Translate

Tuesday, 13 August 2013

Dia Kahwin Dua?



Kahwin...ia merupakan tuntutan Islam yang tidak boleh dipandang remeh apalagi dipertikaikan. Gunanya untuk kita salurkan nafsu kurniaan Allah ke jalan yang betul...melalui perkahwinan yang sah. Juga untuk mendapat zuriat yang diiktiraf hak-haknya di sisi Islam seperti boleh mewarisi harta pusaka dan mempunyai nasab yang jelas.

Apabila kita mendapat kad undangan perkahwinan dari saudara-mara mahupun handai taulan, tidak banyak persoalan dan pertanyaan yang timbul di benak fikiran. Paling tidak, kita akan fokus kepada tarikh jemputan dan lokasi. Mungkin juga kita ingin tahu pasangannya berasal dari mana dan apa pekerjaannya.

Tetapi apa keadaannya jika senario ini yang berlaku...kita mendapat khabar bahawa si polan itu kahwin dua, tiga mahupun empat!

"hhmmm..part kahwin ikut sunnah tapi part lain punah".

"aku memang tak percaya dengan ustaz-ustaz ni, kenapa mesti nak kahwin dua?".

"kalau betul nak bantu wanita-wanita agar tidak teraniaya, kahwin je lah dengan ibu-ibu tunggal dan mak janda, kenapa mesti nak kahwin dengan anak dara muda belia?".

Walau tanpa mendapat kad undangan, kita begitu teruja mempersoalkan status kahwin lebih dari satu. Bagi kita, itu sesuatu yang kurang baik yang dilakukan oleh seseorang. Pendek kata, sesiapa yang berkahwin dua atau lebih bakal menerima cemuhan dan pandangan serong masyarakat MELAYU!

Nyata...emosi keMelayuan kita sudah ke tahap 'Ultra Melayu'. Jika konsep 'Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah', tidak menjadi masalah untuk digunapakai kerana pegangan 'adil' itu memang dituntut di dalam Islam. 
Tetapi konsep 'Melayu kahwin satu Melayu dihormat, Melayu kahwin 2, 3 dan 4 Melayu dilaknat' adalah amat keterlaluan untuk diserapmasuk dalam pemikiran kita.

Nyata sekali lagi...emosi kita melangkaui pegangan syara' yang terkandung di dalam NAS yang datangnya dari langit...bukan buatan manusia.

Ya...mungkin cemuhan yang datang itu ditujukan kepada manusia-manusia yang tidak mampu sebenarnya melaksanakan sistem kahwin lebih dari satu...itu mungkin benar untuk manusia kelas biasa yang hanya berseronok-seronok mengikut telunjuk nafsu.

Tetapi mengapa kita tidak berlembut hati kepada orang-orang agama yang cuba sebaik mungkin mengimarahkan sunnah demi menggapai pahala. Mereka yang berilmu pasti mahir dalam hukum halal dan haram juga keadilan di dalam melayari alam rumah yang berbilang tangganya.

Mereka takut untuk tidak berlaku adil kerana segalanya bakal disoal di akhirat. Mereka gerun untuk berkahwin melebihi satu jika kewangan tidak mengizinkan demi nafkah yang mencukupi. Mereka tidak terniat untuk menikah lagi jika tahajud dan hajat di kedinginan awal pagi tidak memberi alamat yang baik untuk diteruskan hajat itu. SEGALANYA BERPAKSIKAN REDHA DAN KEIZINAN ALLAH.

Yang terlebih nyata...mereka kahwin atas dasar syariat membenarkannya...tidak kira siapa mereka. Kelas bawahan, jahil agama mahupun ustaz dan Tuan Guru.

Aahhh...yang kita cemuh itu sebenarnya tiada perempuan simpanan, sebaliknya mereka memiliki isteri-isteri yang sah.

Yang kita pandang serong itu sebenarnya meraih pahala berganda kerana telah menghidupkan sunnah. Sekiranya kaum Ultra Melayu berpakat untuk memboikot kahwin melebihi satu, akan terpahat di dalam sejarah bahawa Islam Melayu Malaysia telah mematikan satu sunnah Nabi SAW.

Mereka yang kita jadikan bahan cerita sesama berkumpul itu sebenarnya mendapat bahagian pahala kebaikan yang diambil dari perkumpulan itu. Tak terasa rugi ke? Sudahlah kebaikan pahala tidak sebanyak mana hasilnya, hendak diberi pula kepada orang lain.

Biarlah mereka yang berkahwin lebih itu bahagia bersama dunia mereka. Mereka tidak bermaksiat tetapi cuba menambah pahala. Jika kedapatan masalah, biar sesama mereka selesaikannya tanpa kita menambah asam garam kunyit.

Kemungkinan amalan mereka tidak sehebat mana malah jauh kurangnya dari kita, tetapi sikap adil mereka sesama isteri boleh menjadi penyelamat untuk mendapat syafaat Nabi SAW.

Usah dipertikai calon isteri mereka...janda beranak dua, janda berhias mahupun anak dara, itu semua atas ketentuanNYA. Jodoh, ajal, maut adalah urusan Tuhan. Jangan kita pula yang hendak mengambil alih tugas Tuhan dengan mempertikaikan calon-calon isteri mereka.

Aaahhhhh...rupanya tanpa sedar, mulut kita pula yang galak bermaksiat.

Aaahhhhh...rupanya tanpa sedar, kehidupan keluarga kita (yang beristeri cuma seorang sahaja) yang kucar-kacir tanpa asas agama. Mereka yang beristeri lebih itu pula bersungguh-sungguh menerapkan Islam dalam rutin harian.

Aaahhhh...rupanya tanpa sedar, kita menjadi penentang kepada syari'atullah!!!

Jika yang bermaksiatpun harus kita jaga airmukanya dengan tidak menyebarluas keaibannya (dengan mendoakan agar mereka berubah), inikan pula mereka yang melakukan perkara halal dan sah di sisi syara'...atas dasar tidak setuju, kita terus memburuk-burukkan situasi seolahnya mereka bergelumang maksiat..Masyaallah!

Akhir kalam, kepada suami-suami yang tidak terlintas untuk menambah cawangan, janganlah merendah-rendahkan status isteri dengan mengatakan ,"Yang seorang inipun tak terjaga". Bukankah lebih manis dengan ungkapan, "Yang seorang ini sudah amat menghiburkan hati...tak perlu 2, 3 mahupun 4".

Renung-renungkanlah ye...

No comments:

Post a Comment