Dia leka mengemas rumah...memang itu minatnya. Dia suka ruang rumahnya lapang dan bersih, tenang jiwa apatah lagi jika tetamu berkunjung.
Habis segala barangan dihempuk masuk ke dalam bilik stor. Bilik yang sekangkang kera itu bagai mahu menjerit menyatakan sesaknya ruangan yang terhad.
Dia tidak peduli. Hendak dibuang terasa sayang...tetapi mahu menggunakannya entahkan bila. Walau dia sedar sudah lebih dari 5 tahun barangan itu disimpan tetapi tetap tidak diendahkannya. Terus disumbat dan diperap selamanya.
Masa berlalu...tanpa disedari bilik stornya sudah dipenuhi penghuni yang tidak diundang...anai-anai! Habis dijamah ratah segala yang boleh ditelan. Barangannya menjadi lapuk...dibuang juga sudahnya.
Cerita ini punya mesej. Mesej yang tersembunyi di sebalik sebuah analogi.
Kita banyak menyimpan cerita. Cerita yang didengar tidak ditapis...terus diserap masuk ke dalam jiwa tidak kira apa kategorinya. Cerita sedih, gembira, cercaan, umpatan, dengki, mengata...terus disumbat lumat ke dalam stor hati. Sudahnya hati kita sarat dengan perkara-perkara yang tidak penting.
Luaran diri tampak kemas dan teratur tetapi tanpa sedar, kita sebenarnya sudah mengundang sebuah serangga 'jiwa kacau' yang memakan kepingan hati sedikit demi sedikit. Kita semakin lemah dengan saratnya barangan-barangan yang seharusnya dibuang jauh.
Jadilah kita insan yang berkarektor negatif dan ditolak jauh oleh makhluk sekeliling.
Ini analoginya...
Ruang rumah yang cantik dan bersih dianalogikan kepada luaran diri kita yang kemas dan nampak menawan.
Bilik stor yang sarat dan dimakan anai-anai merupakan kiasan hati yang sarat dengan aura negatif.
Cantik di luar...membusuk di dalam. Kita mati sebelum waktu!
No comments:
Post a Comment