Translate

Saturday, 10 August 2013

Sempurnakah Hari Raya Itu?

Ramadhan sudahpun melabuhkan tirainya, peranan yang dimainkan bulan mulia itu bukan sedikit impaknya kepada umat Muhammad...tidak pernah ditawarkan kepada selain umat Muhammad. Menunjukkan betapa Allah telah melebih dan memuliakan kita semua!

Bertamu 1 Syawal diarah kita bergembira tanpa melanggar batas-batas syarak. Berhibur mendengar lagu-lagu raya, menonton program-program tv di samping menziarahi sanak saudara dan handai taulan...antara aktiviti yang diharuskan sepanjang kita beraya. Itu yang dinamakan hari kemenangan. Kita berjaya dalam pertempuran bersama hawa nafsu sendiri tanpa hadir syaitan di sekitar.

Tetapi syaitan ada muslihatnya sendiri di pagi syawal. Dibisik untuk berbangga-bangga dengan pakaian baru, kereta baru, hiasan rumah serba baru untuk dipamer di laman-laman sosial.

Leka berhibur sehingga mengkesampingkan solat fardhu di awal waktu. Bersalam-salaman tanpa membataskan hak di sekitar mahram. Makan berlebih-lebihan sehingga lelah untuk bernafas.

Jika itulah tafsiran kejayaan menempuh Ramadhan, nyata syaitan yang sebenarnya telah berjaya mendidik kita dengan segala perilaku negatif itu di sepanjang 11 bulan misi dan visinya terhadap kita. Ditinggalkan buat kita bekalan kejahilan dan kita yang menjadi bahan objek untuk melaksanakan legasi peninggalannya.

Tidak cukup dengan itu, dihambatnya pula kita dengan berlumba-lumba berpuasa 6 hari Syawal. Amalan sunat itu amat baik dikerjakan atas kekuatan hadis sahih yang menggalakkannya. Tetapi perlaksanaannya agak tersasar bila mana sibuklah kita bertanya sana sini pada yang lain, sudahkah berpuasa 6? Konon untuk mengingatkan yang lain tentang kelebihan amalan sunat itu. Tanpa sedar, kita sebenarnya galak mempromosi diri dan berbangga-bangga dengan sekelumit amalan itu. Lihatlah peranan syaitan yang amat licik itu!

Wahai diri, berbaliklah kepada sifat tawadhuk dan penuh syukur dalam menyambut Hari Raya agar 'maqasid'nya tercapai. Disamping berhibur merayakan kejayaan, kita juga boleh meraih pahala dalam mengamalkan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Kita lihat pula bagaimana dengan segala amalan di sepanjang Ramadhan? Membaca al Quran contohnya, jika kita galak membacanya setiap sehabis solat fardhu di bulan puasa...mengapa tidak kita panjangkan amalan baik itu di bulan-bulan seterusnya? Ya...mungkin kita membaca al Quran demi meraih pahala berlipat ganda atas setiap huruf yang dibaca...baguslah tu. Tetapi al Quran merupakan mukjizat yang masih wujud untuk umat Muhammad...rugi tidak kita amalkan di dalam kehidupan seharian.

Di sinilah Hadis mengambil tempat yang bermaksud, "Jika kamu sembah Ramadhan, maka Ramadhan akan berlalu pergi. Tetapi jika kamu sembah Allah, maka Allah itu tetap ada dan tidak mati...".

Jadi segala amalan itu sebenarnya bukanlah hanya untuk diamalkan di bulan Ramadhan sahaja tetapi guna untuk dihayati di sepanjang kehidupan kita.

Semoga kita tidak menyimpang dalam mempamer erti 'kejayaan' menyambut Syawal.  

Hanya berpesan-pesan pada diri sendiri...



No comments:

Post a Comment