Translate

Thursday, 29 August 2013

Ilham Dari Korea


Aku bersama kawan-kawan sekerja menjarah bumi Seoul, Korea Selatan mengecap nikmat percutian...ke taman tema Disneyland, gembira tidak terkata. Mencari salji yang entahkan bila berkunjung tiba. Makin ditunggu makin sejuk rasanya tetapi kapas putih itu masih menyepi.

Sedang kami lena tidur, terdengar bunyi jentera seawal pagi. Menjenguk ke tingkap dan...."horeeeeyyyy...salji turun, salji turun", suara Isa memecah hening pagi lantas mengejutkan kami semua. Itu bunyi jentera yang sedang menolak timbunan salji ke sisi jalan. Apalagi, bergegas kami bersiap untuk tidak melepaskan peluang merasa 'ais kepal' original. Klik, klik, klik kami bergambar.

Eeerrmmm...itu semua sudah menjadi sejarah yang tidak diterima masuk untuk dipamerkan di Muzium Negara. Kisah 21 tahun yang lalu segar mengusik rasa. Aku mengembara lagi, tidak diiringi teman ceria...berseorangan. Kali ini aku ditugaskan untuk menyelesaikan misi di Korea Selatan, lebih terperinci lagi ke Incheon. Situasi yang amat berbeza...berbeza ya amat! Aku berlepas dari KLIA dengan rasa yang pelbagai.

Aku bukan dalam situasi berhibur tetapi penuh dengan pelbagai persediaan misi. Misi yang tidak boleh gagal sama sekali. Persediaan yang mencakupi mental dan fizikal. Jika mentalku tidak fokus...imej syarikat bakal tercalar pedih. Jika fizikalku lemah tidak bertenaga, bisa mengganggu segala yang dirancang.

Korea...sejarah menyatakan nama negara ini datangnya dari pedagang Parsi yang pertama melawat Semenanjung di zaman pemerintahan dinasti 'Goryeo'. Nama 'Goryeo' telah dimodenkan menjadi 'Koreans' (Choson) yang bermaksud 'Negara Pagi Yang Segar dan Nyaman'.

Negara yang berkapasiti penduduk lebih kurang 50 juta ini di penuhi gunung-ganang yang mendominasi 70% negaranya juga dikelilingi 3,000 buah pulau. Majoriti penduduknya menganut agama Buddha dan selebihnya Kristian juga Confucianism. Apa yang menarik perhatian aku ialah lebih kurang 40% populasi penduduknya tidak percaya wujudnya Tuhan...Atheist! Yang lebih membuat aku teruja bilamana salah seorang kakitangan mereka yang berurusan denganku adalah spesis Atheist!!!

Kami berbual dan aku semakin rancak ingin mendalami mindanya yang karut marut itu. Tidak pula sudi untukku berdebat dengannya atas kapasiti aku sebagai 'auditor' dan 'konsultan' yang pastinya harus menjaga integriti diri dan syarikat. Tumpuan kuberi kepada penceritaannya...dia tidak percaya wujudnya Tuhan dan segala yang berlaku adalah perencanaan alam semulajadi. Tiada hidup selepas mati. Tiada ritual agama, yang wujud hanyalah kehidupan yang tiada arah tuju. 

Dia seorang yang kuat bekerja (memang itulah resmi jiwa mereka) dan aku lihat memang penduduk negara ini menjadi hamba dunia. Jadi, tidak hairanlah jika mereka naik menjadi bangsa yang berjaya. Disiplin diri, integriti, komitmen adalah antara ramuan kejayaan ditambah dengan klausa 'Hamba Kerja'.


Jenama Samsung, LG, Daewoo, Hyundai, KIA, K Pop (yang menggila di Malaysia) juga Park Ji Sung (pemain bolasepak yang berjaya di arena antarabangsa). Itu semua membuktikan betapa hebatnya spesis yang menghambakan diri kepada dunia ini. Memang hukum alam menetapkan begitu. Berusaha tanpa jemu dan henti, pasti membuahkan hasil. Tetapi hasil itukah yang kita cari? Ini bukan konsep Islam. Bercucuk tanam di dunia...menuai di dunia. Sudahnya...tiada bekalan langsung tinggalan akhirat.


Tetapi banyak yang boleh dipelajari di bumi Korea ini. Kehidupan mereka ironinya boleh memalukan umat Islam sendiri. Kebersihan amat merata tidak terkata terutama tandas awam. Di tandas pejabat, sedang aku membasuh tangan di sinki, ekor mataku menjejaki seorang kakitangan sedang mengelap air dengan tisu di sekeliling bibir sinki selepas membasuh tangan, mereka terlatih dengan suasana bersih dan kering di dalam tandas. Di bandar, aku terkilas kepada seorang pemuda yang berlari-lari ke arah tong sampah untuk membuang sesuatu kerana bas sudah menghampiri. Ya...mereka tetap mengamalkan disiplin walau apa jua keadaannya.

Berada seminggu di sini menatijahkan impak yang besar kepadaku. Sejujurnya, tekanan datang dari pelbagai arah. Berhadapan dengan mereka tidak semudah yang disangka, mereka amat kritis dan inovatif. Setiap apa yang kucadang untuk penambahbaikan mesti beserta justifikasi logik atau pasti aku akan berhadapan masalah. Ya, kehidupan mereka hanya bersandar logik akal tanpa mahu menerima norma-norma agama. Jadi, aku ubah strategi...aku merangka-rangka logika untuk setiap cadangan. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan tidak sepicingpun mereka melatah malah menyambut baik segala saranan yang aku berikan. Natijahnya aku semakin matang mengendali situasi yang pelbagai..Alhamdulillah, Allah bersamaku.

Ini malam terakhir aku bermusafir tetapi bukan akhiran kepada tugasan. Aku lebih memerlukan situasi-situasi yang mencabar kematangan diri. Yang nyata, permusafiran bisa memakbulkan doa. Aku perlu banyak berdoa atas kapasiti 'aku insan yang lemah'.

Ini bukan bumi Korea tetapi bumi Allah untuk didiami makhluk-makhlukNYA.

Sekian...Incheon, Korea Selatan 29 Aug 2013, Jam 2345.


No comments:

Post a Comment