Translate

Friday, 30 January 2015

Minum Petang Bukan Untuknya

Di syarikatku, terdapat beberapa jabatan yang diberi kepada kontraktor untuk menguruskan kerja-kerja pembersihan, salah satunya di Kafetaria. Aku baik dengan seorang pekerja Bangladesh yang sering berkopiah. Asal nampak aje muka aku, tak lekang mulutnya memberi salam. Kekadang disimpannya kuih-kuih untukku takut habis dimakan kakitangan lain. Memang dia baik dan alim.

Kebiasaan aku ke Kafetaria di pejabat, seawal tiba waktu pagi dan petang. Aku jarang makan waktu tengahari kerana kekenyangan sarapan pagi masih terasa. Kata orang, 'makan bila lapar, berhenti sebelum kenyang'. Petang itu seperti biasa, perut sudah memberi isyarat untuk diisi. Makanan di Kafe bertaraf percuma untuk seluruh kakitangan...memang itu perjanjian Syarikat dan Kesatuan Sekerja. Untungkan makan free!!! heheee...

Aku ke Kafetaria dan bersua dengan si Bangla itu...Munir namanya (maaf, ejaan namanya mungkin salah). 

"Assalamu'alaikooom boss..." jauh lagi salam sudah dilaung kepadaku.

"Wa'alaikummussalam Munir", kulontar sekilas senyuman kepadanya.

"Awak minum ini teh tarik?", ringkas aku bertanya.

"Tada minum boss", ringkas juga dia menjawab sapaanku.

"Ini teh tarik sedap la Munir..awak mesti cuba", aku suakan gelas kepadanya.

"Tamau boss. Saya pagi saja minum ini air panas. Petang tada minum", gelengan kepalanya selari dengan apa yang mahu disampaikan kepadaku.

"Oooo...kalau minum kenapa? Boleh sakit perut ke?", soalku lagi mahu kepastian.

"Bukan boss. Saya memang boleh minum ini teh tarik tapi sana Bangladesh saya minum pagi saja, tada minum petang sebab miskin. Kalo saya minum petang sini Malaysia, nanti saya sudah biasa. Nanti saya balik Bangladesh saya susah mau cari duit mau minum petang. Lagi baik saya tada minum petang sama macam sana Bangladesh", senyumnya tak lekang bila berbicara.

"Ooooooohhhh...." 

Tekakku tersangkut. Airmukaku yang sedari tadi ceria terus menjadi kelat dan hiba. Tak mampu aku memandang Munir yang jujur bercerita betapa daifnya mereka sehingga terpaksa dicatu jadual makan. Waktu yang tak penting, tak perlu disediakan apa-apa makanan.

Yang membuat aku terkesima bilamana dia cuba mendisiplinkan dirinya dalam keadaan makanan mewah di hadapan mata setiap hari.

Aku di sini makan berjadual tak pernah putus sehingga menempa sakit kerana terlalu banyak makan!

Oooohhhhh...petang itu Munir mengajar aku erti sebuah kehidupan. Terimakasih Munir...





Salamnya Penuh Aura

Memberi salam dan bersalam memang menjadi tuntutan dalam agama Islam. Banyak Hadis menukilkan betapa Rasulullah tidak lekang dengan amalan memberi salam dan bersalam.

Bersalam...praktikalnya kita menghulur tangan untuk berjabat dengan seseorang. Adakah hanya itu sahaja?

Cuba lihat kebiasaan yang berlaku apabila tangan dihulur untuk bersalam terutama di surau mahupun masjid seusai solat berjemaah. Hulur tangan tanpa melihat muka dalam keadaan muka yang selamba!

Tercapaikah objektif bersalam itu? Tujuan bersalam adalah bagi mengeratkan silaturrahim sesama insan. Genggaman tangan yang erat, memandang anak mata dan senyum...mampu memberi aura yang baik kepada insan-insan yang bersalam.

Di setiap Jumaat di masjid kompleks MAS, aku sering bersalam dengan seorang kakitangan MAS yang tidak aku kenali tetapi dia sering berada di saf hadapan.

Aku perhati cara bersalamnya memang benar-benar menepati sunnah Rasulullah SAW. Digenggam erat tanganku, memandang tepat mukaku dan tersenyum sambil menundukkan sedikit kepala tanda hormat. Masyaallah...aura salamnya meresap masuk ke hatiku dan timbul rasa kasih kepadanya!

Begitu besar impak bersalam yang diajar oleh Kekasih Allah!

Sama-sama kita cuba amalkan ye...



Thursday, 29 January 2015

Aku Bakal Menyusul

Hari itu aku dikejutkan dengan pemergian seorang sahabat juga rakan kerja. Sakit kanser yang dihidapinya menjadi sebab dan musabab untuk dia pergi mengadap Ilahi.

Dia hanya bersandar kepada rawatan alternatif bagi membasmi kanser tersebut. Mungkin dia mempunyai alasan tersendiri untuk tidak mendapatkan rawatan perubatan moden.

Kami sering berborak bila aku ke jabatannya. Sikap ramahnya menjadikan aku ingin menyelami lebih jauh ke dasar kehidupannya. Dia banyak bercerita tentang cara hidup yang diredhai. Hubungan baik dia dan keluarga terutama kepada anak-anaknya membuktikan betapa dia seorang yang penyayang dan prihatin dalam membentuk sebuah keluarga yang berciri Islamik.

Kelibatnya di surau sering aku perhati. Suka memuji-muji aku dalam gurau senda yang mesra. Dalam dia memuji itu aku sedar bahawa itulah sifat orang yang tawadhuk dengan rahsia ilmunya yang tidak ditonjolkan.

Amat komited dengan tugasan. Sering dia mengadu kepadaku tentang beban tugasnya yang dirasa melebihi jawatan yang disandang. Tampak dia redha dengan keadaan itu yang mungkin boleh menambah pahala untuk bekalan di sana kelak.

Ya...masanya tiba untuk dia pergi bersama bebanan yang ditanggung selama ini. Derita di sempadan nyawanya dalam kurang lebih 2 bulan membisikkan bahawa Allah ingin membersih segala dosa sebagai kafarah untuk menemuiNYA.

Deritanya sebentar cuma berbanding redha Allah di atas kesabarannya menanggung ujian.

Ramli...aku kehilangan sahabat bercerita. Ceritamu penuh makna membuat aku menjadi pemikir untuk sebuah kata-kata simbolik. Apa hak aku untuk menahanmu...tetapi aku berhak untuk mendoakan agar kau sejahtera di sana.

Aku? Aku jua bakal menyusul kerana calon jenazah itu adalah aku! 

Al Fatihah untuk saudara Ramli Abd Hamid.


Sunday, 25 January 2015

Minda Yang Lebih Bersedia

Segala perbuatan dan tingkah laku yang kita perbuat adalah berasaskan apa yang terkandung di dalam minda fikir. Hati mencipta cadangan dan kehendak sementara akal pula memproses cadangan tersebut untuk tindakan susulan.

Apa yang berlaku samada positif mahupun negatif merupakan reaksi dari mesej yang disampaikan oleh minda.

Jika sedari awal hati sudah mengatakan 'TIDAK' kepada sesuatu perkara maka jangan haraplah natijah yang baik jika kita dipaksa melakukannya. Sebaliknya jika hati sedari awal rela dan suka akan sesuatu perkara, pasti hasilnya menjadi amat menakjubkan.

Persediaan akal memproses maklumat amat penting kerana seluruh anggota tubuh akan menerima impak dari tindakan akal yang mengerah cadangan menjadi tindakan.

Sebagai contoh, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Baling, Kedah memakan masa hampir 6 jam. Jika hati awal-awal lagi sudah maklum dan menghantar mesej kepada otak untuk bersedia menempuh perjalanan jauh tersebut...Insyaallah permusafiran itu bakal menjadi lancar dalam keadaan hati yang tenang.

Sebaliknya perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban menjadi amat memenatkan kerana hati siang-siang lagi sudah merungut-rungut mahu mengelak.

Contoh lain...jika hati kita lebih bersedia menerima segala kemungkinan terutama sikap manusia yang pelbagai ragam, Insyaallah tiada siapa yang mampu membuat kita melatah melalui provokasi.

Tetapi jika apa yang terbayang di hati berlawanan dengan perkara mendatang, melalui kata gurauan kecil dari rakan-rakanpun kita sudah hilang pertimbangan!

Apa mesejnya di sini?

Ya...hati dan akal harus lebih bersedia untuk menghadapi segala kerenah sekeliling terutama perkara-perkara yang tidak dirancang. Hanya dengan cara tersebut, kita akan dapat menangani masalah dengn lebih berhemah...mencari solusi tanpa emosi.

Monday, 12 January 2015

K POP Yang DiKambing Hitamkan

Viral meletus lagi. Kali ini isu anak-anak remaja Melayu berpelukan dan bercium di atas pentas bersama artis pujaan dari negara teknologi dunia K POP. Digambarkan remaja Melayu wanita yang bertudung tidak segan silu dicabul maruah di atas pentas oleh penghibur asing.

Mahu aku beranalisa? Inilah hasilnya...

Adakah hanya itu yang kita nampak? Kita cuma menyedari adanya maksiat bila ada artis-artis luar yang datang membuat persembahan di sebuah Negara Islam. Mereka yang 'mengomen' bagaikan Malaikat turun dari langit menyumpah seranah adegan-adegan yang tidak sepatutnya berlaku di atas pentas.

Memanglah...tidak dinafikan bahawa anak-anak remaja kita begitu teruja sehingga mengkesampingkan adat budaya Melayu yang berpaksikan Islam. Tetapi jangan hanya mengutuk isu-isu tertentu. Bagaimana dengan maksiat lain yang berleluasa tahap 'mega' di dalam rumah sendiri, oleh orang Melayu Islam sendiri!

Apa cerita dengan filem dan drama Melayu kita? Aku rasa adegan berpelukan depan-depan bersama rangkulan erat yang dihayati oleh pelakon Melayu Islam kita sudah menjadi biasa. Mengapa tidak di'viral'kan segala adegan lakonan yang menjolok mata itu? Mengapa artis luar sahaja yang dimangsai? 

Benarlah kata orang tua-tua..."kuman di seberang laut nampak jelas, gajah di depan mata tidak kelihatan".

Dangkal sungguh pemikiran Islam kita ye. Menegur kononnya berbunyi Islamik tetapi bertindak memejamkan mata melihat lakonan artis wanita kita yang begitu 'selamba' rela dicabul kehormatannya di lakonan pentas maya.

Mana lebih besar isunya...sesuatu yang berlaku secara spontan, berbanding perbuatan yang memang dirancang dan dilatih tubi berkali-kali untuk mendapat 'feel' yang baik. Tentunya lakonan artis-artis kita sudah termaktub di dalam skrip untuk mereka menurutinya dengan teramat rela!

Adilkah komen-komen kita hanya terhadap isu K POP? Nampaknya kita terlebih 'racist' dalam menjatuh hukum. Apabila bangsa kita berpelukan dengan bangsa luar...berdosa. Adegan yang sama sesama bangsa sendiri...tak nampak di mana nak menjatuh hukum. Kita memilih-milih isu untuk menjadi juara Islamik...di mana rasionalnya?

Jangan salah anggap ye. Aku tidak sekali-kali menyokong konsert-konsert nyanyian artis yang tidak berlandas syara'. Jika mahu komentar aku, haramkan sahaja segala konsert yang lagha dan melalaikan. Hanya ingin aku menegur komen-komen yang berfokus kepada isu kelompok...seolah-olah perlakuan artis-artis Malaysia disahkan halal.

Hendaknya sebelum mengkritik, analisa dahulu apa yang mahu dibicarakan. Jika bunyinya tempang tidak seimbang, terlebih baik kita hanya beristighfar sendirian minta dijauhkan dari bala atas dosa-dosa mereka yang jahil.

Sekian analisaku...



Saturday, 10 January 2015

Karakteristik

Gerak badan sebenarnya menceritakan siapa diri kita. Tidak kiralah samada kita bertindak balas terhadap sesuatu atau melakukan sesuatu. Gaya diri juga mencerminkan siapa diri kita.

Di dalam penyiasatan kes-kes jenayah, pegawai penyiasat yang sudah dilengkapi ilmu 'bahasa tubuh' dengan mudah dapat menelah 'suspek' yang disoal siasat. Dia tahu di mana letak kelemahan untuk 'suspek' bercerita tanpa berselindung.

Bahasa tubuh adalah salah satu cabang ilmu yang telah lama diperdalami oleh pakar jiwa.

Cara berdiri, bercakap, pergerakan tangan semuanya boleh mentafsir karektor seseorang.

Sebagai contoh...

Jika dia suka bercerita tanpa sudi mendengar kisah orang lain, tandanya dia seorang yang tidak peka dengan masalah luar apatah lagi untuk membantu.

Jika cara makannya laju dan memulai makan dengan mencapai hidangan lauk yang jauh, dia seorang yang materialistik dan pentingkan diri sendiri.

Pentafsiran karektor diri tidak terbatas kepada perkara-perkara besar sahaja, elemen-elemen kecil juga berperanan menunjukkan apa karektor seseorang itu. 

Diberi lagi contoh...

Jika wayar gagang telefon di rumah mahupun di pejabat bersimpul-simpul tanpa ada minat untuk membetulkannya, terserlah sikap tuan punya telefon itu yang tidak kisah dengan kesempurnaan hidup dan kurang berdisiplin.

Eerrmmm...tidak susah untuk menelah karektor seseorang dengan melihat keadaan mejanya di pejabat...bukan!

Bila berkunjung ke rumah seseorang, cuba lihat susunan kasut dan selipar di bahagian luar rumah dan juga kebersihan bilik air...errmmmm.

Jika ada yang bertanya penting sangatkah menjaga karektor diri? Aku tidak teragak-agak untuk mengatakannya amat penting.

Karektor diri boleh memberi jawapan untuk orang luar mengenali kita. 'First Impression' seseorang menjadi faktor utama di dalam dunia bisnes juga dalam majlis-majlis sosial.

Lihatlah peribadi dalaman dan luaran Baginda Rasulullah SAW. Sifat dan sikap yang ditunjukkan itu menjadi modal untuk publisiti agama Islam yang ingin dipromosikan Baginda. Natijahnya Islam amat mudah diterima oleh pelbagai golongan masyarakat dan penyebarannya melangkaui batas sempadan bangsa, keturunan dan geografi.

Lihat...betapa karektor diri mampu menerobos jauh dalam meyakinkan dunia sekitar.

Betul-betulkanlah gagang telefon di meja pejabat ye...bagi memberitahu apa karektor kita..hehee



Monday, 5 January 2015

Zahirkan Rasa Syukur

Besar sungguh nikmat Allah yang dikurniakan saban hari kepada setiap makhluknya. Tidak kiralah kepada siapa...yang beriman, yang fasik, yang kufur!

Persetankan kepada mereka yang kufur. Kita yang beriman jangan tidak pernah menzahirkan rasa syukur setiap hari, waktu, jam, saat, detik...juga di setiap turun naik nafas.

Terdapat 3 cara bagaimana syukur boleh dizahirkan. Secara batin, lisan dan perbuatan.

Syukur batiniah. Hati hendaklah sentiasa memikir-mikir kejadian Allah. Jika melihat burung, jangan hanya memuji kecantikan dan kemerduan suaranya. Ingat siapa penciptanya! Jika mendapat nikmat, hati bertasbih memujiNYA. Jika datang pula bencana, hati tetap bersyukur meminta agar Allah menggantikan bencana tersebut dengan sesuatu yang lebih baik.

Syukur lisan. Basahkan lidah dengan zikir dan tonasi toiyiban. Bersyukur dengan anugerah lidah, mulut dan suara yang kekal kita kecapi sehingga kini. Zahirkan puji-pujian kepadaNYA tanpa rasa jemu. Berzikir, bertahmid dan bertakbir. Syukur lisan juga boleh diterjemah dengan tidak mengumpat, mengeji dan memfitnah sesama kita.

Syukur melalui perbuatan pula menampakkan seseorang itu konsisten amalnya walau dalam keadaan sukar. Gerak tangan, badan, kaki dan kepala menampakkan betapa seseorang itu mensyukuri nikmat Allah dengan tidak mengkesampingkan syukur hati dan lidah.

Bagaimana dengan kita. Di tahap mana syukur kita selama ini? Ingatlah bahawa seluruh pancaindera yang melengkapi tubuh adalah milikNYA, dipinjamkan sebentar untuk kita menelusuri hidup hingga ke akhir hayat.

Jika masih tidak mahu mensyukuri nikmat pemberian itu, lantiklah saintis untuk dicipta hati, lidah dan seluruh pancaindera bagi kegunaan sendiri.

Boleh???

Sunday, 4 January 2015

Bilik Stor Dah Penuh

Dia leka mengemas rumah...memang itu minatnya. Dia suka ruang rumahnya lapang dan bersih, tenang jiwa apatah lagi jika tetamu berkunjung.

Habis segala barangan dihempuk masuk ke dalam bilik stor. Bilik yang sekangkang kera itu bagai mahu menjerit menyatakan sesaknya ruangan yang terhad.

Dia tidak peduli. Hendak dibuang terasa sayang...tetapi mahu menggunakannya entahkan bila. Walau dia sedar sudah lebih dari 5 tahun barangan itu disimpan tetapi tetap tidak diendahkannya. Terus disumbat dan diperap selamanya.

Masa berlalu...tanpa disedari bilik stornya sudah dipenuhi penghuni yang tidak diundang...anai-anai! Habis dijamah ratah segala yang boleh ditelan. Barangannya menjadi lapuk...dibuang juga sudahnya.

Cerita ini punya mesej. Mesej yang tersembunyi di sebalik sebuah analogi.

Kita banyak menyimpan cerita. Cerita yang didengar tidak ditapis...terus diserap masuk ke dalam jiwa tidak kira apa kategorinya. Cerita sedih, gembira, cercaan, umpatan, dengki, mengata...terus disumbat lumat ke dalam stor hati.  Sudahnya hati kita sarat dengan perkara-perkara yang tidak penting. 

Luaran diri tampak kemas dan teratur tetapi tanpa sedar, kita sebenarnya sudah mengundang sebuah serangga 'jiwa kacau' yang memakan kepingan hati sedikit demi sedikit. Kita semakin lemah dengan saratnya barangan-barangan yang seharusnya dibuang jauh.

Jadilah kita insan yang berkarektor negatif dan ditolak jauh oleh makhluk sekeliling.

Ini analoginya...

Ruang rumah yang cantik dan bersih dianalogikan kepada luaran diri kita yang kemas dan nampak menawan.

Bilik stor yang sarat dan dimakan anai-anai merupakan kiasan hati yang sarat dengan aura negatif.

Cantik di luar...membusuk di dalam. Kita mati sebelum waktu!


Thursday, 1 January 2015

Pengakhiran 2014 Permulaan 2015

2014 meninggalkan banyak kisah duka yang tidak terjangka oleh rakyat Malaysia.

Permulaan kehilangan pesawat MH 370 yang seumpanya berlaku di dunia tidak berpenghujung hingga ke hari ini, diikuti kemarau panjang yang terpaksa diharungi bersama catuan air. Gelinciran tanah bersama banjir lumpur di Tanah Tinggi Cameron membuka rahsia di sebalik kehadiran pendatang asing yang tidak disedari. Lebih memilukan apabila Malaysia dikejutkan dengan pesawat MH 17 yang ditembak jatuh di utara Ukraine yang sedang bergolak...siapa yang bertanggungjawab masih ditemani misteri.


Yang terkini dan menjadi penutup tirai 2014, bencana banjir di timur Semenanjung Malaysia meletakkan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang dikancah menghampiri pengisytiharan darurat. Bukan banjir biasa di musim tengkujuh sebaliknya ia merupakan satu malapetaka yang langsung tidak terjangka. Hampir menyamai serangan tsunami di Acheh 10 tahun yang lalu.

Malaysia oh tanahairku. Sebelumnya tampak lokasi geografinya amat selamat dari laluan ribut taufan, gunung berapi, gempa bumi dan ombak tsunami. Tetapi sekarang kedudukan Malaysia tidak menjanjikan keamanan dari petaka alam.

2014 merupakan amaran bagi Malaysia. Ianya hanya amaran kecil berbanding apa yang biasa dan terpaksa dilalui oleh negara-negara lain di dunia. Jangan bermimpi Malaysia terlepas dari ujian.

Hanya yang patut dipasak kuat dalam diri adalah dekat sudah laluan kita ke hari penghabisan. Alam seakan mengamuk dek banyaknya dosa manusia yang tidak kenal malu kepada Pencipta.

2015 sudah menzahirkan diri di ufuk timur. Jika boleh aku berpesan...petanda usia alam sudah semakin nyanyuk. Bersedialah untuk alam meragam di sepanjang laluannya menuju kemusnahan. Juga bersedialah dengan segala amalan, mana tahu ini tahun akhir usia alam.

WallahuRasul a'lam.

Friday, 26 December 2014

Dimensi Pandangan

Musibah banjir yang melanda negara Malaysia menuntut sabar yang bukan sedikit. Jika hilang pertimbangan, harus dosa yang ditempah. Jika tak kuat iman, boleh kufur jadinya dek kutukan lancang yang terlepas dari lidah tanpa tulang.

Tetapi ramai yang tidak menghayati musibah yang dikirim. Ibarat 'biduk berlalu kiambang bertaut'. Habis musibah, masing-masing kembali ke rumah dan bermula kerja-kerja pembersihan...semudah itu.

Mari kita berfikir melalui dimensi mata hati...

Cuba lihat di setiap penghujung tahun Masihi menuju ke ambang tahun baru, jatuh hukum wajib untuk negara Malaysia menganjurkan konsert bersama artis-artis terkini. Berkumpullah sang pria dan wanita yang bukan mahram menagih noda dan dosa.

Tidak cukup dengan tajaan negara, setiap negeri juga tidak ketinggalan dalam me'maharajalela'kan nafsu muda-mudi.

Tidak terfikirkah bahawa pada bila-bila masa Allah boleh utuskan Malaikat untuk kiriman bala ke atas kita semua? Ya...mungkin bala itu ditangguhkan demi doa-doa mereka yang terpinggir yang takut akan murkaNya.

Mungkin bala yang ditangguh akan dilaksanakan tahun ini!!!

Tetapi dengan Rahmat dan EhsanNya, diberi ujian bencana banjir untuk sebuah negara bernama Malaysia. Dengan ujian tersebut membuatkan rakyat dan pemimpin bersama-sama menggembeling tenaga dalam meringankan bebanan yang ditanggung.

Dengan bencana itu juga, menatijahkan pembatalan konsert-konsert di seluruh Malaysia. Peruntukan konsert telah disalurkan kepada mangsa bencana banjir. Pembatalan konsert juga menyaksikan penganjuran Majlis Selawat Nabi beramai-ramai.

Lihat...musibah banjir yang Allah turunkan adalah demi mengelak musibah yang lebih besar atas dosa-dosa mereka yang leka dan lalai dalam alunan muzik berirama maksiat.

Tiada dosa malah timbul rasa insaf dalam diri.

Jangan semborono memandang ujian dengan mata kasar. Ubah dimensi pandangan melalui mata hati...di situ akan kau temui sebuah 'Kasih Sayang' yang hakiki.

Thursday, 25 December 2014

Mesej Dari Langit

Malaysia dilanda bencana lagi. Air diperintah turun mencurah-curah dari langit. Air juga diarah keluar dari mukabumi bagi menambah parahkan lagi keadaan.

Penduduk di utara dan pantai timur Malaysia diuji hebat. Air yang mendatang bukan sebarang air. Ia seakan banjir besar di zaman Nabi Nuh a.s. Airnya bukan separas lutut mahupun dada, ia sudah melepasi bumbung rumah.

Mereka terpaksa tinggalkan rumah sehelai sepinggang. Tidak lagi memikir tentang harta benda...nyawa yang harus diselamatkan dahulu. Bayangkan harta yang dikumpul selama berpuluh tahun hilang hanyut dan musnah dalam sekelip kerlipan mata.

Apa lagi yang tinggal selain dari iman yang harus dipertahankan agar tidak ditenggelami rasa kufur dalam arus ujian.

Musibah yang menimpa bukan kosong. Ia sarat dengan mesej-mesej langit...dari pencipta alam.

Kita asyik berpolitik sehingga mengkesampingkan ukhuwah sesama insan. Kita tidak berlapang dada menerima perbezaan yang wujud. Malah kita mencari-cari jalan dalam perancangan menjatuhkan musuh politik.

Musibah mengajar kita untuk ketepikan perbezaan politik. Bersatu untuk memberi bantuan walau mangsa berlainan ideologi.

Musibah mewujudkan rasa kasih sayang yang semakin terhakis di jiwa manusia. Melayu, Cina, India makhluk Allah jua. Jangan kata manusia, jika nampak khinzir yang terperangkap kelaparan di dalam banjir, harus kita selamatkan.

Kita bermain-main dengan keperluan rakyat. Harta kerajaan hanya berlegar-legar di kalangan orang-orang tertentu. Jadi, tidak menghairankan jika harta tersebut ditarik secara paksa dengan kos-kos yang terpaksa ditanggung dalam misi pencarian dan pampasan MH 370 dan MH 17.

Kos bantuan banjir kali ini bukan calang-calang harganya. 5 negeri terbabit memerlukan peruntukan wang yang besar jumlahnya.

Manusia merancang, Allah jua merancang. Sesungguhnya perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan.

Sama-sama kita muhasabah diri selepas menghayati mesej dari langit.

Sunday, 21 December 2014

Belajar Berasa Sunyi

Islam menggariskan tanggungjawab ibubapa terhadap anak-anak dengan memberi nama yang baik, menyediakan situasi yang kondusif untuk menimba ilmu juga mengahwinkannya bila tiba waktu.

Ya...perkahwinan mengesahkan bahawa siwanita bakal memulai hidup baru bersama suami. Suami pula harus menggalas tanggungjawab yang sudahpun dilepaskan oleh siayah.

Masalah bermula bila ibubapa keberatan melepas atau berenggang dengan sianak. Mengapa itu berlaku? Mungkin mereka jarang berpisah dan di sekeliling kehidupan mereka kedapatan ramai keluarga yang hidup serumah bersama ibubapa walau sudah berkahwin.

Bagi suami atau isteri yang tak kisah, diikutkan sahaja kehendak ibubapa atau mertua. Tetapi untuk suami yang ingin bina kehidupan sendiri tanpa bergantung hidup dengan sesiapa, apa ceritanya?

Ada ibu yang mengugut untuk lari tinggalkan rumah atau menghalang anak menjejak kaki ke rumah jika kehendak ibu tidak dituruti. Ada pula mereka yang mengungkit-ungkit jasa dan pengorbanan membesarkan anak. 

Adilkah bagi sianak?

Pandanganku...tidak keterlaluan untukku melabel ibubapa tersebut sebagai mereka yang pentingkan diri dan perasaan sendiri. Mereka seakan takut berhadapan dengan realiti hidup yang bakal ditinggalkan oleh yang tersayang.

Mereka menutup peluang untuk sianak hidup berdikari. Lebih tidak beretika, jasa dan pengorbanan mereka jadi bahan ungkitan bagi membuat anak rasa bersalah.

Tanggungjawab ibubapa selesai sudah apabila lafaz nikah sudah disempurnakan oleh pengantin lelaki. Dikala itu, ibubapa hanya boleh menjadi penasihat dan pemerhati untuk keluarga baru anak-anak.

Biarkan dan berilah restu untuk mereka bina hidup baru. Jangan keterlaluan memikir hidup kesunyian...belajarlah berasa sunyi untuk kita lebih bersedia bersunyi-sunyian di alam barzakh kelak.

Ermmmm aku? Aku sudahpun bersedia menempah sunyi untuk ditinggalkan oleh anak-anak kelak. Itu realitinya. Kita berseorangan di alam roh juga di dalam rahim ibu...dan bakal berseorangan di kambus tanah.

Aku tak mahu mendera diri dengan mainan perasaan, pentingkan diri sendiri jua ketakutan ditinggalkan.

Jika berseorangan, hanya yang aku ada adalah DIA!!!



Friday, 19 December 2014

Karektor ke 3

Banyak kaedah-kaedah yang digunapakai dalam mengenali hati budi dan sikap seseorang. Kaedah tersebut datangnya dari kajian mahupun pemerhatian juga bersumberkan pengalaman mereka yang selalu bersosial.

Aku suka memerhati juga meneliti mereka yang berada di sekeliling, guna untuk cerminan sendiri dalam proses mengkoreksi diri. Tetapi akan aku pastikan pemerhatian itu tidak sampai aku mencebik bibir dan memandang rendah mereka yang punya banyak kelemahan. Malah aku mendoakan agar mereka diberi hidayah.

Okey cuba lihat ini...

Bila berborak bersama seseorang, cuba perhatikan apa butir bicara mereka. Jika banyak topik menjurus kepada ketidakpuasan hati, benci kepada seseorang, suka mempertikai sesuatu perkara tanpa jalan penyelesaian, menjaja-jaja buruk seseorang, cerita berkisar promosi diri...apa lagi yang harus kunyatakan karektor manusia jenis ini. Nyata mereka yang berada di hadapanmu itu menyimpan banyak aura-aura negatif.

Kata-kata mereka beracun, cerita mereka memudaratkan, perkongsian mereka mengkontaminasikan bakteria 'pathogen'.

Sebaiknya jauhi mereka dan bertegur ala kadar sahaja. Ditakuti aura negatif akan turut mempengaruhi diri.

Dengarkan pula cerita mereka tentang ehwal semasa, berkongsi idea dalam penyelesaian masalah, cara meningkatkan profesionalisme karier, menegur dan menasihat demi kebaikan, bersangka baik walau ditusuk cerita negatif, tidak langsung mendabik dada walau kejayaannya terserlah.

Pasti ada rahsia di sebalik segala yang baik yang terlihat atas diri insan tersebut. Apa lagi jika tidak kerana amalan-amalan konsisten yang dihijab rapi oleh yang empunya diri.

Bersahabat baiklah dengan insan tersebut demi untuk membuka hijab dirinya. Insan itu tidak mungkin mudah bercerita amalan diri kerana bukan itu sifat mereka.

Okey...itu merupakan 2 karektor negatif dan positif. Amat mudah untuk mengenali mereka, bukan!

Tetapi yang tidak mudah adalah mewujudkan karektor ke 3...iaitu melihat aib sendiri!!!


Wednesday, 17 December 2014

Kacang dan Integriti

Dilaporkan bahawa anak kepada Presiden Korean Air, Heather Cho telah meminta maaf secara terbuka gara-gara menimbulkan kekecohan dalam pesawat hanya kerana isu kacang yang dihidangkan kepadanya di dalam bentuk plastik bukan di atas pinggan.

Beliau yang juga Eksekutif syarikat Korean Air telah mengarahkan anak kapal tersebut melutut meminta maaf dan dikeluarkan dari pesawat, menyebabkan penerbangan tergendala selama 20 minit.

Presiden Korean Air, Cho Yang-ho sebelumnya juga telah meminta maaf di atas kesilapan anaknya. Menurut beliau, anaknya telah mengundurkan diri dan melepaskan semua jawatan di dalam syarikat berkenaan.

Korea bukan negara Islam. Penduduknya majoriti menganut agama Kristian mahupun Buddha. Semakin ramai dari mereka mula memilih pemikiran 'atheis' terutama Gen Y.

Menarik bagiku, walau mereka bukan penganut agama langit...sifat-sifat Islam ada dalam aliran darah mereka. Mereka berbuat silap...tidak teragak-agak meminta maaf secara terbuka malahan bapanya turut mengambil bahagian dalam edisi maaf tersebut.

Tidak berakhir dengan ungkapan maaf, mereka turut mengambil sikap bertanggungjawab dengan melepaskan jawatan demi mengembalikan semula integriti dan maruah diri...hanya kerana isu kacang!

Jarang berlaku di Malaysia mereka yang berprofil tinggi meminta maaf secara terbuka. Maaf diungkap hanya apabila mereka diberi amaran untuk dibawa kes ke mahkamah dengan saman berjuta sekiranya tidak meminta maaf dalam tempoh yang diberi.

Sekiranya mereka yakin boleh menang, mahkamah bakal menjadi penentu kebongkakan mereka!

Itu nilai sebuah integriti bagi bangsa Melayu Islam yang hidup di dalam sebuah negara Islam.

Sunday, 14 December 2014

Analogi Sebiji Epal

Analogikan sebiji epal yang dibelah dua dan terlihat beberapa butir biji hitam yang terkandung di dalam epal tersebut. Ambil sebutir,  semai menjadi anak pokok dan tanam. Seterusnya pokok epal itu membesar dan berbuah...ratusan buah epal yang dihasilkan pada setiap musim.

Bayangkan dari sebutir biji yang ditanam bisa menumbuhkan sebatang pokok dan mengeluarkan buah ratusan jumlahnya!

Berapa berat butiran biji epal jika ditimbang? Entah beberapa miligram sahaja timbangannya. Terjangkaukah akal kita bahawa butiran sehalus itu boleh memberi manfaat dan mengeluarkan hasil?

Apa yang ingin Pencipta alam ini sampaikan kepada penduduknya? Warna-warni epal? Kemanisan epal? KemurahanNya dalam menumbuhkan pokok epal?

Bukan semurah itu mesej yang terkandung di dalam pentadbiranNya.

Allah anugerahi manusia otak guna untuk memikir kejadian alam yang banyak iktibar dan pengajaran.

Mesej buah epal diertikan sebagai sebuah kebaikan yang dimulai walau sedikit cuma, bisa mengimpak hasil yang hebat sehingga tidak terjangkau akal fikiran manusia memikirkannya.

Dinukilkan di dalam sebuah hadis menyebut di akhirat nanti kedapatan mereka yang tertanya-tanya dari mana pahala yang melimpah ruah hadir bagi melayakkan mereka memasuki syurga.

Itulah sedikit kebaikan yang hadir di sisi sebuah keikhlasan...bisa memberi natijah 'akbar'. Jangan pandang remeh kebaikan sedikit cuma yang dilakukan seseorang waima mengutip cebisan kertas di kaki lima...

...kerana pahala yang dijanjikan tidak menagih berapa banyak kebaikan yang dilaksana tetapi sejauh mana ikhlas mendatangi hati!

Nikmatilah gigitan epal bersama sebuah keinsafan.

Thursday, 11 December 2014

Apa Yang Eirma Mahu?

Eirma Fatima hadir lagi menampilkan genre filem supertele melalui 'Takhta 3 Ratu'. Kisah di sekitar zaman kesultanan Melayu Melaka berkenaan Sultan Mansur Shah yang mengahwini Puteri Hang Li Po dari negeri China demi mengukuhkan hubungan kedua negara.

Aku mengenali Eirma sejak di sekolah menengah dan akur dengan minatnya yang mendalam di bidang seni terutama lakonan. 
Aku sebetulnya betah mengikuti perkembangan filem-filem arahannya. Beliau banyak menampilkan telemovie dan filem berkaitan sejarah.

Tetapi satu sifat beliau yang sukar untukku fahami...menggarap cerita bersulam 'tarikan seks'. Untuk apa filem Melayu dihidang dan diwarnai sampah tersebut. Idea dan kreativiti beliau sepatutnya tidak diganggu gugat kontroversi murahan.

Isu berkemban dan adegan ranjang melihatkan sikap manipulasi beliau terhadap tarikan filem yang sering digunapakai.

Masih ingat filem 'Embun'? Kisah perang Jepun yang menampilkan seorang pelakon lelaki yang melondehkan seluar sehingga menampakkan punggung dalam adegan rogol. Kontroversi tersebut telah mencacatkan imej beliau sebagai seorang pengarah pelapis yang berkaliber.

Mutu sesebuah filem tidak bergantung kepada sebarang manipulasi mahupun kontroversi. Kreativiti dan kualiti cerita yang menjadi taruhan.

Ini Malaysia sebuah negara Islam...payahkah Eirma untuk menghayatinya?


Monday, 8 December 2014

Ibu Itu Madrasah

Jika ditanya pendidikan anak-anak bermula dari mana? Kita yang cerdik dan berilmu akan menjawab sejak dari dalam kandungan ibunya lagi. Betul ke jawapan tu?

Imam Malik pernah ditanya bagaimana cara beliau mendidik anaknya yang nampak amat bijak dan beriman. Lantas beliau menjawab...aku memilih ibunya.

Eermmm..boleh faham ke jawapan Imam Malik tu?

Begini...sebenarnya proses mendidik anak-anak dalam erti kata melahirkan generasi yang cemerlang bermula dengan pencarian pasangan hidup. Lelaki memain peranan penting dalam menentukan jodohnya.

Calon isteri yang bagaimana menjadi pilihan hati...yang hanya ada rupa? Yang berharta? Yang berketurunan baik-baik? Atau yang beragama?


Jika mahukan zuriat cemerlang dan beriman...pilihlah pasangan hidup yang kuat agamanya, kerana perut wanita beriman itu menyimpan benih subur dan 'genius' yang mampu menjadi madrasah dalam melahirkan warisan yang menggegar dunia. 

Pemilihan kepada pasangan hidup itulah sebenarnya sudahpun bermula proses mendidik anak-anak.

Lantas bagaimana dengan pasangan hidup kita sekarang? Adakah kita telah membuat pilihan yang salah?

Hey para suami!!! Janganlah berlaku tidak adil kepada isteri kita. Tiada istilah tercepat atau terlambat dalam melakukan kebaikan. Hanya yang perlu, kita harus belajar dari kesilapan lalu.

Kata Ulama', bagi mendapat anak-anak soleh dan solehah...kita harus perbanyakkan istighfar dan amalan sunat. Moga-moga ia menjadi inspirasi untuk para suami menjadikan isterinya sebagai madrasah dalam mengeluarkan produk yang berkualiti dan berintegriti.

Wallahua'lam.

Sunday, 7 December 2014

Assalam Ustaz Pahrol!!!

Cuti sekolah sudahpun bermula. Akupun mula merangka perancangan untuk pengisian anak-anak di waktu bebas ini. Jadual harian sudah kusiapkan...aku juga yang akan membuat tindakan susulan sekiranya peraturan jadual itu tidak dipatuhi.

Hari itu hari minggu. Anak aku sudah bersiap untuk menghadiri program 3 hari 2 malam...kem 'Celik Hati Muslim Profesional' anjuran Fitrah Perkasa. Aku dan isteri sudah bersedia untuk menghantar anak ke program tersebut.

Sebenarnya aku juga sedang merancang sesuatu. Sesuatu itu merupakan 'silent idol' aku terhadap seseorang. Seseorang itu pula sering kelihatan tulisannya di sebuah majalah Islamik...'Solusi'.

Aku banyak terpengaruh jua dipengaruhi oleh gaya penulisan beliau. Mainan bahasa beliau amat menyentuh jiwa sesiapa yang membaca. Kejujuran beliau terserlah dalam ungkapan bahasa metafora. Membuatkan ilmu yang disampaikan meresap masuk tanpa prejudis.

Sebelum kami meninggalkan anak-anak untuk sesi program, beliau membuat pembukaan tazkirah kepada ibubapa mengenai 'parenting'. Aku mendengar penuh minat sambil tak terleka tanganku mencatat segala kata-kata hikmat yang beliau lontarkan.

Tajuk tazkirah 'Muslim Profesional' benar-benar melihatkan diri beliau yang sebenar. Menyampaikan tazkirah pembukaan penuh berhemah tanpa merendah-rendahkan pihak yang jahil. Senyuman tidak lekang di bibir juga amat menepati masa yang diperuntukkan walau terasa banyak lagi ilmu yang perlu dikongsi.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi...terimakasih di atas bimbingan penulisanmu. Walau aku tidak berguru berhadapan denganmu tetapi aura kesan ilmu itu dapat kurasa...terimakasih sekali lagi.



Tuesday, 2 December 2014

Aku Sepasang Kasut

Teringat aku di zaman sekolah rendah. Aku memang gemar subjek Bahasa Malaysia. Kalau bab membuat karangan, memang jadi lauk aku aje la. Banyak kali karangan aku dijadikan contoh dan dibaca oleh guru di hadapan murid sekelas.

Di sekolah menengah pula, aku terpilih untuk memasuki pertandingan mencipta karangan atas kapasiti karanganku telah melepasi kelayakan untuk bertanding.

Hhmmm...teringat aku sebuah karangan yang kucipta di sekolah rendah bertajuk 'Aku Sepasang Kasut'.

Kukisahkan sepasang kasut yang mahal berjenama ditayang di ruang pameran. Seorang remaja telah berminat untuk mendapatkanku...lantas aku menjadi miliknya. 

Aku dipakai ke mana sahaja dan mendapat pujian rakan-rakannya yang melihat rupa dan kualiti diriku yang tinggi. Rasa bangga berbunga di hatiku kerana mendapat perhatian dan pujian.

Akibat selalu dipakai, aku jadi semakin tidak bermaya, lusuh dan berbau. Aku dihukum dan dipinggirkan oleh tuan ku. Sedih dan hiba menjadi teman dan akhirnya aku dibuang begitu sahaja.

Hhmmm itulah karangan yang kucipta yang masih kuingat sampai ke detik ini.

Tetapi hari ini, aku ingin menyambung cerita lama sepasang kasut. Akhirannya tidak lesu malahan ia kujaga rapi. Berjenama 'Alain Delon', kulitnya masih baik tetapi tapaknya sudah semakin dimamah sejarah.

Kasut itu mempunyai nilai nostalgia yang sangat dalam. Itulah satu-satunya artifak sejarah yang aku ada sampai kini. 

Tak mungkin aku meminggir apatah lagi untuk membuangnya seperti cerita karanganku di waktu kecil. Kerana sepasang kasut itu adalah hantaran dari pihak isteriku di majlis perkahwinan kami pada tahun 1994!!!

Inilah sepasang kasut itu...



Monday, 1 December 2014

Lewat Sebuah Kesal

Dia seorang yang kuat bekerja...memang itu objektifnya, menaiktaraf kehidupan keluarga. Kelengkapan rumahtangga sudah lebih dari mencukupi buat isteri dan anak-anak. Maqasidnya nampak tercapai di pertengahan usia.

Waktu berlalu menurut aturan alam. Dia semakin kehabisan tenaga menurut sunnatullah. Komitmen 100% terhadap kerja telah menjejaskan antibodi diri. Sudahnya dia terlantar di hospital melayan sakit yang dideritai.

Rakan-rakan dan handai taulan datang berziarah melahir rasa simpati. Apabila ditanya berkenaan tugasan di pejabat, ketuanya telah mengarah kakitangan lain untuk mengambil-alih.

Ya...hanya semudah itu untuk dirinya dijadikan klon.

Ketaatan yang diberi kepada tugas telah meratah rakus dirinya di waktu ini. Baru dia sedar, ketiadaannya di pejabat bisa diganti oleh pekerja lain dalam hanya sedetik lebih...tetapi siapa bisa mengganti dan memulih keadaan kesihatannya dan waktu bersama keluarga yang direnggut waktu pejabat?

Kawan dan sahabat datang dan pergi menziarahi dirinya. Ya...mereka membawa mesej jelas! Keluarga dan kesihatan adalah prioriti. Sementara tugasan hanyalah alat untuk dia meneruskan kehidupan berkeluarga. Perlu diimbangi keduanya agar kehidupan menjadi lebih teratur.

Matanya semakin terkatup rapat...menahan genangan air jernih yang tidak mampu merubah kesilapan.

"Aaahhhhhhhh...", hanya dengusan itu yang mampu dizahirkannya.