Translate

Tuesday, 5 May 2026

Aku, kasut dan larian.

Jam tangan sukan sudah kulilit di pergelangan. Kulekap fon telinga kemas-kemas. Kucapai pemegang telefon bimbit dan kusimpulkannya di lengan.

Di anjung rumah, aku memilih kasut untuk diserasikan dengan kostum yang dipakai. Ya, kasut merah menjadi pilihan. Kuikatnya kemas-kemas agar tidak mengganggu rentak larianku nanti.

Di telefon bimbit, aku menekan aps Samsung Health dan memilih ikon brisk walk.

On your mart, get set, GO!

Hari itu seperti biasa aku melangkah yakin menuju mini trek berhampiran rumah. Kawasannya sederhana luas dikelilingi pokok-pokok yang berseri kehijauannya.

Di tengahnya bertapak gelongsor, buaian dan jongkang-jongkit. Berjiran pula ditepinya kawasan latihan senaman dan gelanggang badminton juga sepaktakraw. Semuanya tampak tersusun dan sistematik.

Ada aku kisah? Aku tak peduli semua itu. Yang aku peduli adalah target mingguan yang patut dicapai, minimum 150 minit.

Sesekali ada juga mak-mak yang datang melayan kerenah anak-anak mahu bermain di situ. Aku hanya senyum apabila bertentang wajah dengan mereka. Ya, itu harus kulakukan. Mereka jiran aku, mereka harus aku raikan walau hanya dengan senyum sepicing cuma.

Trek tersebut bersebelahan dengan jalan besar. Ditepi jalan terdapat gerai goreng pisang kelambu yang dikendalikan oleh tiga orang mak-mak pingitan. Kenapa dipanggil kelambu? Sebab pisang gorengnya ditutupi dengan penutup kain lembut berjaring halus persis kelambu. 

Bila aku melintas berhampiran gerai itu, mereka memandang dan senyum. Aku balas senyuman mereka. Tapi janganlah pula mereka minta aku balas senyuman dengan membeli goreng pisang mereka eh. Aku kena jaga kesihatan. Kurangkan makanan manis, berminyak dan berlemak. Di usia sekarang, HDL dan LDL kena stabil. Tahap glukosa, fruktosa, sukrosa, maltosa, laktosa, galaktosa, dekstrosa juga harus terkawal (ha ha, kan dah keluar segala jenis nama mak nenek gula).

.

Aku berjalan laju melepasi gerai goreng pisang kelambu. Di hadapanku ada satu lagi objek berjalan. Suri rumah yang tak bekerja mengambil kesempatan petang untuk berekreasi. Tiba masa untuk aku memotong laluan, aku mesti menoleh kepada mereka seraya memberi salam. Aku perlahankan rentak untuk menegur. Ye, berbasa basi tunjuk rasa hormat. Hanya sebentar cuma. Aku terus berjalan meninggalkan mereka. Aku ada target yang harus dicapai.

.

Tenang betul rasanya bila aku berada di luar kawasan rumah untuk menghirup udara pagi mahupun petang. Ia suatu terapi yang membuatkan jiwa rasa bebas tanpa terikat.

Nak tahu apa yang aku rasa?

Pada 1 minit pertama, aliran darah akan meningkat. Selepas melepasi 5 minit, mood diri menjadi semakin baik dan tekanan berkurang. Capaian 10 minit, paras kortisol (hormon stres) menurun. Apa jadi selepas 15 minit? Paras gula dalam darah menurun secara semulajadi. Di tahap 30 minit, lemak mula dibakar. Klimaksnya selepas melepasi 1 jam berjalan laju, hormon dopamine meningkat (hormon gembira yang dihasilkan secara semulajadi dalam otak dan badan). 

Di sinilah rasa keterujaan, keseronokan dan kepuasan bersatu, menjadikan diri kita seperti terbang melayang dalam dunia yang tenang dan aman.

Korang tak percaya? Aku tak paksa untuk korang percayapun sebab kalau korang berteori tanpa mempraktikkannya, mana nampak hasilnya kan.

Hanya jauhari mengenal manikam. Hehe.

Adios 🫡

No comments:

Post a Comment