Translate

Sunday, 10 November 2013

Mak Tak Perlu Tahu

Sedari sebesar tapak tangan...siapa lagi yang mengepalai segala keperluan makan, minum, pakai...serba-serbinya lengkap. Walau untuk melengkapkan segalanya menagih lelehan airmata dan keringat. KITA TAK TAHU SEBAB MAK TAKKAN BERITAHU.


Di zaman kanak-kanak...siapa lagi yang mendidik kita tentang benda-benda asing, yang mengajar nama dan habitat, yang menyedarkan bahaya, yang memainkan deria rasa, yang memujuk rasa dan mendodoikan kita walau mata sendiri berat untuk berlabuh. KITA TAK TAK TAHU SEBAB MAK TAKKAN BERITAHU.

Bila remaja...siapa yang merintih jiwa menahan sabar atas jiwa remaja kita yang meluap-luap inginkan kebebasan, kelaku kita yang meminta itu dan ini, kemalasan kita yang jarang membantu, ketidakwarasan kita yang hanya inginkan barang berjenama walau bajunya langsung tiada nama...KITA TIDAK RASA SAKIT SEBAB MAK TAKKAN MENGUNGKIT.

Di hari perkahwinan...siapa yang bergolok bergadai demi sebuah walimatul urus yang membabit ramai jemputan, yang risau tentang persiapan kenduri dan adakalanya menebal muka meminjam demi mencukupkan keperluan, yang letih dan kurang tidur berhari-hari atas kerisauan lauk-pauk yang entah cukup entahkan tidak...KITA TIDAK RASA SAKIT SEBAB MAK TAKKAN MENGUNGKIT.

Mak dah lanjut usia, sakitnya tak banyak yang kita tahu sebab mak nak kita bahagia dengan keluarga baru. Mak tahu kita sibuk dengan apa yang mak pernah lalui dahulu. Biar...mak lebih rela berseorangan menanggung derita dan sunyi dari mendengar alasan-alasan yang buat mak lebih bosan.

Perlu ke kita sua-suakan masalah pada mak di lewat usianya? Perlu ke kita masukkan mak dalam bahan penceritaan penglipurlara yang penuh warna-warna gelap dan kelam? Mak perlu rehat, mak perlu tenang, mak perlu sihat untuk banyak beramal...kerana dahulu amalan mak banyak yang tergendala atas kerenah kita.

Mak tak perlu tahu itu semua. Mak lebih arif erti 'masalah'. Mak dan masalah dah jadi sinonim. Berilah mak peluang untuk berenggang dengan masalah. Masalah yang kita suakan kepada mak tidak membantu kesihatan mak yang semakin susut. Cubalah kita pula ambil sikap mak yang menjadi seorang perahsia untuk menceritakan sebarang masalah kepada anak-anak.

Mak pernah nasihat..."Bila kahwin dan ada anak-anak, kebahagiaan kita semuanya kena beri pada mereka. Bahagia kita dah habis..jangan minta apa-apa lagi kerana giliran kita kena bahagiakan anak-anak pula".

Tapi dunia itu adil pada mak. Mak sudahpun bahagia dengan kehidupannya. Apa yang mak ingin, semua mak merasa. Memang mak berhak untuk mengecap nikmat itu kerana dulu mak banyak memberi...mak dah puas memberi sehingga tiada apa lagi yang tinggal buat mak.

Umur mak dah tinggal sisa, jika yang sisa itupun mahu dirampas...apa lagi yang berbekas buat mak.

MAK KITA HANYA SEORANG. BILA TIBA MASA, MAK JUGA AKAN TINGGAL SEORANG DI ALAM ITU. JANGANLAH SEBAB KITA SEORANG, MAK AKAN RASA KESEORANGAN TANPA HADIAH FATIHAH DARI ANAK YANG BUKAN HANYA SEORANG.


No comments:

Post a Comment