Translate

Friday, 26 February 2016

Analogi Menuntut Ilmu

Di dalam siri latihan yang disampaikan, sering aku memulai kata-kata dengan menyaran peserta untuk meninggalkan segala ilmu yang dimiliki di luar bilik latihan. Jangan dibawa masuk lantaran ia bakal membantut ilmu-ilmu lain untuk diserap masuk.

Ya...tidak dinafi ramai peserta berniat untuk menambah ilmu di dada. Tetapi keegoan ilmu-ilmu yang dimiliki seolah menghalang ilmu lain untuk mengiringinya. 

Tanpa sedar, dia asyik bertanya soalan-soalan yang mencabar kredibiliti tenaga pengajar...seperti mempertikaikannya.

Dia mula bermain-main dengan gajet di tangan. Dibalas entri 'whatsapp' tanpa menghirau apa yang diajar.

Dia pula yang sibuk menambah penerangan yang kononnya tidak dijelaskan dengan berkesan oleh tenaga pengajar.

Itulah di antara 'simptom-simptom' yang wujud bagi sesesorang yang bangga dengan ilmu yang dimiliki.

Sebuah cerita mengisahkan seorang pemuda yang ingin menuntut ilmu dari seorang Mahaguru yang bertapa di atas gunung. Dengan segala susah payah yang ditempuh untuk sampai ke puncak gunung, akhirnya pemuda tersebut selamat tiba lantas mengadap Mahaguru tersebut.

Mahaguru bertanya "apa tujuan kamu berjumpa denganku".

"Aku banyak mendengar cerita tentang Mahaguru yang memiliki ilmu hebat lantas aku ingin menuntut dan menjadi anak muridmu", jawab pemuda dengan penuh yakin.

"Ilmu apa yang kau miliki di waktu ini wahai anak muda", balas Mahaguru untuk menduga.

"Aku mempunyai ilmu pertahanan diri yang baik, ilmu membaca gerak-geri musuh, ilmu mantik, ilmu magis, ilmu menunduk musuh dan ilmu membaca minda manusia. Cuma ilmu tasawuf sahaja yang belum aku miliki. Lantas itu tujuan aku bersusah-payah mendaki gunung untuk menjadi anak murid Mahaguru".

"Jika itu keadaannya, elok kau balik sahaja!", Mahaguru tegas menjawab.

"Mahaguru...mengapa? Aku hanya ingin menjadi anak muridmu", pemuda tersebut berasa hairan dengan penolakan Mahaguru terhadap dirinya.

"Wahai anak muda, aku tidak menghalang niatmu untuk menuntut ilmu dariku tetapi kehebatan ilmu yang kau bawa bersama itu yang sebenarnya menghalang dirimu untuk menyerap ilmu tasawuf ini. Jika benar niatmu untuk berguru denganku, kau tinggalkan sahaja ilmu-ilmu hebat tersebut di kaki gunung. Datanglah kepadaku dengan dada yang kosong agar terbit rasa rendah diri dan hilang rasa sombong di hatimu".

Ermmmm...cerita tersebut sering ku analogikan sebelum aku meneruskan latihan...itulah tertib dan adab dalam menuntut ilmu. Ya..biar kita yang berada di bawah kaki air terjun menadah air yang datangnya dari puncak gunung. Meletak martabat tinggi kepada guru lebih menjernihkan ilmu untuk diserap masuk dengan lancar.

"Okey boleh kita mulakan modul sekarang?", tinggi nada suaraku dalam mengejutkan minda mereka yang dibuai cerita analogi.


Wednesday, 24 February 2016

Viral Itu Virus!

Viral!!! Siapa yang tidak kenal dengan patah dua suku kata perkataan tersebut. Diambil dari kata terbit 'virus', jangkitan virus boleh merebak berkali ganda mahunya jika tidak diambil langkah pencegahan awal. Virus datangnya dari bakteria yang wujud di persekitaran. Terdapat bakteria yang boleh memudaratkan juga bakteria baik yang bisa melawan bakteria pembawa penyakit.

Dewasa ini, perkataan 'viral' diadaptasi ke alam siber bagi menunjukkan entri-entri yang mendapat sambutan hangat dari pelayar-pelayar siber. Ribuan 'like' dan komen mencerminkan betapa sesuatu isu itu telah menjadi viral. Seperti bakteria, apa yang diviralkan boleh jadi perkara yang baik mahupun di sebaliknya.

Di mana-mana sahaja, manusia menjadi lebih berhati-hati lantaran takut gerak-geri mereka dirakam dan dihantar kepada 'viral troop' untuk dimangsai. 

Diberi contoh viral seperti berlaku pertengkaran akibat kemalangan kecil, pembuli di jalanraya, seorang ayah tunggal menaiki motor kapcai bersama tiga orang anak dari Sepang ke Pulau Pinang untuk berhari raya di kampung dan pelbagai isu-isu lain.

Tetapi sedarkah bahawa kita sebenarnya sedang menjadi mangsa syarikat telekomunikasi yang bertunjangkan keuntungan duniawi.

'Viral Troop' merupakan askar upahan mereka untuk mensensasikan sesuatu isu. Isu-isu yang menarik perhatian masyarakat akan mengundang mereka untuk meletak komen berkenaan pandangan, pendapat dan kupasan. Kekadang komen seseorang itu pula dikomen oleh pelayar siber yang lain dan berlaku perdebatan hangat...disambut pula ribuan pelayar lain untuk mengambil bahagian...komen atas komen!

Haaaa...nampak tak? Pelayar siber akan kehabisan data 3G di atas berkobar-kobarnya semangat mereka mengeluarkan pandangan atas sesuatu isu. Akan lakulah kad 'top up' RM5, RM10, RM20...nampak tak?

Apa berlaku jika tiada isu hangat? Lembab dan merudumlah pembelian kad 'top up' syarikat telekomuikasi. Provokasi askar upahan 'Viral Trooper' menatijahkan keuntungan berganda syarikat-syarikat tersebut.

Ermmmm kita pula? Kita semakin miskin dan jauh dari perkara-perkara yang patut diberi perhatian. Di mana bacaan al Quran? Di mana solat-solat sunat penambah pahala? Di mana solat berjemaah bersama keluarga? Di mana komunikasi sesama keluarga? Entah ke mana semuanya kerana kita semakin disibukkan oleh pandangan dan komen-komen di alam siber! 

Yang jauh dan bersifat maya semakin merapati diri...tetapi ahli keluarga di sisi semakin jauh tersisih...errmmmm.

Kitalah yang sebenarnya dijangkiti virus!



Wednesday, 17 February 2016

Datuk vs Hamba

Sudah menjadi suatu yang rasmi di hari ulangtahun kelahiran Yang Dipertuan Agung mahupun Sultan di negeri-negeri, anugerah pangkat akan dikurnia kepada mereka yang berjasa kepada masyarakat. Tidak kiralah apa bidang sekalipun, nama-nama akan disenarai pendek untuk diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan mahupun di jajahan negeri.

Menjadi satu kebanggaan kepada mereka yang dianugerahi pingat dari pihak istana. Majlis berlangsung di dalam istana penuh protokol, diwar-warkan pula ke seluruh negara melalui media elektronik dan akhbar. Bertuah badan...diri pula akan digelar Datuk, Datin, Tan Sri, Puan Sri.

Hebat anugerah dunia ye...

Sedarkah kita bahawa wujudnya anugerah Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih? Jika sedar mengapa liat benar bagi kita untuk merebutnya? Errmmm...kerana kita tidak diraikan di dalam majlis penuh protokol agaknya..atau tiada pangkat untuk dianugerah yang boleh menjadi kebanggaan.

Pangkat anugerah Allah tidak memihak kepada mereka yang bergelar Ustaz, Tuan Haji mahupun Ulamak kerana indikatornya adalah takwa. Yang nyata, mereka yang walau tiada 'title' di kalangan makhluk, bisa diangkat darjat di sisiNYA. Hidup tidak 'glamour' tetapi penuh barakah. Kelibatnya tidak diendah manusia tetapi auranya sangat kuat menyebar kebaikan tanpa hipokrasi.

Anugerah pangkat dunia membuat kita tercari-cari penghormatan makhluk, meraba-raba promosi diri, menarik-narik perhatian dunia sehingga tidak satupun perbuatan kita yang boleh dinamai sebagai 'ikhlas'.

Amat berbeza dengan anugerah dari langit...ditutup-tutup segala kebaikan semampu boleh untuk menyapa ikhlas, ditepis-tepis segala pujian makhluk atas sedar bahawa pujian hanya untukNYA, tidak mengemis hormat makhluk lantaran yang tertera di mata hanya redhaNYA di atas segala kebaikan yang dilakukan.

Tidak salah menerima anugerah dan pangkat dunia di atas jasa dan sumbangan yang diberi...hanya yang salah apabila kita lupa bahawa itu jua satu ujian yang bisa merobek ikhlas makhluk kepadaNYA.

Justeru, gapailah apa jua gelaran dunia terjemahan pengiktirafan makhluk kepada kita dengan amat berhati-hati kerana tanpa sedar, syaitan mula mengatur strategi dengan senjata angkuh, sombong dan berbunga hati bersama pujian makhluk.

Ingat...mati kita...mati jualah semua gelaran tersebut. Hanya yang hidup adalah gelaran HAMBA yang harus menghadap TUANNYA untuk sebuah penentuan!



Monday, 8 February 2016

Oohhh Ustaz Zamihan

Sedang hangat sekarang ini isu Wahabi yang diutarakan oleh Ustaz Zamihan, pegawai agama KDN. Beliau melabel Ustaz Zahazan sebagai 'Ustaz anjing', beliau menggunapakai perkataan 'bodoh' untuk ustaz-ustaz yang tidak sealiran dengannya. Merendah-rendahkan pendidikan ilmuan yang lain.

Beliau mencabar untuk berdebat dengan Mufti Perlis Dr Asri berkenaan isu Wahabi (tidak meminta pandangan IGP). Mencabar secara terbuka tetapi meminta debat diadakan secara tertutup (atas alasan boleh memecah-belahkan umat Islam..nasihat dari IGP). Tidakkah beliau sedar bahawa kecaman-kecaman yang beliau lakukan di dalam siri-siri ceramah itu sebenarnya boleh memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

Sempat aku tonton beberapa siri ceramah beliau di You Tube. Nyata...tahap paling asas untuk beliau bergelar Ustaz sudah dikira gagal!!!

Mempamer kerendahan akhlak dengan perkataan-perkataan yang tidak sewajarnya. Menggelar itu dan ini kepada yang tidak memihak kepadanya. Mendabik dada dengan ilmu-ilmu yang dimiliki.

Riak mukanya sahaja sudah amat menjengkilkan...tiada aura positif. Aaahhhh...bersangatan aku tidak berkenan!!!

Cadanganku untuk beliau beruzlah bagi membetulkan akhlak dan sahsiah agar imej Islam tidak tercemar dek kelantangan dan keceluparan lidah yang tidak bertulang.

Kalian tontonlah siri ceramah beliau dan buatlah penilaian sendiri terutama kompilasi video bertajuk 'Adakah akhlak Ustaz Zamihan harus dicontohi'.

Eerrrhhmmmm...



Itulah Kemuncaknya

Perjuangan bermula seawal nama tersenarai di dalam kelompok 43 personaliti melalui tapisan kualiti dan sahsiah. Ia menjurus kepada kehadiran awal dan ketepatan masa, disiplin, juga prestasi kerja yang cemerlang.

Tahap kedua menyusul bersama 'ujian minda' yang terbahagi kepada 3 kategori iaitu personaliti, ujian IQ dan pengetahuan tentang syarikat. Bersama tahap ini, kelompok 43 telah terserpih meninggalkan 13 personaliti yang gagal meneruskan perjuangan.

Tekanan terus menghambat 30 personaliti melalui tahap ketiga. Tahap ini memerlukan bakat dalam membuat pembentangan kertas kerja selama 15 minit bersama soal jawab. Bagi mereka yang biasa bergelumang dengan kertas kerja..pasti tiada masalah. Tampak 5 personaliti gagal meyakinkan panel...tersingkir.

25 personaliti sudah ke tahap semi final. Hanya selangkah sahaja untuk bergelar 'Top 20 Talent Management'. Sebelum 'dikampungkan' selama dua hari satu malam, ujian 'profiling' mengambil tempat. Tiada betul tiada salah...hanya untuk mengkategorikan mereka yang hampir kepada IQ pengurusan.

Hari pertama - 'Finale' tiba. Sesampai di lokasi pada jam 9 pagi, pembahagian 5 kumpulan bermula bersama projek untuk diselesaikan. Konsultan bekerja keras membantu para 'finalist' dalam memberi 'tools' dan teknik. Persembahan berkumpulan dalam pelaksanaan projek harus dilakukan keesokan pagi di hadapan panel termasuk CEO.

Tinggalkan sebentar bilik latihan, jam 5 petang personaliti didesak untuk aktiviti 'outdoor' berkonsep realiti tv 'Survival'. Menarik tetapi agak mencabar terutama dalam acara renang ke seberang lagun. Membuat anyaman tikar dari daun kelapa untuk 'clue' seterusnya. Menyumpit belon juga agak memeritkan kerana angin pantai yang melayangkan sumpitan keluar dari sasaran. Berakhir dengan melastik botol mineral dalam jarak 25 meter. Juara berkumpulan dicanang.

Malam seusai BBQ, finalis dikerah untuk membuat pembentangan modul bebas secara solo. Bukan kandungan modul yang dititiberatkan tetapi lebih kepada cara penyampaian dan kualiti persembahan. Soalan dari panel turut diaju bagi melihat kredibiliti peserta dalam menjawab.

Tamat sesi pembentangan dan berlaku pra penyingkiran peringkat kumpulan di sekitar jam 1 pagi. 5 personaliti yang disingkir oleh ahli kumpulan sendiri melalui undi rahsia, harus bekerja keras untuk mendapat lebihan markah agar tidak berada di 'bottom 5'. Tamat sesi pra penyingkiran, berkampung pula di bilik latihan untuk menyiapkan kertas kerja projek yang harus dibentang keesokan pagi di hadapan CEO. Jam menginjak ke 3 pagi.

0900 hari kedua - Hari keramat yang dinanti tiba. Pembentangan kertas kerja secara berkumpulan menjadi penentu. Prestasi diukur melalui pembentangan yang meyakinkan.

Akhirnya...perjuangan 5 personaliti ditamatkan, hanya 20 yang diterima untuk bergelar...

'TOP 20 TALENT MANAGEMENT'

Program dirancang sedemikian rupa...memerah idea, berhadapan panel yang mempersoal idea yang dicurah, dikerah tenaga bersama konsep 'survival', diempang waktu tidur menjadi hanya 3 jam!

Syabas buat warga kerja yang telah berjaya mendepani dan mengatasi pelbagai halangan yang sengaja dicipta...segalanya bertujuan melihat ketahanan rohani, mental dan fizikal...bagi persediaan untuk menghadapi skrip di alam realiti pekerjaan!



Sunday, 10 January 2016

Dakwah Yang Tidak Beradab

Memeluk Islam bukan lagi satu fenomena baru bahkan senario tersebut semakin galak di akhir abad ini. Populasi penganut Islam di seluruh dunia hampir menjangkau ke angka 2 billion di abad ke 21.

Di Malaysia, salah satu definisi 'Melayu' yang termaktub di dalam perlembagaan adalah 'beragama Islam'. Mahu tak mahu, lahir sahaja anak bangsa Melayu maka Islamlah dia (ini yang sering dimomokkan sebagai Islam keturunan).

Aku menonton sebuah video yang memaparkan pandangan seorang 'muallaf' berkenaan Islam di Malaysia.

Bermula dengan mendengar ceramah perdebatan tokoh perbandingan agama yang hebat di kurun ini...Ahmad Deedat, beliau teruja dan mula mengumpul naskhah al Quran, Hadis dan kitab-kitab karangan ulama salafi.

Setelah menjadi seorang Muslim, beliau banyak mentelaah kitab. Sekiranya berhadapan dengan kemusykilan, beliau akan merujuk kepada pakar agama di bidang masing-masing.

Alhamdulillah...beliau telah mendapat hidayah. Beliau salah seorang yang terpilih untuk mengimarahkan agama syumul di bumi milik Allah ini.

Tetapi ada sesuatu yang kurang manis yang diwujudkan oleh beliau dalam misi dakwah. Mengkaji dalam perbandingan agama adalah digalakkan tetapi membanding-bandingkan kualiti Islam yang beliau miliki berbanding Islam bangsa Melayu...amat tidak manis dan amat-amat tidak membantu tautan kasih sayang sesama Muslim.

Secara sedar, beliau telah mempertikaikan Islam secara keturunan yang berakar umbi di Malaysia khususnya dan di seluruh dunia amnya. Beliau mula memperlekeh ilmu pengetahuan agama anak-anak Melayu di Malaysia.

Ingin aku tekankan di sini...praktikalnya, sudah menjadi 'trend' anak-anak Melayu dihantar ke tadika yang ada silibus agama. Bersekolah agama selepas sessi persekolahan kebangsaan. Malamnya mengaji muqaddam dan al Quran. Wujud pula pilihan sekolah-sekolah tahfiz kepada yang berminat.

Bermakna Islam telah diterap seawal kanak-kanak mumayyiz lagi. Tetapi kata-kata beliau seolah-olah bangsa Melayu tidak faham tentang Islam dan hanya menjadi pak turut.

Eerrmmm...apa yang nyata melalui video tersebut, ada satu sifat beliau yang terserlah di situ...kesombongan dan bermegah-megah dengan ilmu yang dimiliki. Untuk apa bercerita tentang cara beliau menggali ilmu jika hanya untuk merendah-rendahkan bangsa lain.

Memang aku perasan 'trend' muallaf memeluk Islam yang suka mempertikai cara bangsa lain yang tidak mengamalkan cara hidup Islam. Aku sendiri pernah berhadapan secara bersemuka dengan salah seorang muallaf yang tanpa berselindung dan tanpa rasa segan silu mempertikai cara hidup Melayu. Nak tahu apa respon aku? Hanya tersenyum dan terus mendengar celoteh 'saudara baru' yang begitu bersemangat berhujah. Kenapa tiada respon? Kerana aku lebih mementingkan persaudaraan daripada mempertahan hak Melayu dan cara hidup Melayu di Malaysia.

Begitu bertoleransi bangsa Melayu di Malaysia ni ye. Sebab itulah kadang-kadang mereka yang bertaraf penduduk tetap ni 'lebih sudu dari kuah'!

En Lim, bersyukurlah dengan hidayah yang Allah anugerahi buatmu. Cara bersyukur bukan dengan mempertikai itu dan ini. Ingatlah...hidayah milik Allah dan bila-bila masa boleh ditarik balik dari diri kita. Sebaliknya amalkanlah sepotong doa agar ditetapkan iman kita agar ianya tidak berbolak-balik.

Memeluk Islam bermakna kita telah mewujudkan tali persaudaraan yang melangkaui genetik, bangsa dan darah keturunan. Marilah sama-sama kita berganding bahu dalam menyemarak dan mengimarahkan ISLAM!!!



Thursday, 31 December 2015

Pastikan Masih Relevan

Pecutan dunia sekarang semakin galak. Tahun ke tahun, bulan ke bulan, minggu ke minggu, hari ke hari...setiap detik akan mengalami perubahan demi perubahan yang dulunya tidak terfikir di minda.

Zaman kecilku sudah wujud televisyen berkaki empat bersama penutup tv secara 'slide'...siaran tv masih hitam putih. Perubahan demi perubahan berlaku sehingga kewujudan tv nipis mahupun melengkung meninggalkan terus teknologi lama tanpa rasa belas.

Pemain video VHS menjadi peneman untuk menonton filem yang disewa di kedai video. Hadir Home Theatre bersama pemain Blu Ray mahupun melalui USB ataupun tayangan filem Astro Best secara online menghentak lumat segala ciptaan di tahun 80an.

Filem Kodak dan Fujifilm menjadi sangat tidak relevan apabila panorama gambar boleh dilihat secara terus selepas sahaja gambar di 'snap' tanpa perlu dicuci memakan masa berhari-hari lamanya.

Album gambar yang tersusun kemas untuk dilihat tetamu mahupun handai taulan apabila berkunjung ke rumah, sudah boleh disimpan kemas di dalam setor apabila album gambar boleh dikongsi di alam maya di serata dunia!

Apa mesejnya di sini? Untuk memastikan diri kita masih relevan dan boleh menyumbang idea dan pandangan kepada syarikat mahupun masyarakat...kita harus sentiasa peka kepada persekitaran dan perubahan.

Pembentangan kertas kerja harus diolah secara kreatif dan inovatif bersama garapan grafik yang menarik tanpa menyisih fakta dan angka.

Membalas mesej email tidak boleh lagi di sekitar 8 jam dan 5 hari berkerja...segalanya haruslah tuntas dan pantas di kala 3G dan 4G melingkungi kehidupan. Dapat sahaja mesej...ianya harus dijawab (sekiranya perlu) untuk sebuah tindakan yang efisien.

Memberi latihan tidak boleh lagi dengan hanya bercakap, bercakap dan hanya bercakap. Kelahiran Gen X dan Y memberi lebih cabaran untuk 'trainer' berkreatif dalam menarik perhatian audien. Cara penyampaian, gerak badan, tonasi suara, kemahiran menggunapakai alat kawalan 'slide'...bakal memberi impak dan keberkesanan latihan yang diberi.

Mari kita lihat dari sudut kacamata Islam.

Lihat sahaja Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Kata-kata Baginda, gerak laku, cara bersosial dan apa sahaja yang datang dari Baginda...semuanya masih tetap relevan sehingga ke hari ini dan sampai kiamat!

Lihat pula 4 Mazhab yang terkenal iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hambal...ajaran dan kitab mereka masih digunapakai sampai ke hari ini.

Ini menunjukkan bahawa untuk sentiasa relevan, berpegang teguhlah kepada 2 Nas seperti pesan Rasulullah SAW iaitu al Quran dan al Hadis.

Mereka yang sentiasa membaca al Quran dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW akan sentiasa relevan di sepanjang zaman kerana ia akan menjadikan seseorang itu sentiasa kreatif dan berinovasi dalam menelusuri aliran kehidupan. 

Mereka peka dengan persekitaran dan sentiasa memastikan diri mereka bersiap siaga dalam menempuh perubahan demi perubahan. Jiwa mereka hidup dan segar untuk menyerap masuk sebarang pembaharuan demi memastikan diri mereka relevan dalam apa sahaja persekitaran.

Kecualilah seseorang itu tidak mahu berubah dan selesa dengan 'status quo'. Kecualilah dia tidak kisah dalam menggembeling usaha meningkatkan kualiti diri. Kecualilah mereka tidak malu ditinggal jauh dalam menaikkan imej diri dan keluarga.

Di syarikat, dalam keadaan kami diterima baik bersama idea-idea yang masih relevan...Boss aku selalu mengingatkan, "berilah khidmat terbaik sementara diri kita masih laku dan diterima". Aku setuju dan kusematkan di dalam hati untuk bersedia menempuh segala perubahan dan pembaharuan agar diri tetap diterima baik dan relevan di dalam apa sahaja persekitaran hingga ke akhir hayat.

Akhir kalam...mengapa kereta klasik tetap relevan dan diminati ramai? Ya...kerana penjagaan enjin yang diubahsuai dengan teknologi terkini, ditambah dengan eksesori yang menarik dan badan kereta dicat dengan bancuhan warna hasil kreatif dan inovasi pekerja.

Begitu juga manusia...biarkan umur meningkat bagi menuntut putaran hukum alam, tetapi pastikan diri masih relevan dalam cakupan ilmu-ilmu terkini dan peka dengan persekitaran. Insyaallah kita akan sentiasa relevan sebagai rujukan dan diri tetap diminati...heheee.


SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2016. Pastikan diri anda masih relevan!

Sunday, 27 December 2015

Persepsi Yang Salah

Sazali Samad jaguh bina badan negara disahkan gagal di dalam ujian doping yang dijalankan oleh Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) pada 1 September yang lalu. Lanjutan dari ujian tersebut, beliau digantung selama 4 tahun oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) dari menyertai mana-mana pertandingan.

Beliau enggan mengulas apabila ditanya cuma berkata "kesemua ini merupakan ujian dari Allah SWT buat saya..."



Owwhhh...kasihan aku dengan jawapan beliau...persepsinya salah! Allah tidak menguji seseorang dengan sesuatu perkara yang dilarang syara'. 

Kategori sukan yang beliau ceburi amat-amat bertentangan dengan hukum langit yang telah ditetapkan. 99% dedahan aurat tidak melayakkan Allah menguji beliau. Jenis sukan ini juga sepatutnya tidak dibangunkan oleh sebuah negara yang mendakwa mengamalkan sistem pemerintahan Islam. Aku sendiri tidak tergamak untuk menjadi penonton bagi sesi peragaan tubuh yang amat memalu juga memualkan!

Sazali Samad...Allah tidak menguji anda. Allah sebenarnya sedang menyampaikan mesej untuk penganut Muslim meninggalkan terus sukan yang terang-terang menentang undang-undangNYA. Bacalah apa yang tersirat untuk sebuah perubahan ke arah yang lebih diredhai.

Wallahua'lam.

Saturday, 26 December 2015

Kenapa Murah?

Di dalam percutian baru-baru ini, kami singgah di sebuah kedai makan bagi menjamu selera tengahari. Pilihan kami tentunya kedai yang persekitarannya bersih selain dari kualiti makanan yang enak.

Ya...kedai itu bersih sehingga menaikkan selera kami ditambah dengan lauk-pauk yang pelbagai. Dari masa ke samasa, kelihatan makin ramai pelanggan yang datang...'pelanggan tetap' agaknya. Tak hairan kerana juadahnya memang enak.

Sedang kami menjamu selera, datang pula seorang pekerja ke meja kami untuk mengira harga makanan lantas meletak cebisan kertas hasil kiraan. Terkejut aku...harga makanannya murah dan amat berpatutan.

Dalam kemelut harga barang yang ditujah-tujah naik, jarang ada kedai makan yang semurah ini. Aku meneka-neka di mana justifikasi tuan kedai yang boleh menyerap kenaikan harga barang.

Haaaaa!!! Dalam memerhati sekeliling, aku yakin sudah ketemu jawapan...logiknya ada di situ.

Kedainya berkonsep layan diri. Dari menceduk nasi, mengambil lauk hinggalah mendapatkan air. Semuanya dilakukan sendiri oleh pelanggan. Yang menariknya, jenis-jenis air sudah disediakan di dalam bekas yang berlainan. Contohnya, ada air sirap, oren dan teh o dan potongan limau disediakan di dalam mangkuk. Pelanggan yang mahu air sirap limau, akan ambil air sirap dahulu lalu diperah limau yang sudah tersedia. Pelanggan yang mahu air teh o ais limau, akan tuang air teh o, perah limau dan ambil beberapa ketul air batu.

Jadinya, majikan tidak perlu menggaji seorang pekerja di bahagian minuman kerana semuanya sudah disediakan terlebih dahulu. Bermakna majikan boleh jimat RM800 sehingga RM1200 sebulan. Penjimatan itu disalurkan untuk potongan harga makanan. Disitulah terletak rahsia harga makanan yang murah. Harga murah, kualiti dijaga, pelanggan ramai, untung berlipat ganda! Hhmmm...teori ekonomi yang cantik dan seimbang...majikan yang bijaksana.

Eerrkkkkkk...Alhamdulillah, sendawa kami berbaloi..heheee.



Wednesday, 23 December 2015

Aussie di Malaysia

Hari yang dinanti tiba. Segala persiapan sudah dilakukan sebaik mungkin. Kami memilih rumah salah seorang dari sepupu kami untuk majlis tersebut. Kami yang berkumpul semua bertaraf sepupu...legasi Mohd Nasir. Idea meraikan 'dia' sesama sepupu datang dari abangku yang sulung...Aznam. Majlis yang berkonsep 'potluck' meriah dengan pelbagai juadah dan pencuci mulut.

Siapa yang kami tunggu? Dia sepupu kami sebelah bapa. Kami amat rapat sewaktu kecil. Pantang cuti sekolah, kami adik-beradik akan berkunjung ke rumah Paklang berhari-hari lamanya, kekadang melangkau ke minggu.

Kami bermain bola, badminton, galah panjang, monopoli. Kami menonton wayang dan berkunjung ke pantai Morib mahupun ke Port Dickson. Kami sekeluarga berkonvoi ke Pulau Pinang dan Singapura. Banyak kenangan yang tercipta. Kami tak pernah bergaduh malahan sentiasa ceria diulit situasi.

Takdir menerpa untuk dia pergi meninggalkan kami. Berhijrah ke Australia untuk pilihan survivalnya. Dia telahpun menjadi warganegara Australia bermakna melepaskan kerakyatan Malaysia...itu pilihannya.

Ceria amat bila kami bersua kembali. Boraknya seperti biasa cuma slanga Mat Sallehnya terarah ke 'Aussie'. 

Bertemu beberapa jam tidak pernah cukup buat kami. Dia telahpun berlepas balik ke negara pilihan. Semoga pilihannya tidak menjarakkan hubungan darah yang tidak pernah berhenti mengalir menamakan kami sebagai saudara hingga ke generasi seterusnya.

Selamat Jalan Kak Liza...

Terimakasih Zaila untuk logistik dan ruang solat yang selesa.

Terimakasih kepada yang menyumbang hidangan.

Terimakasih kepada yang hadir demi sebuah ikatan yang berkekalan.




Tuesday, 22 December 2015

Hiba Menyapa

Sedang aku mencari sesuatu di laci meja pejabat, tanganku tersentuh sekeping kertas yang terletak kemas tanpa sebarang lipatan. Kukeluarkan dari laci untuk melihat gerangan kertas apa yang menyapa jari.

Tanpa semena-mena hatiku tersentuh. Jarang amat hati ini disentuh oleh persekitaran dunia. InsyaAllah segala ujian dan kemelut yang mendatang kutempuh dengan sabar dan redha atas kesedaran bahawa dari DIA jua segala ketentuan yang berlaku.

Ya...sebagai makhluk yang dinamai manusia yang punya akal, hati dan nafsu...amat munasabah jika kita dirundung duka, sedih dan marah di atas perlakuan manusia sekitar...itu lumrah. Tetapi jika kita kembalikan semuanya kepada yang mencipta segalanya dari tiada kepada ada, InsyaAllah...hati serasa lunak untuk menerima hakikat kehidupan.

Hiba...hatiku tiba-tiba disapa hiba. Kertas yang kupegang adalah kad ucapan hari lahir juga hari bapa hasil tangan seni anak lelakiku. Kukira dikarang di sekitar anakku masih di tahun pertama persekolahannya.

Hiba aku bukan kerana anak-anak tiada di sisi tetapi apakah aku telah melaksanakan amanah Allah di atas anugerah cahaya mata kepada kami.

Sedih aku bukan kerana perbelanjaan besar yang harus kutanggung di sepanjang perjalanan anak-anakku menimba ilmu tetapi apakah aku sudah mengimbangi didikan dunia dan akhirat untuk bekalan mereka.

Takut aku bukan kerana mereka akan berkahwin dan meninggalkan kami di usia senja tetapi dapatkah mereka mendoakan kami untuk kesejahteraan barzakh untuk laluan menuju akhirat.

"Anak-anakku...ayah akan tetap pergi meninggalkan tempat persinggahan ini. Ingatlah tinggalan ayah yang mengajar kalian mengenal kalimah al Quran sehingga khatam, ingatlah didikan solat yang ayah sempurnakan untuk kalian sehingga kalian boleh mengimami solat jemaah sekeluarga. Jangan kau alpa untuk mengimarahkan segala ilmu tersebut kerana dengan itu sahaja hidupmu akan diberkati".

"Anak-anakku...tulisan ini akan kekal tertera sehingga alam semesta ini musnah. Singgahlah ke halaman Evolusi Jiwa kerana segalanya telah ayah luahkan di dadanya. Ayah bukan pengarang hebat yang boleh melunakkan hati manusia dengan karangan berseni, ayah hanya ingin mengimarah dakwah kecil agar pahalanya dapat membantu ayah di tempat yang teramat sunyi nanti".

Kusimpan kembali kad ucapan anakku untuk sebuah peringatan bahawa masa akan terus berlalu untuk generasi seterusnya mengambil alih peranan seorang ayah mahupun ibu...aaahhhhh.


 

 



Monday, 14 December 2015

Hukuman 'Double Standard'

Dr Asri Zainul Abidin bersuara lagi. Kali ini Mufti Perlis tersebut mempertikaikan tokoh-tokoh agama yang mempersoalkan kenyataan beliau yang selari dengan sekumpulan ternama (G25) dalam isu penguatkuasaan undang-undang syariah.

G25 menuntut sebuah jawatankuasa perunding ditubuh bagi membincangkan pindaan atau pemansuhan beberapa undang-undang syariah. Di antaranya perbuatan berkhalwat yang melanggar hak kebebasan dan privasi individu seseorang seperti termaktub di dalam perlembagaan.

Tanpa berselindung, Dr Asri mengaitkan isu berkenaan dengan isu kepentingan awam apabila terdapat pihak menyebut dokumen penting tidak boleh didedahkan.

"Akaun peribadi, sekalipun dipersoalkan oleh awam tidak boleh didedahkan. Laporan-laporan siasatan penting kepada awam tidak boleh didedahkan".

"Sesiapa yang mendedahkan patut diambil tindakan . Tidak pula kedengaran dalil agama membantah hal ini", katanya.

Beliau dipercayai merujuk kontroversi wang 2.6 billion di dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

"Ramai orang agama marah bila pengintip khalwat diganggu tapi tidak menzahirkan marah apabila penyiasat kepentingan awam diganggu dan diambil tindakan", seperti tulisan beliau di facebook.

Beliau mungkin merujuk pemindahan keluar pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat kontroversi isu 1MDB.

Suara Dr Asri lantang mengkritik kerajaan mahupun parti pembangkang di atas segala ketidakadilan yang berlaku ke atas negara. Mengapa beliau begitu berani bersuara? Kerana beliau tiada apa-apa kepentingan di dalam kerajaan mahupun barisan kroni yang menyokong...hanya risiko yang menanti seorang pejuang tulen!

Semoga Dr Asri istiqamah di atas landasan perjuangan demi memartabatkan Islam di bumi merdeka.




Monday, 7 December 2015

Tetamu Bertamu

Bukan sesuatu yang asing untuk kita melayan tetamu di rumah apatah lagi di hari-hari perayaan...'open house', kata mat saleh. Tapi tidak semua yang berkemampuan untuk meraikan tetamu di dalam 'mode' majlis rumah terbuka...besar bajetnya. Walau begitu keadaannya, tetamu tetap diraikan dalam kesederhanaan.

Teringat aku sewaktu kecil. Di hujung minggu, ayah akan membawa kami sekeluarga menziarahi bapa dan ibu saudara (adik-beradik ayah). Sebab itulah kami sepupu rapat macam adik-beradik. Amalan berziarah dan mengunjungi kaum keluarga menjadi rutin walau bukan di hari perayaan. Ya...di tahun 70an dan 80an, kebanyakan isteri hanya menjadi suri rumah. Suami pula akan pastikan kelebihan ruang hujung minggu diisi dengan menziarahi kaum keluarga.

Oohhh...berbanding dengan zaman sekarang, nilai hidup merubah landskap kehidupan. Ibu dan bapa zaman siber ramai yang bekerja bagi mencukupkan keperluan keluarga. Natijahnya, amalan berziarah sudah tidak praktikal kerana ruang hujung minggu sahajalah masa untuk mengemas rumah dan berhibur bersama keluarga masing-masing.

Hari itu aku dikunjungi tetamu. Tidak ramai...hanya seorang. Tetapi firasat aku melihat ramai kaum keluarga dan sahabat handai di belakangnya...mereka menunggu sesuatu.

Tetamu itu nampak biasa pada mata kasar tetapi ada sesuatu yang luar biasa kurasa ada pada dirinya.

Tetamu itu menyimpan sesuatu yang terpendam dan mempunyai keberanian untuk mengunjungi tempat yang asing baginya.

Seperti biasa, kami akan melayan sebaik mungkin siapa sahaja yang menjadi tetamu. Banyak riwayat yang dinukilkan betapa Rasulullah SAW dan para sahabat begitu menghormati tetamu...sehingga sanggup memadam api pelita demi menjamu makan malam yang hanya ada untuk tetamunya sahaja (di dalam keadaan bergelap tersebut, agar tetamu itu menganggap tuan rumah makan sekali bersamanya).

Aku tidak meletak darjat dan kasta untuk setiap tetamu yang hadir. Mereka berhak dilayan sebaik mungkin atas dasar 'hablumminannaas'. Mereka datang bersama rezeki untuk tuan rumah dan mereka pulang dengan mencuci dosa tuan rumah...itu yang mahu kami gapai...Insya Allah.

Tetamu sudah melangkah pergi. Kami memanjat rasa syukur kerana segala yang dirancang berjalan lancar. Jalan masih panjang, banyak yang harus ditempuh...

...hanya kami bergantung penuh kepadaNYA. PerancanganNYA adalah sebaik-baik perancangan...kami hanya hamba yang pasrah dan redha dengan segala ketentuanNYA.

Kerana akhirnya kami akan menjadi 'tetamu barzakh'.


Monday, 23 November 2015

Aku Tidak Setuju Dengan Ridhuan Tee

Entri Mohd Ridhuan Tee Abdullah menerjah masuk ke 'wall' aku. Beliau bukan berstatus 'friend' kepadaku...tetapi pautan 'like' seseorang telah menjemput entri beliau bertandang. Aku leka membaca...

'Apabila agamawan dibadutkan' merupakan tajuk entri FB yang dipos pada 16 November 2015. Beliau mengupas program realiti TV agama yang pernah dihoskan oleh beliau sendiri di musim sebelumnya (rujuk program 'Imam Muda' dan 'Pencetus Ummah').

Untuk sebuah sinopsis, beliau mengkritik format program tersebut yang penuh aksi lakonan dan nyanyian 'terlampau' bagai sebuah program mencari bakat.

"Agamawan diperalatkan untuk mencari keuntungan. Malang sekali jika agamawan tidak menyedari".

"Yang dicari di sini bukan pelakon, penyanyi atau pelawak tetapi bakal pendakwah".

Itulah di antara frasa ketidakpuasan hati beliau yang diluah.

Oohhhh...aku berada di posisi yang agak tidak menyenangkan dengan komen beliau. Inilah hujahku...

Terdapat banyak kategori dakwah. 

- dakwah di surau/masjid bersama rujukan kitab.
- dakwah di media massa bersama ahli panel.
- dakwah melalui penulisan blog dan media sosial bersama fakta dan analisa.
- dakwah di dalam lakonan filem.
- dakwah di pentas teater.
- dakwah di bidang nyanyian.

Apa yang dipertontonkan di dalam rancangan tersebut merupakan genre dakwah yang penuh berseni. Adunan lakonan, nyanyian, muzikal dan efek audio benar-benar mempengaruhi orang-orang jahil untuk mendekati dakwah kontemporari itu.

Kepelbagaian method dakwah lebih menarik audien untuk terus-terusan menanti siri-siri seterusnya. Ianya tidak kaku dengan hanya melontar tonasi suara dan menjawab soalan.

Jika medium dakwah dikecilkan saiznya kepada hanya penyampaian syarahan dan ceramah seperti 'Forum Perdana', hanya golongan tertentu sahaja yang akan menyertainya. Bagaimana dengan mereka yang 'biasa-biasa' yang hanya mencari hiburan hidup?

Inilah sebenarnya peranan pendakwah untuk menarik golongan yang lalai agar mendekati Islam. Mereka harus mempelbagaikan method penyampaian dakwah bagi menarik minat golongan yang suka hiburan...hiburan yang masih di lingkungan syari'at. 

Satu lagi komen beliau yang agak menyentuh sensitiviti yang mendengar. Kertas ijazah menjadi prasyarat untuk melayakkan seseorang itu dipilih menjadi tenaga pengajar dan juri.

"Sekurang-kurangnya mereka yang terlibat (tenaga pengajar atau juri) ada ijazah asas. Ini tidak, kadang kala peserta ada ijazah tetapi juri dan tenaga pengajar langsung tiada. Komen berasaskan kepada pengalaman. Kelayakan dinilai dengan air liur dan pengalaman berceramah. Adakah mereka ini layak dikategorikan sebagai pakar? Pakar apa? Bukankah pelik jika pelajar sarjana diseliakan oleh pemegang sarjana muda atau sijil".

Aku tak berkenan...tidak sepatutnya beliau menggarap ayat-ayat luka tersebut. Beliau bertaraf Profesor, berpangkat Doktor juga bergelar Ustaz. Haruskah beliau memandang rendah keupayaan para juri dan tenaga pengajar? Apakah sudah hilang rasa sensitiviti beliau terhadap juri yang bertaraf biasa-biasa tersebut? Tidak terfikirkah oleh beliau bahawa betapa tinggi ilmu seseorang itu tetapi ia masih tidak mampu memiliki kesemua ilmu di atas muka bumi ini? Mereka yang tidak berijazah itu kadang-kadang lebih bijak dan kreatif dalam mengupas isu dan beranalisa.

Saudara Ridhuan Tee memandang program tersebut dari sudut yang amat serius. Beliau meletak syarat dan kasta seolah-olah para peserta berada di sekolah pondok bagi melahirkan 'Hafiz' dan 'Ulama'. Jika itu situasinya, aku sendiri akan melarang hiburan dari mendekati para peserta. Mereka tidak boleh dilalaikan dengan segala macam bentuk hiburan.

Tetapi bukan begitu kehendak program tersebut. Ia diolah secara santai bagi mengimbangi segala macam program hiburan realiti yang berlambak di pasaran.

Aku lebih memandang program tersebut dari sudut 'hiburan dakwah' untuk menarik minat yang jahil. Lakonan, hiburan, muzik dan nyanyian hanyalah berperanan sebagai aksesori yang mencantikkan lagi sipemakai...apa yang penting, mesejnya sampai.

Beliau juga ada menyentuh bab 'tenaga pengajar' yang dianggap berpura-pura dalam menunjuk baik.

"..kita tidak mahu lihat ada makhluk dua alam. Di pentas agama bukan main ayu dan santun penampilannya seperti seolah-olah insan tidak berdosa. Tetapi apabila menjadi tenaga pengajar atau juri hiburan tv realiti, penampilan sangat jauh berbeza. Hilang habis keayuan dan kesantunannya. Yo sana yo sini".

Mengapa beliau begitu risau dengan kehidupan mereka yang dikatakannya berpura-pura? Beliau seharusnya lebih merisaukan komen-komen negatif datang dari beliau sendiri yang tidak menampakkan ciri-ciri kasih sayang dan ukhuwah Islamiah. Sepatutnya kita mendoakan mereka yang jahil untuk total berubah menjadi lebih baik. Ini merupakan salah satu usaha untuk menarik artis-artis dan selebriti agar mendekati Islam. Kutukan dan kejian hanya akan menjarak dan menyemai kasta dalam beragama. Agama Islam bukan milik eksklusif agamawan...tetapi untuk semua ras, bangsa, etnik dan keturunan!!!

Aku rasa Saudara Ridhuan Tee harus mendalami satu ilmu yang boleh melunakkan jiwa agar rasa 'kasta' dan ego diri bisa terhindar...iaitu ilmu tasawuf!

Saudara Ridhuan Tee,

Biarlah jika mahu dikatakan 'pendakwah badut', asalkan badut itu tidak jumud dan kaku dalam menyebar dakwah....asalkan badut itu lebih mengerti dan faham makna sebuah ukhuwah dan sensitiviti...asalkan badut itu tidak berasa ego dengan bergulung-gulung ijazah yang terpamer di dalam bingkai emas.

Maaf...hanya pandangan peribadi.



Tuesday, 17 November 2015

Bersahabat DenganNYA

Diriwayatkan seorang pemuda (cucu kepada Khalifah Umar al Khattab) sedang beribadat di dalam masjid. Bersama beliau adalah Khalifah (pemerintah) yang turut menyertai beliau dalam beribadat. Seusai ibadah, Khalifah telah bertanya kepada pemuda tersebut adakah apa-apa keperluan yang boleh ditunaikan untuk kemudahan beliau. Pemuda itu enggan meminta apa-apa kerana tidak manis untuk beliau berbicara hal dunia di dalam rumah Allah.

Setelah mereka berdua keluar dari masjid, Khalifah bertanya sekali lagi tentang keperluan yang boleh ditunaikan kepada pemuda tersebut.

"Tentang harta dunia atau akhirat?", tanya pemuda kepada Khalifah.

"Tentulah harta dunia yang boleh memudahkan kehidupanmu", jawab Khalifah yang bermurah hati itu.

"Kepada Allah pemilik langit dan bumipun aku tidak berharap apa-apa melainkan redhaNYA, inikan pula dari Tuan Khalifah yang diberi rezeki oleh Allah atas ehsanNYA jua!"

Apa ibrah kisah di atas? Ya...untuk apa kita meminta-minta kepada makhluk sedangkan Allah yang memberi rezeki kepada setiap makhluk yang diciptanya. Mengapa masih berlaku ketaksuban kita mendekati makhluk dalam meminta sesuatu?

Secara logik, sekiranya sahabat karib kita merupakan seorang jutawan yang pemurah...tentu kita juga bakal mendapat manfaat dari kekayaannya. Tentu beliau akan tunaikan segala hajat kita ketika senang apalagi di dalam kesusahan. Tidak memintapun akan diberinya sesuatu kerana mengenangkan kejujuran kita dalam bersahabat.

Jadi, mengapa tidak kita bersahabat karib dan mendekati DIA untuk segala permintaan!

Sama-sama kita hayati..


Sunday, 15 November 2015

Apa Yang Mahu Kau Pamer?

Jika kita memiliki barangan baharu, sejauh mana kita menggunakannya tanpa menunjuk-nunjuk kepada dunia sekitar? Apatah lagi dengan hadirnya media sosial yang membuka ruang luas untuk sesi 'peragaan' produk.

Rumah, kereta, gajet, anak yang cemerlang...mengapa hati menjadi tidak tertahan-tahan untuk mewar-warkan harta dan kecemerlangan yang dimiliki? Ya...kerana peperangan hati dan nafsu itu sengit dan yang sering tewas adalah hati yang lemah dan kurang merujuk kepadaNYA. Ditambah lagi dengan kehadiran Raja kepada segala keangkuhan...syaitan.


Justeru untuk mengimbanginya, ingin kukongsi sebuah kisah. Semoga ibrahnya boleh kita hayati.

Diriwayatkan lelaki yang alim dan warak mempunyai seorang anak perempuan yang memakai gelang emas di tangan. Beliau bertanya adakah sesiapa lagi wanita di kampung yang mereka diami itu memakai gelang emas.

"Tiada, melainkan hanya aku sahaja yang memakainya", jawab anaknya.

"Tidakkah kamu merasakan bahawa perbuatanmu itu bakal mengecilkan hati teman-teman juga jiran-jiran kamu?", nasihat ayahnya yang warak.

Ulasanku...

Perhiasan emas harus untuk kaum hawa menikmatinya...hukum membenarkannya. Tetapi atas dasar 'hablum minannaas' (hubungan sesama manusia), si ayah yang tegar menjaga hati insan telah menasihati anaknya untuk tidak melukai yang lain dengan penampilan perhiasan emas tersebut!

Ingin aku bertanya...di mana letak prihatin kita untuk sebuah ukhuwah sesama manusia bilamana sering ditonjol-tonjol kelebihan yang dimiliki?

Fikir untuk sebuah zikir...


Tuesday, 10 November 2015

Rokok? Sisha? Vape?

Eerrmmm...rasa-rasanya yang mana satu di antara produk rokok, sisha dan 'vape' yang memberi manfaat kepada kesihatan? Berikan satu sahaja manfaatnya!

Mengapa di 'isu' kan 'vape' dikala tiada sebarang kebaikan yang boleh didapati dari segala jenama asap di atas. 

Rokok merupakan warisan kerajaan dunia yang teguh berakar umbi dari generasi ke generasi. Justeru jangan mimpi mahu mengharamkan tembakau yang menjadi lubuk emas kaum 'gila'.


Jadi...apakah menjadi 'haram' bila 'vape' muncul memberi persaingan kepada tembakau beracun yang mengandungi 4000 kandungan bahan berbahaya? (rujuk laman web Kementerian Kasihatan).

Apa yang mahu diperjuangkan kerajaan?

Aku sebenarnya yang dah naik gila membaca kenyataan-kenyataan yang tidak membantu akal waras untuk berlapang dada menerimanya.

Aku hanya menyentuh bab kesihatan...belum lagi ke sudut agama yang jelas keharamannya! (rujuk laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan).

Yang nyata...kesihatan rakyat yang menjadi pertaruhan pemerintah demi poket-poket ghaib!!!


Monday, 9 November 2015

Mahu Malaikat Atau Syaitan

Pernah kita dicerca, dihina mahupun dimalukan di khalayak ramai? Apa reaksi kita di dalam situasi tersebut? Berdiam diri atau menepis segala cercaan? Jika mahu menjawab, apakah dengan penuh berhemah atau berlaku serangan balas yang setara?

Untuk tahap biasa, mempertahankan diri sudah dikira memadai dan adil bagi yang diserang. Mahu aku kongsikan sesuatu yang lebih baik dari itu? Hhmmm...kisah yang diriwayatkan melalui Hadis.

Baginda Rasulullah SAW sedang berehat bersama sahabat Abu Bakar r.a, lalu didatangi oleh seseorang. Abu Bakar dicerca dan dikata nista sewenangnya di hadapan Nabi. Saidina Abu Bakar hanya mendiamkan diri buat beberapa ketika untuk memberi laluan secukup buat penyerangnya. Baginda Rasulullah juga setia duduk berdiam di sisi sahabat baiknya.

Setelah lama berdiam, Abu Bakar mula membalas tohmahan berniat untuk mempertahankan dirinya. Terus Rasulullah bangun dan beredar meninggalkan Abu Bakar bersendirian berhadapan penyerangnya.

Saidina Abu Bakar menelah bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan situasi tersebut lantas mengejar Rasulullah dan meninggalkan penyerangnya terpinga-pinga sendirian. Abu Bakar inginkan penjelasan mengapa Rasulullah beredar meninggalkan dirinya bersendirian menjawab tohmahan.

Rasulullah menjelaskan bahawa sewaktu Abu Bakar diam mendengar segala tohmahan, Malaikat menyertai beliau bagi mencampakkan kembali kata-kata nista kepada sipenyerang. Tetapi sebaik sahaja Abu Bakar membalas, Malaikat berlalu pergi dan syaitan pula menyertai mereka.

Rasulullah berlalu pergi kerana Baginda tidak mahu berdamping bersama syaitan.

Nah!!! Dalam keadaan kita yang kurang beramal, bersabar dan bertahanlah jika dicaci maki...kerana di situ ada Malaikat menanti...

FIKIR...



Sunday, 1 November 2015

Aku Pendosa Juga Ingin ke Syurga

Aku terkesan dengan persembahan Da'i Hamidah di pertandingan akhir Da'i musim ke 3. Agar dapat kuulang baca demi mengingatkan diri sendiri juga bagi mereka yang tidak berkesempatan mengikuti penyampaian Da'i Hamidah, maka kurakam di laman blog untuk sebuah iktibar. Untuk sebuah penghayatan yang lebih, sila ikuti video persembahan beliau di You Tube.


Aku Pendosa Juga Ingin ke Syurga

"Assalaamua'alaikum Warahmatullahita'ala wabarakatuh. Bismillahirrahmaanirrahim. Alhamdulillahirabbil 'alamin. Allahumma solli 'ala Saiyidina Muhammad Wa'ala Alihi Wa'alaihiwasallim".

"Aku pendosa juga ingin ke syurga..."

"Dosa...dosa ni yang buat hidup kita tidak menjadi tenang. Mungkin kita boleh sembunyikan keaiban kita dari seluruh manusia, tapi kita tak boleh sembunyi dari Allah Ta'ala".

"Allah berikan mata untuk melihat tapi kita gunakan mata ini untuk melihat maksiat. Allah berikan tangan tapi tangan ini yang kita guna untuk melakukan kejahatan. Allah berikan kaki tapi kaki ini yang kita guna untuk melangkah ke tempat yang haram. Ya Allah, banyak dosa kita ya Allah. Adakah dosa ini yang kau dapat ampunkan ya Allah".

"Para penonton yang dirahmati Allah sekelian, setiap anak bani Adam ini dilahirkan dalam keadaan fitrah yang baik dan bersih, tiada dosa seperti kertas kosong ini. Tetapi setiap kali kita melakukan kesilapan, melakukan dosa...ini yang menggelapkan hati kita. Menjadikan diri kita ini jauh dari Allah 'Azzawajalla".

"Allah...kotornya hati kita tuan-tuan. Seandainya Rasulullah SAW ada bersama kita pada hari ini, pasti Baginda sangat sedih. Adakah kita sanggup nak bawa dosa-dosa ini, nak bawa kesilapan ini untuk bertemu dengan Allah 'Azzawajalla tatkala Allah dah beri cukup banyak nikmat kepada kita tuan-tuan, tapi kita lupa pada Allah sedangkan Allah tak pernah lupa pada kita".

"Tuan-tuan, Allah tak hairan dosa apapun yang kita lakukan tapi Allah hairan kenapa kita tak bertaubat. Sebab itu Allah berfirman di dalam surah at Tahrim, "wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha". Taubat nasuha ni apa dia tuan-tuan. Taubat nasuha taubat yang bersungguh-sungguh...kalau orang Kedah kata "taubat lahum, tak mahu buat dah".

"Allahuakbar. Bila kita dah bertaubat, kita jangan teruskan berdukacita sebab Allah tak tengok kita yang dulu tapi Allah tengok kita yang sekarang. Manusia tak terlepas dari melakukan kesilapan dan dosa".

"Tuan-tuan, orang yang bertaubat ini ialah orang yang dirindui oleh syurga. Seperti mana sabda Nabi SAW, "di antara golongan yang mendapat perlindungan daripada Allah 'Azzawajalla ialah seseorang yang merindui Allah tatkala bersendirian maka mengalir airmatanya". Golongan ini yang Allah akan jaga".

"Muslimin dan muslimat yang dirahmati. Bila kita dah buat dosa, kita minta ampun kepada Allah lalu Allah ampunkan dosa kita. Tapi bagaimana kita nak jaga diri kita. Kita nak jadikan kehidupan kita ini baik dan terus baik. Nabi ajar kita, "takutlah kamu kepada Allah walau di mana kamu berada". Gantikanlah kejahatan yang kita dok buat dulu dengan melakukan kebaikan hari ini. Sebab dengan dok buat amalan kebaikan hari ini yang Allah boleh padam balik...Allah boleh basuh balik kesilapan-kesilapan kita yang dulu menjadi bersih seperti kertas kosong ini".



"Allahuakbar...tuan-tuan, sama-sama kita letakkan tangan di dada, kita istighfar. Semoga Allah dapat ampunkan dosa-dosa kita".

"Astaghfirullah...wallahuta'ala a'lam wassalamualaikum warahmatullahita'ala wabarakatuh".

* tajuk dipilih dan diolah oleh Da'i Hamidah sendiri