Translate

Sunday, 4 August 2013

Aku dan Asrama...


Asrama...ya itulah kehidupan awal yang selayaknya membentuk siapa diri kita. Kita belajar berdikari, selesaikan masalah tanpa kedua ibubapa di sisi. Mahu tidak mahu, segalanya harus diselesaikan sendiri. Membasuh kain baju, menggosok, mengemas katil dan bilik. 

Asrama...peranan keluarga diganti bersama kawan-kawan. Pendapat, nasihat, pandangan dan pertimbangan segalanya bersama teman. Jika betul atur langkah...Alhamdulillah kita keluar menjadi insan yang dihormati. Tetapi jika tersilap perkiraan...kaki bakal tersadung, yang baikpun boleh terpengaruh dengan segala yang negatif bawaan kawan-kawan di sekeliling.

Aku merupakan salah seorang yang menjadi penghuni asrama selama beberapa tahun. Banyak sangat memori yang berstatus harta karun di mindaku. Tetapi dalam sekian banyak kisah, aku agak teruja untuk berkongsi satu cerita...cerita yang sering membentuk senyuman di bibirku. 

Ikutilah kisah ini...

Hari itu hari Sabtu. Hari yang sering ditunggu-tunggu oleh kami yang bernama pelajar kerana terdapat sedikit ruang kebebasan yang diberi. Kami boleh melepak, bermain di gelanggang juga bercerita hingga larut malam. Jika malam tiba, ada yang menonton tv dan mendengar lagu dari 'walkman'.

Aku pula? Ya...aku telah merekacipta satu idea untuk menceriakan malam minggu kami. Sebagai ketua asrama, pengaruh itu kugunakan untuk menjalankan aktiviti yang dirancang.

Kukumpul rakan-rakan rapat dan mula berbincang agar segalanya berjalan lancar. Persiapan telahpun lengkap. Mangkuk plastik berisi air, bekas alumunium, kain kuning, potongan kertas putih berbentuk manusia, lilin, mancis dan jubah putih. Malam itu aku bakal menjadi dukun!

Kami telah mempunyai senarai pendek 'freshie-freshie' yang bakal menjadi mangsa. Disiangnya, mereka telah mendapat mesej dari rakan-rakan subahatku mengatakan bahawa ada taklimat dari ketua asrama pada pukul 12 malam...kehadiran adalah wajib.

Tentunya mereka yang terbabit tertanya-tanya apakah gerangan aku memanggil dan taklimat jenis apa pula di tengah malam itu? Sebagai pelajar tahun pertama yang menduduki asrama, mereka tiada pilihan selain akur dengan arahan 'senior'.

Tepat waktu mereka hadir di hadapan bilikku. Lampu hanya berbentuk samar-samar. Aku sudah bersedia dengan permainan yang dirancang. Memakai jubah dan kain lilitan di kepala.

Mereka yang terpilih hanya seramai 3 orang. Apa kriteria aku memilih mereka? Yang agak berlagak, air muka 'arrogant' dan kurang menegur 'senior'.

"Rafi, Saleh, Mail...anda bertiga terpilih untuk menjadi saksi kepada satu pengalaman yang jarang-jarang saya dedahkan kepada orang lain", pembuka ayatku meluncur laju.

"Kamu bertiga pernah nampak makhluk halus?"

"Eerrr tak pernah bang", jawab mereka serentak.

"Bagaimana kalau saya beri peluang malam ni untuk kamu menyaksikannya?"

"Nak bang, nak!"

Puuiihhhhhh...umpanku sudah direntap ikan liar. Mereka teramat yakin dengan apa yang bakal kuhidang. Kugunakan identiti aku yang agak 'Islamik' untuk meyakinkan bahawa mereka bakal menyaksikan sesuatu yang tidak terlintas di fikiran. 

"Baik, tetapi ada syaratnya. Mata kamu bertiga harus ditutup dan bila sampai masanya, baru ikatan dibuka dan kamu akan saksikan sesuatu yang asing".

"Kamu harus ikut arahan pembantu saya. Jika engkar, saya tak jamin peluang kamu untuk melihat makhluk halus itu".

"Baik bang, saya akan turut semua arahan", begitu teruja nampaknya mereka bertiga. Apa taknya, masuk sahaja bilik mereka sudah ternampak segala alatan yang sinonim dengan upacara perbomohan.

Pembantu-pembantuku yang bersubahat mula menutup mata mereka dengan kain kuning petanda permainan bakal bermula.

Lilin dinyalakan dan jampi serapah bermain-main di bibirku. Kuubah tonasi suara bagi menunjukkan yang aku dalam keadaan sedang 'menurun'.


"Pancaindera yang terhijab menentang alam. Namamu kuseru seakan bisu meledak nafsu. Raja bertandang menampak seri. Hamba yang tidak bernama menunjuk hajat. Seruan wajib menjemput takdir...hadirlah..hadirlah".


Dalam keadaan aku berpura-pura menurun itulah pembantuku memula peranan. Dibakarnya punggung bekas aluminum sehingga menghasilkan jelaga hitam. Jelaga itu yang disapu ke atas muka-muka 'freshie' itu! Sapuan itu meliputi keseluruhan muka sehingga layak mereka digelar orang 'Habshi'.

Tidak cukup dengan itu, mereka dipakaikan dengan rambut 'afro' ala David Arumugam (Alleycats). Hahahaaaaaa.....aku serasa tidak tertahan dengan paras rupa mereka.

Tak puashati lagi, pembantu mula menyapu tepung yang bercampur air seperti ramuan membuat cekodok. Pipi kiri, pipi kanan, dahi dan dagu bercalit pangkat sarjan...dah jadi macam orang Afrika menari tarian 'Wakarewarewa'.

Aku dah hilang kawalan sehingga terhambur gelak besar tetapi yang seronoknya mereka masih lagi menganggap itu gelak 'menurun'. Salah seorang dari mereka sampai menggigil menggenggam tangan ketakutan menanti ikatan dibuka untuk melihat makhluk halus.

Kcak, kcak, kcak...'snap' gambar berbunyi. Gambar yang bakal menghapuskan iras 'arrogant' mereka.

Aku hampir kepada penyudah kerana melihat pembantu-pembantuku sudah macam nak gila menahan gelak. Kuarah pembantu membawa mereka keluar dari bilik berdiri di koridor. Pembantu yang seorang lagi bergegas memanggil pelajar lain yang sedang menonton tv untuk menonton rancangan sensasi hidangan kami.

"SATU, DUA, TIGA...BUKAAAAAAK!!!!!", arahku.

Hahahahahahaaaaaa kikikiiihhhhhhhh huhuhuuuuuu hohohoooooo.....pelajar-pelajar lain hilang harga diri dalam menghamburkan gelak yang bukan main...sehingga ada yang terduduk menahan sakit perut melihatkan 3 orang 'Kunta Kinte' sesat di asrama. 

Balutan mata dibuka dan masing-masing melihat wajah satu sama lain. Mereka sendiri mula tersenyum malu. Cermin diberi, apalagi....mereka bertigapun berdekah-dekah gelak melihat 'makhluk halus' yang dijelmakan oleh aku.

Keadaan menjadi riuh rendah dan tidak terkawal sehingga penghuni asrama putri yang bangunannya bersebelahan kami, terintai-terintai dari celahan cermin untuk melihat apa yang berlaku.

Habis kisah. Mereka bertiga menjadi rapat denganku dan mula menegur 'senior-senior' yang lain.

Tetapi kisah lain pula yang muncul. Peristiwa malam minggu itu telah tersebar ke asrama putri kerana mereka mendesak pelajar lelaki untuk menceritakan apa yang berlaku. 

Al kisahnya mulai saat itu, penghuni asrama memanggil aku 'KUN'...singkatan nama DUKUN. Wajah 'African Look' itu tetap segar sehingga sekarang.

TAMAT

No comments:

Post a Comment