Translate

Friday, 30 August 2013

Berangan atau Beramal

Kisah 1
Diriwayatkan seorang hamba Allah telah menyeberangi sungai dengan berjalan di atas air. Dia hanya berbekal kalimah Bismillahirrahmaanirrahiim.
Kisah 2
Seseorang mengalami histeria, dibaca ayatul Kursiy oleh pemuda pertama...tiada perubahan. Hadir pemuda kedua membaca ayat yang sama...mangsa pulih.
Kisah 3
Seseorang yang amat disenangi oleh sesiapa sahaja. Kehadirannya menceriakan suasana. Tiada iri hati juga dendam terhadapnya. Malah dia menjadi tempat luahan rasa.
Kisah 4
Seekor anjing dengan garang menuju ke arah seseorang dan mahu menggigitnya. Orang itu lantas membaca ayat yang boleh menundukkan haiwan. Anjing itu berlalu pergi.

Empat senario di atas mewakili insan istimewa yang dianugerahi sifat-sifat Thoiyib (segala yang baik). Adakah sifat itu wujud secara semulajadi? Tidak sebenarnya...dengan segala yang baik berada di sekitar, mereka menterjemahkannya dengan amalan-amalan yang konsisten. Hasil dari segala yang dipraktis, maka jadilah mereka insan istimewa yang sentiasa di dalam jagaan Allah. Apabila Allah bersama mereka, tiada apa yang mustahil di sisi mereka.

Contoh dirujuk kepada Nabi Khidir yang dianugerahi ilmu Laduni (mengetahui peristiwa ghaib yang belum berlaku). Nabi Musa telah diarah untuk mengembara bersama Nabi Khidir untuk Allah tunjuki sesuatu kepadanya. Sesuatu yang boleh menundukkan rasa berbangga-bangga dengan kelebihan diri (Allah hendak menegur Nabi Musa sebenarnya).

Bayangkan apabila Nabi Khidir membunuh seorang kanak-kanak yang tidak berdosa dan ini ditegur oleh Nabi Musa (baginda yang merupakan seorang Nabi juga tidak mengetahui ilmu Allah yang hebat ini). Apabila diterangkan, baharulah Nabi Musa faham yang mana kanak-kanak tersebut apabila dewasa kelak akan menderhakai kedua ibu bapanya dan tentulah tidak baik untuk dibiarkan perkara itu berlaku.

Kejadian aneh yang lain pula apabila Nabi Khidir merosakkan sampan seorang miskin dengan menebuk lubang, padahal mereka berdua telah diberi menumpang naik sampan itu sebelumnya. Perkara itu juga ditegur oleh Nabi Musa. Rupanya ilmu Laduni yang dimilikinya menegaskan bahawa jika tidak dirosakkan sampan itu, ia bakal dirampas oleh Raja yang zalim. Tentulah keadaan itu lebih tidak memihak kepada pemilik sampan yang miskin itu.

Kejadian aneh terakhir yang memisahkan Nabi Khidir dan Nabi Musa (perjanjian telah dimeterai jika Nabi Musa mempertikaikan tindakan Nabi Khidir sebanyak tiga kali, maka mereka akan membawa haluan masing-masing). Mereka telah sampai di satu perkampungan tetapi kehadiran mereka tidak dipedulikan oleh penduduk sekitar. Walau begitu keadaannya Nabi Khidir meminta Nabi Musa untuk membantunya membaiki sebuah rumah yang usang.

Nabi Musa tidak berpuashati dengan keadaan itu kerana penduduk sekitar tidak mengalu-alukan kehadiran mereka apatah lagi untuk mereka berdua membantu membaikpulih rumah di kampung itu. Penerangan diberi bahawa rumah itu adalah milik seorang anak yatim yang mana tertanam emas di bawah tanah tapak rumah itu. Nabi Khidir ingin memelihara harta anak yatim itu yang tidak diketahui oleh penduduk kampung.

Begitulah kisah insan istimewa yang mana kadang kala mengundang rasa pelik bagi orang awam. Bilamana seorang Tuan Guru mengatakan Allah juga mencarut...itu atas kapasiti ilmu agama yang dimiliki yang tidak difahami rakyat. Dia tidak pernah meninggalkan solat tahajjud seawal usia mudanya. Jadi, apakah manusia jenis ini tidak faham agama dan merendah-rendahkan taraf Tuhan? Kata-kata Wali-wali Allah banyak yang perlu diterjemah, tidak boleh diambil secara terus. Lihatlah ayat-ayat Allah menerusi kitabnya al Quran...penuh simbolik, penuh makna yang tersirat. Tidak untuk ditafsir oleh orang kebanyakan.

Tegasnya, amalan yang konsisten bisa menatijahkan kesan yang hebat ke atas diri seseorang. Tonasi fatihah seseorang yang sentiasa beramal, jauh bezanya dibanding mereka yang hanya menghafal. Ayatul Kursiy yang dibaca oleh dua orang yang berbeza karektornya memberi kesan yang berbeza.

Tinggalkan berangan kerana benih yang ditanam perlu diiringi usaha menjaganya agar ia tumbuh menjadi pokok yang tegap. Beramallah sebanyak mungkin diiringi ikhlas untuk kita rasa lazatnya keistimewaan yang bakal menanti...anugerah dariNYA.

Catatan dari Incheon, Korea Selatan, 30 Aug 2013


No comments:

Post a Comment