AKU...Aku sering mencari-cari rentak irama untukku berkarya.
MASA...masa memain peranan utama kekadang menjadi musuh pertama. Aku berperang dengan masa dalam misi melengkapkan hasil karya. Jika di hari-hari biasa, amat luarbiasa sekiranya aku dapat menyiapkan satu artikel lengkap. Biasanya, aku cuma berada di dalam 'mode' memerhati keadaan sekitar lalu kukumpul segala maklumat dan disimpan cermat untuk dilengkapkan di waktu yang sesuai. Alahai...bilalah tiba waktu yang sesuai itu ye.
Sebenarnya bagiku, cemburu jangan dikaitkan dengan masa kerana Allah memperuntukkan masa yang sama kepada setiap makhluknya. Masa tidak pernah mencemburui kita sepertimana yang sering diperkatakan oleh para penceramah mahupun pengacara. Kita yang sebenarnya patut mencemburui masa kerana tidak cerdik untuk menguruskannya apatah lagi jika masa itu terbuang begitu sahaja tanpa diisi perkara-perkara berfaedah.
Pak Yeop...orang lama di syarikat tempatku bekerja dan sudahpun mengakhiri perkhidmatannya di usia 55 tahun. Pak Yeop menjadi di antara guru-guru yang menggilap kamampuanku untuk meneroka masalah jiwa. Pernah aku berhubung dengannya bertanya khabar. Pak Yeop berpesan kepadaku agar tidak melewat-lewatkan masa untuk berbuat kebaikan. Jika terlintas sahaja di minda, buatlah semampu yang boleh. Pak Yeop berkongsi cerita bahawa di waktu dia masih berkhidmat, dia berniat untuk fokus menambah amal apabila sudah berpencen...banyak masa detik hatinya. Tetapi lain pula kisah bila waktunya tiba. Pak Yeop sibuk bermain dan menjaga cucu, badan Pak Yeop sering letih dan sakit-sakit, sehingga membantutkan niat Pak Yeop yang ingin menambah amal di waktu pencen. Alahai...itulah penangan masa!
ILHAM...kekadang hadir tanpa diundang, sering juga ilham menyepi malu bertandang. Kerap ilham tiba di kala aku sibuk atau sedang memandu. Jika tidak dicatat biji butir ilham, pasti ia akan berlalu pergi tanpa mampu kuingat apa yang terlintas...rugi. Itu juga menjadi cabaran untuk aku tingkatkan pacuan daya ingatan dalam menyimpan memori. Salah satu caranya, banyakkan berzikir. Lihat sahaja Ulama'-ulama' salafi yang mampu menghafal beratus ribu Hadis-hadis yang berbeza kategori. Imam Syafie yang hafaz al Quran di awal usia tujuh tahun. Amalan zikir itulah rahsianya!
SUBJEK...aku perlu mahir atau setidak-tidaknya tahu menganalisa sesuatu subjek atau isu sebelum kupaparkan hasil karya. Ini bukan remeh kerana jika aku tidak serius dalam menganalisa sesuatu topik untuk mewakili minda pandanganku, ia bakal menjadi bahan gelak tawa audien yang menatapnya.
Aku lebih cenderung dalam mengupas isu-isu agama mahupun berkenaan tasawwuf jiwa kerana perjalanan hidupku banyak dibelenggu dengan mehnah tersebut. Berhadapan kerenah haiwan tidak sehebat apabila disua dengan sunnah manusia...kekadang bisa gila jadinya. Di situlah khazanah tasawwuf memain peranan dalam menstabilkan jiwa. Jiwa yang seakan ikan di laut, tidak terjejas isinya walau bertahun mendiami laut masin...ikan tetap tawar! Di situlah timbulnya analogi bahawa jiwa yang mantap tidak terkesan dengan cebikan bibir manusia sekeliling.
BAHASA...bahasa boleh mempamer siapa diri kita. Bahasa mempunyai tarikan dalam menarik minat seseorang untuk meneruskan bacaan. Bahasa bisa memaut rindu mereka yang dibelenggu panahan ayat sakti. Aku perlu berkomunikasi dalam garapan perenggan-perenggan yang tersusun. Tidak aku gusar sekiranya mereka yang membaca tidak melekat hatinya dalam meneruskan bacaan artikelku. Yang lebih memeritkan bila aku sendiri hilang arah dalam menyusun atur kalimah-kalimah untuk terciptanya ayat buat tatapan semua.
KONSISTEN...pepatah yang amatku geruni apabila aku mula menghasilkan seauatu produk ialah 'hangat-hangat tahi ayam'. Entah berapa lama aku mampu bertahan dan beristiqamah dalam menghasilkan karya. MASA, ILHAM, SUBJEK, BAHASA...hadirlah semua agar aku mampu KONSISTEN dalam berkarya...errmmmmm.
No comments:
Post a Comment