-ngusik mereka bila bertemu...mana tak terperanjat! Hahahaaa...

Hari itu...dalam kesempatan yang ada, aku luangkan masa bertemu rakan-rakan seperjuangan di tingkatan 6. Kami bertemu di Senawang. Pertemuan julung kali yang hanya dihadiri oleh 'kaum bapa'. Mesra...jelas, waktu yang memisahkan kami menghadirkan sebuah kematangan dalam perbualan.

Masing-masing dengan kerjaya yang berbeza. Yang berpangkat 'Nazir', perguruan, jururawat, di arena Banking, di Dewan Bahasa dan Pustaka, yang berjaya di bidang perniagaan. Ada juga yang merantau ke UK menjangkau ke usia 10 tahun, ada pula yang pulang ke negara asal Brunei, Sabah dan Sarawak untuk menabur bakti kepada anak tempatan...dan pelbagai lagi kerjaya yang mengangkat martabat Melayu.

Dalam ber 'WhatsApp', mereka mengirim foto-foto pada siri pertemuan (tanpa kehadiranku). Nampak fizikal mereka tidak banyak berubah. Agaknya hukum alam berasa malu untuk merubah postur kerangka jua wajah mereka. Itulah natijah untuk orang baik-baik seperti mereka.



Dalam bilangan ramai itu, terdapat seorang dari mereka yang agak menonjol. Dia meletak usaha mengumpulkan kami yang terpisah di sempadan geografi. Selalu ke hadapan dalam menyelesaikan bil-bil makan minum di setiap pertemuan...pemurah dan tidak berkira tentang wang ringgit. Boleh kukira paling aktif meletak bahan dan berbual di platform maya.

Dia dikira berjaya di bidang perniagaan (syarikat perkapalan) yang berpengkalan di Pelabuhan Klang. Kemewahan yang dikecapinya lebih menundukkan hatinya tanpa mendabik dada.

Baru-baru ini, mereka telah menubuhkan satu tabung bantuan untuk apa jua malapetaka yang menimpa rakyat Malaysia khususnya. Satu usaha murni untuk berpeluang menyalur infak kepada mereka yang memerlukan. Terdahulu, mereka telah berlepas ke Kelantan untuk misi bantuan banjir di sana...hebat usaha mereka!

Putaran alam bakal mempertemu jua memisahkan kami. Entah bila lagi pertemuan dapat diatur dalam melebarkan lagi peranan dan misi yang dirangka. Walau kesempatan itu sukar untuk kupenuhi, tetapi peluang untuk bersama mereka di alam maya tetap akan kucuri-curi pandang..agar aku tidak menjeruk rasa berseorangan.

Terimakasih sahabat...



Tuesday, 30 June 2015

Beri Makan Gagak

Dah baca artikel bertajuk 'Cerita Sampah'? Ya...kisah aku berpagi dengan pengisian ketat dan tegang dek ketidakprihatinan masyarakat tentang persekitaran.

Tetapi di segmen tengahari aku diceriakan dengan satu adegan yang belum pernah kulihat sebelum ini...menyegarkan mindaku.

Dalam perjalanan ke masjid untuk solat Jumaat, aku terserempak dengan seorang pemotong rumput berbangsa India yang sedang meletak bungkusan nasi dan dibukanya untuk diletak di atas rumput di bahu jalan.

Pelik dengan keadaan itu lantas aku bertanya untuk apa dia berbuat begitu kerana di kawasan lapangan terbang memang takkan berjumpa dengan kucing jalanan.

Katanya nasi itu untuk diberi makan burung-burung gagak yang banyak berkumpul di atas pokok di mana dia meletak bungkusan nasi tersebut.

Oohhh...baik sungguh Pakcik India tersebut. Lebihan nasi itu boleh sahaja dibuang ke dalam tong sampah...tetapi dia memilih untuk berkongsi dengan burung gagak yang serak suaranya, yang hitam warnanya, yang selalu ditembak kerana dikaitkan dengan kekotoran bandar.

Aku ingin merakam suasana tersebut dan nampak dia cuba mengelak. Agaknya dia risau aku akan melapor kepada pihak atasan kerana memberi makan gagak.

Aku jelaskan bahawa perbuatan itu adalah baik dan aku ingin jadikan contoh kepada orang lain. Sayang kerana dia bukan Muslim. Jika tidak, tentu pahala menjadi miliknya.

Aku hanya mampu berdoa agar dia diberi hidayah di atas kebaikannya. Mana tahu Allah redha dengan perlakuannya lantas ditiup hidayah untuk dia memeluk Islam...Insyaallah





Thursday, 25 June 2015

Menempah Bahagia

Tanyalah kepada siapa jua...mahu hidup bahagia? Yakin amat bahawa semua makhluk ciptaan Allah di atas mukabumi ini inginkan kebahagiaan...hatta haiwan yang melata jua tidak suka diganggu kehidupan mereka.

Justeru bagaimana mahu mencapai bahagia? Dengan pelbagai mehnah dan kerenah mendatang...bahagiakah kita selama ini?

Lihat kehidupan Rasulullah SAW. Masih di dalam kandungan, ayahnya meninggal dunia. Di usia kanak-kanak yang dahagakan belaian ibu, Aminah pula pergi meninggalkan Baginda. Usia remaja Muhammad tidak meriah sepertimana remaja sekarang. Baginda banyak beruzlah mencari penciptanya. Rumah Baginda benar-benar 'sekangkang kera'...jika mahu bersolat, hingga terpaksa Baginda mengalihkan kaki Aisyah untuk ruangan sujud!

Di sepanjang perkisahan hidup Rasulullah SAW dalam menyebar dakwah, Baginda dikata gila apabila menceritakan kisah Isra' Mi'raj, pernah ditabur perut unta yang hanyir di kepala sewaktu Baginda sedang sujud, patah gigi dan cedera dalam perang Uhud...tetapi Bagindalah insan paling bahagia di ketika itu!



Apa adunan resepinya? Kerana Allah bertaut kukuh di hati Rasulullah SAW.

Baginda bersumpah jika diletak bulan di tangan kanan dan matahari di tangan kiri sekalipun, nescaya Baginda tidak sekali-kali akan meninggalkan misi dakwah. Mengapa begitu kukuh sekali pendirian Baginda dalam menyebar Islam walau perit yang harus ditempuh? Kerana nama Allah terpahat cermat di hati Baginda.

Hati Baginda juga tidak goyah bila ditawar menjadi ketua negara dan boleh memilih mana-mana wanita yang disukai agar Baginda menghentikan penyebaran Islam...bersebab kalimah Allah telah bersatu dalam hati Baginda Rasulullah SAW.

Nah...Rasulullah adalah manusia biasa seperti kita semua. Mesejnya disini...bukan sesuatu yang mustahil untuk kita mengecap bahagia walau permukaan hidup tampak banyak ujian dan masalah...apabila kebergantungan kita dengan Allah sangat padu...datanglah badai, hamparkanlah permaidani berduri, sekatlah ekonomi hingga terpaksa berlapar...hati kita tetap bahagia...kerana bahagia itu adalah milik mereka yang mencari redhaNYA!

Bila redha Allah mendatangi, semua makhluk akan berasa selesa dengan kehadiran kita...justeru itulah bahagia dapat dikongsi dan disebar melata sejauh mampu. Mereka yang senang dan bahagia bersama kita akan lunak hatinya untuk mendoakan kesejahteraan kita...bertambah-tambah lagi nikmat bahagia.

Hidup hanya sekali...justeru gapailah bahagia untuk kita kecapinya di dunia langsung dibawa ke alam transit menuju Jannah.

Insyaallah

Sunday, 21 June 2015

Berkorban Demi Sebuah Takwa

Surah al Anfal ayat 29 menyebut, "Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bertakwa kepada Allah, Kami akan memberikan kepadamu Furqan (pembeza/hidayah) dan Kami akan jauhkan dirimu dari kesalahan-kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar".

Surah al Baqarah ayat 183 juga menyebut, "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa".

Untuk menggapai taraf TAKWA, memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Ia tidak semudah mengambil wuduk dan bersolat. Ia bukan seperti berzakat dan berderma sakan. Ia juga tidak hanya berbuat baik kepada ibubapa.

Takwa jauh dari 'yang pipih datang melayang dan yang bulat datang bergolek'. Usaha untuk mencapainya memerlukan kudrat maksimum.

Di hari-hari biasa, 'takwa' seakan terpinggir dari kehidupan Muslim. Tidak ramai yang bercita-cita untuk memiliki sifat terpuji ini lantaran kemaruk dunia menyeliputi diri. Apatah lagi gandingan mantap nafsu dan syaitan yang tak henti-henti memain peranan.

Justeru, Allah buka peluang seluas-luasnya untuk kita berkesempatan merasai apa itu 'takwa'. Umat Muhammad diberi keistimewaan ke arah itu dengan hadirnya Ramadhan di setiap tahun. Ramadhan tiba bersama pengusiran syaitan dari kehidupan manusia. Tinggallah nafsu terkontang-kanting keseorangan yang membuka peluang untuk kita menundukkannya. Lihat kembali surah al Baqarah ayat 183 di atas. Puasa digandingkan dengan sifat takwa...mengapa?

Di dalam puasa terdapat banyak larangan-larangan yang wujud demi menundukkan nafsu yang sering menewaskan diri. Bukan sekadar menahan makan dan minum, seluruh pancaindera diarah berpuasa...mata, telinga, tangan, kaki dan segalanya.

Jika disiplin puasa benar-benar dihayati dan diikuti...Insyaallah, akhiran Ramadhan akan menghadiahkan sesuatu yang amat berharga buat menjaga diri di dunia apatah lagi di akhirat kelak.

Ingat, disiplin puasa termasuklah tahajud di sepertiga malam (atau sebelum bersahur), tidak meninggalkan bersahur kerana ganjaran dan fadhilatnya sangat besar, melakukan solat dhuha di kesempatan yang ada, menjaga mata, mulut dan telinga di sepanjang hari berpuasa, berbuka ala kadar tanpa bermewah dan membazir, bersolat tarawih (8 rakaat mahupun 20), juga membuat target untuk khatam membaca al Quran di dalam bulan Ramadhan.

Ya...kita pasti diuji di sepanjang laluan takwa. Liat untuk bangun Qiamullail, mengantuk dan rasa letih untuk bertarawih. Rasa nak marah bila trafik sesak di mana-mana.

Terpulang kepada yang empunya diri. Jika target 'takwa' mahu dicapai, bersabarlah dengan segala yang mendatang atau jika tidak, tahun ke tahun, Ramadhan ke Ramadhan...cerita yang sama diolah. Kita hanya beramal di bulan Ramadhan dan amalan itu tidak mampu dipanjangkan ke bulan-bulan seterusnya.

Apa tandanya takwa menyeliputi diri? Segala yang terpamer di bulan Ramadhan sudah menjadi sebati dalam diri. Al Quran sentiasa basah di bibir, Dhuha tidak mudah untuk dilepaskan begitu sahaja, rutin ke surau sudah menjadi biasa, tonasi zikir sentiasa diucap dan puasa sunat menjadi amalan.

'Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya'. Carilah 'takwa' seawal Ramadhan...agar akhirannya bakal membuahkan hasil...Insyaallah.



Wednesday, 10 June 2015

Dunia GEN Y

Gen Y lahir bersama ciri-ciri 'energetik' dan 'pragmatik'. Mereka sukakan pendedahan dan juga penciptaan-penciptaan baharu. Otak kiri dan kanan mereka bergilir-gilir memain peranan...mereka bisa menjadi terlalu analitikal jua inovatif.



Bagaimana aku boleh merungkai spesifikasi watak mereka? Ya...aku hadir ke dalam minda mereka untuk sebuah penceritaan selama 2 hari. 2 hari itu juga memberi kesempatan untuk aku meledakkan apa yang terkandung di jiwa mereka.



Mereka sukakan hiburan jua berhibur. Justeru, hiburan juga yang kudendangkan buat mereka di sepanjang latihan. Aku ditugas untuk melatih minda mereka bagi menjiwai nilai-nilai hidup agar menjadi seorang pekerja yang berjaya dan berdedikasi.



Dari tidak baik kepada watak yang baik.
Dari baik menjadi lebih baik.
Dari lebih baik kepada personaliti cemerlang bagi membimbing dan mempengaruhi persekitaran hidup.



Aku menggalas tugasan yang sukar sebenarnya. Mereka bakal hilang fokus sekira-kira aku hanya bercakap dan terus bercakap layaknya seperti seorang 'lecturer' yang mengajar di institusi pengajian tinggi.



Aku tiada pilihan melainkan menjiwai watak seorang penghibur agar jiwa mereka segar. Ya...menghibur sambil menyampaikan mesej. Aku terapkan apa yang aku pelajari di sepanjang latihan 'Train The Trainer' selama 8 hari bersama 4 modul.



Sehabis latihan...aku sedar bahawa aku jua sedang belajar sesuatu dari mereka. Gen Y mengajar aku untuk mencipta formula bagi menarik perhatian mereka. Watak mereka menjadikan aku seorang pemikir untuk menyampaikan mesej mudah tetapi berkesan.



Gen Y juga adalah generasi anak-anakku. Akan ku gunapakai formula tersebut untuk sebuah keluarga harmoni yang dihuni oleh Gen Y!



Terimakasih kepada pihak pengurusan yang memberi laluan untuk aku lebih merapati mereka...

Monday, 8 June 2015

Hidup Bersama Malaikat

Kes 1

"Eeeee...tak payah le kau antar anak kat sekolah tahfiz ***** tu. Anak aku dah 3 tahun belajar kat situ tapi baru hafal 20 juzuk. Bayar mahal tapi ustaz-ustaz kat situ tak tegas...slow la".

'Cliche'...(detik hatiku)

Mak bapak tidaklah nampak beramal sangat tapi 'demand' untuk anak yang bersekolah tahfiz mencapai tahap melampau. Ingin anak cepat menghafal 30 juzuk al Quran. Jika gagal mencapai target, ustaz bakal menjadi mangsa gosip.

Tidak sedarlah pula anak mereka tiada atau kurang asas bila mula-mula dihantar ke sekolah tersebut. Beragak-agaklah sedikit meletak sasaran. Ustaz hanya menjalankan tugas mereka mengajar dan mendidik sebaik mungkin. Segalanya bergantung kepada kecerdasan minda pelajar. Jika pelajar lemah, sudah tentu dia sukar untuk menguasai hafalan.

Satu lagi, ibubapa ramai yang menyasarkan hafalan 30 juzuk tanpa memikir tentang hukum 'tajwid', 'makhraj' juga pemahaman dan tafsir al Quran itu sendiri. Apa guna menjadi Hafiz atau Hafizah tetapi bagai burung kakak tua yang hanya pandai mengucap patah perkataan tanpa mamahami maksud apalagi mentadabbur isi dan maknanya.

Prinsip aku...biarkan anak-anak (yang menghantar anak ke sekolah tahfiz) bergelumang dengan alunan al Quran di setiap ketika dan waktu...itu sudah lebih melunakkan hati mereka. Jangan dipaksa mereka untuk mencapai target yang di luar kemampuan. Anak-anak dilahir dalam keadaan berbeza-beza kapasiti dan tahap kemampuan mereka. Terima seadanya di tahap mana hafalan mereka. Yang lebih menghiburkan apabila perubahan demi perubahan yang baik dapat kita lihat di setiap waktu mereka berada di sana.

Akhlak dan disiplin itu yang penting. Tanpanya, sebijak mana pun mereka pasti tidak kemana. Jika tamat pengajian dengan hanya menghafal 20 juzuk, teruskan dengan inisiatif sendiri untuk melengkapkan 30 juzuk. Itu lebih berhemah rasanya.

Kes 2

"Sekolah asrama tu tak bagus la. Barang-barang anak aku banyak yang hilang. Satu lagi, anak aku nampak letih sangat...banyak aktiviti sampai anak aku nampak tertekan".

Senang sahaja bagiku utuk berdepan dengan spesis ibubapa di atas.

Mintalah pada Allah utuk anak kita dinaikkan ke langit 7 bersama para Malaikat di Darul Makmur. Malaikat bersifat taat, tiada nafsu dan takkan pernah ada masalah bersama mereka. Juga tidak wujud rasa letih untuk sebarang aktiviti. Itukan lebih baik!

Mereka lupa bahawa setiap kejadian makhluk yang bernama manusia, telah dibekal akal dan nafsu...pasti ada masalah bersama mereka atas kapasiti karekter mereka yang berbeza amat. Justeru, ibubapa yang selayaknya membentuk mental dan fizikal anak-anak untuk lebih bersedia mendepani masalah bersama masyarakat. Bukan terus-terusan menyalahkan faktor sekitar.

Ibubapa jangan hanya mengambil jalan pintas menuding jari ke pihak luar padahal peranan mereka di rumah hanya seperti 'melepas batok di tangga'.

Nanti dulu...janganlah menyinga dengan komentar aku ni ye. Aku menulispun untuk mengingati diri sendiri agar sama-sama kita lonjakkan citra Islam di mata dunia...bermula dengan keluarga sendiri!

Pepatah lama Cina ada menyebut,

Kita dengar...kita lupa
Kita lihat...kita ingat
Kita buat...baharulah kita faham

Selamat beramal ye...



Sunday, 7 June 2015

Nilai Sebuah Harga

Jika ditanya kepada mereka yang obses kepada alatan gajet, pasti mereka meletak nilai yang tinggi untuk memiliknya. Soalan sama dituju kepada yang suka aksesori hiasan diri, nilai tinggi melangit diletak kepada aksesori tersebut. Bagaimana pula kepada mereka yang berkeinginan tinggi kepada bahan bacaan terutama cerpen dan novel, pasti mereka tidak melepas peluang untuk mengunjungi pesta jualan buku yang memberi diskaun untuk jualan penghabisan stok.

Itu cerita yang minat kepada apa yang mereka cenderung untuk memilikinya. Adakah nilai yang sama diletak oleh mereka yang tidak langsung mengendahkannya?

Barangan yang tidak disukai oleh seseorang walau harganya tinggi dan mahal, pasti tidak bernilai di sisi mereka.

Apakah nilai Samsung Note 4 kepada seorang petani di kampung yang tiada perkhidmatan jalur lebar?

Apakah nilai aksesori perhiasan diri dan barangan kemas kepada mereka yang kais pagi makan pagi?

Apakah nilai sebuah novel karangan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said untuk mereka yang tidak minat membaca?

Sebaliknya, nilai sebungkus nasi lemak adalah tinggi untuk mereka yang tiada duit untuk bersarapan pagi. Nilai sebuah senyuman dari jiran tetangga lebih berharga bagi mereka yang baru dibebaskan dari penjara. Nilai seru kokokan ayam di dinihari lebih dinanti-nanti kepada mereka yang ingin bangun bertahajud. Berlian yang terhidang di hadapan mata langsung tidak bernilai bagi seorang ahli tasawuf!

Justeru, nilai sesuatu barangan itu adalah terletak kepada manusia itu sendiri...ia amat subjektif dan tidak statik. Ia bakal berubah mengikut siapa yang memberi nilai dan apa manfaat yang boleh diambil oleh mereka yang menilainya.

Cuba berikan segelas air oren berais dan sebuah buku biografi Tun Mahathir kepada seseorang yang 'minat gila' dengan karismatik beliau tetapi di dalam situasi di mana mereka berada di tengah panas terik yang melampau. Agak-agaknya apa yang mereka pilih di waktu itu?

Manusia yang paling mulia di sisi Allah Nabi Muhammad SAW boleh hilang nilainya di mata Abu Jahal dan Abu Lahab juga kaum musyrikin yang lain...kerana hati mereka yang gelap tiada nilai di sisi Allah!!!

Bagaimana dengan diri kita sendiri? Bernilaikah solat di mata lantaran tidak konsisten dalam mempraktikkannya walau solat itu datangnya dari Allah kepada Nabi Muahammad SAW tanpa perantaraan Malaikat Jibril? Apakah nilai al Quran di hati yang hanya membaca surah Yaasin di majlis kematian? Nilai apa yang kita letak untuk Sunnah Nabi apakala kerap kita memandang remeh ke atas Hadis Baginda?

FIKIR...



Sunday, 31 May 2015

Kami Nak Makan Apa?

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim dalam menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat menyarankan agar masyarakat Malaysia menambah bilangan anak kepada 3 atau 4 orang dalam sesebuah keluarga. Ini bagi meningkatkan populasi penduduk Malaysia. Menurutnya purata anak bagi pasangan di Malaysia adalah 2 orang. Ini mungkin dipengaruhi oleh faktor lewat berkahwin dan kesuburan.

Bagaimanapun kenyataan Rohani mendapat reaksi dari Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang mencabar Rohani agar menjalani kehidupan biasa dengan bergaji minima RM900 sebulan selama 30 hari. Baginya Rohani tidak pernah mengalami betapa peritnya kehidupan mereka yang bergaji kecil untuk membesarkan anak-anak.



Catatan di bawah adalah sebahagian dari keluhan ibu muda yang mempunyai anak kecil...

"Kalau semua barang makin mahal, apa kami nak makan nanti? Masih banyak keperluan lain yang terpaksa dipenuhi. Kalau hanya hidup dengan gaji RM900, kami mungkin terpaksa ikat perut," katanya lagi.

Pendapat yang lain pula menambah bilangan anak dalam keadaan ekonomi yang semakin menghimpit dianggap tidak relevan.

"Saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Kos perbelanjaan bulanan untuk setiap anak saya hampir mencecah RM800 setiap bulan. Bayaran pusat asuhan dikenakan dari RM380 hingga RM410. Susu empat tin bagi tiap bulan sudah mencecah RM150. Itu belum dikira lampin pakai buang yang memakan perbelanjaan sehingga RM150 sebulan."

"Ditambah dengan individu yang hanya bergaji minima RM900, macam mana mahu tanggung perbelanjaan diri sendiri, rumah, asuhan dan perbelanjaan anak? Hidup di kawasan mana yang cukup dengan hanya gaji RM900?," tempelaknya.

Ermmm...bila kita petah berbicara tanpa cuba menyarung sebentar kasut mereka, jadilah kata-kata itu seumpama mimpi dalam mimpi. Mereka meletak perancangan dan KPI untuk dicapai tetapi terlupa untuk turun padang dan merasai sendiri keperitan rakyat marhain.

Berani sahut cabaran Ketua Wanita PKR?



Friday, 29 May 2015

Cerita Sampah

Pagi yang ceria menyambutku bersama sebuah jiwa kacau!!!

Sesampai di kawasan parkir syarikat, selepas memastikan kereta dalam keadaan selamat berkunci...aku terlihat beberapa helaian tisu dan sampah bertaburan di atas jalan bersebelahan sebuah kereta. Nyata sampah tersebut datang dari seseorang yang tegar untuk melihat hiasan dalaman keretanya berada di tahap 'CEMERLANG'.

Sayang amat, kecemerlangan peribadi yang sebati dalam dirinya diterjemahkan dengan sebuah watak 'antagonis' yang berprinsip 'keakuan'.

Gelaran apa yang harusku beri kepada empunya diri yang buta terhadap kebersihan alam sekitar? Enau dalam belukar? Ketam mengajar anaknya berjalan betul? Indah khabar dari rupa?

Aaaahhh...serasa inginku kutip segala sampah yang mencucuk-cucuk mata tetapi selepas membayangkan terdapat hembusan hingus, air liur dan entah apa lagi kotoran dari 'empunya sampah'...niat itu berkubur begitu sahaja.

Lantas aku berlalu begitu sahaja tetapi berpatah balik untuk aku rakamkan suasana tersebut...demi berkongsi 'rasa ketat' wajah bersama para pembaca.

Aaaaarrggghhhhh...


Wednesday, 27 May 2015

Amy Search vs Pakar Motivasi

Aku terbaca sebuah artikel di ruangan Malaysiakini mengisahkan Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengutuk kumpulan lagenda rock Malaysia 'SEARCH' sebagai 'hantu' yang merosakkan belia-belia negara.

Ia berkaitan persembahan kumpulan Search bersempena sambutan Festival Belia di Putrajaya pada 22 Mei lalu.

Dalam Instagram Amy menulis:

"Kertas putih salju kucoretkan kedukaanku, hitam dan kelabu adalah warna dalam hidupku".

"Apakah jika lagu-lagu yang kusyairkan itu dapat menggembira hati mereka (belia) dan dijadikan sebahagian perjalanan hidup mereka untuk berjaya itu satu dosa?"


"Jangan dihina belia-belia itu kerana mereka itu sebahagian dari aku dan aku juga sebahagian dari mereka yang punya cita. Tutur kata seorang motivasi itu seharusnya indah lagi mulia".


Muhammad Lukman kemudiannya memuat naik status di akaun 'facebook' untuk berjumpa Amy dan meminta maaf. Kutukannya kepada kumpulan rock lagenda itu telah dipadam serta merta.

Aku memandang insiden di atas dengan penuh rasa keinsafan. Insaf bahawa kita yang kononnya sudah berasa sempurna sebenarnya telah menyimpang dan tersasar dari landasan kebaikan itu sendiri.

Mahu aku panjangkan lagi komentar? Lihat sahaja peribadi manusia paling mulia di sisi Allah, Nabi Muhammad SAW. Sungguhpun diangkat darjatnya di sisi Allah sedemikian rupa, Baginda masih lagi memuliakan manusia-manusia jahil di sekelilingnya.

Rasulullah pernah ditawar oleh Malaikat Jibril untuk menghempap bukit ke atas penduduk Thaif yang memperlekeh dakwah Baginda. Baginda menolak tawaran itu biar disakiti dan berdarah tubuh badan Baginda dibaling batu. Sebaliknya Rasulullah mendoakan agar penduduk Thaif diberi hidayah di atas kejahilan mereka.

Mengapa mereka yang menggelar diri sebagai motivator, ustaz, penceramah, pendakwah dan sebagainya tidak mengguna kuasa DOA untuk dihadiahkan kepada mereka yang jahil mahupun alpa hidupnya. Tidak layak sebenarnya gelaran-gelaran tersebut (hantu) terlontar dari bibir mereka yang mengaku BAIK (kononnya).

Serikanlah hati dan jiwa dengan sifat kasih sayang kerana "tidak sempurna iman seorang Muslim yang tidak menyayangi saudaranya sepertimana mereka menyayangi diri mereka sendiri".

Itu syarat dan disiplinnya!

Tetapi aku tetap memuji saudara Lukman di atas pengakuan silapnya dan mengambil sikap bertanggungjawab untuk berjumpa dan meminta maaf di atas keterlanjurannya.

Sikap positif itu membantut sang syaitan untuk membisik rasa 'hebat diri' di jiwa yang menuju ke jalanNYA.



Friday, 22 May 2015

Solat Tak Pakai Kain?

Aku agak tersentak dan terkesima dengan kata-kata yang baru ku dengar sebentar tadi. Langkah kakiku spontan terhenti untuk aku mengesahkan sekali lagi apa yang kudengar.

Dalam mengakhiri tugasan hari ini, aku bergegas pulang kerana ada urusan di rumah yang harusku selesaikan segera. Bertembung di lobi pejabat, aku menegur seorang kakitangan yang biasa kujumpa di surau pejabat.

"Assalamu'alaikum Syeikh, lama tak jumpa. Kat suraupun lama dah tak nampak? Rindu nak berimamkan Tn Syeikh laa", sapaanku mengejutkannya yang asyik dengan gajet di tangan.

"Wa'alaikum Salam Tuan, saya ade la...tapi dah tak solat kat surau utama tu lagi", menguntum senyum di bibirnya sambil menjawab pertanyaanku.

"Aaiikk...apasal, merajuk ke? usikku dalam nada bergurau.

"Ermmm...Tuan tak dengar ke ada makmum pertikaikan kita yang jadi imam tak pakai kain. Agaknya dia orang tak yakin dengan kebersihan seluar yang kita pakai. Bila saya dah dengar cerita tu, malaslah saya nak solat dan jadi imam kat surau utama. Sekarang saya lagi selesa solat di surau kecil kat aras bawah tu".

Memang sah bahawa itu yang kudengar...terdapat kakitangan yang membuat justifikasi rambang tentang makna sebuah kebersihan di dalam solat. Dalam pemerhatianku, memang terdapat kakitangan yang bekerja di bahagian produksi apabila datang ke surau, mereka menukar uniform kepada kain pelikat dan baju melayu yang memang diletakkan di sudut surau.

Baguslah tu...mereka menukar 100% karekter 'pekerja' kepada imej 'orang surau'. Itu lebih meyakinkan mereka untuk lebih khusyuk dalam mengadap Allah.

Tetapi bukan sesuatu yang wajar untuk mereka mempertikaikan jemaah lain yang solat dengan pakaian yang sama sewaktu bekerja. Sehingga tergamak menolak IMAM yang tidak memakai kain.

Justifikasi itu salah!!!

'Ain najis yang tidak kelihatan bau, rasa dan warna...tidak selayaknya dijatuh hukum najis. Keraguan bahawa percikan air kencing yang terkena seluar, tidak boleh dijadikan hujah untuk menjatuh hukum selagi belum dibuktikan wujudnya najis tersebut.

Bagaimana jika aku pertikaikan solat mereka yang memakai kain dan baju melayu itu tidak sah. Aku berhujah bahawa tangan mereka yang memegang wang kertas mahupun duit syiling telah terkena najis mughallazah yang mana duit itu pemilik asalnya adalah seorang Cina yang bekerja sebagai pelapah daging babi!

Aku tidak mahu berimamkan seseorang yang aku percaya telah ter'kontaminasi' dengan wang yang tercemar dengan najis babi selagi mereka tidak menyamak tangan-tangan yang kotor itu!!! Aku berhujah atas kapasiti 'kemungkinan' itu boleh berlaku.

Mampukah mereka terima apa yang aku pertikaikan itu?

Islam itu menjadi begitu kritis pada mereka yang tidak faham ilmu. Semborono mengeluar kenyataan yang boleh memecah-belahkan komuniti Islam.

Galilah ilmu dan bertanyalah kepada mereka yang lebih arif. Orang yang berilmu akan lebih berhati-hati dan mengelak berhujah di atas landasan 'kemungkinan'!!!

Saturday, 16 May 2015

Makna Sebuah Integriti

Di dalam latihan fasa terakhir untuk kami melengkapkan empat modul 'Train The Trainer', salah satu modulnya membincangkan tentang 'integriti'. Ia membawa maksud 'harga diri' yang tidak mungkin dapat diterjemah melainkan dengan kita menjalani rutin hidup seharian. Disiplin, jujur, amanah, menepati waktu adalah di antara rencah yang diadun bersama sebuah integriti.

Terjemahan itu pula bukan atas dorongan mahupun suruhan sesiapa...ia beserta keikhlasan yang mengharap redhaNYA sahaja. Ia pula merupakan rahsia seseorang yang hanya dia dan Allah sahaja yang tahu betapa keikhlasan hadir bersama harga dirinya.

Aku pula telah ditanya oleh fasilitator tentang 'integriti'.

"En Azizi, jika rating 1 adalah yang terburuk dan rating 10 adalah yang terbaik...di mana anda meletak peribadi anda di tempat kerja untuk dikaitkan dengan integriti".

Tersentak aku dari lamunan oleh terjahan soalan itu...tetapi spontan aku menjawab.

"Integriti yang berkait dengan ikhlas itu adalah seperti semut hitam yang berjalan di atas batu hitam di malam yang gelap. Saya sendiri tak berani menilai tahap mana untuk saya letakkan integriti diri saya. Biarlah mereka yang di luar meletak rating untuk saya...saya terima".

"Kadang-kadang saya sendiri meragui perbuatan baik yang saya lakukan, adakah kerana mengejar KPI untuk tidak melepas habuan di hujung tahun ataupun ia benar-benar ikhlas untuk saya lakukan tanpa ganjaran".

Fasilitator tersenyum dengan jawapan itu...aku membalas senyuman berserta anggukan yakin.

Aku malu untuk menilai kebaikan sendiri...jika bukan kerana Allah yang sebenarnya memberi ilham kepadaku untuk berbuat demikian...hhmmm.


Tronoh, Perak.

Saturday, 2 May 2015

Melayu vs Cina

Keretaku bergeser bahu jalan, menyebabkan calar dan sedikit kemek di bahagian bawah rangka kereta bersebelahan tayar belakang. Bawah pintunya terdapat sedikit kesan calar sepanjang 3 inci. Aku menuju ke sebuah bengkel dipunyai peniaga Melayu.

Salah seorang pekerjanya ditugaskan untuk menaksir anggaran kos. Dia memberi penerangan bahawa bahagian bawah akan diketuk, disimen dan cat akan disembur pada keseluruhan pintu belakang.

Aku memilih untuk disembur cat hanya di bahagian yang terbabit, tidak untuk keseluruhan pintu..atas alasan warna catnya tidak akan sama dengan warna asal. Dia menjelaskan bahawa dia perlu mengecat keseluruhan pintu kerana itu amalan bengkelnya (walaupun pintu tidak kemek, hanya sedikit kesan calar di bahagian bawah).

Jawabku...itu hanya amalan bengkel. Tidak bolehkah dia layan kehendak pelanggan? Dia tetap dengan jawapan yang sama...perlu dicat keseluruhan pintu. Berapa lama pula untuk disiapkan? Kereta perlu ditinggalkan untuk tempoh 5 hari di bengkel. Berapa kosnya? RM700 (hatiku mengomel...memanglah kosnya melambung kerana sudah dicat keseluruhan pintu). 

Nampak tiada peluang untuk cadanganku diterima, aku mengalah dan akan kembali semula ke bengkel selepas berbincang dengan isteriku (hanya helahku untuk tidak mahu lagi berbalah dengannya).

Dalam perjalanan pulang, hatiku tergerak untuk singgah di kedai aksesori kereta yang selalu aku kunjungi...hanya untuk aku bertanya jika dia boleh membantuku untuk mencari bengkel kenalannya.

Ah Seng namanya...dia menganggarkan kos ketuk dan cat di bahagian tersebut sebanyak RM350 (yang akan dihantar ke bengkel kawannya). Pintu hanya akan disembur sedikit cat untuk menghilangkan kesan calar di bahagian bawah.

"Berapa lama Ah Seng boleh siap", aku terus bersetuju. Sebenarnya aku hanya tunjuk padanya bahagian yang kemek dan calar. Selebihnya, Ah Seng yang memberi cadangan.

"You hantar hari ini, esok petang boleh ambil maa", jawab Ah Seng meyakinkan aku.

Oohhhh...kos RM350...hantar hari ini dan esok siap. Cantik sangat!

Esoknya keretaku siap seperti yang dijanjikan. Hasilnya amat memuaskan hatiku. Tetapi kepuasan itu dicemari dengan sikap peniaga Melayu yang macam lintah darat.

Teringat aku tulisan di laman sosial yang menyarankan orang Islam untuk membantu peniaga Melayu ataupun Muslim. Alasannya...mereka saudara seIslam kita, mereka bayar zakat, mereka berderma di masjid dan surau. Kita wajib bangunkan ekonomi orang Melayu Islam.

Ya...aku akur. Sebab itulah aku memilih bengkel Melayu Islam di awalnya dan terpaksa menukar ke bengkel 'Bukan Islam' di akhirnya...kerana ciri-ciri Islam tiada pada orang Melayu yang beragama Islam!!!

Maaf di atas pilihan itu...



Friday, 1 May 2015

Malaysia Bila Lagi?

Pada 16 April lalu, kerajaan Indonesia telah menguatkuasakan undang-undang melarang penjualan arak di semua pasar mini dan kedai runcit atas alasan kedai-kedai tersebut terletak berhampiran sekolah dan rumah ibadat di kawasan padat penduduk. Tentunya untuk menghalang gejala masyarakat yang ketagih arak dan amalan seks rambang juga vandalisme dari mereka yang mabuk.

Menteri Perdagangan Rachmat Gobel telah mengetepikan sama sekali amaran dari persatuan peniaga bahawa negara akan kehilangan hasil kutipan cukai arak sebanyak 7 triliun Rupiah setahun.

Terdahulu, Pihak berkuasa Kerala di India telah menguatkuasakan larangan penjualan arak di tempat umum untuk mengelak kesan buruk sosial masyarakat yang mana sebahagian dari mereka sudah menjadi kaki botol.

Di dalam situasi separuh dari 34 juta penduduknya beragama Hindu dan hasil cukai arak adalah sebanyak US 1 bilion setahun, kerajaan Kerala tetap meletak keselamatan dan pembentukan semula akhlak rakyatnya sebagai prioriti.

Pada 1 April lalu, Singapura pula telah menguatkuasakan undang-undang minum arak secara terbuka hanya dari pukul 10.30 malam hingga 7 pagi. Apalagi jika bukan kerana banyak berlaku gangguan sosial dari para pemabuk di jalanan.

Dr. Mahathir telah mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Ya..undang-undang di Malaysia melarang orang Islam minum arak tetapi cukupkah sekadar sekatan untuk orang Islam? Bagaimana dengan penjualan arak secara lebih terbuka di kedai-kedai runcit dan pasaraya?

Siapapun tak kisah jika orang Melayu beli arak kerana undang-undang hanya dikenakan ke atas orang Islam minum arak secara terbuka. 

Ironinya...kilang Carlsberg dan Guinness Stout telah sekian lama menyumbang kepada perbendaharaan negara Malaysia...ermmm.

Pernah berlaku di Bandar Baru Bangi, kedai 7 Eleven yang baru dibuka telah meletakkan arak sebagai sebahagian dari barangan yang dijual. Alasannya kerana penjualan minuman beralkohol telah termasuk di dalam terma dan syarat perniagaan francais. Secara logiknya...arak itu dijual untuk siapa? Untuk penduduk yang majoriti 99% beragama Islam? 

Apabila bantahan penduduk tidak dihirau, satu tindakan telah dibuat dengan memboikot kedai tersebut bersama kain rentang yang dipamer di hadapan kedai. Sebulan selepas pemboikotan berlaku, pengusaha kedai akur dan mengeluarkan arak dari premis mereka (mesej = kuasa pengguna menghasilkan impak yang tinggi).

Arak dan Malaysia (negara Islam) seolah telah menjadi satu igauan enigma...sukar untuk dilaksanakan pemansuhannya. Lihat sahaja penerbangan MAS yang menjadi pintu masuk pelancong ke Malaysia...'First Impression' tidak langsung mencerminkan sebuah negara Islam. Arak menjadi satu hidangan kemestian yang tidak boleh dicabar oleh sesiapa.

Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong untuk mempercepatkan pelaksanaan larangan arak secara terbuka (suara Mufti yang lain masih belum kedengaran lagi setakat artikel ini ditulis).

Malaysiaku...bila lagi?

Wednesday, 22 April 2015

Aku Ingin Jadi Sepertinya

Kursus TTT untuk modul ke 3 dikendalikan oleh fasilitator yang berbeza. Usianya mungkin sebaya denganku. Pasti karekternya tidak sama dengan yang sebelumnya tetapi mesejnya tetap sampai kepada kami.

Satu kelebihan diri beliau yang benar-benar memaksa aku untuk berasa cemburu terhadapnya...cemburu yang bukan sedikit!

Kami baharu sahaja memasuki kelas dan pertama kali bersua muka dengan beliau. Dia menegur dan bertanya namaku...memang itu resmi fasilitator untuk beramah mesra dengan para peserta. Habis di situ...kelas bermula.

Di sini bermula cemburuku. Nak tahu? Dia bisa menghafal nama kami seramai 15 orang! Seolah-olah dia sebahagian dari wargakerja kami. Ooohhhhh...di dalam kelas latihan yang biasa aku kendalikan di syarikat, aku sendiri selalu terlupa nama-nama kakitangan.

Sehabis kelas di hari pertama, aku menghampirinya untuk mengetahui rahsia dan tips untuk dikongsi. Senang sahaja katanya. Sebelum program bermula, dia sudahpun mendapatkan senarai nama dari pihak sekretariat. Nama-nama itu dihafal dan dipadan-padankannya apabila beliau menegur kami sebelum kelas bermula.

Usaha beliau menghasilkan impak yang bukan sedikit kepada kami...jiwa kami ditawan dengan panggilan-panggilan nama kami yang sangat bersahaja.

Ooohhhh...terimakasih En Hasni!


Sunday, 19 April 2015

GST...Hanya Sebuah Pandangan

Ooohhh...aku bukanlah mahir di dalam isu-isu negara apatah lagi untuk mengulas. Tidak selayaknya untuk aku melayan halusinasi diri yang memberontak atas kos sara hidup yang terus-terusan meningkat. Ledakan emosi diri kuempang dengan mengeluarkan pandangan peribadi di atas platform hak aku sebagai rakyat Malaysia yang bebas bersuara.

GST (Goods and Service Tax) merupakan sistem percukaian baru yang menggantikan SST (Sales and Service Tax). SST merupakan sistem cukai yang hanya dikenakan ke atas barangan terpilih atau barangan bukan keperluan asas dan dikategori sebagai barangan mewah seperti di restoran segera Pizza Hut, KFC, Pasaraya Tesco, Astro, Cineplex dan sebagainya. Tegasnya, bayaran cukai jualan 6% dan perkhidmatan 10% tersebut lebih didominasi oleh warga kelas pertengahan dan atasan.

Tetapi lain pula dengan GST. Pengenalan cukai sebanyak 6% dikenakan terhadap majoriti barangan termasuk barangan asas. Ini bermakna semua lapisan golongan harus membayar cukai. Yang berada di kelas pertengahan mungkin tidak begitu membebankan. Tetapi bagaimana dengan golongan bawahan dan miskin tegar. Mereka tiada pilihan melainkan terpaksa berkongsi membayar cukai untuk mengisi perut.



Jila mahu dikaitkan dengan sistem pemerintahan Islam, bayaran zakat kepada penduduk Islam merupakan sistem efisien untuk perbendaharaan negara. Zakat fitrah, zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat harta simpanan adalah di antara cukai yang dikenakan terhadap orang Islam. Cukai pula dikenakan kepada penduduk bukan Islam yang berstatus kafir 'zimmi' yang bernaung di bawah kerajaan Islam.

Ulama' muktabar pula mengulas bahawa cukai tambahan harus dikenakan kepada warga Islam mahupun yang bukan Islam sekiranya negara tiada sumber komoditi seperti minyak, kelapa sawit, getah, emas dan bahan hasil bumi yang lain yang mana kerajaan benar-benar memerlukan sumber kewangan untuk mentadbir negara atau dalam membuat persiapan peperangan.

Di dalam keadaan GST yang sudah diimplementasi di negara kita, sistem percukaian tersebut sudahpun dibahas dan dirujuk kepada Ulama'. Ia adalah harus kata Ulama' kerajaan...di mana keharusannya? Hanya mereka lebih arif untuk berhujah.

Aku? Hanya menerima seadanya tetapi berasa puas kerana aku sudah meluah segalanya di persada siber ini. Perlu atau adilkah GST?

Anda bagaimana?

KWSAP

Sekarang sedang hangat dengan perdebatan isu wang pencarum KWSP di atas cadangan orang besar KWSP untuk melanjutkan pengeluaran penuh di usia 60 tahun. Cadangan dibangkitkan di atas alasan kajian yang dibuat menunjukkan wang pengeluaran pencarum akan habis di dalam tempoh 3 hingga 5 tahun. Eerrr...siapa yang buat kajian dan pihak mana yang mengesahkan kajian tersebut? Jika benarlah ada kajian, ia seharusnya dijalankan oleh pihak yang berkecuali...bukan KWSP sendiri. Barulah kajian tersebut berkredibiliti.

Eerrmmm...begitu prihatin nampaknya Datuk Shahril Ridza (CEO KWSP) di atas masa depan para pencarum. Tetapi keprihatinan itu nampak agak janggal apabila beliau tetap ingin meneruskan cadangan tersebut biarpun mendapat bantahan dari pelbagai pihak. Ditambah dengan pelbagai cukai dan kos sara hidup tinggi yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia, ternyata keprihatinan CEO KWSP nampak tidak telus.

Syarat umur 55 tahun untuk pengeluaran penuh wang KWSP adalah amat munasabah. Para pencarum tentunya sudah mempunyai perancangan tersendiri dan menanti-nanti had umur tersebut untuk melaksanakan segala apa yang dirancang.

Ada yang merancang untuk berniaga, menambah modal perniagaan, menunaikan umrah dan haji, meringankan kos-kos perubatan keluarga, menampung kos anak-anak yang belajar di pusat pengajian tinggi, membesarkan rumah untuk keselesaan keluarga dan macam-macam perancangan lagi.

Apa hak KWSP untuk menahan wang pencarum untuk dilanjutkan lagi sehingga tempoh 5 tahun. Bayangkan di usia 60 tahun, kesihatan pencarum tentunya sudah semakin merosot dan membantutkan selera pencarum untuk menikmati hasil titik peluh mereka yang dikumpul sedari usia muda (itupun jika usia mereka panjang).

Dari menambah syarat, elok rasanya KWSP lebih memikir kepada khidmat kaunseling tentang pengurusan kewangan percuma yang wajib dihadiri oleh para pencarum sebelum dibenarkan mengeluarkan kesemua wang caruman...itu lebih berhemah rasanya.

Terdengar sosek-sosek mengatakan KWSP ada agenda tersendiri dalam memanipulasi wang pencarum...itu aku tak mahu komen lebih. Tetapi yang nyata, hak pencarum jangan diketepikan kerana itu duit mereka!

Janganlah pula nanti tersemat di dalam minda pencarum bahawa wang caruman mereka hanya akan dinikmati oleh anak cucu mereka sahaja...KWSAP (Kumpulan Wang Simpanan Anak Pekerja).

Datuk Shahril, dengarlah suara rakyat. Ingatlah manifesto parti BN di dalam kempen PRU yang lepas bahawa kebajikan rakyat sentiasa didahulukan...katanyeeeee.



Saturday, 18 April 2015

Bukan Sekadar Menulis

Aku menulis bukan kerana aku bijak menulis.

Kegemaranku sebetulnya lebih kepada membaca. Membaca apa sahaja yang bisa dijadikan bahan bacaan. Tetapi jika mahu dibuat pilihan, pastinya kupilih bahan--bahan bacaan berbentuk keagamaan...itu minatku.

Aku menulis bukan kerana aku bijak menulis.

Kadangkala serasa aku ingin berkongsi cerita, pandangan, tegar menyebar ilmu mahupun mengkritik untuk sebuah kesedaran. Menulis merupakan medium berkesan untuk kukongsi segalanya.

Aku menulis bukan kerana aku bijak menulis.

Atas kesedaran khalifah dicipta untuk 'menyampaikan' segala amanat-amanat langit. Aku paksa diri untuk melontar tulisan-tulisan keramat tinggalan para Nabi dan Ulama' salafi.

Aku menulis bukan kerana aku bijak menulis.

Aku sering alpa...dunia sekitar sering melemahkan daya ingatanku untuk sentiasa mengingatiNYA. Lantas, kulayangkan jari-jemari ke atas papan kekunci untuk sebuah peringatan. Ingatan untuk diri sendiri sebetulnya.

Aku menulis bukan kerana aku bijak menulis.

Aku ingin meninggalkan sesuatu yang padanya mereka mendapat manfaat. Mungkin usaha kecilku tidak mampu mengubah jiwa-jiwa tegar pelaku dosa. Tetapi sekurang-kurangnya ia dapat melunakkan hati mereka yang ingin mencari jalan pulang.

Aku menulis bukan kerana aku bijak menulis.

Biarlah tulisanku kekal di persada maya ini untuk sebuah ganjaran pahala di alam barzakh sepemergianku menuju ke dasar bumi.

Jadi...akanku teruskan penulisan ini walau aku bukan bijak!


Thursday, 16 April 2015

Train The Trainer

Aku melangkah setapak lagi dalam menelusuri profesyen di syarikat. Terpilih untuk menjadi ejen syarikat dalam membentuk nilai-nilai murni kakitangan, meletak diriku berada di ambang kegusaran. Gusar memikir diri yang serba-serbinya kekurangan. Aku sebetulnya masih bergelut dalam membentuk peribadi diri...apatah lagi untuk merubah peribadi manusia sekeliling!!!

Kami berlapan belas orang menjalani jadual ketat di dalam tempoh sebulan. Kursus 'Train The Trainer' berjumlah empat modul memberi ruang dan peluang buat kami menimba sebanyak mungkin ilmu dari pelatih-pelatih bertaraf antarabangsa.

Di sesi pertama bertempat di Nilai Springs, kami lebih banyak mendengar. Kami dihidang dengan segala teknik sebagai 'tenaga pengajar'. Karekter 'tenaga pengajar' harus diadun kepada 'Crown Judge', 'Clown' juga 'Consultant'...ia harus seimbang. Kami teruja!

Keterujaan itu tidak bertahan lama apabila tiba sesi kedua yang diadakan di Grand Lexis, PD. Kami diberi tugas untuk membentangkan modul dengan menggunapakai segala 'method' dan teknik yang diajar. 'Engagement', 'Parking Lot', 'Throw The Monkey', 'Energizer', 'Games' adalah di antara teknik dan skil yang diajar bagi menghidupkan suasana di dalam kelas.

Kami juga diajar mengenali peribadi peserta. Bagaimana untuk menangani peserta yang 'hyper active', 'passive', 'heckler' mahupun yang 'silent'. Pengawalan peserta ini penting bagi melancarkan perjalanan latihan.

Sesi ketiga bakal membebankan kami dengan modul sebenar tentang nilai-nilai murni. Di penutup tirai sesi keempat, prestasi kami akan dinilai oleh tenaga profesional bagi melayakkan kami untuk mendapat lesen 'tenaga pengajar' bertauliah.

Layakkah aku...

Sunday, 5 April 2015

Takdir Penentu Segala

5 April 2015 kita telah dikejutkan dengan berita helikopter terhempas yang telah mengorbankan 6 nyawa termasuk Ahli Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Azlin Alias.

Ada sumber rapat memberitau bahawa terdapat mereka yang dipelawa untuk menaiki helikopter tersebut tetapi menolak. Ada pula mereka yang sepatutnya pulang menaiki kereta bersama pemandu khas tetapi menerima pelawaan untuk bersama mereka menaiki helikopter.

Itulah ajal namanya...merupakan rahsia Allah yang tidak mungkin dapat dirungkai oleh siapa jua. Mereka yang belum datang ajal, akan terhindar dari segala malapetaka maut. Sebaliknya bagi mereka yang telah sampai ajalnya, tidak lewat sesaat waktunya untuk ditarik nyawa dari jasad.

Apabila janin di dalam perut ibu sudah diberi nyawa di usia 40 hari, tertulislah rezekinya, jodoh dan ajal.

Rezeki kita tidak akan diambil oleh orang lain kerana itu ketetapanNYA.

Nama pasangan kita sudah tertulis sejak kita di dalam perut ibu lagi (jika takdir Allah mengatakan kita akan berkahwin).

Ajal kita sudah tertulis di mana, bagaimana cara mati juga waktu yang amat tepat berlaku akhiran hembusan nafas.

Jadi, tidak perlu meratap hiba menyalah keadaan dan keputusan untuk bersama mereka menaiki helikopter di atas tragedi helikopter terhempas...kerana di kala itu, takdir yang akan mengawal segala tindakan makhluk!

Al Fatihah untuk mangsa korban yang beragama Islam dan salam takziah untuk keluarga mereka semua.