Translate

Saturday, 16 November 2013

Jom Ikut Langkah Syaitan

"Aaarrr..ape? Nak ikut langkah makhluk terkutuk tu? Dah gile ke ape kau ni? Makin jauh blajar agama makin melalut plak ajaran kau, mazhab mana kau ikut ni?" Amin jadi tidak keruan dengan saranan aku.

"Rilek la Min, aku dah analisa sifat syaitan ni dan aku rasa ada karektor yang boleh kita ikuti. Kau nak dengar tak?" aku bermuka selamba dengan ketidakpuasan hati sahabat baikku itu.

"Uuiissyyyy...tak payah lah Zi. Aku ni bukan blajar agama sangat tapi kalau setakat nak ikut pe'el syaitan, orang tak mengajipun tahu siapa syaitan tu. Mana ada sifat baik..semuanya buruk. Syaitan tu dilaknat Allah sampai hari kiamat tau tak Zi! Alih-alih kau nak aku ikut jejak langkah syaitan...simpang Malaikat 44", 

Amin semakin berangin dengan desakan aku sebentar tadi. Mahunya tak angin satu badan budak Amin tu...aku sarankan kepadanya dalam mengejar kejayaan dan kehidupan seharian kita saharusnya mengikut langkah syaitan.

Umat Islam tidak pernah peduli dengan kewujudan syaitan di sekeliling. Sebab itulah mereka tiada masa untuk meneliti dan menganalisa sifat-sifat syaitan. Bila al Quran dan al Hadis menyarankan agar kita menjauhi syaitan dan tipudayanya, terus kita tutup pintu untuk kenal siapa syaitan itu.

"Min...kau dengar dulu, aku nak citer ni. Kau tarik nafas panjang-panjang dan lepaskan perlahan. Lepas tu kau lapangkan minda untuk menjadi seorang pendengar...jangan menyampuk boleh tak", aku cuba tenangkan Amin untuk mendengar sarananku.

"Cuba kau perhati betul-betul...misi syaitan adalah untuk menyesatkan manusia. Syaitan juga telah mendapat kebenaran dari Allah untuk misi itu. Kenapa Allah tak halang? Sudahlah syaitan menderhaka dan engkar suruhan Allah, Allah beri pula peluang untuk syaitan sesatkan manusia yang Allah cipta dengan TanganNYA sendiri". Aku lihat Amin akur dengan permintaanku untuk menjadi pendengar tanpa menyampuk.

"Haa Min...kat situlah Allah suruh manusia berfikir. Tak semestinya dia musuh kita, kita tak boleh belajar sesuatu darinya".

"Syaitan tak pernah kenal erti putus asa dan kecewa dalam hidupnya. Syaitan akan terus-terusan melancarkan misinya hingga berjaya dan menatijahkan kesan ke atas mangsanya. Syaitan mempunyai plan dan strategi yang ampuh dalam menyelesaikan misinya".

"Aku beri satu contoh. Ada satu kisah yang mana syaitan ingin menggoda pemuda alim untuk menjerumuskan dirinya ke lembah maksiat. Syaitan tahu jika dibisikkan kalimah-kalimah keseronokan dunia, tidak akan memberi kesan kepada pemuda itu. Lalu apa strateginya? Syaitan memasang strategi dengan menyamar sebagai orang alim tetapi ditunjukkan kealimannya melebihi dari pemuda itu. Amalan solatnya tidak pernah lekang dan nampak hidupnya penuh dengan pengabdian diri kepada Allah".




"Abis tu apa jadi", Amin mula tak sabar dengan penceritaanku.

"Pemuda itu mula perasan ada orang lain yang bersungguh-sungguh beribadat yang tidak mampu untuk diikutinya. Dia mendekati orang alim itu dan bertanyakan rahsia yang membolehkan dia beribadat sepanjang hari tanpa rasa letih dan bagaimana untuk sampai ke makam tersebut".

"Syaitan yang menyamar itu mula memasang perangkap dengan mengatakan bahawa pada asalnya dia seorang yang jahat dan fasik. Semua jenis kejahatan pernah dilakukannya. Tetapi bila hidayah Allah sampai, dia mula meninggalkan segala kejahatan itu dan beribadat sepanjang masa sehingga sampai ke makam sekarang".

"Pemuda tersebut berminat untuk sampai ke makam tersebut dan meminta agar ditunjuki jalannya. Syaitan mengarah agar pemuda itu membunuh seorang wanita. Pemuda itu enggan. Disuruhnya pula pemuda itu merogol wanita. Pemuda itu masih enggan. Lalu disarankan pemuda tersebut minum arak. Pemuda itu mula akur kerana menyangka itu sesuatu yang paling ringan dosanya".

"Diminumnya arak berkali-kali, bergelas-gelas dan berbalang-balang sehingga pemuda itu benar-benar mabuk dan hilang ingatan. Dirogolnya wanita dihadapannya. Apabila sudah terlajak, syaitan itu hasut lagi untuk membunuh wanita tersebut bagi menutup malu atas jenayah yang dilakukannya. Pemuda alim itu sebenarnya sudah melakukan jenayah berat yang pada mulanya dia enggan iaitu membunuh".

"Pemuda tersebut diberkas oleh penduduk kampung dan dipalang untuk menerima hukuman. Syaitan yang menyamar itu hadir di hadapan dan menjalankan misi terakhirnya untuk menyesatkan pemuda alim tersebut. Dikatakannya bahawa untuk sampai ke makam yang diinginkan, dia harus menundukkan kepala tanda sujud untuk mengakui bahawa yang di hadapannya adalah Tuhan, selepas itu baharulah Allah terima taubatnya. Sebaik sahaja ditundukkan kepala sebagai simbolik menyembah Tuhan maka berakhirlah misi syaitan untuk menyesatkan pemuda itu. Si alim telah mensyirikkan Allah di atas perbuatannya menundukkan kepala".

"Min, kau tengok macam mana syaitan merangka strategi sehingga boleh menumbangkan ahli ibadat".



"Komitmen syaitan tu lah yang aku teruja untuk dijadikan contoh. Syaitan tak putus asa dalam merangka misi mereka. Jika tak boleh cara begini, dibuat cara begitu. Syaitan fokus pada subjek dan pentingkan hasilnya. Syaitan tak pernah buat kerja separuh jalan. Syaitan juga mempunyai strategi yang mantap untuk menghadapi musuh".

"Kita sebagai umat Islam sepatutnya mencontohi sifat syaitan bagi memartabatkan Islam. Berkomitmen tinggi, tak putus asa dan cuba cari jalan untuk menghasilkan yang terbaik...bukannya mencari-cari alasan untuk meletak salah kepada yang lain!"

"Kita juga boleh gunakan karektor syaitan untuk melawannya balik secara bersungguh-sungguh, tanpa putus asa dan tanpa terleka. Kita rangka strategi agar syaitan tak dapat tewaskan kita iaitu dengan banyak berzikir, baca al Quran dan buat banyak perkara sunat untuk dapat perlindungan Allah. Kita jangan putus asa dalam misi melawan syaitan. Kalau terlajak, kita cepat-cepat kembali semula ke jalan yang betul".

"Jadi aku rasa tak salah kalau kita ikut langkah syaitan untuk menghasilkan perkara yang baik-baik".

"Min..Min...laaaa tidur pulak mamat ni. Aku cakap sensorang ke dari tadi...errmmmm".

No comments:

Post a Comment