Translate

Thursday, 18 June 2020

Mak Tak Bagi Balik

Suasana di asrama semuanya sama. Pelajar akan ditempatkan di dorm masing² dan diberi kemudahan asas seperti katil, tilam, bantal dan almari. Selebihnya, kenalah sediakan sendiri...seperti makanan tambahan untuk kudapan mahupun duit belanja.

Aku? Alhamdulillah sepanjang berada di asrama, tak pernah putus wang saku yang bapak beri. Petang² waktu santai, bolehlah ke gerai berdekatan pekena karipap dan teh tarik Pak Mail di tepi simpang masuk ke asrama.

Aku tak pernah terfikir yang ada di kalangan kami yang tiada duit belanja...MANA MUNGKIN! getus hatiku.

Errmmm...itu kisah di tahun 80an di zaman persekolahan. Aku bersama teman² asrama riang ria dan gelak ketawa bersama.

Hari ini...dalam menjangkau usia setengah abad, sebuah telemovie yang disiarkan di TV3 mencarik2 hati yang jahil sebelumnya. Hati yang buta bersama hilai tawa teman² sekolah. Perkataan MANA MUNGKIN yang dicetus minda remaja, dicantas agak lewat usia.

Banyak sangat kemungkinan² yang terjadi tanpa kita sedar dek terlindung dari harga diri mereka yang menjaganya.

Mereka tiada wang saku...kalau adapun, hanya cukup² untuk tambang bas balik ke kampung. Sebab itulah kelibat mereka tak kelihatan di warung² di petang hari.

Mereka tak balik ke kampung di kala pelajar² lain dijemput balik oleh keluarga dengan kenderaan masing². 

Sebab apa mereka tak balik? MAK TAK BAGI BALIK! Kalau balik, nak makan apa? Adik beradik lain semua berpuasa setiap hari. Berbuka pula bersama lauk ikan sepat dibelah dua hasil tangkapan ayah di sungai. Kalau duduk di asrama tu, terjaga makan minum semua.

Kalau balik, ayah tiada duit nak beri tambang balik ke asrama. Musim hujan, ayah tak boleh pergi menoreh...tiada hasil.

Merintih hati Kaklong bila tiba waktu makan di dewan sebab teringat adik² yang lain tak cukup makan...sampaikan kaklong simpankan kuih² minum petang untuk dibawa balik ke rumah..nak diberi kepada adik². Sudahnya busuk semua kuih² tu...menitik airmata kaklong...Allahu!

Itulah kisah siaran telemovie yang aku percaya telah diadaptasi dari kisah benar yang banyak berlaku di kalangan masyarakat kita...AKU SAHAJA YANG JAHIL UNTUK MENYEDARINYA!!!

Terimakasih...MAK TAK BAGI BALIK.


Wednesday, 10 June 2020

Ebit Lew Menegur

Galak kita melihat Ebit Lew bercerita tentang keluarga..tentang isteri yang digelar bidadari juga tentang anak²nya. Dipromosikan segala kelemah lembutan dan kasih sayang dalam hidup berkeluarga. Dibelikan hadiah² mahal buat bidadari yang disayangi.

Rasa²nya Ebit Lew nak menunjuk² kehidupan beliau yang penuh mawaddah tu?

Aa aaa...tunggu dulu...sebelum prejudis mengambil tempat, kau kena kenal siapa Ebit Lew.

Beliau berasal dari keluarga susah. Yuran belajarnya kekadang ditanggung orang yang prihatin. Bila mula belajar hidup berdikari, beliau tidur di masjid. Makanannya bercatu tetapi tak pernah meminta² apa yang kurang.

Dalam mencari kebenaran, beliau menghayati dengan bersungguh² cara hidup Islam. Rasulullah menjadi idola.

Beliau tegar turun padang bagi menarik golongan² jahil yang terbiar untuk kembali kepada fitrah. Beliau nampak kepincangan yang berlaku...segala²nya bermula dari keluarga. Pada pemerhatiannya, keluarga Melayu Islam tidak mempraktik cara hidup Islam. Suami isteri kerap berkonflik, anak² sering dimarahi. Kasih sayang dalam hidup berkeluarga menjadi terlalu asing sifatnya.

Yaa...di sinilah bermula misi beliau untuk membetulkan segala yang pincang...setakat yang termampu. Dipromosi bantuan² untuk masyarakat yang terbiar termasuklah...

MENUNJUKKAN KASIH SAYANG DALAM KEHIDUPAN BERKELUARGA!

Dipimpin tangan isteri bidadari, dikucup dahinya. Dipeluk anak² yang sedang membesar dengan erat. Disebarluas foto² kehidupan berkasih sayang sebagai contoh didikan yang perlu dipraktik. 

Beliau gunakan sepenuhnya gelaran selebriti bagi mempengaruhi masyarakat ke arah kehidupan Islam.

Ebit Lew sedang mendidik masyarakat kita tentang cara hidup Islam!

Mesej beliau...kita semakin jauh dari semua itu!


Ujiannya Persis Bilal

Dalam perit menahan sakit diseksa, dia masih mampu menguntum senyuman. Hatinya tidak putus-putus mengucapkan "Allah, Allah, Allah, Allahu Akbar, Allah yang Maha Besar". 

Hatinya berbisik, "Ini untukMu wahai Tuhan, aku membeli kesusahan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat". Begitulah ungkapan kata yang menjadi penawar untuknya pertahankan iman.

Dia hidup di zaman Rasulullah. Dia memeluk Islam di awal penyebaran dakwah Nabi secara sembunyi². Dia seorang hamba perempuan dari Rom yang dibeli oleh Umar Al Khattab (sebelum Umar peluk Islam). Setelah Umar sedar yang dia memeluk Islam, lantas dia diseksa, disepak dan dihantuk kepala juga dijemur di tengah panas.

Kemuncak kepada penyeksaan yang diterima, matanya dicucuk dengan besi tajam lantas buta kedua belah mata. Penduduk Quraisy mengecamnya dan mengatakan itu adalah balasan laknat dari tuhan Latta dan Uzza.

Walau teruk diseksa dan dikecam, dia tetap pertahankan iman. Baginya tiada siapa boleh menolak ketentuan Allah. Dengan takdirNya, Allah pulangkan kembali penglihatannya malah lebih baik dan terang dari sebelumnya (karamah ke atas dirinya).

Apabila mengetahui kisahnya, Saiyidina Abu Bakar membelinya dengan harga yang tinggi demi untuk menyelamatkan iman dan dari terus diseksa.

Kisahnya tidak sepopular Bilal bin Rabah tetapi semangat dan ketinggian imannya persis Bilal...ZINNIRAH namanya.

Kisahnya telah dirakam menerusi sebuah lagu dari kumpulan UNIC.




Saturday, 30 May 2020

Nabi Ibrahim Takut?

Mengapa Nabi Ibrahim berasa takut terhadap 2 orang tetamu yang datang ke rumah Baginda?

Seperti kebiasaan apabila menerima kunjungan tetamu, Nabi Ibrahim akan menghidangkan makanan tetapi menjadi pelik kerana kedua² tetamu tersebut tidak menjamah langsung apa yang dihidang.

Nabi Ibrahim mula berasa takut kerana biasanya tetamu yang tidak menjamah makanan adalah mereka yang berniat untuk membunuh tuan rumah (kerana adat pembunuh tidak membenarkan makan makanan dari orang yang hendak dibunuh).

Setelah diterangkan bahawa mereka berdua adalah Malaikat utusan Allah yang hendak memberi khabar berita tentang kelahiran zuriat Nabi Ibrahim yang juga bertaraf Nabi (Nabi Ishak a.s), barulah tenang hati Baginda.

Berita ke 2 yang hendak disampaikan merupakan berita buruk iaitu Allah akan menurunkan bala ke atas kaum Nabi Lut yang mengamalkan homoseksual.

Kisah Nabi Ibrahim dikunjungi 2 Malaikat diceritakan di dalam Al Quran surah Al Hijr ayat 51-60.

Bahtera Nabi Nuh

Pembinaan kapal pertama berlaku di zaman Nabi Nuh. Baginda tidak pernah tahu untuk membinanya dan tidak tahupun bahawa manusia boleh mengembara di lautan dengan sebuah bahtera yang besar.

Pembinaan kapal berlaku dengan pengawasan Allah bersama panduan wahyu. Allah menghantar Malaikat untuk mengajar Nabi Nuh bagaimana untuk membuat bahtera yang besar tersebut. Bahtera dibina oleh Nabi Nuh sendiri bukan Malaikat. Malaikat hanya menunjuk ajar cara² membinanya.

Diriwayatkan bahawa struktur bahtera itu mempunyai 3 tingkat. Bahagian bawah untuk binatang, bahagian tengah untuk manusia dan bahagian paling atas untuk burung supaya senang untuk terbang dan mendarat.

Selepas zaman Nabi Nuh, barulah manusia giat dalam penciptaan kapal dan alat pengangkutan laut atas contoh bahtera yang dibina oleh Baginda.

Rujukan tafsir Surah Hud ayat 33-37.


Wednesday, 27 May 2020

Adiwiraku

"I'm going to miss you teacher" 😢 merupakan dailog perpisahan anak murid bersama guru di dalam sebuah filem.

Berkebetulan aku membuka TV saluran 2, muncul filem ADIWIRAKU di Hari Raya pertama jam 9 malam.

Sebetulnya aku tak minat sangat dengan naratif filem² Melayu. Tetapi filem ADIWIRAKU membunuh egoku untuk mengakui bahawa aku amat² terinspirasi dengan olahan kisah seorang guru bahasa Inggeris yang menaikkan nama SMK Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah.

Diterbitkan pada Mac 2017, filem ADIWIRAKU yang diangkat dari sebuah kisah benar, meraih anugerah Filem Terbaik dan Cerita Asal Terbaik Festival Filem Malaysia ke 29.

Tanpa pelakon hebat, rata² nama² marhain yang dipertaruhkan di layar perak mampu menjentik hati² biadab yang memandang lekeh genre filem² Melayu.

Filem yang dilakonkan oleh hampir semua watak sebenar, memilih lokasi yang juga sama bagi membangkitkan 'mood' pelakon yang terbabit di dalam pembikinan filem tersebut.

Masih ada...ya masih ada filem kita yang layak bertakhta di persada negara mahupun antarabangsa.

"Sakit itu sementara, kegemilangan itu selamanya".

AKU TER INSPIRASI!

* di tingkatan 1, aku juga pernah alami pengalaman menyayangi seorang guru wanita yang karekternya cukup disenangi oleh semua anak² muridnya. Mengajar subjek Bahasa Malaysia, beliau sentiasa tersenyum dan pandai mengambil hati pelajar²nya.

Impaknya, aku menjadi semakin minat dengan subjek BM dan karanganku sentiasa diangkat untuk menjadi contoh kepada murid² lain.

Doa untuk Cikgu Kamariah agar Allah merahmati kehidupan beliau dan diberi balasan setimpal dengan pengorbanan yang beliau lakukan.

SELAMAT HARI RAYA buat semua. Ampun maaf dipinta di atas segala khilaf dan salah selama kita bermedia sosial.
Taqabbalallahu minna waminkum.


Tuesday, 26 May 2020

Kita Tetap Sahabat

Bidaah?
Alaaaaa...tak payah bertegang urat laaa sebab amalan² yang Nabi tak buat tu takde Nas kata haram pun.

Secara mudahnya cam gini laa...

Yang dikatakan bidaah tu adalah sesuatu yang tidak bersumberkan apa² Nas iaitu al Quran, Hadis, Ijma' dan Qias.

Ulama' sepakat mengatakan...jika 4 sumber tu ada...amalkanlah walaupun Nabi tak amal. Mudah kan!

Ni perkara furu' je (cabang). Takkan sebab hujah² tu kau dah sentap. Aku tetap hormati keputusan kau untuk keluar dari majlis tahlil tu.

Bro...kita tetap sahabat till jannah Insyaallah.

Al Qadr 2

Malaikat ternanti² hadir pada yang sudi. DIA jua mencemar duli turun ke langit dunia.
Berapa lama lagi mahu kau berenak² di atas tilam empuk. 
Tanah semakin hampir...baunya tak kau peduli.

Peluang terhampar tetapi kau semacam hambar.
Hanya berbaki sedikit hari lagi...carilah.

DIA tak pernah mungkir janji!

Salam Lailatul Qadar.

Al Qadr

Cerita Lailatul Qadar

Mereka yang tinggi tahap imannya, teruja dengan PROSES untuk mendapatkan Lailatul Qadar. Dia tidak peduli dengan 'result'. Dapat atau tidak...dia tak kisah, biar Allah yang menentukan.

1-30 Ramadhan, dia konsisten dengan amalannya dan ditambah lagi pada 10 malam terakhir. Baginya, kepuasan beramal itu yang lebih dinikmati berbanding memilih² malam untuk beramal.

Apabila dirasanya Lailatul Qadar sudah berlaku pada malam 27...tetap diteruskan amalan secara bersungguh² pada baki hari Ramadhan sehingga ke malam 30.

Tanda² Lailatul Qadar menurut Hadis...

Malam yang lembut, tenang, cerah tidak gelap, tak terlalu panas atau sejuk, keesokannya sinar mentari begitu lemah tak terik dan agak kemerah²an.

Kalau bertemu, tak perlu bercerita pada orang lain...rahsiakan...ditakuti berlaku fitnah.

* Siapa perasan, di malam Lailatul Qadar, terasa kelainan beribadat...hati berasa sayu dan tenang.

Selamat beramal...tingkatkan ibadah, kurangkan juadah.

Rujukan:-
Kuliah Dhuha Ustaz Badlishah Alaudin

Monday, 25 May 2020

Cari Aku di Neraka

'Sahabat...kalau tak jumpa aku di syurga, carilah aku di neraka'.

Betul ke frasa tu? Boleh ke kita ucap perkataan macam tu? Mampukah sahabat menarik kita masuk ke syurga?

Penjelasan Ustaz Mohamad b Abdullah di siaran 'Tanyalah Ustaz':-

Ini sebenarnya bahasa sastera yang lembut bagi menggambarkan sahabat sejati semasa hidup.

Maksudnya...sewaktu di dunia, tegurlah aku, tenangkanlah diriku ketika marah dan jangan biarkan aku bergelumang dengan dosa dan maksiat.

Kata² doa ini adalah simbolik kepada betapa berharganya kita mempunyai sahabat sejati di dunia bagi memimpin hidup menuju akhirat.

Masih ada ke sahabat yang boleh memandu hidup kita? Jika tiada...carilah. Bersahabatlah dengan mereka yang selalu mengingatkan kita waktu solat.

Inilah sahabat permata yang boleh membawa kita ke syurga...Insyaallah.


Duitku Tiada Nilai

"Mak...ni wang perlindungan bulanan".

"Ehh perlindungan apalak?" Mak bertanya hairan.

"Mintak lindung dari api neraka dengan restu mak", jawabku selamba.

"Hihihiiiiii...ooooohhh Insyaallah mak selalu doa untuk semua anak² cucu mak", terhenjut² bahu mak gelak dengan lawak selamba aku tu.

Manis betul memori tu. Kalau aku tak cukup duitpun...aku tetap dulukan duit untuk mak...pandai la aku cari jalan lain macam mana nak hidup.

Aku rindu nak dengar ucapan mak bila duit kuhulur...

"Terimakasih laaaa..."

"Ye sama² mak...doakan gg sekeluarga ye".

Kalau raya...aku akan gandakan bilangan wang bulanan untuk mak sebagai angpau raya.

Tapi tu dulu..sekarang?

Sekarang duit aku macam dah tak laku. Kegembiraan nak bagi duit kat mak tiap bulan dah takde...mak dah berehat kat barzakh. Tapi aku tetap peruntukkan duit buat mak bapak dengan infaq sana-sini...hadiah atas nama arwah.

Dah nak dekat raya ni...ingatan aku makin kuat kat mak sebab mak baru je pergi Ogos tahun lepas. Sayu hati...tambah lagi dengan fasa PKP yang belum berpenghujung ni..niat nak berkumpul adik beradik pun tersekat...lagi la syahdu.

"Mak...doakan gg ye"

Mak dengar ke? Hhmmmm

Al fatihah buat mak bapak.

Cemburu Yahudi

Kenapa kaum Yahudi terlalu cemburu dan marah apabila Nabi akhir zaman dipilih dari kalangan bangsa Arab...bukan dari keturunan mereka.

Cuba lihat senarai Nabi/Rasul yang terkemuka dari kalangan keturunan Bani Israel:-

1. Nabi Adam
2. Nabi Idris
3. Nabi Nuh
4. Nabi Hud
5. Nuh Saleh
6. Nabi Ibrahim
7. Nabi Lut
8. Nabi Ismail
9. Nabi Ishak 
10. Nabi Ya'kub - B Israel
11. Nabi Yusof - B Israel
12. Nabi Ayub
13. Nabi Shuib
14. Nabi Musa - B Isreal
15. Nabi Harun - B Israel
16. Nabi Zulkifli
17. Nabi Daud - B Israel
18. Nabi Sulaiman B Israel
19. Nabi Ilyas - B Israel
20. Nabi Ilyasa - B Israel
21. Nabi Yunus - B Israel
22. Nabi Zakaria - B Israel
23. Nabi Yahya - B Israel
24. Nabi Isa - B Israel
25. Nabi Muhammad SAW

Ternyata, separuh dari Rasul Ulul Azmi adalah dari keturunan Bani Israel. Mereka harap sangat Nabi akhir zaman adalah dari kalangan mereka yang mereka dakwa sebagai bangsa paling mulia dan istimewa berbanding bangsa² lain.

Justeru, itu yang menyebabkan bangsa Yahudi tidak menerima hakikat bahawa Nabi penutup akhir zaman adalah di kalangan bangsa Arab.

* Rasul Ulul Azmi - memiliki kedudukan tinggi dan istimewa atas ketabahan dan kesabaran meraka yang amat luar biasa dalam menempuh ujian berdakwah.

Hukum Milik Allah

Bani Israel keturunan Nabi Ya'kub mengharamkan makan daging unta atas alasan Nabi Ya'kub tidak memakannya padahal Baginda bertindak demikian atas sebab² rawatan dan tidak berapa gemar memakan daging tersebut.

Pengharaman yang tidak berdasarkan apa²  bukti yang mereka lakukan itu berlaku sebelum turunnya kitab Taurat lagi.
Allah suruh Nabi Muhammad cabar mereka untuk tunjukkan kitab Taurat yang mengatakan daging unta haram dimakan.

Rujuk surah Ali 'Imran ayat 93

Mesej: apa² sahaja berkaitan hukum hakam dan panduan dalam agama mestilah berserta dalil dan rujukan yang sah. Jangan jadi macam spesis Yahudi yang gemar me'reka' corak syari'at Allah berdasar nafsu dan selera sendiri.

* Israel adalah gelaran kepada Nabi Ya'kub
* Bani Israel - anak²/keturunan Nabi Ya'kub
* Keturunan ini juga asalnya kaum Yahudi

Sunday, 17 May 2020

Punca Perang Badar

Perang Badar bukanlah perang yang dirancang oleh umat Islam Madinah. Rasulullah hanya perintahkan untuk menahan kabilah Abu Sufian dari Syam dan merampas barang dagangan untuk membalas apa yang pernah diakukan oleh puak Musyrikin Mekah ke atas mereka.

Abu Sufian dapat menghidu ancaman tersebut lalu meminta bantuan Abu Jahal dari Mekah. Di waktu yang sama beliau melencongkan kabilah ke arah lain bagi mengelak dari bertembung dengan pasukan Islam yang menunggu...beliau berjaya.

Apabila berjaya melepasi halangan, Abu Sufian menyampaikan berita kepada Abu Jahal untuk tidak perlu menghantar tentera untuk membantunya.

Dengan angkuh, Abu Jahal mengatakan beliau tetap akan mengarahkan 1300 tentera Mekah untuk mengajar Muhammad dan pengikutnya.

Berlaku konflik dalaman...ada yang menyarankan untuk membatalkan serangan kerana kabilah Abu Sufian sudah selamat. Akhirnya 300 dari mereka berpatah balik dan 1000 tentera mara untuk menyerang.

Nabi Muhammad tiada pilihan selain dari terpaksa bersiap sedia untuk berperang dengan hanya 313 pengikutnya.

1000 lawan 313 + 1000 bantuan Malaikat!!!

Yahudi dan Kera

Kaum Yahudi pernah ditukar menjadi kera di atas kesalahan cuba menipu Allah. 

Allah turunkan syari'at tidak boleh bekerja pada hari Sabtu...hanya dikhaskan untuk beribadat sahaja.

Di hari tersebut pula ikan timbul dengan banyaknya di pesisir lautan (untuk menguji mereka).

Dengan bijaknya, para nelayan telah memasang jerat pada hari Jumaat...ikan terperangkap pada hari Sabtu dan mereka ambil ikan² tersebut pada hari Ahad. Mereka memanipulasi arahan Allah dengan helah yang dirancang.

Allah turunkan azab dengan menukar mereka menjadi kera selama 3 hari...selepas tamat tempoh 3 hari, kesemua mereka mati.

Justeru, teori Darwin yang mengatakan manusia berasal dari kera/monyet adalah tidak benar kerana Tafsir Surah Al Baqarah ayat 65 menyatakan bahawa kesemua mereka mati...bermakna terputus generasi kera yang didakwa.

Wallahua'lam

Monday, 11 May 2020

Siapa GILA?

Syarat wajib solat ke atas seseorang adalah BERAKAL dan TIDAK GILA.

Mesej: Yang sengaja meninggalkan solat itu memang GILA dan TIDAK BERAKAL!!!

Tersinggung? Marah?

Hadapkan wajahmu ke langit...kerana perintah solat itu datangnya dari atas sana...yang menciptakanmu!!!

Tak ke GILA dan TAK BEROTAK namanya bila kau dengan berani sengaja melawan dan engkar arahanNYA?

Kasar bahasa aku ni kan. Lebih kasar dan keras apabila Malik menarikmu ke neraka...

FIKIR!!!

Sunday, 10 May 2020

Mengapa Lembu Betina?

Umat Nabi Musa (Bani Israel) pernah disuruh menyembelih seekor lembu betina untuk menjadi bukti atas kematian seseorang.

Mengapa lembu? Tidak unta..tidak kambing mahupun ayam itik?

Allah arahkan menyembelih lembu kerana dalam hati mereka masih ada sifat mendewakan lembu.

Ini berkaitan dengan patung anak lembu yang dibuat oleh Samiri yang pernah disembah oleh mereka sebelum ini. Walaupun mereka telah sedar dan insaf akan kesilapan yang berlaku tetapi kisah tersebut masih bermain² di fikiran mereka sehingga mereka percaya ada keramat pada lembu dan mula memujanya.

Jadi, Allah suruh sembelih lembu untuk mematikan pemahaman mereka bahawa pada lembu ada keramat!

Thursday, 7 May 2020

Yusuf dan Muhammad

Terdapat beberapa persamaan riwayat Nabi Yusuf dan dakwah Nabi Muhammad:

1. Nabi Yusuf telah ditolak dan dibenci oleh abang²nya. Nabi Muhammad menerima nasib yang sama bersama kaum kerabat Baginda.

2. Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara tanpa kesalahan. Nabi Muhammad dan pengikutnya juga telah terpenjara dalam boikot ekonomi dan sosial yang dilancarkan oleh kaum Quraisy selama 3 tahun...tanpa boleh berhubung dan berjualbeli.

3. Nabi Yusuf dihalau keluar dari rumahnya. Nabi Muhammad juga diusir keluar tempat tinggalnya Mekah.

4. Nabi Yusuf akhirnya menguasai abang²nya yang tunduk kepada kekuasaannya tanpa berlaku perkelahian. Nabi Muhammad juga akhirnya dapat menguasai Mekah tanpa berlaku pertumpahan darah.

Wednesday, 6 May 2020

Surah Yusuf


Yang menarik tentang surah Yusuf dan ibrahnya...

1. Surah ini 100% berkisar tentang kisah Nabi Yusuf sahaja...dari awal sampai akhir. Surah² lain banyak bercampur kisah² lain.
Contoh kisah Nabi Musa, ceritanya terdapat dalam banyak surah dan tidak diperuntukkan kisahnya dalam satu surah sahaja.

2. Kesabaran dan tawakal Nabi Ya'kub.

Ayahnya (Nabi Ya'kub) sedari awal lagi tidak mempercayai kata² anaknya bahawa Yusuf dimakan serigala memandangkan baju Yusuf hanya berlumuran darah tetapi tidak koyak. Baginda hanya bertawakal kepada Allah untuk menyelamatkan anaknya Nabi Yusuf.

3. Kisah 'telaga' dan 'penjara'. 

Nabi Yusuf telah menempuh pengalaman dimasukkan ke dalam 'kegelapan' sebanyak 2 kali.
'Telaga' dikaitkan dengan 'irihati'. Adik-beradik mahu memisahkan Yusuf dengan ayahnya yang didakwa terlalu menyayangi Yusuf.
'Penjara' pula berkisar kepada 'cinta'. Cinta isteri Menteri kepadanya yang membawanya ke penjara.

4. Nabi Yusuf tinggi harga dirinya.

Raja mahu membebaskan Nabi Yusuf dari penjara tetapi Baginda tidak mahu keluar selagi nama beliau tidak dibersihkan.

5. Kesabaran Nabi Yusuf walaupun berkuasa untuk membalas.

Sewaktu Nabi Yusuf memegang jawatan Menteri di Mesir, abang²nya datang mengadap untuk menjelaskan kehilangan barang yang dicuri oleh adiknya Bunyamin (gelas/piala diraja).

Abang²nya telah mengutuk Nabi Yusuf depan² beliau dengan mengatakan "jika dia mencuri, maka sesungguhnya telah pernah mencuri pula saudaranya sebelum itu..." ayat 77 (abang² nya tidak mengenali beliau). Nabi Yusuf tidak membalas kutukan tersebut walaupun mempunyai kedudukan dan kuasa.

Wallahua'lam

Tuesday, 5 May 2020

Nak Jadi Baik?

Kita buat baik pada orang. Orang buat jahat pada kita...pastu kita balas jahat orang tu. Adil bagi kita kannn.

Kat mana baik kita?

Cuba tengok Ustaz EL, dia nampak orang jahat...dia tak cemuh tapi dia salahkan diri sendiri sebab tak berpeluang nak berdakwah kat orang jahat tu.

Orang baik ni, kalau orang buat jahat kat dia...dia bersyukur dan tetap salahkan diri sendiri. Katanya kafarah dosa buat dia.

Orang baik tetap istiqomah dengan kebaikannya walau jahat ada depan mata!