Hari yang dinanti tiba. Segala persiapan sudah dilakukan sebaik mungkin. Kami memilih rumah salah seorang dari sepupu kami untuk majlis tersebut. Kami yang berkumpul semua bertaraf sepupu...legasi Mohd Nasir. Idea meraikan 'dia' sesama sepupu datang dari abangku yang sulung...Aznam. Majlis yang berkonsep 'potluck' meriah dengan pelbagai juadah dan pencuci mulut.
Siapa yang kami tunggu? Dia sepupu kami sebelah bapa. Kami amat rapat sewaktu kecil. Pantang cuti sekolah, kami adik-beradik akan berkunjung ke rumah Paklang berhari-hari lamanya, kekadang melangkau ke minggu.
Kami bermain bola, badminton, galah panjang, monopoli. Kami menonton wayang dan berkunjung ke pantai Morib mahupun ke Port Dickson. Kami sekeluarga berkonvoi ke Pulau Pinang dan Singapura. Banyak kenangan yang tercipta. Kami tak pernah bergaduh malahan sentiasa ceria diulit situasi.
Takdir menerpa untuk dia pergi meninggalkan kami. Berhijrah ke Australia untuk pilihan survivalnya. Dia telahpun menjadi warganegara Australia bermakna melepaskan kerakyatan Malaysia...itu pilihannya.
Ceria amat bila kami bersua kembali. Boraknya seperti biasa cuma slanga Mat Sallehnya terarah ke 'Aussie'.
Bertemu beberapa jam tidak pernah cukup buat kami. Dia telahpun berlepas balik ke negara pilihan. Semoga pilihannya tidak menjarakkan hubungan darah yang tidak pernah berhenti mengalir menamakan kami sebagai saudara hingga ke generasi seterusnya.
Selamat Jalan Kak Liza...
Terimakasih Zaila untuk logistik dan ruang solat yang selesa.
Terimakasih kepada yang menyumbang hidangan.
Terimakasih kepada yang hadir demi sebuah ikatan yang berkekalan.
No comments:
Post a Comment