Translate

Saturday, 2 November 2013

Bila Sijahil Menggilap Agama



Dewasa ini peranan internet tidak boleh disangkal lagi. Manusia boleh jadi tempang dan tidak bermaruah rasanya sekira-kira khidmat internet terputus. Biarlah tidak bersosial kerana teman-teman di alam 'cyber' boleh jadi beribu-ribu bilangannya merentasi sempadan geografi bumi yang berbentuk sfera ini.

Terdapat banyak manfaat sebenarnya yang boleh diaplikasi dalam kehidupan kita melalui internet. Kehidupan berinternet boleh merapatkan hubungan yang jauh, jawapan permasalahan hanya berada di hujung jari, kita tentunya menjadi masyarakat yang sangat berinformatif. Sebaran maklumat berada di dalam kapasiti 0.1 saat melangkaui jutaan manusia

Entri aku kali ini lebih bersifat teguran dari yang jahil. Aku tak banyak ilmu sebab itu aku banyakkan membaca untuk menyaingi ilmu yang kamu semua ada.

Isunya berkenaan mereka yang betah menyebar kebaikan di internet tetapi kebaikan itu sendiri jauh darinya. Disalin artikel-artikel agama, panduan-panduan Hadis, ayat-ayat al Quran juga zikir-zikir harian...kemudian disebarluas ke laman-laman sosial bagi menggalakkan mereka membaca. 

Salin, tampal, sebar...dapat pahala!!!

Sekilas pandang, memang ianya sesuatu yang baik. Sebarkan segala kebaikan untuk dituruti orang lain. Dari sebar perkara-perkara tak baik, lebih molek menyebar sesuatu yang boleh membawa pahala...kononnya.

Ini samalah dengan kita menggantung ayat-ayat al Quran di sudut-sudut rumah tetapi kita jauh dari membaca apa lagi mengamalkannya.

Tidak kurang bezanya dengan restoran-restoran India yang menggantung bingkai ayat-ayat suci untuk mengabui mata pelanggan...Halal katanya.

Dalam tidak sedar, mereka yang menyebar perkara-perkara agama (tetapi tidak mengamalkannya) cuba membohongi masyarakat bahawa mereka cintakan Islam. Sungguh besar pembohongan yang mereka lakukan seperti orang-orang yang bersifat munafik.

Contoh, mereka menyebar zikir harian yang diilhamkan oleh Imam Ghazali:-

Isnin - Lahaulawala...
Selasa - Selawat ke atas Nabi
Rabu - Astaghfirullah...
Khamis - Subhanallah...
Jumaat - Ya Allah
Sabtu - Laa ila ha illallah
Ahad - Ya Hayyu ya Qayyum

Beramalkah mereka dengan zikir harian di atas? Jika YA...Alhamdulillah, memang patut mereka kongsikan perkara baik yang telah menjadi amalan hidup mereka. 

Tetapi bagaimana jika jawapannya TIDAK! Patutkah mereka sebar kebaikan yang langsung tidak pernah mereka buat? Jika semata-mata mengharap pahala, ditakuti dosa pula yang terpalit kerana kebaikan harus bermula dari diri sendiri...barulah kita berkongsi kebaikan itu dengan yang lain. Apatah lagi jika kehidupan sebenar mereka jauh dari segala yang baik. Berdosa kerana berbohong menyebar perkara yang tidak mereka lakukan.

Menambah semangat lagi apabila di hujung artikel menyebut agar kongsikan apa yang anda baca kepada teman-teman yang lain dan sebanyak itu jugalah pahala yang bakal anda kecapi.

Jika itulah caranya untuk meraih pahala, tiada lagi aura kebaikan yang boleh menusuk hati yang membaca. Malam bermaksiat, siangnya diimbangi dengan tempelan-tempelan cerita agama di laman sosial...dapat pahala. Mudahnya!

Sebenarnya tanpa sedar, kita terpedaya dengan segala artikel-artikel baik yang wujud di alam cyber. Sebahagiannya merupakan strategi syarikat telekomunikasi yang meletak sasaran tinggi untuk pelanggan-pelanggan internet menyebarkan artikel-artikel terutama dari segi keagamaan. 

Mereka beranalisa bahawa masyarakat di Malaysia yang berjiwa lunak dan sayang agama amat mudah dan tidak teragak-agak untuk menjadi 'keldai dadah' yang boleh menguntungkan syarikat mereka dengan menyebar apa sahaja terutama yang bercorak agama. 

Seseorang itu mungkin tidak solat dan fasik tetapi mereka sensitif tentang bab-bab keagamaan. Jadilah orang-orang suruhan itu sebagai 'pak turut' kerana telah disogok dengan pahala di akhirat. Lagi banyak mereka sebar, lagi berganda laba diraih. Lagi lama mereka berinternet, lebih menguntungkan perkhidmatan syarikat tersebut.

Menyebar ilmu bukan begitu caranya. Ilmu mempunyai nilai tinggi dan rohnya sendiri. Ia bukan setakat salin, tampal dan sebar. Jikapun mahu berkongsi kebaikan, pastikan kebaikan itu wujud dalam diri kita agar kemanisan dan ketinggian ilmu itu tidak tercemar.

Ilmu sepatutnya dicari bukan ilmu itu yang mencari-cari anak murid untuk disampaikan. Inilah kemelut nilai ilmu di alaf baru, disebar-sebar tanpa menghayati manfaatnya, di 'copy' dan 'paste' walau tidak tahu hujung pangkalnya, di jaja-jaja sekalipun jahil untuk menerangkannya.

Jadilah ilmu yang tinggi nilainya itu terawang-awang tanpa mampu dihayati oleh peneroka laman sosial.

Jadilah ayat Al Quran itu mainan dunia 'cyber' bagi mempamer kewarakan yang hipokrit.

Jadilah majlis-majlis agama di surau dan masjid tersisih sepi kerana telah diganti dengan ulama'-ulama' media yang bersosial.

Inilah nasib agama ISLAM di alaf baru.

No comments:

Post a Comment