Translate

Tuesday, 3 September 2013

"Allah Pilih Saya...bang"

Sekembali dari tugasan di luar negara, selepas mendapatkan bagasi selalunya terus aku menuju ke sebuah syarikat perkhidmatan teksi untuk menghantar kupulang ke rumah. 

Malangnya hari itu tiada teksi yang menunggu di luar. Lantas pegawai syarikat itu mencadangkan aku untuk dapatkan perkhidmatan syarikat lain di kaunter hujung. 

Bergegas aku ke sana kerana tidak mahu lewat sampai ke rumah. Tiket kubeli dan aku diarah untuk ke tingkat satu bagi mendapatkan teksi (aku agak mengeluh kerana terpaksa berjalan jauh untuk syarikat perkhidmatan teksi yang tidak pernah aku langgani ini).

Alhamdulillah, sesampai sahaja di situ ada teksi yang menunggu...terus aku disapa oleh pemandunya yang berbangsa Cina. Aku naik, menyandarkan badan sambil memeriksa emel dan SMS.

"Abang nak ke mana ye, boleh saya dapatkan resit?", pemandu itu menyapaku.

"Ooh saya nak ke Bandar Baru Bangi, Seksyen 3. Nah ni resit", aku memberi respon sambil mataku masih menatap emel.

Selesai mataku menjelajah ke segenap tajuk emel dan SMS, aku tutup telefon bimbit sambil memandang ke hadapan jalanraya. Serasa mahu melelapkan mata sebentar, maklumlah tidur di dalam pesawat sebenarnya menempah sengal-sengal badan...bertambah letih jadinya.

Tiba-tiba mataku terkilas kepada kopiah di atas 'dashboard'. Kukerling pula lesen teksinya, "Nama Cina, muallaf ke dia? Kenapa tak tukar nama? Tapi lagu yang dimainkan di radio adalah lagu Melayu melalui stesen radio Sinar FM", mengantukku hilang atas desakan soalan yang menerpa minda.

"Saudara, boleh saya tanya satu soalan?", aku memecah bunyi deruman teksi sambil kepalaku masih tersandar di kusyen kereta.

"Boleh bang, nak tanya banyaaaaakkk pun boleh. Saya tak kisah", terus dia sambut teguranku dengan ramah.

"Saudara ni Muslim ke? Aku langsung bertanya tanpa berselindung.

"Ya bang, dah 11 tahun dah saya menganut Islam". Jawapannya yang ramah memujuk aku untuk bertanya lagi.

"Eerrmmm..sebab apa peluk Islam?", aku dapat rasakan yang dia memang mengetahui soalan-soalan lazim itu.

"Allah pilih saya bang", ringkas jawapannya tetapi membuat aku rakus untuk bertanya lagi.

Jawapan ringkas itu amat-amat menarik mindaku kerana sudah pasti ada cerita menarik di sebalik tonasi 'Allah pilih saya'.

"Saudara dah kahwin?"

"Belum lagi bang, tengah mencari la ni", dia mula berseloroh.

Haaa...aku pasti akan korbankan waktu santaiku di dalam teksi kerana dia belum berkahwin. Apa maknanya tu? Itu maknanya dia peluk Islam bukan kerana nak kahwin tetapi memang kerana "Allah pilih saya'. Aku mula membetulkan dudukku untuk lebih mengetahui siapa insan ini sebenarnya.

"Siapa nama saudara?" soalan lain menerpa.

"Firdaus...nah ni kad saya", segera menghulur kad memberi isyarat bahawa dia selesa berbual denganku.

"Boleh En Firdaus cerita sikit macam mana boleh peluk Islam?", aku meminta tanpa silu.

"Sebenarnya bang, saya peluk Islam bukan macam orang lain...saya tidak berkawan dengan orang Melayu dan tidak pernah mempelajari Islam. Saya kecewa dengan keadaan sekeliling, saya salahkan Tuhan atas apa yang berlaku pada saya. Bisnes saya hancur, abang kandung saya sendiri mengkhianati saya juga keluarga tidak menyebelahi saya. Saya lari bawa diri ke Pulau Pinang mencari kerja sebagai pemandu trak kontena".

"Hidup saya keika itu tidak keruan, saya tak tahu apa yang saya cari. Pagi hingga ke petang saya kerja dan malamnya minum sampai mabuk. Begitulah rutin hidup saya setiap hari. Hinggalah di suatu hari tiba-tiba datang satu perasaan...saya nak peluk Islam. Abang bayangkan dalam keadaan saya tak tahu apa itu Islam dan tak pernah ada minat nak mengetahuinya, tiba-tiba datang satu rasa yang kuat untuk nak peluk Islam...memang ajaib perasaan itu".

"Saya tak tahu nak rujuk pada siapa bang, saya tak ada kawan Melayu...saya buntu sekejap. Abang tahu tak nombor operator untuk kita minta nombor talipon satu-satu tempat atau syarikat...nombor 103 tu. Saya telefon nombor tu dan meluahkan perasaan kepada operator Islam yang menjawab panggilan saya. Operator tu nasihatkan saya untuk pergi ke Majlis Agama Islam dan dia beri alamat lengkap lokasi".

"Esoknya saya terus ke pejabat Agama Islam Pulau Pinang dan berjumpa pegawai yang bertugas. Tapi bang, ada masalah sikit. Kata pegawai tu, kalau nak peluk Islam, saya harus pergi ke negeri kelahiran saya seperti yang tercatat di IC iaitu Perak. Susah jugak nak peluk Islam ni ye bang, katanya berseloroh", atau aku rasa itu satu sindiran untuk kita renungi.

"Saya pergi ke negeri Perak pula dan menyatakan hasrat saya kepada pegawai Agama yang bertugas. Dia tanya saya datang dengan siapa? Saya kata seorang sahaja. Jawab pegawai tu saya tak boleh peluk Islam seorang diri, mesti ada kenalan Islam yang memperkenalkan saya juga bertujuan untuk menjadi saksi. Saya kata kalau macam tu, encik-encik semua boleh menjadi saksi, tak perlu oang lain. Kedegilan saya membuat pegawai tu beralah dan mengajar saya mengucap kalimah syahadah...Alhamdulillah".

Firdaus...ya, seorang yang berbangsa Cina telah memeluk Islam bukan kerana wanita Islam yang ingin dikahwininya, bukan juga kerana bahagian zakat yang telah diperuntukkan kepada 'muallaf' (saudara baru). Dia peluk Islam dalam keadaan jiwanya kacau, bilau dan serabut. Cuba bayangkan, bolehkah kita membuat keputusan terbaik yang membabit masa depan apatah lagi anutan agama yang boleh merubah landskap hidup seseorang di kala jiwa tidak tenang? Jika itu keadaannya, pasti kita akan rujuk kepada seseorang untuk dorongan nasihat mahupun panduan...setidak-tidaknya kita menunggu keadaan menjadi tenang, baharulah keputusan diambil.

Tetapi keadaan itu tidak berlaku kepada insan yang bernama Firdaus Kong ini, keputusan drastik yang diambilnya pasti didorong oleh sesuatu...yang lebih merupakan anugerah kepada seseorang. Dikala itu aku percaya 'jiwanya di dalam genggaman Allah'. Allah telah memilihnya untuk sesuatu yang boleh menyelamatkannya di dunia mahupun di akhirat. Mungkin jua atas dasar Allah redha atas sesuatu yang dilakukannya di zaman jahil dahulu.

Teringat pula aku sebuah hadis yang menceritakan bagaimana Allah telah menempatkan seorang pelacur ke dalam syurgaNYA. Allah redha di atas kebaikannya memberi minum seekor anjing yang dahaga...syurga balasannya. Maka tidak hairanlah jika kisah yang sama boleh berlaku ke atas insan ini.

"Ada apa-apa masalah ke sepanjang En Firdaus menganut Islam?" Aku mencelah lagi.

"Abang, saya kena berterus-terang dengan abang. Saya harap abang boleh terima apa yang akan saya ceritakan ini".

"Kami muallaf ni sering dipandang jahil oleh orang Melayu Islam. Saya tidak dapat merasa kasih sayang dari mereka seperti mana yang dianjurkan oleh Islam. Saya masih lagi berasa terpinggir seolah-olah Islam di Malaysia ni hanya untuk orang Melayu sahaja. Sehingga kadang-kadang bila saya masuk masjid untuk solat, saya malas nak berjemaah bersama mereka".

"Sering saya ditanya bagaimana saya peluk Islam...bla, bla, bla, habis cerita, habislah semua. Tiada siapa tanya apa yang perlu dibantu, macam mana cara nak bantu, cukupkah keperluan saya sehari-hari. Saya bukan nak bantuan sangat bang, tetapi saya hanya nak sokongan dari orang Melayu Islam".

"Pernah saya bertanya tentang keperluan zakat kepada pegawai Agama untuk muallaf macam saya, mereka semua tak boleh bantu..banyak sangat protokolnya. Bila saya pertikaikan ke mana peruntukan wang zakat untuk kategori muallaf, mereka kata saya tak perlu mengetahui perinciannya...jangan hendak memandai-mandai".

"Saya kecewa dengan sikap orang Islam macam ni. Sebenarnya bang, bukan nilai duit yang saya pandang tetapi bagaimana cara orang Islam mengendalikan sesuatu amanah. Keadaan ini membuatkan saya rasa semakin jauh dengan orang Melayu Islam".

Aku terbungkam tidak terkata dengan permasalahan saudara baru ini. Ini bukan masalah Islam tetapi bangsa yang menganutnya..bangsa aku agaknya ingin menjadi 'bangsat' bilamana mereka tidak hirau tentang keperluan saudara baru.

Aku lantas mencari fakta tentang kutipan zakat di Selangor. Pada tahun 2011, kutipan zakat keseluruhan berjumlah RM394.1 juta. Agihan untuk 'muallaf' berjumlah RM15.5 juta (sebanyak 4%). Aku kurang pasti apa kriteria 'muallaf' yang berhak menerima wang zakat ini, tetapi yang nyata peruntukannya ada dan agihan telah dilaksanakan. Agaknya sebab beliau mempunyai pekerjaan tetap maka prioriti diberi kepada 'muallaf' yang berstatus fakir dan miskin.

Tetapi jika benar berlaku penyelewengan, sedikitpun tidak aku hairan kerana Melayu Islam hanyalah warisan keturunan, tidak jitu imannya. Wahai Bangsaku...jangan berbangga dengan status Islam yang kita miliki kerana warisan Islam yang kita anuti boleh menjadi perangkap kepada kebodohan kita. Kita selesa menjadi Islam, lantas tidak mahu mendalami dan mengkaji ilmu-ilmu Syariah...hanya berpandu kepada Imam-imam muktabar.

"Satu lagi bang, saya pernah tanya kepada pegawai agama, adakah dibenarkan wang zakat dibuat perniagaan sehingga mendatangkan keuntungan...mereka tak boleh jawab bang. Wang zakat sepatutnya diberi kepada 8 asnaf yang layak bukan untuk dibuat berniaga". Keluhannya makin berpanjangan.

"Errr En Firdaus, boleh saya jawab persoalan tu?" aku ingin memperjelaskan sesuatu agar kemelutnya diberi batas.

"Ya bang, saya dengar ni", dia mula membetulkan cermin pandang belakang kereta.

"Memang betul tidak ada Nas menyatakan bahawa wang zakat boleh diperniagakan tetapi tiada Nas pula yang melarang. Hukum Feqah tidak statik, ia berkembang dan boleh berubah mengikut peredaran zaman. Ulama' boleh berijtihad menggunakan segala kepakaran dan ilmu yang ada dan dari situ diharuskan untuk memanjangkan wang zakat ke arah bidang perniagaan. Jadi tidak ada isu di situ. Mungkin mereka yang kamu dakwa pegawai agama itu hanyalah kerani di kaunter pusat zakat, mereka kurang ilmu untuk menjawab".

"Contoh terbaik ialah menurut Mazhab Syafie, agihan wang zakat haruslah berupa makanan ruji di sesuatu tempat, di Malaysia tentulah beras. Cuba En Firdaus bayangkan jika setiap tahun kita berzakat dengan beras, bekalan beras yang dikumpul oleh pejabat agama akan melimpah ruah dan simpanan yang lama akan menyebabkan beras berulat. Tidak semua fakir miskin memerlukan beras, mungkin mereka lebih memerlukan wang ringgit untuk membeli segala keperluan harian yang lain. Jadi, Ulama' di Malaysia telah menggunapakai Mazhab Hanafi iaitu menggunakan matawang sebagai zakat...itu lebih praktikal". Hujahku bermula dengan satu tujuan, agar dia lebih faham perbandingan Syariat dan Fiqh.

Aaahhh...nampak nyata bahawa mereka yang bukan Islam yang diberi hidayah sebetulnya ingin menjadi Muslim sejati dengan mempelajari dan mengkaji apa itu Islam. Islam bukan milik eksklusif orang Melayu di Tanah Melayu...Islam itu universal, lantas cubalah kita raikan mereka yang baru memeluk Islam sepertimana penerimaan kaum Ansar terhadap Muhajirin sewaktu peristiwa Hijrah. Mereka telah dipersaudarakan, diberi tempat tinggal, berkongsi harta juga ada yang sanggup menceraikan salah seorang isteri mereka demi untuk dinikahkan kepada mereka yang sehelai sepinggang berhijrah ke Madinah.

Jangan memandang remeh kepada mereka yang baru setahun jagung memeluk Islam. Silap-silap, bacaan fatihah mereka lebih mantap dari kita yang mewarisi tonasi fatihah seawal usia 5 tahun dan tonasi yang sama diperdengarkan di usia senja tanpa ada usaha untuk mempelajari hukum tajwid.

"En Firdaus, ini bukan masalah agama Islam tetapi penganutnya sendiri yang tidak menghayati ajaran Islam yang syumul ini. Oleh itu saya cadangkan agar En Firdaus tumpukan kepada amalan fardhu dan mantapkan iman agar jiwa kita tenang untuk menghadapi kerenah-kerenah dunia ini. Kita tidak mampu mengawal sikap manusia tetapi En Firdaus masih mampu kawal diri sendiri". aku selit sedikit nasihat agar jiwanya kembali tenang.

"Tapi bang, ini semua tak adil bagi kami yang memeluk Islam, mereka tidak memberi bantuan dan dorongan untuk kami amalkan Islam", dia mencelah lagi dengan nada yang agak mengeluh.

"En Firdaus, sebab itu Allah wujudkan akhirat...hari pembalasan. Segala yang tidak adil itu akan dibalas dengan seadil-adilnya di Mahkamah Allah nanti, percayalah. Bagaimanapun saya ucap terimakasih kepada En Firdaus kerana berani meluahkan perkara yang agak sensitif ni. Saya berbangsa Melayu tetapi saya lebih meletakkan Agama Islam di atas segala bangsa dan keturunan. Jadi, tidak menjadi masalah kepada saya untuk mendengar keluhan En Firdaus tentang kelemahan bangsa saya. Tiada bangsa yang terlebih mulia dari sifat takwa yang ada dalam diri...itu lebih selamat".

"Saya yang patut berterimakasih dengan abang kerana banyak bagi nasihat kepada saya", dia nampaknya mula berlembut dan tenang.

Sesampai di rumah, kami bersalam untuk berpisah dan dia memohon agar aku mendoakannya bertemu jodoh untuk dia meneruskan hidup bersama keluarga baru.

Aku memohon untuk memaparkan kisahnya di blog. Sebaik sahaja aku memberi nama blog seperti yang diminta, terus dia membukanya di telefon bimbit...EVOLUSI JIWA dalam tatapannya.

Aku menganalisa sendiri, ketiadaan teksi yang biasa aku langgani telah menemukan aku dengan insan ini...pertemuan yang dirancang oleh YANG MAHA MERANCANG!!!

En Firdaus Kong...terimakasih kerana jujur menegur bangsaku...



No comments:

Post a Comment